20 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Naikkan Tambang Teksi Untuk Kepentingan Peniaga Meter

Pemandu teksi seluruh negara akan terbeban dengan bayaran RM70 bagi menukarkan meter asal meraka kepada meter baru bermula Ogos ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma), Mohd Shahril Abd Aziz berkata, pemandu terpaksa menanggung kos penukaran meter yang mahal dan tidak munasabah.

“Masa yang diperlukan untuk menukar meter baru tidak sampai lima minit, tetapi kami dikenakan RM 70 dan ini amat membebankan kami.

“Kami terpaksa menukar meter ini di kedai persendirian kerana pihak Puspakom hanya menyediakan perkhidmatan pengesahan meter sahaja”, katanya.

Beliau berkata, jika masalah ini berterusan, Petekma akan mengambil tindakan drastik dengan memulaukan pengusaha meter dan melantik agen baru yang menawarkan harga yang berpatutan.

Beliau juga mahu pihak Puspakom menetapkan hari tertentu untuk pengusaha teksi mengesahkan meter mereka untuk mengelakkan berlaku kesesakkan dan menjimatkan masa menunggu mereka.

Di dalam perkembangan lain Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemandu Kelantan (PKDK), Hussein Awang berkata, kesemua pemandu teksi (kereta sewa) di negeri Kelantan akan masih mengekalkan tambang lama walaupun kadar baru telah ditetapkan.

"Kami akan masih mengekalkan harga lama kerana hanya dengan cara ini sahaja kami dapat menarik minat orang ramai untuk menggunakan kemudahan teksi," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, cara tersebut dilakukan kerana kadar peratusan penggunaan teksi di negeri ini sangatlah kecil.

Hussein berkata, pengguna sekarang sudah kurang gemar menaiki teksi berbanding dahulu.

Jadi katanya, dengan pengekalan harga lama sekurang-kurangnya ia dapat menarik semula minat pengguna untuk menggunakan perkhidmatan tersebut di negeri ini.

“Setelah melihat kepada sambutan yang diberikan oleh penumpang barulah kami akan memikirkan tentang harga tambang dan buat masa sekarang ini tambang adalah harga lama," katanya.

Pasca Manek Urai : UMNO Hilang Banyak Talian Hayat

Sebaik sahaja UMNO diumumkan kalah dengan 65 undi di PRK DUN Manek Urai, UMNO mula berkokok bahawa parti itu semakin pulih dan semakin berpengaruh di kalangan pengundi Melayu. PAS terkejut. PR kehairanan.

Namun kegembiraan UMNO hanya mampu bertahan untuk tempoh sehari sahaja. Kematian Teoh Beng Hock di premis SPRM Selangor ketika dalam soal siasat rasuah telah mengganggu rentak kegembiraan UMNO. Kematian tragis ini menimbulkan tanda tanya yang masih belum berjawab.

Kenyataan awal TPM dan polis belum cukup memuaskan hati rakyat. Secara spontan rakyat berbilang bangsa berkumpul dan mendesak kerajaan supaya segera membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja. Kerajaan masih berlengah. Slogan rakyat diutamakan telah dikecualikan dalam kes-kes sebegini.

Murahnya nyawa rakyat Malaysia. 1 Malaysia sekadar melahirkan rasa terkejut dan sedih tanpa arahan yang jelas terhadap kes ini. Semoga umrah 1 Malaysia mendapat ganjaran rahmat dan petunjuk Illahi apabila pulang ke Malaysia.

Kesannya rakyat bukan Melayu khususnya Cina tidak akan menyokong BN lagi. Dr. Koh Tsu Koon sudah mula bernada PR. Dr. Chua Jui Meng telah keluar MCA. PKR menjadi wadah baru perjuangan Dr. Chua. Semua ini berlaku dalam minggu yang sama. PRK Manek Urai, kematian Teoh, bicara liwat DSAI dan keanggotaan Dr. Chua dalam PKR telah menyegarkan dunia politik di Malaysia pada minggu lepas.

TPM dan KPN mengingatkan pimpinan PR dan rakyat agar tidak mempolitikkan kematian Teoh. Bagaimana boleh tidak disabitkan dengan politik? Teoh di siasat di SPRM atas kapasitinya sebagai pembantu exco. Exco dan politik saling berkait. Tuduhan rasuah juga adalah politik. Kemungkinan kematian Teoh masih berhubungkait dengan politik. Salahkah rakyat untuk berfikir begini?

Dalam suasana UMNO kehilangan satu demi satu talian hayat daripada kalangan rakan BNnya, UMNO masih menaruh harapan pada Melayu PAS. Rakan BNnya menunggu apa tindakan 1 Malaysia terhadap kes Teoh sekembalinya dari Makkah. Mungkin MCA dan Gerakan sepakat meninggalkan UMNO dalam dunianya.

Dalam suasana hiruk pikuk politik, muncul pula parti baru Uthayakumar, Parti Hak Asasi Rakyat. Memperjuangkan nasib golongan terpinggir tanpa mengira kaum. Tetapi sedarkah Uthayakumar bahawa perjuangan utamanya adalah untuk Hindraf sahaja. Dijangka parti ini akan atau sedang dipergunakan oleh UMNO. Selepas itu parti ini akan lebih terpinggir daripada perjuangannya.

Esok, Semenyih akan menjadi tumpuan. Rakyat pelbagai kaum akan menghadiri pengebumian Mendiang Teoh. Rakyat Melayu yang hadir bukan untuk majlis agama, tetapi hadir sebagai tanda sokongan supaya kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Betapa hibanya bakal isteri Teoh apabila anak yang dikandung hidup sunyi tanpa kelibat bapanya. - Dang Mamamat

Era Najib Altantuya : Ahli Umno Patut Masuk Sekolah Balik!!

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yassin dalam pertemuan dengan ahli Umno Shah Alam petang semalam dilaporkan meminta ahli Umno perlu balik ke sekolah untuk belajar semula. Ini penting, katanya dalam usaha mengembalikan semula semangat perjuangan ahli-ahli Umno yang kelihatan semakin luntur. Bagi 'menghantar semula ahli Umno ke sekolah', buat permulaan ahli Majlis Tertinggi parti itu bakal menghadiri kelas khas di Janda Baik sedikit masa lagi.

Saya menyokong penuh saranan Muhyiddin supaya ahli Umno perlu balik ke sekolah untuk belajar semula. Ini kerana kenyataan ahli-ahli Umno terutama pemimpin-pemimpin mereka akhir-akhir ini memang macam percakapan orang yang tidak pernah bersekolah, sungguh low class minded!!

Yang terbaru lihat sahaja kenyataan mereka mengenai kes kematian Teoh Beng Hock, adakah patut Muhyiddin dan lain-lain pemimpin Umno kata pemimpin PR sengaja mempolitikkan isu kematian Beng Hock? Perkara yang disentuh oleh pemimpin PR ialah kematian tragis Beng Hock, manusia apa namanya kita jika soal sebesar itu didiamkan saja? Yang mati itu bukannya semut, bukannya tungau, bukannya ayam, bukannya babi, tapi seorang manusia!

Jika Khir Toyo mati di dalam keadaan itu siapa berani kata Muhyiddin akan mendiamkan diri saja?Pasti semua pemimpin Umno akan melompat jika yang terkena itu batang hidung saudara mara, rakan taulan sendiri!

Melihat kepada kenyataan-kenyataan tidak cerdik pemimpin-pemimpin Umno itu, sebenarnya bukan sahaja ahli Umno biasa yang perlu ke sekolah semula, tapi TPM dan PM sendiri perlu masuk sekolah balik. Mereka perlu diajar semula ilmu agama, sejarah dan sivik bagi menanamkan semula rasa belas kasihan dan peri kemanusiaan terhadap sesama insan, biar pun orang itu bukan ahli parti mereka. -pendikargunungkriang


Era Najib Altantuya : Ada Apa Zahid Bertemu Ehud Barak?

Adalah amat ‘pelik dan memalukan’ apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpaksa ‘menafikan’ laporan awal yang di keluarkan oleh saluran berita resmi kerajaan Malaysia, Bernama bahawa beliau pernah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semasa Pertunjukkan Udara Paris di Perancis pada Jun lepas.

Sebaliknya menurut kenyataan terbaru yang dikeluarkan pegawai khasnya, Halim Majid, Ahmad Zahid hanya menemui Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak semasa majlis koktel di pertunjukan udara tersebut.

Namun isu pokok disini bukanlah samada bertemu dengan batang tubuh Netanyahu atau Ehud Barak? Kedua-dua mereka adalah pemimpin kanan negara Zionis Israel dan terlibat secara aktif dalam kancah kepimpinan Zionis yang merampas tanahair serta membunuh penduduk Palestin yang tidak berdosa.

Persoalan besar yang timbul sekarang adalah apakah motif sebenar pertemuan kedua-dua Menteri Pertahanan tersebut di kota Paris? Apakah sekadar ‘secara kebetulan’ untuk minum petang atau berkenalan semata-mata? Dan apakah pula implikasinya kepada dasar luar kerajaan Malaysia terhadap negara Zionis Israel? Begitu juga dengan pendirian rakyat serta umat Islam Malaysia terhadap pertemuan ‘sulit’ tersebut?

Malah lebih ‘pelik’ dan ‘dangkal’ lagi Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa pertemuan tersebut bukan atas permintaannya tetapi diminta sendiri oleh pemimpin Israel itu dan beliau adalah satu-satunya Menteri Pertahanan yang ditemui Ehud Barak. Alasan Ahmad Zahid menerima ‘jemputan pertemuan’ itu adalah untuk menjelaskan pendirian kerajaan Malaysia berhubung isu di Asia Barat kepada Menteri Pertahanan Zionis Israel tersebut.

Persoalannya apakah begitu mudah seorang yang bertaraf Menteri Kanan kerajaan Malaysia boleh bersetuju untuk bertemu dengan seorang pimpinan kanan Zionis Israel walaupun bukan atas permintaan beliau tanpa melihat implikasi dan kesan keatas pertemuan yang di anggap ‘tidak diatur’ tersebut? Di manakah Ahmad Zahid Hamidi mahu meletakkan ‘dasar luar’ yang dipertahankan oleh kerajaan Malaysia selama ini yang sehingga kini ‘mengharamkan’ setiap warga yang memiliki paspot Malaysia dari memasuki negara haram Israel? Begitu juga dengan ketegasan pengharaman warga Israel dari memasuki negara Malaysia.

Malah Zahid dilapurkan berkata bahawa; "Saya mengenakan syarat kepada beliau (Ehud Barak) sekiranya mahu bertemu dengan saya, iaitu tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", dan beliau akur,".

Bagi saya daya pemikiran daan bacaan politik Ahmad Zahid Hamidi adalah amat dangkal. Implikasi dari pertemuan tersebut bukanlah dengan “tiada pegawai pengiring daripada pihak Israel, tiada jurugambar dan tiada "double standard", tetapi beliau telah meletakkan ‘dasar luar’ Malaysia terhadap negara Zionis Israel itu semakin kabur dan bercelaru. Sedarkah Ahmad Zahid Hamidi bahawa samada beliau bertemu dengan Netanyahu atau Ehud Barak kedua-duanya adalah anggota ‘terroris Zionis’ yang terlibat secara langsung melakukan pelbagai bentuk ‘pencabulan hak asasi manusia’ dan kezaliman terhadap penduduk awan Palestin.

Bagi saya, Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang Menteri Pertahanan seharusnya menjawab persoalan ini;

Pertama kewujudan negara Zionis Israel adalah hasil dari kekejaman dan kezaliman yang mereka lakukan sejak berpuluh-puluh tahun dengan merampas bumi dan hak umat Islam Palestin. Rakyat Palestin telah menjadi mangsa lebih dari setengah abad dimana tanahair mereka dirompak, mereka dihalau daripada rumah kediaman dan tempat kediaman mereka diroboh, kebun-kebun buah Zaitun dan Tin yang merupakan sumber kehidupan mereka juga di bakar dan dimusnahkan. Di atas tanah rampasan inilah pula dibina tempat kediaman pendatang Zionis Yahudi, di mana rakyat Palestin pula dipaksa terus menjadi pelarian tanpa negara.

Kedua, negara Zionis Israel tidak pernah mengenal erti ‘keadilan dan hak asasi manusia’ apabila mereka terus menerus membunuh dan memenjarakan ribuan penduduk Palestin termasuk menteri-menteri dan ahli-ahli Parlimen Palestin. Lebih angkuh lagi sehingga kini mereka terus mengepung bumi Gaza yang berkependudukan sejumlah 1.5 juta orang tanpa sebarang perikemanusiaan. Mereka bertindak memutuskan bekalan letrik dan air serta menyekat sebarang bentuk bantuan makanan dan perubatan dari sampai kepada penduduk yang tidak berdosa.

Ketiga negara Zionis ini juga tidak pernah menghormati sebarang keputusan serta resolusi yang di keluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi mendesak mereka menghenti membina penempatan haram di tanah-tanah rampasan serta menyerahkannya kembali kepada penduduk Palestin di Tebing Barat. Malah negara Zionis ini sentiasa mendapat dokongan Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai oleh Kuasa Besar Dunia seperti Amerika Syarikat dan Britain yang menjadi anggota tetap yang mempunyai ‘Kuasa Veto’ bagi melindungi setiap kekejaman Zionis Israel. Tambahan pula boleh dikatakan semua badan-badan antarabangsa seperti Kesatuan Eropah (EU), dan negara-negara Kuasa Besar G8 membisu seribu bahasa terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Zionis Israel ini.

Keempat di manakah pula pendirian Ahmad Zahid Hamidi terhadap pencerobohan berterusan yang di lakukan oleh Zionis Israel terhadap Qiblat pertama umat Islam iaitu Masjid Al-Aqsa? Apakah pembebasan Masjid Al-Aqsa kekal menjadi agenda terpenting di peringkat antarabangsa bagi kerajaan Malaysia atau sudah sampai masanya kerajaan Malaysia mengambil pendirian untuk membuka jalan ‘hubungan diplomatik’ serta ‘mengiktiraf’ kewujudan negara Zionis ini?

Bagi saya, apakah Ahmad Zahid Hamidi tidak malu dengan tindakan protes terhadap kebiadapan Zionis Israel yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Turki Rejab Tayyeb Erdogan di Persidangan Davos dan Presiden Iran Mahmood Ahmadinejad di Geneva? Apakah Ahmad Zahid tidak merasa malu dengan contoh yang ditunjukkan oleh pemimpin negara-negara kecil di Amerika Latin seperti Presiden Chavez di Venezuela dan Moralis di Bolivia yang sanggup secara terbuka menghalau duta Israel serta memutuskan hubungan diplomatik bagi menunjukkan rasa simpati kepada rakyat Palastin?

Pokoknya negara Zionis Israel ini telah berpuluh-puluh tahun mencabul segala batasan undang-undang antarabangsa, melanggar hak asasi kemanusiaan serta melakukan jenayah perang yang besar terhadap penduduk awam Palestin. Pertemuan Ahmad Zahid dengan Ehud Barak seharusnya menjadi pengajaran kepada kepimpinan negara bahawa sebahagian besar dari pemimpin dunia Islam termasuk Malaysia sendiri masih di kongkong dengan tekanan dan hegemoni Zionis di negara umat Islam sendiri?

Bagi saya, dasar Luar PAS terhadap negara Zionis Israel ini adalah jelas. PAS sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan padu terhadap intifadah yang di terajui oleh Harakah Muqawammah (Hamas) di bumi Palestin. PAS juga sentiasa mengutuk sikap ‘double standard’ Kuasa Barat khususnya Amerikat Syarikat dan Britain yang secara membabi buta mempertahankan segala tindakan zalim dan tidak bertamaddun negara Zionis ini kononnya atas dasar ‘memerangi keganasan’. Bagi PAS, keamanan dan perdamaian di rantau Asia Barat hanya akan wujud apabila dunia mengembalikan hak serta maruah penduduk Palestin yang di halau dari bumi tanah tumpah darah mereka sejak berpuluh-puluh tahun. Isu bumi Palestin serta pembebasan Masjid Al-Aqsa akan tetap kekal menjadi agenda terpenting PAS di peringkat antarabangsa. -YB Syed Azman

Era Najib Altantuya : Ramai Percaya Beng Hock Dibunuh

KKenapa Teoh nak terjun bunuh diri? Tak logik! Kenapa berehat dulu, tak balik terus?

Itulah antara persoalan yang dikemukakan semula oleh orang ramai ketika diminta memberi pendapat mereka berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock di bangunan Plaza Masalam, Khamis lalu.

Mereka hairan dengan insiden yang menimpa Teoh dan merasakan ada sebab-sebab tertentu disebalik penemuan mayat Teoh yang dipercayai jatuh dari tingkat 14, selepas disoal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selama hampir 10 jam.

Justeru, langkah menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu, disokong penuh oleh orang ramai.

Ketua Angkatan Muda Keadilan Kota Raja, Azmizan Zaman Huri sangat bersetuju dengan petisyen itu kerana kes ini jika difikir secara logik, tiada orang yang sudah disiasat akan tinggal lagi di pejabat SPRM dengan alasan nak berehat tidak masuk akal.

Katanya, banyak persoalan yang timbul sehinggamana patut hantar satu petisyen supaya kerajaan Malaysia menubuhkan satu Suruhanjaya Di Raja bagi menyiasat kes ini dengan memerlukan badan bebas menyiasat untuk memastikan ketelusan tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

Seorang lagi penduduk dari Bandar Sunway, A. Balakrishnan yang ditemui berkata semua yang berlaku dengan alasan yang tidak munasabah itu tidak boleh diterima, mereka yang bertanggungjawab perlu memberi jawapan atas apa yang berlaku.

Sehubungan itu, Perhimpunan Memperingati kematian Teoh Beng Hock di Stadium Kelana Jaya, petang tadi merumuskan satu petisyen menuntut keadilan berhubung kejadian ini.

Antaranya, mereka mendesak supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan segera untuk menyiasat kejadian ini, mendesak Pengarah SPRM Cawangan Selangor meletak jawatan serta merta dan meminta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz memohon maaf berhubung kenyataannya yang mengatakan Teoh terjun membunuh diri.

Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat yang dihadiri lebih 3,000 penduduk ini, turut melancarkan kempen mengumpul 10,000 tanda tangan daripada orang ramai sebagai sokongan terhadap usaha yang dilakukan.

Orang ramai yang ditemui menyokong penuh petisyen berkenaan dan bersetuju supaya sebuah badan bebas diwujudkan untuk menyiasat insiden ini, tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

“Petisyen ini menunjukkan rasa bersama rakyat, kemarahan rakyat terhadap apa yang berlaku, walaupun ini bukan pertama kali berlaku, tetapi kali ini terlalu serius kerana melibatkan pembunuhan berunsur politik, dan terjadi secara diskriminasi dibuat oleh pihak SPRM, dan ia dilihat terlalu menuju kepada adun-adun Pakatan Rakyat, bangsa cina dan ini menimbulkan kemarahan, petisyen ini patut dijalankan,” kata Latheefa Koya, Ketua Penerangan PKR dari Kelana Jaya

Queenie Khoo dari Kuala Lumpur yang ditemui menyatakan bahawa petisyen itu memang perlu ditandatangani dan beliau menyokong penuh kerana apa yang berlaku kepada Teoh tidak adil dan sebagai rakyat Malaysia, perlu menghentikan emosi ini dan mengetahui perkara yang benar.

“Sangat setuju pasal petisyen itu untuk kita menegakkan keadilan mencari sesuatu sebelum ini yang kita tak tahu, yang tersembunyi disebalik kerajaan dahulu, jadi ia sesuai sangat dengan adanya petisyen ini,” kata Wahida Yahya dari Bangi.

Sementara itu, Badaruddin Dawam dari Shah Alam turut akan menyokong segala tindakan yang dilakukan kerajaan negeri Selangor dalam memberi keadilan yang hakiki terhadap kematian Teoh Beng Hock dan katanya, isu keadilan tidak kira parti apa.


Era Najib Altantuya : Pengerusi SPRM Perlu Letak Jawatan

Rakyat dari pelbagai lapisan bangsa dan agama telah membanjiri Stadium Kelana Jaya petang semalam menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock yang ditemui mati Khamis lalu, selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Pemimpin utama Pakatan Rakyat, termasuk pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, ahli jawatankuasa PAS pusat, Datuk Husam Musa, berucap kepada hadirin.

Poster dan kain rentang dipasang di sekitar kawasan stadium tersebut, yang memaparkan gambar Teoh, dengan tulisan ‘Keadilan untuk Beng Hock"

Husam menyifatkan Teoh sebagai seorang "wira kita. Amat jelas bahawa Teoh telah dibunuh, Malaysia tidak lagi selamat." kata beliau.

Husam mendakwa SPRM menjadi alat yang cuba melindungi amalan rasuh pemimpin BN.

Beliau berkata SPRM cuba untuk menjatuhkan kerajaan Selangor sebagaimana modus operandi mereka ketika kerajaan Perak pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tumbang ekoran kes rasuah dua pemimpin PKR.

Husam berkata siasatan berhubung dakwaan rasuah terhadap kedua-dua pemimpin tersebut, tidak dilanjutkan.

Menurutnya, PAS turut menyokong penubuhan suruhanjaya diraja tersebut bagi menyiasat kematian Teoh.

Dalam ucapannya, im Kit Siang pula mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh - setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hean Wah.

Beliau juga mahu kabinet membuat keputusan segera mengenainya.

beliau berasa amat marah dan sedih dengan kematian Teoh ketika di bawah pengawasan SPRM

“Dia pemuda sihat ada idealisme dan mahu menyambung pembangunan negara. Beliau menghadiri siasatan kepada SPRM tapi keluar sebagai mayat, Bagaimana jadi begitu?

“Kematian beliau penuh dengan misteri menyebabkan rakyat mahu mengetahui apa yang berlaku,

“Dia (Teoh) jadi saksi, bukan suspek. Bukan begini caranya (menyiasat). Dan mereka harus bertanggungjawab di atas kematian Teoh. Kerana Teoh berada di bawah penjagaan SPRM.

“Kita berasa marah dan sedih. Sebab kita manusia,” kata Kit Siang.

Beliau juga mempersoalkan tindakan SPRM yang tidak menyiasat berhubung skandal PKFZ yang membabitkan RM12.5 bilion dan juga banglo mewah milik bekas menteri besar Selangor Dr Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

“Ada siasatan? Tidak ada siasatan kepada mereka. Tiada siasatan daripada pihak SPRM.

“Tapi Teoh disiasat dengan hanya kerana dikata ada ADUN menyalahgunakan wang peruntukan RM2,400 untuk membeli bendera Malaysia,” katanya.

Lim turut menggesa ketua pesuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan supaya meletak jawatan.

Beliau berkata Teoh menjadi mangsa konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Sementara itu, menteri besar Selangor berkata pihaknya mahukan kebenaran dan keadilan berhubung siasatan terhadap kematian Teoh kerana banyak persoalan yang belum terjawab, terutama mengapa selepas disiasat, Teoh sanggup duduk di pejabat SPRM.

Katanya, banyak laporan kepada SPRM berhubung dakwaan rasuah pemimpin BN yang telah dibuktikan, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap mereka.

Sehubungan itu, Abdul Khalid yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menyokong penubuhan suruhanjaya diraja untuk menjalankan siasatan segera terhadap kematian Teoh.

“Tidak ada yang kita mahu selain daripada itu. Kalau Najib benar-benar mahukan satu Malaysia, tubuhkan suruhanjaya diraja. Kalau Najib tak buat, dia cakap tak serupa bikin, bukan satu Malaysia.

“Rakyat mahukan keadilan. Ini bukan soal politik, bukan soal perkauman tapi ini soal keadilan dan kepercayaan rakyat, katanya.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyokong cadangan Guan Eng untuk menubuhkan tabung khas bagi membantu keluarga Teoh.

Di akhir perhimpunan tersebut, seorang penyokong bertindak membakar akhbar Utusan Malaysia and Berita Harian ekoran ulsan mengenai kematian Teoh yang didakwa berbaur perkauman.

Ini berkaitan dengan beberapa laporan yang menganggap PKR cuba melemahkan institusi yang didominasi oleh orang Melayu seperti SPRM.



Era Najib Altantuya : Kerana Anak Muda Itu Bukan Melayu!

Ada “pelampau” (extremist) yang beranggapan darahnya halal. Karena anak muda itu bukan Islam, maka darahnya halal. Karena namanya Teoh Beng Hok, maka darahnya halal…

Ini manusia jenis apa? Entah ajaran mana yang diikut? Ugama mana yang diturut? Bajingan kalau semua hal, termasuk soal nyawa dan kemanusiaan, diperhitung sebagai memenuhi percaturan politik-kekuasaan.

Tak ada sebab Teoh perlu bunuh diri. Hanya selang sehari, dia akan mendaftarkan perkahwinannya dengan Soh Cher Wei; si gadis berjarak umur 4 tahun lebih muda, yang juga seorang guru. Dia dirundung nestapa bukan kepalang, menanti kepulangan kekanda yang ditahan aparat pemerintah. Tak pulang-pulang.

Mereka sudah menempah dan menetapkan warna baju pengantin. Menelefon saudara-mara dan kawan-kawan memaklumkan tarikh bersandingan, dengan bangga. Juga sesi foto yang mahu diambil di taman bunga, tasek atau pantai waktu mentari jingga. Juga anak dalam kandungan kekasehnya… zuriat mereka berdua.

Teoh tentu tak pernah menduga, rupa-rupanya yang mengkehendakinya ke pejabat tingkat 14 itu adalah jemputan maut…

Kita tak dapat menerima sama sekali kemunafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sekonyong-konyong mengutus ucapan takziah kepada keluarga Teoh atas tragedi tersebut. Ucapan takziah yang diutus dari Arab Saudi tak lebih seumpama usaha untuk cepat-cepat cuci tangan dan melindungi sesuatu.

Andai saya ahli keluarga mendiang Teoh, saya akan menginjak-injak kalungan takziah dari Najib.

Kematian Teoh bukan kematian ‘biasa’. Dikatakan terhumban dari tingkat 14, ke bumbung pada aras 5–sewaktu Teoh sepatutnya berada dalam pengawasan pehak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Takkan sesiapa yang waras akan menerima dalih SPRM yang kononnya mendakwa sudah ‘membebaskan’ Teoh sekitar jam 4.30 pagi–hari di mana Teoh kemudiannya ditemui mati kira-kira 9 jam kemudian.

Tak akan siapa boleh menerima dalih bahawa selepas dibebaskan, Teoh tak segera pulang dan konon dikatakan telah menumpang tidur di sofa pejabat SPRM. Takkan siapa percaya Teoh mengingau, atau tergelincir jatuh. Apatah lagi bunuh diri.

Kes kematian anak muda ini diselubungi kesangsian. Maka, Najib atau mana-mana menteri Umno-BN tak perlulah menasehatkan rakyat untuk tidak merasa sangsi.

Mereka tidak berhak dan tidak punya wibawa sama sekali menghalang kewarasan rakyat yang merenung betapa memang wujud sesuatu yang tak kena kepada bukan sahaja pegawai SPRM, cara pengendalian soal-siasat, malah menjurus kepada SPRM itu sendiri.

SPRM kini diragui, sangat-sangat diragui. Kematian misteri Teoh hanya mengesahkan bagaimana tuduhan sebelum ini yang SPRM merupakan salah-satu jejari kekuasaan Umno-BN untuk mencemar dan mematahkan satu-persatu tengkok para pemimpin Pakatan Rakyat.

Sehingga esei ini ditulis, SPRM masih tidak menafikan dakwaan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, saudara Tan Boon Hwa yang dilaporkan diperlaku tidak umpama oleh pegawai penyiasat SPRM–diugut, dipaksa berdiri berjam-jam dan membuat pengakuan palsu, diancam nyawa serta keselamatan anak-isteri dan keluarga beliau.

Kes penyelewengan jutaan dan ratusan juta dipendamkan, sementara ke arah Pakatan Rakyat disasarkan serangan. Bayangkan bagaimana siasatan tegas yang melibatkan ahli majlis perbandaran Kajang hanyalah atas tuduhan membeli 1, 500 helai bendera Malaysia. Inilah apa yang dinamakan sebagai “lawak seram”!

Kini jelas nyata SPRM adalah laksana serigala lapar yang mahu menerkam, menggugat dan merampas kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat.

Contohnya sudah ada di Perak, dengan dua ADUN Keadilan yang pada mulanya diseret dengan tuduhan menerima suapan berbentuk tunai dan habuan seks, tiba-tiba beralih menyokong Umno-BN di dalam DUN.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dirampas dengan cara culik dan ugut. Juga serangan di Kedah sehingga menyaksikan pilihanraya kecil Bukit Selambau terpaksa diadakan.

Serangan komplot ini sempat terhala ke Pulau Pinang dalam kes yang melibatkan bekas timbalan ketua menteri yang dituduh menerima rasuah. Perangkap juga pernah dipasang di Bandar Tun Razak yang melibatkan Menteri Besar Selangor dalam kes “46 ekor lembu.”

Keadilan-Pas-DAP sekian lama serius untuk membenteras rasuah. Selama ini, rasuah adalah barah di dalam Umno, dan bukannya di dalam Pakatan Rakyat. Kerajaan Kelantan tidak tercemar oleh rasuah, meski sudah 15 tahun memerintah, dan memang 3 kali pilihanraya umum.

Pakatan Rakyat terus tegas melawan dan menentang rasuah, tetapi bukan dengan sandiwara mahupun merekayasa bukti dan pertuduhan. Lihat sahaja daripada kes “Pelabuhan Klang” sehinggalah “mahligai Khir Toyo” adalah kes berprofail tinggi. Ya, di mana SPRM?

Bagi yang dekat dan biasa dengan papan catur politik Umno-BN, agak mudah untuk membaca siapa yang membiayai plot-plot sandiwara ini–justeru tak satupun yang terlepas daripada pengetahuan dan restu Presiden Umno.

Tentulah bukan beliau sendiri yang perlu ke sana ke mari. Juga, siapa pula yang merendahkan harga diri bertindak sebagai macai (operator) penggerak dan bersumpah untuk menjayakannya.

Ceh! Betapa jelek dan jijiknya politik elit Umno!

Dalam sessi sidang parlimen awal tahun ini, satu isu dan konspirasi besar dibongkar ketua Pakatan Rakyat di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ianya melibatkan “blue-print” khusus yang dikeluarkan pehak yang mahu merampas Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat. Plot dan projek itu dengan biaya ribu juta ringgit.

Menteri Kewangan Kedua waktu itu tidak dapat menjawab soalan YB Azmin Ali berhubung peruntukan besar kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan digunakan di Selangor.

Broker politik Umno-BN yang lazimnya bising membebel sesama mereka mengutuk MP Pakatan, khususnya Anwar waktu bersembang di cafe, terdiam. Cuba buat-buat tidak mendengar apabila rahsia jahat bos-bos mereka cobor.

Selepas mengenali bagaimana SPRM dan sekian banyak agensi kerajaan diperkuda, ada asasnya untuk kita mempercayai kes kematian Teoh akan mendapat pembelaan yang adil. Sama seperti kes pembunuhan Altantuya Sharibuu… tak akan siapa yang waras dapat mengerti mengapa dua anggota polis berpangkat rendah itu perlu meragut nyawa Altantuya?

Ya, melihat kedudukan pangkat mereka, tak ada ‘faedah’-nya mereka melakukan pembunuhan itu. Untuk apa? Tapi, skrip ini adalah skrip di zaman Najib sebagai PM. Barangkali memang begitu. Modus operandi takkan jauh berbeda.

Bagi pemimpin Umno-BN, riuhnya hanya dua-tiga hari dengan sejuta janji manis… kemudian disenyapkan. Dialih pandangan rakyat dengan entah apa lagi gula-gula baru.

Sesungguh kita akan mengenang nasib anak muda yang dibaham nyawanya oleh segelintir yang terdesak dan desperado untuk kekal berkuasa. Kematiannya itu pula akan didiamkan sebagai satu “strategi politik” oleh puak pelampau dan menganggap darah orang yang berbeda bangsa, berbeda ugama dan berbeda faham politik adalah halal.

Politik cara Umno-BN inilah apa yang saya ungkapan sebagai “politik intrik” atau “politik gelap.” Lawannya adalah “politik idea” atau “politik pencerahan” yang jauh memberi manfaat kepada rakyat.

Julung kali perjuangan Reformasi selepas lebih sedekad, akhir telah memakan korban nyawa! Seluruh anak muda wajar mengirim sahabat kita ke pusara dengan baju pengantin yang kekal, sehingga rakyat bangun. Bangkit membela. - Hasmi bin Hashim

19 Jul 2009

Era Najib Altantuya : Jatuh Tidak Terjun Pun Tidak


Satu dunia tak percaya teori awal yang menyatakan Teoh Beng Hock mati kerana terjatuh atau terjun dari tempat tinggi sepertimana yang diutarakan oleh beberapa pihak yang cuba melakukan "cover-up" terhadap kematian Teoh.

Ini kerana keadaan mayat yang ditemui TIDAK menepati ciri-ciri tabie seseorang yang terjatuh dari tingkat 14 ke bumbung tingkat 5 (9 tingkat) kerana keadaan mayat yang ditemui tidak mengalami apa-apa kecederaan luaran sepertimana sepatutnya.

Akal logik tidak dapat menerima teori "terjatuh" atau "terjun" yang mana jika keadaan sedemikian berlaku sepastinya kecederaan fizikal mayat telah menunjukkan kesan pendarahan yang teruk serta kecacatan fizikal yang lain seperti muka yang bersepai, tangan dan kaki yang patah dan seumpamanya apa tah lagi ia terjatuh di atas lantai konkrit dan bukan jatuh diatas tilam atau jaring keselamatan.

Justeru keadaan mayat yang menyalahi tabie orang yang jatuh atau terjun setinggi 9 tingkat, kenyataan awal mana-mana pihak yang menjadi ia sebagai alasan sebagai kematian Teoh tertolak dengan sendirinya.

Jatuh tidak terjun pun tidak, tetapi bagaimana mayat itu boleh berada di situ? Siapa mmeletakkannya di situ?

Kita yakin hal kematian Teoh tidak akan disembunyikan sepertimana yang dijamin oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan juga Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Khalid Abu Bakar.

Oleh itu kita masih tunggu laporan pakar pathologi yang seterusnya.

Era Najib Altantuya : Muhyiddin, Ini Soal Nyawa Bukan Soal Politik!

Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa isu kematian Teoh Beng Hock dipolitikkan oleh Pakatan Rakyat merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dari seorang pemimpin.

Adakah nyawa seorang boleh ditukar ganti untuk kepentingan politik? Lainlah apa yang berlaku apabila kematian penuh tragis Altantuya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin politik.

Muhyiddin berkata, Pakatan Rakyat cuba mengalih isu sisatan rasuah SPRM dengan membesar-besarkan kematian 'mengejut Teoh Beng Hock. Siapa yang cuba mengalih isu? Ternyata pemimpin Umno merasa tergugat dan terperangkap dengan jerat yang mereka sendiri pasang.Buktinya jelas,SPRM yang belum pun setahun jagung dilihat bertindak hanya mengikut telunjuk pemimpin Umno@BN. Apa perkembangan siasatan wang Balqis, salah guna peruntukan wakil rakyat Umno penggal lalu, hadiah mahal dan 'istana' Khir Toyo? SPRM lebih berminat dengan lembu dan apa sahaja yang melibatkan Pakatan Rakyat.

Semua ini seperti satu konspirasi terancang untuk menjatuhkan kerajaan pakatan Rakyat di Selangor dan di negeri-negeri lain. Tetapi kematian 'mengejut' Teoh Beng Hock menyebabkan segala perancangan dan tipu daya mereka terbongkar. Rakyat bangun menyatakan kemarahan menunding kepada Umno@BN sebagai punca tragedi malang ini berlaku.

Ternyata Umno@BN sebenarnya yang cuba mengalih isu kerana terperangkap dan terkepung dengan peristiwa ini. Isu ini pastinya akan mempercepatkan lagi tersungkurnya Umno dalam PRU akan datang. -angkasanuri

Era Najib Altantuya : Pakatan Rakyat Akan guna Satu Lambang

Pakatan Rakyat (PR) bercadang menggunakan satu lambang pada pilihan raya akan datang dan mendaftarkan pakatan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memudahkan segala urusan sama ada melibatkan pilihan raya dan urusan-urusan lain.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat pemimpin tertinggi PR dan sedang dalam penelitian sekretariat PR serta mendapatkan pandangan dari sudut undang-undang untuk perkara itu.

Beliau berkata, perkara itu masih di dalam peringkat cadangan dan belum diputuskan kerana pihak peguam PR sedang membuat penelitian dan kajian dari sudut perundangan sebelum didaftarkan termasuk penggunaan satu lambang bagi mewakili PR dalam pilihan raya akan datang.

“Kita berharap perkara ini dapat dilaksanakan dalam tempoh masa yang terdekat memandangkan beberapa masalah dihadapi sewaktu Pilihan Raya Kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang lalu di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan kita mengibarkan bendera selain Pas dengan alasan PR tidak didaftarkan.

“Saya fikir ini masa yang sesuai untuk melaksanakannya di mana kita sedang menuju ke arah sistem politik dua parti yang diamalkan di kebanyakan negara-negara maju dan kita harap pada Pilihan Raya Umum ke-13 kita boleh menggunakan konsep ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Memimpin Harapan Rakyat anjuran PKR Negeri Perak di Dewan Utama Hotel Angsoka, di sini, semalam.

Mengenai usaha untuk mendisiplinkan ahli dan pemimpin PR, beliau berkata, PR akan menyediakan mekanisme yang lebih jelas sebagai panduan kepada ahli dan pemimpin untuk menyelesaikan masalah secara bersama di dalam sekretariat PR di peringkat negeri dan pusat tanpa melibatkan media.

Menurutnya, walau bagaimanapun, pihaknya tidak menghalang mana-mana pemimpin untuk membuat kenyataan melalui media mengenai isu-isu tertentu sebaliknya meminta supaya segala masalah dalaman parti dibincangkan bersama tanpa melibatkan media untuk mengelakkan dimanipulasi oleh media yang dikuasai UMNO dan Barisan Nasional.

Beliau berkata, sekretariat itu akan dikembangkan termasuk pembentukan jawatankuasa di peringkat Ahli Parlimen dan di peringkat negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat (PR) supaya permasalahan ini dapat diselesaikan dengan baik. - SH


Era Najib Altantuya : SPRM Calarkan Imej Najib

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak cuba untuk memulakan langkah 100 harinya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan apa yang disifatkan sebagai insentif dan faedah kepada rakyat Malaysia.

Insentif ini dikemukakan dengan tujuan untuk menyakinkan rakyat bahawa beliau adalah PM yang lebih baik daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang 'dipaksa' melepaskan jawatan akibat prestasi buruk Umno-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 12, 8 Mac 2008.

Sebaik mengangkat sumpah, Najib memperkenalkan KPI (Key Performance Index atau Petunjuk Prestasi Utama) bagi mengukur dan menilai prestasi setiap Menteri diikuti dengan penilaian prestasi Kementerian, agensi-agensi kerajaan dan sebagainya.

KPI ini pada aspek pengurusan, merupakan satu usaha yang baik ke arah mempertingkat ketulusan, kesungguhan dan keberkesanan seseorang Menteri atau agensi yang berkaitan.

Kononnya jika KPI dapat dilaksanakan sebaiknya, tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan BN dapat dipertingkatkan.

Seterusnya Najib memperkenalkan konsep 1 Malaysia, khusus untuk menarik sokongan rakyat bukan Melayu yang semakin terhakis keyakinan mereka terhadap kepimpinan Umno-BN sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat.

Kemudian Najib menyusuli langkahnya dengan membuat 11 pengumuman mesra rakyat yang dibuat bersempena genap 100 hari beliau menjadi PM, 12 Julai lepas.

Najib juga turut mengumumkan enam bidang keberhasilan utama nasional (KRA) untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah, mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Malangnya, semua usaha yang dilakukan Najib dengan tujuan untuk memurnikan persepsi rakyat terhadap kepimpinan barunya, tercalar dan dipertikaikan rakyat akibat kematian Teoh Beng Hock semasa dalam siasatan di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Teoh merupakan Setiausaha Politik Exco Negeri Selangor dari DAP, Ean Yong Hian Wah, disoal siasat SPRM berhubung dengan dakwaan salahguna peruntukan Dewan Undangan Negeri.

Kematian Teoh membuka persoalan yang sangat besar, bukan sahaja kematiannya menjadi suatu misteri yang harus disiasat dengan seadil-adilnya.

Malah, ianya membuka mata rakyat terhadap SPRM, yang sejak keujudannya gagal menampilkan imej sebagai sebuah badan professional, telus dan terkecuali daripada pengaruh pemimpin kerajaan Umno-BN.

Tindakan SPRM menyiasat dakwaan salahguna peruntukan Dun oleh Adun Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu tindakan yang bermotif politik untuk memburukkan imej kerajaan negeri dan parti komponen Pakatan Rakyat.

Sebaliknya SPRM langsung tidak memperdulikan, malah tidak langsung mengambil tindakan ke atas aduan rasuah yang dibuat terhadap ramai ahli politik Umno-Barisan Nasional terutamanya Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor dan yang terlibat dalam skandal PKFZ.

SPRM menunjukkan bahawa ia berperanan dan berfungsi sebagai alat Umno-BN untuk mencabuli kebebasan individu, autonomi rakyat untuk memilih wakil rakyat mereka dan konsep Federalisme yang kesemuanya termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

SPRM hanya membuktikan bahawa semua langkahnya bermotifkan politik, dengan tujuan untuk melindungi parti perasuah yang terbesar dalam negara iaitu Umno yang terkumpul di dalamnya penjenayah rasuah politik wang.

Imej Najib sudah tercalar dengan buruk, langkah 100 harinya begitu sumbang dan tersasar. Belum lagi KPI terlaksana, sudah wujud tanda-tanda kerapuhan kerajaan Umno-BN.

Usaha untuk memalitkan imej negatif terhadap Pakatan Rakyat akan terus gagal kerana Najib, Menteri-menteri, agensi kerajaan, Umno dan BN terus melakukan kesilapan yang semakin menjerumuskan mereka ke lembah kehancuran. - Mohd Rashidi Hassan

Era Najib Altantuya : Tubuh Suruhanjaya Bebas, Rakyat Tidak Akan Buat Spekulasi

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim enggan membuat sebarang spekulasi berhubung kematian dan keputusan laporan bedah siasat yang menunjukkan mangsa, Teoh Beng Hock, mengalami pelbagai kecederaan.

Tan Sri Khalid menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci dan mencadangkan satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk membantu siasatan.

“Saya tidak ada nak komen, ini terpulang kepada polis untuk buat kajian dan saya pula tidak mahu membuat spekulasi tentang perkara ini tapi yang kita tahu beliau dalam masa daripada pukul 6 petang hari Khamis sampailah mayat beliau dijumpai di tingkat 5,pejabat MACC”, katanya.

Tan Sri Khalid berkata demikian selepas merasmikan Karnival Masjid 2009 Sempena Tahun Zakat Selangor 1430 Hijrah di Masjid Bandar Baru Sungai Buluh, petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam kenyataannya di akhbar hari ini berkata, polis masih belum mengetepikan teori kemungkinan ada perbuatan khianat di sebalik kematian Setiausaha Politik Exco Selangor itu, walaupun laporan awal bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami pelbagai kecederaan pada tubuh badannya.

Menurutnya, polis akan meneruskan siasatan untuk mengetahui punca kematian Teoh.

Pada masa yang sama, Tan Sri Khalid meminta satu lagi Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk meneliti siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pelbagai pihak mempertikaikan tindakan mereka menyoal siasat 7 ADUN DAP Selangor berhubung salah guna wang peruntukan.

“Saya telah cadangkan sebagai seorang professional supaya Suruhanjaya Diraja diadakan. Dengan adanya suruhanjaya tersebut untuk mengetahui tentang apa yang berlaku, jadi masyarakat tidak ada spekulasi. Boleh jadi saya dari Pakatan Rakyat boleh kata ini jadi orang Barisan Nasional kata itu. Jadi kita asyik kata ini dan itu tapi penyelesaiannya tak ada.

“Sebagai seorang yang professional saya cadangkan kita adakan Suruhanjaya Diraja untuk mengetahui apakah perkara sebenarnya berlaku, bagaimana cara-cara MACC memilih mana yang nak diselidik, berapa banyak yang sudah diselidik, apakah hasil dari penyelidikan”,katanya.

Beliau berkata, penubuhan badan bebas itu penting kerana mereka boleh memanggil semua pihak untuk membantu siasatan dan tidak terikat dengan sekatan undang-undang.

“Oleh sebab itulah Suruhanjaya Diraja penting. Jadi kalau kita ada Suruhanjaya Diraja untuk mengkaji kes kematian Teoh ini, jadi dia boleh bagi maklumat-maklumat tanpa dalam keadaan yang dia takut,pemberian maklumat itu akan menjadi kesan beban kepada beliau.Dia hanya untuk menyatakan apa yang benar”, katanya.

Mengenai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan Plaza Masalam yang diserahkan oleh SPRM, Tan Sri Khalid berharap, ia dapat membantu pihak polis menjalankan siasatan dengan adil, berhubung kematian Teo. - TVSelangor


Era Najib Altantuya: Guan Eng Mahu Siasatan SPRM Dilakukan Di Pejabat Kerajaan Negerii

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mahukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) datang sendiri ke pejabat Kerajaan Negeri sekiranya ingin menjalankan soal siasat tentang sesuatu kes yang ada kaitan dengan anggota pentadbiran negeri.

Kata beliau, tindakan itu bagi mengelak kejadian melibatkan Teoh Beng Hock Khamis lalu, berulang.

“Jika SPRM ingin menyiasat mana-mana anggota Exco atau pembantu peribadi mereka, mereka boleh datang ke pejabat Kerajaan Negeri bagi menjalankan soal siasat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Galaxy of Engineering Stars anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM) di sini, semalam.

Guan Eng berkata, beliau kecewa dengan tindakan polis yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut, sebelum menjalankan siasatan menyeluruh tentang kematian Teoh.

“Saya sedih kerana polis tidak menjalankan tanggungjawab mereka menahan orang terakhir yang ada bersama Teoh pada hari berkenaan iaitu pegawai penyiasat SPRM,” katanya.

Menurut beliau, dia bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung kejadian itu sekiranya keluarga Teoh bersetuju.

“Kami menuntut keadilan dan sekirnya polis gagal memenuhinya, maka Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan patut melepaskan jawatannya atau tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan,” katanya.


Era Najib Altantuya : Saya Tinggalkan MCA Kerana Mereka Tidak Mahu Berubah

Pada sidang media selepas pengumuman penyertaannya ke dalam PKR, Chua Jui Meng, 64, berkata, beliau menyertai PKR memandangkan wujud banyak persamaan antara aganda politik yang ingin dibawa beliau dan Anwar.

Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau membuat keputusan itu tanpa syarat yang sepatutnya diberikan oleh PKR kepada beliau dan juga kerana wawasannya untuk pembaharuan adalah sama dengan wawasan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Wawasan saya untuk pembaharuan yang terkandung dalam manifestonya semasa pemilihan presiden MCA tahun lalu adalah sama dengan wawasan Anwar," katanya ketika membuat pengumuman itu pada persidangan akhbar selepas menghadiri Forum Awam PKR: "Kebenaran Di sebalik Skandal Perak, Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Konspirasi Barisan Nasional" di sini, hari ini.

Chua melepaskan jawatannya sebagai pengerusi MCA Bahagian Bakri, Muar, Johor, Khamis lalu.

Beliau berhijrah ke PKR setelah yakin agenda reformasi yang dibawanya tidak mungkin didokong oleh pucuk pimpinan parti untuk membawa pembaharuan bermakna yang merentasi perbezaan kaum.

Ditanya masa sebenarnya beliau membuat keputusan untuk menyertai PKR, Chua berkata:

"Baru-baru ini. Tapi sebelum dan selepas pemilihan parti MCA tahun lalu saya sudah keluarkan manifesto saya dengan idealisme dengan visi... saya bagi MCA.

"Manifesto PKR saya nampak banyak isu yang kita ada fikiran sama. Itu mustahak bagi saya. Kalau kita ada idea yang memang bercanggah saya takkan masuk PKR."

Chua berkata, beliau tidak pernah menafikan atau mengesahkan akan menyertai PKR, walaupun banyak media melaporkan bahawa beliau menafikan bahawa beliau akan keluar daripada parti MCA dan menyertai parti pembangkang.

Katanya, beliau akan menyerahkan surat keluar parti kepada presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat, tidak lama lagi.

"Beliau adalah sahabat saya. Beliau adalah seorang yang teguh dengan idea dan prinsip. Saya hormati beliau kerana itu, dan saya fikir beliau juga menghormati saya. Jadi hubungan kita akan terus sebagai sahabat," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata PKR akan memberikan Chua satu jawatan dalam parti dan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat majlis tertinggi parti itu akan datang.

Ditanya siapa yang memainkan peranan untuk menarik Chua menyertai PKR, Anwar berkata: "beberapa sahabat... kita bertemu beberapa kali."


Era Najib Altatuya : Anwar Terus Bidas SPRM Yang Diperkuda UMNO BN

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi membidas SPRM yang bersikap berat sebelah dalam menjalankan amanah rakyat.

SPRM bingkas menyerbu dan menyiasat apa-apa laporan berkaitan dengan Pakatan Rakyat tetapi seolah-olah memejam mata apabila bersangkut paut dengan pimpinan UMNO Barisan Nasional.

Berucap semasa forum ‘The Truth Behinds The Scandals" anjuran Parti Keadilan Rakyat di Hotel Sunway, An war meminta semua rakyat semua peringkat bangun dan menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seluruh pimpinan UMNO dan BN "enough and enough", tiada lagi kematian yang meragukan, tiada lagi korupsi, tiada lagi ketidak adilan dan tiada lagi skandal.

Terbaru di dalam keghairahan SPRM diperkuda oleh UMNO BN nyawa seorang anak muda tergadai yang mengundang rasa tidak puashati di kalangan rakyat berbagai peringkat.

Datuk Seri Anwar menyatakan jika ada di kalangan mereka menghormati dan menghargai nyawa rakyat, sudah pasti mereka berjumpa keluarga si mati mengucapkan takziah tetapi ini tidak berlaku.

Dalam pada itu, pengumumam kemasukan bekas Presiden MCA, Dato’ Chua Jui Meng ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendapat sokongan orang ramai dan rata-rata mengatakan Chua telah membuat keputusan yang terbaik dalam pemilihan parti politik.

Sementara itu, beliau juga memandang sinis apa jua keputusan yang dicapai dalam parti komponen BN apabila sesuatu mesyuarat diadakan.