26 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Samy Vellu Buat Dakwaan Palsu - Subra

Bekas Timbalan Presiden MIC Datuk S.Subramaniam menafikan bahawa beliau menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings Bhd dengan syarat Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu bersikap berkecuali dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden parti September ini.

"Dakwaan palsu ini merupakan contoh apa yang tidak betul dengan politik dalam MIC dan saya menjangkakan perkara ini dan banyak lagi daripada Presiden yang secara bersendirian berazam untuk menghalang sebuah pemilihan yang terbuka dan demokratik seperti yang dihasratkan oleh anggota pengasas MIC," katanya Sabtu.

Subramaniam memberitahu Bernama di sini, injunksi itu diperoleh oleh NESA, iaitu pemegang kepentingan dalam Maika, bagi mengelak kerugian Oriental Capital Assurance Berhad (OCAB).

"OCAB adalah satu-satunya syarikat insurans yang dimiliki oleh kaum India di Malaysia, jika bukan kerana injunksi itu, OCAB mungkin telah pun dijual kepada entiti bukan India tanpa terlebih dahulu dibuat penilaian tentang nilainya yang sebenar," katanya.

Beliau berkata Samy Vellu dan Maika mesti memperjelaskan kepada 60,000 pemegang saham berhubung sebab pengarah Maika begitu bertegas untuk menjual OCAB tanpa mendapatkan penilaian sewajarnya tentang nilainya yang sebenar.

Samy Vellu dipetik oleh sebuah akhbar tempatan sebagai berkata Subramaniam telah menawarkan untuk menarik balik injunksi terhadap Maika Holdings asalkan Samy bersikap berkecuali dalam pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada September ini.

Subramaniam berkata Pengarah Maika ketika itu tidak akan menafikan bahawa NESA telah menulis surat kepada mereka sebelum mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 31 Ogos 2007 yang menyatakan bahawa sungguhpun NESA tidak membantah penjualan itu, tetapi NESA mahu supaya pemegang saham Maika dimaklumkan mengenai nilai sebenar OCAB sebelum mendapat keizinan pemegang saham dalam AGM yang sama.

"Maika mencuba sedaya upaya untuk meyakinkan mahkamah bahawa permohonan NESA untuk injunksi itu adalah mainan politik oleh saya demi kepentingan diri. Tidak memeranjatkan, dakwaan seperti itu tidak mendapat perhatian mahkamah dan menyebabkan mahkamah membenarkan injunksi yang memihak kepada NESA.

"Jika Samy benar-benar prihatin, beliau sepatutnya bermula dengan memberi penjelasan kepada pemegang saham Maika kenapa Maika tidak mengadakan AGM sejak dua tahun lepas. AGM merupakan mesyuarat yang sangat penting bagi pemegang saham.

"Pemegang saham Maika mengharapkan untuk diberitahu mengenai cara Maika dikendalikan. Ketika AGM Maika berlangsunglah pemegang saham dapat bertanya kepada pengarah soalan berhubung hal ehwal Maika," katanya.

Tiada ulasan: