30 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Laporan Polis Terhadap Bekas ADUN BN

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San hari ini membuat satu laporan polis berhubung salah guna peruntukan bekas Adun Barisan Nasional serta penyelewengan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Lau yang juga Setiausaha DAP Selangor berkata, laporan itu dibuat setelah mendapati wujud salah guna peruntukan di kawasan pembangunan DUN Kampung Tunku dan DUN lain, di Selangor.

Katanya, beliau mempunyai bukti untuk mengesahkan laporan yang dibuat.

“Dokumen yang saya perolehi daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling telah menunjukkan setiap satu butiran kegunaan peruntukan ini dan persoalan-persoalan serius timbul, bagaimana bekas Adun ini dapat membelanjakan wang rakyat ini dengan begitu boros dalam masa kurang daripada tiga bulan, lebih-lebih lagi apabila Pilihan Raya Umum pada 8 Mac 2008.

“Dan persoalan timbul sama ada Adun-Adun BN ini sengaja berbuat demikian supaya wang ini dapat dikeluarkan untuk membiayai perbelanjaan kempen pilihanraya BN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga mendakwa, Adun BN telah membelanjakan 90.6 peratus atau RM26.6 juta daripada peruntukan kawasan masing-masing dalam tempoh dua bulan pertama, tahun 2008.

“Jumlah keseluruhan peruntukan tersebut ialah RM26,634,844.33 dan baki yang tinggal ialah RM2,907,155.76. Sebahagian besar Adun BN masing-masing membelanjakan RM492,800, mala Speaker DUN yang bukan Adun, turut membelanjakan RM600,000,” katanya.

Lau berkata, beliau juga telah membuat laporan kepada SPRM pada 16 Julai lalu, tetapi tiada sebarang tindakan diambil oleh SPRM untuk menyiasat salah guna peruntukan DUN berkenaan.

“Saya mengesyaki, terdapat unsur-unsur jenayah dalam kes ini. Saya juga meminta PDRM menjalankan siasatan terhadap pegawai-pegawai SPRM yang terlibat dalam kes ini kerana saya mengesyaki mungkin terdapat unsur-unsur jenayah seperti penyelewengan mungkin sengaja ditutup oleh pihak berkuasa yang sepatutnya menjalankan siasatan”, katanya.

Tiada ulasan: