7 Mac 2015

PAS Kota Baru Jadi Perintis Calonkan Orang Lain Sebagai Presiden


PAS Kota Baru diramal calonkan tokoh presiden baru

Ketika PAS memulakan mesyuarat agung tahunan peringkat kawasannya hari ini, kawasan Kota Baru dijangka menamakan seorang calon selain Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi menduduki kerusi nombor satu parti itu.

Dan, mengikut ramalan awal, jawatan itu tidak akan dipertandingkan.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, nama tokoh berkenaan dibincangkan sejak sekian lama sebagai calon alternatif bagi menyelesaikan kemelut dalaman PAS.

Mesyuarat hari ini akan menentukan sama ada calon itu diterima semua perwakilan atau tidak.

Yang Dipertua PAS Kota Baru Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi berkata, pihaknya menyerahkan hal tersebut kepada perwakilan dalam mesyuarat itu nanti.

Katanya, PAS Kota Baru berazam menjadi pelopor dan membentuk pemikiran ahli PAS di seluruh negara menjelang Muktamar PAS ke-61 pada Jun depan.

Mesyuarat agung ini katanya akan memberikan hak sepenuhnya kepada perwakilan menentukan calon kepimpinan PAS di masa depan, termasuk bagi kedudukan presiden.

Dalam pertemuan beliau dengan semua ketua dan setiausaha cawangan di Kota Baru minggu lalu, beliau meminta mereka melaksanakan hak menentukan pucuk kepimpinan parti di semua peringkat.

"Biarlah semua jawatan dipertandingkan. Ia bagus untuk memberikan hak sepenuhnya kepada ahli menentukan siapa pilihan mereka. Menang tanpa bertanding setiap masa ini ada negatifnya,"
kata Rahim.

Khabar angin menyatakan PAS Kota Baru akan mencalonkan tokoh selain Hadi sebagai presiden bertiup sejak sekian lama.

Rahim sendiri sebelum ini pernah mencadangkan nama Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS.

Beliau yakin Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali yakin tidak ada pencabar yang berwibawa menggantikan Hadi buat masa ini.

Sejak memangku jawatan itu susulan kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002, kedudukan Hadi tidak pernah dicabar.

Manakala bekas Setiausaha Agung PAS Datuk Kamarudin Jaffar pula berkata, beliau tidak terkejut jika ada kawasan yang mencalonkan tokoh lain untuk jawatan kepimpinan tertinggi PAS, termasuk jawatan presiden, memandangkan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.

Mesyuarat agung PAS kawasan Kota Baru buat pertama kalinya akan diadakan di Dewan Zulkefli Mohamad, Bangunan PAS Kelantan, tempat di mana bekas Mursyidul Am Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan kuliah Jumaatnya saban minggu sebelum ini.

"Biasanya dewan ini untuk kuliah sahaja. Kami pilih untuk mengadakan mesyuarat di sini buat pertama kalinya sempena 50 tahun pembinaannya," kata Rahim, bekas ahli Parlimen Kota Baru.

Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kota Baru mengadakan mesyuarat agung pada Jumaat, sehari sebelum mesyuarat agung peringkat kawasan.

Pertandingan untuk merebut kepimpinan juga dijangka berlaku di peringkat kawasan Kota Baru.

Pada masa ini, Rahim merupakan yang dipertua kawasan, sementara Datuk Takiyudin Hassan (ahli Parlimen Kota Baru), timbalan yang dipertua manakala Datuk Anual Tan Abdullah (exco kerajaan negeri Kelantan), naib yang dipertua.

Takiyudin dikatakan akan mencabar Rahim kali ini untuk jawatan yang dipertua manakala Dr Rosli Ahlani, ketua Pemuda kawasan sekarang, dikatakan akan bertanding merebut jawatan timbalan yang dipertua. – TMI

ULASAN GB

Huykum kebenaran dan keadilan berjalan.

Tak salah apa pun dan tak berdosa untuk mencalonkan orang lain sebagai Presiden. So, lawan!

Usah pedulikan golongan taksub, serahkan urusan itu kepada Allah swt.

Isu Roti Jala Kuah Kari: Kazim Risau Tidak Dijemput Berceramah Lagi...


Dr Asri gopoh dan memalukan, kata Kazim

Penceramah popular Datuk Kazim Elias menyelar kembali Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menolaknya sebagai penceramah susulan kenyataannya tentang hadis "roti jala dicelup kuah kari”.

Malah, Kazim menyifatkan keputusan Jabatan Mufti Perlis yang tidak bersetuju pemilihannya sebagai ahli panel forum perdana sempena keputeraan Raja Perlis sebagai tindakan gopoh dan memalukan.

Ini kerana, Kazim berkata, dakwaan itu tidak sewajarnya dilakukan oleh Asri sebagai mufti dan dibuat tanpa peluang memberikan penjelasan, lapor Utusan Malaysia.

“Saya dimaklumkan mengenai pembatalan jemputan saya ke majlis berkenaan dua minggu lalu, namun saya tidak mahu menghebahkan perkara ini demi menjaga air muka mereka yang berkaitan.

“Namun, apabila berlaku penyebaran surat tersebut, saya kesal kerana ini tidak adil, saya tidak diberi peluang untuk menjawab tuduhan yang dilemparkan.

“Selepas ini mungkin ada yang melabelkan saya penyebar hadis palsu dan tidak lagi dijemput untuk mengadakan ceramah," katanya lagi seperti dilaporkan akhbar Umno itu.

'Hanya perbandingan'

Sementara itu, Kazim juga menjelaskan kenyataan berkaitan hadis "roti jala dicelup kuah kari" dan “kurma celup tepung” yang disampaikannya hanya perbandingan.

Menurut Kazim, perbandingan itu dibuat kerana di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham," Kazim dipetik sebagai berkata dalam akhbar Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, Kazim melahirkan rasa kesal apabila surat daripada Jabatan Mufti Perlis menyebut beliau sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu.

Katanya, ia seolah-olah menggambarkan beliau sering terlibat dengan penyebaran hadis yang salah.

"Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa.

"Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya lagi seperti dilapor akhbar itu. -mk


Dr Asri akan beri bukti riwayat palsu Ustaz Kazim

PETALING JAYA : Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyatakan bahawa beliau akan memberikan bukti berkenaan riwayat palsu yang diminta oleh pendakwah bebas yang terkenal dengan program popular ‘Kalau Dah Jodoh’, Datuk Mohamad Kazim Elias.

Beliau berkata, kes itu sepatutnya berhenti setelah penjelasan berkenaan tujuan surat dalaman rasmi berkenaan.

“Namun, nampaknya tokoh berkenaan (Mohamad Kazim) terus mencabar meminta bukti walaupun bukti-bukti telah diberikan oleh pelbagai pihak.

“Bagi memenuhi hasrat beliau, In Sha Allah FB (Facebook) ini dalam masa terdekat akan memberikan bukti-bukti yang beliau minta itu,” tulisnya dalam Facebook rasmi milik beliau, DrMAZA.com hari ini.

Isu tercetus apabila sepucuk surat daripada Jabatan Mufti Perlis tersebar di laman-laman sosial yang menyatakan tidak bersetuju Mohd Kazim menjadi panel Forum Perdana Ehwal Islam sempena Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke-72.

Dalam surat tersebut, Jabatan Mufti Perlis memberikan sebab kerana Mohamad Kazim ‘sering terlibat dengan pembacaan riwayat-riwayat palsu’.

‘Riwayat’ atau hadis palsu dimaksudkan dalam surat Jabatan Mufti Perlis adalah mengenai rakaman YouTube sedutan daripada satu ceramah Mohamad Kazim yang menyatakan ‘kenduri Rasululluah SAW menghidangkan roti jala dengan kuah kari’.

Mohamad Kazim berkata, dalam ceramahnya beliau hanya mengatakan perbandingan bahawa di Malaysia, roti jala dicicah dengan kuah kari juga masih boleh dijadikan hidangan pada majlis kenduri.

“Saya cuma kata roti jala pun boleh dijadikan hidangan dalam kenduri masyarakat Islam untuk bagi orang faham.

“Jika benar dakwaan itu, saya mahu tahu di mana dan bila saya membacakan hadis-hadis palsu yang didakwa. Jika benar, saya sedia memberikan penjelasan,” katanya.