21 Jun 2010

Komisyen 100 Juta Euro Diselindungi Sebagai Latihan Kapal Selam Scorpene?

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mempersoalkan tindakan Kementerian Pertahanan membelanjakan 100 juta euro yang didakwa kos latihan kepada 500 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia.

"Saya ingin tahu 500 anggota ini dilatih untuk apa? Adakah untuk menyelenggara atau mengendalikan kapal selam Scorpene sedangkan menurut spesifikasinya ianya hanya memerlukan 20 orang untuk mengendalikannya.

"Jumlah tersebut tidak munasabah dan kita juga ingin tahu di mana dan mengapa dan yang begitu besar perlu untuk tujuan latihan itu?," soal Tian Chua.

Kata Tian Chua lagi, pada pandangannya 100 juta euro itu sebenarnya kemungkinan besar adalah komisen yang telah dibayar kepada pihak terbabit termasuk bayaran kepada ahli politik di Perancis yang terlibat dalam proses jual beli kapal selam tersebut.

"Kes kapal selam ini sekarang di bawah siasatan pendakwaraya Perancis dan kita juga dimaklumkan oleh pihak Perancis tiga minggu yang lalu, satu tindakan tergempar merampas dokumen mengenai kapal selam Scorpene ini daripada pengilangnya, DCN di Paris," tegas beliau.

Tambah Tian Chua lagi, kertas siasatan tersebut telah dibuka dan dimulakan dan beliau berharap kerajaan Umno-Barisan Nasional telus untuk menjawab isu ini dan bagaimana wang itu diagihkan sebagai komisyen.

Zahrain Bakal Dibogelkan

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang, Amir Ghazali membidas kenyataan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang menuduh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pembohong.

Menurut Amir AMK Pulau Pinang tidak akan berdiam diri setelah melihat tindakan Zahrain yang disifatkan sebagai keterlaluan dan melampaui batas.

"Siapa Zahrain ini sebenarnya yang begitu celupar mulutnya untuk berkata sesuatu mengikut citarasa hatinya sahaja. Kami AMK Pulau Pinang tidak akan berdiam diri. Kami akan membongkar siapa beliau sebenarnya dalam masa terdekat ini.

"Beliau jangan cuba hendak menjadi ayam sabung Umno, melalak tidak tentu haluan. Siapa yang menjadi lanun sebenarnya di Pulau Pinang sebelum ini akan kami bongkar kepada rakyat.

"Kita akan bongkar dan dedah kepada masyarakat siapa Zahrain sebelum ini.Kita akan perjelas kedudukan, fakta dan segala kemungkaran yang telah dilakukan semasa beliau menerajui dan menganggotai beberapa portfolio dan agensi negeri sebelum ini," kata Amir pada pertemuan membantah lesen judi sukan bola sepak di Perda baru hari ini.

Beliau juga menyelar ahli parlimen Bebas itu yang hanya berani untuk berkokok selepas tidak menganggotai KEADILAN lagi.

"Kenapa sebelum ini membisu seribu bahasa? Kenapa setelah tidak mendapat apa yang diingini maka berkokok sebagai ayam sabung siang dan malam? Kita tunggu dan lihat bagaimana pendedahan dan pembongkaran yang akan dilakukan oleh AMK Pulau Pinang bagi menyedarkan rakyat sikap sebenar ayam sabung Umno ini, " ujar beliau lagi. -SK

"Saya akan serahkan pingat tapi bukan perjuangan" – Chua

Istana Johor meminta Chua Jui Meng menyerah kembali ketiga-tiga pingat yang dianugerah kepada beliau oleh Sultan Johor walaupun pada asalnya hanya menarik balik dua pingat.

Minggu lalu, Chua dilucutkan gelaran ‘datuk’ dan ‘datuk seri’ dan diarahkan mengembalikan dua pingat kepada Istana. Tidak ada sebab diberikan ekoran menarik balik pingat tersebut walaupun spekulasi bertiup kencang adanya tangan Umno Johor dalam keputusan Istana tersebut. Umno Johor bagaimanapun menafikan tuduhan ini.

Pada sidang media di sini hari ini, Chua berkata, beliau telah memaklumkan kepada Setiausaha Mahkamah Diraja Johor, Abdul Rahim Ramli, bahawa beliau mempunyai pingat ketiga – Pingat Ismail Sultan (PIS).

"Saya bertanya beliau sama ada pihak Istana mahu pingat itu juga dan beliau dengan pantas menjawab ya," kata Chua.

Oleh itu, saya akan membuat persiapan untuk memulangkan pingat-pingat itu kepada Istana secepat mungkin. Dan saya mengembalikannya dengan dada terbuka.

Ditanya bilakah beliau akan memulangkannya, Chua berkata, tidak ada keperluan untuk segera berbuat demikian.

"Saya telah memberitahu Rahim bahawa apa yang perlu beliau lakukan ialah dengan menarik balik gazet ke atas dua pingat itu dan pingat-pingat itu akan bertukar menjadi timah sahaja kerana ia tidak lagi mempunyai nilai dan penghormatan ke atasnya.

"Tetapi saya akan pulangkannya jua…. jangan bimbang," ujar beliau.

Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivarasa Rasiah, yang turut hadir, menyoal bidang kuasa Rahim menuntut dikembalikan pingat yang ketiga itu.

"Saya terperanjat kerana beliau (Rahim) boleh segera membuat keputusan tanpa merujuk kepada Istana," katanya. "Jadi siapa yang menggunakan kuasa di sini? Siapa dibelakang keputusan pihak Istana?

Chua, bekas menteri kesihatan menyertai PKR Julai lalu, kekal gelaran ‘datuk’ kerana beliau telah dianugerah gelaran ‘datuk’ oleh Pahang dan Selangor.

Saya tidak akan mengalah

Chua mengakui beliau sudah tahu sebaik sahaja beliau menyertai Pakatan Rakyat, beliau akan melalui ranjau-ranjau kehidupan dan memuji langkah rakan-rakan seperjuangan yang telah melalui keperitan hidup sejak 11 tahun yang lalu dalam usaha membawa perubahan di Malaysia.

"Saya telah bersiap sedia untuk perjuangan ini tapi saya tidak menjangka saya akan dihukum sebegini pantas atas keputusan yang saya buat," katanya.

"Tetapi kehilangan pingat-pingat ini tidak membawa apa-apa erti berbanding dengan pengorbanan yang ditunjukkan oleh golongan reformasi seperti Tian Chua, Sivarasa Rasiah dan Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim.

Chua juga terpesona dengan sokongan orang ramai yang datang mencurah-curah berikutan perlucutan gelaran dan berkata, "sesuatu yang saya tidak jangka langsung".

Beliau berkata, tahap sokongan yang diterima menunjukkan rakyat telah muak dengan politik murahan dan politik dendam dengan kerajaan yang muflis idea untuk membawa Malaysia maju ke hadapan.

"Umno telah membuat perkiraan yang salah dalam usaha untuk menggertak saya," jelas beliau. Mereka mungkin menjangka saya akan memperlahankan kempen reformasi dan malahan peristiwa ini memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan.

"Saya berdiri di pihak yang benar dan saya tidak akan berundur," ujar beliau.

Chua kemudian menggunakan analogi bolasepak untuk menerangkan keyakinannya bahawa rakyat secara jelas bersedia untuk melakukan perubahan.

"Dalam bolasepak, para penonton tahu apabila seseorang pemain itu membetis lawan dan bukannya bola. Dalam tahun 2008, rakyat melayangkan kad kuning kepada Barisan Nasional. Saya yakin pada tahun 2012, mereka akan melayangkan kad merah kepada Umno. -FMT

Asri Sertai UMNO, So What?

Jangan korek lubang sendiri.” Demikian rumusan nasihat Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad mengulas mengenai kemungkinan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyertai Umno, Jumaat ini.

Idris berkata, pihaknya berharap Asri tidak akan menyertai Umno dengan mengambil kira perkembangan dan pengalaman masa lalu dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

“Kita tidak ada benda (tidak kisah), cuma kita berharap beliau tidak sertai Umno... kami kesian dengan dia, tak mahu apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar (Ibrahim) berulang dan kena pada beliau,” kata Idris ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Betul atau tidak (akan masuk Umno) belum pasti, tetapi saya berharap beliau tidak akan masuk Umno,” kata beliau.

Asri yang mempunyai ramai kawan dalam PAS juga pernah disebut-sebut cuba dirujuk oleh parti Islam ini.

Idris berkata Asri juga menghadiri majlis pengebumian pemimpin veteran PAS Hassan Shukri minggu lalu.

Idris berkata, kedudukan PAS tidak akan terjejas meskipun Asri menyertai Umno, yang disebut-sebut akan menjadi kenyataan Jumaat ini.

Turut akan sertai bersama Asri iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

Asri enggan mengulas lanjut ketika dihubungi lewat malam tadi.

Bagaimanapun dalam kenyataan diposkan di blognya, Asri berkata “sehingga saat ini saya belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.”

“Saya mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini,” kata beliau.

Dalam ulasannya Idris menambah tiada tempat bagi golongan ulama untuk berpolitik dalam Umno.

“Harap jangan masuk, tengok orang macam Datuk Seri Anwar,.. gagal, kena fitnah. Golongan ulama tiada tempat dalam Umno, tengok pada (bekas naib presiden PAS) Datuk Nakhaie Ahmad, (Tan Sri Dr) Hamid Othman, (Datuk Dr) Mashitah (Ibrahim),” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai usaha PAS meminta Asri menyertai partinya, Idris berkata, sebenarnya tiada usaha secara rasmi.

“Yang jumpa dan berbincang dengan Asri adalah atas nama kawan, tiada usaha rasmi di pihak PAS... macam biasalah, kita terbuka, kami terima sesiapa sahaja yang hendak masuk PAS,” katanya. -TMI


Asri sertai Umno Jumaat ini?

KUALA LUMPUR, 20 Jun — Bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menjadi rebutan parti-parti politik Melayu Islam sejak setahun lalu dijangka akan menyertai Umno Jumaat ini.

“Keadaan nampak macam begitu, kita tunggu sehingga Jumaat ini,” kata Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh ketika dihubungi The Malaysian Insider sebentar tadi.

Turut akan sertai bersama beliau iala kira-kira 100 ulama muda berkelulusan tinggi.

The Malaysian Insider difahamkan mereka akan menyerahkan borang penyertaan sebelum Majlis Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat bulanan Jumaat ini.

Dalam pada itu Asri (gambar, dua dari kiri) berkata, sehingga kini beliau belum membuat apa-apa keputusan untuk menyertai mana-mana parti politik.

Oleh itu Asri berkata beliau mengharapkan semua pihak tidak membuat andaian yang terlalu cepat terhadap kenyataan mana-mana pihak mengenai isu ini.

“Perbincangan dengan pihak yang membuat kenyataan akan diadakan. Sebarang kenyataan kepada media tidak akan dibuat setakat ini.

“Saya berdoa kepada Allah agar diberikan kebaikan untuk umat Islam dan para pendakwah Islam yang ikhlas,” kata beliau dalam satu kenyataan ringkas.

Asri yang terkenal dengan pendirian progresif kini berhadapan dengan tindakan undang-undang Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah akhir tahun lalu.

Umno Online pula menyebut mereka akan menganggotai Umno Cawangan Dataran Merdeka yang terletak dalam Bahagian Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Laporan itu memetik Rauf memberitahu beliau percaya penyertaan mereka itu akan menyemarakkan keyakinan orang-orang Melayu dan Bumiputera kepada Umno.

“Perkembangan itu akan menyemarakkan keyakinan Melayu kepada Umno, kita akan menuju pilihan raya umum ke-13 dengan Umno yang lebih cemerlang,” kata beliau ketika berucap pada persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Bukit Bintang di sini, semalam.

Rauf yang juga Ketua Bahagian Umno Bukit Bintang berkata, kemasukan ulama itu akan menjadikan Umno lebih segar, “dibajai dengan ilmu-ilmu Islam dan seterusnya membantu kepimpinan negara membangunkan Malaysia.”

Datuk Seri Shahidan Kassim yang merasmikan persidangan itu memuji usaha Umno Bukit Bintang untuk menarik 100 ulama menyertai parti utama Barisan Nasional.

“Saya berkawan dengan ulama ini sudah lama, tetapi tidak pernah saya dapat ajak mereka libat diri di dalam perjuangan (secara langsung di dalam parti) ini.

“Saya rasa kalau 100 ulama ini dapat kita terjemah sebagai 100 kekuatan luar biasa di dalam Umno, Pas tidak akan tidur lena.”

Dalam pada itu Shahidan ketika dihubungi The Malaysian Insider memberitahu beliau tiada apa-apa maklumat mengenai kemungkinan penyertaan Asri ke dalam Umno.

“Saya tidak tahu apa-apa lagi, nanti saya menelefon Dr Asri nanti,” kata Shahidan yang dilihat sebagai rakan Asri.

“Kalau beliau sertai Umno, saya menyambut baik langkah Dr Asri,” katanya lagi.

Asri disebut-sebut akan menyertai PAS atau Umno sejak awal tahun lalu. -TMI



Ulasan GB

Ada beberapa sebab yang kemungkinan besar MAZA menyertai UMNO.

1) Beliau telah diasak oleh UMNO melalui Jabatan Agama Islam Selangor dengan pelbagai kes dan dawaan di mahkamah. Terbaru tentang 'upacara telan air liur ustaz' yang dikatakan berlaku di sebuah masjid di Selangor dimana JAIS telah menafikannya.

Sebelum ini beliau telah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

UMNO pasti menggunakan isu tersebut sebagai umpan MAZA menyertai UMNO agar semua dakwaan itu digugurkan.

2) Sepanjang MAZA di mahkamah beliau ditemani oleh bekas MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassin. Sedikit sebanyak Shahidan pasti ada berusaha untuk membawa MAZA menyertai UMNO. Apatah lagi Shahidan perlu mendapatkan sokongan dari golongan ugamawan di dalam usahanya untuk merebut kembali kerusi MB yang sudah terlepas ke tangan Mohd Isa Sabu.

3) Pemimpin Pakatan Rakyat terutama PAS gagal untuk memberikan sokongan moral kepada MAZA semasa MAZA menghadapi cabaran dan ujian khususnya di mahkamah. Tiada pemimpin PR yang turut serta mengiringinya memberikan sokongan moral sekalipun MAZA telah pun berusaha untuk mendekatkan dirinya kepada PAS dengan menghadiri bersama-sama di beberapa majlis PAS. Terbaru beliau dilihat ada bersama d majlis muktamar Pemuda PAS.

Dengan senario di atas, MAZA yang mutakhir ini dihimpit dengan pelbagai cabaran, tidak mustahil beliau akan menerima pelawaan UMNO sekalipun jauh di sudut hatinya mengetahui UMNO itu amat merosakkan.

Terlepas dari membuat sebarang tuduhan samada MAZA menerima habuan daripada UMNO yang seperti yang lazim diterima oleh mereka yang melakukan demikian, kita tidak sukar untuk menjangkakan bahawa penyertaan MAZA amat diharapkan oleh UMNO untuk memulihkan imej UMNO yang telah rosak teruk di kalangan rakyat beragama Islam akibat beberapa isu seperti kelulusan lesen judi dan seumpamanya.

Dan kepada PAS, ada pelajaran yang perlu digarap dengan isu ini. Afalaa tatafakaruun?