28 Okt 2007

Catatan akhir seorang webmaster bernama Din.Cryptos

Posted on Saturday, June 09 @ 18:05:05 MYT by din-cryptos
Bicara Webmaster Oleh Din.Cryptos

Saya diminta untuk menjadi webmaster menggantikan saudara LinuxPro untuk sementara waktu sebelum TKO mendapatkan webmaster baru. Katanya mungkin sebulan atau dua sahaja oleh kerana pada masa itu saya juga terikat dengan kerja-kerja seperti ini pada suasana yang lain.

Malangnya ia berlarutan sehingga hari ini. Oleh kerana saya juga sibuk dengan urusan yang sama, komitmen saya terhadap laman ini tidaklah sepenuhnya sehingga laman ini tidaklah baik seperti dahulu.

Menyedari akan kelemahan ini, saya memerlukan seorang rakan kerja (bukan sekadar pembantu) yang arif, bijaksana dan boleh membuat keputusan dalam apa situasi sekalipun untuk berhadapan dengan perang media. Al Hamdulillah saudara Greenboc telah menjadi impian ini nyata.

Saya nak ambil kesempatan dalam artikel ini mengucap syabas dan tahniah kerana beliau berjaya membawa keputusan pemilihan dalam muktamar agung PAS kali ke-53, 16 minit lebih awal daripada harakahdaily.

I

Tranung Kite Online (TKO) mempunyai potensi yang tinggi

Sebenarnya kepantasan keputusan ini bukanya satu-satu kejayaan TKO, sebelum ini TKO pernah mengatasi hits laman-laman utama. Walaupun kejayaan ini sekadar bersifat sementara tetapi memandangkan TKO dikendalikan mereka yang bekerja bukan sepenuh masa, perkara seperti ini boleh dibanggakan.

Rekod-rekod kejayaan pernah mengatasi laman-laman pembangkang utama adalah faktor ‘base mark’ kepada TKO untuk bergerak lebih maju lagi.

Trafik yang dikeluarkan oleh Alexa juga bukannya satu-satunya kayu pengukur kepada kiraan hits, kerana perbandingan pengunjung sedang online kadang kala TKO jauh mengatasinya.

TKO telah mengorak langkah dengan menubuhkan Kelab TKO untuk memberikan ruang kepada pengunjung bukan sekadar datang membaca dan berforum tetapi jauh lebih daripada itu.

Malah TKO Global telah didaftarkan dan bergerak seranta Malaysia untuk memberikan khidmat bantuan, tahniah dan syabas kepada rakan-rakan kita yang berusaha ke arah itu.

Itu belum cukup lagi, perlu ada di kalangan ahli TKO yang akan membuka kedai atau syarikat atas nama TKO dan di sana ada pejabat TKO sendiri dengan terpapar papan-iklan Tranung Kite Online mungkin bersebelahan dengan Pejabat Harakah atau Utusan Malaysia. Impian ini pasti akan menjadi realiti sekiranya kita ada kemahuan.

II

120,000 orang menonton ceramah live di Stadium Kelantan

Pada sesempatan ini juga saya ingin mengulas sedikit mengenai ucapan YB DP Husan Musa pada akhir penggulungan Muktamar Agung PAS Kali ke-53 yang menyebut tentang 120,000 hits untuk ceramah live atau angkanya lebih daripada itu (mungkin saya silap dengar).

Sebaik sahaja YB Husan menyebut perkara ini, saya mendapat SMS daripada seorang penulis media bertanyakan benar atau tidak? Saya terus menghubungi webmaster laman webrtv.parti-pas.org untuk bertanyakannya berapa orang sebenarnya yang online pada masa ceramah itu kerana lamannya mengalami masalah server dan dia menggunakan TKO untuk memberikan URL sementara untuk laman WebRTV. Jawapannya ringkas sahaja, “tak banyak kerana server down, mungkin orang tak boleh cari URL, er.. sekitar 300 lebih, ana tak pasti berapa nilai sebenar.” Katanya membuatkan saya membuat kesimpulan maklumat yang diberikan tak benar.

Mungkin ada di kalangan kita akan bertanya, ada banyak saluran, WebRTV, Harakah TV, Kelantan TV dan TVPAS.com. Ingin saya menyatakan di sini ‘source’nya satu sahaja dan saya bertanya kepada orang yang betul dan mengetahui.

Ramai orang melihat WebRTV.parti-pas.org ini adalah laman tak profesional seperti TKO juga dibangunkan oleh orang yang tiada kepentingan dan menggunakan wang dan keringat sendiri, sebab itu sampai sekarang nampaknya tidak ada satu usahapun untuk membantunya untuk meningkat kualiti dan keupayaan. Servernya yang menumpang, berbeza sama sekali dengan TVPAS.com yang berbelanja hampir jutaan ringgit. Dibiayai oleh koperat berkepentingan dan berhubung terus dengan pimpinan utama PAS. Jika 1% saya ulang sekali lagi, jika 1% daripada wang perbelanjaan TVPAS.com atau Damai TV yang akan dilancarkan diberi kepada WebRTV.parti-pas.org, nescaya anda semua akan menerima siaran langsung ceramah dan kuliah dengan konsep Peer to Peer (P2P) yang menggunakan Sistem Pancaran Aliran Terus yang berdasarkan Digital Internet Broadcasting (DIB), seperti anda menonton ‘movie’ di laman www.sopcast.com .

Saya ingin menyebut di sini, maklumat salah ini ditelan bulat oleh 1000 lebih perwakilan dengan ngah merasakan bahawa kita begitu berpengaruh, media Internet kita mampu melawan media arus perdana.

Saya cukup kesal bukan kepada YB Husan tetapi kepada pemberi maklumat salah dengan angka-angka melangit untuk menghalalkan projek-projek pilihan raya, akhirnya kita menjadi syok sendiri. Duit yang sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada projek lain akhirnya cair kepada mereka yang berkepentingan. Pemimpin kita pula digulakan dengan ilusi yang tak pasti yang akan menjerut leher kita sendiri.

III

Ustaz Nasa, Ustaz Harun, cukuplah....

Kehangatan pemilihan dalam Muktamar Agung PAS Kali ke-53 tak payah saya ulas kerana semua orang tahu. Kami TKO mengambil sikap menolak semua artikel-artikel yang berbentuk kempen dan ulasan sebelum pemilihan, walaupun ada tersiar sedikit tulisan Roslan SMS dan Bakaq, Penarik Beca.

Hati kecil saya rasa tak sedap dengan sikap TKO ini kerana ruang keterbukaan dalam media telah kami sekat, tetapi demi untuk kebaikan bersama saya selaku webmaster merestui prinsip sementara ini.

Memang TKO inginkan satu perbahasan, ulasan dan komentar yang jujur ikhlas mengikut pandangan penulis masing tanpa kita menghina. Penulisan yang seperti ini sebenarnya baik untuk parti kita, rasanya prinsip ini akan dibangunkan dengan pemantauan sebaik mungkin dalam wajah TKO baru.

Ini bukan pokok perbincangan. Saya ingin menceritakan di sini saya mendengar panggilan kawan media saya selepas keputusan diumumkan, maaf bukan disengajakan tetapi dan hampir sangat mesti dengar.

“Ustaz Nasa dah kalahkan Ustaz Hassan, Kemudian Ustaz Harun dan ......” tak payah saya panjang, semua orang tahu.

Sebelum saya balik, di Airport Pengkalan Chepa, saya ada bercakap dengan seorang penyokong kuat Ustaz Nasa yang menang bertanding dalam Muktamar ke-53 (Jawatannya tak payah sebut.. buat ‘sespen’ sikit) yang menyebut kepada saya, kalau dulu Ustaz Nasa menang itu kira nasib, tetapi kali ini juga memang adakah nasib?


Sahabat saya yang tak nampak sebelah Dr Hasan Ali, gambar sebelum balik di Airport Pengkalan Chepa, Kelantan.


Kedua-dua pemimpin ini memang saya hormati, saya tak mahu bercerita tentang mereka, saya ada menulis dalam artikel saya “Jihad Ternak” tentang berkawan dengan orang media banyak sangat rahsia kita dapat, tapi saya tak akan ceritakan, itu sebab saya tulis ringan-ringan berkaitan dengan ternakan yang dijual di Muktamar sahaja.

Saya ingin mengulas kata-kata kawan saya berhubung nasib atau tidak. Angka yang diperoleh oleh kedua-dua Ustaz ini dalam pemilihan muktamar kali ini menarik untuk dibuat satu analisis ringan-ringan. Oleh kerana analisis ini ringan-ringan, maka angka pun digunakan tidak setempat angka sebenar.

Ustaz Harun mencabar Ustaz Nasa, jadi subjek kita ialah Ustaz Nasa.

Ustaz Harun memperolehi 300 lebih undi, 300 undi lebih ini sebenarnya bukan semuanya adalah suka Ustaz Harun, tetapi oleh kerana tak suka Ustaz Nasa, dia undi Ustaz Harun. (Amaran: Perkataan suka dan tak suka ini sekadar memudahkan perbincangan sahaja)

Ustaz Nasa mendapat undi 500 lebih. Daripada 500 lebih undi, tak semuanya suka ustaz Nasa, tetapi mereka tak boleh terima Ustaz Harun atas beberapa sebab, maka dia undi Ustaz Nasa.

Mereka tak suka (= tak pilih) Ustaz Harun kerana Ustaz Harun ‘bengkeng dok ah” (garang sangat), oleh kerana presiden orang Terengganu maka tak perlulah orang Terengganu lagi, Ustaz Hadi kata dah selesa dengan apa yang dah ada, dekat pilihan raya Ustaz Harun ni bimbang boleh buat ucapan yang boleh dieksploitasi, tak protokol dan sukar bekerjasama dengan BA dll.

Jadi berapa yang suka Ustaz Nasa? 50% sahaja. Bermaksud 50% tak suka dan berpendapat perlu ada pengganti, tetapi sekat ini tak ada pengganti yang sesuai. Yang suka Ustaz Harun pula sekadar 30% sahaja mengikut faktor-faktor di atas.

Untuk menguatkan teori ini, mudah aje, saya kata kepada kawan saya, tak payah buat kajian menyeluruh, ambil sampel kecil 10 atau 20 orang, tanyalah mereka.

Saya masih ingat bagaimana diceritakan oleh tok-tok guru, ketika wafatnya Rasulullah s.a.w. Sayidina Ali sibuk mengurus jenazah, sahabat yang lain menguruskan pelantikan khalifah, jika dihalusi syura pada masa itu tidaklah diwakili oleh semua orang. Ini akibatnya sebahagian pengikut Syiah sehingga sekarang masih menganggap Ali adalah Khalifah yang sebenar dengan hujah-hujahnya.

Orang yang dipertikaikan itu semuanya sudah menemui Allah s.w.t. tetapi yang hidup ini masih bertelingkah siapa sepatutnya lebih baik menjadi khalifah.

Darjat dan pangkat hanyalah anugerah Ilahi yang pasti kita akan dipersoalkan akannya. Baik buruk semuanya adalah pimpinan kita yang perlu kita bantu. Cukuplah......

IV

Webmaster baru

Laman TKO mulai esok akan dikendalikan oleh Songkok Putih serta dibantu oleh GreenBoc dan Reformis. Saya rasa gabungan mereka ini cukup kuat untuk menghadapi pilihan raya tak lama lagi.

Maaf sekiranya sepanjang pengendalian saya ada yang tak baik, terkasar bahasa atau mungkin e-mel tak terbalas. Sekian

Tiada ulasan: