4 Mac 2010

Ramai Sokong Langkah Ahmad Awang Anjur Solat Hajat

Banyak pihak mengalu-alukan langkah Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang yang akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Ahli parlimen Bagan Serai yang melompat parti, Mohsin Fadzli Samsuri diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan.

"Pengkhianatan Mohsin tidak dapat dimaafkan. Ini kerana di dalam Al-Quran (Al-Anfal:27) jelas tercatat ayat yang melarang orang-orang yang diberikan amanah mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadanya," tegas seorang pemimpin PAS Kawasan.

Malaysiakini melaporkan Ahli parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri diberi tempoh tujuh hari untuk mengosongkan kerusinya ataupun menghadapi tindakan dikenakan solat hajat supaya dihukum oleh Allah.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS Ahmad Awang berkata pihaknya akan menganjurkan solat hajat selama tujuh hari tujuh malam supaya Mohsin diberikan hukuman setimpal kerana mengkhianati perjuangan.

“Kita beri tempoh tujuh hari supaya beliau letak jawatan. Jika tidak kita akan anjurkan solat hajat tujuh hari tujuh malam supaya Allah menghukumnya kerana khianat pada perjuangan.

“Bentuk hukuman tersebut, biarlah Allah sahaja yang menentukannya,” kata Ahmad yang juga pesuruhjaya PAS negeri Perak pada pilihan raya umum sebelum ini.

Bekas naib presiden PAS itu mengulas tindakan Mohsin yang keluar PKR dan menjadi wakil bebas dengan alasan tidak bersetuju dengan pendirian PKR berhubung isu kalimah Allah.

Pada sidang media bagi mengumumkan perkara itu semalam, Mohsin (kanan) dilaporkan berkata, beliau telah membangkitkan perkara itu melalui saluran dalaman tetapi mendakwa ia tidak dihiraukan.

Ketika menghubungi Malaysiakini semalam, Ahmad berkata, tempoh tujuh hari yang diberikan kepada Mohsin untuk meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat bermula semalam apabila pengumuman itu dibuat.

Ditanya sama ada program berkenaan akan dianjurkan oleh PAS negeri, Ahmad berkata ia anjurannya sendiri yang bertanggungjawab menerima Mohsin sebagai calon kawasan tersebut pada masa itu.

Bagaimanapun, tambah Ahmad, beliau juga mengajak pengundi kawasan itu, penyokong PAS sekitar kawasan parlimen berkenaan dan kira-kira seribu pelajar daripada sebuah pusat pengajian agama yang diasaskannya di Perak bagi menyertai solat tersebut.

Ahmad sebelum itu telah dua kali bertanding pada pilihan raya umum di kawasan parlimen tersebut pada 1999 dan 2004. Bagaimanapun beliau tewas kedua-dua kali di tangan calon BN.

Mengimbau semula detik-detik ketika Mohsin dipilih sebagai calon bagi Pakatan Rakyat, ketika itu Ahmad berkata, bukan sahaja pengundi, tetapi penyokong PAS juga tidak mengenalinya.

“Semua orang tanya siapa beliau,” kata Ahmad yang berkata pihaknya bertungkus lumus berusaha bagi memastikan Mohsin menang.

“Waktu berkempen itu, kita bawa dia, iring ke sana ke mari. Saya (sendiri) cakap pada pengundi-pengundi, kalau tuan-tuan undi Mohsin, samalah macam tuan-tuan undi saya,” katanya.


Ahmad juga dilihat menunjukkan keraguannya terhadap tindakan politik Mohsin tersebut yang menurutnya berlaku secara tiba-tiba.

Katanya, beliau difahamkan, ketika seorang aktivis PAS kawasan tersebut berhubung dengan Mohsin kelmarin, soal peletakan jawatannya tidak timbul langsung.

“Berdasarkan sidang media beliau, daripada cara dia baca kenyataan akhbar, dengan salah sebut beberapa kali, saya rasa itu bukan beliau yang buat,” kata Ahmad.

Sementara itu, kira-kira jam 10 pagi ini, sejumlah 200 orang berhimpun di depan pejabat Mohsin di Bagan Serai bagi mendesak wakil rakyat itu meletakkan jawatan segera.


Bukan Soal Pendirian Kalimah Allah

Tumpuan Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kes melibatkan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim, Zulkifli Nordin adalah berkaitan tindakannya membuat laporan terhadap rakan parti gabungan, bukannya isu kalimah Allah.

Hal ini ditegaskan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan lembaga disiplin itu tidak memberi tumpuan kepada pendirian Zulkifli berhubung isu kalimah Allah yang berbeza dengan parti.

Saifuddin berkata demikian kepada TV Selangor apabila diminta mengulas mengenai tindakan Zulkifli yang menjadikan kehadiran tiga daripada empat panel bukan Islam sebagai alasan menghalalkan perbuatan meninggalkan sidang Lembaga Disiplin.

Panel Lembaga Disiplin itu terdiri daripada Tuan Syed Kamarulzaman selaku Pengerusi Lembaga, Chew Swee Yoke, Goh Keat Peng dan P Kumar.

"Zulkifli dihadapkan ke lembaga displin bukan kerana pendiriannya dalam isu kalimah Allah, sebaliknya kerana tindakannya membuat laporan polisnya terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Pada 23 Januari lalu, Zulkifli memfailkan laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad selepas pemimpin Pas itu berkata Enakmen Agama Bukan Islam Selangor 1988 perlu dikemas kini mengikut peredaran semasa.

Sebelum ini, perbalahana Zulkifli dan Khalid sekitar isu kalimah Allah dalam blog dan sidang media masing-masing berpanjangan hingga kesempatan itu diambil media arus perdana untuk memutar belit fakta.

"Parti menghormati perbezaan pendapat. Parti mempunyai pendirian dalam isu kalimah Allah, dan kebetulan pendirian Zulkifli berbeza dari parti tetapi parti tidak bertindak.

"Akan tetapi, kerana beliau menyerang parti rakan (dengan membuat laporan polis terhadap Khalid mengikut Akta Hasutan), Zulkifli disiasat," katanya.

Terdahulu, Zulkifli pada sidang media selepas meninggalkan sidang lembaga disiplin di ibu pejabat PKR di sini, turut enggan mengiktiraf lembaga disiplin berkenaan.

Mengulas hal itu, Saifuddin, Ahli Parlimen M achang menyifatkan tindakan Zulkifli meninggalkan sidang berkenaan sebagai tidak menghormati Lembaga Displin sebagai salah satu institusi penting PKR. -TVS

Zulkifli Noordin Hanya Cipta Alasan, Tiada Kaitan Penggunaan Nama Allah Lagi

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KEADILAN Dr Muhammad Nur Manuty (gambar) berkata Zulkifli Noordin perlu memahami bahawa KEADILAN adalah parti untuk semua kaum dan sudah tentu ahli panel dalam lembaga disiplinnya juga dianggotai bukan Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) diminta mengulas tindakan Zulkifli hari ini yang enggan menghadap lembaga Jawatankuasa disiplin parti, sebaliknya bertindak keluar ketika pertemuan itu berlangsung atas alasan tidak mahu ahli panel lembaga tersebut terdiri dari kalangan orang bukan Islam.

Zulkifli hari ini dilaporkan berkata panel yang sepatut menentukan masa depannya itu perlu dianggotai oleh orang Islam kerana ia membabitkan penggunaan isu kalimah Allah dan agama Islam.

Beliau dihadapkan ke jawatankuasa terbabit bagi memberi penjelasan berhubung kritikannya terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Ketika diminta mengulas isu ini, Dr Muhammad Nur berkata pimpinan ulama dalam Pakatan Rakyat telah pun membuat keputusan mengenai isu penggunaan nama Allah yang dianggap telah selesai.

"Pengunaan nama Allah telah selesai, Pakatan Rakyat dan ijma ulama telah menyatakan pandangan bahawa soalnya ialah berbeza pandangan. Kita telah meminta pemimpin bukan Islam supaya menghormati asas kebimbangan ini dan apa yang penting ialah langkah pelaksanaan dan kawalan," katanya.

Tambah beliau, Zulkifli dihadapkan ke lembaga disiplin parti itu kerana soal disiplin dan tiada kena mengena dengan isu penggunaan nama Allah seperti yang beliau perkatakan.

"Perkara itu sudah tidak menjadi isu. Ijma pimpinan ulama dalam Pakatan Rakyat samada dalam KEADILAN atau PAS dan ulama muktabar dunia sudah menyatakan bahawa tak timbul soal hukum tetapi cuma perbezaan pendapat. Kita hormat pandangan yang berbeda dan keprihatinan terhadap orang Islam yang bimbang dalam isu ini," ujarnya. -SK

Mereka Yang Melompat Adalah Pemimpin Yang Bermasalah (updated)

Timbalan Presiden KEADILAN Dr Syed Husin Ali berkata parti akan tetap kukuh dan mantap walaupun beberapa daripada pemimpinnya bertindak keluar meninggalkan perjuangan.

Malah tindakan mereka dilihat sebagai proses penyucian parti daripada elemen yang boleh merosak masa depan dan melemahkan parti kata beliau.

"Peristiwa beberapa orang Ahli Parliamen melompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat merupakan proses penyucian yang dialu-alukan.

"Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat.

"Sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka. Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (Setiausaha Agung), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain keluar parti. Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini," jelas beliau yang juga anggota Dewan Negara.

Begitu juga nasib yang pernah menimpa PAS apabila beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar namun PAS tetap kekal sebagai sebuah parti yang kuat dan berpengaruh.

"Daripada PAS pula, Asri Muda (Presiden), Osman Abdullah (Setiausaha Agung), Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) dan ramai lagi meninggalkan parti. Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

"Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga orang Presidennya – Onn Jaafar, Tunku A bdul Rahman dan Hussein Onn - keluar parti dan tidak masuk semula sehingga mati. Tidak seperti Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini," tegas Dr Syed Husin dalam kenyataan beliau hari ini.

Dr Syed Husin berkata pemimpin yang keluar daripada KEADILAN mempunyai masalah peribadi yang menjejaskan prestasi mereka sebagai wakil rakyat.

"Ahli-ahli Parlimen yang melompat katak dari KEADILAN akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Negeri yang berbuat serupa terdahulu darinya, menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah).

"Selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

"Pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka. PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menemui hampir semua sebelum mereka keluar – termasuk juga beberapa orang bukan ADUN atau AP yang boleh diperalatkan – dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka. Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni korporatnya untuk membeli ADUN dan AP, terutama dari KEADILAN.

"Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi. Sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran. Tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan KEADILAN lebih teguh dan mantap dan disokong rakyat ramai," ujar beliau lagi.



Pembelot Bergayut Kepada UMNO BN Yang Kolot

Kenyataan Media

Pada 8 Mac 2008, kami dipilih warga Malaysia di kawasan kami yang mengundi untuk sebuah harapan dan perubahan menggantikan kejumudan. Rakyat mahukan politik baru yang menolak desakan perkauman, rasuah dan salah guna kuasa. Objektif yang kami terus usahakan apabila mewakili Parti Keadilan Rakyat ialah untuk membentuk “masyarakat yang adil dan negara yang demokratik, progresif dan bersatu-padu”.

Namun, ada mereka yang berfikir bahawa dengan kemenangan, perjuangan ini sudah tidak perlu diteruskan. Mereka berhenti berkhidmat kepada rakyat sebagaimana yang sepatutnya dan mahu menjadikannya sebagai “masa mengaut hasil rampasan perang”.

Apabila ini tidak dapat dilakukan, mereka menuntut ‘pampasan’ dari parti, membuat tuntutan di luar kewajaran demi kepentingan diri mereka sendiri.

Apabila dinafikan, mereka bertindak seakan mengugut dan kini meninggalkan parti. Mereka mengisytiharkan diri mereka bebas sedangkan semua melihat mereka sedang bergantung dengan corak rasuah dan pendekatan kuno masa lalu. Ada yang mahu insiden ini dilihat sebagai perpecahan dalam Pakatan Rakyat, namun ia sebenarnya satu lagi usaha berterusan mereka yang mahu terus berkuasa.

Barisan Nasional menyedari bahawa cara politik usang yang mereka bawa kian tiba ke penghujung. Untuk melengahkan hakikat ini, mereka menggunakan strategi serampang dua mata.

Pada satu sudut, mereka cuba menggambarkan bahawa mereka sedang menjuarai perubahan yang kami canangkan. Pada sudut lain, mereka merosakkan kepercayaan rakyat dan memanipulasi jentera kerajaan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, serangan perkauman terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang dan tindakan memperlekehkan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin utama PAS di Kelantan dan Malaysia adalah sebahagian contoh jijik yang ada.

Dengan memilih untuk mendokong tindakan jahat ini, mantan pimpinan Keadilan yang bertindak keluar parti ini telah memilih untuk terus memandang ke belakang. Mereka telah mengkhianati harapan rakyat biasa di Malaysia yang memilih untuk perubahan dua tahun lalu. Tindakan mereka membuktikan bahawa mereka tidak peduli malah sesungguhnya memusuhi masa depan negara dan rakyat.

Mungkin ada yang percaya bahawa ada lagi yang akan mengikuti mereka, tapi kami pimpinan muda dalam Pakatan Rakyat, yang dipilih oleh rakyat, berikrar bahawa kami akan kekal berjuang biarpun berdepan dengan cabaran, pujukan dan penindasan yang ada.

Kami tidak akan berpatah balik. Kami mahukan perubahan untuk Malaysia, kami mahu berkhidmat kepada rakyat. Kami akan memenuhi kepercayaan yang diberikan rakyat. Kami tahu bahawa agenda Keadilan yang inklusif dan tidak bersifat perkauman adalah ruang terbaik untuk kami meneruskan agenda membawa negara ke hadapan.

Selama ini semua anggota parti mempunyai ruang memberi pandangan terhadap agenda yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada rakyat, yang telah disepakati dengan semangat musyawarah.

Pakatan Rakyat telah mencipta sejarah dengan Kerangka Dasar Bersama yang memaparkan persetujuan tulen rakyat Malaysia untuk abad ke-21. Kami akan turun bersama rakyat untuk berbincang dan bertukar fikiran dengan seluruh masyarakat bagi merealisasikan prinsip ini. Berikan kami dokongan juga nasihat dan pandangan. Kami mahu belajar daripada anda, dan bersama anda.

Dengan cara ini, kami berharap dapat menggembeling rakyat yang perihatin untuk menghidupkan semula Perlembagaan dan semangatnya, menyatukan rakyat dan merealisasikan impian yang disebut oleh Bapa Kemerdekaan kita dalam Pemahsyuran Kemerdekaan, “…menjadi sebuah negara merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa”.

Ini adalah impian mereka dan kini kami. Ini adalah impian bersama kita rakyat Malaysia. Kami akan mempertahankan dan menghidupkannya dengan seluruh jiwa dan maruah yang ada.

Kami telah berikrar menyumbang usaha Pakatan Rakyat menyelamatkan negara ini, dan kami akan menunaikannya.

Disepakati oleh
YB Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai, Wilayah Persekutuan)
YB Amran Ghani (Ahli Parlimen Tanah Merah, Kelantan)
YB S. Manikumar (Exco Pelancongan Pembangunan Masyarakat dan Sumber Tenaga Manusia Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat India dan ADUN Bukit Selambau, Kedah)
YB Amirudin Shari (ADUN Batu Caves, Selangor)
YB Gan Pei Nei (ADUN Rawang, Selangor)
YB Yunus Jamhari (ADUN Kuala Kurau, Perak)
YB Chang Lih Kang (ADUN Teja, Perak)
YB Chan Ming Kai (ADUN Simpang Pulai, Perak)
YB Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang)
YB Kesavan (ADUN Hutan Melintang, Perak)
YB Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia, Selangor)


90% Mahu DSAI Dikekalkan Ketua Pembangkang

Di dalam undian SMS Edisi 7, didapati 90% responden menyatakan Ketua Pembangkang tidak perlu ditukar sekalipun PKR kini memiliki jumlah kerusi yang kurang dari DAP.

Sebelum ini, Pas dan DAP telah menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, walaupun beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan keluar parti itu dan mengisytiharkan menjadi ahli Bebas.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang, berkata, partinya sentiasa memberikan sokongan padu terhadap kepemimpinan Anwar sebagai ketua pembangkang.

"Anwar akan terus menjadi ketua pembangkang meskipun Ahli Parlimen PKR kurang daripada 28 ahli (jumlah yang kini dimiliki oleh DAP)," katanya dalam kenyataan media.

Lim berkata, apa yang berlaku dalam PKR sekarang dalam proses pembersihan yang dilihat perit dan pedih tetapi diperlukan bagi menjamin kredibiliti demi masa depan PKR dan Pakatan Pembangkang.

Di GEORGETOWN, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya memberikan sokongan kepada Anwar sebagai ketua pembangkang tanpa sebarang syarat dan sebulat suara.

"Tidak kira berapa ramai Ahli Parlimen dari PKR yang keluar, DAP akan tetap sokong Anwar sebagai ketua pembangkang dan bakal Perdana Menteri.

"Janganlah gembar-gemburkan dan cuba mempertikaikannya kerana ini bukannya satu isu," katanya.

Ditanya jika DAP bersedia mengubah pendiriannya sekiranya ada desakan daripada Ahli Parlimen parti itu, Guan Eng yakin perkara berkenaan tidak akan berlaku.

"Selagi saya menjadi Setiausaha Agung DAP, kedudukan ini (menyokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang) tidak akan berubah," katanya.



Ong Tiada Pilihan, Pemilihan Semula MCA Perlu Diadakan

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Khamis meletak jawatan sebagai Timbalan Presiden MCA dan mahu agar pemilihan baru diadakan dalam tempoh sebulan untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Ketika mengumumkan keputusannya itu pada satu sidang akhbar di Wisma MCA di sini Khamis, beliau berkata tujuh lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA juga telah meletak jawatan.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa itu berbuat demikian. Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai tindakannya itu, Dr Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," kata beliau.

Chua berkata sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Mereka ialah naib presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Dr Chua berkata beliau dan kumpulan yang telah meletak jawatan itu tidak akan menghadiri mesyuarat CC esok atau mesyuarat sayap Pemuda dan Wanita dan juga sambutan ulang tahun parti itu esok.

"Kami tidak akan hadir kerana kami telah meletak jawatan. Saya minta semua ahli CC yang terpilih seharusnya mereka sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka.

"Saya kata tidak ada satu pemimpin yang lebih penting daripada parti, sebab itu saya tolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star," katanya.

Ketika ditanya sama beliau akan bertanding semula jawatan timbalan presiden atau jawatan lain pada pemilihan akan datang, Dr Chua berkata beliau akan membuat keputusan selepas parti menetapkan tarikh penamaan calon dan pemilihan parti.

Mengikut Fasal 41 perlembagaan MCA, pemilihan perlu diadakan dalam tempoh sebulan jika 21 anggota CC meletak jawatan.

Antara 13 anggota CC yang meletak jawatan sebelum ini ialah naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan.


Tindakan Dr Chua hari ini adalah satu pergolakan terbaru dalam kemelut kepimpinan yang melanda MCA sejak Ogos tahun lepas apabila beliau dipecat kerana didakwa mencemar nama baik parti ekoran skandal video seks melibatkannya.

Bekas Menteri Kesihatan itu bagaimanapun diterima semula sebagai ahli parti pada satu mesyuarat agung luar biasa yang turut meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Ong sebagai presiden parti.

Pendaftar Pertubuhan kemudiannya mengisytiharkan Dr Chua kembali menjadi timbalan presiden, menyebabkan Liow yang mengisi jawatan itu, mengambil semula tempatnya sebagai naib presiden.

Dr Chua juga telah berbaik-baik semula dengan Ong bagi mewujudkan satu pelan damai parti tetapi terus mendapat tentangan daripada Liow dan penyokong-penyokongnya termasuk Ketua Pemuda Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, yang masing-masingnya mahu supaya pemilihan baru diadakan.


Ini merupakan kali kedua Dr Chua meletak jawatan daripada parti. Pada 2 Jan 2008, beliau meletak jawatannya ketika itu sebagai naib presiden setelah mengaku bahawa dirinya adalah orang yang dipaparkan dalam satu video seks yang tersebar luas.

Namun, Dr Chua, 62, terbukti masih popular dan menewaskan tiga yang lain bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan yang lepas.

Sementara itu, presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau akan mengumumkan tindakan beliau seterusnya apabila tiba masanya.

"Saya akan bertemu penyokong-penyokong dan pasukan saya tidak lama lagi dan akan mengumumkan keputusan apabila tiba masanya," kata Ong dalam blognya selepas timbalan presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, naib presiden Datuk Kong Cho Ha dan enam anggota lagi Jawatankuasa Pusat (CC) MCA yang dipilih mengumumkan keputusan meletak jawatan pada Khamis.

Sebelum ini, 13 yang lain termasuk seorang lagi naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai meletak jawatan bagi mendesak supaya pemilihan baru diadakan bagi menyelesaikan krisis kepimpinan parti itu.

Disebabkan 21 anggota CC iaitu dua pertiga daripada anggota yang dipilih meletak jawatan, perlembagaan parti menetapkan supaya satu pemilihan baru perlu diadakan dalam tempoh sebulan.

Dalam blognya itu, Ong tidak menyentuh mengenai tindakan Dr Chua atau Liow itu kecuali mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong dan mereka yang bersimpati dengan beliau kerana menelefon atau menghantar SMS dan e-mel bagi memberi kata-kata semangat.

"Saya diberitahu 21 anggota CC dipilih meletak jawatan untuk membolehkan pemilihan baru diadakan dalam tempoh 30 hari seperti yang dikehendaki oleh perlembagaan parti," katanya.

Beliau berkata pemilihan baru merupakan satu daripada penyelesaian secara demokratik kepada krisis MCA dan berharap ianya dijalankan dengan adil dan teratur.

Ong, yang memimpin MCA sejak Oktober 2008, berkata beliaulah yang mula-mula mencadangkan supaya pemilihan baru diadakan tetapi ini dibantah keras oleh pelbagai pihak.

"Pada masa itu, saya berkata bahawa kita perlu mengambil kira tentang waktu yang sesuai bagi pemilihan diadakan dan juga supaya parti meletakkan keutamaannya dengan betul," katanya.


Zulkifli Noordin Enggan Hadap Lembaga Disiplin

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, bertindak keluar sesi panel lembaga disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu kalimah Allah kerana tiga daripada empat anggotanya adalah bukan Islam.

Zulkifli mendesak supaya panel lembaga disiplin bagi menyiasat kenyataannya berhubung isu kalimah Allah itu dianggotai umat Islam.

Menurutnya, panel sedia ada terdiri dari seorang Muslim, dua penganut Kristian dan seorang beragama Hindu. Panel bagaimanapun menolak tuntutan itu dan berkata kuasa untuk melantik panel terletak dalam bidang kuasa Majlis Pimpinan Pusat.

Demikian itu, Zulkifli menyeru MPP untuk melantik panel baru sebelum Selasa minggu hadapan. Jika tidak, beliau mengugut akan meletak jawatan.




Tindakan Mahkamah Rayuan Luarbiasa -Sankara

Mahkamah Rayuan bertindak luar biasa apabila menetapkan tarikh pendengaran kes rayuan pada 19 Mac ini, walaupun para peguam Ketua Umum KEADILAN, Anwar Ibrahim belum lagi memfailkan petisyen rayuan.

"Malahan mahkamah itu telah bertindak di luar batas peraturan-peraturannya sendiri (Peraturan-Peraturan Mahkamah Rayuan 1994)," kata peguam beliau, Sankara N Nair dalam satu kenyataan media semalam.

Permohonan rayuan Anwar untuk mengenepikan hakim Zabidin Mohd Diah dalam kes tuduhan liwat ini akan didengar pada 19 Mac, jam 9.00 pagi di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Menurut Sankara, peraturan-peraturan itu menyebut selepas menerima Rekod-Rekod Rayuan, pembuat petisyen (Anwar Ibrahim) mempunyai 10 hari untuk memfailkan permohonan kepada Mahkamah, satu petisyen rayuan sahaja.

"Selepas itu, barulah Mahkamah Rayuan boleh menetapkan tarikh pendengaran rayuan itu," tambah beliau.

Sankara berkata, "dalam situasi sekarang, saya telah menerima rekod-rekod rayuan pada 1 Mac 2010 dari Mahkamah Tinggi. Menurut Peraturan-Peraturan yang tercatat di atas, saya mempunyai 10 hari, iaitu sehingga 11 Mac 2010, untuk memfail petisyen rayuan Anwar (dengan menyatakan sebab-sebabnya).

"Hanya selepas saya memfailkan petisyen rayuan, Mahkamah Rayuan, mengikut Peraturan-Peraturan, boleh menetapkan tarikh pendengaran rayuan tersebut.

"Dalam kes ini, saya belum lagi memfailkan petisyen rayuan dan saya terperanjat apabila saya dimaklumkan bahawa Mahkamah Rayuan telah menetapkan tarikh pendengaran pada 19 Mac 2010," ujar beliau.

Kata beliau, "Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan yang mengejutkan dan "terkeluar dari amalan biasa" dalam proses rayuan yang melibatkan Anwar. Tindakan yang diluar dugaan ini merupakan satu pencabulan terhadap peraturan dan ini membimbangkan kita.

"Adalah perlu disebut bahawa pada masa lalu, Anwar pernah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Walaupun disertai dengan "certificate of urgency" untuk mendapatkan pendengaran awal, tetapi mahkamah tidak memperdulikan hal ini, berbanding dengan kes ini.

"Daripada tindakan-tindakan di atas oleh Mahkamah Rayuan, terdapat percubaan diskriminasi terhadap Anwar memandangkan tindakan Mahkamah Rayuan yang tidak memperdulikan Peraturan-Peraturannya sendiri dan ini tidak sekali-kali dapat diterima," tegas Sankara. -FMT

Chua Soi Lek Bersama 13 Lain Letak Jawatan. BN Bakal Gulung Tikar?

Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden MCA berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan pemilihan baru diadakan dalam tempoh 30 hari untuk menyelesaikan krisis parti itu.

Ketika mengumumkan keputusannya itu pada satu sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini, beliau berkata, tujuh lagi anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA juga telah meletak jawatan.

Sebelum ini, 13 anggota jawatankuasa itu berbuat demikian. Ini bermakna 21 orang iaitu dua pertiga daripada anggota CC yang dipilih telah meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Ketika ditanya sama ada beliau telah memberitahu Presiden Parti, Datuk Seri Ong Tee Keat mengenai tindakannya itu, Dr Chua berkata beliau tidak berbuat demikian.

"Saya masih belum beritahu kepada presiden, akan tetapi borang peletakan jawatan masih ada pada saya kerana setiausaha agung tiada di pejabatnya," katanya.

Beliau juga meminta supaya mesyuarat agung tahunan MCA hujung minggu ini ditangguhkan.

"Peletakan jawatan ini adalah untuk memenuhi janji saya pada EGM (mesyuarat agung luar biasa) tahun lepas di mana saya telah mengutarakan pandangan bahawa kita mungkin perlu pemilihan baru agar kemelut parti dapat ditangani.

"Yang penting ialah parti bukannya soal pemimpin atau kepentingan diri melebihi parti," katanya.

Chua berkata, sejak Januari hingga semalam, beliau telah menerima surat peletakan jawatan daripada tujuh anggota CC yang dipilih.

Mereka ialah Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Gan Tian Loo, Dr Por Choo Chor, Datuk Seri Tan Chai Ho, Tee Siew Keong, Datuk Chong Itt Chiew dan Loh Seng Kok.

Dalam pada itu, Chua berkata, dengan 21 ahli CC meletakkan jawatan, pemilihan baru perlu dibuat dalam masa satu bulan mengikut fasa 41 perlembagaan parti.

Sementara itu, beliau turut memberitahu tidak akan menghadiri mesyuarat CC yang akan diadakan esok ekoran peletakan jawatannya.

"saya dan kumpulan yang meletakkan jawatan tidak akan menghadiri mesyuarat esok," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berharap anggota CC lain yang akan menghadiri mesyuarat esok supaya sedar dan insaf tentang tanggungjawab dan hak mereka mereka terhadap parti.

"Saya menolak tawaran sebagai pengerusi akhbar The Star adalah kerana parti adalah lebih penting," katanya.

Katanya lagi, beliau hanya akan membuat keputusan sama ada akan bertanding semula selepas parti menetapkan penamaan calon dan pemilihan parti.

Dalam satu sidang media berasingan, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya telah menghantar borang peletakan jawatan bertarikh 3 Mac kepada Ketua Pengarah Pentadbiran MCA, Lim Chin Hai.

Bagaimanapun, kumpulan tersebut telah pun menghantar borang tersebut kepada setiausaha agung parti, Datuk Wong Foon Meng pada 15 Disember tahun lalu.

Selain Liow, 12 anggota CC yang telah meletakkan jawatan adalah Tan Kok Hong, Lee Wei Kiat, Dr Hou Kok Chung, Datuk Yu Chok Tow, Wong Nai Chee, Datuk Wee Jeck Seng, Senator Datuk Dr Yeow Chai Thiam, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Liew Yuen Keong, Datuk Wong Mook Leong, Datuk Edward Khoo Keok Hai dan Senator Datuk Alex Wong Siong Hwee. -MSTAR

Rais Lupa Sejarah Pernah Khianati Umno

Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim terhadap KEADILAN dilihat tidak bermoral dan lupa diri berikutan beliau sendiri pernah mengkhianati Umno seketika dulu.

Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid berkata tindakan lupa diri dan berpaling tadah Rais menunjukkan usia tua membuatkan beliau lupa sejarah di mana beliau sendiri pernah keluar parti Semangat 46 dan menyertai semula Umno.

"Cara Rais campur tangan sangat tidak bermoral kerana parti dia sendiri tidak mampu dijaga tetapi cuba mengapi-apikan keadaan akibat khianat dan busuk hatinya terhadap KEADILAN yangsentiasa menghantui Umno.

"Saya pasti kekuatan pemimpin KEADILAN yang masih ada akan terus kehadapan tanpa ketiadaan pengecut-pengecut yang tiada harga diri serta mampu dibeli untuk turut serta meneruskan kezaliman bersama Umno," katanya.

Beliau berkata perkara lompat parti adalah perkara biasa yang sering berlaku dalam mana-mana parti termasuk Barisan Nasional.

"Keluar masuk parti adalah perkara biasa tetapi Rais dan Umno sengaja buatkan perkara lompat parti itu menjadi isu yang kononnya dapat menggugat KEADILAN tetapi sebenarnya perkara itu tidak memberi sebarang kesan atau menyekat kemaraan KEADILAN," tegasnya.

Abdullah Sani menyatakan kenyataan yang dikeluarkan Rais menunjukkan beliau seorang yang lupa diri dan tidak bermoral serta nyanyuk menjadikan beliau terus dibenci rakyat.

"Kita sekarang berdepan ekonomi yang tenat menyebabkan kewangan negara berkurangan dan merunsingkan tetapi BN langsung tidak pentingkan perkara itu dan sengaja pula mencari masalah menyerang KEADILAN tetapi ia tidak memberi apa-apa kesan.

"Tanpa ahli yang telah lompat parti KEADILAN terus bergerak mengotakan dasar-dasar yang dijanjikan bukan seperti dasar BN yang sentiasa gagal melakukan sebarang perubahan dan hanya menimbulkan masalah," katanya lagi.




Khir Toyo, Mari Protes GST – Dr Hatta

Pakatan Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan menganjurkan demonstrasi besar-besaran secara aman bagi menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di perkarangan bangunan Parlimen pada 15 Mac ini.

"Demonstrasi ini akan di adakan sebagai protes terhadap pelaksanaan GST apabila sidang Parlimen bersambung semula di sini nanti," kata Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dalam satu sidang media di ibu pejabat PAS di sini semalam.

Dr Hatta yang juga Bendahari PAS dan penyelaras perhimpunan itu berkata, "GST merupakan satu bentuk cukai yang akan membebankan lagi golongan berpendapatan rendah ketika ekonomi negara belum lagi pulih sepenuhnya.

"Demonstrasi aman bertujuan untuk menarik perhatian Yang Di Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang akan tiba di Parlimen pada jam 9.00 pagi pada hari itu," terang beliau.

Beliau menerangkan bahawa GST, yang akan diperkenalkan pada pertengahan 2011 adalah satu bentuk cukai ke atas setiap pengguna apabila membeli barangan dan perkhidmatan.

Kertas mengenai GST mula dibaca di Parlimen pada 16 Disember lalu, bacaan kedua dijangka dalam bulan Mac ini dan akan dilaksanakan 18 bulan kemudian.

Beliau turut mencabar bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa turut menentang pelaksanaan GST ini supaya bersama-sama hadir memprotes di hadapan Seri Paduka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, "matlamat kami ialah untuk memberi mesej kepada Yang Di Pertuan Agong bahawa majoriti rakyat menolak cadangan pelaksanaan GST ini.

"Kami berharap dalam perhimpunan itu nanti, pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Pengeluar-Pengeluar Malaysia (FMM) yang menentang GST turut menyertai kami dalam perhimpunan nanti.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvan menolak hujah Timbalan Menteri Kewangan Kedua Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa kerajaan dapat mengutip RM1 bilion setahun dari pelaksanaan GST.

Beliau berkata, terdapat banyak kaedah lain untuk menampung hasil negara, bukan melalui GST sahaja. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak 60,000 permit AP (permit untuk mengimport kenderaan) diberi kepada kroni-kroni Barisan Nasional.

"Sekiranya kerajaan mengeluarkan permit AP menerusi tender, kerajaan boleh memungut hasil sebanyak RM2.4 bilion dan jumlah ini melebihi pendapatan melalui GST yang dijangka sebanyak RM1 bilion setahun.

Selain dari MTUC dan FMM, NGO lain yang dijangka akan menyertai protes ini ialah Suaram, JERIT dan GMI. -FMT

Yang Melompat Parti Adalah Pemimpin Bermasalah

Jutaan Ringgit Beli MP, KEADILAN Tetap Teguh, Mantap - Suara Keadilan

PETALING JAYA 4 Mac -Timbalan Presiden KEADILAN Dr Syed Husin Ali berkata parti akan tetap kukuh dan mantap walaupun beberapa daripada pemimpinnya bertindak keluar meninggalkan perjuangan.

Malah tindakan mereka dilihat sebagai proses penyucian parti daripada elemen yang boleh merosak masa depan dan melemahkan parti kata beliau.

"Peristiwa beberapa orang Ahli Parliamen melompat keluar dari Parti Keadilan Rakyat merupakan proses penyucian yang dialu-alukan.

"Kami percaya apabila sudah tidak ada daki, kulit menjadi lebih bersih dan badan lebih sihat.

"Sejarah menunjukkan PAS dan DAP mengalami cabaran lebih buruk pada peringkat permulaan mereka. Beberapa pimpinan utama mereka keluar parti. Dari DAP Goh Hock Guan (Setiausaha Agung), Richard Ho (pemimpin kanan), Lee Lam Thye dan lain-lain keluar parti. Ada pihak menganggap DAP akan lingkup. Sebaliknya ia menjadi lebih kuat sehingga kini," jelas beliau yang juga anggota Dewan Negara.

Begitu juga nasib yang pernah menimpa PAS apabila beberapa pemimpin parti itu bertindak keluar namun PAS tetap kekal sebagai sebuah parti yang kuat dan berpengaruh.

"Daripada PAS pula, Asri Muda (Presiden), Osman Abdullah (Setiausaha Agung), Nakhaie Ahmad (Naib Presiden) dan ramai lagi meninggalkan parti. Para pemimpin Umno menyangka dan mengharapkan PAS akan gulung tikar. Tetapi apa berlaku? PAS menjadi lebih teguh seperti yang terbukti sekarang.

"Kita jangan lupa Umno juga melihat ramai pemimpin, termasuk tiga orang Presidennya – Onn Jaafar, Tunku A bdul Rahman dan Hussein Onn - keluar parti dan tidak masuk semula sehingga mati. Tidak seperti Mahathir Mohamad, yang bercerai sekejap dan kemudian rujuk kembali. Berbeza dengan PAS dan DAP, Umno lebih parah keadaannya kini," tegas Dr Syed Husin dalam kenyataan beliau hari ini.

Dr Syed Husin berkata pemimpin yang keluar daripada KEADILAN mempunyai masalah peribadi yang menjejaskan prestasi mereka sebagai wakil rakyat.

"Ahli-ahli Parlimen yang melompat katak dari KEADILAN akhir-akhir ini, seperti Ahli-ahli Dewan Negeri yang berbuat serupa terdahulu darinya, menghadapi masalah pribadi serta kewangan dan ada yang mula disiasat oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegah Rasuah).

"Selain itu mereka tidak menjaga kawasan, tidak pernah menyuarakan rintihan apatah lagi membela hak rakyat. Mereka tidak menunjukkan prestasi yang baik dalam Parlimen – tidak pernah atau jarang sekali bercakap atau berbahas.

"Pimpinan Umno meraih peluang dari kelemahan mereka. PM Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor menemui hampir semua sebelum mereka keluar – termasuk juga beberapa orang bukan ADUN atau AP yang boleh diperalatkan – dengan menjanjikan berbagai-bagai habuan untuk memikat mereka. Kami mendapat maklumat bahawa berpuluh juta dana disediakan oleh PM serta kroni korporatnya untuk membeli ADUN dan AP, terutama dari KEADILAN.

"Najib dan pemimpin Umno yang lain berikrar konon hendak berusaha menghapuskan korupsi. Sebaliknya mereka sentiasa melakukan korupsi politik dan kewangan besar-besaran. Tindakan korupsi mereka pasti akan menjadikan KEADILAN lebih teguh dan mantap dan disokong rakyat ramai," ujar beliau lagi.



Gempa Bumi 6.4 Richter Landa Taiwan

Gempa bumi dengan kekuatan 6.4 pada skala Richter yang menggegarkan Taiwan hari ini menyebabkan 11 orang tercedera, sistem pengangkutan terhenti serta kerosakan kecil dan kebakaran di separuh bahagian selatan negara itu.

Gempa yang berlaku pukul 8.18 pagi itu menyebabkan objek-objek tumbang termasuk pokok dan ramai tercedera di selatan Taiwan, kata Liang Yu-chu, jurucakap pusat maklum balas bencana Pengurusan Bomba Kebangsaan Taiwan.

Kejadian itu juga menyebabkan lima kejadian kebakaran termasuk satu kilang tekstil dan 16 buah elevator terhenti, kata Liang.

Gempa itu terasa di ibukota Taipei, tempat banyak bangunan terguncang selama beberapa minit. Pelayanan di separuh dari kereta api berkecepatan tinggi di bahagian selatan Taiwan, yang menghubungkan Taipei dengan wilayah selatan terhenti.

Gempa sering terjadi di Taiwan, yang terletak di jalur lembah Pasifik yang aktif menurut ilmu gempa. Salah satu gempa terburuk yang tercatat pada September 1999. Gempa yang berkekuatan 7,6 SR itu, menewaskan lebih dari 2.400 orang dan menghancurkan atau merusak 50 ribu bangunan.


Sebutan Kes Tian Chua Tangguh 13 Mac

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 13 Mac depan, bagi mendengar sebutan kes rayuan 'gigit tangan polis' oleh Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu bagi sebutan semula kes bagi melihat sama ada rekod rayuan telah diterima atau tidak.

Peguambela yang mewakili Tian Chua, Lee King Fatt berkata pihaknya baru menerima alasan penghakiman dan diberi 10 hari untuk memfailkan petisyen rayuan tersebut.

Walau bagaimanapun Tian Chua tidak hadir ke mahkamah hari ini.Mahkamah Majistret yang sebelum ini telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 selepas beliau didapati bersalah di atas mencederakan penjawat awam dalam satu operasi polis dua tahun lalu.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan hukuman tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepada beliau memfailkan rayuan.

Tian Chua atau nama sebenarnya Tian Chua Chang, 46, didakwa kononnya mencederakan Konstabel Rosyaidi Anuar ketika beliau sedang menjalankan tugasnya pada satu perhimpunan di Parlimen pada 11 Disember 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.



UMNO Dan Gerakan Berebutkan Batu

Dalam menghadapi kemungkinan pilihan raya kecil di parlimen Batu, Umno bahagian itu dengan cepat 'merampas' jawatan ketua bahagian Batu BN daripada Gerakan.

Ini petanda pertama Gerakan mula hilang cengkamannya ke atas kerusi parlimen itu yang diduduki lebih 22 tahun.

Menurut sumber dari Gerakan, ketua Umno bahagian Batu, Yahya May Ghani dilantik sebagai ketua BN bagi kawasan parlimen itu Jumaat lalu.

Jawatan itu sebelum ini dipegang oleh ahli parlimen Batu, Ng Lip Yong sehingga kerusi Gerakan itu dirampas oleh Tian Chua (kiri, berbaju putih) dari PKR pada pilihan raya umum 2008. Sejak itu, jawatan berkenaan dibiarkan kosong sehingga Jumaat lalu.

Perlantikan itu dikatakan menimbulkan rasa tidak puas hati yang tebal di kalangan ahli Gerakan di Batu.

Seorang ahli menyifatkan perkembangan terbaru itu sebagai ”amat buruk”.

"Pada peringkat bahagian, kami tidak boleh berbuat apa-apa. Terpulang kepada pucuk pimpinan parti untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya tanpa mahu mendedahkan identitinya.

Gerakan khuatir kerusi Batu mungkin diberikan kepada Umno kerana lazimnya, ketua bahagian BN akan dipilih sebagai calon kerusi berkenaan.

Kebimbangan mereka memuncak apabila khabar angin bertiup kencang mengenai kemungkinan pilihan raya kecil di Batu.

Oktober tahun lalu, Tian Chua dijatuhkan denda RM3000 dan penjara enam bulan kerana kesalahan menggigit seorang anggota polis. Dia akan hilang kerusi parlimennya itu jika permohonan rayuannya yang dijadualkan pada 13 April ini ditolak.

Batu terletak di wilayah persekutuan Kuala Lumpur. Sejak diwujudkan pada 1986, ketua bahagian BN telah dipegang oleh Gerakan sehingga 2008.

Menurut sumber Gerakan lagi, ketua bahagian BN menguasai sumber-sumber kerajaan termasuk pengagihan dana. -mk

Kedah Mungkin Gugurkan Tiga Exco

Barisan Exco baru Kerajaan Negeri yang akan diumumkan minggu depan adalah gandingan mantap antara mereka yang berpengalaman dan juga golongan muda yang berpotensi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, rombakan membabitkan tiga anggota Exco sedia ada, selain melantik muka baru setelah dibuat penilaian sepanjang dua tahun memegang portfolio masing-masing.

“Senarai itu sudah ada pada saya, tetapi selagi belum diperkenankan oleh Tuanku Sultan, senarai itu tidak boleh didedahkan. Tiada pertambahan portfolio tetapi mungkin akan dipecah-pecahkan, dan bertukar portfolio antara Exco,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, semalam.

Ditanya sama ada wakil DAP akan diberi peluang membarisi anggota Exco kali ini, Azizan enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu menimbulkan spekulasi.

“Yang itu saya tak dapat jawab Saya dah kaji sumbangan setiap Exco sedia ada selama dua tahun dari semua sudut. Keputusan ini adalah terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai rombakan yang perlu dibuat untuk memantapkan pentadbiran, Azizan berkata, mereka yang dilantik atau yang disenaraikan mampu memikul tanggung jawab yang diberikan, namun perlu disesuaikan dengan kemahiran masing-masing.

“Semua boleh pikul tanggungjawab itu, cuma kita mahu ada kesesuaian,” katanya.

Azizan dijangka mengumumkan barisan Exco baru Kedah pada 10 Mac ini. Exco Kedah dibarisi tiga wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan selebihnya Pas.

Beliau sendiri memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri dan Syarikat Milik Kerajaan (GLC). -SH

Ramai Percaya Mohsin Diperdaya Dan Dihasut Pihak Ketiga

Beberapa Ahli Parlimen PKR masih menaruh harapan agar Ahli Parlimen Bagan Serai Mohsin Fadzli akan kembali bersikap rasional dan menolak usaha pihak ketiga yang mengumpan beliau untuk keluar parti.

Mereka menolak alasan Mohsin kononnya beliau bertindak demikian kerana membantah pendirian PKR bersabit isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

“Dalam masa yang sama kenyataannya sebentar tadi mengatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah bagi bukan Islam yang merupakan pendirian, pandangan yang telah dikeluarkan oleh Keadilan mahupun Pakatan Rakyat, sekali lagi itu hak peribadi beliau sebab pandangan yang mengatakan bahawa kalimah Allah itu boleh digunakan bagi orang Kristian terutamanya itu pandangan yang dikeluarkan oleh ulama-ulama besar dunia berdasarkan al-Quran dan hadis yang dikeluarkan," kata Pengerusi PKR Perak, Mustafa Kamil Ayob.

“Saya yakin pada hari ini perkara itu berlaku apabila wujudnya keadaan di mana pihak ketiga memain peranan mula memujuk atau mempengaruhi beliau bertindak demikian. Saya tidak lihat YB Bagan Serai bertindak atas kehendak atau kapasiti dia sendiri, saya tidak yakin dalam keadaan macam itu,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail(gambar)

“Mohsin ini kes dia kalau sekiranya ada masalah, tidaklah besar, saya akan cuba untuk menghubungi beliau..mungkin beliau digoda diberi janji manis yang mana beliau termakan, jadi saya rasa ia boleh di atasi...saya akan cuba mendengar masalah beliau,”kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani berkata apa jua alasan yang diberikan ia merupakan satu usaha terancang.

Katanya apa juga alasan yang diberi, mereka yang bertindak keluar parti nyata seorang yang telah mengkhianati pengundi.

“Perkara ini telahpun dirangka dan dirancang, sebab itu saya tidak terperanjat dalam sesi keputihan ini perlu ada pengorbanan, rakan-rakan jelaskan bahawa kami tidak akan berganjak dari asas perjuagan parti. Yang jelas mereka yang keluar mempunyai agenda sendir, apa jua alasan mereka sekalipun..mereka tetapi pengkhianat kepada bangsa dan agama mereka. Tetutama sekali pengundi, saya beranggap bahawa ia satu perbuatan yang telah dirangka dan dirancang dan saya tidak terkejut jika ada seorang lagi ke arah itu, tapi kami tidak melayan kerenah remeh temeh,” katanya.


Majoriti Rakyat Masih Sokong PR, Cuma PKR Dinasihat Kaji Punca Pemimpin Keluar Parti

Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengenal pasti punca utama tiga bekas Ahli Parlimen mereka keluar parti bagi memulihkan kembali jentera PKR.

Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains & Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr Sivamurugan Pandian berkata, permasalahan itu dilihat mampu menjejas kredibiliti PKR yang menjadi parti antara sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) iaitu DAP dan Pas.

Menurutnya, senario berlaku ada hubung kait dengan kedudukan pemimpin seperti ada rasa ketidakpuashatian dari segi persaingan mendapatkan kedudukan dalam parti itu.

“Sehubungan itu, Penasihat PKR, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim perlu mengkaji semula masalah dalaman yang melanda serta meneliti apa faktor yang menyebabkan punca Ahli Parlimen itu melompat parti,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan ada lebih ramai lagi Ahli Parlimen PKR akan meninggalkan parti itu selepaas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin; Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng dan terbaru Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri mengumumkan keluar PKR dan menjadi wakil rakyat Bebas, semalam.

Ditanya sama ada krisis itu akan menggugat kedudukan PKR di Pulau Pinang menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, Dr Sivamurugan berpendapat masih terlalu awal menjangkakannya kerana Barisan Nasional (BN) perlu memenangi semula majoriti 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disandang oleh DAP.

Menurutnya walaupun ia memberi kesan peringkat nasional, tetapi ia tidak memberi kesan peringkat negeri kerana majoriti rakyat masih menyokong PR. -SH



Ulasan GB

Jawapannya sudah ada, dan di diakui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri bahawa, PKR perlu menapis calon-calon untuk bertnading di dalam pilihanraya nanti.

Calon-calon yang diketahui mempunyai kepentingan diri dan tidak utamakan rakyat di samping mengamalkan budaya sikap UMNO BN seperti berkehendakkan projek dan seumpamanya perlu ditolak.

Konstabel Tembak Kekasih

Persis adegan filem Hindustan, seorang ‘heroin’ yang berlumuran darah terpaksa berlari meminta pertolongan daripada jiran sambil memegang tangannya yang cedera akibat ditembak teman lelakinya, seorang anggota polis sebelum jatuh pengsan akibat kehilangan banyak darah.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, mangsa, G Prema, 24, terpaksa menahan kesakitan ketika berlari menyelamatkan diri, malah kesan titisan darahnya jelas kelihatan di sepanjang laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri didiaminya.

Sebelum itu, orang ramai yang berada di warung berhampiran Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, dikejutkan bunyi beberapa das tembakan, lalu bergegas ke lokasi bagi mengetahui punca kejadian. Saksi yang hanya ingin dikenali sebagai Rizal, 30, memberitahu, ketika kejadian dia dan beberapa rakannya berehat di bahagian bawah pangsapuri berkenaan dan terkejut apabila mendengar tembakan.

“Pada mulanya saya hanya menyangka ada penghuni meraikan majlis sambutan dan bunyi itu daripada mercun yang dibakar.

“Namun tidak lama kemudian, saya terdengar jeritan seorang wanita dan mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku,” katanya.

Harian Metro difahamkan wanita terbabit pengsan sebaik tiba di hujung laluan pejalan kaki di tingkat 10 pangsapuri itu sebelum dibantu orang ramai.

Mangsa dipercayai terkena dua das tembakan yang dilepaskan teman lelakinya sebelum cuba menyelamatkan diri dan meminta pertolongan jiran.

Difahamkan sebelum kejadian, konstabel terbabit yang berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini, dikatakan berselisih faham dan bergaduh dengan anggota keluarga teman wanitanya.

Suspek dipercayai turut bergelut dengan anggota keluarga teman wanitanya menyebabkan dia cedera pada beberapa bahagian tubuh.

Abang mangsa, G Devandran, 25, juga dilaporkan mengalami cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru.

Suspek bersama kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan.

Harian Metro difahamkan, selepas kejadian itu, suspek dipercayai cuba membunuh diri dengan meminum racun rumpair, tetapi digagalkan polis yang berkejar ke tempat kejadian selepas dimaklumkan orang awam.

Difahamkan, suspek dan mangsa yang dijadualkan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi, bergaduh kerana beberapa masalah peribadi sebelum anggota polis terbabit melepaskan tembakan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohamad Sabtu Osman, ketika ditemui mengesahkan kejadian dan memberitahu kes itu kini dalam siasatan.

“Suspek adalah konstabel sokongan dan berkhidmat selama lapan tahun di Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Dang Wangi dan belum tetap perkhidmatannya,” katanya. Beliau berkata, suspek bertengkar dengan mangsa sebelum melepaskan empat das tembakan yang mengenai wanita dan abangnya di rumah mereka di Pangsapuri PPR Kerinchi.

Prema cedera di dagu kanan dan jari kiri, manakala Devandran, cedera ringan di kepala akibat terkena serpihan peluru.

Suspek ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri. -HM



Kartika Mungkin Diampunkan - Tengku Abdullah

Bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Sukarno yang bersalah kerana meminum arak mungkin diampunkan oleh Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan bebas dari hukuman itu atau akan disebat dalam tempoh terdekat.

Menurut Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, baginda akan mempersembahkan kes Kartika Sari Dewi, 33, untuk makluman Sultan Pahang sebelum perkara itu diputuskan.

"Saya akan sembah kepada Tuanku Sultan tentang perkara ini dalam tempoh terdekat.

"Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Tuanku Sultan (Pahang) mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan walaupun dia (Kartika Sari Dewi) tidak minta diampunkan (atau membuat rayuan)," titah baginda kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan Kartika Sari Dewi lebih satu jam di Kompleks Islam Sultan Ahmad Shah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP), di sini, Rabu.

Menjelaskan perjumpaan itu, baginda bertitah Kartika Sari Dewi telah menyuarakan tekanan perasaan yang dihadapinya berikutan kes berkenaan ditangguhkan.

Baginda yang juga Yang Dipertua MUIP bertitah semua pihak perlu memandang serius perkara berkenaan dan tidak mempertikaikan sebarang keputusan yang dibuat Sultan atau pelaksanaan hukuman itu nanti.

Ditanya kenapa kes ini tertangguh agak begitu lama, Tengku Abdullah bertitah: "Kes ini akan diselesaikan secepat mungkin, cuma kes ini perlu diperhalusi dari segi pelaksanaan hukuman itu".

Kartika Sari Dewi ditahan pihak berkuasa ketika minum arak di sebuah resort di Cherating pada 11 Julai 2008 dan selepas mengaku bersalah, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan.

Kartika Sari Dewi bagaimanapun enggan ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Tengku Mahkota Pahang itu.

Sebelum itu Kartika Sari Dewi tiba di perkarangan kompleks berkenaan kira-kira 9.45 pagi dengan menaiki sebuah kereta sebelum Tengku Mahkota Pahang tiba kira-kira sejam kemudian.

Ketika ditemui pemberita di resort penginapannya di Pekan sebelum pertemuan itu, Kartika Sari Dewi berkata dia amat berharap dapat menemui Tengku Mahkota Pahang bagi meluahkan perasaan dan tekanan yang dihadapinya sejak penangguhan kes berkenaan serta berharap kesnya itu dapat diselesaikan secepat mungkin. -- BERNAMA