1 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Live Anti-ISA. Tangkapan Bermula.

.Penangkapan telah bermula. seawal jam 9.45 pagi lagi, kira-kira 20 orang telah ditahan di perkarangan Masjid Negara. Manakala 200 orang telah dihalau pergi dari situ.

Wartawan TVA di lapangan turut melaporkan ketumbukan Unit Simpanan Persekutuan telah dikerah ke Dataran Merdeka.

Manakala sekumpulan kecil peserta Himpunan Mansuhkan ISA berada di sekitar Masjid Jamek.

Hari ini, 1 Ogos 2009, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Pakatan Rakyat perhimpunan aman Himpunan Mansuhkan ISA di ibu negara.

Mereka akan berarak dari Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan Deklarasi Mansuhkan ISA ke bawah Duli Tuanku Agong.

Manakala kumpulan Pro-ISA dijangka berhimpun di dua lokasi iaitu Padang Merbok dan Pasar Seni, sebelum berarak ke Istana Negara.

Sementara itu, seorang aktivis dari Kedah yang hanya mahu dikenali sebagai Mat Nor, 27, memaklumkan bahawa tangkapan juga sedang berlaku di Masjid Negara, lapor harakahdaily.

Ujarnya, beliau melihat pihak Unit Simpanan Persekutuan telah ada mengawal perkarangan masjid sejak sebelum subuh lagi. Walaubagaimanapun, sejak jam 7.30 pagi tadi pihak polis telah bertindak menangkap orang awam di sekitar masjid tersebut yang memakai identiti sebagai peserta himpunan.

Malah menurutnya, pihak polis turut bertindak menutup pagar masjid selain sekatan ketat dilaluan berhampiran. katanya lagi, pihak polis juga menangkap golongan muslimat dan para peniaga yang dilihat mempunyai kaitan dengan perhimpunan.

Sementara itu, sumber dari staf Transit Aliran Ringan (LRT) memaklumkan, perkhidmatan LRT akan berjalan seperti biasa, bagaimanapun mulai jam 10.00 pagi, LRT tidak akan berhenti di beberapa stesyen antaranya Masjid Jamek, Bandaraya dan Plaza Rakyat. Pun begitu, ianya bergantung kepada perubahan semasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman memberitahu, terdapat beberapa individu telah ditahan di kawasan Masjid Negara mengikut seksyen 105 kanun keseksaan bagi menghalang berlakunya perlakuan jenayah.

Sementara itu, menurut bilik gerakan trafik Zon HS Lee, terdapat lima laluan utama ke Kuala Lumpur ditutup iaitu Jalan Kelapa Gading, Jalan Travers, laluan berdekatan Istana negara dan Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur serta Dataran Merdeka berikutan perhimpunan haram mansuh ISA yang dijangka diadakan pada pukul 2 petang ini.

Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, memberitahu, terdapat dua lagi jalan di daerah Dang Wangi yang ditutup iaitu Jalan Hishammuddin dan Jalan Raja.


Tiada ulasan: