10 Mac 2015

Husam: 1MDB - Najib Perlu Disiasat & Letak Jawatan Sebagai Menteri Kewangan


Husam minta Najib letak jawatan menteri kewangan semasa 1MDB disiasat

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa hari ini menggesa Datuk Seri Najib Razak berundur jawatannya sebagai menteri kewangan sepanjang siasatan audit ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, perdana menteri juga harus meletak jawatan sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB sementara menunggu hasil semakan Ketua Audit Negara ke atas akaun dana pelaburan strategik negara itu.

"Saya menggesa perdana menteri mengosongkan kerusinya di 1MDB dan sebagai menteri kewangan, sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak sebarang kerumitan," beliau memberitahu media di luar balai polis Dang Wang hari ini.

Terdahulu, Husam membuat laporan polis mendesak pihak berkuasa menyiasat Najib berhubung satu perjanjian dibuat antara tahun 2009 dan 2010, melibatkan sejumlah AS$1 bilion dalam usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi International.

Menurut kenyataan di Facebook beliau, Husam berkata, beliau membuat laporan polis meminta penyiasatan dilakukan mengikut Seksyen 405 kesalahan Jenayah Pecah Amanah di bawah Akta Kesalahan Jenayah 574.

"Ia meliputi pembayaran AS$700 juta oleh 1MDB kepada Good Star Limited Seychelles.

"Dan siasatan ke atas Najib serta ahli lembaga dan pengurusan 1MDB pada tahun 2009 dan 2010 mengenai pembayaran oleh 1MDB sebanyak AS$1 billion (bersamaan RM3.48 billion mengikut tukaran pada masa itu) kepada syarikat usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited bernama 1MDB PetroSaudi Ltd tanpa mempunyai profil syarikat rakan usaha sama, tanpa semakan aset yang diisytiharkan yang kemudiannya didapati tidak wujud dan tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan lembaga 1MDB."


Husam berkata, beliau merujuk majalah The Edge, keluaran 9 - 15 Mac 2015, khususnya laporan utama muka depan dan laporan di dalam mengenai perjalanan pelaburan 1MDB.

Beliau turut melampirkan majalah itu bersama laporan polis yang dibuat.

"Jika laporan The Edge itu benar, jelas menteri kewangan pada waktu transaksi itu berlaku tidak berkeupayaan menjaga kepentingan kewangan negara dan mesti bertanggungjawab atas apa yang berlaku.

"Ini menguatkan alasan untuk beliau mengosongkan kerusi menteri kewangan," katanya.

Minggu lalu, pendedahan yang dibuat laman web pemberi maklumat Sarawak Report mendorong pemimpin pembangkang, bekas pemimpin Umno dan badan pencegah rasuah menuntut siasatan menyeluruh ke atas 1MDB dan mengenakan tekanan ke atas Najib yang juga pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Rabu lalu, beliau mengarahkan Ketua Audit Negara "mengesahkan akaun 1MDB secara bebas" dan mengemukakan hasil semakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Parlimen.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang usaha menangani isu 1MDB tidak wajar melibatkan tindakan menyelamat (bail out) syarikat tersebut dengan menggunakan dana awam.

Beliau juga berkata, lembaga pengarah 1MDB perlu memberi penjelasan tentang beberapa urusniaga yang kelihatan tidak memberikan keuntungan jangka panjang kepada syarikat dan kerajaan.

Muhyiddin juga mahu Ketua Audit Negara mengaudit akaun 1MDB berhubung tuduhan penyelewengan yang dilemparkan terhadap dana pelaburan strategik itu mengenai urusniaga yang dibuat sejak tahun 2009 yang tidak termasuk dalam tahun kewangan 2013 yang diaudit firma Deloitte.

Husam berkata, beliau menyokong pendirian Muhyiddin supaya laporan audit forensik dilakukan ke atas 1MDB dan semua anak syarikat atau usaha samanya dengan seberapa segera dan satu Kertas Putih dibentangkan di Parlimen.

Terdahulu hari ini, pemimpin Umno peringkat cawangan Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menggesa Najib meletak jawatan sebagai menteri kewangan bagi memastikan siasatan lebih telus dan tiada gangguan terhadap semakan akaun secara bebas Ketua Audit Negara.

Sabtu lepas, Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong, juga menggesa Najib meletak jawatan bagi memudahkan siasatan yang telus dan bebas terhadap akaun 1MDB.


1MDB: Muhyiddin patut ganti Najib, kata PAS

Datuk Seri Najib Abdul Razak didesak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan sementara menunggu selesai siasatan terhadap syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib presiden PAS Datuk Husam Musa juga berkata perdana menteri harus berundur daripada jawatannya sebagai pengerusi lembaga penasihat 1MDB, syarikat milik penuh Kementerian Kewangan yang dilanda hutang RM42 bilion, sehingga siasatan itu selesai.

Bercakap kepada media selepas membuat aduan polis terhadap 1MDB di Kuala Lumpur hari ini, Husam berkata penting bagi Najib berbuat demikian bagi melancarkan proses siasatan.

"Dalam tempoh ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus menggantikan tempat Najib," katanya di luar balai polis Dang Wangi.

Tambahnya, dalam laporan polis, beliau menggesa pihak berwajib menyiasat bayaran RM2.6 bilion (AS$700 juta) yang dibuat oleh 1MDB kepada syarikat Good Star Ltd di kepulauan Seychelles.

Husam berkata pihak berkuasa harus menyiasat Najib sebagai menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, dan juga pihak pengurusan syarikat terbabit.
-mk



9 Mac 2015

Subky: Jika Tiada Yang Mahu Kpd Anwar, Biar Saya Seorang Yang Mahu & Ingat Kepadanya...


Anwar sanggup mati di penjara kerana peribadi?
Oleh Subky Latif
SAYA tidak rapat dengan Dato’ Seri Anwar ibrahim sejak dia mencebur diri dalam politik. Sebelumnya saya memang mendekatinya.Semasa dia jadi menteri, ada dua/tiga kali terserempak dengannya. Selepas bebas penjara dua–tiga kali juga bertemunya sekalipun dia mengetuai pakatan yang parti saya PAS menjadi sekutunya.

Saya terharu dia dipenjara lagi dan saya bangga dia sanggup dipenjara dan sedia mati di penjara bagi membebaskan negara dan rakyat dari belenggu penindasan dan cengkaman kezaliman sejak merdeka.

Jika dia dikatakan berjuang untuk jadi perdana menteri, sedikit saja betulnya.

Tetapi jika dikata dia hendak jadi perdana menteri, ia adalah betul. Tetapi mengapa untuk jadi perdana menteri sanggup dipenjara dan sedia mati di penjara sedang harapan jadi perdana menteri belum tentu jadi?


Lalu ada yang mengata tinggalkanlah dia jadi laksana haiwan raksasa yang dikatakan wujud zaman purba justeru perjuangannya demi peribadi saja, bagi yang bersamanya hanya memikul liabiliti. Dari masa ke semasa seteru politik akan menubi kelemahan yang dipaksa ke atasnya.

Jika dia hendak jadi Perdana Menteri biarkan dialah justeru perlembagaan membenarkan setiap rakyat yang lahir di Malaysia berhak bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri dan perlembagaan juga tidak melarang setiap laki-laki ingin kahwin dengan Siti Nurhaliza sekalipun yang dapat mengahwininya hanya seorang saja.

Saya mahu bersama Anwar bukan sekadar hendak menjadikan perdana menteri saja tetapi dia mampu mengembleng tenaga dan pengaruh bagi meruntuhkan belenggu kezaliman dan penindasan golongan lintah darat sejak merdeka.

Kata Almarhum Ustaz Fadzil Muhammad Noor, Umno sudah jadi kurafat dan ia perlu diruntuhkan. Saya termakan dengan mantiknya, justeru kurafat boleh membelenggu kepercayaan rakyat dan selagi ia tidak dirunuhkan, maka sekalian terus menerus dibelenggu kurafat itu.

Kerana Umno yang menindas itu tidak dapat diruntuhkan, bukan saja sekalian jadi pencarum kurafat, maka banyaklah keroskan berlaku di alam kita, pada politik, ekonomi, sosial, akhlak, akidah dan lain-lain. Jika dibenarkan mustakbirin ini berterusan, maka tiada jaminan masa depan negara dan generasi terkemudian.


Banyak yang sudah kita laku dan korbankan bagi menghalang semua keruntuhan, tetapi belumlah banyak yang dapat dibuat, bahkan belum nampak kezaliman dan penindasan itu dapat dicegah.

Harapan meruntuhkan monopoli mustakbirin khurafat BN ini hampir dapat dilakukan dengan kita dapat bersama Anwar Ibrahim. Anwar sendiri pun tidak dapat buat apa-apa. Kita saja pun belum dapat buat apa-apa juga, tetapi dengan kita bersama Anwar tembok besi Putrajaya itu sudah digoncang.


Ia sekadar belum diroboh tetapi sudah pernah digegar.

Hanya nasib belum memihak kepada perubahan. Kita telah saksikan, sekalipun Anwar itu dikatakan tampil dengan agenda peribadi, tetapi kita sendiri rasakan, tembok yang tidak dapat ditembusi lebih 50 tahun itu telah retak di sana sini dengan paduan tenaga bersamanya sekalipun dia ada mimpi lain.

Saya boleh terima anwar masuk Umno dulu kerana hendak jadi perdana menteri. Dia hampir berjaya.

Jika ia semata-mata agenda peribadinya, dia setangga saja lagi, jika sanggup menangguk kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad atas semua yang dimahunya seperti yang Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Mohd Najib Abdul Razak buat, dia sudah dapat agenda peribadinya itu. Tetapi dia dibuang ketika dia adalah pengerusi jawatankuasa kabinet antipenyelewengan.

Kerana dia mengutamakan membersih penyelewengan semua orang yang bersamanya, maka mereka buang dia dulu sebelum dia buang mereka.

Dan jika agenda peribadi jadi keutamaannya, dia tahu kesaktian Umno, bukanlah mudah untuk dileburkan.

Hanya melalui Umno saja kuasa dapa dicapai, itu jua fikiran khurafat, dia tidak cari jalan untuk masuk semula Umno seperti yang banyak orang sangka. Dia tubuh parti dan terus bersama pembangkang. Dia tahu selama lebih 50 tahun pembangkang tidak dapat tumbangkan kerajaan.

Mengapa dia mahu kekal bersasma pembangkang bagi melakukan perubahan?

Kita tahu Anwar ditawarkan jawatan besar dalam agensi PBB sebaik lulus universiti.

Dia tolak gaji empat angka dolar Amerika tetapi buka Yayasan Anda bergaji kecil. Perjuangan peribadi jarang menolak tawaran lumayan.


Orang balik Mesir, Jordan dan Madinah tak tolak jawatan mufti dan penasihat agama perdana menteri, tetapi Anwar plih kerja yang bergaji kecil.

Banyak yang tempelak Anwar utamakan diri dan peribadi, tetapi dia buat kerja yang memungkinkannya hidup di pejara lebih lama dari duduk dalam kabinet. Orang yang berkokok itu buat apa?

Sedarkah tentang rasuah menjadi-jadi dan penyelewengan merata-rata, tapi lebih senang terima jawatan bergaji besar sedang rakyat menderita dan ditindas?

Saya sedar politik Anwar hari ini tidak sama d engan politiknya sebelum masuk politik itu. Pandangan Islam sudah berbeza. Tidak nampak ada persamaannya dengan apa yang PAS mahu dulu dan akan datang.

Tetapi kita mesti faham bahawa suasana selepas 50 tahun lebih negara dibawah politik zalim dan penindasan, tidak semua yang hendak bua ketika PAS diubuhkan dulu dapat dibuat.

Banyak yang tidak dapat dibina di samping ada banyak lagi yanag dapat dibuat.

Kehadiran Anwar dalam Pakatan Rakyat memberi harapan boleh menggantikan kerajaan yang ada dengan kerajaanyang kita sertai b e r sama Anwar nanti.

Walaupun kerajaan yang Anwar pimpin itu tidak dapat memberi sesmua apa yang PAS mahu, tetapi yang pertama, kita sama-sasma boleh runtuhkan mustakbirin. Sekalipun Anwar tidak penuhi semua yang PAS mahu, tetapi dia tentu tidak teruskan penindasan dan kezaliman seperti yang kerajaan mustakbirin buat sekarang.

Perjanjian kita d engan Anwar bukanlah ditentukan hingga kiamat. Sekali pun kita bercadang untuk bersama selama mungkin, tetapi kita boleh kaji dari masa ke semasa.

Kita boleh bersama selagi kita mahu dan selagi Anwar mahu. Jika Anwar jadi perdana menteri, belum tentu dia terima hudud yang PAS mahu.

Dia mungkin terima dam mungkin tawakuf, tetapi pada peringkat awal kerajaan itu akan bekerja siang malam bagi membasmikan penyelewengan, membendung dan maenghukum gejala rasuah, menegakkan keadilan dan paling utama memastikan negara tidak muflis seperti Greece dan lain-lain.

Dan jika Anwar pula masa itu buat pula macam yang Umno, suatu yang malaikat simpangkan dengan izin Allah, maka kita berfikir pula pada ketika itu. Yang penting kurafat Umno sudah dibersihkan.

Kiranya Umno ada lagi masa itu, ia tentunya Umno lain. Kita akan hadapi pula mana-mana pihak yang jadi macam Umno lagi.

Maka pada saya, ajaiblah kalau Anwar itu utamakan peribadi dan perjuangan ummah dengan sanggup duduk lama dan berkali-kali dalam penjara, berpisah dari muda hingga tua dengan isteri, anak- anak dan cucu.

Orang yang utamakan peribadi tidak sanggup tinggalkan cucu dan dalam usia yang warga emas itu, sanggup bermalam sendirian semasa sakit dan demam.

Mana orang penting diri sanggup mati dalam penjara. Saya tidak sanggup. Maka saya tidak boleh perkecilkan orang yang sanggup seperti Anwar . Saya bangga dengannya, jika tiada lagi yang mahu kepadanya, biarlah saya seorang yang mahu dan ingat kepadanya. Pengorbanannya untuk membebaskan negara dari penyelewengan dan penindasan akan dikenang selama-lamanya. -detikdaily



[BONGKAR] Hassan Malek Itu Sepupu Rosmah Mansor, Itu Sebab Jadi Menteri Penuh


Bekas setiausaha agung Umno dedah ‘skandal’ Bank Rakyat dalam buku baharu

Skandal Bank Rakyat RM32 juta yang mendapat perhatian ramai tahun lepas kini diceritakan dalam sebuah buku berjudul "Membongkar Skandal Deepak & Bank Rakyat" tulisan Shahbudin Husin, yang dilancarkan hari ini oleh pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Buku yang dikarang penulis blog terkenal itu menampilkan wawancara dengan bekas pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Sabbaruddin Chik, yang juga bekas setiausaha agung Umno.

Dalam buku terbaharu Shahbudin ini, beberapa perkara dibongkar melibatkan peranan usahawan permaidani, Deepak Jaikishan dalam skandal Bank Rakyat.

Buku itu mendedahkan hubungan Deepak dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan layanan istimewa diberikan kepada beliau dalam isu pinjaman Bank Rakyat.

Sanusi semasa berucap melancarkan buku itu di Petaling Jaya hari ini, berkata tidak pernah dalam sejarah Umno seorang bekas setiausaha agung dimalukan dan dihina seperti dilakukan terhadap Sabbaruddin.

"Belum pernah daripada 21 bekas setiausaha agung Umno dimalukan dan dihina seperti yang dilakukan ke atas Sabbaruddin," kata Sanusi, yang merupakan menteri semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kontrak Sabbaruddin sebagai pengerusi Bank Rakyat berakhir pada 8 April 2014 dan tidak disambung di atas arahan Datuk Seri Hasan Malek.


Hasan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan, didakwa masuk campur isu penyambungan kontrak Sabbaruddin kerana tidak berpuas hati dengan bekas pengerusi Bank Rakyat tersebut.

Sabbaruddin berkata tujuan buku ini diterbitkan adalah bagi menegakkan keadilan bagi dirinya.

"Saya rasa ini tidak adil kepada saya dan mereka yang terlibat. Beliau (Hasan) menyalahguna kuasa," katanya.

Buku itu mengandungi 26 bab dan diterbitkan Special One Publication.

Antara artikel yang dimuatkan adalah kenyataan Sanusi dan juga Tengku Razaleigh Hamzah yang lantang membangkitkan skandal tersebut.

Turut hadir pada majlis hari ini bagi menyatakan sokongan adalah bekas ketua pengarang The New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Deepak sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Beliau pernah menyaman Putrajaya kerana melanggar perjanjian tanah di Bukit Raja, Selangor, dan ditarik balik pada hari yang sama.

Kemudiannya, syarikat milik tabung kerajaan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Bhd mengumumkan pada 2012 membeli 80% saham syarikat individu tersebut, Astacanggih Sdn Bhd dan sebidang tanah bernilai RM130 juta milik Awan Megah Sdn Bhd, syarikat ketua wanita Umno Selangor, Senator Datuk Raja Ropiaah Abdullah.

Penerbitan buku ini dijangka menambah tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sudah berdepan pelbagai skandal, antaranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendedahan New York Times mengenai harta pusaka.

Kedudukan Najib juga tidak berada dalam keadaan baik pada ketika bekas perdana menteri, Dr Mahathir juga lantang mengkritik pentadbirannya. -TMI

Sabbaruddin hanya geram dengan Hasan Malek, bukan Rosmah atau pun Najib

Lokasi : Zam Zam Cafe & Satay Club, Damansara, Selangor
Acara : Pelancaran buku "MEMBONGKAR SKANDAL DEEPAK & BANK RAKYAT"
Tarikh : 4/3/2015

Saya masih belum berkesempatan membaca habis buku Membongkar Skandal Deepak dan Bank Rakyat ini tetapi daripada bacaan yang telah saya buat dan melalui kenyataan yang diperolehi daripada Tan Sri Sabbaruddin Chik dalam sesi sidang media dapat saya membuat rumusan berikut :

1. buku ini tidak bertujuan menjatuhkan kepimpinan Najib Razak

2. Sabbaruddin Chik sendiri tidak mengetahui bahawa Menteri KPDNKK, Hasan Malek ada lah sepupu kepada Rosmah Mansor and the board of directors was not intimidated by Rosmah.

3. Pihak Lembaga Pengarah Bank Rakyat telah menuntut Deepak membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM5 juta sebagai "show of sincerity" dalam membuat pembayaran balik pinjaman berbaki RM32 juta dan baki nya dibayar secara ansuran.

4. Hasan Malek telah mencampuri urusan pentadbiran dengan 'memaksa' Pengerusi Bank Rakyat dan lembaga pengarah untuk menerima pembayaran melalui 120 keping post dated cheques. Cara begini bukan amalan Bank Rakyat dalam menuntut pembayaran semula hutang.

5. Setelah berlaku perselisihan faham mengenai skim bayaran balik pinjaman Deepak, Menteri KPDNKK tidak memperbaharui kontrak Pengerusi Bank Rakyat . Kini setelah hampir setahun setelah kerusi Pengerusi dikosongkan , masih belum ada pengganti yang dilantik oleh Menteri KPDNKK.

6. Jelas Sabbaruddin Chik begitu geram dengan tindakan Menteri KPDNKK memecat beliau tanpa pertemuan empat mata dan tanpa memberi peluang membela diri. Beliau juga kecewa Perdana Menteri yang beliau kenal rapat tidak langsung menunjuk minat untuk mengetahui apa yang berlaku kepada beliau.

Buku ini kini boleh diperolehi dari Pustaka Mukmin, Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan harga RM30 senaskah.

-jinggo-fotopages


Siapa Sebenarnya Mahu Hj Hadi Digulingkan?


Hadi Awang boleh dicabar

GEORGE TOWN: Tidak timbul soal perpecahan jika ada pihak ingin mencabar jawatan presiden pada Muktamar Tahunan ke-61 PAS Pusat Jun depan, tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau berkata, ada kemungkinan berlaku pertandingan pada pemilihan kali ini walaupun ada yang menyatakan jawatan presiden yang disandang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak perlu dicabar.

Menurut Mujahid, secara tradisinya jawatan presiden PAS memang tidak pernah dicabar selepas zaman bekas presiden parti Islam itu Tan Sri Asri Muda yang meletak jawatan pada Oktober 1982.

“Tetapi masa berlalu, ahli (PAS) lebih matang. Apabila ada satu pencalonan untuk kerusi presiden, walaupun dianggap tidak pernah dibuat, tetapi secara perlembagaan ia bukan satu kesalahan kerana PAS mengamalkan demoraksi,” kata Mujahid.

Beliau berkata, cabaran untuk jawatan presiden mungkin berlaku kerana ahli mengharapkan pemimpin yang boleh membawa hasrat parti dalam keadaan sekarang.

“Faktor Pakatan Rakyat (PR) juga mempengaruhi trend pencalonan seolah-olah ada dalam PAS yang melihat PR perlu dikekalkan dan untuk mengekalkannya, ia memerlukan pemimpin yang dinamik, terbuka dan boleh bekerjasama dengan rakan sekutu,” katanya.

Mujahid, yang juga anggota Parlimen Parit Buntar berpendapat pertandingan jawatan presiden harus diterima secara terbuka dan memahami semangat serta pengaruh perlembagaan parti yang mengamalkan pemilihan secara demokratik.

Ditanya mengenai kebimbangan berlaku pergolakan dalam parti jika jawatan presiden dicabar, Mujahid berkata ia perkara biasa dalam mana-mana parti.

“Begitulah tanggapannya akan berpecah…tetapi apabila memahami secara matang kita bertanding, kalau menang maka kemenangan itu adalah atas pemilihan perwakilan, kalau kalah juga ia atas pemilihan pewakilan.

“Jadi kalau kita kata demokrasi, kita bersedia untuk menang dan kalah. Tidak timbul soal nak pecah. Saya tidak bersetuju kalau selepas pertandingan menjadikan parti itu pecah dan juga tidak bersetuju atas alasan itu kita kata jangan bertanding. Kita harus kembali kepada semangat bersaing,” katanya. -FMT

ULASAN GB

Berkali-kali GB sudah ulas sebelum ini bahawa tiada kesalahan apa-apa dan tidak berdosa untuk sesiapa pun bertanding melawan Haji Hadi. Cuma golongan pentaksub saja yang berlebih-lebihan cuba menghalang pertandingan itu berlaku. Dituduhnya mereka yang cuba bertanding jawatan presiden itu sebagai "anti-ulama". Sungguh dasyat.

Malah dituduhnya mereka itu mahu "menggulingkan" Haji Hadi sebagai Presiden lalu dikaitkan senario-senario yang mereka temui untuk dijadikan "bahan-bukti" kononnya sudah ada kumpulan yang merancang "penggulingan" itu.

GB sudah menyemak apa yang dikatakan akuan bersumpah (printscreen WA) dan juga rakaman audio yang dikatakan ada pemimpin PAS yang mahu menggulingkan Hadi.

Tidak ada satu perkataan pun di dalam kedua-dua "bahan-bukti" itu ada menyebut perkataan "guling". Yang sibuk menggunakan perkataan "mahu gulingkan Hj Hadi" hanyalah kumpulan pro-ulama sendiri. Berarti sebenarnya golongan pro-ulamalah yang mahu Haji Hadi digulingkan kerana "kullu kalam ad-dua" (setiap perkataan adalah doa). Siapa yang menyebut perkataan guling itu dialah sebenarnya mendoakan Haji hadi digulingkan.

Maka jika Hj Hadi tergeuling dari jawatan Presiden, maka pro-ulamalah yang menyebabkannya.

Saya tertarik dengan hujah seorang wartawan SUbky Latif (seorang yang kuat mmenyokong ulama) sendiri di dalam akhbar Harakah, yang menyatakan isunya ialah mencari pengganti, bukan untuk mengguling Presiden..

8 Mac 2015

[BERGAMBAR] Jika Benar, Maka Ia Adalah "Kerja-kerja Bodoh" Pro-Ulama


Di dalam kesibukan rakyat bangkit untuk berdemontrasi #kitalawan petang semalam, tiba-tiba tersebar sekeping gambar palsu yang tertera "Undur Hadi" di dalam portal The Malaysian Insider.

Gambar itu dipercayai dilakukan untuk memburukkan demonstrasi berkenaan oleh kumpulan yang tidak menyetujui penganjurannya. Ia dilakukan untuk meraih simpati ahli PAS kononnya demonstrasi yang diadakan bertujuan untuk "menggulingkan" Hj. Hadi sebagai Presiden PAS.

Ketua Pemuda PAS, Suhazan Kayat telah menegur portal berkenaan yang menyebarkan gambar sumper-imposed itu.


The Malaysian Insider telah tampil memohon maaf di atas gambar yang disiarkan itu tentang peserta demonstrasi #Kitalawan yang berkumpul di hadapan Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur memegang banner dan poster bertulis “Undur Hadi”, merujuk kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Penyiaran gambar tersebut berlaku kerana kesilapan yang tidak disengajakan dan The Malaysian Insider tidak berniat untuk melakukan sabotaj kepada sesiapa, jelas portal berkenaan.

Gambar tersebut sudah dikeluarkan petang semalam sebaik sahaja The Malaysian Insider menyedari ianya merupakan gambar palsu‎ dan tidak datang daripada kakitangan kami, tambahnya.

Berikut ialah video yang merakamkan keadaan sebenar di depan Pejabat Agong PAS.


Ramai pemimpin PAS turut hadir di dalam demontrasi yang mendesak "Undur Najib". Namun yang nyata kumpulan pro-ulamak tidak menyertainya. Mereka mungkin lebih selesa untuk bersama UMNO dan tidak bersama-sama dengan rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat di dalam demonstrasi semalam.

Oleh kerana tidak kelihatan kelibat kumpulan pro-ulama (baca: UG) di dalam demontsrasi semalam, maka ramai yang menyatakan bahawa gambar edit itu adalah kerja tangan-tangan mereka bagi memburuk-burukkan demontsrasi berkenaan.

Jika benarlah ia dilakukan oleh kumpulan pro-ulama, maka apa yang dikatakan sebelum ini bahawa kumpulan pro-ulama ingin membawa PAS keluar dari Pakatan Rakyat nampaknya menjadi semakin benar dan tindakan tersebut jelas bertentangan dengan resolusi-resolusi Muktamar PAS bertahun-tahun iaitu untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

GB gembira dengan apa yang berlaku itu kerana ia mendedahkan sikap dan perwatakan sebenar watak pro-ulamak. Oleh kerana tindakan mereka itu bertentangan dengan resolusi muktamar maka Muktamarlah nanti yang bakal menghukum kumpulan tersebut.

Hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan.... wajah dan sikap mereka yang sebenar akan terus terdedah...

Berikut pula ialah foto-foto pemimpin Pakatan Rakyat termasuk PAS yang ada turut serta di demonstrasi semalam.



[VIDEO & GAMBAR] 10,000 #KitaLawan Berarak Ke KLCC


Malaysiakini membawa kepada anda laporan secara langsung mengenai perhimpunan Kita Lawan di ibunegara.

LAPORAN LANGSUNG 5.36pm: Pintu KLCC. Kumpulan penghibur demonstrasi, D'BangsART kini menghiburkan pengunjung dengan nyanyian lagu-lagu politik.

Dengan paluan gendang, sebahagian peserta himpunan mengangkat-angkat tangan ke udara mengikut rentak lagu.

5.35pm: KLCC - Nik Nazmi mengumumkan jumlah peserta hari ini dianggar seramai 10.000 dengan memetik Malaysiakini.

"Bagi saya jumlah itu dianggap konservatif. Ada ramai lagi yang turut serta," katanya.

Katanya lagi, himpunan ini berjaya dan yakin gambar-gambar perhimpunan ini akan ditayangkan dalam perhimpunan hari ini.

"Perjuangan ini tidak mudah, kita perlu berusaha lebih dan kita tidak akan mengalah," katanya sambil mengucapakan terima kasih kepada pihak polis.

5.30pm: KLCC - Ada lagi letupan kedengaran, tetapi orang ramai kelihatan tenang

Seorang peserta, Nicholas Law, 27, memberitahu Malaysiakini yang dia percaya ia mungkin satu cubaan untuk menakut-nakutkan orang ramai.

"Mereka mungkin cuba hendak menakut-nakutkan kami, tetapi setakat ini tidak ada yang panik," katanya.

Beliau juga menyangkal dakwaan ada percubaan untuk melaga-lagakan antara rakan Pakatan menjelang perhimpunan tersebut.

"Semua orang ada di sini, jadi ia bukan satu isu," katanya.

Unit pasukan petugas khas DAP telah membantu memudahkan pergerakan orang ramai, supaya mreka tidak menyekat laluan lalulintas.

Sementara PAS Unit Amal pula ditugaskan untuk memastikan keselamatan keseluruhan perhimpunan ini.

5.25pm: KLCC- Ketua Pemuda DAP Teoh Kok Seong berkata perhimpunan hari ini dianggap berjaya kerana berlangsung dengan jayanya dan berlangsung dengan aman.

"Kita tunjuk solidariti hantar mesej rakyat bahawa kita muak dengan Najib dan mahu Najib undur.

"Himpunan ini berjaya, himpunan aman, untuk rakyat Malaysia dan bukan seseorang (tertentu) atau parti politik," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepda semua peserta.

5.20pm: KLCC - Kumpulan anak muda dari UBU menghibur peserta dengan menyanyikan lagi "Ole-ole, Malaysiaku" sambil diringi paluan drum. Sebahagaian mereka turut menari mengikut aluan paluan drum.

5.10pm: Naib Presiden PKR yang juga anak sulung Anwar - Nurul Izzah - berkata beliau begitu terharu dengan sokongan mereka yang hadir hari ini.

Katanya, beliau amat berbangga menjadi rakyat Malaysia dan bila melihat begitu ramai yang menyertai perhimpunan hari ini.

Perhimpunan ini, tegasnya, bukan hanya mengenai Anwar tetapi rasa tidak puas hati rakyat dengan rejim Najib dan bagaimana ia memberi kesan kepada mereka.

Banyak isu seperti GST dan 1MDB yang telah mendorong rakyat turun ke jalanan, katanya kepada Malaysiakini.

5.09pm: Jalan Ampang - Bunyi letupan mengejut orang ramai, yang kemudiannya menyedari bahawa ia adalah bunyi mercun.

5,02pm: Jalan Ampang. Kira-kira 2km berjalan dari Sogo ke Jalan Ampang, peserta tidak menujukkan tanda penat dan terus bergerak ke KLCC.

Mereka dengan bersemangat dan berulang kali melaung rakyat bangkit, tolak BN, jatuh Rosmah, bebas Anwar.

5pm: Ribuan bermandikan hujan sambil menyanyi dan memukul gendang ketika berarak ke KLCC.

Teriakan "Reformasi" dan "undur Najib" berkumandang ke udara.

Seorang peserta kelihatan membawa sebuah patung yang seolah-olah menyerupai Perdana Menteri Najib Abdul Razak. Orang ramai diketuai oleh sekumpulan yang membawa poster besar sepanjang dua lorong jalan.

4.53pm: Peserta sampai ke persimpangan Jalan Sultan Ismail-Jalan Ampang dekat hotel Renaissance. Sekarang mereka membelok ke Jalan Ampang menuju ke KLCC kira-kira 1 km dari persimpangan itu.

Jalan Ampang dari arah bertentangan masih dibuka kepada lalulintas dan pemimpin mengarahkan perserta tidak menggangu lalulintas.

Polis trafik terpaksa melencongkan kenderaan dari Jalan Ampang menghala ke Bukit Bintang.

4.43pm: Jalan Sultan Ismail. Walau hujan perserta tidak berganjak sebaliknya melaungkan 'kita lawan', 'kita tak berganjak'. Kenderaan yang melalui arah bertentangan bergerak perlahan apabila ada peserta turut melalui jalan itu menuju ke KLCC.

4.33pm: Peserta mula melalui Jalan Sultan Ismail menuju ke KLCC. Pengguna lalulintas yang melalui Jalan yang bertentangan membunyikan hon. Laungan bebas Anwar dan undur Umno.

4.30pm: Sogo: "Hidup Mahathir, Hidup Anwar"

Sekelompok peserta yang mengelar diri datang dari "kelab akar umbi PKR" muncul di Sogo dengan kain rentang Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kumpulan itu meluang "Hidup Mahathir, Hidup Anwar".

Apabila ditanya, salah seorang ahli PKR bernama Jaz berkata, mereka mahu PKR bekerjasama dengan Mahathir kerana hanya Mahathir boleh membebaskan Anwar.

"Kamu rasa Mahathir tu anak kecil ke? Dia boleh buat perkara besar.

"Sekarang PKR tiada lagi orang yang berani selepas Anwar masuk penjara. Azmin pun senyap saja.

"Maka, Mahathir ialah harapan kita!" kata Jaz.

Pada masa yang sama, terdapat ahli PKR yang tidak senang dengan tindakan kumpulan ini dan mereka melaungkan "undur Mahathir".

Pihak yang tidak senang itu minta kelompok itu menunjukkan kad PKR untuk mengesahkan identiti mereka.

Jaz pun tunjukkan kad ahli PKRnya dan kedua-dua pihak hampir bertelagah.

Kelompok yang menyokong Mahathir itu meninggal tempat himpunan selepas 30 minit.

4:23pm: Sogo - Peserta bergerak ke KLCC mengikut lawan arus melalui jalan TAR diiringi paluan gendang, laungan bebas Anwar dan bebas kehakiman.

Dianggar 10,000 peserta bergerak ke KLCC.

4.16pm: Ahli MPP PKR, Fariz Musa umum peserta bergerak ke KLCC sekarang.

4.13pm: Dr Hatta Ramli bersama-sama Nurul Nuha dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di atas trak Hilux untuk menyampaikan ucapan.

Ribuan peserta berada di hadapan Sogo untuk mendengar ucapan pemimpin.

Cuaca mendung, dan hujan mula rintik-rintik tapi peserta tidak berganjak.

Sementara itu Wan Azizah mengucapkan penghargaan terhadap peserta yang menunjukkan solidariti untuk pembebasan Anwar.

4pm: Sogo "Kita lawan, we will never surrender" bergema di Sogo apabila Datuk S Ambiga menyampaikan ucapan.

"Saya hadir ke sini untuk menuntut kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita bersolidariti tuntut hak demokrasi. Marilah kita bersama -sma juang, kita fight untuk anwar ibrahim.

"I will never surrender, we will never surrender. Kita lawan," kata Ambiga sambil diiirngi peserta.

Turut berucap ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat.

3.55pm: - Sogo - Dr Hatta dan para pimpinan dari PAS HQ sampai di persimpang empat berdepan Sogo. Mereka bersama dengan peserta lain yang sedia menunggu sebelum ini. Laungan "Undur Rosmah" berulang-ulang kali bergema di Sogo.

Jalan di antara Sogo dan Kompleks Pertama tersekat oleh peserta. Manakala kenderaan lain perlu melencong ke Jalan Dang Wangi atau melalaui jalan TAR yang masih boleh dilalui kenderaan.

3.50pm: Antara pemimpin Pakatan yang kelihatan di Masjid Jamek ialah Anthony Loke, Liew Chin Tong, Tan Kok Seong dan William Leong

ADUN PAS dari Hulu Kelang Saari Sungib juga kelihatann.

Semasa berucap, Anthony Loke berkata Pakatan akan memastikan Anwar terus menjadi ketua pembangkang.

"Jiwa dan semangat Anwar tidak akan dipenjarakan.

"Kita akan menyampaikan suara Anwar di sidang di Parlimen.

"kita akan memastikam Anwar terus menjadi ketua Pakatan Rakyat untuk menjatuhkan BN," kata Loke yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat hadir ke perhimpunan hari ini.

Saari Sungib semasa berucap berkata ini bukan himpunan PKR tetapi himpunan rakyat negara.

"Lawan tetap lawan, kita akan terus berjuang dan melangkah ke Putrajaya," laung Saari.

345pm: PAS - Peserta dari KQ PAS kini memasuki Jalan TAR selepas melepasi Jalan Sultan Ismail. Mereka melaung Hidup Rakyat dan Undur Rosmah. Lalulintas berjalan seperti biasa dengan dikawal oleh polis trafik.

340pm: PAS HQ - kira-kira 300 peserta diketuai Dr Hatta Rami memimpin peserta mula bergerak ke Sogo.

Mereka melaungkan bebas Anwar dan undur Najib, undur Rosmah berulang kali.

Peserta turut membawa kain rentang "Kita Lawan" dan melaungkan reformasi dan bertakbir serta sempat juga melambai kepada peancong yang merakamkan perarakan mereka.

Mereka bergerak di Jalan Raja Laut dengan melawan arus sambil dikawal oleh Unit Amal.

3.30pm PAS HQ- Hujan rintik-rintik mulai turun dan guruh berdentum di langit.

3.25pm - PAS HQ - Sementara itu AJK PAS Pusat Khalid Samad berkata peserta hari ini secara aman pergi Sogo menyatakan sokongan kepada Anwar yang dianggap tahanan politik.

"Apa yang dilakukan adalah fitnah untuk pecahkan dan lemahkan pakatan.

"Kita tak terima, kita kena menentang kezaliman dibuat oleh pemerintah. Rakyat Malaysia adalah rakyat yang berdaulat dan tak sokong kezaliman.

"Kita hadir untuk menunjukkan bantahan kita, yang dilakukan oleh Umno/BN.

"Kita kena berani, apa yang kita lakukan untuk menjadi negara adil dan makmur," katanya dan diiringi takbir.

3.18pm: PAS HQ - Sementara itu Pengarah Pilihan Raya Pemuda PAS Mohd Sany Hamzan berkata perhimpunan hari ini adalah acara kemuncak untuk mendesak Anwar dibebaskan.

3.17pm: Sogo - Jumlah hadirin terus bertambah. Manakala lima anggota polis kelihatan menyeberangi dari pusat membeli-belah itu, sambil bercakap melalui alat radio komunikasi mereka.

Ahli Parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng juga klihatan, dan memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan orang ramai akan datang dari Masjid Jamek.

3.15pm: MP Batu Tian Chua memberi ucapan ringkas kepada kira-kira 100 peserta #Kita Lawan di HQ PAS.

Dalam ucapannya, Tian berkata perhimpunan hari ini adalah hari bersejarah kepada rakyat Malaysia, kerana sempena menyambut ulangtahun Pakatan Rakyat menafikan dua pertiga BN, esok (8 Mac).

Katanya lagi, perhimpunan hari ini adalah perhimpunan untuk membangkit semula kebangkitan rakyat yang ditunjukkan pada 2008.

"Rakyat mula sedar hak yang diperuntukkan untuk berhimpun secara damai.

"Kita juga bangga memegang rekod tak merosak harta awam, tak pernah buat kacau bilau dan berhimpun dengan tujuan murni, tunjuk keberanian rakyat tak sanggup kezaliman berterusan," katanya.

"Kita tak sanggp beban anak cucu kelak dengan sistem politik yang korup dan kita tak ada cara lain, perlukerja kuat untuk jatuh BN," katanya.

Beliau turut memberi penjelasan supaya peserta mengikut arahan daripada Unit Amal yang bertugas dan jangan terpengaruh dengan agen provokasi.

Beliau turut mengumumkan perhimpunan ini dipantau oleh Suhakam dan Bar Council.

Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh juga hadir.

3.12pm: Ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga Naib Presiden PKR Nurul Izzah menerima notis untuk hadir disoal siasat oleh polis Dang Wangi berhubung perhimpunan Kita Lawan di Sogo pada 14 Februari.

Menurut Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, polis telah mengesahkan kepada pihak peguam bahawa siasatan dibuat di bawah seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman.

Walaupun, katanya, seksyen tersebut telah diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Rayuan dalam kes exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad.

3.10pm: Sogo - Jumlah mereka yang berhimpun meningkat kepada 400 orang, dan turut kelihatan ialah Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Hadirin kelihatan mengibarkan bendera PKR. Tidak kelihatan bendera PAS atau DAP.

"(Bilangan penyokong) DAP nampak ok, penyokong penyokong PAS akan datang dari ibu pejabat mereka," kata Wong kepada Malaysiakini.

Sementara itu seorang penjual air, dengan penuh semangat meniru slogan 'Lawan Tetap Lawan' dengan menjerit, "Minum tetap Minum tabungan," untuk menarik pelanggan.

3.01pm: Pasar Seni: Kira-kira 300 orang yang rata-rata berbaju T hitam sudah mula berhimpun di hadapan kompleks Pasar Seni.

Di antara personaliti yang kelihatan adalah Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, peguam hak asasi Eric Paulsen dan Ketua AMK Perak, Zafril Eusoff.

Sementara di dalam Pasar Seni pula, urusniaga berjalan seperti biasa kerana tiada kedai yang ditutup dan pengunjung kelihatan tenang melakukan tinjauan ke atas barangan dan kedai-kedai.

3pm: Masjid Jamek - ADUN PKR Semambu Lee Chean Chung berucap di hadapan lebih 300 orang di stesen LRT Masjid Jamek dari bahagian atas sebuah trak.

Beliau menyeru orang ramai untuk mula perarakan ke Sogo pada pukul 3.30 petang.

2:45pm: Sogo - Kini lterdapat sekitar 300 orang berkumpul di luar Sogo. Sukar untuk membezakan berapa ramai peserta dengan pengunjung di situ.

Hanya kira-kira 50 orang yang dilihat memakai kemeja-T Kita Lawan atau Reformasi.

Berkemundang laungan "Reformasi" dan "Hancur Najib".

2:30: Masjid Jamek - Lebih 10 orang ahli jawatankuasa anti-cyanide Rabu berada di Masjid Jamek untuk menunjukkan sokongan mereka.

Orang ramai berkumpul di pusat bandar Kuala Lumpur hari ini untuk menyertai bantahan utama yang pertama bagi tahun 2015, yang diisytiharkan oleh polis sebagai haram.

Protes Kita Lawan di Sogo itu menuntut pembebasan ketua pembangkang yang dipenjara, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Bagaimanapun, ia tidak jelas sehingga mana sokongan dari gabungan Pakatan Rakyat terhadap perhimpunan tersebut.

PAS tidak mengeluarkan arahan kepada ahli-ahlinya untuk menyokongnya, manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menasihatkan wakil rakyat, kebanyakannya dari DAP bahawa mereka mempunyai tugas di negeri itu untuk dilaksanakan hari ini dan perlu menumpukan perhatian kepadanya.

Protes itu dijangka bermula jam 3 petang, dengan para peserta berarak dari Pasar Seni, Masjid Jamek dan ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, menuju ke Sogo, dan perhimpunan ia mungkin berlanjutan hingga tengah malam.

Perhimpunan Kita Lawan sebelum ini, menyaksikan penangkapan aktivis Adam Adli Abdul Halim, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Fariz Musa, dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad.



VIDEO












7 Mac 2015

PAS Kota Baru Jadi Perintis Calonkan Orang Lain Sebagai Presiden


PAS Kota Baru diramal calonkan tokoh presiden baru

Ketika PAS memulakan mesyuarat agung tahunan peringkat kawasannya hari ini, kawasan Kota Baru dijangka menamakan seorang calon selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menduduki kerusi nombor satu parti itu.

Dan, mengikut ramalan awal, jawatan itu tidak akan dipertandingkan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, nama tokoh berkenaan dibincangkan sejak sekian lama sebagai calon alternatif bagi menyelesaikan kemelut dalaman PAS.

Mesyuarat hari ini akan menentukan sama ada calon itu diterima semua perwakilan atau tidak.

Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan hal tersebut kepada perwakilan dalam mesyuarat itu nanti.

Katanya, PAS Kota Baru berazam menjadi pelopor dan membentuk pemikiran ahli PAS di seluruh negara menjelang Muktamar PAS ke-61 pada Jun depan.

Mesyuarat agung ini katanya akan memberikan hak sepenuhnya kepada perwakilan menentukan calon kepimpinan PAS di masa depan, termasuk bagi kedudukan presiden.

Dalam pertemuan beliau dengan semua ketua dan setiausaha cawangan di Kota Baru minggu lalu, beliau meminta mereka melaksanakan hak menentukan pucuk kepimpinan parti di semua peringkat.

"Biarlah semua jawatan dipertandingkan. Ia bagus untuk memberikan hak sepenuhnya kepada ahli menentukan siapa pilihan mereka. Menang tanpa bertanding setiap masa ini ada negatifnya,"
kata Rahim.

Khabar angin menyatakan PAS Kota Baru akan mencalonkan tokoh selain Hadi sebagai presiden bertiup sejak sekian lama.

Rahim sendiri sebelum ini pernah mencadangkan nama Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS.

Beliau yakin Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yakin tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Hadi buat masa ini.

Sejak memangku jawatan itu susulan kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002, kedudukan Hadi tidak pernah dicabar.

Manakala bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar pula berkata, beliau tidak terkejut jika ada kawasan yang mencalonkan tokoh lain untuk jawatan kepimpinan tertinggi PAS, termasuk jawatan presiden, memandangkan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.

Mesyuarat agung PAS kawasan Kota Baru buat pertama kalinya akan diadakan di Dewan Zulkefli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan, tempat di mana bekas Mursyidul Am Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan kuliah Jumaatnya saban minggu sebelum ini.

"Biasanya dewan ini untuk kuliah sahaja. Kami pilih untuk mengadakan mesyuarat di sini buat pertama kalinya sempena 50 tahun pembinaannya," kata Rahim, bekas ahli Parlimen Kota Baru.

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kota Baru mengadakan mesyuarat agung pada Jumaat, sehari sebelum mesyuarat agung peringkat kawasan.

Pertandingan untuk merebut kepimpinan juga dijangka berlaku di peringkat kawasan Kota Baru.

Pada masa ini, Rahim merupakan yang dipertua kawasan, sementara Datuk Takiyudin Hassan (ahli Parlimen Kota Baru), timbalan yang dipertua manakala Datuk Anual Tan Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan), naib yang dipertua.

Takiyudin dikatakan akan mencabar Rahim kali ini untuk jawatan yang dipertua manakala Dr Rosli Ahlani, ketua Pemuda kawasan sekarang, dikatakan akan bertanding merebut jawatan timbalan yang dipertua. – TMI

ULASAN GB

Huykum kebenaran dan keadilan berjalan.

Tak salah apa pun dan tak berdosa untuk mencalonkan orang lain sebagai Presiden. So, lawan!

Usah pedulikan golongan taksub, serahkan urusan itu kepada Allah swt.

Isu Roti Jala Kuah Kari: Kazim Risau Tidak Dijemput Berceramah Lagi...


Dr Asri gopoh dan memalukan, kata Kazim

Penceramah popular Datuk Kazim Elias menyelar kembali Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menolaknya sebagai penceramah susulan kenyataannya tentang hadis "roti jala dicelup kuah kari”.

Malah, Kazim menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju pemilihannya sebagai ahli panel forum perdana sempena keputeraan Raja Perlis sebagai tindakan gopoh dan memalukan.

Ini kerana, Kazim berkata, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh Asri sebagai mufti dan dibuat tanpa peluang memberikan penjelasan, lapor Utusan Malaysia.

“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

“Namun, apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan.

“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar Umno itu.

'Hanya perbandingan'

Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan hadis "roti jala dicelup kuah kari" dan “kurma celup tepung” yang disampaikannya hanya perbandingan.

Menurut Kazim, perbandingan itu dibuat kerana di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham," Kazim dipetik sebagai berkata dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Kazim melahirkan rasa kesal apabila surat daripada Jabatan Mufti Perlis menyebut beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan beliau sering terlibat dengan penyebaran hadis yang salah.

"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa.

"Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya lagi seperti dilapor akhbar itu. -mk


Dr Asri akan beri bukti riwayat palsu Ustaz Kazim

PETALING JAYA : Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa beliau akan memberikan bukti berkenaan riwayat palsu yang diminta oleh pendakwah bebas yang terkenal dengan program popular ‘Kalau Dah Jodoh’, Datuk Mohamad Kazim Elias.

Beliau berkata, kes itu sepatutnya berhenti setelah penjelasan berkenaan tujuan surat dalaman rasmi berkenaan.

“Namun, nampaknya tokoh berkenaan (Mohamad Kazim) terus mencabar meminta bukti walaupun bukti-bukti telah diberikan oleh pelbagai pihak.

“Bagi memenuhi hasrat beliau, In Sha Allah FB (Facebook) ini dalam masa terdekat akan memberikan bukti-bukti yang beliau minta itu,” tulisnya dalam Facebook rasmi milik beliau, DrMAZA.com hari ini.

Isu tercetus apabila sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis tersebar di laman-laman sosial yang menyatakan tidak bersetuju Mohd Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberikan sebab kerana Mohamad Kazim ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’.

‘Riwayat’ atau hadis palsu dimaksudkan dalam surat Jabatan Mufti Perlis adalah mengenai rakaman YouTube sedutan daripada satu ceramah Mohamad Kazim yang menyatakan ‘kenduri Rasululluah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari’.

Mohamad Kazim berkata, dalam ceramahnya beliau hanya mengatakan perbandingan bahawa di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari juga masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham.

“Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa. Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya.



6 Mac 2015

Malaysia Banyak Aman, Banyak Cantik Tapi Islam...


Umum tahu, kebanyakkan warganegara Bangladesh datang ke Malaysia hanya mahu mencari makan. Tetapi, pernahkah anda terfikir bagaimana peritnya kehidupan mereka di negara asal? Mufarwa Farid berkongsikan kisah pengalamannya berbual dengan seorang warga Bangladesh yang telah menetap 10 tahun di Malaysia.

Ketika saya menaiki kereta api tadi, saya duduk di sebelah seorang warganegara Bangladesh. Dia duduk sambil menyanyi-nyanyi, dan saya pula sedang membaca buku. Disebabkan terasa terganggu, mood saya nak membaca itu sudah pudar. Saya pun memandang ke tingkap, dalam hati, berasa geram dengan dia.

Tetapi setelah dua stesen, tiba-tiba saya rasa ingin berbual dengan dia. Mungkin dia pun bosan, sebab itu menyanyi sambil menari-nari di sebelah saya. Saya memberi salam, lalu kami pun berkenalan. Namanya Muhammad Mubarak Khan.

“Semua nama orang Bangladesh mesti ada Muhammad.” Katanya.

“Sama macam Malaysia. Muhammad atau Ahmad.” Kata saya lalu saya memperkenalkan diri saya dengan nama penuh.

Dia sudah berada di Malaysia sejak 10 tahun yang lalu. Berkahwin dengan orang Malaysia yang berbangsa India dan bekas penganut Hindu.

“Keluarga isteri tak marah ke dia convert masuk Islam?”

“Mula-mula marah la. Tapi sekarang sudah ok. Saya suruh dia bagi semua gaji pada mak ayah dia. Nasib baik semua adik beradik dia perempuan. Kalau dia ada abang ka, adik lelaki ka, isteri saya kahwin dengan kepala saya sahaja. Badan sudah kena kerat.” Dia berseloroh.

Kami meneruskan perjalanan kami dengan berbicara tentang politik di Bangladesh.

“Bangladesh dahulunya sebuah negara bawah Pakistan. Tetapi disebabkan Pakistan itu sangat jauh, malah dipisahkan oleh negara Nepal, pembangunan Bangladesh sangat-sangat mundur kerana pemimpinnya lebih mementingkan Pakistan. Sedangkan kami sangat dekat dengan negara India. Tetapi disebabkan masa dahulu, Pakistan berpisah dengan India kerana Pakistan ingin menubuhkan negara Islam, Pakistan mengambil Bangladesh juga sebagai salah sebuah negeri mereka.

Kemudian Bangladesh pula yang berpisah dengan Pakistan.”

Saya tekun mendengar sejarah negaranya. Saya sebenarnya sudah tahu sejarahnya kerana saya mempunyai kawan baik yang bernama Ahmad Shauky dari Bangladesh di UIA.

“Tapi sekarang, Bangladesh masih mundur. Kalau dekat Malaysia ha, aman sangat. Semua bersih. Semua orang di sini semuanya baik-baik. Rezeki mudah nak cari. Yang penting kena rajin. Kalau malas ha, baik mati aje. Rasuah kat sana ha, sangat banyak. Kalau nak hidup, mau dapat projek bangun bangunan ke apa ha, kena rasuah banyak orang. Sebab itu tak ada orang nak buat bangunan kat sana.”

Saya bertanya pula tentang agama di Bangladesh.

“Bangladesh, 98% orang Islam. Yang lain-lain ada Hindu. Di sana, kami wajib belajar bahasa Arab. Kami wajib belajar Al-Quran. Siapa yang tak belajar Al-Quran, masuk penjara. Siapa yang tak puasa, kalau kena tangkap, kena masuk penjara 3 bulan. Dan penjara akan bagi makan rumput sahaja. Pak cik saya ha, tadak puasa, dia kena makan rumput 6 hari seminggu.Tak ada nasik. Semuanya makan roti dengan rumput saja.”

“Tapi ha, mintak maaf ya saya cakap, walaupun dekat Malaysia banyak aman, banyak cantik, banyak baik, tapi Islam dekat sini tadak kuat sangat. Kalu di sana ha, nampak perempuan tak tutup aurat, boleh kena denda RM10,000. Kalau ada orang pakai tatu, polis akan tangkap, dan akan letak iron panas sampai tatu tu hilang.

Dekat Malaysia ha, orang perempuan semua ramai tadak tudung. Ada yang nampak dada. Berani sangat. Kalau di Bangladesh, masa kecik-kecik, kami takut dengan polis. Tapi bila sudah besar, kami tak mahu buka aurat sebab kami takutkan Allah.”

Saya fokus dan otak saya bermacam-macam yang difikirkan.

“Itulah kurangnya di Malaysia. Tetapi masjid semua cantik. Kalau dekat sana ha, ada banyak masjid tak ada dinding. Tapi orang semua sembahyang di masjid. Tetapi apa pun, Malaysia memang bagus.” Sambungnya sambil memberikan isyarat bagus.

Lalu kami pun berbual lagi tentang pembangunan Bangladesh serta berbual tentang keluarganya. Sesampainya di Seremban, dia sangat bersedih kerana terpaksa berpisah dengan saya. Katanya, “Abang orang sangat baik. Ramai orang selalu hina orang Bangladesh. Kami sini mau cari makan sahaja. Tadak kacau orang.”

Lalu dia pun mengambil nombor telefon saya, dan perpisahan kami diakhiri dengan lambaian. -infotukyou

Pro-Ulama Kata Dr Dzul Cederakan Diri Sendiri


Nmpaknya ternyata jelas kumpulan yang mendakwa dirinya sebagai pro-ulama adalah terdiri dari mereka yang tidak mempunyai akhlak Islam apabila melemparkan tuduhan menyatakan kecederaan yang dialami oleh Dr. Dzulkefly Ahmad, AJK PAS Pusat yang diserang pagi Subuh sebagai "lakonan" semata-mata.

Berikut dipaparkan beberapa screenshot komen dari golongan yang mengaku pro-ulamak:









Demikianlah hukum Allah... hukum kebenaran dan keadilan berjalan.... mendedahkan watak dan perwatakan sebenar golongan pro-ulama ini. Disaat ahli jemaah ditimpa musibah, mereka bersorak dan bergembira... akhlak syaitaniah...

GB sudah berkali-kali menyatakan bahawa kumpulan pro-ulama ini adalah terdiri dari mereka yang tidak mempunyai akhlak Islamiah. Perangai mereka dengan perangai "syaitan yang dikenali itu" serupa. Menggunakan bahasa makian, berkahak tui, memfitnah dan seumpamanya. Pekung mereka kini terbuka luas. Mereka sendiri mendedahkan sikap mereka dengan akhlak sedemikian rupa. Sungguh malang Presiden PAS mempunyai ramai penyokong sedemikian... penyokong yang berakhlak dengan akhlak penghuni-penghuni neraka...

Satu hari nanti insyaAllah, GB yakin mereka akan terkena musibah (kecederaan), dan nanti akan kembalilah lemparan tuduhan itu kepada penuturnya sendiri.... bahawa musibah (kecederaan) itu lakonannya semata-mata....

5 Mac 2015

[VIDEO] Kisah Masyarakat: Motosikal Peragut Dilarikan Mangsanya...


Bayangkan betapa bodohnya apabila seorang peragut yang meragut beg tangan seorang wanita tetapi kemudian dia menjadi mangsa curi apabila mangsa mencuri pula motosikalnya.

Itulah yang berlaku dalam satu klip video yang tersebar di laman Facebook hari ini menunjukkan betapa bodohnya peragut itu.

Seorang wanita sebelum itu berjalan kaki di dalam sebuah lorong di belakang sebuah bangunan tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal yang kemudian meragut beg tangannya.

Wanita itu yang tidak panik terus bertindak menaiki motosikal si peragut dan beredar pergi.

Kelihatan dalam rakaman berkenaan mungkin dari rakaman kamera litar tertutup, peragut berkenaan mengejar wanita itu yang terus berlalu pergi.

Pasti wanita itu kemudian terus menunggang motosikal berkenaan ke balai polis untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, daripada klip video berkenaan penulis berasa video itu adalah satu babak yang direka semula untuk memperlihatkan kebodohan peragut yang sekaligus melucukan.

Video berkenaan dimuatnaik ke laman Facebook Kempen Kesedaran Jenayah Malaysia (MCAC) beberapa hari lalu.

Terpulang pada anda sendiri untuk menilainya… – PRU14.TV


Selepas Kereta Dr.Hatta Cuba Dibakar, Kini Dr Dzul Dipukul -updated


Selepas insiden kereta AJK PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Raamli cuba dibakar oleh pihak tertentu, pagi ini, seorang lagi AJK PAS Pusat, Dr.Dzulkefli Ahmad pula menerima nasibnya apabila beliau telah dipukul dengan kayu oleh dua orang yang memakai helmet selepas solat Subuh.

Sahabat baiknya Datuk Kamarudin Jaffar yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, Dzulkefly ketika ini sedang membuat laporan polis dan akan mendapatkan rawatan selepas ini.

Kesan kejadian itu, ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat itu mengalami pecah di bibir dan bengkak di kepalanya.

Di dalam kejadian tersebut, Dr.Dzul dikatakan telah didatangi oleh lelaki berkenaan dan berkata "mengapa kurang ajar sangat?" lalu memukulnya di bahagian muka.

Dr Dzul kini berada di balai polis untuk membuat laporan. Beliau bagaimana pun meminta ahli-ahli PAS tidak membuat apa-apa spekulasi mengenai kejadian berkenaan.

Serangan berkenaan dipercayai berlaku ekoran kenyataan di dalam sebuah portal di mana Dr Dzul menjelaskan beliau bukan tidak menghormati ulama, tetapi sudah hilang hormat kepada pihak yang menggelar diri ulama tetapi memaki hamun sesama sendiri, apatah lagi sesama jemaah Islam.

"Yang saya tidak hormati ustaz-ustaz yang mengaku ulama tetapi memaki hamun dan kerjanya melabel sesama ahli jemaah dan parti sendiri," katanya.

GB sebelum ini telah berulang-kali meminta supaya budaya samseng yang ada di dalam PAS segera ditangani tetapi nampaknya lansung tidak dihiraukan oleh PAS Pusat.

Bermula dengan kes seornag blogger, Aduka taruna dipukul oleh sekumpulan penyokong taksub Hj Hadi di Rusila, Marang, diikuti dengan "50 gagak hitam" yang keluar dewan semasa muktamar, kumpulan pro-ulama mengeboo ucapan Hanipa Maidin, beberapa pemuda PAS yang bertindak dan berlagak samseng menguugut untuk memukul Pengarah LENSA Sdr Safwan Anang, kumpulan ahli PAS Pahang yang turut disertai olej Ketua Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik berdemo untuk menuduh Mat Sabu dan Dr.Hatta Ramli cuba menggulingkan Presiden PAS di Pejabat Agong PAS, percubaan membakar kereta Dr Hatta dan kini Dr Dzulkefly dipukul dan dicederakan.... adalah rentetan peristiwa hitam yang amat menyedihkan dan mencalarkan imej PAS.

Di dalam peristiwa kereta Dr.Hatta yang cuba dibakar ada pula mereka dari kumpulan pro-ulamak yang menuduh perbuatan itu cuba dilakukan oleh Dr Hatta sendiri untuk meraih simpati.

Cuma di dalam dua kes yang terakhir iaitu insiden percubaan membakar kereta Dr Hatta dan memukul Dr Dzul, kita tidak dapat mengenal pasti dengan sebenarnya siapa pelakunya. Mungkin saja agen-agen provokasi untuk memburukkan hubungan kedua-dua kumpulan di dalam PAS yang dilihat tidak sehaluan.

Walau apa pun kita berharap PAS Pusat tidak terus berdiam diri terhadap gejala samseng yang semakin menjadi-jadi ini.

Sifat-sifat buruk dengan akhlak yang keji dan jijik yang diaparkan oleh kumpulan yang menamakan diri mereka pro-ulamak terus dibiarkan. Malah di alam siber ini, "papagomo versi PAS-UG" seperti Tok Usin Ceroi dan El-haraki juga dibiarkan tanpa diambil apa-apa tindakan semata-mata kerana dikatakan mereka itu melakukan hal yang demikian kerana "menyokong ulama".

setiausaha Agong PAS, Mustafa Ali yang sebelum ini menonjolkan diri untuk membawa beberapa kes ke Lembaga Disiplin nampaknya masih terus dengan sikap "biased"nya dan kini lebih sibuk untuk berpolitiking bagi mempastikan Presiden PAS, Haji Abd Hadi Awang tidak ditandiingi di dalam pemilihan muktamar akan datang ini.

Kita berharap para perwakilan muktamar akan membuka mata untuk menilai mana intan mana kaca di dalam perjuangan.

Hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Sesiapa juga yang bersalah PASTI akan terhukum, jika tidak di sini, akan dihukum di "sana".

Dr.Dzul sedang menerima rawatan di hospital

Dr Dzul sambut tumbukan dengan takbir

Ahli Jawatankuasa PAS Dr Dzulkefly Ahmad "menyambut" tumbukan oleh individu yang tidak dikenali dengan laungan takbir.

Menceritakan kembali kejadian Dzulkefly dipukul, isterinya Azlin Hezri berkata, pada jam 6.30 pagi, pemimpin PAS itu dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal.

Ketika meletakkan kereta di kawasan rumah, Azlin berkata, salah seorang lelaki tersebut membuka pintu kereta Dzulkefly dan menumbuk di bahagian kanan muka Dzulkefly.

Selepas ditumbuk, Dzulkefly kemudian melawan kembali sambil bertakbir sekuat hati beberapa kali, kata Azlin.

"Sebenarnya semasa dia balik daripada masjid dan meletakkan kereta di perkarangan rumah, belum sempat pintu pagar ditutup, ada dua orang lelaki.

"Seorang daripadanya memakai topi keledar terus menuju ke kereta Dr (Dzulkefly) dan buka pintu kereta dan terus tumbuk muka Dr sebelah kanan.

"Kemudian Dr turun (kereta) dan lawan balik, dia takbir kuat-kuat banyak kali sehingga orang tersebut tergamam dan lepas itu dia (individu tersebut) pukul Dr dengan besi.

"Alhamdulillah, tiada jahitan yang dikenakan terhadap Dr," kata Azlin ketika dihubungi Malaysiakini.

Bibir bengkak, dahi luka

Ditanya mengenai kenyataan “kenapa kurang ajar sangat” yang ditujukan kepada pengarah Pusat Penyelidikan PAS itu, Azlin berkata, Dzulkefly tidak sempat untuk berkata apa-apa.

Menurut Azlin lagi, Dzulkefly yang hanya mengalami luka di dahi dan bengkak di bibir dan kini baru selesai memberi kenyataan kepada pihak polis yang datang ke rumah berhubung kejadian itu.

"Dia OK. Cuma bibir bengkak, luka di dahi. Dr memang jenis yang tidak akan berdiam diri. Dia memang akan melawan balik.

"Ini baru selesai Dr buat laporan polis. Polis datang ke rumah. Dr sekarang berehat di rumah dan selepas ini tidak pasti sama ada dia akan ke Putrajaya jaya untuk urusannya atau tidak," tambahnya lagi.

Pagi tadi, Dzulkefly diserang oleh individu tidak dikenali di rumahnya di Seksyen 7, Shah Alam selepas selesai solat subuh.

Berikutan kejadian serangan itu, PAS Selangor akan mengarahkan kawalan keselamatan ke atas pemimpin PAS negeri itu dipertingkatkan agar cubaan pihak yang ingin mencetuskan provokasi dapat dihalang.
-mk


Gagasan "Kepimpinan Melalui Ulamak" PAS Perlu Penilaian Semula


Relevankah Kepimpinan Ulama Oleh Shuhaib R-Rumi, iium.academia.edu

Bismillahirrahmanirrahiim.

Persoalan yang dilontarkan adalah relevankah kepimpinan ulama’? Pertamanya, perlu didefinisikan dahulu apakah ma’na ulama’ yang dipakai. Dalam mazhab Sunni, definisi ulama’ adalah tidak tetap bukan seperti mazhab Syi’ah yang menetapkan ulama adalah faqeh.

Definisi yang saya pegang adalah ulama’ merupakan orang yang berilmu dan khasyah (takut) pada Allah. ‘Ilmu tersebut bermaksud apa sahaja pengetahuan yang memberi ma’na dan pengiktirafan yang tepat akan hakikat makhluk dan khaliq. Tak kiralah ‘ilmu itu sains, pengurusan atau agama; asalkan ianya membawa kepada pengiktirafan dan parletakan Tuhan pada tempatnya yang sebenar maka ianya diiktiraf sebagai ‘ilmu.

Definisi yang digunapakai oleh massa dan mungkin difahami oleh orang kebanyakan adalah ulama’ merupakan golongan yang berilmu dan lebih dikaitkan dengan ilmu-ilmu turath dan pengajian Islam secara formal. Jadi pada diskusi kali ini kita akan menggunapakai definisi ini.

Kembali kepada persoalan kepimpinan ulama’, disini saya membahagikan soal kepimpinan itu kepada dua lapangan: Kepimpinan masyarakat madani atau lebih mudah disebut Ummah dankepimpinan politik dan kekuasaan.

Kepimpinan Ummah

Saya mulakan dengan menyatakan bahawa saya amat bersetuju bahawa ulama’ perlu dijadikan kepimpinan dalam lapangan ummah. Ulama’ secara tidak langsung merupakan warga pendidik yang mencetuskan islah massa. Di sinilah peranan ulama’ dalam melahirkan generasi rabbani dan memandu masharakat dengan budaya ‘ilmu. Lihat sahaja contoh-contoh silam bagaimana Muhammad Al-Fateh dididik oleh tokoh ulama’ di zamannya, Syeikh Aaq Syamsuddin.

Contoh lain yang menarik untuk dikaji pada zaman sekarang adalah institusi Al-Azhar, Mesiryang mengumpulkan ribuan ulama’ dalam sebuah institusi pengajian. Di sana ulama’ memacu masyakarat melalui ‘ilmu, malahan mereka mempunyai autoriti yang kuat walaupun tanpa kuasa politik.

Juga boleh dikaji model kepimpinan masyarakat seperti pertubuhan Gulen di Turki, Muhammadiyah dan Nadhlatul ‘Ulama di Indonesia yang mengumpulkan pelbagai jenis pakar didalamnya termasuklah ulama’. Organisasi masyarakat madani yang seperti yang disebutkan merupakan entiti bebas yang punyai autoriti dan keunikannya yang tersendiri dalam memperkasakan ummah mengikut tempat masing-masing. Dalam konteks Malaysia, gagasan Manhaj Maliziy yang diutarakan oleh ABIM sangat menarik untuk diteliti.

Kepimpinan Politik

Izinkan saya memulakan perbahasan ini dengan menyatakan ciri-ciri kepimpinan Islam. Dalam soal pemilihan kepimpinan Syeikh Yusuf Al-Qaradawy menggunakan panduan surah Al- Qasas ayat 26 yang menekankan soal pemilihan pekerja melalui dua ciri iaitu qawiyy dan amin.

Qawiyy bermaksud kekuatan, keupayaan, kemahiran dan segala yang diperlukan untuk sesuatu tugasan itu dilakukan mengikut spesifikasinya. Di dalam bahasa semasa, kalimah qawiyy ini boleh difahami sebagai nilai kompetensi. Amin pula merujuk kepada sifat amanah, bertanggungjawab dan segala kualiti akhlaq seseorang yang mudah untuk difahami sebagai nilai integriti.

Juga termasuk dalam ciri seorang pemimpin adalah hafizul ‘aleem melalui surah Yusuf ayat 55. Hafeez itu adalah soal integriti manakala ‘Aleem pula merujuk kepada ilmu serta kemahiran sebagai nilai kompetensi baginda. Disini menunjukkan pentingnya soal ilmu, integriti dan kompetensi dalam kepimpinan Islam.

Melalui argumen-argumen tadi, boleh saya simpulkan bahawa ulama’ (seperti yang difahami aliran mainstream) bukanlah syarat utama dalam kepimpinan politik. Islam menolak konsep rijaluddin (kepimpinan agamawan) seperti yang berlaku pada zaman gelap Eropah. Dalam Islam, kepimpinan haruslah dipilih dan direstui oleh rakyat. Maka lebih murni jika terma Kepimpinan ulama’ ini diganti dengan kepimpinan Islam atau Kepimpinan berilmu atau apa-apanama yang lebih universal sifatnya.

Jika kita meneliti sejarah, kita akan menemui beberapa contoh bagaimana sikap ulama’ terhadap kepimpinan politik. Majoriti ulama’ bersikap menjauhkan diri dari soal kekuasaan, kita boleh lihat contoh Imam Abu Hanifah dan lain-lain. Juga tidak dapat dinafikan bahawa ulama’ silam adalah penggerak hisbah, ya’ni menjadi wakil “check and balance” terhadap pemerintah zaman mereka. Bagi memperolehi hal yang sedemikian, ulama’ perlulah mempunyai autonomi dan autoriti yang tersendiri yang terhasil melalui kewibawaan ‘ilmunya bukan hasil paksaan.

Model Kepimpinan Ulama’ Pas

Apabila bercakap tentang Kepimpinan Ulama’ dalam realiti Malaysia, kita tidak dapat lari dari memperkataan soal model Kepimpinan Ulama’ PAS. Justeru disini saya akan cuba menyingkap beberapa salah tanggapan tentang Kepimpinan Ulama’ PAS yang sering disalah ertikan oleh massa dan juga oleh sesetengah ahli PAS sendiri.

Pertamanya, kepimpinan Ulama’ PAS adalah merupakan slogan yeng menunjukkan bahawa PAS dipandu arah tujunya oleh Majlis Syura Ulama’. Kepimpinan ulama’ yang disebutkan disini adalah merujuk kepada ulama’ dari sudut institusi, bukannya dari sudut individu.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa kepimpinan ulama’ adalah apabila kepimpinan esekutif (Presiden etc) mestilah diisi oleh individu yang bergelar ulama’. Ini adalah salah tanggapan yang paling mengelirukan sekali.

Tiada masalah jika mahu meletakkan ulama’ pada kerusi kepimpinan esekutif, akan tetapi ulama’ tersebut perlulah cukup syaratnya (qawiyy, amin, hafeez, ‘aleem). Tren perletakan ulama’ pada kerusi esekutif setelah lebih dua dekad dalam PAS menujukkan bahawa PAS masih gagal dalam mentarbiyah dan membentuk ahlinya memenuhi syarat kefahaman Islam yang jelas. Lihat sahaja gerakan Islam lain di seluruh dunia, kebanyakan ketua bukanlah terdiri dari golongan ulama’ (yang mengikut definisi ulama’ PAS adalah mereka yang menerima pendidikan agama secara formal). Sepatutnya setiap orang dalam PAS adalah ulama’ kerana mereka ditarbiyah dengan jalur pemikiran dan manhaj yang sama, yang sepatutnya tahap kefahaman Islam mereka sama-sama jelas.

Jika dilihat dari sudut Majlis Syura Ulama’ PAS, saya kira ianya relevan dan kena pada amalan tradisi ulama’ silam dan fungsi ulama’ yang sepatutnya dimainkan iaitu sebagai majlis hisbah dan penasihat/penjaga hal ehwal dasar parti. Di sini ada relevannya Kepimpinan Ulama’, namun kretiria pemilihan ahli-ahli majlis syura tersebut perlu diperhalusi dan lebih inklusif sifatnya.

Buka kepada diskusi

Poin-poin yang boleh disentuh:
*Surah Faathir ttg Sunnatullah vs Syariatullah
*Tapak Islam: ‘Ilmu & Akhlak
*’Ilmu yang holistic vs compartmentalization of knowledge
*Hadith fantaziru sa’ah & Innallah la yaqbidul ‘ilm…ru’usan juhalan.

ULASAN GB

GB pernah menulis sebelum ini mengenai asal-usul kempimpinan ulama yang dijadikan slogan PAS. petikan:

Sebenarnya gagasan KEPIMPINAN MELALUI ULAMA adalah satu doktrin SYIAH yang kini tiba-tiba menjadi semacam satu dasar untuk memilih pemimpin di dalam PAS sekalipun tidak ada hitam putih di dalam Perlembagaan PAS yang menyatakan bahawa pemimpin termasuk jawatan Presiden perlu dipilih dari kalangan ulamak.

Sekalipun ulamak-ulamak PAS rata-ratanya penentang Syiah tetapi mereka semacam menerima konsep "IMAMAH" di dalam Syiah yang meletakkan ulamak sebagai golongan maksum (terjaga) dari berbuat salah dan dosa, baik yang kecil maupun yang besar, baik sengaja maupun tidak sengaja. Mereka juga dikatakan terjaga dari kelengahan, kekeliruan dan lupa.

Malah di dalam Syiah, para ulamak dan imam mereka lebih utama dari ulul azmi dari kalangan nabi. Malah di satu aspek yang lebih ekstrem, mereka yang ingkar dengan ulama sama dengan mengingkari kenabian, artinya telah kafir dan sesat serta masuk dalam neraka selama-lamanya. Dengan alasan seperti ini mereka mengkafirkan seluruh sahabat kecuali tiga orang yaitu Miqdad, Salman dan Abu Dzar, bahkan mereka mengkafirkan seluruh kaum muslimin bukan-syiah, malah menghalalkan darah mereka.

Bagusnya kewujudan kontroversi gagasan "kepimpinan melalui ulamak" yang didokong oleh PAS kini ialah kita dapat menyemak semula gagasan tersebut berhubungkait dengan aqidah ahli sunnah wal-jamaah yang kita ahli-ahli PAS pegang selama ini. Penilaian terhadap gagasan tersebut adalah perlu agar kita tidak terjebak dengan aqidah Syiah yang sesat dan menyesatkan itu.

Sebenarnya di dalam Islam, tidak ada konsep Kepimpinan Melalui Ulama itu. Malah Hadith Rasulullah menunjukkan sesiapa pun yang dilantik sebagai Ketua, ia perlu ditaati tanpa mengira dia ulama atau bukan.

“Aku wasiatkan kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan patuh serta taat walaupun yang memimpin kamu adalah seorang hamba Habsyi.” (Hadis Riwayat Ahmad, 28/373, no. 17144. Ad-Darimi, 1/57, no. 95. Dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arnauth)

Meneliti sejarah Islam kita melihat sejarah perlantikan khalifah Islam selepas kewafatan Rasulullah, tiada ulama-ulama seperti Abu Hurairah, Ibnu Muslim, Ibnu Abbas dan sebagainya yang dipilih atau dilantik sebagai khalifah walaupun mereka itu adalah fuqaha dan faqih. Sebaliknya yang dipilih ialah Abu bakar, Umar, Uthman dan Ali dan keempat-empat sahabat Rasulullah itu adalah bekas ahli-perniagaan dan mereka adalah diantara yang dijamin oleh Rasulullah masuk syurga.

Meninjau pada senario semasa, kita melihat, Ketua Ulamak Seduna sekalipun, Syeikh Yusuf Al-Qardhawi tidak memegang apa-apa jawatan di dalam parti atau di dalam pemerintahan kerajaan Mesir walaupun di zaman Dr.Mursi sebagai Presiden.

Di Palestin, sayap politik HAMAS dipimpin oleh seorang yang bukan ulama, Khalid Meeshal. Beliau adalah seorang guru fizik. Beliau juga bukan ahli Majlis Syura HAMAS. Tetapi di bawah kepimpinannya Hamas telah keluar sebagai pemenang kerana Israel sepakat untuk melakukan gencatan senjata di Palestine. Malah Khalid Meeshal menduduki tangga ke-18 dalam "50 lelaki paling berpengaruhi di dunia" yang dipaparkan dalam majalah Britain, New Statesman.

Allahyarham Ustaz Fadzil Noor pernah menyatakan dasar kepimpinan ulama di dalam PAS bukan bermakna yang presiden PAS semestinya ulama, dan orang yang bukan ulama tidak boleh sama sekali menjadi Presiden PAS walaupun dia layak dan mendapat kepercayaan ahli-ahli.

Jelas Ustaz Fadzil lagi: PAS sudah menetapkan dasar-dasarnya dan PAS mempunyai Majlis Syura Ulama yang menjadi pengawal kepada dasar-dasar kepimpinan ulama di dalam PAS. Siapa sahaja yang menjadi presiden mesti patuhi dasar-dasar tersebut dan mesti tunaikan amanah ahli-ahli PAS kepadanya agar melaksanakan dasar-dasar Islam yang telah termaktub; manakala yang memerlukan ijtihad pula akan dilakukan oleh Majlis Syura.


Oleh itu gagasan Kepimpinan Melalui Ulamak perlu penyemakan semula. Jika mahu juga diteruskan dengan definisi ulama yang konservatif itu maka Muktamar perlu menggantikannya dengan "Kepimpinan Melalui Ulama & Profesyenal" bagi memperseimbangkan peranan dan untuk mengembalikan PAS sebagai wadah politik yang relevan dengan arus semasa.

Jika tidak maka berlakulah lagi apa yang dibimbangkan seperti yang disuarakan oleh bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jafaar "kumpulan ulama dalam PAS kini bersikap tidak boleh ditegur walaupun pada masa sama mereka bebas menegur kumpulan lain dengan mengeluarkan pelbagai istilah termasuk perkataan “babi” dan “syaitan”.

Wallahu'alam.