24 Okt 2011

[TERKINI] Kes Aziz Bari, UIA Tarik Balik Penggantungan, Diarah Lapor Diri Esok

Universiti Islam Antarabangsa (UIA) telah menarik balik arahan gantung tugas yang dikenakan ke atas pensyarah undang-undangnya Prof Abdul Aziz Bari hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh unit perundangan menerusi satu surat yang difakskan sekitar pukul 6.30 petang tadi, kata peguam beliau Dr Zulqarnain Lukman kepada The Malaysian Insider.

“Surat diterima petang sekitar 6.30 petang, selepas kami hantar respons kepada surat tujuk sebab petang tadi, ia ditandatangani oleh pegawai unit perundangan... UIA arah Prof Abdul Aziz Bari lapor diri kepada dekan Kulliyah Undang-undang,” kata Zulqarnain.

Bagaimanapun kata beliau, surat petang ini menyebut bahawa siasatan akan dijalankan tetapi hanya penggantungan tugas ditarik balik.

Dalam laporan petang tadi, The Malaysian Insider memetik Zulqarnain berkata UIA memaklumkan akan mengumumkan keputusan hasil siasatannya ke atas Aziz esok.

Zulqarnain memberitahu, beliau telah dimaklumkan oleh pegawai unit perundangan hari ini bahawa siasatan pihaknya sudah selesai dan akan meneliti penjelasan Aziz yang diserahkan petang tadi.

“Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh pegawai dari unit perundangan UIA, mereka akan meneliti penjelasan Prof Aziz dan akan memberikan jawapan... keputusan mereka sama ada akan mengambil tindakan susulan, meneruskan tindakan, berhenti di sini (setakat surat tunjuk sebab) atau sebaliknya,”
kata Zulqarnain.

Beliau menghantar surat penjelasan Aziz, menjawab surat tunjuk sebab UIA, kira-kira 3 petang tadi.

Zulqarnain berkata dalam responsnya, Aziz telah menjelaskan bahawa kenyataan beliau mengenai titah Sultan Selangor adalah satu bentuk kebebasan dalam memberi pandangan, yang sama sekali tidak bertentangan denagn Artikel 15(3) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan juga Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

“Asasnya penjelasan kami kepada UIA adalah begitu, apa yang dikatakan oleh Prof Aziz ialah ia kebebasan bersuara, tidak melanggar undang-undang dan peraturan negara... Seksyen 3(2) Akta Hasutan sendiri memberi pengecualian,” katanya.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA telah memberi masa selama seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.


Najib didesak hormati kebebasan akademik

KUALA LUMPUR, 24 Okt: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Perdana Menteri dan Kerajaan BN menghormati kebebasan akademik di negara ini yang kini amat tercalar dengan tindakan penggantungan terhadap Profesor Dr Abdul Aziz Bari oleh pihak pentadbiran UIA.

Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abdul Razak berkata, pihaknya amat berharap agar kejadian seperti yang terjadi ke atas Dr Aziz itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, namun dalam hubungan ini SMM amat kesal dengan sikap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong prinsip kebebasan akademik.

Katanya, sebaliknya kenyataan Perdana Menteri dilihat senada dengan rektor UIA yang jelas gagal untuk menyokong prinsip kebebasan akademik di negara ini.

"SMM menuntut agar Datuk Seri Najib menyokong prinsip kebebasan akademik dengan tuntutan universal yang termaktub dalam Deklarasi Prinsip Kebebasan Akademik dan Ahli Akademik 1970, Senarai Hak Akademik 2001 dan Kempen Akademik untuk Kebebasan Akademik," katanya pada sidang media di lobi Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Rektor UIA, menurut beliau, masih lagi berdegil dan angkuh, apabila penggantungan terhadap Aziz masih belum ditarik balik yang seolah-olah memandang remeh tuntutan mahasiswa yang berdemonstrasi Jumaat lalu.

Katanya, oleh itu, SMM akan menganjurkan satu lagi demonstrasi di UIA Gombak esok bagi menyerahkan memorandum kepada Najib yang akan hadir ke universiti itu untuk merasmikan Debat Piala Perdana Menteri sekitar jam 8.00 malam.

Sehubungan itu SMM menyeru mahasiswa seluruh negara hadir menyertai demonstrasi itu dalam menuntut kebebasan berakademik di negara ini.

"SMM juga akan menganjurkan kempen menuntut kebebasan berakademik melalui roadshow, forum awam, ceramah dan seumpamanya dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Turut hadir pada sidang media itu, Ahli Parlimen Padang Terap, Nasir Zakaria, Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Safuan Anang, Presiden MPMUM, Syahid Zaini dan beberapa orang kepimpinan SMM lain.

Sebelum itu, Nasir Zakaria berkata, penggantungan Aziz Bari merupakan satu lagi titik hitam sejarah negara yang sekali gus menghitamkan lagi rekod Barisan Nasional memerintah negara kita.

Katanya, penggantungan terhadap Aziz selaku pensyarah kanan UIA yang sudah berkhidmat selama 22 tahun sangat mengejutkan dan menyedihkan warga Malaysia.

"Beliau adalah antara putera terbaik Melayu yang merupakan pakar undang-undang perlembagaan. Adakah hanya kerana memberi pandangan berdasarkan pengalaman akademik dan pengalaman beliau dan beberapa laporan polis sudah cukup untuk menamatkan riwayat akademik beliau," katanya.

Prof Dr Aziz Bari, katanya, terkenal berani dan kontroversi. Beliau bukan sekadar berkongsi ilmu di media perdana, wacana, kelas toturial malah menjangkau kepada media alternatif yang mesra pembangkang.

"Beliau bukan sekadar mengkritik kerajaan tetapi pernah mengkritik kepimpinan pembangkang. Beliau berani dan tegas terhadap pandangan beliau walaupun berdepan cemuhan," ujarnya.

Sebelum itu, Ahmad Syukri dan rakan-rakannya turut menyerahkan memorandum bagi mendesak perlaksanaan kebebasan akademik di negara ini kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah menerusi pegawai khasnya, Shahmi untuk dipanjangkan kepadanya di bangunan Parlimen hari ini. -HD



Ulasan GB

Syabas kepada semua pihak yang menyokong Prof Abd Aziz Bari khususnya kepada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM).

Kebenaran akan tetap tertegak juga.


[Bergambar & Video] Turki Diguncang Gempabumi, Lebih 200 Maut

Istanbul — Lebih 200 orang disahkan terbunuh dalam gempa bumi berukuran 7.2 yang memusnahkan bahagian barat Turki, kata Menteri Dalam Negeri Idris Naim Sahin hari ini.

Beliau yang menyelia operasi kecemasan di Ercis, salah satu bandar yang teruk dilanda gempa bumi, Idris berkata, seramai 117 orang disahkan maut di Ercis manakala 100 lagi terbunuh di Van.

Seramai 1,090 lagi dilaporkan cedera dalam gempa bumi yang melanda petang semalam, katanya.

Pegawai-pegawai mendakwa beratus-ratus orang masih belum dikesan.

Terdahulu, Perdana Menteri Tayyip Erdogan berkata sekurang-kurangnya 138 orang terbunuh dalam gempa bumi kuat yang menggegarkan Turki semalam, tetapi bilangan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di wilayah Van masih belum diketahui.

Tayyip melawat bandar Ercis menggunakan helikopter untuk melihat tahap kerosakan dan kemusnahan.

Sebalik sahaja kembali daripada tinjauan, Tayyip dalam satu kenyataan disiarkan menerusi televisyen berkata, sekurang-kurangnya 93 orang disahkan terbunuh di bandar Van dan 45 lagi di Ercis.

Tayyip menambah Turki berupaya untuk menangani malapetaka itu dan mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang hendak menghulurkan bantuan termasuk Israel dan Armenia, kerajaan yang mempunyai hubungan dingin dengan Ankara sejak kebelakangan ini. — Reuters









Tiada Tindakan ke Atas Hassan Ali, Tapi Kena Terima Impak Dari Ahli

Exco Hal Ehwal Agama Selangor Datuk Dr Hasan Ali tidak akan dikenakan tindakan displin oleh PAS susulan menghadirkan diri dalam Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) di Stadium Shah Alam Sabtu lalu.

Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Dr Hasan yang juga ahli jawatankuasa parti itu berbuat demikian atas sifat peribadi sebagai "menyokong kesucian Islam".

Katanya, Dr Hasan berhak hadir untuk menyatakan pendirian bersatu menegakkan Islam serta menguatkan akidah, lapor sebuah harian berbahasa Melayu.

"PAS tidak akan mengenakan sebarang tindakan ke atas beliau atau mana-mana ahli parti yang turut serta dalam HIMPUN," beliau dipetik sebagai berkata.

PAS memutuskan tidak menyertai perhimpunan itu bagi menghormati pendirian penganjur yang tidak mahu melibatkan parti politik.

Manakala PAS Selangor mengarahkan ahlinya tidak terlibat dengannya selaras dengan arahan PAS di peringkat pusat.

Impak pada ahli

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman berpendapat, kenyataan Dr Hasan berkaitan perhimpunan itu bersifat peribadi dan bukan pandangan parti.

"Seperti mana yang beliau declare (isytihar) sendiri, beliau hadir bukan atas tiket PAS dan bukan sebagai exco agama kerajaan negeri.

"Kalau itu pendirian beliau, saya tidak boleh buat apa-apa, jadi hormati pendiriannya.

"Cuma impak kepada ahli, saya tidak dapat menapis setiap tanggapan ahli PAS terhadap beliau," beliau dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian hari ini.

Manakala Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pula dilapor berkata, beliau menghormati tindakan Hasan menghadiri perhimpunan itu dan tidak menghalang mana-mana kakitangan kerajaan negeri ataupun individu menghadirinya.

"Atas dasar hak individu dan (hak) asasi, saya tidak menghalang sesiapa pun," katanya kepada harin berbahasa Melayu itu lagi.

Sementara itu, Umno didakwa menggunakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun), yang diadakan Sabtu lalu, sebagai satu lagi platform untuk menghidupkan semula perbincangan tentang kerjasama kedua-dua parti itu, dengan menggunakan dakwaan kononnya wujud ancaman daripada masyarakat Kristian, lapor The Malaysian Insider.

Umno, sejak pilihan raya umum 2008, berulang kali berkata bersedia untuk mengadakan perbincangan mengenai kerjasama dan perpaduan dengan PAS.

Tetapi pemimpin-pemimpin PAS telah menolak tawaran Umno itu, sebaliknya mahu kekal dengan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad memberitahu The Malaysian Insider bahawa penganjur Himpun telah menggambarkan Islam berhadapan dengan ancaman agar ahli-ahli PAS akan menghadiri dan menyokong kempen itu bersama Umno.

“Meskipun Umno telah mengatakan bahawa mereka tiada apa-apa kaitan dengan perhimpunan, saya fikir adalah ketara apabila anda bergabung dengan kumpulan-kumpulan seperti Perkasa yang mendakwa program itu telah menyatukan PAS dan Umno.

“Ia satu lagi usaha untuk mendesak supaya diadakan perbincangan perpaduan antara kedua-dua PAS-Umno... anda bermain dengan kad agama dengan PAS, anda cuba untuk melaga-lagakan kami dengan bukan Muslim, untuk menunjukkan bahawa kami ini kononnya ekstremis... mereka (Umno) cuba sekali lagi,” kata Khalid.

PAS memutuskan untuk tidak menghadiri Himpun atas alasan ia bukan aktiviti parti politik, tetapi tidak menghalang ahli-ahlinya menghadiri perhimpunan tersebut atas kapasiti orang perseorangan.

Khalid berkata beliau percaya pihak-pihak yang ada hubungan dengan Umno cuba menggambarkan sudah ada gunung sedangkan yang wujud hanya “busut.”

“Hanya disebabkan seorang pemimpin PAS hadir majlis itu ia tidak bermakna PAS dan Umno kini sudah bergandingan.

“Mengapa mahu mencetuskan ketegangan agama? Tiada bukti yang kukuh wujudnya ancaman Kristian. Lebih baik kami menggunakan masa dan usaha kami untuk memperbaiki perkara-perkara lain di negara ini — rasuah, (soal) urus tadbir baik,” kata Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Semalam, Perkasa berkata meskipun Himpun gagal mengumpulkan 100,000 hadirin yang disasarkan tetapi ia berjaya menyatupadukan kaum Muslim segenap lapisan masyarakat.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali berkata, baginya kempen semalam adalah sesuatu berjaya kerana membawa bersama pemimpin Umno dan PAS.

“Bagi saya ia satu kejayaan. Salah satu bahagian yang berjaya ialah ada pemimpin PAS dan Umno di pentas yang sama dan individu lain yang tidak menganggotai mana-mana parti.

“Saya percaya ahli-ahli Umno atau PAS dan Melayu dalam Keadilan, mereka semua sokong (Himpun) tetapi kemungkinan mereka kena ikut arahan daripada pemimpin mereka, yang saya tak faham mengapa mereka tidak dibenarkan,” kata Syed Hassan.

Rogol Wanita Dalam Tandas, Penganggur Dipenjara 16 Tahun

Kuala Lumpur - Seorang penganggur hari ini dijatuhi hukuman penjara 16 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merompak dan merogol dua wanita di tandas awam, tiga bulan lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Endry Roni Afandi, 27, selepas dia menukar pengakuan bersalahnya hari ini dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh dia ditangkap pada 13 Julai lalu.

Sebelum menjatuhi hukuman, Emelia berkata, faktor kepentingan awam dan rayuan daripada peguam bela dipertimbangkan sebelum membuat keputusan.

"Tertuduh sebagai ketua keluarga sepatutnya tahu membezakan yang baik dan buruk serta faktor kemiskinan yang dihujahkan oleh peguam bela bukanlah alasan untuk tertuduh melakukan jenayah," katanya.

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang eksekutif bank, 32, dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur di dalam tandas awam di bawah Stesen LRT Bandaraya, Dang Wangi di sini antara jam 5.15 hingga 5.30 petang, 8 Julai 2011.

Bapa kepada anak lelaki berusia lapan bulan itu didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Dia turut dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa di tempat, waktu dan masa yang sama, mengikut Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, mahkamah turut menjatuhi hukuman penjara enam tahun terhadap Endry kerana merompak seorang kerani, 24, dengan menggunakan senjata yang sama dan menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan kerana merogol mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tandas awam yang beralamat di Stesen Minyak Shell, Danau Kota, Setapak antara 2 hingga 5 petang, 10 Julai 2011.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara lapan tahun dan tiga sebatan terhadap tertuduh berjalan selepas tertuduh selesai menjalani hukuman terhadap kes pertama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahah Mohd Suah manakala tertuduh diwakili peguam S Letchiemanan. - BERNAMA


Husam Saman Blogger "Ruangbicarafaisal" Setengah Juta Kerana Memfitnah

Kota Bharu - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini semalam berhubung kes saman malunya berjumlah RM500,000 terhadap blogger yang didakwa menyiarkan artikel memfitnahnya, dua tahun lalu.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menuntut ganti rugi itu terhadap Mohd Faisal Rohban Ahmad, 37 berikutan penyiaran artikel bertajuk ‘Husam & Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta’, di ruangbicarafaisal.blogspot.com pada Sabtu 3 Oktober 2009.

Antara kenyataan fitnah itu termasuk menyatakan plaintif sengaja berkonspirasi dan berkomplot dengan satu pihak ketiga untuk memberi 4,000 hektar tanah kawasan balak kepada seorang pihak ketiga bernama Tamrin Ghaffar.

Balak itu cuba dijual kepada seorang tauke dengan harga RM25 juta. Pembahagiannya pula adalah plaintif sebanyak RM10 juta, pihak ketiga pula RM10 juta dan Pas Pusat RM5 juta.

Plaintif mendakwa keseluruhan artikel tersebut juga sengaja memfitnahnya dengan mengatakan kawasan balak berkenaan tidak dapat dijual dengan harga RM25 juta dan hanya dijual dengan harga RM15 juta dan wang tersebut dibahagikan; plaintif mendapat RM5 juta, pihak ketiga RM6 juta dan Pas Pusat RM3 juta.

Artikel itu ternyata mahupun tersirat menuduh secara melulu bahawa plaintif adalah seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Ketika memberikan keterangan, Husam menegaskan artikel itu secara terang terangan memfitnahnya dan menafikan dakwaan itu kerana beliau bekerja keras untuk menjaga keharmonian rakyat Kelantan.

“Saya kecewa, malu, tertekan kerana artikel fitnah itu yang merosakkan nama baik saya. Kesannya saya malu kerana dipandang serong masyarakat. Saya juga tertekan kerana ramai pihak yang bertanyakan perkara itu sehingga saya sukar fokus kepada kerja.

“Kesan akibat penyiaran artikel itu masih wujud berikutan masyarakat masih memandang serong dan ada sesetengah pihak yang masih memetik artikel berkenaan dan menyiarkannya sehingga kini,” katanya ketika menjawab soalan peguam belanya, Hisham Fauzi.

Menurutnya, tuntutan saman itu dibuat bagi memberi pengajaran setimpal kepada defendan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dan teladan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah seseorang.

Peguam bela defendan, Adzly Abdul Manas mempertikaikan kesahihan maklumat diberikan pihak ketiga yang membantu plaintif mendapatkan latar belakang Mohd Faisal Rohban termasuk nombor telefon, alamat dan pekerjaannya.

“Akibat artikel itu setujukah Datuk jika dikatakan kesan-kesan seperti tidak boleh fokus kerja, tertekan, dipandang serong yang dialami adalah rekaan. Tuntutan jumlah ganti rugi itu juga banyak,” katanya dalam soal balas terhadap plaintif.

Dalam jawapannya, Husam berkata, sepatutnya Adzly sebagai peguam bersimpati terhadap nasibnya.

Saksi pihak plaintif yang hadir memberi keterangan semalam, Mohammad Syahfahrin Ali Rajkumar Abdullah, 40 yang menyerahkan notis saman itu kepada defendan di kediamannya di Selangor, 31 Mei tahun lalu.

“Saya diarahkan plaintif untuk ke rumah defendan, ketika tiba di rumahnya, saya dapati defendan terkejut apabila diberitahu tujuan kedatangan saya lalu beliau hubungi polis dan rakannya. Beliau juga mengaku bernama Mohd Faisal Rohban dan membaca notis writ saman yang saya berikan. Saya juga sempat mengambil beberapa keping gambar defendan menggunakan telefon bimbit saya,” katanya yang mendakwa rakan plaintif dan tinggal di Dun Salor.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh sambung bicara kes itu.

Blogger berkenaan dijangka hadir memberi keterangan pada tarikh itu bersama dua saksi lain. -SH

Blogger sembunyi wajah ketika dirakam gambar

KOTA BHARU, 23 Okt: Saksi plaintif kes saman anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa terhadap blogger Mohd Faisal Rohban Ahmad memberitahu defendan cuba menyembunyikan wajah ketika gambarnya dirakam semasa beliau menghantar writ saman.

Mohd Shah Karim, 30 berkata, semasa menghantar writ saman kepada Mohd Faisal pada 31 Mei 2010 dia membantah ketika cuba dirakam gambar dengan telefon bimbit di hadapan rumahnya di Shah Alam.

“Ketika saya sampai di rumahnya dia baru tiba dan terkejut ketika diberitahu ada notis saman daripada Datuk Husam.

“Selepas itu beliau menghubungi rakan, peguam dan anggota polis. Tidak lama kemudian datang seorang anggota polis lengkap beruniform dan dua lagi berpakaian biasa serta peguam.

“Anggota polis yang datang dengan kereta Kancil itu membaca wris saman yang saya bawa, kemudian meminta kad pengenalan saya dan Faisal. Ketika itu saya nampak namanya pada kad pengenalan,” katanya menjawab soalan peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Kes terebut dibicara di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Plaintif diwakili peguam Hisham Fauzi.

Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3 Oktober 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah menggelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguamnya mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama, membayar ganti rugi RM500,000.

Selain itu gantirugi teladan, gantirugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.

Mohd Shah seorang peniaga yang berasal dari Salor, merupakan saksi kedua kes tersebut.

Sebelum itu Husam dalam keterangan secara bersumpah memberitahu mahkamah sebelum artikel tersebut disiarkan beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Faisal.

Katanya, selepas artikel tersebut disiarkan, beberapa blog lain turut memetik rencana tersebut sehingga nama baiknya sebagai seorang ahli politik dan anggota pentadbir kerajaan terjejas teruk.

”Oleh itu saya berpendapat wajar dikenakan ganti rugi yang lebih tinggi kerana melemparkan fitnah sehingga menjatuhkan air muka seseorang,” katanya.

Husam berkata, berdasar kepada pencarian dibuat blog tersebut didaftar bukan menggunakan namanya yang sebenar, sedangkan nombor kad pengenalan, tarikh lahir dan daerah mengundi merupakan milik Mohd Faisal.

Ketika disoal balas peguam defendan, Husam memberitahu Mohd Faisal menggunakan alamat yang sering berubah-rubah, namun rumah bapanya dikesan di Wakaf Bharu, Tumpat.

Menjawab soalan peguam lagi katanya, selepas menerima notis saman, defendan tiba-tiba berubah sikap di mana Faisal dalam SMSnya memberitahu mahu sertai PAS dan memohon balak.

Hakim kemudian menangguh kes tersebut dan menetapkan sambung bicara pada 12 dan 13 Disember hadapan.

Adly sebelum itu memohon penangguhan kes tersebut memandangkan anak guamnya sedang menunaikan haji.

Beliau juga memberitahu akan mengemukakan tiga saksi iaitu Mohd Faisal, wakil daripada Umno Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). -HD



Satelit ROSAT Jatuh Di Asia Tenggara

Berlin: Satelit penyelidikan Jerman, ROSAT yang tidak lagi berfungsi terhempas di Asia Tenggara awal pagi tadi, menurut seorang saintis Amerika Syarikat, tetapi tiada seorang pun yang pasti di mana.

Menurut Pusat Aeroangkasa Jerman, kebanyakan bahagian satelit sebesar van mini itu dijangka hangus apabila memasuki atmosfera pada kelajuan sehingga 450 kilometer sejam tetapi kira-kira 30 serpihan seberat 1.7 tan metrik mungkin selamat dan terhempas.

Jonathan McDowell dari Harvard-Smithsonian Center for Astrophysics di Cambridge, Massachusetts, berkata satelit berkenaan mungkin jatuh di Asia Tenggara.

Katanya, dua bandaraya China dengan jutaan penduduk iaitu Chongqing dan Chengdu, berada di laluan satelit itu sewaktu kemasukan semula.

“Tetapi jika ia jatuh di kawasan berpenduduk, sudah tentu kita sudah memperoleh laporan sekarang," katanya.

Pengiraan berdasarkan data tentera AS menunjukkan serpihan satelit itu mungkin terhempas di Lautan Hindi di timur Sri Lanka atau di Laut Andaman di luar pantai Myanmar atau di pedalaman Myanmar atau China. - AP

German satellite crashed in southeast Asia

A defunct German research satellite crashed into the Earth somewhere in southeast Asia on Sunday, a US scientist said – but no one is still quite sure where.

Most parts of the car-sized ROSAT research satellite were expected to burn up as they hit the atmosphere at speeds up to 280mph, but up to 30 fragments weighing a total of 1.87 tons, could have crashed, the German Aerospace Center said.

Jonathan McDowell of the Harvard-Smithsonian Centre for Astrophysics in Cambridge, Massachusetts, said the satellite appears to have gone down over southeast Asia. He said two Chinese cities with millions of inhabitants each, Chongqing and Chengdu, had been in the satellite's projected path during its re-entry time.

"But if it had come down over a populated area there probably would be reports by now," the astrophysicist, who tracks man-made space objects, said.

Calculations based on US military data indicate that satellite debris must have crashed somewhere east of Sri Lanka over the Indian Ocean, or over the Andaman Sea off the coast of Burma, or further inland in Burma or as far inland as China, he said.

The satellite entered the atmosphere between 0245 BST to 0315 BST and would have taken 15 minutes or less to hit the ground, the German Aerospace Centre said. Hours before the re-entry, the centre said the satellite was not expected to land in Europe, Africa or Australia.

There were no immediate reports from Asian governments or space agencies about the fallen satellite.

The satellite used to circle the planet in about 90 minutes, and it may have travelled several thousand miles during its re-entry, rendering exact predictions of where it crashed difficult.

German space agency spokesman Andreas Schuetz said a falling satellite also can change its flight pattern or even its direction once it sinks to within 90 miles above the Earth.

The 2.69-ton (2.4 metric ton) scientific ROSAT satellite was launched in Cape Canaveral, Florida, in 1990 and retired in 1999 after being used for research on black holes and neutron stars and performing the first all-sky survey of X-ray sources with an imaging telescope.

ROSAT's largest single fragment that could have hit is the telescope's heavy heat-resistant mirror.

"The impact would be similar to, say, an airliner having dropped an engine," said McDowell. "It would damage whatever it fell on, but it wouldn't have widespread consequences."

Since 1991, space agencies have adopted new procedures to lessen space junk and having satellites falling back to Earth. NASA says it has no more large satellites that will fall back to Earth uncontrolled in the next 25 years. -TheTelegraph




Isu Gantung: Aziz Bari Hantar Jawapan Petang Ini, ABIM Desak Selesaikan Secara Akademik

Prof Dr Abdul Aziz Bari akan mengemukakan respons kepada surat tunjuk sebab pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA), yang menjadi kontroversi akhir minggu lalu, hari ini kata peguam beliau.

“Draf surat jawapan sudah siap, Prof Aziz pun sudah luluskan, dan beliau akan menandatangani pagi ini, dan saya akan menghantar kepada UIA petang ini,” kata Dr Zulqarnain Lukman ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan kandungan respons disediakan Aziz.

“Tunggu dulu, biar kami serahkan kandungan kepada UIA,” kata beliau.

Pengurusan UIA mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Aziz (gambar) berhubung kenyataan pensyarah undang-undang itu ekoran titah Sultan Selangor berkaitan isu Gereja Methodist Damansara Utama dan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) baru-baru ini.

UIA memberi masa seminggu sehingga 4 petang esok kepada Aziz untuk menjawab surat tunjuk sebab itu.

Surat tunjuk sebab itu juga menyebut beliau digantung perkhidmatan sehingga siasatan selesai dan dilarang memasuki kampus UIA.

Jumaat lalu, Rektor UIA Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin berkata Aziz perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung kenyataan mempertikaikan titah Sultan Selangor.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIA untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.

Dalam pada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Amidi Abdul Manan berkata, sewajarnya segala persoalan akademik dilayan secara akademik, bukan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya kerana sebarang isu yang melibatkan pandangan, pendirian dan buah fikiran dalam bidang kepakaran seseorang adalah persoalan akademik.

“Seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah. Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Amidi berkata jika perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu.

Katanya, Abim juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini dan jika ia berlaku, ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia akademik di Malaysia.

“Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” kata beliau lagi. -TMI

Abim: Selesaikan isu Aziz Bari secara akademik

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mahu kemelut penggantungan pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari tidak diselesaikan menerusi tindakan undang-undang atau seumpamanya tetapi sebaliknya persoalan akademik dilayan secara akademik juga.

Justeru, kata presidennya, Amidi Abdul Manan (kiri), seharusnya medium perbincangan dibuka seluas-luasnya menerusi forum, perbahasan dan perbincangan ilmiah bagi menangani isu itu.

“Tampilkan pandangan lain yang boleh menjadi pencabar atau alternatif kepada pandangan yang menjadi tajuk perbincangan.

“Sekiranya perkara ini terjadi, Abim percaya kredibiliti kedua-dua belah pihak dapat dipelihara dan bakal menjadi teladan kepada orang ramai dalam usaha memasyarakatkan ilmu,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Amidi, Abim juga khuatir jika ada campur tangan luar yang membayangi isu ini.

“Jika perkara ini berlaku ia akan merugikan kedua-dua pihak dan akhirnya akan menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap dunia akademia di Malaysia. Abim menuntut isu ini diselesaikan dengan segera secara matang dan bertanggungjawab oleh semua pihak,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Aziz yang mencetuskan kontroversi apabila pensyarah UIA itu mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.

Abdul Aziz dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Jejas reputasi

Berikutan itu, beberapa pemimpin BN dan Umno serta media yang dikuasai mereka membidasnya sehingga pada Khamis lalu UIA bertindak mengantung tugasnya.

Amidi berkata dengan liputan media dan kenyataan oleh pelbagai kelompok, polemik itu boleh menjejaskan reputasi kedua belah pihak.

“Universiti Islam Antarabangsa Malaysia mempunyai nama dan kredibiliti yang tinggi dalam masyarakat di Malaysia.

“UIA telah berjasa melahirkan graduan yang berkualiti dan mampu memberikan sumbangan yang besar kepada agama, bangsa dan negara. UIA juga mempunyai reputasi yang baik diperingkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan Abdul Aziz yang merupakan seorang tokoh akademik dalam bidang perundangan yang begitu dihormati di negara ini.

“Beliau telah banyak menyumbangkan buah fikiran menerusi ceramah dan penulisan buku dan makalah dalam bidang kepakaran beliau iaitu perlembagaan,” katanya.

Jumaat lalu, hampir seribu mahasiswa berhimpun selepas solat bagi mengadakan bantahan dan mengancam mengadakan perhimpunan lebih besar jika kemelut itu tidak diselesaikan. -mk


"Adik Beradik" Khalwat Dicekup

Petaling Jaya – Lakonan drama sepasang kekasih berusia 26 dan 28 tahun yang menyamar sebagai adik-beradik bagi mengelak dicekup berkhalwat terbongkar apabila wanita itu ketakutan selepas digertak mengenai balasan orang yang berzina ketika di akhirat.

Mereka ditahan selepas didapati berdua-duaan di sebuah hotel bajet di Taman Medan dalam operasi cegah maksiat Ahli Jawatankuasa dan Pemuda Masjid Nurul Ehsan dengan kerjasama polis awal pagi semalam.

Pasangan itu mengambil kesempatan mengaku sebagai adik-beradik selepas pemeriksaan pada MyKad mendapati kedua-duanya mempunyai nama bapa yang sama namun berbeza alamat tempat tinggalnya.

Pihak masjid yakin sesuatu yang tidak kena berikutan pasangan itu memberi alasan tidur di situ kerana berpindah rumah, malah ketika pintu bilik dibuka si perempuan masih berselimut di atas katil dan hanya memakai pakaian dalam selain mengakui sering melakukan hubungan seks di situ.

Dalam serbuan di hotel yang sama juga, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang ditahan bersama kekasihnya merayu meminta dilepaskan atas alasan ibunya mengenali imam yang terlibat dalam operasi.

Operasi selama tiga jam itu turut menahan seorang guru wanita menyembunyikan diri di dalam bilik air dengan hanya berkemban selepas menyedari rumahnya diserbu.

Ketika ditahan guru terbabit berusia 29 tahun berdua-duaan dengan seorang lelaki berstatus duda berusia 33 tahun di rumah sewa lelaki terbabit
.

Manakala seorang lagi penjawat awam berusia 25 tahun dicekup selepas disyaki berkhalwat dengan seorang janda berusia 35 tahun, anak tiga di rumah.

Imam 1 Masjid Nurul Ehsan, Abdul Muin Abdul Hamid berkata, operasi besar-besaran tersebut akan diteruskan bagi membanteras kegiatan maksiat di kawasan Taman Medan.

“Operasi ini adalah susulan daripada aduan dan maklumat daripada penduduk setempat yang merasakan tempat disyaki seperti hotel bajet dan rumah persendirian perlu diberi perhatian agar tidak menjadi lokasi mudah melakukan perbuatan sumbang,” katanya kepada Sinar Harian.

Kesemua pasangan dibawa ke Balai Polis Petaling Jaya sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan selanjutnya.

Ada Cubaan Hapus Status Bangsa, Agama Dalam MyKad

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman, semalam, mendedahkan terdapat usaha secara halus, terancang dan berterusan pihak tertentu bagi menghapuskan identiti bangsa, status agama dan gelaran Bin atau Binti seperti tertera dalam MyKad sekarang.

Malah, Abdullah berkata, ada pihak tertentu berani tampil untuk mendesak kerajaan supaya menghapuskan keperluan menulis nama Bin atau Binti, bangsa dan agama ketika orang ramai membuat permohonan sijil kelahiran dan Mykad anak masing-masing.

Beliau berkata, perkara itu menjadi semakin menakutkan apabila kebanyakan daripada enam juta belia di negara ini termasuk orang Melayu dan beragama Islam kini turut dipengaruhi oleh idea globalisasi serta liberalisasi dipelopori oleh negara Barat.

“Sebenarnya adalah idea ini berasal dari Barat yang kononnya mampu menyelesaikan masalah perbezaan identiti bangsa, keturunan dan agama. Mereka mahu kita keluar dari fitrah manusia atau dengan kata lain tiada lagi status bangsa seperti Melayu, Cina dan India serta agama.

“Penghapusan Bin dan Binti akan menyebabkan semua orang akan menjadi sama, sekali gus mewujudkan persamaan dan kesamarataan.

“Namun, kesannya anak zina atau zuriat dilahirkan tanpa ikatan perkahwinan mengikut hukum syarak pun boleh didaftarkan secara sah, sekali gus menghancurkan institusi kekeluargaan serta akidah umat Islam di negara ini,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Keluarga Melayu Muslim 2011 anjuran bersama ISMA dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdullah menyatakan keyakinannya idea kesamarataan dan persamaan yang cuba diterapkan Barat di kalangan masyarakat Malaysia adalah satu bentuk penjajahan baru, kerana ia adalah satu pembohongan bertujuan menghancurkan identiti rakyat negara ini.

Katanya, dengan leburnya identiti bangsa, keturunan dan agama, rakyat Malaysia termasuk beragama Islam akan hilang semangat, perasaan, jati diri dan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir untuk mempertahankan negara daripada dijajah sama ada dari aspek pemikiran, ekonomi atau secara fizikal oleh Barat.

“Umpamanya apabila sistem ekonomi Malaysia sekarang dikuasai tauke besar (syarikat multinasional) dari Barat atau kaum bukan Melayu memegang tampuk pemerintahan Malaysia adakah umat Islam di negara kita berasa sensitif atau tidak kisah?” katanya.

"Justeru, saya beranggapan idea persamaan ini adalah satu bentuk penjajahan bukan kemajuan. Jika Amerika Syarikat atau Barat mahu menegakkan keadilan sudah tentu tiada siapa yang dilanda masalah kelaparan atau kebuluran seperti di Somalia sekarang ini.

"Kenapa sekarang semua harta benda dan kekayaan di dunia termasuk bekalan minyak mentah di negara Arab mahu dibolot dan dibawa pulang sepenuhnya ke Barat sedangkan banyak negara lain masih miskin. Sebenarnya mereka mahu menjaya agenda menjajah dan menguasai negara lain termasuk Malaysia," katanya. -BH

Isu Raba Payudara: "Penampar Gila" Ke Muka Muhyiddin

Ketepikan keluarga dari politik keji, gesa PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggesa ahli politik supaya tidak membabitkan anggota keluarga dalam dunia politik mereka.

"Ini adalah sesuai dalam sebuah negara demokrasi moden, Anda boleh berbahas mengenai perbezaan dasar daripada segi kelemahan pelaksanaan.

“Tetapi ketepikan keluarga anda atau mengeksploitasi hal keluarga untuk kepentingan politik sendiri," kata Najib selepas perhimpunan perdana bersama perdana menteri dengan pesara dan bekas polis di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib mengulas keberangan pemimpin politik Pakatan Rakyat dan juga masyarakat di negara ini berhubung dakwaan beberapa blog pro-Umno yang memfitnah anak remaja ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meramas buah dada rakan kelasnya.

Selain Lim, dan pengetua sekolah anaknya itu, pada Jumaat lalu, gadis yang didakwa oleh blog pro-Umno menjadi mangsa pencabulan oleh anak Lim juga tampil menafikan dakwaan itu.

Najib, bagaimanapun berkata prinsip supaya tidak membabitkan anggota keluarga dalam dunia politik mesti terpakai kepada kedua-dua parti pemerintah dan juga pembangkang.

"Saya tidak tahu fakta kes ini, tetapi jika awak mahu ada beberapa etika untuk mengketepikan keluarga, maka semua termasuk pembangkang mesti mematuhi perkara itu.”

Isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, juga seringkali dibidas oleh pembangkang kerana didakwa boros berbelanja dan hidup secara mewah.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik oleh agensi berita nasional Bernama memilih mempertahankan penulis blog itu dan dilaporkan sebagai berkata: "Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk menyiasat dan bersihkan nama." -mk

Pakatan gesa Muhyiddin minta maaf beri ‘watikah’ serang anak Lim

KUALA LUMPUR, 23 Okt — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa memohon maaf secara terbuka kerana mengeluarkan kenyataan seolah-olah menyokong blog pro-Umno yang membuat dakwaan kononnya anak lelaki Lim Guan Eng telah mencabul kehormatan rakan pelajar wanita.

Semalam, Muhyiddin meminta Lim, Ketua Menteri Pulau Pinang, membuat laporan polis dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar kerana penafian sahaja tidak mencukupi.

“Penafian adalah tidak mencukupi. Kalau tidak buat, minta polis untuk menyiasat dan bersihkan nama,” katanya.

Mengulas perkembangan itu hari ini, Naib Presiden PKR N Surendran mahu Muhyiddin dengan segera memohon maaf kepada Lim kerana membuat kenyataan sedemikian.

“Kami menggesa Umno-BN menghentikan politik memfitnah dan pembunuhan karakter,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran, yang juga seorang peguam berkata, beliau terkejut kerana Muhyiddin sebagai pemimpin tertinggi negara sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan pelajar perempuan yang dikaitkan, Anya Sun Corke, yang didakwa menjadi mangsa sendiri telah menafikan perkara tersebut dan melahirkan rasa simpati kepada keluarga Lim, anak dan keluarganya.

“Dalam bertindak sedemikian, Anya Corke yang muda telah menunjukkan sikap lebih matang dan sopan berbanding timbalan perdana menteri negara kita,” kata Surendran dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, DAP menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegur timbalannya kerana memberi sokongan bulat-bulat kepada pemblog-pemblog pro-Umno untuk mengaibkan dan memusnahkan kehidupan anak Lim.

“Kami terkejut dan marah dengan (kenyataan) Timbalan Perdana Menteri yang dilaporkan berkata bahawa jika Ketua Menteri Pulau Pinang merasakan adalah penting untuk membetulkan maklumat, maka beliau seharusnya datang dengan kenyataan sangat keras. Penafian sahaja tidak mencukupi’,” kata Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.

Dalam kenyataannya, Pua berkata Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno seharusnya memeriksa maklumatnya kerana Lim bukan sahaja telah mengeluarkan kenyataan tegas pada minggu lalu, malah “kami telah membuktikan bahawa keseluruhan kes ini adalah rekaan semata-mata.”

Selain itu kata beliau, mangsa yang didakwa terlibat dalam kes, yang berusia 21 tahun, sendiri telah menafikan perkara tersebut.

“Mangsa yang didakwa juga telah mengeluarkan kenyataan kepada kesemua media, mengatakan bahawa dia tidak pernah datang ke Malaysia sepanjang tujuh tahun lalu,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini.

Perkara itu turut dinafikan oleh pengetua SMK Heng Ee, sekolah yang anak lelaki Lim belajar sehingga akhir tahun lalu.

Meskipun Lim tidak perlu membuktikan apa-apa, kata Pua, Muhyiddin memilih untuk memberi ‘watikah’ kepada khabar-khabar angin dan memberi sokongan kepada “mutlak” kepada pemblog-pemblog Umno.

Katanya lagi, daripada melahirkan pendirian untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan khabar angin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran memilih untuk mempertahankan pihak terbabit.

“Beban pembuktian terletak pada pihak yang menuduh dan bukannya pada pihak yang difitnah dengan tidak adil,” kata beliau.

Pua juga berkata demi menjaga imej kerajaan, Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri sewajarnya mengambil tindakan menghentikan tindakan-tindakan tidak waras dengan memberi teguran kepada timbalan beliau dan juga kesemua ahli partinya yang mengaibkan pelajar berusia 16 tahun.

“Jika tidak akan terbukti kepada rakyat Malaysia bahawa Umno sudah bankrap secara moral dalam usahanya mahu kekal berkuasa dalam apa jua cara pun termasuk menyerang kanak-kanak tidak berdosa,” kata beliau. -TMI


Laporan berkaitan
sila klik untuk baca




Isteri Tak Tahan Digoda

Isteri tewas godaan

SAYA tidak bermaksud ingin menjadi isteri yang nusyuz kepada suami. Namun masalah dan perasaan suka tidak dapat dielakkan.

Meskipun saya sudah mendirikan rumah tangga dan pernah berpisah dengan suami seketika, saya masih terjerumus dengan hubungan luar.

Beberapa kali saya tekad untuk berubah dan tidak mengulangi tetapi jejaka yang menjalin hubungan dengan saya terus menggoda, menyebabkan saya lupa status saya.

Walaupun saya memberitahu mereka saya ini isteri orang, mereka tetap menagih, mengharapkan balasan cinta daripada saya.


Perhatian dan habuan daripada kekasih gelap saya menyebabkan saya hampir terdorong untuk terpengaruh dengan pujuk rayu mereka.

Terus terang saya masih sayang suami saya kerana dia baik dan mempunyai pakej menarik. Disebabkan faktor itu saya menerima kembali suami dan membuat keputusan untuk setia dengannya walaupun pada waktu sama lelaki lain tidak putus asa.

Saya benar-benar hendak berubah. Saya memutuskan untuk menjadi isteri yang baik, tetapi ramai pula lelaki yang hadir.

Liena
Selangor


Pernahkah puan dengar pepatah tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Perasaan cinta atau kasih tidak mungkin berjaya jika hanya daripada sebelah pihak saja.

Secara tidak langsung Dang Setia percaya, andainya puan tidak melayan jejaka lain, hubungan cinta terlarang tidak akan terjadi.

Namun sebaik meneliti cerita puan, Dang Setia dapati puan sememangnya lebih gemar bermain api sedangkan puan sedia maklum tindakan itu hanya memakan diri sendiri.

Ada baiknya puan imbas memori saat bahagia bersama suami dalam usaha menghangatkan hubungan cinta sedia ada menjadi lebih intim.

Peranan puan sebagai isteri sepatutnya menjaga kehormatan dan maruah suami. Elakkan daripada berdua-duaan dengan mana-mana lelaki supaya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan.


Fokuskan tumpuan yang tidak pernah berbelah terhadap suami supaya rumah tangga dan kehidupan puan lebih berkat.

Selain itu, tidak putus memohon kepada Allah supaya diberi kekuatan agar puan dapat menolak semua tarikan daripada kekasih gelap puan sebelum ini. Insya-Allah jodoh puan dengan suami akan terus berpanjangan.
-hm

[Video] 26 Pekerja Dipecat Kerana 'Curi Waktu' Untuk Solat

Seattle: Lebih sedozen Muslim asal Somalia yang bekerja sebagai drebar dengan syarikat kereta sewa Hertz di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma, dipecat kerana enggan mencatat pergerakan keluar masuk mereka semasa waktu rehat, yang juga merupakan kesempatan mereka bersolat, menurut laporan-laporan media.

Seramai 26 pekerja yang dipecat itu menjadi drebar kereta sewa Hertz ke lapangan terbang tersebut bagi tujuan pembersihan dan mengisi minyak.

Mereka adalah antara 34 pekerja Hertz yang digantung kerja pada 30 September lalu kerana melakukan pelanggaran peraturan bekerja itu.

Lapan daripada 34 pekerja itu kemudian patuh kepada peraturan tersebut dan sudah bekerja semula, kata jurucakap Hertz, Encik Rich Broome, kepada agensi berita d The Associated Press (AP) lewat kelmarin, menerusi e-mel.

Surat-surat pemecatan sudah dikirimkan kepada mereka yang terbabit.

Syarikat tersebut mendedahkan dengan jelas bahawa para pekerja yang digantung perkhidmatannya itu perlu bersetuju dengan syarat pekerjaan itu jika mereka mahu diambil semula,' kata Encik Broome kepada akhbar The Seattle Times.

Pemecatan itu mula dilaporkan oleh stesen televisyen KOMO-TV.

Encik Broome, awal bulan ini, memberitahu AP bahawa hal itu tidak ada kaitannya dengan solat, 'ia bukan kerana agama, ia mengenai syarat-syarat yang munasabah'.

Hertz pula berkata pekerja yang digantung melanggar peruntukan satu perjanjian tawaran kerja dan satu perjanjian yang dicapai dengan Suruhanjaya Peluang Pekerjaan Sama Rata dua tahun lalu.

Teamsters Local 117, kesatuan sekerja yang mewakili para pekerja itu, berkata kedua-dua pihak gagal merundingkan satu perjanjian yang membolehkan pekerja kembali kepada status sebelum mereka digantung, iaitu mereka tidak perlu patuh kepada peraturan syarikat itu apabila mereka mahu bersolat. -- AP.



Laporan sebelum ini
klik untuk baca