27 Jul 2009

Era Najib Altantuya : UMNO Nak Tawan Kelantan Hanya Omong Kosong

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pas Negeri, Abdul Fatah Harun menyifatkan impian UMNO untuk menawan semula Ke-lantan sebagai satu omongan kosong.

Sebaliknya Abdul Fatah berkata, sebelum berhasrat untuk menawan semula negeri ini daripada Pas, parti itu terlebih dahulu perlu memulihkan imejnya.

“Saya akui kemenangan Pas pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai baru-baru ini adalah disebabkan kelemahan UMNO selain kekuatan yang ada pada Pas sendiri.

“Bagaimana pun, Pas tidak berbangga kemenangan dalam satu-satu pilihan raya kerana kelemahan parti lawan. Tetapi kita lebih berbangga kerana kekuatan kita sendiri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Abdul Fatah yang juga Ahli Dewan Undangan Ne-geri Bukit Tuku berkata, dasar Pas tidak akan mengambil kesempatan di sebalik kelemahan parti lain untuk menang dalam satu-satu pilihan raya.

“Sebab itu Pas sentiasa membaiki kelemahan dan memantapkan jentera parti untuk mengukuhkan sokongan rakyat terhadap perjuangan parti dalam membuat ‘postmortem’ selepas pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed bahawa parti itu yakin dapat mengambil alih Kelantan daripada Pas pada pilihan raya akan datang.

Mustapa dilaporkan berkata, UMNO Kelantan akan mengatur dua strategi dalam usaha menawan dan ‘menembusi’ Kelantan dari kekangan Pas yang memerintah hampir 15 tahun.

Menurut Mustapa, strategi itu membabitkan usaha untuk meningkatkan semangat ahli-ahli UMNO selain memperkemaskan pengurusan parti.

“Kelantan boleh ditembusi sekiranya semangat dan daya juang ahli-ahli UMNO ditingkatkan semaksimum mungkin. Pejuang parti tulen mempunyai semangat berbeza dengan orang Pas dan saya menunggu saat itu.

“Jentera-jentera parti perlu memulakan gerak kerja mulai sekarang dan Manek Urai adalah contoh untuk kita semua,” katanya.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha untuk mencapai kemenangan itu juga memerlukan pengurusan yang cekap dan semangat serta daya juang ahli-ahli UMNO perlu ditingkatkan semaksimum mungkin.

“Ini termasuk mendisiplinkan diri, menepati masa, melakukan sesuatu perkara dengan teliti dan teratur serta melaksanakan tugas tanpa menunggu arahan,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya mengenai bedah siasat untuk mengkaji kemenangan tipis Pas pada pilihan raya kecil Manik Urai 14 Julai lepas, Abdul Fatah berkata, ketika ini Badan Perhubungan Pas Negeri sedang membentuk Jawatankuasa Khas Bedah Siasat yang akan dipengerusikan oleh bukan anggota jentera parti yang terlibat dalam pilihan raya.

“Ini perlu kerana kita hanya akan dapat menilai diri oleh mereka yang berada di luar jentera parti dan biasanya kita sebagai jentera tidak akan nampak kelemahan diri sendiri kecuali orang luar,” katanya.

Menurutnya, setiap kelemahan yang dikenal pasti nanti akan diperbaiki bagi memastikan Pas terus kuat dan mendapat kepercayaan rakyat di Kelantan.

“Kita akan baiki kelemahan yang ada agar Pas benar-benar menjadi sebuah parti yang kuat dan dapat membela rakyat,” katanya. -SH

Tiada ulasan: