9 Mei 2015

Selepas PR Menang Di Pmtg Pauh, Mat Sabu Umum Pertahan Jawatan..


Mat Sabu akan pertahan jawatan timbalan presiden PAS

Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu sedia mempertahankan jawatannya walaupun ketinggalan jauh dalam pencalonan untuk jawatan itu di belakang pencabarnya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

"Saya bersedia untuk kekal berkhidmat sebagai timbalan presiden PAS jika terus diberi kepercayaan oleh perwakilan dalam Muktamar Agung PAS ke-61 akan datang," kata Mohamad yang lebih dikenali Mat Sabu dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad hanya mendapat 12 pencalonan daripada kawasan PAS di seluruh negara berbanding Tuan Ibrahim yang mendapat 94 pencalonan.

Turut mendapat pencalonan untuk jawatan itu adalah Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah dan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa.

Mohamad menolak beliau bertembung dengan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagaimana yang disasarkan kepada beliau oleh saingannya bahkan akan membantunya.

"Insyaa Allah, saya akan terus membantu presiden dan parti terutama dalam usaha melebarkan pengaruh PAS di kalangan orang awam, bukan Islam, badan bukan kerajaan (NGO) serta pelajar," katanya.

Mohamad turut menekankan keperluan PAS untuk mendapat sokongan daripada orang bukan Islam di negara ini.

"Kita perlu akur, selama lebih 60 tahun PAS berada di persada politik Malaysia, sokongan orang Islam kepada PAS masih di bawah paras 50%, oleh sebab itu usaha yang berterusan perlu dilipat gandakan, disamping itu PAS amat perlu melebarkan pengaruhnya kepada masyarakat bukan Islam dan rakyat awam," katanya.

Namun, katanya, perlu difahami, untuk mempertahankan dasar PAS dan matlamatnya serta dalam masa yang sama berusaha melebarkan pengaruh kepada semua kaum dan agama, adalah kerja yang mencabar.

"Tapi kita perlu yakin dengan kesabaran dan ketekunan kita, Insya Allah, kita akan meraih hasilannya," katanya


KENYATAAN RASMI
OLEH HJ MOHAMAD BIN SABU

BismillahirRahmanirRahim.

Saya bersedia untuk kekal berkhidmat sebagai Timbalan Presiden PAS jika terus diberi kepercayaan oleh perwakilan dalam Muktamar Agung PAS ke 61 akan datang.

Insyaa Allah, saya akan terus membantu Presiden dan Parti terutama dalam usaha melebarkan pengaruh PAS di kalangan orang awam, non-muslim, NGO's serta para pelajar.

Kita perlu akur, selama lebih 60 tahun PAS berada di persada politik Malaysia (Malaya), sokongan orang Islam kepada PAS masih di bawah paras 50 peratus, oleh sebab itu usaha yang berterusan perlu dilipat gandakan, disamping itu PAS amat perlu melebarkan pengaruhnya kepada non-muslim dan rakyat awam.

Namun kita perlu faham, untuk mempertahankan dasar PAS dan matlamatnya serta dalam masa yang sama berusaha melebarkan pengaruh PAS kepada semua kaum dan agama, adalah kerja yang mencabar, tapi kita perlu yakin dengan kesabaran dan ketekunan kita, Insyaa Allah, kita akan meraih hasilannya.

Haji Mohamad Bin Sabu




Adik Noh Omar Diburu Polis Sabit Kes Tembak


Kes Tembak: Adik Noh Omar Larikan Diri Selepas Diburu Polis

KOTA KINABALU: Adik lelaki kepada Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar yang diletakkan dalam senarai paling dikehendaki berhubung kes tembak seorang lelaki telah melarikan diri dari kediaman keluarganya.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M.Chandra berkata rumah suspek ditinggalkan kosong.

"Tidak ada seorang pun di rumah. Dia telah melarikan diri bersama keluarganya selepas kejadian itu," katanya ketika dihubungi, Jumaat.

Lelaki berusia 43 tahun itu, yang dikenali sebagai Mat Malaya, telah digambarkan sebagai bersenjata dan berbahaya selepas menembak seorang pembantu mekanik pembantu selepas pergaduhan pada Rabu.

Lelaki terbabit, dari Selangor, yang sebelum ini didakwa atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2007, diburu selepas kejadian pada 2.30 petang.

Polis sedang memantau pintu keluar utama di negeri ini.

"Sila maklumkan balai polis yang terdekat jika anda tahu tentang suspek," kata Chandra. -mstar


KES TEMBAK DI INANAM SABAH ... POLIS SEDANG BURU ADIK NOH OMAR.

Polis Sabah secara terbuka memohon bantuan orang ramai untuk jejak sehingga tertangkap adik kepada bekas Menteri Pertanian dan Indusrti Asas Tani dan Pengerusi Perhunungan UMNO Negeri Selangor, Dato' Seri Noh Omar, Mohd. Jusnaidi Omar, atau lebih dikenali sebagai Mat Malaya, 43 tahun, kerana terlibat dalam kes tembak percubaan bunuh di Inanam Sabah Rabu kelmarin.

Suspek pernah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi atas tuduhan mengedar 1,088 gram ganja dan 35 gram syabu di bawah Seksyen 39B(1)(c) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 12(2) Akta yang sama di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Tanjung Aru, pada pukul 10 pagi, 20 Mei 2007 tetapi telah dilepas dan dibebaskan setelah dipanggil membela diri.

Polis sedang memburu seorang lelaki berumur 43 tahun yang menghilangkan diri selepas menembak dan mencederakan betis seorang pembantu mekanik lelaki berumur 36 tahun, di sebuah bengkel membaiki penghawa dingin kenderaan di Jalan Tuaran, petang semalam.

Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Jalaluddin Abdul Rahman berkata suspek yang beralamat di Shah Alam, Selangor, disyaki melepaskan tiga das tembakan menggunakan sepucuk pistol ketika bergelut dengan mangsa di bengkel tersebut dalam kejadian 2.30 petang itu.

"Semasa pergelutan itu, suspek mengeluarkan sepucuk pistol dari beg kecil dan mengacukan pistol tersebut kepada pengadu. Pengadu cuba menghalang, namun suspek sempat melepaskan tiga das tembakan dan satu daripadanya menembusi betis kanan pengadu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata sebutir peluru turut dijumpai di luar bengkel berkenaan dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu.

Jalaluddin berkata pemeriksaan ke atas sebuah kereta ditinggalkan suspek di luar bengkel berkenaan membawa kepada penemuan topeng hitam, satu plastik mengandungi kristal lut sinar disyaki syabu dan alat penimbang elektronik dipercayai digunakan untuk menimbang syabu di dalam kenderaan tersebut.

Beliau berkata kesemua barangan berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Usaha mengesan suspek masih dijalankan. Bantuan daripada polis daerah dan jabatan luar akan diperoleh bagi melancarkan siasatan," katanya.


Najib Sudah Rancang Untuk Rembat Wang TH Untuk Selamatkan 1MDB?


3 'pegawai TH' dikenal pasti ada kaitan dengan 1MDB

Tiga pegawai kanan Tabung Haji dikesan terlibat langsung dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang terpalit kontroversi berkaitan beban hutang.

Ia sekali gus membangkitkan persoalan berhubung konflik kepentingan dalam urus niaga antara dua badan itu.

Semalam, Tabung Haji mengakui mendapatkan sebidang tanah di tapak Tun Razak Exchange (TRX) daripada 1MDB dengan jumlah RM188 juta.

Perkara itu menimbulkan kontroversi kerana 1MDB mendapatkan tanah untuk projek itu daripada kerajaan persekutuan dengan harga jauh lebih murah berbanding nilai pasaran.

Susulan itu, pemimpin Umno Datuk Saifuddin Abdullah dan Pemuda Umno sendiri membangkitkan persoalan berkaitan konflik kepentingan dalam isu itu.

Tan Sri Ismee Ismail

Pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji ini turut berada dalam lembaga 1MDB.

Datuk Johan Abdullah

Timbalan pengarah urusan kumpulan dan ketua pegawai eksekutif Tabung Haji turut mempengerusikan anak syarikat 1MDB Edra Global Energy Sdn Bhd.

Edra memiliki aset tenaga Powertek (sebelum ini Tanjong Energy), Genting Sanyen dan Jimah.

Datuk Abdul Samad Alias

Abdul Samad terlibat dalam panel pelaburan Tabung Haji. Beliau turut berada dalam lembaga 1MDB yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Isu TH: Makcik, pakcik di kampung mengeluh


SHAH ALAM – Rentetan kontroversi pembelian hartanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan semalam didakwa memberi kesan kepada golongan pencarum TH terutamanya yang tinggal di luar bandar.

Menurut Abdul Razak Ismail, 61, yang berasal dari Gerik, Perak, beliau terkejut dengan berita tersebut, kerana risau akan duitnya di dalam Tabung Haji.

“Pak cik terkejut dan kecewa dengan berita tersebut…apa yang dikesali adalah bila didedah di media barulah TH hendak mengakuinya.

“Kenapa TH tidak maklumkan awal-awal mengenai ke mana duit pelaburan pencarum, sebab bila ada berita-berita negatif macam ini kami orang-orang kampung risau, bukan senang nak kumpul duit pergi menunaikan haji.

“Itu adalah amanah daripada orang-orang yang hendak melabur untuk pergi ke tanah suci Makkah,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Mengulas lanjut Abdul Razak berkata lagi satu perkara yang merunsingkannya adanya penglibatan orang politik di dalam Tabung Haji.

sangatlah, kalau boleh berilah orang lain seperti orang ekonomi ke yang tiada kepentingan dalam parti politik,” katanya.

“Tidak sesuai orang politik campur tangan dalam agensi kerajaan, ia akan wujud konflik dalaman, pak cik memang tak setuju Manakala menurut Mazidah Abd Ghani, 28, yang berasal dari negeri utara tanah air turut senada dengan Abdul Razak.

Katanya rata-rata orang kampung yang ditemuinya ketika berbual mengenai perkara itu meluahkan perasaan kecewa.

“Saya meniaga di kampung, bila ada yang datang kedai bila cakap pasal perkara ini rata-rata luahkan perasaan kecewa dan risau. Mereka kata sepatutnya tabung haji tidak patut terpalit dengan kontroversi ini.

“Mereka risaulah sebab pembelian itu katanya dilakukan bulan April lalu, kalau TH benar-benar ingin menjaga kepentingan pencarumnya dedahkanlah awal-awal mengenai perkara tersebut, biar TH dilihat telus dan amanah,” katanya.

Sementara itu menurut Miah Abd Majid, 58, yang juga berasal dari Perak berkata, dia sendiri tidak kisah sekiranya TH ingin membuat pelaburan namun biarlah pelaburan itu yang benar-benar ‘menjaga amanah pencarum’.

“Saya tidak kisah kalau TH ingin membuat pelaburan, pada saya satu pelaburan yang baiklah tetapi sekiranya pihak TH sendiri kurang pasti saya rasa sesuatu yang merugikan dan tidak baiklah.

“Sebab duit itu amanah pencarum, kami orang kampung memang kadang-kadang tak berapa faham, tetapi kami baca juga surat khabar , jadi kami harap TH jagalah amanah orang-orang kampung,” katanya yang pernah menunaikan haji sekali sebelum ini.

Manakala menurut Rohani Mad Saad pesara ,58, yang berasal dari Negeri Sembilan turut meluahkan perasaan kecewa berkenaan isu tersebut.

“Sepatunya duit itu tidak boleh disalahgunakan oleh pihak yang tertentu atas kepentingan peribadi.

“Kami takut juga, sebab bukan senang nak simpan duit untuk pergi haji,” katanya yang pernah menunaikan umrah sebelum ini.

Sementara menurut Nor Riza Mohd Yusof, 49, yang merupakan seorang penduduk kampung yang berasal dari Kelantan dia benar-benar tidak berpuas hati dengan penglibatan TH dengan pembelian tanah 1MDB.

“Dengar pasal 1MDB pun sudah menakutkan saya, harap-harap TH buat pelaburan yang betullah, jangan dok pusing pula, risau saya dibuatnya,” katanya.

Isu membabitkan Lembaga Tabung Haji menjadi kontroversi apabila dikatakan terlibat dengan pembelian meragukan dalam 1MDB , namun dinafikan oleh pihak TH dalam satu sidang media semalam.
-SH



ULASAN GB

Hukum kebenaran berjalan dan terdedah kini bahawa rupa-rupanya 3 orang "lembaga pengarah" TH adalah juga lembaga pengarah 1MDB yang Najib menjadi Pengerusinya.

Ini bererti Najib sudah merancang awal "pelan penyelamatan" untuk 1MDB dengan menggunakan wang simpanan TH apabila menghantar dan melantik mereka itu semua ke TH.

Dan perlantikan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi TH walaupun dipersoalkan banyak pihak tentang kkredibiliti Azeez untuk dilantik ke jawatan nombor satu TH itu. Najib sengaja memekakkan telinganya terhadap kritikan-kritikan tersebut kerana baginya Aeez penting untuk diletakkan di TH supaya akur segala keputusan yang bakal dibuat oleh Lembaga Pengarah TH.

"Kebodohan" Azeez terserlah semalam apabila beliau mengeluarkan kenyataan "flip-flop" mengenai urusan pembelian tanah 1MDB dan kemudian terpaksa meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas alasan "silap komunikasi".

Tidak mungkin ia faktor kebetulan "orang-orang kuat" 1MDB ini berada di dalam lembaga pengarah TH atau di sebaliknya.

Satu demi satu skandal besar Najib telah terbongkar, apakah rakyat Malaysia masih mahu beliau menjadi Perdana Menteri?


8 Mei 2015

Tengok Gambar Ini, Kumpulan Mana Ganas Baling Meja Semalam?

sumber gambar: Malay Mail Online

PRK Permatang Pauh paling ganas buat SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh sebagai yang paling ganas dengan banyak insiden provokasi antara penyokong parti-parti politik yang bertanding.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata tindakan penyokong yang terlalu beremosi antara penyebab berlakunya perkara tidak diingini.

"Sehingga hari ini, PRK ini yang paling buruk pernah saya alami dengan keganasan penyokongnya dan banyak insiden yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di sini, hari ini.

Beliau berkata para penyokong pada PRK Permatang Pauh sangat agresif berbanding PRK Rompin, hingga menyebabkan ada yang cedera dan harta benda rosak.

Mengenai mereka yang melanggar peraturan berkempen, Abdul Aziz berkata SPR akan menyerahkan perkara itu kepada polis untuk siasatan dan tindakan.

Abdul Aziz berkata semua aduan yang diteriam SPR juga akan diserahkan kepada polis untuk disiasat.

"Polis akan lakukan siasatan dan sekiranya mereka mempunyai bukti kukuh, kes itu akan diserahkan kepada AG (Pejabat Peguam Negara) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Semasa proses pengundian tengah hari tadi, seorang pemberita dan seorang anggota polis cedera akibat 'perang' objek yang dibaling oleh penyokong kedua-dua pihak, selain kereta SPR turut dirosakkan.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas). - Bernama


Penyokong BN mengganas baling kerusi dan botol takutkan pengundi warga emas, OKU

PERMATANG PAUH: Suasana di pusat mengundi Sekolah Menengah Guar Perahu sekali lagi bertukar kecoh apabila penyokong BN bertindak agresif dengan membaling botol air dan kerusi plastik, semalam.

Kekecohan tersebut telah menakutkan para pengundi yang hadir untuk membuang undi terutamanya warga emas serta golongan kurang upaya.

Walaubagaimanapun, keadaan huru-hara selama lebih lima minit itu berjaya diakhiri dengan tindakan segera anggota keselamatan.

Akibat dari kekecohan dan provokasi kotor tersebut, keadaan lalu lintas yang sedia sesak menjadi bertambah sesak dari Guar Perahu ke Penanti.




DS Wan Azizah Kembali Ke Parlimen...


PKR kekalkan kubu kuat, undi Melayu meningkat

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memastikan kubu kuatnya kekal ampuh selepas menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, di sini, hari ini.

Kemenangan itu diperoleh selepas PKR yang mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 30,316 undi berbanding Suhaimi Shabudin daripada BN yang mengutip 21,475 undi.

Dr Wan Azizah yang menang dengan majoriti 8,841 undi turut menewaskan dua calon lain daripada PRM (101) dan bebas (367).

Kemenangan kali ini lebih manis apabila PKR berjaya meningkatkan sokongan di kawasan majoriti Melayu sekitar empat hingga lima peratus khususnya dalam kalangan pengundi muda walaupun peratusan keluar mengundi hanya 74 peratus.

Sehubungan itu, Dr Wan Azizah berkata, kemenangan itu juga menunjukkan rakyat bersimpati kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus membuktikan Ketua Umum PKR itu masih relevan di hati rakyat.

“Kemenangan kali ini adalah bukti bahawa rakyat khususnya di Permatang Pauh mahu sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.

“Ia bukan hanya kemenangan PKR sahaja tetapi rakyat yang menentang kezaliman BN terhadap Anwar Ibrahim.

“Ini adalah satu referendum rakyat menolak Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan rasuah, dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media sebaik diumum sebagai pemenang di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), di sini.

Dr Wan Azizah juga mengaitkan kemenangannya dengan kelemahan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipenuhi skandal.

“Ini juga manifestasi rakyat terhadap kegagalan Perdana Menteri yang dipenuhi ketirisan, kelemahan pemimpin dan skandal terutamanya 1MDB sehingga terpaksa menggunakan dana Tabung Haji,” katanya. -selangorku


Perutusan khas Dr Wan Azizah Wan Ismail


Alhamdulillah, pertamanya saya memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT, di atas kurnia-Nya, memberi kemenangan kepada calon KEADILAN bagi Pilihan Raya Kecil P.44 Permatang Pauh yang berlangsung hari ini, 7 Mei 2015.

Kemenangan hari ini adalah bukti bahawa rakyat, khususnya pengundi-pengundi di Permatang Pauh, mahukan sebuah Pakatan Rakyat yang kuat.

Kemenangan ini, bukan hanya kemenangan KEADILAN sahaja. Tetapi ianya adalah kemenangan rakyat, yang menentang kezaliman Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar Ibrahim dan ianya merupakan suatu referendum rakyat menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penentangan terhadap rasuah dan salahguna kuasa.

Dalam Pilihan Raya Kecil ini, kita menyaksikan peningkatan undi kepada KEADILAN sekitar 4 hingga 5 peratus daripada kalangan masyarakat Melayu, khususnya anak-anak muda.

Ternyata pemenjaraan bermotifkan politik oleh Barisan Nasional terhadap Saudara Anwar, menzahirkan simpati yang tinggi dan ianya adalah bukti bahawa beliau masih relevan kepada rakyat.

Menerusi Pilihan Raya Kecil ini menterjemahkan manifestasi kepada kekecewaan rakyat terhadap kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, dipenuhi dengan pelbagai ketirisan, kemewahan pemimpin dan pelbagai skandal, terutamanya skandal 1MDB, yang terkini terpaksa menggunakan dana dari Tabung Haji.

Pilihan Raya Kecil ini adalah pencetus dan pemberi inspirasi kepada sebuah gerakan rakyat yang lebih besar untuk menuntut suatu perubahan yang total, bagi mengembalikan negara ke landasan yang betul.

Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada seluruh kepimpinan serta pendukung Pakatan Rakyat, daripada KEADILAN, PAS dan DAP yang sejak awal-awal lagi bertungkus lumus membantu kita memenangi pilihan raya ini.

Walaupun saya, Saudara Anwar dan KEADILAN difitnah menerusi media arus perdana setiap hari, walaupun mereka berusaha sedaya upaya memburukkan prestasi saya di Kajang, walaupun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memecah belahkan kesatuan kita dengan pelbagai isu, namun ternyata segala tohmahan mereka tidak berkesan.

Terima kasih kepada pegawai SPR dan polis yang bertugas untuk memastikan Pilihan Raya Kecil ini berjalan lancar.

Bagi pihak KEADILAN, insya Allah segala isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh rakyat sepanjang Pilihan Raya Kecil ini, akan kami tangani seberapa segera. Untuk itu juga kita berterima kasih kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang sudah membuat pengumuman untuk membantu kita di Permatang Pauh ini.

Terima kasih rakyat Permatang Pauh yang sudi menerima Kak Wan untuk kembali berbakti. Reformasi! Hidup Rakyat!

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

DATUK SERI DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL
Presiden KEADILAN
Calon KEADILAN Permatang Pauh.




[RASMI] PKR Menang Dengan Majoriti 8,841 Undi


PKR di depan, majoriti hampir 9,000

DS Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di pusat penjumlahan undi di IKBN Bukit Mertajam dan disambut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

10.15 pm: KEPUTUSAN RASMI

BN 21,475
Bebas 367
PKR 30316
PRM 101
Majoriti 8,841

9.00 pm: Sah PKR menang. Cuma sedang menunggu pengumuman rasmi oleh SPR.

8.28pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:

BN 20019
Bebas 350
PKR 29561
PRM 96
Majoriti 9542

8.13pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:

BN 18633
Bebas 342
PKR 27971
PRM 98
Majoriti 9338

8.04pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:


BN 17939
Bebas 328
PKR 26631
PRM 96
Majoriti 8692

7.54pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:
BN 16497
Bebas 269
PKR 23745
PRM 95
Majoriti 7248

7.37pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:

Bn 14034
Bebas 244
PKR 20727
PRM 89
Majoriti 6693

7.24pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:

BN 10588
Bebas 173
PKR 16009
PRM 62
Majoriti 5421

7.18pm: Keputusan tak rasmi setakat ini:

BN 9793
Bebas 163
PKR 14958
PRM 60
Majoriti 5165

7.15 pm: Keputusan tidak rasmi setakat ini:

PKR 14,540
BN 9,550
Bebas 163
PRM 60
Majoriti 5,027

7.07pm: Keputusan tidak rasmi setakat ini:

PKR: 12,008
BN: 7,863
Bebas: 146
PRM: 50
Majoriti: 4,145

5.33pm: Peratusan keluar mengundi selepas peti undi ditutup sebanyak 73 peratus, turun 15.3 peratus berbanding pilihan raya umum lalu.

Angka itu bukan petanda baik untuk PKR yang sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap peratusan keluar mengundi lebih rendah yang dipercayai boleh menjejaskan sokongan mereka.

7 Mei 2015

[VIDEO & GAMBAR] Pmtg Pauh: 73% Mengundi, Insiden Bertumbuk Berlaku.. -UPDATED


Nasib empat calon akan dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh terjawab hari ini.

Mereka ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Suhaimi Sabudin (BN), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia atau PRM) dan Salleh Isahak (bebas).

Kerusi itu kosong susulan kegagalan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan pengampunan diraja atas kesalahan meliwat.

Azizah dianggap calon pilihan di kerusi tradisi Anwar itu.

Bagaimanapun, jika lebih 6,000 pengundi luar tidak pulang mengundi, susulan hari bekerja di negeri latihan, majoriti PKR mungkin terjejas.

Dalam pilihan raya umum lalu Anwar menewaskan calonBN Mazlan Ismail dan Abdullah Zawawi Samsudin dengan majoriti 11,721 undi.

Permatang Pauh mempunyai 71,699 pemilih dengan 70 peratus Melayu, 23 peratus Cina dan 6 peratus India.

LINTAS LANSUNG

6.00pm: Peratusan keluar mengundi selepas peti undi ditutup ialah sebanyak 73 peratus, berbanding 88.3% pada pilihan raya umum lalu. Pengiraan undi bermula dan keputusan dijangka diumumkan sebelum jam 10 malam.

5:40 petang: TMI melaporkan Petugas bilik gerakan PKR di Jalan Berapit, Penanti di Permatang Pauh menangkap seorang individu yang mengaku sebagai tentera darat dan hanya mahu dikenali sebagai ‘Sarjan Wong, menyamar sebagai petugas parti di pondok sementara mereka.


Ahli Parlimen Subang Sivarasa Rasiah berkata, 'Sarjan Wong' ditangkap selepas dikesan bertindak mencurigakan menghantar butiran daripada daftar pengundi PKR melalui telefonnya setiap jam.

"Dia menyamar sebagai petugas untuk korek maklumat dari kita.

"Setiap jam dia cuba mengesahkan data daripada kita," kata Sivarasa.

D Suhana, 37 tahun, petugas PKR yang berjaya mengesan kelakuan mencurigakan 'Sarjan Wong' berkata 'Sarjan Wong' bertugas sebagai sukarelawan di pondok PKR berhampiran SJK (C) Jit Sin A&B itu seawal 8 pagi lagi dengan memakai baju-T bertulisan 'Demi Rakyat Bantah GST Tegakkan Keadilan'.

"Apabila kita minta telefon dia, di dalamnya ada kumpulan WhatsApp berkaitan Barisan Nasional.

"Tapi di dalamnya tiada pula kumpulan WhatsApp PKR," kata Suhana yang menyedari kelakuan mencurigakan 'Sarjan Wong' sekitar 12 tengah hari.

'Sarjan Wong' yang kelihatan tenang sewaktu disoal siasat oleh Sivarasa kemudian mendapatkan bantuan pegawai atasannya, yang hanya mahu dikenali sebagai 'Mejar Jazimin'.

5.00 petang: Semua 245 pusat mengundi dengan 130 saluran ditutup secara rasmi.

4:40 pm: Sehingga jam 4 petang 49934 (69%) keluar undi

3:30 pm: 45333 (63.06%) telah keluar mengundi.

2:40 pm: Pengarah pilihan raya DAP Steven Sim mendakwa seorang warga emas Tan Soo Eng, 70, menjadi mangsa pengundi hantu.

Anggta Parlimen Bukit Mertajam itu mendakwa Tan mendapati undinya dibuat oleh pihak lain di saluran A dan B di pusat pengundian SRJKC Jit Sin.


“Dia pergi ke pusat (pengundian) pada jam 11 pagi ini dan dapati seseorang telah mengundi menggunakan nama dan kad pengenalannya,” dakwa Sim.

“Pegawai SPR yang bertugas mahu menandakan jarinya dengan dakwat kekal tetapi dihentikan oleh agen pengundian kerana Tan tidak mengundi sebaliknya dibuat oleh orang lain.”

2.30 petang: Jumlah pengundi keluar mengundi sehingga pukul 2 petang ialah sebanyak 40,173 iaitu 55.88 peratus.

1.40pm: Jumlah keluar mengundi setakat 1 petang sebanyak 35,752 atau 49.73 peratus.

1.09pm: Jumlah keluar mengundi setakat 12 tengah hari sebanyak 30,865 atau 43 peratus.

12.40pm: Kira-kira lapan buah trak polis berada di Sekolah Kebangsaan Tanah Liat berikutan pergaduhan berlaku antara penyokong BN, PKR dan pihak polis.

Terdapat penyokong yang cedera semasa pergaduhan itu telah dihantar ke hospital.

Pada ketika ini puluhan anggota polis antirusuhan kini berkawal di hadapan sekolah tersebut.

Seramai kira-kira 200 penyokong BN dan PKR berada bertentangan jalan di sekitar Tanah Liat.

Turut kelihatan exco Pemuda Umno Arman Azha Abu Hanifah dan dan Ibdilillah Ishak dalam kalangan penyokong BN.

Pada ketika ini juga berlaku perang mulut antara penyokong BN dan PKR. Penyokong PKR "boo" dan melaungkan "BN bodoh".

11.50am Pengarah Pilihan Raya DAP Steven Sim mendakwa terdapat kes pengundi hantu di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jit Sin.

“Kami akan buat laporan pada jam 12 tengah hari,” kata anggota Parlimen Bukit Mertajam itu.

11.44pm Jumlah pengundi yang keluar mengundi setakat 11.00 pagi sebanyak 33.44 peratus atau 24,042 orang.

10.45am: Peratusan keluar mengundi 22.91 setakat jam 10 pagi, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).


Penyokong BN, Pakatan bertumbuk di SMK Guar Perahu

Satu insiden tumbuk menumbuk tercetus di antara sekumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) dan PKR berhampiran SMK Guar Perahu di Permatang Pauh sekitar 11.15 pagi ini.

Insiden tersebut berlaku di tengah-tengah jalan raya apabila beberapa penyokong dari kedua-dua parti bergelut dan bertukar-tukar tumbukan di atas jalan raya yang memisahkan kawasan mereka berkumpul.

Pergaduhan meletus selepas kedua-dua kumpulan mula saling mengejek terhadap satu sama lain sejak 9.30 pagi.

Kumpulan tersebut disuraikan apabila Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menyusup masuk ke tengah pergelutan dan meleraikan kumpulan yang berasak.

Insiden bermula apabila penyokong kedua-dua kumpulan tidak berpuas hati terhadap satu sama lain.

Penyokong BN yang berada di situ hadir memakai kemeja T bertulisan 'Mie Anak Muda Anak Tempatan Ada di Kawasan".

Sebilangan penyokong PKR bersorak-sorak ke arah kumpulan tersebut dan menayangkan beberapa keping wang kertas ke udara ke arah penyokong BN.
-TMI



Guar Perahu kecoh, penyokong UMNO-BN langgar peraturan


PERMATANG PAUH, 7 MEI: Berlaku sedikit kekecohan tadi di Guar Perahu apabila penyokong UMNO-BN melanggar peraturan dengan berdiri terlalu hampir, kurang 50 meter daripada pusat pengundian.

Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai, namun malangnya petugas SPR seolah-olah tidak mengendahkannya, hingga menyebabkan pertikaman lidah dan nyaris insiden kekasaran berlaku.

Salah seorang daripada penyokong BN tersebut turut menjerit dengan kata-kata sebegini:- “Apa kuasa kamu ada nak suruh kami beredar?, kata penyokong UMNO-BN.

Seorang penyokong PKR yang tidak tahan dengan perilaku bongkak penyokong BN itu lantas meluru kearah mereka. Pegawai polis terpaksa campur tangan dan memisahkan kedua-dua penyokon PKR dan BN yang seramai lebih 100 orang itu.

Selepas lima minit perbincangan dengan polis, penyokong BN akhirnya bersetuju untuk besurai. SMK Guar Perahu adalah salah satu daripada 25 pusat mengundi di Parlimen Permatang Pauh.

Seramai 71,252 pengundi Permatang Pauh hari ini akan mengundi untuk menentukan siapa yang akan membawa suara mereka di Parlimen.







Ini Wajah Nur Salina, Yang Dibunuh Oleh Teman Lelakinya, Seorang Ustaz..


Ustaz sanggup bunuh janda

HULU SELANGOR – Usaha seorang bapa untuk mencari anak perempuannya yang tidak pulang ke rumah sejak malam kelmarin berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila dia menjumpai wanita itu mati dibunuh di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu dekat sini semalam.

Mangsa yang merupakan seorang janda anak empat, Nur Salina Nazir, 34, ditemui bapanya, Nazir Ramli, 67, kira-kira pukul 9 pagi semalam dalam kea­daan terlentang tidak bernyawa di dalam kereta Proton Wira miliknya dengan kesan tujuh tikaman pada anggota badan.

Menurut abang mangsa, Nor Salizam Nazir, 40, adik bongsunya itu yang membuka perniagaan online dikatakan keluar dengan kekasihnya berusia 26 tahun pada malam kelmarin untuk menghantar barang tempahan kepada pelanggan tetapi dia tidak balik ke rumah selepas itu.

Katanya, selepas gagal menghubungi Salina menerusi telefon bimbit, bapanya bertindak mencari mangsa dengan berjumpa kekasihnya itu yang bekerja sebagai guru agama di sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu.

“Ayah akhirnya jumpa Salina dalam keadaan tidak bernyawa di dalam keretanya sebelum dia pergi membuat laporan polis,”
katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Sungai Buloh semalam.

Menurut anak saudara mangsa, Ainaa Syafiqah Shamsudin, 24, Salina dijangka melangsungkan perkahwinan dengan lelaki bergelar ustaz itu pada 6 Jun depan selepas dua tahun bercerai dengan bekas suaminya.

“Keluarga kami baru sekali bertemu suspek iaitu pada bulan lalu untuk membincangkan hal perkahwinan mereka berdua.

“Persiapan untuk perkahwinan itu sudah hampir siap apabila baju pengantin dan pelamin sudah ditempah. -kosmo

Tikam lepas ajak kahwin


Hulu Selangor: Seorang wanita ditemui dalam keadaan telentang di tempat duduk pemandu dengan tujuh kesan tikaman di dada, rusuk dan lengan kanan dipercayai dibunuh teman lelakinya di depan sebuah sekolah agama di Kuala Kubu Bharu (KKB), di sini, pagi tadi.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui orang awam kira-kira 9 pagi yang melihat keadaan kereta itu mencurigakan dengan enjin masih hidup dan pintu bahagian pemandu terbuka sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Sumber polis berkata, sepasukan polis yang membuat pemeriksaan mendapati terdapat empat kesan tikaman pada dada mangsa, dua di rusuk kiri dan kanan serta satu lagi pada lengan tangan kiri mangsa.

Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki yang juga guru agama di Sekolah Rendah Agama KKB berusia 26 tahun dipercayai teman lelaki mangsa untuk membantu siasatan.

Berdasarkan soal siasat yang dijalankan terhadap suspek, lelaki itu mengaku membunuh mangsa yang juga janda anak empat itu selepas si mati sentiasa mendesaknya untuk berkahwin.
-HM


ULASAN GB

Hukum kebenaran sentiasa berjalan dan tidak ada yang sia-siap pada tiap-tiap satu kejadian Allah itu. Ada pengajaran ada iktibar yang boleh diambil oleh orang-orang yang berfikir, mafhum Al-Quran. Pengajaran dari kisah di atas:

Bahawa tak kira apa pun latarbelakang seseorang itu, hatta dia seorang guru agama sekalipun, asalkan dia bernama manusia, dia tetap tidak terlepas dari boleh dipengaruhi dan diperdaya oleh syaitan dan iblis.... sehingga boleh ke tahap membunuh... tahap kejahatan tertinggi yang boleh dilakukan oleh manusia apabila dipengaruhi iblis.

Hendaklah kita sentiasa memohon ampun dan sentiasa memhon perlindungan Allah dari godaan dan perdayaan syaitan yang direjam itu.

Al-fatihah untuk Nur Salina....

[VIDEO] PAS Pusat Wajar Bertindak Ke Atas Pendemo Ini


Penduduk halau demo penyokong PAS

Memasuki hari terakhir berkempen, berlaku kekecohan antara kumpulan yang mengaku diri mereka sebagai "proulama" dengan penduduk Kampung Kubang Semang, Permatang Pauh.

Kira-kira jam 5 petang, kumpulan yang diketuai Ketua Penerangan PAS Bagan Azmi Jaafar bersama kira-kira 10 lagi pengikutnya berkumpul di simpang tiga berhampiran stesen Petron Kampung Kubang Semang.

Kumpulan itu membawa sepanduk yang bertulis "Hudud hukum Allah" dan "Pemuda bersama kepimpinan ulama".

Bagaimanapun, tidak sampai seminit, dua lelaki yang berada di kedai makan di seberang jalan simpang tiga itu menghampiri kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Kemudian seorang lelaki menjerit ke arah kumpulan itu dengan berkata: "Jangan buat kacau di kampung kami. Hangpa (kamu) semua bukan pengundi di kawasan ini.”

Selepas itu, berlaku tolak-menolak apabila lelaki tersebut cuba untuk merampas sepanduk kumpulan terbabit.

Keadaan bertambah kecoh apabila sekumpulan penduduk kampung yang berada di kedai makan di seberang jalan turut mengerumuni kumpulan tersebut dan menghalau mereka.

Salah seorang lelaki tersebut kemudian mengambil pembesar suara daripada Azmi sebelum menghempaskannya ke jalan raya.

Azmi kemudian meminta kumpulannya berundur dan pergi ke tempat lain selepas melihat penduduk kampung semakin berang dengan kehadiran mereka.

Dakwaan sabotaj

Selepas kira-kira 10 minit, Azmi bersama kumpulannya kemudian beredar daripada kawasan tersebut.

Selepas itu, ketika ditemui pemberita, bekas setiausaha agung PAS Permatang Pauh, Abdul Razak Abdullah yang turut berada di tempat kejadian memberitahu, mereka menghalau kumpulan terbabit bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

Abdul Razak mendakwa, kumpulan tersebut bukan pengundi di Permatang Pauh dan sengaja datang ke kampung Kubang Semang untuk membuat "kacau" di kawasan kubu kuat Pakatan itu.

'Mereka bukan orang sini, mereka orang Bagan. Mereka tak mengundi di sini. Saja datang nak sabotaj (PRK Permatang Pauh).

"Ini (Kubang Semang) kubu PAS, kubu Pakatan. Tak perlu nak buat di sini," katanya.

'Jangan undi parti tolak hudud'

Sementara itu, dalam kenyataan media yang diberikan kepada pemberita, Azmi berkata tujuan himpunan pada hari ini untuk mengajak seluruh pengundi Permatang Pauh tidak mengundi parti yang menolak hudud.

"Kami mengajak seluruh pengundi P44 agar tidak memberi undi kepada penentang hudud. Kami berpendirian bahawa penentang hudud adalah penentang Allah seperti wasiat almarhum Datuk Fadzil Noor, mantan presiden PAS pada 1994," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, kumpulan sama mengadakan perhimpunan di hadapan Masjid Batu, Kampung Pertama bagi mendesak PKR memohon maaf berhubung kenyataan AMK berkaitan hudud.


ULASAN GB

PAS perlu siasat kejadian tersebut dan ambil tindakan ke atas ahli PAS yang terlibat.

Kita hairan ke mana perginya Seiausaha Agong PAS, Mustafa Ali yang selama ini begitu hebat dengan hal-hal disiplin ahli-ahli PAS. Begitu pantas bertindak ke atas orang-orang yang tak sebulu dengannya tetapi lemah longlai terhadap kumpulan pro-ulama (baca: pro-UMNO). Malah tindakan ke atas Ketua Pemuda PAS Pahang yang berdemo di depan pejabat PAS pun gagal diambil tindakan kononnya Ketua Pemuda tersebut membantah keanggotaan Lembaga Disiplin sedangkan Presiden sendiri sudah mengesahkan dan bersetuju anggota-anggota Lembaga Disiplin berkenaan. Boleh pilih-pilih anggota disiplin yang mereka suka saja. Pelik.. Jika ke atas kumpulan professional (progresif) dah dihebohkan besar-besaran dan kemudian cepat dikenakan tindakan seperti yang berlaku ke atas kedua ADUN Selangor satu ketika dulu.

Betul-betul sudah semacam UMNO. Terlalu bias, terlalu pilih kasih & terlalu assabiyah!

6 Mei 2015

MARA Sudah Gila, Perhabis Wang Rakyat Sokong Pelajar Porno


Aktivis siswa digantung, pesalah porno lepas'

Aktivis siswa Fahmi Zainol mempertikaikan kenapa peluang kedua diberikan kepada pelajar yang terlibat kesalahan pornografi di luar negara diberikan peluang kedua.

Sedangkan, kata pelajar Universiti Malaya (UM) yang digantung pengajian dua semester itu, aktivis “membawa suara demokrasi digantung” .

“Pelajar simpan gambar porno kanak-kanak Diberi peluang kedua? Pelajar yang membawa suara demokrasi digantung?

“Keadaan ini menampakkan bahawa kerajaan 'pilih kasih' dalam mengadili kesalahan pelajar,” katanya merujuk kepada pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di United Kingdom Nur Fitri Azmeer Nordin.

Nur Fitri, 23, dijatuhi hukuman penjara lima tahun bersabit 13 kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak oleh Mahkamah Southwark Crown di London.

Dalam kenyataan hari ini Fahmi membangkitkan berhubung kesalahan yang dianggap berat bagi pelajar memandangkan terdapat kesalahan berat diberi hukuman ringan.

“Saya merasakan kerajaan hanya bertegas terhadap kesalahan yang mampu menggugat kuasa mereka.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak matang dan masih bersifat kebudak-budakan,” katanya lagi.

UM pada 9 Disember lalu menggantung pengajian Fahmi, bekas presiden persatuan pelajar, selama dua semester dan didenda RM600 kerana menganjurkan perhimpunan melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa kebenaran.

Selain beliau, seorang lagi pelajar Safwan Shamsudin digantung pengajian satu semester manakala empat yang lain diberi amaran dan didenda RM150 setiap seorang. -mk


Mara beri peluang kedua kepada Nur Fitri

Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu memberi peluang kedua kepada pelajar tajaannya Nur Fitri Azmeer Nordin yang kini menjalani hukuman penjara bersabit kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London, lapor portal mStar.

Ahli Majlis Mara, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata pelajar berusia 23 tahun itu akan diberi peluang meneruskan pengajian di mana-mana institusi Mara dalam negara sejurus selesai menjalani hukuman dan kembali ke tanah air.

“Saranan ini adalah sebagai tanda sokongan kepadanya. Secara peribadi, saya bersetuju. Kita berikan sokongan dalam pelbagai cara untuk membentuk semula jati dirinya,” kata Nazir.

Tambah Nazir, peluang kedua tersebut tidak eksklusif buat Nur Fitri malah tindakan yang sama boleh diberikan bagi mana-mana pelajar cemerlang tajaan Mara yang berdepan nasib sama.

“Laporan pihak penjara menunjukkan bahawa dia berkelakuan baik sehingga tempoh hukumannya dikurangkan, maka adalah wajar untuk kita memberinya sokongan semula,” ujar Nazir.

Terdahulu, MARA dilapor menamatkan pinjaman pelajaran Nur Fitri setelah dia disabitkan bersalah oleh mahkamah di London.

Dalam pada itu, pendakwah bebas Datuk Md Daud Che Ngah menyarankan agar kerajaan tidak memberi peluang kedua menyambung pelajaran di London kepada Nur Fitri, sebaliknya meminta dia menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi negara ini untuk mengelak perkara seumpama berulang.
-Astroawani


ULASAN GB

Apakah MARA sudah gila? Membuat kenyataan "memberi sokongan" kepada pelajar yang telah pun dijatuhkan hukuman bersabit kesalahan memiliki lebih daripada 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London?

Apa sebenarnya tujuan MARA? Nak galakkan lagi pesalah seperti Nur Fitri itu dan kemudian MARA sanggup lagi menanggung untuk membiayai pengajian mereka di dalam negeri pula?

Benar tempelakan aktivis siswa Sdra Fahmi Zainol. Aktivis-aktivis yang sedang di dalam pembentukan menjadi pemimpin di masa depan digantung pelajarannya, manakala pelajar yang telah dibuktikan keslahannya kerana kelucahan diberikan peluang untuk meneruskan pengajiannya.

Apakah ini berkaitan dengan agenda pembentukan "papagomo" yang amat terkenal dengan pembikinan video lucah untuk kegunaan parti UMNO BN di masa depan?

Rompin: PAS Dapat Apa Yang Dihajatkan, Bertanding Bukan Untuk Menang


BN menang Rompin dengan majoriti kurang hampir separuh

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Rompin apabila calon mereka, Datuk Hasan Arifin berjaya menewaskan calon daripada PAS Nazri Ahmad dengan majoriti 8,895 undi, lebih kecil berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Hasan berjaya memperoleh 23,796 undi, manakala Nazri hanya memperoleh 14,901 undi.

Pengumuman rasmi keputusan pilihan raya kecil (PRK) Rompin dilakukan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Rompin Datuk Haji Fadzilla Salleh pada jam 10.25 malam tadi, di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Kuala Rompin, sebentar tadi.

Calon PAS bagaimanapun tidak hadir ketika pengumuman itu dimaklumkan.

Proses pengundian bermula sekitar jam 8 pagi tadi dengan sejumlah 38 pusat mengundi dengan 115 saluran dibuka bagi membolehkan 52,744 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Peratusan keluar mengundi pada PRK Rompin hari ini juga lebih rendah apabila hanya sekitar 74% keluar mengundi berbanding 85.9% pada PRU13 lalu.

Turut hadir dalam pengumuman itu termasuklah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan serta beberapa kepimpinan tertinggi BN lain.

Kawasan Parlimen Rompin mempunyai seramai 53,294 pengundi berdaftar, menyaksikan majoriti 87% merupakan pengundi Melayu yang kebanyakannya menetap di 14 petempatan Felda di seluruh kawasan Parlimen tersebut.

Manakala kelompok kedua terbesar adalah pengundi lain-lain, yang majoritinya meliputi pengundi daripada komuniti masyarakat Orang Asli, dan kaum India, sekitar 9%, diikuti pengundi kaum Cina, hanya pada kadar 2%.

Ketika PRU13, sekitar 85.9% pengundi keluar mengundi daripada sejumlah 53,596 pengundi berdaftar.

Pengundian awal yang dilakukan pada 30 April lepas, menyaksikan sebanyak 85.1% atau 464 pengundi daripada 545 pengundi awal di 4 lokasi pusat pengundi.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya,Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.

Pada PRU Umum ke-13, Jamaluddin mengalahkan calon PAS, Nuridah Salleh dengan majoriti 15,114 undi. -TMI



ANALISIS ROMPIN: ANAK VS BN

PRK Rompin agak menarik untuk di analisis. Khususnya Parti PAS dan calonnya Nazri Ahmad. Hasil tinjauan 8 hari team kami di Rompin menampakkan seperti berikut.

1. PENANGAN KEMPEN TEAM ANAK iaitu NGO Anak Anak Peneroka FELDA yang mesra PAS pimpinan Mazlan Aliman sangat berkesan. Jika dilihat dari awal kempen, mereka menguasai isu, menguasai program impak tinggi, jentera tersusun dan berjaya membuat kejutan.

a) Isu - Jika dilihat sejak penamaan calon dilihat seolah oleh Isa Samad (BN) vs Mazlan Aliman@Sachu Sawal (X Bos KPF). Media-media menyiarkan isu-isu tersebut secara baik. Antara isunya FGV, rumah Gen 2, pengurusan ladang dll.

b) Beberapa program impak tinggi berjaya dibuat:

i- Himpunan selamatkan FELDA (Keratong 4)
ii- Karnival Rakyat (Keratong 7)
iii- Jamuan Rakyat- Bandar Tun Razak
iv- Program pengisytiharan masuk PAS/ANAK di hampir setiap rancangan FELDA (khabarnya hampir 1000 sertai PAS)
v- Program malam terakhir di FELDA Selendang.

c) Jentera tersusun- ANAK mempunyai Markaz sendiri di FELDA Keratong 4. Penerangan PRK setiap malam dikuasai oleh lebih 60 peratus penceramah daripada ANAK seperti Mazlan Aliman, Sachu Sawal, Said Jonid, Nasaie Ismail, Rahman Jempol, Noraza Muda, Aris Fezol dll. Dari permulaan hari berkempen. Pembawaan kempen mereka lebih dekat dihati pengundi berbanding lain.

d- Kejutan- Pengistiharan kemasukan Datok Sachu Sawal bekas CEO KPF dan Ghani Mamod bekas VP FGV mengejutkan BN. Dilihat Sachu lebih teruk diserang Cyber Trooper BN berbanding calon BN sendiri. Sachu dan Said Jonid (bekas CEO Felda Plantation) dilihat mempunyai jadual ceramah antara terbanyak mewakilan bekas kakitangan FELDA. Jika biasanya orang politik sahaja turun berkempen tetapi kali ini bekas kakitangan kerajaan.

2. ISU GST:
Setiap malam dan setiap penceramah dan risalah diedarkan berkait isu GST dan BN dilihat tidak mampu menjawab isu ini.

3. TIDAK MEMBAWA MASALAH DALAMAN KE ROMPIN

Walaupun pada awalnya disebut calon Rompin daripada kumpulan tertentu dalam persaingan muktamar PAS. Namun dilihat tiada boikot memboikot diantara team sepanjang muktamar. Dewan Ulama dengan aturan kuliah maghribnya setiap malam dan himpunan Hindar di Bandar Muadzam. Manakala team Erdogan turut hadir berceramah dan kebanyakannya hadir 2 pusingan. Nama nama seperti Khalid Samad, Mahfuz Omar, Suhaizan Kayat, Mohammad Sabu, Siti Zailah, Dr Dzulkefli Ahmad dan lain lain nama hadir memberi penerangan sepanjang kempen. Ini tindakan bijak. Ketepikan soal dalaman dan fokus lawan BN.Masalah dalaman PAS Rompin juga tidak kelihatan walaupun awalnya cybertrooper BN menyerang hal tersebut. Nuridah Saleh bekas calon juga turun kempen. Mazlan Yasin bekas YDP PAS yang dikalahkan Nazri Ahmad juga berkempen dan menjadi wakil calon kepada Nazri. Nama popular sebagai calon sebelum ini Lowyer Fadhli Ramli juga turut berkempen. Faktor beliau kuat mempengaruhi undi dun Tioman khususnya Bandar Rompin. Fadhli mengetuai kempen di dun tersebut.

Kesimpulan

Keputusan PRK Rompin sangat bergantung kepada isu FELDA kerana 55 peratus pengundinya adalah warga FELDA. Strategi ANAK dan kempen anti GST sangat berkesan. Calon muda dan anak FELDA juga satu kelebihan.
-Dr Taki (Penganalisis bebas)




ULASAN GB

BN menang di Rompin. Majoritinya menurun hampir 50%. Undi yang diperolehi PAS tidak banyak berkurang, ini menunjukkan bahawa tidak berlaku sabotaj dari rakan-rakan Pakatan Rakyat di Rompin seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Tahniah kepada semua petugas PR terutama ANAK yang dipimpin Sdra Mazlan Aliman yang bertungkus-lumus di kawasan FELDA yang menyaksikan undi PAS naik mendadak di kalangan peserta FELDA.

Isu paling menyengat menurunkan undi BN ialah GST.

Isu hudud tidak mendatang sebarang masalah di Rompin kerana pengundi bukan Islam cuma di sekitar 6% sahaja. Jadi hampir tiada tentangan.

Keadaan akan berbeza di Permatang Pauh nanti di mana pengundi bukan Islam adalah adalah lebih 30%.

Dan UMNO BN diPermatang Pauh kini memainkan isu hudud untuk menghasut rakyat tolak PKR, mmacamlah UMNO itu beriya sangat hendakkan hudud. Kalau benar apasal Private Bill tak lepas-lepas hendak dibentang di Parlimen? Si UMNO munafik itu pun ramai juga orang PAS yang percaya dan terpedaya. Siap mengajak ahli-ahli PAS percaya dann yakin dengan kata-kata orang yang terkenal dengan sikap munafik itu.



Seterusnya peranan yang di mainkan oleh Tuan Ibrahim selaku Pengarah Pilihanraya bolehlah mendapat sedikit pujian walaupun masih luas ruang untuk diperbaiki.

TITM memperolehi apa yang dihajatkan. Iaitu bertanding bukan untuk menang. Tapi untuk berceramah menyampaikan isu-isu semasa. Rasulullah bersabda - "Kullu kalam addua"... setiap ucapan (perkataan) adalah doa. Kerana TITM dah sebut ...bertanding bukan untuk menang... maka demikianlah kesudahannya, PAS tak menang, kerana begitulah "doa"nya.

"Kita bertanding dalam pilihanraya ini bukan untuk menang. Tetapi ini adalah peluang terbaik bagi rakyat untuk mendapatkan penjelasan terbuka dalam sistem demokrasi kita. Soal menang kalah tidak penting, Ini ruang yang kita ada, kita harus gunakan. -kenyataan Tuan Ibrahim di Sinar Harian (13 April 2015)

D dalam menghadapi dan berada di situsai "peperangan" kita sewajarnya berhati-hati mengeluarkan perkataan apatah lagi sebagai Jenderal perang. Allah akan beri apa yang kita "doakan". Sebarang kesilapan kecil akan membawa padah yang besar untuk seluruh pasukan.

Mahkamah Arah NST Bayar Hampir 1/2 Juta Kepada Husam Musa


Mahkamah Rayuan arah NST bayar RM420,000 kepada Husam

Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini menolak rayuan New Straits Times (NST) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan mengarahkan akhbar itu membayar RM350,000 kepada Datuk Husam Musa kerana bersalah memfitnah beliau.

Selain ganti rugi itu, mahkamah juga mengarahkan akhbar itu membayar RM70,000 kos keseluruhan proses mahkamah kepada naib presiden PAS itu.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dianggotai Datuk Hishamudin Mohd Yunus, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Datuk David Wong Dak Wah membuat keputusan itu di depan dua peguam NST dan peguam Husam.

NST diwakili Reshwant Singh dan Gandhi Mohan manakala Husam diwakili Md Yunos Shariff.

Dalam laporannya bertajuk "Suspended BN duo turn to ACA" pada 28 November 2007 lalu, NST didapati memfitnah Husam.

Ia berasaskan laporan dua ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional Datuk Norzula Mat Diah (Paloh) dan Mohd Adhan Kechik (Bukit Bunga) kepada Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

Yunos ketika bercakap kepada The Malaysian Insider berkata, ini mahkamah terakhir untuk kes tersebut kecuali NST mendapatkan pengesahan dari mahkamah untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

ULASAN GB

Demikianlah hukum kebenaran dan keadilan berjalan...

Minggu lepas, Bekas exco kerajaan negeri Perak Datuk Hamidah Osman diperintahkan Mahkamah Tinggi Shah Alam membayar ganti rugi RM150,000 kepada Khalid Samad atas penerbitan artikel yang memfitnah Ahli Parlimen Shah Alam itu. Hari ini, NST pula diperintah bayar Husam Musa sebanyak hampir setengah juta kerana kes fitnah juga.

Walaupun Khalid Samad dan Husam Musa begitu hebat dihina dan difitnah, dijebonkan terutama oleh golongan UMNO dan pro-ulamak dalam PAS, mereka berdua (dan yang lain-lain yang turut dijebonkan) akan terus "berpahala" - dunia dan akhirat. Kemenangan di mahkamah itu adalah diantara "pahala-pahala" dunia yang diterima kerana begitu dasyatnya mereka berdua dihentam oleh pihak yang tidak menyukainya. Di akhirat pula pahala yang diterima adalah seperti disebut di dalam hadith berikut...

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat nanti seorang akan terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya? Maka Allah menjawab: Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengata-ngata (memfitnah) engkau tanpa engkau ketahui.”

Manakala orang yang mengata-ngata dan memfitnah itu akan terus mendapat dosa malah akan muflis di hari akhirat nanti...

5 Mei 2015

Najib vs Mahathir: Mahathir Pun Tak Mungkin Menyerah Kalah...


Pntadbiran Najib tidak bersih- Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengaku beliau menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak kerana pentadbirannya yang didakwa tidak bersih.

Bekas Perdana Menteri berkata, beliau tidak puas hati kerana di bawah pentadbiran Najib, duit negara hilang dan hutang luar negara pula meningkat.

“Agenda kerajaan kena bayar hutang. Kalau bayar hutang saya tidak ada masalah. Menjadi masalah sekarang ialah duit (negara) hilang.

“Kalau satu juta, dua juta takpelah, ni sampai 14 juta, 20 juta hilang. Tidak tahu ke mana perginya. Ini persoalannya. Saya tak puas hati pasal duit hilang…duit kerajaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana di German-Malaysia Institute pada Rabu.

Dr ‎Mahathir berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai kenyataan Najib yang menyatakan beliau tidak akan berganjak walaupun ‘diserang’.

Najib ketika berucap ketika melancarkan laporan Program Transformasi 2014 berkata, beliau tidak akan berganjak atau menyerah kalah walaupun diasak dan dikritik. -FMT

Najib Enggan Menyerah Kalah, Mahathir Pun Tak Mungkin Mengalah...

Hanya beberapa jam setelah Perdana Menteri, Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah di sebalik pelbagai kritikan dan serangan terhadapnya, Tun Mahathir Mohamad juga memperlihatkan pendiriannya yang tidak mahu mengalah daripada terus menegur dan mengasak.

Jika malam tadi Najib mengungkapkan madah Bugisnya, Tun Mahathir hari ini bukan saja mengulangi kritikan mengenai gaya hidup mewah isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor bahkan menyifatkan kerajaan pimpinan Najib sebagai tidak bersih kerana menyebabkan banyak kehilangan wang serta meningkatnya hutang negara.

Beliau juga menyebut mengenai kos bunga untuk perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah sehingga RM3 juta yang menjadi perbualan ramai dan diceritakan oleh ramai orang kepadanya.

Dalam konteks Najib, beliau dilihat sama sekali tidak mungkin berganjak dari kerusi Perdana Menteri yang sedang didudukinya, walaupun Tun Mahathir sudah beberapa kali mendesaknya agar berundur demi menyelamatkan nasib UMNO dan BN daripada ditimpa kekalahan.

Jika sebelum ini beliau mengatakan tidak rasa keseorangan, kali ini Najib memperlihatkan seolah-olah pantang baginya untuk menyerah kalah, sesuai dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya.

Najib juga tidak mungkin menjawab segala kritikan Tun Mahathir terhadapnya, meskipun semakin ramai yang mahukannya berbuat demikian. Terbaru, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi - selepas Tengku Razaleigh Hamzah, Shahrir Samad, Khairy Jamaluddin, Shafie Afdal, Nur Jazlan dan beberapa yang lain, turut berpendirian bahawa Najib harus menjawab sendiri semua persoalan itu.

Sama ada Najib tidak mahu atau tidak mampu menjawabnya, jawapannya ketika ini ialah beliau tidak mahu menyerah kalah atau lebih mudahnya ialah "saya masih mahu menjadi Perdana Menteri."

Tun Mahathir pula, sepertimana yang difahami oleh ramai orang, tidak pernah sama sekali mahu mengalah, menyarah kalah atau mengaku kalah atas sesuatu yang sudah dimulakannya.

Ini kerana beliau dikatakan tidak mungkin melakukan sesuatu jika tidak mempunya asas yang kukuh mengenainya.

Beliau juga ditafsir oleh ramai orang sebagai seorang yang semakin hebat pemikiran dan daya kreativitinya apabila menghadapi tekanan atau ketika sedang berbalah dengan seseorang.

Apabila Najib tidak mahu menyerah kalah, ramai yang merasakan Tun Mahathir, bukan saja akan lebih agresif dan berstamina, bahkan kemungkinan tampil dengan lebih maklumat dan idea luar biasanya lagi selepas ini.

Meminta Tun Mahathir berhenti mengkritik dan menegur juga seperti tidak munasabah. Ini kerana bukan saja beliau sudah menegur secara tertutup dan menulis surat tetapi tidak dipedulikan oleh Najib, lebih dari itu semua persoalan yang dibangkitkannya juga mendapat sokongan yang nyata daripada rakyat.

Dengan Najib tidak mahu menyerah kalah dan Tun Mahathir tidak mungkin mengalah, pertanyaan ramai orang ketika ini ialah apakah kesudahannya nanti?

Apakah pertembungan mereka ini akan berlarutan sehingga PRU 14 nanti dan akhirnya menatijahkan "seorang menjadi abu manakala seorang lagi menjadi arang?"

Atau adakah Najib seharusnya dipaksa berundur demi masa depan UMNO dan BN kerana yang dikatakan menjadi beban sekarang ialah beliau dan bukannya Tun Mahathir?

Dengan pertembungan ini sudah memasuki episod getir sekarang, apakah ia menandakan sudah sampai masanya pimpinan dan ahli UMNO akar umbi harus bangun dan menyatakan pendirian mereka dengan segera, bukan lagi penentuan nasib parti sekadar berlegar di kalangan 191 Ketua Bahagian saja?
-shahbudindotcom


Apa Mahu Jadi? Pemilihan PAS Semakin Kotor ...


Muktamar Pemuda: Masa untuk 'menghina'?

Bahang 'perang' menjelang muktamar PAS bulan depan semakin panas apabila senarai rasmi diumumkan Ketua Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi hari ini.

Tanpa pengumuman rasmi dibuat mengenai pertembungan kumpulan proulama dan bukan ulama, pola pencalonan yang dibuat seluruh PAS kawasan setakat ini menunjukkan ia semakin tidak terkawal.

Untuk Pemuda PAS misalnya, ketuanya Suhaizan Kaiat turut dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira - suatu langkah yang sebenarnya boleh dianggap menghina atau sekurang-kurangnya tidak serius.

Turut dicalonkan untuk jawatan itu ialah menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Mohamad yang lantang dalam gerakan 'mempertahankan' kumpulan ulama, serta 'sekutunya' yang juga Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Yusni Mat Piah.

Mohd Yusni baru-baru ini menjadi perhatian kerana berkeras enggan menggerakkan anggotanya membantu PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Nama Suhaizan turut dicalonkan sebagai Timbalan Pengerusi Tetap bersama bekas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan.

Dalam perkembangan sama, perwakilan di peringkat kawasan juga menunjukkan kecenderungan membawa semula Nik Abduh Nik Abdul Aziz ke dalam Pemuda PAS.

Berdasarkan senarai yang diedarkan hari ini, nama Nik Abduh dicalonkan untuk bertanding bagi jawatan ketua pemuda bersama anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil (kini naib ketua kepada Suhaizan).

Nik Abduh - memenangi kerusi parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-13 lalu - adalah Naib Ketua Pemuda PAS ketika sayap itu diketuai Nasrudin bagi sesi 2011 - 2013.

Sementara itu ketika dihubungi Malaysiakini, Suhaizan berkata, dia tidak berasa apa-apa dengan pencalonan namanya sebagai pemeriksa kira-kira.

"Sebelum ini pun ada juga ulama atau pemimpin atasan yang dicalonkan untuk jawatan seperti itu," katanya.

Suhaizan berkata, antara tokoh utama PAS yang dicalonkan sebagai pemeriksa kira-kira ialah Datuk Husam Musa, Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik.

Mengenai percaturannya dalam pemilihan bulan depan, Suhaizan masih enggan mendedahkan sebarang keputusan, kecuali mengesahkan hanya akan bertanding untuk satu jawatan saja.

"Tunggulah, nanti saya akan umumkan," katanya.

Bagi Dewan Muslimat PAS pula, bekas ketua sebelum ini, Nuridah Salleh cuba dibawa masuk untuk mencabar penyandang Siti Zailah Mohd Yusoff. -mk

PRK Rompin Ujian Besar Untuk TITM Sebagai Calon Timb Presiden PAS


Proses mengundi PRK Rompin bermula

Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin bermula pada jam 8 pagi ini dengan pengundi berkumpul di semua 38 pusat pengundian.

Pengundi mula berkumpul di perkarangan pusat mengundi sekitar jam 7 pagi dan anggota polis dilihat mengawal lalu lintas bagi melancarkan perjalanan proses pengundian.

Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin dijadualkan mengundi di Sekolah Kebangsaan Leban Condong, manakala calon PAS, Nazri Ahmad akan mengundi di Sekolah Agama Rakyat Felda Keratong 5, di Muadzam Shah.

PRK Rompin, pilihan raya kecil yang ke-9 selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Jamaluddin menang pada PRU13 mengekalkan kerusinya bagi penggal ke-6 selepas mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Pengundian awal diadakan pada 30 April lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan PRK Rompin akan diumumkan sekitar jam 11 malam, kerana keluasan kawasan yang besar dan sesetengah kawasan memerlukan perjalanan 2 hingga 3 jam untuk menghantar peti undi ke pusat penjumlahan undi.

SPR akan mengumumkan keputusan penuh PRK Rompin di pusat penjumlahan undi, Dewan Jubli Perak, Sultan Ahmad Shah. -TMI

ULASAN GB

Seperti ynag GB ulaskan sebelum ini, dua pilihanraya kecil yang berlansung minggu ini, Rompin dan Permatang Pauh, menguji dua orang kuat PAS yang bertanding jawatan Timbalan Presiden. Tuan Ibrahim sebagai pengarah pilihan raya kecil Rompin dan Mohamad Sabu sebagai Pengarah PRK Permatang Pauh. Kedua-duanya adalah calon Timbalan Presiden PAS di dalam pemilihan tahun i ni.

Seandainya PAS menang di Rompin, Mohamad Sabu bolehlah menarik diri dari bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS. Kerana dengan kemenangan itu bererti Tuan Ibrahim Tuan Man adalah orang yang paling layak ditabalkan sebagai Timbalan Presiden PAS. Ia juga bererti Tuan Ibrahim mampu melonjak PAS jauh ke depan di persada politik negara.

Tetapi jika PAS kalah di Rompin apatah lagi jika majoritinya menurun bererti Tuan Ibrahim berhadapan dengan laluan sukar untuk memenangi jawatan Timabalan Presiden kerana perwakilan akan mempersoalkan keupayaannya untuk memikul amanah membawa kemenangan kepada PAS di pentas politik tanahair.

Begitulah juga dengan keadaan Mohamad Sabu di Permatang Pauh. Walaupun itu kerusi PR, namun kememangan belum tentu berpihak kepada calon PKR akibat dari menerima perbuatan sabotaj dari parti PAS sendiri terutama dari kumpulan yang tidak suka Mohamad Sabu dan tidak suka kepada PKR dan DAP. Tugas lebih berat dipikul oleh Mohamad Sabu untuk sekurang-kurangnya mengekalkan majoriti yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim di Permatang Pauh sebelum ini, tidak boleh kurang dari itu. Jika tidak, perwakilan Muktamar PAS Jun nanti akan menilai Mohamad Sabu telah gagal dan justeru itu tidak layak untuk menjadi Timbalan Presiden PAS.

Sama-sama kita nantikan keputusannya...