18 Apr 2009

Presiden PAS Sedia Dicabar Pada Muktamar

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia menghadapi cabaran bagi pertandingan merebut jawatan nombor satu parti pada Muktamar Pas Jun ini berikutan desas-desus berlakunya pergolakan kuasa sehingga wujud dua pasukan di dalam parti itu.

Malahan beliau menyerahkan kepada ahli parti untuk memilih sama ada dirinya atau pemimpin yang lain sebagai presiden kelak.

"(Bagi) saya biasa saja, melihat sejauh mana kepercayaan ahli kepada saya. Saya tak akan buang pakaian (jawatan) kerana ia adalah amanah yang diberikan pengikut kepada saya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah maghrib perdana di Masjid Kota, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya sama ada bersedia menghadapi pertandingan jika dicabar dalam pemilihan parti pada Muktamar Pas yang dijangka diadakan di Shah Alam, Selangor Jun ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dalam kenyataannya sebelum ini berkata beliau menyerahkan kepada ahli untuk menentukan pemimpin yang akan dipilih dalam muktamar agung itu.

Nik Abdul Aziz juga menolak dakwaan wujud pergolakan kuasa peringkat kepimpinan sehingga terdapat dua pasukan dalam Pas iaitu Pasukan Tok Guru dan Pasukan Presiden.

Beliau berkata dakwaan yang mengatakan terdapat pasukan Tok Guru atau pasukan Presiden dalam Pas adalah tidak benar dan apa yang penting ialah mengukuhkan parti bagi menghadapi pemilihan Jun nanti dan mencari pemimpin yang benar-benar layak menerajui parti itu.

Abdul Hadi berkata beliau tetap bersama Pas sama ada dipilih atau tidak untuk menerajui kepimpinan parti.

"Terpulang kepada pengikut sama ada nak tukar ke pakaian atau baju (pemimpin) kita. Namun saya terus bersama Pas, yang penting ialah pemimpin Islam. Siapa jadi pemimpin saya tak kisah," katanya.



3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mudah-mudahan pembersihan akan berlaku dalam muktamar. Tak mahu dengar lagi desas-desus berpadu dengan UMNO.

Tanpa Nama berkata...

Tengok gambar Nizar d belakang hadi
harap dapat Nizar jadi cln timblan.
Ana suka pada Hadi tapi kadang2 tu susah mahu paham kenyataan politik nya tu.Kalau orang kampung yang jrg ikut politik lagi susah mahu paham.Setuju dengan pendapat Hadi scara kseluruhan kecuali muzakarah dan kerajaan perpaduan.Hrp Hadi blh
phm akarumbi.Nizar adlh cln pilihan
Ana untuk Timbalan Presiden.Dia lbh
tua dari Husam dan Nasa,matang dan
ada aura untuk pimpin negara kita..

Tanpa Nama berkata...

Saya setuju yang Datuk Presiden agak sukar difahami. Terasa seolah-olah beliau agak 'jauh' (aloof) dan tidak menyentuh perasaan. Mursyidul am lebih rapat di hati dan pada pendapat saya, pandangannya lebih realistik.