29 Jul 2013

[BERGAMBAR] Lagi Kes Tembak: Pengasas Bank Arab-Malaysia Ditembak Mati, Isteri Cedera


Pengasas AmBank Berhad, Hussain Ahmad Najadi (gambar kecil), 75, yang berasal dari Bahrain ditembak mati di kawasan letak kereta di Lorong Ceylon, Kuala Lumpur hari ini sementara isterinya cedera terkena tembakan.

Beliau yang kini merupakan penduduk tetap Malaysia berjalan menuju ke keretanya bersama isteri apabila seorang yang bersenjata menuju ke arahnya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah belakang menyebabkannya terbunuh di tempat kejadian kira-kira pada jam 1.30 tengahari.

Isterinya yang cedera terkena tembakan di badan dikejarkan ke hospital.

Saksi kejadian berkata pasangan itu terdahulu melawat kuil yang berada di hadapan tempat letak kereta.

Saksi yang tidak mahu namanya didedahkan berkata dia berada di gerai makan apabila seorang lelaki berjalan mendekati pasangan itu.

“Kemudian saya mendengar bunyi beberapa das tembakan dan melihat pasangan itu tumbang. Saya berlari menyelamatkan diri apabila lelaki itu menuju ke arah saya,” katanya.

Dia berkata lelaki bersenjata itu yang memakai topi dan cermin mata hitam bergegas meninggalkan tempat kejadian menaiki teksi.

Kejadian tembakan itu berlaku selang beberapa hari selepas pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan ditembak di Bahau. Bulan lalu juga mencatatkan beberapa siri tembakan.

Pengerusi Kumpulan Ambank Berhad Tan Sri Azman Hashim mengucapkan takziah kepada isteri Hussain dan menyatakan beliau sedih dengan insiden itu. -TMI

PAS, PKR Kutuk Kekejaman Tentera Mesir, UMNO Senyap


Dua komponen Pakatan Rakyat, PAS dan PKR hari ini dalam kenyataan media yang berasingan mengutuk kekejaman tentera Mesir membunuh penyokong presiden yang digulingkan Dr Mohamed Morsi dan anggota gerakan Ikhwanul Muslimin.

Sementara kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) sehingga ini belum menyatakan pendirian mereka terhadap kekejaman tentera Mesir di bawah pimpinan Jeneral Abdel Fattah al-Sisi di mana sehingga lewat malam tadi, lebih 100 maut dan lebih 1,000 cedera berhampiran masjid Rabaah al-Adawiya, Kaherah.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Datuk Kamaruddin Jaffar berkata, semua pihak tidak boleh membenarkan pembantaian terhadap rakyat seperti itu, apatah lagi insiden malam tadi bukan kali pertama dilakukan tentera sejak merampas kuasa.

“Rakyat Mesir behimpun secara aman, dan itu adalah hak mereka untuk menyatakan suara mereka. Tindakan menembak rakyat ini merupakan satu kekejaman yang telah dilakukan tentera dibawah telunjuk al-Sisi, dan dunia tidak wajar berdiam diri,” katanya.

Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat mendesak kerajaan Malaysia segera menyatakan pendirian dalam isu ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pembunuhan secara kejam tentera Mesir ke atas rakyat dan anggota-anggota Ikhwanul Muslimin tercatat sebagai hari paling hitam sejak tercetusnya ‘April Spring’.

“Saya mengutuk keras pertumpahan darah ini yang dilakukan oleh pasukan keselamatan dan tentera. Jeneral al-Sisi bersama pemimpin-pemimpin kerajaan sementara yang tidak sah ini kini bergelumang tangan mereka dengan darah dan mesti bertanggungjawab.

“Saya menyeru semua pihak dan negara mengutuk penyembelihan orang awam yang tidak bersalah ini dan semua pihak harus memainkan peranan supaya kekejaman ini dapat disekat dengan segera,” kata Anwar, yang juga Ketua Umum PKR.

Sementara itu, Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut mengecam dan mengutuk dengan keras pembunuhan rakyat Mesir oleh tentera yang berlaku pada Jumaat lalu.

“Tindakan terbaru oleh tentera Mesir ini tidak dapat dikompromi sama sekali,” tegas Pengerusi Shura, Abdul Ghani Samsudin dan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam kenyataan bersama.

Tentera yang mengguna kononnya mandat dari rakyat dalam perhimpunan anti Morsi yang didalangi oleh tentera sendiri di Dataran Tahrir telah dengan sengaja menyerang peserta perhimpunan pro Morsi di kawasan Universiti Al-Azhar menjelang waktu sahur pada Jumaat tersebut. -FMT

50 Peniaga Di Klebang Hilang Mata Pencarian Dihalau MBMB

Ke mana kami nak pergi?'

KLEBANG - Hasrat kira-kira 50 peniaga di pesisiran pantai Dataran 1Malaysia di sini, untuk meraih pendapatan bagi menampung perbelanjaan sambutan Aidilfitri musnah apabila mereka diarah mengosongkan tapak niaga oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Lebih mengecewakan, mereka hanya menerima notis arahan mengosongkan tapak niaga itu dalam tempoh waktu yang singkat.

Wakil peniaga, Mohammad Bakhtiar Aman, 40, berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar apatah lagi kebanyakan peniaga sudah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu, sebelum kawasan Dataran 1Malaysia dibuka.

Menurutnya, notis arahan itu dikeluarkan pada 2 Julai lalu dan diberikan kepada mereka pada 4 Julai iaitu sehari sebelum sesi dialog bersama diadakan.

“Ada peniaga mendakwa mereka hanya menyedari masalah itu apabila ada antara mereka memaklumkan kegagalan memperbaharui lesen tapak niaga.

“Untuk mendapatkan lesen, kami perlu membayar sebanyak RM150 iaitu RM30 kepada MBMB dan bakinya akan diberikan kepada penganjur selain kos sewa satu tapak berjumlah RM150 sebulan,” katanya semalam.

Bagi peniaga gerai makanan, Noraimi Mat Rejab, 37, dia dan isterinya, Fatimah Zakiah Abdul Rahman, 34, sememangnya bergantung harap pada pendapatan berniaga.

“Sebelum ini, kami mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun kini jumlah itu semakin berkurangan kerana tapak kami meniaga sudah dilindungi dengan tembok zink bagi projek yang dijalankan di kawasan sekitar.

“Sudah lama kami menjalankan perniagaan di sini dan tidak pernah berubah ke kawasan lain. Jika kami dihalau keluar, ke mana kawasan yang perlu kami tuju? Malahan untuk memohon tapak bagi menjalankan perniagaan Bazar Ramadan juga sudah penuh,” katanya.

Peniaga barangan mainan, Norliliyanti Sairon, 35, pula berkata, dia bimbang memikirkan nasib enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah.

“Pihak berkaitan sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal dan memberikan cadangan atau tapak untuk kami menjalankan perniagaan.

“Mereka seharusnya prihatin dengan nasib yang menimpa kami dan jika boleh, beri kami peluang untuk meniaga sehingga dua minggu selepas hari raya,” katanya.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan komen daripada wakil penganjur berhubung isu berkenaan hari ini. -SH

Ulasan GB

Mujurlah hal ini berlaku di negeri yang diperintah BN.

Kalaulah hal ini berlaku di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, dah digendangnya ke seluruh dunia dan dipaparkan di media massa arus perdana berhari-hari lamanya untuk memburukkan kerajaan PR.

34 Didakwa Kerana Anjur Blackout 505


.33 aktivis anak muda yang membuat perhimpunan di perkarangan Parlimen akan didakwa di mahkamah Jalan Duta hari ini.

Mereka didakwa selepas berdemontsrasi termasuk aksi tidur di jalan raya pada 24 Jun 2013 bagi menyatakan protes terhadap penipuan pilihanraya di hari pertama Parlimen bersidang untuk penggal ke-13.

Seorang lagi rakan mereka, Azhar Achil, akan didakwa di mahkamah Klang ekoran perhimpunan di Sabak Bernam dalam salah satu aksi #Blackout #SuaraRakyat505.

Azhar adalah Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Selangor.

Beliau didakwa menganjurkan sebuah perhimpunan rakyat di Sabak Bernam dalam salah satu aksi Jelajah SAMM #Blackout #SuaraRakyat505. -HD

[VIDEO] Yusuf Al-Qaradhawi Sifatkan Abd Fatah As-Sisi Pengkhianat Rakyat Mesir


Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia Syeikh Yusuf Qaradhawi mengeluarkan kenyataan terbaru seperti yang disiarkan oleh "Al-Jazeera". Antara mesej yang disampaikan oleh beliau ialah:

1) Kepada Menteri Pertahanan, Abdul Fatah As-Sisi yang telah mengkhianat janji sewaktu mengangkat sumpah dilantik ke jawatan itu di hadapan Mursi. Sisi juga beranggapan dia telah diberikan "kuasa" melalui himpunan menyokongnya Jumaat lepas manakala selain mereka itu bukan rakyat Mesir bahkan bukan manusia. Lalu dia menggunakan "kuasa" itu melakukan apa yang disukainya.

2) Menyifatkan Adli Mansour, Presiden sementara sebagai "boneka"dan kerajaan kudeta pimpinan Perdana Menteri Hazim Beblawi sebagai "kerajaan zalim".

3) Sisi sebelum menyingkir Mursi telah memansuhkan perlembagaan 2012 yang telah diperakui dengan sokongan 64 peratus pengundi. Lalu Sisi membentuk jawatankuasa penggubal yang terdiri hanya 10 orang dalam tempoh hanya sebulan bagi mengadakan pindaan perlembagaan. Sedangkan pada zaman Mursi tahun lalu, perlembagaan dibincang oleh 100 orang panel yang mewakili pelbagai lapisan masyarakat dalam tempoh 6 bulan sebelum diadakan pungutan suara pada Disember 2012.

4) Syeikh Qaradhawi turut menyalahkan Sisi terlibat dengan pembunuhan terbesar yang membunuh lebih 140 orang dan mencederakan 4,500 yang lain.

5) Beliau mempersoalkan pendirian Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Toyyib. "Siapa yang kata bunuh manusia merupakan perkara yang lebih ringan dari dua dhoror (kaedah akhaffu dhororoin)? Pernahkah anda meminta pandangan Haiah Kibar Ulamak Al-Azhar? Wajib bagi anda untuk undur kembali dari pendirian ini. Saya menyeru saudara-saudara saya dalam Haiah Kibar Ulamak dan Lembaga Penyelidikan Islam untuk sama-sama mengkaji pendirian Syeikh Al-Azhar."

6) Mengecam media Mesir yang tidak profesional dalam melaporkan kejadian yang berlaku. "Saya menyeru Majlis Keselamatan PBB, mereka yang mulia di seluruh dunia untuk datang sendiri ke Mesir bagi melihat apa yang sebenarnya berlaku."

7) Menyeru kepada rakyat Mesir untuk turun ke Raba'ah dan "jangan takut". Turun bersama-sama keluarga dengan penuh berani. "Termasuk warga Kristian juga datang bersama-sama orang Islam lain ke Raba'ah."


[VIDEO] Pembantaian Di Mesir: Erdogan Kecam Negara Islam Lain Yang Terus Membisu


TTurki mengajak negara-negara yang berpenduduk Islam, dengan satu suara mengutuk kezaliman tentera Mesir. Perdana Menteri Turki Reccep Tayyip Erdogan, mempersoalkan negara saudara seIslam berdiam diri berhubung dentan situasi dan insiden politik yang melanda negeri Piramid tersebut.

'Hey, kalian yang Islam! Saudara-saudara kamu sekalian di Mesir sedang dibunuh. Keadilan dan hak asasi sedang disembelih. Dengarkah kalian semua? Melihatkah kalian semua? Sedarkah kalian semua bahawa darah saudara-saudara sekalian sedang ditumpahkan? Hal yang sama turut berlaku di Syria, ratusan ribu disembelih di negara itu, anda lansung tidak bersuara! Kamu semua masih berdiam diri, sampai bila? Tetapi jangan lupa, hal yang sama bakal berlaku ke atas kamu nanti" demikian kata-kata tajam Erdogan dalam satu ucapannya berhubung situasi terkini di Mesir seperti dikutip Anadolu Agency, Ahad (28/7).

Turki kecewa terhadap banyak pihak atas insiden yang terjadi di Mesir. Termasuk pada Pertubuhan Bangsa Bangsa (PBB) dan negara yang mengaku mengamalkan demokrasi. Menurutnya, (sepatutnya) tidak ada toleransi atas tindakan tentera di Mesir.

Pihak antarabangsa menurut Ketua Partai Keadilan dan Pembangunan Turki (AKP) itu tidak tegas berdepan dengan situasi di Mesir. Padahal, katanya, semestinya sebagai wadah dan negara pendukung demokrasi sudah sepatutnya melihat situasi di Mesir sebagai satu tindakan brutalisme.

Turki meminta agar pihak antarabangsa campur tangan. "Kami (Turki) tidak akan diam melihat situasi Mesir sekalipun jika pihak antarabangsa ikut membiarkan," ujarnya.

Insiden berdarah kembali terjadi di beberapa wilayah kota Mesir, Jumaat (26/7) dan Sabtu (27/7) waktu tempatan. Sekurang-kurangnya 120 orang dinyatakan terbunuh dan 4.500 lainnya cedera. Mereka yang terkorban akibat serangan peluru tajam.

Seramai 700 diantaranya yang tercedera masih menjalani perawatan di pusat-pusat kesihatan. Tentera dengan sepihak membubarkan aksi demonstrasi pendukung presiden yang di gulingkan Muhammad Mursi yang berkumpul di Masjid Rabaah al-Adawiyah dan Al-Nahda Square di Kota Nashr.

Wilayah ini memang menjadi pengkalan rakyat yang mendukung Ikhwanul Muslimin dan Mursi. Erdogan menilai tentera di negara itu sebagai pihak yang bersalah. Ungkapan itu datang dari tindakan tentera yang sepatutnya melindungi rakyat. - anadolu, al-jazeera, republika


28 Jul 2013

Rafizi Dedahkan Pengerusi MyWatch Ada Senarai Polis Disiasat Kerana Dadah

Beberapa jam sebelum ditembak, R Sri Sanjeevan ada menyatakan beliau memiliki senarai nama pegawai polis yang disiasat secara dalaman kerana terlibat dalam sindiket dadah. Gambar: Sanjeevan dikejarkan ke hospital Jempol.

Pengerusi MyWatch itu menyatakan demikian kepada Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR ketika mereka bertemu di majlis berbuka puasa Jumaat lalu di rumah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya beritahu supaya berhati-hati kerana senarai itu adalah pegawai polis yang sedang disiasat. Saya tidak begitu memberi galakan kepada Sanjeevan," katanya.

Terkejut dengan kejadian yang menimpa Sanjeevan itu, Rafizi juga mengakui agak terkilan kerana menasihati Sanjeevan bahawa ia tidak masa sesuai untuk membuat pendedahan kerana siasatan polis masih berlangsung.

Bagaimanapun, katanya, Sanjeevan pada pertemuan itu menyatakan ia skandal besar dan kesalahan yang dilakukan serius serta membabitkan jumlah dadah yang besar.

"Mengikut Sanjeevan, pegawai polis yang disiasat itu berdepan kemungkinan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang membawa hukuman mati. Beliau yakin ia kes serius," katanya.

Rafizi dan Sanjeevan kemudian bersetuju untuk bertemu minggu depan untuk meneliti senarai berkenaan.

Beliau berkata, kenyataan Sanjeevan kepadanya juga konsisten dengan kenyataan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, sejurus selepas kejadian tembak.

Sementara itu, rakan Sanjeevan, Vel Paari - bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC - terkejut dengan kejadian berkenaan, apatah lagi mereka baru sahaja bertemu dua hari lalu untuk merancang menikmati tosai, minggu depan.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong juga sedih dengan kejadian cubaan bunuh terhadap Sanjeevan dan berharap polis segera menahan dan mengheret mereka ke muka pengadilan. -TMI

Pengerusi MyWatch Ditembak, Ada Kaitan Dengan Tweetnya Kepada KPN (?)

Kuala Lumpur: Pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) MyWatch, R Sri Sanjeevan ditembak lewat petang kelmarin oleh dua lelaki yang tidak dikenali di Bahau, Negeri Sembilan.

Sanjeevan, 27, berada dalam keadaan kritikal di Hospital Kuala Pilah pada pukul 10.30 malam tadi dan Astro Awani dimaklumkan oleh sumber dari hospital bahawa keadaan beliau masih tidak stabil.

Kejadian tembakan itu dilaporkan berlaku pada pukul 4.30 petang berhampiran persimpangan Taman Awana Indah, Taman Cempaka.

Menurut sumber, Sanjeevan keluar untuk minum petang bersama seorang rakan dan memandu BMW kelabu.

Beliau sedang merokok dan cermin keretanya diturunkan sebelum dua lelaki bermotosikal merah datang dari arah belakang dan melepaskan tembakan.

Ketika dihubungi, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, dia merasa sedih dengan kejadian tersebut.

"Pada saya perkara ini tidak seharusnya berlaku terhadap beliau ketika usaha untuk mengurangkan jenayah sedang giat dijalankan," katanya kepada Astro Awani.

Sehubungan itu beliau menggesa polis menyiasat kejadian tersebut kerana Sanjeevan dikatakan pernah menerima beberapa ugutan sebelum ini susulan beberapa pendedahan yang dilakukan beliau.

Sejak dilancarkan MyWatch lantang menyuarakan hal-hal berkaitan jenayah termasuk dakwaan rasuah dan salah laku anggota polis di semua peringkat selain mendakwa ada yang terbabit dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap. -Astro Awani


Cubaan bunuh untuk halang dedah jenayah polis, kata Musa


Tan Sri Musa Hassan mengesyaki cubaan membunuh R Sri Sanjeevan semalam, ada kaitan dengan rancangan Pengerusi Pasukan Khas Cegah Jenayah Malaysia (MyWatch) itu untuk mendedahkan sindiket jenayah melibatkan pegawai polis.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu membuat jangkaan demikian melalui akaun twitternya malam tadi, beberapa jam selepas Sanjeevan parah ditembak di Bahau, Negeri Sembilan.

"Saya harap polis membuat siasatan untuk mengesan suspek kerana dia (Sanjeevan) ada menerima ugutan bunuh berikutan hasratnya untuk mendedahkan pembabitkan polis dalam sindiket jenayah," katanya melalui akaun beliau, @TSMusaHassan.

Mengikut kenyataan polis semalam, mangsa berada dalam kereta BMW sebelum dihampiri dua lelaki bermotosikal di satu persimpangan di Taman Awana Indah, Bahau.

Pembonceng motosikal itu kemudian dikatakan mengeluarkan senjata api sebelum menembak Sanjeevan yang mengenai rusuk kanan mangsa.

Individu itu juga dikatakan kemudian turun dari motosikal tetapi mangsa memecut kenderaannya.

Sanjeevan dilapor stabil tetapi keadaannya kritikal selepas menjalani pembedahan di Hospital Kuala Pilah.

Sebelum kejadian itu, Sanjeevan ada menerima ancaman bunuh berikutan tweet beliau terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui akaun @KBAB51.

Turut mengetag Khalid dan Polis DiRaja Malaysia, Sanjeevan mengepos tweet yang menyatakan ada sindiket akan menembak beliau dan menyerang rumahnya untuk menakut-nakutkan keluarganya.

Sanjeevan berada di barisan depan dalam usaha mencegah jenayah dan sebelum ini mendakwa statistik polis tidak tepat.


Musa kemudian menjadi Penasihat kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu, menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).
-TMI

Selangor Perluaskan Skim MES kepada Yang Bependapatan Bawah RM3,000

Keluarga yang berpendapatan RM 3,000 dan bawah akan mula menikmati skim-skim di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti bantuan yuran taska, tadika dan hadiah anak masuk universiti.

Dasar memperluaskan kelayakan menerima bantuan MES ini bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dari kemakmuran ekonomi Selangor, kata Exco Kebajikan, Rodziah Ismail.

Sebelum ini, kebanyakkan program MES hanya untuk keluarga yang pendapatan isi rumahnya RM 1,500 dan ke bawah.

“Sekarang kita sedang melihat untuk membantu golongan menengah rendah pula. Kita naikkan sedikit tumpuan kita kepada mereka yang berpendapatan RM 3,000 ke bawah pula.

“Maknanya, kita tengok satu lapisan masyarakat lagi bagaimana kita nak bantu supaya akhirnya kita tengok pendapatan rakyat Selangor melebihi RM 1,500.

“Sekarang kita sedang kaji semula beberapa polisi, contohnya macam hadiah IPTA, kalau dahulu hadiah IPTA kita bagi kepada yang berpendapatan RM 1,500 ke bawah, sekarang kita meletakkan supaya RM 3,000 ke bawah juga layak dapat.

“Juga dengan skim Si KEMBAR, TUNAS juga kita akan berikan sasaran RM 2,500 ke bawah, ada yang RM 3,000 ke bawah lihat kepada keperluan keluarga.”

Demikian kata Rodziah ketika ditemui dalam Program Jejak Amal Ramadhan Bersama Exco Kebajikan Negeri Selangor di Kampung Bukit Changgang di sini petang semalam.

Selepas berjaya mentadbir Selangor selepas Pilihanraya Umum ke 12 lalu, Kerajaan PR Selangor mula memperkenalkan pelbagai skim di bawah agenda MES yang kini mempunyai sebanyak 16 skim.

Antara skim bantuan yang diperkenalkan termasuklah Hadiah Anak Masuk Universiti, Skim Bantuan Asuhan Rakyat (Si KEMBAR), Bantuan Tadika Selangor (TUNAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Skim Air Percuma dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Sementara itu, dalam program semalam, sebanyak 500 bungkus bubur lambuk dan kurma diagihkan kepada pengunjung Bazar Ramadhan Kampung Bukit Changgang.

Tak Sangka Pengarah ROS Ini Berbohong Di Bulan Puasa – Guan Eng

Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 27 Julai 2013.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) mesti membuktikan bahwa ahli DAP berharap untuk menubuhkan parti baru, atau beliau akan dihadapkan di mahkamah kerana bertindak jahat dan telah prejudis hendak mengharamkan DAP dengan apa cara sekali pun dengan pemalsuan dan pembohongan yang direka-reka.

Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Abdul Rahman Othman (gambar) mesti membuktikan bahwa ahli DAP berharap untuk menubuhkan parti baru, atau beliau akan dihadapkan di mahkamah kerana bertindak jahat dan telah prejudis hendak mengharamkan DAP dengan apa cara sekali pun dengan pemalsuan dan pembohongan yang direka-reka. Datuk Abdul Rahman berkata ROS tidak akan melayan permohonan oleh ahli DAP untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Ini keterlaluan kerana pimpinan DAP langsung tidak menimbangkan mahupun mambangkitkan cadangan untuk menubuhkan sebuah parti baru di dalam atau diluar mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). DAP kesal dengan tindakan Datuk Abdul Rahman yang secara sedar membuat pembohongan sedemikian di saat beliau berpuasa di bulan Ramadan. ROS telah membiarkan dirinya dipergunakan sebagai alat politik UMNO bagi mengalahkan DAP di saat UMNO tidak mampu mengalahkan DAP dalam pilihanraya umum dengan membatalkan pendaftaran DAP.

Jelas sekali bahawa Datuk Abdul Rahman telah membuat keputusan awal berkaitan isu tersebut sebelum siasatan selesai dan memang bersungguh-sungguh mahu mengharamkan DAP. DAP akan menentang usaha terbaru BN untuk menghancurkan DAP ini di dalam dan luar mahkamah. DAP akan bertahan dengan usaha tidak bertanggungjawab untuk mensabotaj mandat popular rakyat melalui pilihanraya yang telah memberi DAP 38 kerusi Parlimen dan 107 kerusi DUN, sehingga menjadi parti politik kedua terbesar di Malaysia.

DAP sentiasa bekerjasama sepenuhnya dengan pihak ROS dan memberi apa sahaja maklumat yang diperlukan dan DAP tidak ada apa-apa untuk disembunyikan. Di atas permintaan Datuk Abdul Rahman, saya telah bertemu dengan beliau di Pejabat Ketua Menteri di Pulau Pinang bersama Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP sebelum pilihanraya umum. Tidak ada pun Datuk Abdul Rahman bercakap tentang melakukan pemilihan semula CEC bagi menyelamatkan parti. Sebaliknya Datuk ABdul Rahman memberi jaminan bahawa beliau tidak akan membuat sebarang keputusan sehingga siasatan selesai dijalankan.

Namun dengan bertindak prejudis terhadap isu ini, Datuk Abdul Rahman jelas memungkiri janji. DAP telah dengan jujur mengakui kesilapan yang dibuat ketika mengumumkan keputusan pemilihan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak. Jelas sekali ROS besungguh mahu menghukum DAP kerana ia bertindak jujur.

DAP telah mengarahkan peguam kami untuk melihat kepada penipuan terbaru oleh Datuk Abdul Rahman ini dan menimbang kemungkinan untuk mengambil tindakan saman fitnah terhadap beliau dan akhbar The Star kerana membuat pembohongan kononnya kami ada menyatakan harapan untuk menubuhkan sebuah parti baru.

LIM GUAN ENG

Alhamdulillah, Puluhan Pekerja Asing Berasal Filipina Peluk Islam di Dubai


Dubai - Seorang ulama yang berasal dari Filipina, Rashid Indasan, menjadi saksi kepada 27 orang pekerja asing yang juga berasal dari negaranya memeluk Islam di Dubai, Kesatuan Emirat Arab (UAE). Momentum itu selanjutnya dimanfaatkan oleh Rashid untuk memberikan pesanan kepada para mualaf untuk menyebarkan Islam di Filipina.

Seperti tersiar di dalam The National, Khamis (24/7), Rashid menyatakan setiap mualaf memiliki tugas yakni membuka hati dan fikiran kalangan bukan-Muslim di seluruh dunia agar menerima kebenaran Islam.

Beliau berbicara dalam bahasa tagalog mengingatkan betapa beratnya cabaran umat Islam di hadapan. Penyelasai dari hal itu adalah bagaimana seorang Muslim tak boleh lari dari ibadah dan pada ibadah itu.

Sudah ratusan orang yang diislamkan Rashid Indasan, ulama asal Filipina tersebut. Padahal dahulu ia seorang yang membenci Islam dan Muslim.

Rashid mengungkapkan ia telah mengenal Islam sejak 1986. Ketika itu, yang ada di fikirannya soal Islam hanyalah keinginan untuk mematahkan ajaran Islam melalui perdebatan.

Kini, ia telah menjadi Muslim yang sepenuhnya. Ia aktif berdakwah di masyarakat Filipina. Pada tahun 2010 lepas, ia mendirikan Islamic Center As-Sirat Al-Mustaqim. -republika


27 Jul 2013

Perkasa-Perinbam Bertelagah Sebaik Sahaja Piagam MIRAC Ditandatangani


Perkasa ‘buat jenaka’ tubuhkan MIRAC

Usaha kumpulan ekstrimis perkauman, PERKASA menubuhkan Majlis NGO Antara Kaum Malaysia (MIRAC) konon demi memupuk perpaduan adalah mengarut kerana pertubuhan radikal itu masih berpegang dengan perjuangan perkauman sempit.

Malah, menurut Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar, tindakan mengejut mereka membuat ‘pusingan U’ menjalinkan hubungan dengan dua NGO bukan Melayu menjadi tanda tanya dan satu jenaka bagi rakyat Malaysia.

“Ia adalah tindakan yang memalukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan MIRAC sebagai satu lagi projek pembodohan rakyat tidak menolak bahawa penubuhan MIRAC merupakan satu stategi halus untuk mencapai agenda politik perkauman.

“Seperti yang kita maklum, PERKASA yang kami kenal adalah segerombolan ekstrimis yang menjadi alat UMNO untuk membakar sentimen perkauman sehingga mampu menggugat keharmonian rakyat lebih-lebih lagi pemimpin utama mereka seperti Ibrahim Ali dan Zulkifli Nordin adalah watak pelampau yang sentiasa menyuntik racun perkauman dalam minda rakyat Malaysia,” ujarnya.

Mengambil contoh kenyataan dan tindakan pemimpin PERKASA seperti Zulkifli Nordin, Sivakumar berpendapat PERKASA hanya akan memperalatkan NGO bukan Melayu yang bersekongkol dengannya untuk menyokong tindak-tanduk perkauman yang bakal dilaksanakan.

“Pertubuhan ini akan dijadikan sebagai senjata untuk menikam kaum masing-masing,” jelasnya.

Kenyataan Sivakumar itu terbukti benar sebaik sahaja piagam MIRAC ditandatangani.

“Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Nordin dalam kenyataan medianya berkata bahawa PERKASA akan membela dan memberi sokongan penuh kepada Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Nor berhubung isu ‘makan dalam tandas’.

“Ini sangat jelas membuktikan PERKASA tidak pernah dan tidak akan menjaga hati dan kesejahteraan kaum bukan Melayu di negara ini.

“Kenyataan Zulkifli yang menghina orang India dan agama Hindu masih lagi dalam ingatan rakyat Malaysia,” katanya.

Ini tambah Siva termasuk pendirian PERKASA dalam kes novel Interlok yang menghina kaum India dan Cina.

“Tambahan pula, PERKASA juga membela akhbar Utusan Malaysia yang jelas menghina kaum Cina dengan berita ‘Apa lagi Cina mahu’ sebaik sahaja selepas PRU-13,” katanya lagi. – Roketkini

PBB Gesa Bebaskan Mursi Segera, AlAwwa Nafi Ikhwanul Muslimin Pengganas


New York - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Presiden Mesir yang digulingkan Mohamed Mursi supaya dibebaskan dengan segera.

Jurucakap PBB Eduardo del Buey berkata, pihaknya juga menuntut supaya pertuduhan terhadap pemimpin tertinggi Ikhwan Muslimin dibuat secara telus.

“Tindakan itu perlu dilakukan segera bagi mengelakkan protes terus berleluasa," katanya.

Menurutnya, setakat ini lebih 60 nyawa melayang disebabkan protes itu sejak penggulingan Presiden itu pada 3 Julai lalu.

“Ramai maut dan cedera dalam rempuhan selepas solat Jumaat. Kami khuatir protes ini boleh merebak hingga ke negara jiran,” katanya.

Kelmarin, bekas Perdana Menteri Hisham Qandil mencadangkan protes boleh dilakukan tetapi perlu dibuat di lokasi yang dibenarkan secara berperingkat.

“Saya juga menggesa pihak tentera supaya memastikan kesihatan Mursi baik," katanya.

Minggu lalu, pihak keluarga Mursi merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Tentera Mesir atas tuduhan menculik Presiden itu.

Sementara itu, Pergerakan Hamas Palestin mengutuk dakwaan mahkamah Mesir menuduh Mursi mempunyai kaitan dalam pergerakan kumpulan itu.

Jurucakap Hamas Sami Abu Zuhri berkata, tuduhan itu dianggap merbahaya dan melampau kerana boleh mempengaruhi pihak lain dan menjejaskan hubungan serantau.




Cendekiawan terkemua Mesir, Muhammad Salim Al Awwa, mempersoalkan sikap Panglima Angkatan Bersenjata Mesir, Jenderal Abdul Fatah Al Sissi, yang menganggap Ikhwanul Muslimin sebagai 'teroris'.

Bekas Setiausaha Jenderal Persatuan Ulama Islam Antarabangsa itu sebaliknya menyebut Ikhwanul Muslimin adalah sebahagian dari masyarakat Mesir yang memiliki hak yang sama untuk membangunkan negeri ini.

"Terbukti Ikhwanul Muslimin telah memenangi pemilihan parlimen dan presiden tahun lalu," kata Al Awwa.

Pernyataan Al Awwa menanggapi seruan Al Sissi kepada rakyat di seluruh negara itu untuk demo besar pada Jumaat semalam sebagai apa yang disebutnya 'mandat' kepada tentera dan polis guna bertindak ke atas 'teroris'.

Tudingan 'teroris' ditujukan pada kelompok Ikhwanul Muslimin yang menentang penggulingan Presiden Muhammad Mursi oleh kudeta tentera.

Apa Yang Kau Dah Buat Ni Guan Eng?


Guan Eng bergambar bersama sebahagian pemandu teksi yang menerima insentif Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh.

Pemandu teksi P.Pinang terima durian runtuh

GEORGETOWN - Seramai 2,373 pemandu teksi dan kereta sewa mendapat insentif RM600 dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang, semalam.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif itu terkandung dalam manifesto PR pada PRU13 selain menghargai peranan mereka sebagai barisan hadapan di negeri ini.

Menurutnya, pembayaran insentif itu dilakukan dua kali iaitu RM300 untuk bayaran setengah tahun yang pertama dan selebihnya pada Januari depan.

“Baki RM300 hanya akan dibayar jika mereka terus memberi perkhidmatan terbaik.

"Jika ada aduan mengenai salah laku mana-mana pemandu teksi, kerajaan negeri tidak teragak-agak menarik balik baki insentif itu," katanya pada majlis penyerahan insentif kepada pemandu teksi dan kereta sewa di daerah Timur Laut, di sini, hari ini.

Bagi daerah Timur Laut, seramai 843 pemandu teksi dan kereta sewa layak menerima insentif berkenaan.

Guan Eng berharap sumbangan itu mampu meringankan beban terutama kepada mereka yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri. -SH

[KISAH MASYARAKAT] Dila Dibogel & Dicabul Ah Long

Kuala Lumpur - Bukan hanya dibogel dan dicabul, malah seorang gadis berusia 18 tahun turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya gagal menjelaskan hutang ah long.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun lalu, namun gagal membayar balik.

“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah long mula datang mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.

Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.

Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.

“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul bergilir-gilir," katanya.

Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut secepat mungkin.

Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu, berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya mempunyai ibunya untuk membantu.

Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.

“Abang sulung pernah mencabul salah seorang daripada kakak saya, sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.

Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak berpuas hati dengan masakannya. -SH