11 Apr 2009

PASCA BUKIT GANTANG: Ucapan Tidak Cerdik TPM Kabinet Najib

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyiddin Mohd Yassin semalam tatkala menghuraikan faktor kekalahan Barisan Nasional di Bukit Gantang dan Bukit Selambau menyatakan masih belum kelihatan satu perubahan yang ketara berhubung sikap pengundi terhadap BN.

"Kalau ikut formula di situ pengundi majoritinya Melayu dan kalau ikut formula biasa majoriti Melayu kita menang tapi sekarang majoriti Melayu tidak boleh pastikan kemenangan kita kerana Melayu sudah berpecah.

"Dan kita pada waktu kempen mengharapkan mudah-mudahan undi dari kaum bukan Melayu akan berubah dan bertambah tetapi bila undi Melayu telah berpecah, undi dari bukan Melayu tidak berubah malah makin berkurang dan akhirnya kita kalah.

Nampaknya begitu ketara Muhyiddin belum dapat mengesani perubahan sikap pengundi terhadap BN walaupun BN telah kalah sebanyak empat pilihanraya kecil berturut-turut yang diadakan di Semenanjung.

Sebelum daripada ini kemungkinan Muhyiddin terpedaya dengan media massa arus perdana yang menggambarkan kononnya rakyat telah memberikan keyakinan terhadap kerajaan BN yang pada hakikatnya yang berlaku adalah disebaliknya.

Seorang penganalisis politik berpendapat bahawa BN telah ditolak oleh rakyat semenjak pilihanraya umum ke 12 setahun lalu dan arah aliran itu semakin ketara di dalam setiap pilihanraya kecil yang diadakan dimana jarang sekali berlaku pembangkang boleh memenangi sesebuah pilihanraya kecil di negara ini.

"Malah jika diadakan pilihanraya umum di dalam tempoh yang terdekat ini saya yakin BN akan kehilangan kuasanya untuk memerintah, bukan sekadar kehilangan majoriti dua pertiganya di Dewan Rakyat," tambahnya.

Katanya BN tidak jujur kepada rakyat. Salah satu bukti nyata ketidak-jujuran BN ialah pembelakangan konsep Persekutuan dimana mereka menganak-tirikan kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasa oleh Pakatan Rakyat, malah mencari jalan untuk merampasnya sekalipun dengan cara yang paling tidak beretika seperti yang berlaku di Perak.

"Akhirnya rakyat menjadi semakin meluat dan melihat BN sebenarnya tidak menumpukan perhatian kepada mensejahterakan rakyat tetapi lebih kepada usaha bagaimana hendak mengekalkan kuasa sekalipun dengan taktik kotor dan hina," ujarnya.

Paling memalukan katanya, BN memperkosakan jentera-jentera kerajaan untuk mencapai hasratnya, malah tidak segan-silu memperalatkan institusi istana bagi menjayakan cita-citanya.

"Penggunaan polis, SPR, SPRM, badan kehakiman, media massa, SUK-SUK Negeri dan lain-lain untuk menekan rakyat tidak mungkin berjaya malah akan hanya menambahkan kebencian rakyat kepada BN," katanya lagi.

Muhyiddin walaubagaimana pun mengakui bahawa: "Harap ini tidak merupakan satu trend tetapi ia nampak seperti itu. Sebab itu kita berhadapan dengan satu senario yang agak serius dan justeru proses pembaharuan harus dilaksanakan secepat mungkin."

"Namun proses pembaharuan apa jika ia sekadar retorika sedang di dalam perlaksanaan ia tidak lebih dari sekadar "memperbaharui" agenda lama sepertimana perlantikan barisan kabinet yang dilakukan oleh Perdana Menteri baru-baru ini di mana yang dideretkan hanya beberapa muka lama dengan penyentilan dua-tiga muka baru yang ramai berpendapat ia hanya indah khabar dari rupa," katanya mengulas kabinet yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam baru-baru ini.

Ramai beranggapan perlantikan Najib sebagai Perdana Menteri sudah cukup dilihat sebagai satu kecacatan besar dimana beliau yang dilingkari dengan pelbagai masalah yang menyentuh kredibiliti serta tuduhan-tuduhan yang belum dibersihkan sepastinya akan berdepan dengan rakyat yang akan menghambatnya sehingga beliau akur dan tunduk ke atas kehendak rakyat.

Sebarang kesilapan kabinet baru Najib akan mengundang padah. Undi tidak percaya akan sentiasa menunggu di pintu Dewan Rakyat yang akan menyaksikan berakhirnya permerintahan UMNO-BN untuk selama-lamanya.



1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Greenboc,

Sebagai rakyat, kita perlu memberi ruang dan peluang pada Datok Seri Mohd. Najib bergerak dan mentadbir Malaysia dengan kabinet barunya.

Kita boleh anggap kabinet Datok Seri Mohd. Najib tak ubah seperti pelancaran kereta proton Malaysia. Promosinya cukup hebat, kereta yang dipamer diatas pentas memang nampak cantik dan berkilat. Kualitinya belum tahu lagi...!

Kita akan tahu bila kereta itu dipandu dijalanraya....kalau kualitinya bagus ia akan disayangi dan disimpan lebih lama lagi, tapi kalau kualitinya sememangnya kualiti "proton" kabinet itu akan jadi besi buruk.