7 Apr 2010

BN Sudah Gila. Mhafuz Pula Diheret Ke JK Hak Dan Kebebasan

Anggota Dewan Pakatan Rakyat membantah keputusan bercanggah Timbalan Speaker yang membenarkan usul untuk menghadapkan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ke Jawatan Hak dan Kebebasan dengan menggunakan Peraturan 26(1) walhal usul di bentang oleh di bawah Peraturan 36(12).

Keputusan tersebut diambil datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar setelah Dewan ditangguh selama 15 minit apabila perbahasan dalam Dewan sudah tidak terkawal.

"Tindakan membenarkan usul tidak dibincang mengenai peraturan mana yang diguna dan ini bertentangan dengan peraturan Dewan sendiri," Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar.

Timbalan Speaker berkata sekiranya keputusan beliau tersebut dibantah oleh anggota Dewan mereka boleh menggunakan Peraturan 43 untuk mempertikaikan keputusan yang dibuat.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bangun mendesak Timbalan Speaker membuat pendirian samada istilah Umno dan APCO boleh digunakan dalam Dewan.

"Saya tidak mahu menjelaskan perkara ini. Siapa yang tidak bersetuju boleh keluar Dewan," jawab Wan Junaidi.

Sebelum itu keadaan menjadi tegang ekoran Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed Said bangun membawa usul untuk merujuk Mahfuz ke jawatankuasa tersebut kerana mengaitkan firma antarabangsa yang pro Zionis-Israel dengan Umno.

Dewan Rakyat menjadi kecoh semasa perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) 2010 apabila anggota Dewan dari Pakatan Rakyat berdiri menawarkan diri mereka untuk dirujuk kepada Jawatan Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung isu kaitan APCO dan Umno.

Timbalan Speaker dilihat memihak kepada BN apabila bersetuju untuk membuat pengundian di dalam Dewan berdasarkan keputusan Speaker pagi tadi yang membolehkan usul di bawa sekiranya sesuatu isu berbangkit berlaku di dalam Dewan.

Melihat ketidakadilan yang berlaku beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun membantah sikap dan pendirian Timbalan Speaker yang didakwa membuat keputusan yang berbeza dalam perkara yang sama apabila ia bersangkutan dengan anggota Pakatan Rakyat.

"Saya menawar diri untuk di hadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan," kata Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff diikuti oleh rakan beliau dari Teluk Intan, M. Manogaran, Shah Alam, Khalid Samad serta Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh sebelum Wan Junaidi menangguhkan Dewan selama 15 minit.

Laungan 'Umno-APCO, Umno-APCO, APCO-Umno, APCO-Umno terus bergema di dalam Dewan menyebabkan anggota BN menyingga kemarahan.

Sebelum itu Dewan membuat pengundian apabila anggota 15 anggota berdiri menandakan persetujuan untuk belah bagi.

Apabila pengundian dibuat, BN mendahului keputusan untuk meluluskan Rang Undang-undang yang dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung dengan 88 undi berbanding 57 undi dari Pakatan Rakyat.

Pagi tadi juga pengundian di buat atas usul untuk merujuk Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman yang melemparkan tuduhan bahawa DAP adalah ejen Singapura dalam Dewan semalam.

BN berjaya menangkis usul tersebut dengan 82 berbanding 56 dari Pakatan Rakyat.Ahli Parlimen Kubang Kerian Salahuddin Ayub berkata Pakatan Rakyat akan terus membantah dan mempertahankan tindakan Mahfuz mengaitkan APCO dan Umno.

MIC Kaki Pukul, Pengundi India Tolak Gelagat Samseng MIC

Tindakan kuncu-kuncu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memukul seorang aktivis sosial semasa satu majlis di Bukit Sentosa, Rawang Ahad lalu telah menyebabkan penduduk hilang keyakinan kepada parti komponen Barisan Nasional itu.

Aktivis sosial itu, S.Nadarajah yang bekerja sebagai perunding pengurusan memberitahu sidang media di lobi Parlimen hari ini beliau telah dipukul oleh beberapa individu yang didakwa ada hubungan dengan bekas menteri itu sewaktu menghadiri program di kawasan tersebut.

"Pada 4 April lepas lebih kurang pukul 5 petang saya telah pergi ke Taman Bukit Teratai di Bukit Sentosa, Rawang dengan tujuan untuk memberi perkhidmatan sosial disana.

Bila tiba disitu saya dapat ada satu perhimpunan yang turut dihadiri oleh Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Pada masa tersebut saya telah bertanya pada Samy Vellu berkaitan dengan saham Maika Holding yang saya juga sebagai pemegang sahamnya. Sebelum sempat saya menerima apa-apa jawapan dari beliau, orang suruhan beliau seramai enam orang telah memukul saya termasuk seorang jurugambar dari akhbar Tamil Nesan.

"Mereka telah memukul anggota badan saya dengan menendang dan menumbuk selain mencubit. Tindakan pantas mereka menyebabkan saya tidak sempat mengelak dan melakukan apa-apa. Samy Vellu yang ada disitu tidak mengambil apa-apa tindakan menghalang selain berdiam diri, tindakan tersebut seolah-olah beliau bersubahat dengan kumpulan terbabit.

"Saya kesal pendirian seorang pemimpin parti yang menyokong kaum India hanya melihat sahaja bangsa yang sama dengannya dipukul dan ini adalah imej yang sebenar Samy Vellu dalam perjuangannya yang dikatakan membela kaum India negara ini," kata Nadarajah.

Nadarajah juga menjelaskan beliau telah menbuat satu laporan polis di Balai Polis Petaling Jaya pada hari yang sama.

MCA Pulau Konvensyen BN Petanda BN Sedang Menuju Kehancuran

Konvensyen BN, wakil MCA bertindak keluar dewan

Usaha Barisan Nasional untuk merampas Selangor dari Pakatan Rakyat dengan agenda konvensyennya di Shah Alam, hari ini menerima tamparan apabila 15 perwakilan MCA Kapar bertindak meninggalkan majlis itu.

Ketua MCA Kapar, Datuk Song Kee Chai yang dihubungi melalui telefon berkata antara punca tidak puas hati mereka ialah kerana MCA dianak-tirikan pada konvensyen berkenaan.

Antaranya, hanya lagu BN dan Umno dinyanyikan sedangkan lagu parti komponen lain tidak diendahkan.

“Konvesyen itu dianjurkan oleh BN, jadi menyanyikan lagu Umno tidak mencerminkan semangat BN dan juga 1Malaysia,” kata Song lagi.

Selain itu, katanya, hanya tetamu dan pemimpin utama dari Umno yang dijemput duduk di pentas utama. Mereka termasuk Datuk Mohd Zin, Datuk Seri Noh Omar, Shafei Abdullah dan seorang lagi.

Tiada tetamu ataupun pemimpin parti komponen lain yang dijemput ke pentas utama.

Menurut Song apa yang menghangatkan lagi suasana ialah ketika ucapannya, Noh Omar yang juga timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor berkata orang Melayu telah banyak berkorban demi rakan-rakan bukan Melayu.

Menurut Noh, rakyat bukan Melayu sepatutnya berterima-kasih kerana diberikan kerakyatan.

Noh Omar juga memetik ucapan daripada presiden keempat MCA, Tun Tan Siew Sin dan presiden kelima MIC, Tun VT Sambathan pada zaman era tahun 1960an yang memuji Umno kerana memberikan kerakyatan kepada bukan Melayu.

Song berkata bahagiannya menganggap ucapan Noh itu satu penghinaan kepada masyarakat Cina dan India di negara ini.

Di sebalik memulaukan sebahagian besar aktiviti konvensyen itu, Song dan ahli-ahlinya akan kembali petang ini untuk menghadiri pelancaran kempen 'BN Mampu Berubah, Sayangi Selangor Yakini BN dan Selangor Take Over Plan (STOP) PRU 13.

Sementara itu, setiausaha agung MIC, S Murugesan juga melahirkan rasa kurang senang kerana tiada pemimpinnya diletakkan di pentas utama.

"Nampaknya mereka seperti tidak menghormati kami,” katanya.

Bagaimanapun katanya, aduan sudah disampaikan oleh pengerusi penganjur, Mohd Zin yang berjanji memperbetulkan keadaan.

"Mereka telah meletakkan kerusi tambahan di pentas dan berjanji kepada saya bahawa lagu Umno tidak akan dinyanyikan pada sessi petang apabila Perdana Menteri, Najib Razak tiba.

"Jadi buat masa ini, saya tiada masalah,” katanya.

Speaker Parlimen Diktator, Karpal Digantung 10 Hari

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh digantung sepuluh hari daripada sidang Dewan Rakyat apabila melabelkan Speaker sebagai diktator apabila beliau menolak usul membincangankan isu APCO.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia (gambar) mengambil tindakan menolak usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua bagi membincangkan soal APCO tanpa sebarang penjelasan.

Ini telah menarik perhatian Karpal yang membantah keputusan Speaker itu.

Pada sidang media selepas beliau digantung, Karpal menyifatkan tindakan Speaker sebagai suatu yang memalukan.

"Tindakan yang diambil oleh Speaker Dewan dilihat sebagai berat sebelah dan memihak kepada Barisan Nasional sahaja dan juga telah memalukan Parlimen.

"Barangkali Speaker harus berehat selepas melakukan pembedahan bukannya hadir bertugas. Apa yang terjadi hari ini umpama seorang diktator yang duduk di atas kerusi dan mengunakan kuasa menyebelahi pihak tertentu.

"Kita mahukan penjelasan tentang APCO tetapi kenapa ditolak, keputusan ini amat mengecewakan kita Pakatan Rakyat tetapi membenarkan usul daripada Ahli Parlimen Bukit Rengas, Datuk Seri NAzri Aziz untuk mengheret Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan pada 22 April ini mengikut Peraturan 17(2)," kata Karpal.

Pendedahan Anwar Tentang APCO: Najib dan Khairy Perlu Disiasat

Polis Diraja Malaysia (PDRM) didesak supaya segera menyiasat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan juga Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berhubung pendedahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen bersabit perkaitan Apco Worldwide Sdn Bhd dengan pimpinan Zionis Israel.

"Keterlibatan kedua individu ini secara langsung ataupun tidak memberikan impak yang sangat besar buat negara, dalam konteks keselamatan khususnya.

"Apatahlagi pembuktian konkrit di Parlimen mengenai perkaitan tokoh Zionis di dalam Apco yang dilantik sebagai perunding komunikasi Malaysia langsung tidak dinafikan secara imperikal oleh mana-mana pihak daripada kerajaan Malaysia khususnya Umno,"tegas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Mohd Akin dalam kenyataan medianya.

Menurut beliau, Najib sebagai pemimpin negara seharusnya sedar akan risiko yang diambil dengan membenarkan Apco terlibat untuk menasihati beliau dalam hal ehwal komunikasi dan ‘image building’, pun begitu kelihatan obsesi ke atas slogan 1Malaysia hanya mencetus polemik yang berpanjangan apabila wujud ‘acuan Zionis’ di dalam gagasan yang sedang disiulkan saban waktu oleh beliau.

Beliau berkata, hubungan baik Khairy dengan Omar Mustapha, Pengarah Ethos & Company yang dahulunya merupakan Penasihat kepada Najib sewaktu menjawat Timbalan Perdana Menteri boleh memberi petunjuk mengapa Khairy bermatian mempertahankan Ethos dan Omar yang bertanggungjawab menghubungkan kerajaan Malaysia dan Apco.

"AMK percaya bahawa hubungan baik sama sekali tidak boleh diguna pakai untuk menghalalkan susupan masuk puak Zionis di dalam pentadbiran negara," kata Shamsul.

Beliau yang mewakili AMK mengulangi gesaan Ketua Pembangkang betapa wujud keperluan untuk sebuah Suruhanjaya Diraja dibentuk untuk menyiasat keterlibatan ini, demi menjamin keselamatan negara tidak digolok gadai demi melampiaskan nawaitu politik UMNO semata. -erapakatan

Bukti Nyata SPR Alat Kepada UMNO BN

Selepas bertindak sebagai badan pemantau bebas dalam sembilan pilihan raya kecil sejak 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan untuk tidak lagi mengiktiraf Badan Pemantau Pilihan Raya Bebas Malaysia (Mafrel) bagi memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

SPR memutuskan untuk tidak lagi melantik Mafrel atas alasan ia telah melanggar syarat pelantikan — gagal mengemukakan laporan kerja pemantauan yang dilakukan semasa kesemua sembilan pilihan raya kecil sejak Ogos 2008.

Mafrel merupakan satu-satunya badan pemantau tempatan yang telah diiktiraf SPR untuk memantau perjalanan pilihan raya khususnya sejak enam tahun lalu.

“Kami tidak lagi melantik Mafrel sebagai badan pemantau bebas bagi SPR ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Difahamkan Mafrel kemungkinan hilang pengiktirafan SPR selepas ini, tetapi boleh terus bertindak sebagai antara salah satu badan bukan kerajaan pilihan raya.

Penamaan calon pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor diadakan 17 April ini manakala hari pengundian pula dijadual 25 April.

Lazimnya pelantikan SPR membolehkan Mafrel diberi ‘lesen’ untuk memantau perjalanan pilihan raya bermula dari hari penamaan calon sehingga hari pengundian.

Sehubungan jelas Wan Ahmad, apa sahaja kenyataan yang dikeluarkan Mafrel adalah atas kapasitinya sebagai pertubuhan bukan kerajaan dan tiada kaitan dengan SPR.

“Itu kenyataan-kenyataan Mafrel (mengecam pengumuman kerajaan BN di Hulu Selangor), itu tiada kaitan dengan SPR,” katanya.

Menurut Wan Ahmad, keputusan untuk tidak melantik lagi Mafrel tiada kaitan dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar kelmarin, yang mendakwa Mafrel tidak layak memantau pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Noh mendakwa Mafrel bukan satu badan berwibawa kerana mengeluarkan kenyataan sebelah pihak semata-mata.

“Ini kerana kami telah membuat keputusan itu lebih awal lagi,” katanya.

Wan Ahmad berkata, SPR telah berulang kali meminta Mafrel supaya mengemukakan laporan kepada SPR selepas berakhirnya setiap pilihan raya kecil tetapi tidak diambil berat.

“Kita telah memberi peringatan demi peringatan kepada Mafrel supaya menghantar laporan tetapi sejak sembilan pilihan raya kecil, bermula dari Permatang Pauh tiada laporan yang diterima SPR,” katanya.

“Itu syarat pelantikan Mafrel oleh SPR, menghantar laporan pemantauan... sejak pilihan raya kecil Permatang Pauh (pada Ogos 2008) sehingga pilihan raya kecil Bagan Pinang tahun lalu, Mafrel tidak menghantar laporan walaupun diminta berbuat demikian,” tambah Wan Ahmad dengan menyifatkan Mafrel telah “mereka melanggar syarat pelantikan.”

Terdahulu dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider, Pengerusi Mafrel Syed Ibrahim Syed Noh menegaskan tiada mana-mana pihak sama ada SPR ataupun ahli politilk termasuk Noh berhak untuk menghalang daripada membuat pemantauan perjalanan pilihan raya.

Bagaimanapun Syed Ibrahim berkeyakinan kerjasama baik sedia terjalin antara pihaknya dengan SPR akan berterusan untuk melihat perjalanan pilihan raya bebas dan adil bagi semua.

“Apa yang dikatakan oleh Datuk Noh adalah hak beliau dan kami pun ada hak untuk memberikan pandangan,” kata beliau.

Semalam Noh menggesa SPR supaya mengkaji semula peranan Mafrel sebagai pemantau bebas pilihan raya atas alasan ia menjadi alat kepada parti pembangkang kerana didakwa tidak bersikap bebas dalam menyatakan pandangannya dan tidak layak dilihat sebagai sebuah badan yang benar-benar menyalankan peranannya.

Noh berkata Mafrel sepatutnya menegur kedua-dua sekali, bukan hanya BN kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari Pakatan Rakyat juga mengagihkan geran tanah kepada penduduk tetapi tidak ditegur.

Beliau mempertikaikan kredibiliti Mafrel yang menyelar tindakan kerajaan pusat meluluskan projek perumahan dan sekolah kepada penduduk di Hulu Selangor yang didakwanya menyalahi peraturan pilihan raya.

Jelas Syed Ibrahim, Mafrel telah menjalankan peranannya sejak 2001 termasuk pilihan raya negeri Sarawak pada 2006 dan siri pilihan raya kecil.

“Kami memantau dari luar dan dari dalam lingkungan hari pilihan raya. SPR mengiktiraf kami dan meminta kami memantau pada hari pengundian.

“Jadi kami membuat kerja sepanjang masa dan dari dalam ketika hari pengundian. Apa yang tidak betul kami tegur dan laporkan dan apa yang baik kami kata baik,” katanya.

Oleh itu tegas beliau, Mafrel tidak terikat dengan mana-mana pihak. -MI

6 Apr 2010

UMNO Kena Ajar PERKASA Pula.

Perkasa mahu ‘ajar’ pemimpin MCA, Gerakan

Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) mahu “mengajar” Ketua Gerakan Pulau Pinang Datuk Teng Hock Nam dan Timbalan Setiausaha MCA, Low Chew June mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Perkasa memberikan tempoh 48 jam berkuat kuasa Jumaat lalu kepada mereka untuk memohon maaf berhubung kenyataan dibuat susulan mesyuarat agung tahunannya.

Ketua Wira Perkasa Arman Azha Abu Hanifah berkata, tindakan itu diambil kerana kedua-dua pemimpin tersebut mengatakan perkara-perkara tida sepatutnya dan melabelkan Perkasa sebagai sebuah pertubuhan rasis dan haluan kanan.

Kedua-dua pemimpin berkenaan akan dihadiahkan senaskhah Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mengambil tindakan ini kerana kedua-dua individu ini seolah-olah ‘buta perlembagaan’ dengan mendakwa Perkasa sebagai perkauman.

“Sebagai warganegara Malaysia adakah mempertahankan hak, maruah dan martabat Perlembagaan serta fasal-fasal dalam Perlembagaan negara dianggap rasis, perkauman dan haluan kanan?

“Dalam erti kata lain menjadi tanggungjawab setiap warganegara untuk memahami Perlembagaan dan mempertahannya tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” katanya pada sidang media di pejabat Perkasa di ibu negara.

Menurutnya, Perkasa hanya bertindak mempertahankan Perlembagaan yang menjadi teras utama perjuangan pertubuhan tersebut.

“Dalam erti kata lain adalah mempertahankan dalam Perlembagan yang mempunyai hak-hak istimewa pribumi negara dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

“Adakah ini dikatakan pertubuhan rasis, perkauman dan haluan kanan? Sila nilai dan kaji perkara ini secara matang terutama kepada kedua-dua pemimpin itu.

“Jadi kepada pihak-pihak yang sebelum tidak memahami perjuangan Perkasa harus membuka mata dengan jelas,” katanya lagi.

Arman Azha berkata, Perkasa mahu kedua-dua pemimpin tersebut memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwanya turut diberikan label yang sama.

“Sebagai pemimpin mereka sepatutnya mempertahankan Perlembagaan kerana itu tanggungjawab kita semua sebagai rakyat.

“Sebelum ini kita lihat mereka turut melabelkan beberapa pemimpin Umno sebegitu juga kerana mempertahankan Perlembagan.

“Kini ingin saya tegaskan jika mereka warganegara Malaysia yang seharusnya menghormati Perlembagaan mereka perlu meminta maaf atau kami akan mengambil tindakan kerana tidak menghormati Perlembagaan Negara,” katanya. -MI

Ulasan GB

Tak der beban batu digalas. Itulah nasib UMNO bila terima PERKASA sebagai NGO yg mesra BN kononnya.

PERKASA semakin rasis, semenjak menjulang keris kita keris dihalakan kepada mereka yang bukan Melayu - sesuatu yang pastinya meletakkan UMNO dalam keadaan serba tak kena.

UMNO ada tugas besar, untuk mengajar PERKASA pula. Apalah malang nasibmu UMNO.


Agen Perisik Israel Terlibat Dalam Projek IT Polis

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan sekali lagi apabila mendedahkan penglibatan dua bekas anggota perisikan tentera Israel dalam Projek Sistem Maklumat Polis DiRaja Malaysia.

Projek yang dikenali dengan nama kod APCO P25 diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri dengan menelan belanja RM999 juta di bawah kelolaan APCO International.

"Kebimbangan saya adalah kerana ia ada kaitan dengan syarikat sama yang diberikan kontrak bernilai RM900 juta untuk mengusahakan 1,100 ekar Taman Teknologi Sungkai oleh Kementerian Pertahanan dan perkara ini telah didedahkan pada Julai 2008 dan disahkan melalui kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Ada dua orang yang bertugas di bilik server Bukit Aman di tingkat 2 dan 3. Tugas mereka meneliti bagi pihak APCO dan perkara ini telah disebut oleh Ketua Polis Negara. Pada bulan Julai 2008, Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Tan Sri Robert Phang menyerahkan sebahagian dokumen berkenaan projek tersebut kepada Badan Pencegahan Rasuah dan pada bulan Oktober berikut, Ahli Parlimen Ipoh Timur membangkitkan isu ini di Parlimen dengan beberapa maklumat tetapi pencdedahan beliau terus diketepi dan dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri.

"Pada November dan Disember 2008 pula, laporan polis telah dibuat oleh pegawai polis dan perkara ini telah disiasat oleh ASP Saerah tetapi dan pegawai tersebut dipindahkan ke Taiping dan tiada kemajuan tentang siasatan itu.

"Pada 23 November 2008, Menteri Dalam Negeri ketika itu mendapat taklimat khas pada jam 4.00 petang di Bilik VIP KLIA kerana Jabatan Logistik, Ketua Polis Negara dan Cawangan Khas membangkitkan isu tentang kehadiran Perisikan Israel di Bahagian Teknologi Maklumat PDRM.

"Pada 1 Disember 2008, Pengarah Jabatan Logistik Datuk Mahsuri Zainal menulis kepada BPR mengenai projek APCO 425 yang dikenali sebagai "Police Reporting System" Fasa Ketiga Pembekalan dan Penyelenggaraan 123 kepada syarikat Masterplan Consulting Sdn Bhd (MPC). Dalam surat tersebut bertarikh Mei 2008 Pengarah Logistik menerima laporan daripada Pengarah Cawangan Khas berkenaan penglibatan dua bekas Perisikan Tentera Israel di dalam projek PRS-PDRM oleh MPC.

"Dalam surat bertarikh Ogos 2008, Cawangan Khas mengesahkan penglibatan Israel melalui syarikat Asiasoft Malaysia sebagai subkontraktor dan mempunyai dua pemegang saham iaitu B System Sdn Bhd dan Asiasoft PLC. Asiasoft PLC didaftar di Singapura dan dikuasai oleh Asiasoft Global PLC yang berpengkalan di Israel," dedah Anwar lagi semasa membahaskan bajet tambahan Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat hari ini. -SK

Pemimpin UMNO Sedang Sibuk Tebalkan Poket

Pemimpin UMNO di negeri ini didakwa sedang berlumba mengumpulkan harta kekayaan masing-masing setelah menyedari Barisan Na-sional (BN) tidak berpeluang untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Penolong Setiausaha Pas Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia terbukti apabila majoriti tender projek yang dikeluarkan kerajaan dimonopoli pemimpin UMNO, sekali gus membuktikan hakikat bahawa parti itu mengutamakan kroni.

“Cerita pemimpin UMNO sedang ‘besarkan perut supaya kenyang’ sudah menjadi buah mulut rakyat khususnya di kedai kopi dan lebih mengejutkan, penyokong kerajaan sendiri turut bercakap mengenainya.

“Ini berlaku kerana mereka tahu rakyat tidak akan memberi mandat kepada BN pada pilihan raya umum nanti kerana mengalami krisis kepimpinan yang begitu serius,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, mengumpulkan harta dilihat sebagai perkara penting kepada orang UMNO dan atas sebab itu kebajikan rakyat bukan lagi fokus utama melainkan usaha memperoleh projek yang mampu ‘menebalkan’ poket.

Beliau berkata, memang benar penubuhan UMNO satu ketika dahulu khususnya zaman pemerintahan Tun Razak Husein adalah berjuang membasmi kemiskinan dan membantu rakyat namun sekarang matlamatnya jauh tersasar.

Malah katanya, sikap mencari kemewahan bukan sahaja berlaku di negeri ini, sebaliknya turut berleluasa di negeri pimpinan BN lain termasuk kepimpinan Kerajaan Pusat sendiri.

“Perjuangan UMNO sudah jauh tersimpang dan Pas bersama pakatan pembangkang akan berusaha mengembalikan semula hak rakyat.

“Rakyat sudah bosan sebenarnya dengan sikap pemimpin UMNO dan mereka akan jatuhkan kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti,” katanya. -SH

Bank Islam Diperintah Serah Dokumen Kpd Khalid Ibrahim Dalam Masa 14 Hari

Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) diberi tempoh 14 hari untuk menyerahkan semua dokumen yang dipohon oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung saman membabitkan saham Guthrie Berhad.

Perintah tersebut dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf dalam kamarnya hari ini seperti permohonan mendapatkan dokumen dikemukakan Abdul Khalid ke atas bank tersebut.

Menurut peguam Abdul Khalid Malik Imtiaz Sarwar, jika bank berkenaan gagal berbuat demikian saman balas yang dikemukakan terhadap Abdul Khalid boleh ditolak.

Tambah Malik Imtiaz berkata anak guamnya memerlukan semua dokumen berkenaan bagi memahami dan mengenal pasti perkara- perkara yang berkaitan dengan lebih jelas menjelang perbicaraan pada 4 Mei ini.

Kes ini melibatkan dua saman antara Abdul Khalid ke atas bank itu, dan juga saman balas bank terhadap Menteri Besar terbabit.

Abdul Khalid menyaman BIMB pada 18 Mei 2007 kerana mendakwa bank itu telah melakukan kesalahan melupuskan saham beliau dalam Guthrie yang diperoleh menerusi pinjaman Al-Bai Bithaman Ajil (BBA) pada 30 April 2001.

Beliau memohon perintah bahawa terdapat kontrak cagaran antara beliau dan bank itu berhubung pinjaman berkenaan.

Abdul Khalid, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Guthrie dari 1995 hingga 2003, juga memohon ganti rugi daripada BIMB.

Bank itu pula mengemukakan saman balas pada 24 Mei 2007 bagi mendapatkan balik RM66.67 juta kerana mendakwa Abdul Khalid melanggar perjanjian kerana tidak membayar balik pinjaman itu.

Pada Ogos 2009, Abdul Khalid diperintah oleh mahkamah membayar balik RM66.67 juta itu kepada BIMB tetapi Mahkamah Rayuan pada 3 Mac lepas memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi.

1Malaysia Tidak Lebih Dari Sekadar Slogan Kosong

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan tidak menarik perhatian rakyat di negara ini, Kata Pengerusi Dewan Perhimpunan Penyokong Pas, Hu Pang Chaw.

Menurutnya, Gagasan 1Malaysia hanyalah berkisar kepada nama yang gah, sebaliknya tiada pembaharuan melalui pemerintahan yang diterapkan Perdana Menteri.

“Tiada apa yang baru, ia hanyalah sekadar nama yang sedap tetapi tiada pengisian yang jelas,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Najib selepas genap setahun mengambil alih kepimpinan negara.

Sebelum ini, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pembentukan gagasan tersebut mendapat nasihat daripada syarikat perunding Apco Worldwide (Apco) iaitu syarikat yang dikaitkan dengan pembentukan slogan 1Israel pada tahun 1999.

Phang Chaw turut mempersoalkan kewajaran Perdana Menteri yang memperkenalkan konsep itu sedangkan ia sepatutnya ia sudah menjadi teras kepada mana-mana pemimpin yang menjadi ketua negara.

Dalam pada itu, ditanya adakah konsep itu akan diuji dalam pilihan raya Hulu Selangor, beliau berkata, rakyat memberi undi berdasarkan kepada parti yang menjaga kebajikan rakyat.

“Saya tidak nampak ia menjadi kelebihan kepada BN, malah jika Perdana Menteri mahu konsep 1Malaysia, sudah tentu beliau tidak perlu berfikir panjang untuk meletakkan calon MIC,” katanya.

Badrul Muhayat Mengaku Tak Bersalah Cederakan Isteri

Pelakon filem dan drama, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini terhadap dua pertuduhan mencederakan isterinya dua minggu lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Badrul Muhayat, 42, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia Daud, 29, dengan menumbuknya di muka dan menendang di perut di rumahnya di Lot 313E, Jalan 49B, Bukit E, Kampung Cheras Baru, Hulu Langat pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia dengan memukulnya menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki pada waktu dan di tempat yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin RM2,500 bagi dua pertuduhan itu dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pelakon berkenaan melantik peguam bela.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa ASP Dr A.Vasu memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM3,000 ke atas Badrul Muhayat bagi dua pertuduhan itu kerana ia berpatutan dengan kesalahan yang dilakukan.

Badrul Muhayat kemudiannya merayu kepada mahkamah agar mengurangkan wang jaminan kepada RM500 atas alasan dia kurang mendapat tawaran kerja ekoran laporan media berhubung kes itu. — Bernama

Soo Nee Ada Bukti ZulKulim Minta Duit

Exco Kerajaan Negeri Kedah, Lim Soo Nee menyifatkan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin seorang yang gemar memutar belit fakta.

Katanya, Zulkifli sanggup melakukan apa sahaja untuk kepentingan dirinya, walaupun terpaksa mempergunakan nama pihak ketiga.

“Saya dedahkan perkara ini kerana tidak sanggup lagi melihat rakyat ditipu dengan mudah oleh Zulkifli. Dengan penampilan dirinya itu saya yakin ramai yang sudah terpedaya,” katanya, ketika ditemui, di sini.

Soo Nee, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim berkata, beliau terpanggil untuk mendedahkan rahsia Zulkifli kerana tidak sanggup lagi bersubahat dengan Ahli Parlimen bebas itu, terutama apabila Zulkifli mendakwa beliau ditawarkan ganjaran besar untuk memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mengaitkan mereka dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Jika benar beliau ikhlas dan profesional, sepatutnya ketika menerima tawaran itu beliau membuat laporan polis atau mendedahkannya kepada umum. Tetapi kenapa baru sekarang, setelah hampir empat tahun berlalu?” katanya.

Soo Nee berkata, ketika sama-sama berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12), Zulkifli pernah mengaku menyimpan bukti kes pembunuhan itu, ketika mewakili tertuduh dalam kes terbabit, Cif Inspektor Azilah Hadri, tetapi menarik diri kerana didakwa terdapat campur tangan pihak ketiga dalam persediaannya membuat pembelaan.

Mengulas mengenai insiden yang dianggapnya menganiayai rakan separti, Soo Nee berkata, Zulkifli pernah menghantar dua khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya pada PRU-12, untuk meminta wang bagi digunakan ketika berkempen dengan menggunakan nama pihak ketiga.

“Mengikut rekod SMS itu, katanya, jentera Pas meminta RM21,000 untuk berkempen dan jika tidak dipenuhi, jentera Pas akan memboikot kempen itu. Katanya, saya hanya perlu tanggung sebahagian kos, iaitu RM7,000,” katanya.

Soo Nee berkata, memandangkan beliau tidak memberi maklum balas kepada SMS itu dengan segera, Zulkifli menghantar SMS kedua, memaklumkan kemarahan pihak terbabit dan meminta beliau memberi sejumlah yang mampu.

“Setelah Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya itu, kebetulan saya terjumpa Yang Dipertua Pas Kulim Bandar Baharu ketika itu, Yaakub Husin dan bertanya mengenai hal itu, tetapi beliau menafikan meminta wang untuk berkempen. Sejak itu, saya tertanya-tanya bagi tujuan apa duit itu diambil oleh Zulkifli?” katanya.:

Dengan pendedahannya itu, Soo Nee mencabar Zulkifli membuat kenyataan balas terhadap semua tindakannya, atau setidak-tidaknya meletakkan jawatan untuk menegakkan kebenaran.

“Eloklah buat pilihan raya kecil (PRK). Selepas itu kita lihat sama ada penduduk Kulim Bandar Baharu masih menyokong beliau atau sebaliknya,” katanya.

Soo Nee berkata, beliau berani membuat tuduhan ini kerana sehingga kini beliau masih menyimpan bukti, termasuk SMS yang dihantar Zulkifli dua tahun lalu, bertarikh 5 Mac dan 6 Mac.

Sementara itu:, Zulkifli, ketika dihubungi berkata, beliau tidak berminat berbalas kenyataan secara terbuka.

Menurutnya, apa sahaja tuduhan yang dilemparkan kepadanya “tidak perlu diperbesarkan” dan beliau “tidak kisah dengan tuduhan itu”, walaupun tuduhan itu sedikit sebanyak akan mencalar imejnya sebagai seorang pemimpin.

“Saya tidak minat untuk menjawab semua pertuduhan itu secara terbuka.

“Saya tak minat langsung nak komen isu ini. Apa yang saya boleh katakan ialah saya kenal Soo Nee sebagai seorang rakan dan ucapkan selamat maju jaya kepadanya.:

”Saya minta dia jaga kawasan dia dengan elok supaya dapat jadi calon pada masa akan datang.

“Biarlah apa dia nak kata. Saya tetap dengan pendirian saya, tak mahu berbalas kenyataan tentang isu yang dibangkitkan,” katanya. -SH

PRK Hulu Selangor: Calon PR Calon Berwibawa

Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu terburu-buru dalam menamakan bakal calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kita mempunyai ramai ahli berbakat untuk dijadikan calon,” katanya kepada pemberita di sini ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin bahawa Barisan Nasional akan mengumumkan nama bakal calonnya pda 15 April ini, dua hari sebelum hari penamaan calon.

Kerusi itu kosong berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat kanser otak.

Dalam pilihan raya umum 2008, Zainal Abidin menewaskan Datuk G.Palanivel daripada BN dengan kelebihan 198 undi. Hulu Selangor mempunyai 63,593 pengundi.

Abdul Khalid berkata memandangkan PKR mempunyai ramai bakal calon, parti itu memerlukan masa untuk menilai mereka.

“Kita masih dalam proses. Saya sendiri tak tahu bila kita akan umumkan,” kata Abdul Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh berkata setakat ini, jawatankuasa pilihan raya Pusat parti itu telah menerima 12 nama yang dicalonkan oleh peringkat akar umbi.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di Kuala Lumpur hari ini, Fuziah yang juga anggota Parlimen Kuantan, berkata PKR tidak menetapkan faktor kaum sebagai antara kriteria sebaliknya memastikan calon yang akan dipilih mampu diterima baik oleh rakyat dan boleh berkhidmat kepada masyarakat tempatan.

Katanya pengumuman mengenai calon PKR itu akan dibuat pada satu ceramah pengenalan calon minggu hadapan.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dari PKR akibat barah otak pada 25 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 April untuk penamaan calon.

Datuk Zaid Ibrahim, ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin adalah dua nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai tokoh yang layak untuk bertanding di Parlimen Hulu Selangor.



Pendedahan Untuk Rakyat, Anwar Rela Terima Hukuman

Datuk Seri Anwar Ibrahim rela digantung dari menghadiri sidang Parlimen berhubung pendedahan yang mengaitkan kerajaan Umno-Barisan Nasional dengan Apco Worldwide yang didalangi Yahudi berfahaman Zionis.

Ahli Parlimen Umno-BN dijangka mengemukakan usul untuk menghadapkan Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi menggantung Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu untuk tempoh yang tidak diketahui.

Anwar membuat kenyataan berani itu semasa berucap depan kira-kira 3,000 pengundi Hulu Selangor pada Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sungai Tengi.

Beliau mencabar Datuk Seri Najib Razak supaya menjawab persoalan yang ditimbulkan khususnya kaitan APCO dengan bahagian perisikan Israel, Shin Bet serta butiran perjanjian yang ditandatangani antara kerajaan dengan firma itu.

Anwar turut membidas Pemuda Umno yang lantang menuduh beliau mengkhianati Melayu tetapi menjahit mulut apabila isu APCO yang jelas ada kaitan dengan Yahudi Zionis, dibangkitkan.

Ucapan beliau juga menyentuh isu calon yang bakal membawa cabaran PKR. Anwar memberi jamiman calon PKR memiliki kewibawaan dan kredibiliti dalam memperjuangan nasib rakyat di Hulu Selangor.

Ketua Pembangkang itu juga berjanji betapa karenah segelintir calon PKR pada pilihan raya umum lalu hingga menimbulkan masalah kepada perjuangan rakyat, tidak akan berulang.