15 Jul 2009

ISU BALKIS JADIKAN KHIR TOYO CACING KEPANASAN

Isu penyelewengan dana anak syarikat Kerajaan Negeri kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) berbangkit semula di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Usul tersebut dibentangkan ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim semasa sesi perbahasan mengenai wang Balkis sebanyak RM9.9 juta yang dipindahkan secara mendadak kepada BAKTI, selepas pilihanraya umum lalu.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) sudah mengadakan pendengaran awam bagi menyiasat pemberian, sumbangan, derma, hadiah, atau apa-apa bentuk kewangan oleh kerajaan negeri kepada Balkis ketika Khir Toyo menjadi Menteri Besar Selangor.

“Untuk menyiasat kisah benar apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pengagihan dan pemindahan baki wang dana sejumlah RM9.9 juta milik Balkis kepada Bakti.

“Melalui pendengaran awam kerana rakyat berhak mengetahui ke mana dana yang merupakan wang rakyat itu diperolehi dan dilarikan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada rakyat negeri Selangor”, katanya.

Menurut Ng, siasatan dijalankan dengan telus dan memberi peluang kepada semua saksi untuk membantu siasatan dan kajian Selcat.

Namun dua daripada 14 saksi yang dipanggil, gagal menghadirkan diri iaitu Khir Toyo dan isterinya yang juga bekas Yang DiPertua Balkis, Zaharah Kechik.

Ketidakhadiran mereka membuktikan tuduhan penyelewengan wang itu adalah benar kerana mereka tidak menggunakan sesi pendengaran awam berkenaan sebagai platform untuk membela diri.

“Kalau benar Yang Berhormat Sungai Panjang dan isterinya tidak bersalah, kenapa tidak hadir ke pendengaran awam untuk membela dan mempertahankan diri dan memberi keterangan, jangan hanya berani mengutuk jawatankuasa Selcat diluar.

“Hanya berani mengutuk diluar atau melalui media sahaja, tetapi tidak berani membela dan mempertahankan diri di hadapan Jawatankuasa Selcat sedangkan peluang diberikan seluas-luasnya,” katanya.

Menurutnya, pembubaran Balkis dalam tempoh kurang daripada sebulan, turut menjadi persoalan bagaimana pertubuhan itu boleh dibubarkan dengan begitu cepat.

Selain itu, Ng memberitahu, PNSB sendiri sudah membongkar penyelewengan Zaharah dan Khir yang menyalahguna kuasa dengan kedudukan masing-masing.

Sementara itu, Khir yang ditemui di luar dewan memberitahu, isu wang Balkis tidak lagi timbul kerana ia sudah diserahkan kepada Bakti untuk kegiatan kebajikan pertubuhan itu.

Beliau juga melahirkan rasa tidak puas hati terhadap Speaker Selangor yang dianggap berat sebelah dalam mengadili perbicaraan awam yang diadakan Mac lalu.

“Semua peruntukan yang Balkis terima diberi kepada orang ramai, bayangkan kerajaan negeri selama lapan tahun, RM7 juta lebih, tapi bila Balkis dibubarkan, RM9.9 juta.

“Ini maknanya, Balkis menggunakan duit secara berhemah, isu yang timbul hari ini kerana mereka nak mengambil balik Balkis, tetapi ahli-ahli Balkis mohon untuk di bubarkan dengan nasihat dan sebagainya… pindahkan ke Bakti dan tercatat report,” katanya. -ATIQAH YAACOB


Tiada ulasan: