Oleh Greenboc
BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand hari ini mengeluarkan waran tangkap kepada Perdana Menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra dan isterinya Pojaman setelah mereka gagal menghadirkan diri bagi menjawab pertuduhan melibatkan pembelian tanah bernilai Bt772 juta di Ratchadapisek Road di sini lima tahun lepas.
Panel hakim sembilan orang itu yang dipengerusikan Hakim Thonglor Chomngam membuat keputusan tersebut apabila pendakwaan meminta mahkamah itu mengeluarkan waran tangkap setelah mereka tidak hadir di mahkamah hari ini.
Tonglor berkata keputusan itu dibuat kerana Thaksin, sebagai seorang anggota polis dan menjadi hartawan telekomunikasi dan isterinya, menerima sapina rasmi untuk hadir di mahkamah tetapi tidak menghadirkan diri hari ini.
Mahkamah itu menetapkan 25 Sept untuk perbicaraan kes tersebut, yang pertama melibatkan Thaksin yang digulingkan oleh tentera dalam rampasan kuasa pada 19 Sept tahun lepas, setelah demonstrasi jalanan berlaku kerana membantah terhadap dakwaan amalan rasuahnya serta kontroversi penjualan Shin Corp kepada Temasek Holdings di Singapura.
Beliau pada mulanya dilarang pulang ke tanah air oleh tentera junta tetapi kini peguamnya mendakwa bahawa nyawanya terancam jika kembali ke tanah air.
Dianggap perdana menteri yang paling popular, Thaksin kini tinggal di London di mana beliau membeli kelab bolasepak Manchester City yang dapat mengekalkan imejnya sebagai orang ternama di Thailand.
Pada 21 Jun, Pejabat Peguam Negara memfailkan pertuduhan rasuah pertama terhadap Thaksin dan isterinya di bawah Akta Timbal Balas negara yang melarang pegawai kerajaan dan isterinya terlibat dalam perniagaan dengan agensi negara.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga Bt60,000. Kedua-duanya juga menghadapi pertuduhan di bawah Kanun Prosedur Jenayah yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.
Pertuduhan itu dibuat berikutan siasatan Jawatankuasa Pemeriksaan Aset yang dilantik oleh tentera untuk menyiasat salah laku Thaksin semasa pemerintahannya selama lima tahun.
AEC mendapati terdapat perihal tidak teratur dalam beberapa kes termasuk pembelian Bt1.5 bilion CTX 9000 alat pengimbas di lapangan terbang baru, penjualan Shin Corporation bernilai Bt73 bilion tanpa cukai kepada Temasek pada Januari tahun lepas, projek loteri dua dan tiga angka bernilai Bt37.8 bilion dan pengecualian firma telekom untuk membayar bayaran konsesi bernilai Bt30.7 bilion. BERNAMA
Ulasan Greenboc
Bilakah agaknya negara kita dapat merasai kebebasan polis, mahkamah, kehakiman, pendakwa raya dan sebagainya seperti di negara jiran kita itu?
Bilakah agaknya di negara kita seorang PM dan isterinya nanti akan diseret ke muka pengadilan untuk dihukum kerana pelbagai perkosaan kuasa dan rasuah yang dilakukannya?
Bilakah agaknya rakyat di negara kita akan sedar bahawa dengan mengekalkan kerajaan yang sedia ada akan terus memandulkan rakyat dan negara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan