15 Ogo 2009

Era Najib Altantuya : Lagi Sayonara UMNO

Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Parit Buluh Air Kuning Selatan, Abd Aziz Khamis mengucapkan selamat tinggal kepada parti asalnya dan beralih menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas rasa kecewa dengan perkembangan politik di Daerah Tampin, lapor Sinar Harian.

Abdul Aziz, 48, ketika menyampaikan ucapan di hadapan pemimpin tertinggi PR Tampin menyatakan rasa tidak puas hati dan kecewa dengan keadaan tidak stabil parti berkenaan selain sikap berpuak-puak sesama sendiri yang ditunjukkan ahli UMNO cawangan serta bahagian.

“Saya berasa amat kecewa dengan keadaan yang berlaku di dalam UMNO Cawangan dan Bahagian Tampin sekarang. Perjuangan parti keramat yang mereka laungkan sudah menyimpang jauh dan gagal untuk menambat hati rakyat.

“Saya tidak menyangka perjuangan selama lebih 30 tahun bersama UMNO kini terhenti akibat daripada keadaan tidak menentu parti di peringkat cawangan dan bahagian,” katanya.

Aziz berkata, hasrat meninggalkan parti keramat berkenaan sudah lama difikirkan selepas menyaksikan pergolakan hubungan dalaman antara pemimpin UMNO Bahagian Tampin bersama cawangan.

Menurutnya, kekecewaannya juga mula menebal selepas timbul rasa tidak puas hati berikutan sikap segelintir pemimpin di dalam UMNO Bahagian dan Cawangan yang bersikap pilih kasih ke atas sesetengah individu serta mewujudkan pentadbiran secara kroni.

“Sudah lama saya memikirkan hasrat untuk keluar daripada UMNO, namun, melanjutkan tindakan berikutan rasa sayang dengan parti. Namun, ia terpaksa dilakukan kerana terdapat segelintir ahli dan pemimpin yang sudah ‘tidak sebulu’.

“Selepas sekian lama berada dalam UMNO di Daerah Tampin ini juga, saya melihat perjuangan UMNO peringkat cawangan dan bahagian di sini sudah berubah serta hanya untuk kroni atau orang tertentu sahaja sekali gus ia amat menyedihkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Ranting Tampin Sentral, Mahmad Ayub berkata, penyertaan Abdul Aziz ke dalam parti merupakan tindakan wajar berikutan sudah menyedari perjuangan Pakatan Rakyat (PR) yang membela nasib rakyat serta tidak bersifat indivualistik atau mempunyai agenda tertentu.

“Kemasukan bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Parit Buluh Air Kuning Selatan itu diharapkan akan dapat menguatkan PKR di Daerah Tampin kerana tindakan berkenaan membuktikan rakyat mula mengetahui hakikat sebenar bahawa perjuangan yang dibawakan oleh PR melalui parti komponennya bersifat ikhlas, tulus dan suci.

“Kami di dalam PR mengalu-alukan kehadiran Abdul Aziz dan berharap beliau akan dapat memberikan sesuatu dalam melaksanakan perjuangan kami dalam menegakkan hak serta kebenaran demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, dia dan rakan PR berharap tindakan yang dilakukan Abdul Aziz akan membuka minda serta hati ahli UMNO lain untuk beralih bersama pembangkang.

“PR di Daerah Tampin tidak akan sesekali berundur daripada perjuangan, sebaliknya akan terus berusaha gigih menghadapi rintangan ibarat ‘seekor ular menyusup ke akar pohon’,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, Abd Aziz pernah menyandang jawatan Ketua UMNO Cawangan Parit Buluh Air Kuning Selatan pada tahun 2001 hingga 2008 dan langkahnya keluar parti berkenaan dijangkakan akan diikuti oleh 30 ahli cawangan terbabit bagi menyertai PKR.

Selain itu, pada majlis sama, turut diadakan Majlis Penyerahan Beras dan Barang Keperluan Sempena Kehadiran Bulan Ramadan kepada 30 Fakir Miskin di sekitar Air Kuning Selatan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah, S Veerapan dan Ketua PKR Ranting Tampin Sentral, Jeffery Young Ahmad.

1 ulasan:

Martoiriat berkata...

Syabas En Ab.Aziz yg meninggalkan UMNO dan menyertai PKR. Tepat sekali En Ab Aziz meningg
alkan UMNO sebuah parti hipokrit dan penuh dgn
perasuah..semoga dengan penyertaan En Ab Aziz dlm PKR ini, aku harap lebih ramai lagi org2
akan meninggalkan UMNO.. Insyaallah..