8 Feb 2014

Bagaimana Kalau Ada Tawaran Tampar Zahid? Itu Bukan Ancamankah?

Tawaran tampar Teresa Kok bukan ancaman, kata Zahid

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan ancaman tawaran badan bukan kerajaan (NGO) Islam kepada sesiapa yang berjaya menampar Teresa Kok daripada DAP dengan mengatakan "tiada apa yang hendak disiasat, kerana tiada ancaman."

"Mengapa kita perlu siasat itu?

"Menampar bukan ancaman. Jika mereka kata bunuh barulah boleh dikatakan ancaman," katanya selepas sebuah majlis di Penjara Kajang hari ini.‎

Beliau berkata polis hanya akan mengambil tindakan sekiranya tamparan tersebut berlaku.

"Jika mereka tampar (Teresa Kok), kami akan ambil tindakan.

"Hal tamparan ini antara Teresa dan badan NGO itu," tambahnya.

Bagaimanapun, polis mendedahkan semalam, mereka mula menyiasat ancaman tersebut dan mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 505(c) bagi kerosakan awam dengan tujuan menghasut orang awam untuk melakukan kesalahan terhadap orang lain dan Seksyen 506 bagi ugutan jenayah.

Bekas Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu semalam berkata, ketiadaan tindakan Putrajaya terhadap NGO tersebut bermakna kerajaan bersetuju dengan tindakan tersebut.

"Kerajaan sepatutnya mengecam tindakan ini, apa yang susahnya? Mengapa mereka tidak dapat keluar dan berkata sesuatu?

Disebabkan inilah adanya budaya sewenang-wenangnya kerana badan sebegini fikir mereka boleh terlepas dengan apa sahaja," kata Ambiga dan menambah, ia juga membuatkan polis kelihatan lemah.


Semalam, badan yang menggelar dirinya "Majlis NGO Islam" menyembelih dua ekor ayam dan menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang dapat menampar Kok sebagai simbol kemarahan terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam.

Fokus badan tersebut adalah Kok dan video Tahun Baru Cina yang bertajuk “Onederful Malaysia CNY 2014”.

Mereka juga mencalit darah ayam yang disembelih ke atas kertas rentang yang terdapat gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Dewan Undangan PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon.

Kok dan penyokongnya membuat sebanyak 7 laporan polis di Kuala Lumpur semalam dan meminta polis untuk mengambil tindakan terhadap badan tersebut tentang ugutan mereka.

Peguam juga mengkritik ketiadaan tindakan polis semasa protes itu berlaku, dengan berkata mereka tidak sepatutnya menunggu untuk laporan polis oleh mangsa sebelum menyiasat insiden itu.

"Mereka perlu proaktif dalam situasi sebegini. Mereka perlu mencantas situasi tegang antara kaum dan agama sebelum ia di luar kawalan," Datuk Baljit Sidhu berkata kepada The Malaysian Insider.

Sementara itu, Zahid juga mendedahkan terdapat lebih 300 laporan polis terhadap Kok atas video beliau.

"Kami sudahpun memulakan siasatan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia tentang perkara ini.

"Kami akan mengumpul kesemua laporan yang diterima daripada NGO tersebut dan meneliti perkara ini." -TMI

ULASAN GB

Demikianlah sikap seorang menteri UMNO yang bias dan perkauman. Tawaran untuk menampar orang tidak dikatakan sebagai ancaman. Kalau dah tampar baru ambil tindakan.

Bagaimana kalau ada pihak yang mengeluarkan tawaran kepada sesiapa yang berjaya menampar Zahid Hamidi atau mana-mana pemimpin UMNO? Huh, masa itu baru kata ancaman besar?

Itulah sebab agaknya Zahid yang pernah menumbuk seorang pemuda tak dikenakan tindakan apa-apa. Malah ooleh menjadi seornag menteri ... menteri Kesalamatan Dalam Negeri pula, yang bertanggungjawab di atas polis!

[KELANTAN BERGOLAK] Akan Berulangkah Tragedi 1977?


Kerajaan Kelantan bergoncang akibat dua serangan dalaman

Serangan dalaman PAS adalah daripada penyokong Che Ibrahim Mohamed, bekas kadi yang juga Timbalan Pendaftar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang dipecat manakala satu lagi pihak adalah adalah penyokong Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Balah Ramlan Mat dari PKR yang juga dipecat daripada jawatannya.‎

Kumpulan penyokong Che Ibrahim membuat demonstrasi hari ini di depan kolej dekat Nilam Puri bersebelahan Masjid Kampung Laut yang bersejarah itu.

Che Ibrahim adalah penyokong utama Datuk Husam Musa yang keempat dipecat oleh pentadbiran kerajaan negeri Kelantan yang baru.

Sebelum ini, Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali), Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) serta beberapa lagi kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya dipecat.


Che Ibrahim hari ini menyerahkan kembali cek daripada KIAS yang diberikan sebagai pampasan sebagai tanda protes.

Penyokong Che Ibrahim menamakan secara langsung Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohamad Amar sebagai pihak yang tidak disenangi mereka dalam krisis ini.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider berkata, beliau akan memfailkan kes ini kepada Mahkamah Perusahaan jika ia tidak diselesaikan dengan baik.

"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri," katanya.

Semalam, dalam kenyataannya kepada media, Nik Amar menafikan beliau adalah dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Beliau adalah Pengerusi Lembaga KIAS yang menandatangani surat pemecatan Che Ibrahim mulai 1 Februari 2014 lalu.

KIAS adalah kolej yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri.

Sebuah lagi kumpulan adalah 50 orang penyokong PKR dari Jeli yang menyerbu rumah Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakub di Tumpat malam kelmarin setelah pemecatan Ramlan Mat.

Bekas calon Kuala Balah dalam pilihan raya lalu itu dilantik menjadi penyelia DUN kira-kira tujuh bulan lalu tetapi secara tiba-tiba pelantikannya ditarik balik sebelum cukup tempoh setahun.

Penyelia DUN adalah pegawai kerajaan negeri yang dilantik untuk menguruskan kawasan DUN yang dimenangi oleh pembangkang iaitu Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Ia setaraf dengan wakil rakyat untuk kawasan berkenaan.

Pemecatan Ramlan menjadi sensitif kepada hubungan PAS dan PKR kerana sesetengah pemimpin PAS di Kelantan menganggap kehadiran PKR tidak penting di Kelantan.

Dalam pilihan raya umum yang lalu, kesemua calon Pakatan Rakyat (PR) daripada PKR kalah di Kelantan.

Namun menurut pemerhati politik Kelantan, penyokong PKR memainkan peranan penting untuk memastikan kemenangan calon PAS terutama di kerusi-kerusi marginal.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, Husam tidak dilantik sebagai Exco kerajaan negeri Kelantan selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak lagi menjadi menteri besar.

Sejak itu, satu persatu penyokong beliau diberhentikan selain beliau sendiri.

Anak-anak syarikat yang selama ini ditubuh dan diketuai beliau juga diambil pihak lain.

Berikutan itu, tawaran kerajaan negeri kepada beliau untuk mengetuai dua anak syarikat ditolak oleh Husam sendiri.

Tidak seperti yang lain, Che Ibrahim tidak mendiamkan diri selepas beliau dipecat.

Beliau menulis dalam akaun Facebook di samping membuat protes bersama penyokongnnya hari ini secara terbuka. -TMI


Bela Che Ibrahim: Beliau pernah gegarkan negara, kata Husam


Datuk Husam Musa membela penyokongnya, bekas kadi, Che Ibrahim Mohamed yang dipecat oleh anak syarikat kerajaan negeri Kelantan dengan mendakwa tindakan tersebut tidak sewajarnya dilakukan oleh kerajaan Islam.

"Kerajaan Islam perlu bertindak adil dan ihsan kepada pekerja kita.

"Lagipun beliau (Che Ibrahim) adalah pengasas KIAS dan ingatlah jasanya yang pernah menggegarkan negara suatu ketika lalu," kata naib presiden PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri mempertimbangkan semula pemecatan itu.

Pada 1 Februari lalu, Che Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Pendaftar Kolej Islam Sultan Yahya Petra (KIAS), sebuah kolej yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Kelantan.

Surat pemecatan itu ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga KIAS yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah.

Che Ibrahim adalah penyokong Husam yang keempat dipecat, dipercayai berikutan pertembungan antara Husam dengan kepimpinan baru kerajaan negeri Kelantan, terutama Mohamad Amar.

Sebelum Che Ibrahim, tiga penyokong Husam turut dipecat iaitu Asrul Afendi (Pegawai IT KGT Sdn Bhd yang juga pegawai akhbar Husam), Khir Zahri Abdul Ghani (Pengurus Tabung Tok Kenali) dan Fauzi Mohamad (Pengurus Besar PMBK Sawit) selain beberapa kakitangan kerajaan negeri serta anak syarikatnya.

Che Ibrahim ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam berkata:"Ini adalah kes antara saya dengan Nik Amar dan saya tidak akan berdiam diri."

Sementara itu, dalam kenyataan kepada media, Mohamad Amar menafikan beliau dalang di sebalik pemecatan Che Ibrahim kerana beliau hanya melaksanakan keputusan Lembaga Pengarah KIAS.

Selepas pilihan raya umum lalu, Husam tidak dilantik sebagai exco kerajaan negeri selepas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kelantan.

Semalam, Che Ibrahim dan penyokongnya berhimpun di depan kolej dan menyerahkan kembali cek yang diberi KIAS untuk pampasan sebagai tanda penentangan ke atas pemecatan itu.

"Sekurang-kurangnya kenanglah jasa beliau sebagai khatib yang pernah menggegarkan negara apabila berkhutbah menegur bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara berdepan ketika lawatan beliau ke Kelantan dahulu," kata Husam.

Pada 1993, Che Ibrahim pernah membacakan khutbah Jumaat di depan Dr Mahathir di Masjid Bukit Marak sehingga ia menjadi tajuk utama akhbar selama beberapa hari kerana beliau mengkritik bekas perdana menteri itu yang turut menunaikan solat di depannya ketika itu.

Husam berkata, bercakap benar di depan pemerintah yang zalim adalah antara ajaran Islam dan ia dilakukan oleh Che Ibrahim pada ketika itu.

Sebelum dilantik menjadi Timbalan Pendaftar KIAS, Che Ibrahim pernah menjawat beberapa jawatan lain termasuk kadi, Setiausaha Majlis Syura Majlis Agama Islam Kelantan (Maik) dan Setiausaha Jawatankuasa Pindaan Enakmen Mahkamah Syariah Kelantan (Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah II).
TMI


ULASAN GB

Berita-berita di atas tidak ada di dalam harakahdaily. Namun GB faham kenapa ia tidak disiarkan di dalam akhbar milik PAS berkenaan. Harakahdaily selama ini memang cuba bertindak supaya ia tidak memihak kepada mana-mana kumpulan malah jika dapat kita tidak mahu menampakkan ada "perpecahan" di dalam parti.

Namun kebenaran adalah kebenaran. Apa yang berlaku di Kelantan adalah serius dan campurtangan dari pihak PAS Pusat adalah perlu sebelum gejala tersebut memusnahkan kerajaan PAS Kelantan.

Tindakan Nik Amar itu adalah keterlaluan. Ia tidak pernah berlaku di dalam PAS selama ini. Memecat pegawai-pegawai yang tak sebulu dengannya. Tiada lansung apa yang dipanggil "ukhwah Islamiah". Sekalipun hal tersebut merupakan hal "administratif", namun ia amat jelas sesuatu tindakan zalim yang tidak berperi-kemanusiaan.

Semenjak tahun 2009 lagi GB sudah peringatkan supaya PAS Perlu Ambil Tindakan Ke Atas Nik Amar! kerana pada ketika itu GB melihat Nik Amar beriya-iya benar mendesak TG Nik Aziz supaya menamakan penggantinya.

GB mengulas ketika itu (petikan):

Kenapa PAS tidak terus mengambil tindakan disiplin seperti memberikan amaran kepada Nik Amar Nik Abdullah yang pertama mencetuskan isu pengganti ini?

Mengapa pimpinan PAS terlalu banyak memberikan "reservation" kepada golongan UG yang kerap kali menimbulkan masalah kepada parti?

Kenapa hanya yang anti-UG sering diberikan amaran untuk tutup isu UG sedangkan pemimpin pro-UG bebas untuk berbicara dan melakukan kerja sesuka hati untuk memecah belahkan jemaah?


Hal yang sama turut berlaku di Selangor. Khalid Samad "digugurkan" jawatannya sebagai Timbalan Pesuruhjaya dan Shaari Sungip dari Ketua Penernagan selepas berlaku perubahan di dalam Jawatankuasa Perhubungan PAS Selangor. Ingat, Hassan Ali juga pernah menggugurkan Khalid Samad dan Shaari Sungip dari jawatan-jawatannya itu dan ia dilakukan oleh Setiausaha Perhubungan yang sama semasa Hassan Ali, Mohd Khairuddin namanya! Kebetulan? Bukan, Ia satu perancangan!

Demikianlah perangai "UMNO-GROUP" dalam PAS. Mereka sama saja di mana-mana. Pecat atau gugurkan mana yang tak sehaluan dengan mereka.

Berbalik kepada isu di Kelantan. Apakah tragedi 1977 dimana Kelantan dirampas oleh UMNO BN akan berulang apabila UMNO berjaya menggunakan Datuk Muhammad Nasir ketika itu? Kita tunggu dan lihat.

Sementara itu marilah bersama kita berdoa sepertimana doa yang GB minta bacakan semasa isu Hassan Ali dulu:

Kita akan terus berdoa kepada Allah swt agar kebenaran itu dibongkar dan didedahkan. Allah memperkenankan doa orang yang dizalimi dan difitnah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar kebenaran dan keadilan itu didedahkan.


اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa haqqan, warzuqnattiba’ah, wa arinal bathila bathilan, warzuqnajtinabah

Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).

PRK Dun Kajang: Anak Zahid Pun Ada Hasrat Bertanding

Anak perempuan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Nurul Hidayah berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Bercakap kepada Sinar Harian, Nurul berkata, keputusan terletak ditangan pucuk pimpinan siapa calon terbaik untuk kerusi itu.

“Saya tidak boleh komen lebih-lebih, masih dalam perbincangan. Hasrat itu ada, saya percaya mereka yang rasa dirinya layak juga berhasrat perkara sama.

“Apa-apa pun terserah pada pucuk pimpinan parti,” katanya.

Tegas Nurul, beliau berharap tidak ada pihak cuba mengeruhkan keadaan dengan membesarkan lagi cerita ini.

“Saya hanya buka mulut pada rakan-rakan, saya minta pandangan mereka. Tidak tahu pula sampai kepada pengetahuan (media).

“Saya tidak mahu ada pihak terguris hati, jadi saya tidak berminat untuk komen lebih lanjut. Lainlah jika memang sudah diumum sayalah calon itu,” katanya.

Menurut Nurul, jika perkara itu dibesarkan pihaknya bimbangkan akan memberi implikasi kepada BN dan juga bapanya.

“Seperti mana orang tahu bapa saya berada dalam kepimpinan parti, jadi saya tidak mahu keruhkan hubungan dengan beliau, saya sangat hormati kedudukan beliau,” katanya.

Nurul yang merupakan anak jati Selangor itu memberitahu beliau sudah lama menetap di Kajang. -SH

ULASAN GB

Harap-harap dia jadi bertanding, supaya mudah sikit UMNO BN dikalahkan di Kajang nanti.

[BONGKAR] Ramai Tidak Tahu Ada Terowong Rahsia Di Putrajaya


1. Anda mungkin pernah mendengar tentang terowong rahsia yang menghubungkan bangunan xxx sehingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

2. Susah hendak percaya? tetapi “Urban Legend” atau mitos zaman moden ini sebenarnya wujud dan jangan sangka hanya Amerika Syarikat sahaja yang mampu membina kubu-kubu bawah tanah di bawah bangunan Rumah Putih yang diduduki oleh presiden mereka. Orang Malaysia pun mampu juga.

3. Saya sendiri pernah berada di ambang pintu masuk ke terowong terbabit di lokasi bangunan xxx. Ketika itu saya ketagih rokok, malangnya bangunan terbabit merupakan zon larangan merokok.

4. Sebagai jalan ringkas, saya memasuki salah satu pintu “Keluar” atau “Kecemasan”, untuk berasap dan ketika itu saya melihat sesuatu yang aneh.

5. Tak payahlah fikir bangunan mana atau di bahagian mana, kerana bahagian bangunan yang saya masuk ini hanya orang tertentu sahaja yang boleh masuk.

6. Saya mungkin berada di tingkat empat atau lima bangunan terbabit, peliknya mengapa tangga kecemasan turun terlalu dalam dan saya kira ada puluhan tingkat.

7. Baiklah, jika saya masukkan ruang meletak kereta “basement”, paling kuat ia mungkin pergi setakat ke tingkat 8 atau 10 sahaja sahaja.

8. Saya tidak berani untuk menyiasat lebih jauh kerana bangunan itu sendiri ketat kawalan keselamatannya.

9. Kisah terowong ini sebenarnya sudah lama saya dengar ketika Putrajaya baru siap dibina tetapi saya tolak ke tepi, mengarut kata saya.

10. Mana mungkin orang Melayu, berkemampuan membina terowong yang panjangnya lebih dari 30 kilometer tanpa dapat dikesan.

11.Baru-baru ini saya ke KLIA untuk menghantar sepupu saya ke Amerika Syarikat, saya menjalankan penyiasatan saya sendiri dan berbual dengan sumber-sumber saya di lapangan terbang terbabit.

12.Alangkah terkejutnya saya apabila, kewujudan terowong itu memang benar dan mereka sendiri menyaksikan saiz terowong itu yang membolehkan jalanraya dua lorong dibina dan terletak di bawah KLIA sendiri.

13.Saya mula mengumpul maklumat intel, di sini saya menyedari kelemahan saya, saya lupa rakyat negara ini sudah mula menunjukkan kebolehan membina terowong yang terhebat di dunia iaitu terowong SMART.

14.Saya sendiri pernah turun ke dalam terowong SMART semasa ia sedang dibina dan menyaksikan pertemuan dua terowong ditembusi masuk oleh jentera pengorek, satu pengalaman yang mengkagumkan yang bukan semua orang boleh lihat.

15.Seorang lagi rakan saya, bekas anggota xxx sendiri pernah menyaksikan pelan pembangunan Putrajaya ketika ia sedang dibina dan mengesahkan mengenai pembinaan terowong itu termasuk bunker-bunker perlindungan.

16.Terowong itu menghubung tiga tempat utama dan salah satu daripadanya adalah KLIA, dua lagi tempat, maaf, saya enggan dedahkan secara terbuka di sini.

17.Terowong itu mempunyai point hubungan atau kemungkinan bunker yang terletak di bawah salah satu tasik yang terletak di Putrajaya.

18.Beliau mencabar saya satu perkara…”Turun menyelam ke dasar tasik Putrajaya dan beritahu saya, apa yang anda pijak…samada selut ataupun lantai konkrit?”.

19.Memang hebat Putrajaya…visi Tun Dr Mahathir Mohamad, selain dari bangunan yang cantik ia menyimpan seribu rahsia tersembunyi.

20.Ada sesuatu yang Tun sediakan untuk satu saat nanti apabila segalanya mula berjalan mengikut sistem yang dirancang.

21.Mengelilingi Putrajaya adalah meriam anti-pesawat yang terletak di beberapa zon keselamatan ketat yang berbentuk berlian jika kita lihat dari pelannya.

22.Zon penempatan meriam anti-pesawat merupakan kawasan ketat dan dikawal rapi, patutlah di sesetengah kawasan xxx, orangramai dilarang masuk dan ada masa tertentu sahaja ianya dibuka secara terhad.

23.Meriam-meriam ini, lengkap dengan sistem elektronik dan radar tersimpan dalam kontena khas dalam zon keselamatan yang mengelilingi Putrajaya itu sendiri.

24.Kepada pembaca…tolonglah jangan jadikan maklumat ini isu politik dengan beranggapan, ini merupakan satu lagi bukti pembaziran wang rakyat dan untuk apa semua ini diwujudkan.

25.Jangan melihat sesuatu yang anda tidak tahu melalui pemikiran sempit anda…ada sesuatu yang sedang ditunggu oleh negara ini dan para pemimpinnya.

26.Ini merupakan persediaan masa depan negara ini, saya tidak boleh membuka semua maklumat secara terang-terangan kerana anda mungkin belum bersedia untuk menerima hakikat sebenar.

27.Kebangkitan akan bermula dari sini… -sumber:isupanaz/militaryofmalaysia