17 Jun 2009

Nizar: Saya Rela DiHalau Kerana Pertahan Perlembagaan

Ia berlaku secara spontan”, kata Menteri Besar Perak Nizar Jamaluddin ketika disoal mengapa beliau melaungkan “Hidup Rakyat” dan “Bubar Dun” di dalam Dewan Rakyat sehingga menyebabkan beliau diusir keluar dari dewan legislatif itu.

Menurut Nizar, saat mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang adalah saat yang memilukan kerana dalam masa beliau mengucapkan sumpah setia mempertahan Perlembagaan Negara, ketika itu juga BN bermaharajalela di Perak.

“Kita sebagai seorang insan, mesti ada perasaan. Apabila kita megangkat sumpah mempertahan Perlembagaan, hati kita tidak boleh berasa lain – tidak boleh begitu. Apa yang berlaku hari itu adalah spontan, bukan sesuatu yang dirancang,” kata Nizar.

“Saya percaya apa yang saya lakukan hari itu adalah apa yang sepatutnya saya lakukan. Saudara tahu kenapa saya berbuat begitu. Ketika saya mengangkat sumpah setia mendaulatkan Perlembagaan dan undang-undang, Perlembagaan yang sama ini diliwat Umno-Barisan Nasional,” tegas beliau.

Nizar dan enam Ahli Parlimen lain digantung Speaker Pandikar Amin Mulia ekoran tindakan mereka menyatakan protes terbuka di dalam Dewan Rakyat terhadap kudeta haram Barisan Nasional di Perak.

Mereka memakai lilitan “Bubar Dun” di kepala dan tangan masing-masing yang menjadi sebahagian daripada kempen Pakatan Rakyat memulihkan demokrasi di Perak Darul Ridzuan.

Namun sebaik sahaja mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, Nizar menganjak protes hari itu dengan melaungkan “Hidup Rakyat” dan “Bubar Dun” di hadapan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak, yang dituduh sebagai dalang kudeta haram itu, kelihatan terkebil-kebil melihat Dewan Rakyat bergema dengan protes Pakatan Rakyat.

Perak diheret dalam kemelut politik berpanjangan setelah BN dituduh mendalangi rampasan kuasa dengan “membeli” tiga ADUN Pakatan Rakyat termasuk dua yang menghadapi tuduhan rasuah.

Polis pelbagai unit dari serata negara dikerah ke ibu negeri Ipoh dan menyaksikan ratusan orang awam yang turun membantah rampasan kuasa itu ditahan termasuk wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Tidak cukup dengan itu, Barisan Nasional melantik Setiausaha MIC Perak, R. Ganesan, sebagai Speaker Dun walaupun Ganesan bukan seorang wakil rakyat.

BN kemudiannya mengarahkan pihak polis mengheret Speaker yang sah, V Sivakumar dari Dewan Undangan Negeri Perak lalu mengurungnya di dalam sebuah bilik, sementara wakil-wakil rakyat Pakatan yang lain dikasari dan dicederakan.

Nizar menjelaskan hari pertama persidangan Dewan Rakyat berlangsung adalah masa terbaik untuk menyatakan protes terbuka kerana semua wakil rakyat dan khususnya Perdana Menteri Najib Abdul Razak turut hadir hari itu.

“Hari itu adalah masa terbaik untuk menunjukkan bantahan rakyat. Dimana lagi kita boleh berhadapan dengan wakil-wakil rakyat BN? Bahkan dalang rampasan kuasa, Perdana Menteri Najib Abdul Razak, tidak hadir hari ini. Jadi beritahu pada saya bila masa yang terbaik melainkan hari itu?” kata Nizar. -TVA


PAS UMNO : DI MANA PRESIDEN PAS BERADA?

Saya kerap tertanya-tanya, di mana Presiden PAS, Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang berada sekarang ini tatkala parti dan negara diselubungi persoalan yang menuntut jawapan darinya.

Beberapa kali persidangan parlimen berlansung Haji Hadi gagal untuk hadir dengan alasan yang tidak diketahui oleh sesiapa.

Tatkala krisis politik Perak meletup, dan sewaktu semua pihak tertanya-tanya dimanakah Presiden PAS berada bagi mempastikan kerajaan Pakatan Rakyat dibela dan dibantu secukupnya oleh pimpinan Pakatan Rakyat, Haji Hadi berada di luarnegara, dikatakan pergi menyerahkan sumbangan kepada Tabung Mangsa Kezaliman Usrael yang sepatutnya tugas itu boleh dilakukan oleh pimpinan yang lain.

Kemudian, tatkala isu Gobind Singh Deo digantung dimana suara dan bilangan ahli Pakatan Rakyat diperlukan untuk di dalam undian belah bagi, sekali lagi Presiden PAS tidak ada. Sekali lagi dikatakan berada di laurnegara.

Kini, apabila isu Kerajaan Perpaduan hangat diperbincangkan dan apatahlagi di dalam suasa parlimen sedang bersidang, Haji Hadi berada di luarnegara lagi.

Kita jadi hairan bagaimana seorang yang dilantik menjadi wakil rakyat untuk membawa suara rakyat dari kawasan parlimennya, tiba-tiba kerap benar tiada di dalam Dewan Rakyat tetapi terlalu sibuk dengan aturcara di luarnegara.

Apakah masalah negara sudah terlalu remeh baginya untuk diambilkira dan pengundi tidak perlu lagi diberikan perhatian, cukup dengan sekadar meletakkan dua orang pegawai di pejabat DUN dan Parlimen bagi menguruskan semua hal-hal rakyat?

Seingat saya, Haji Hadi, setelah memenangi jawatan sebagai Presiden PAS tanpa bertanding telah berjanji untuk memberikan khidmatnya yang terbaik tetapi nampaknya Haji Hadi lebih gemar untuk berurusan dalam hal-hal di luar negara berbanding dengan perkara yang berkaitan di dalam negara.

Saya tidak kata ke luarnegara itu tidak boleh, tetapi apakah wajar ia dilakukan sewaktu persidangan parlimen berlansung dan sewaktu negara sedang menghadapi masalah yang menuntut jawapan segera daripadanya seperti masalah Kerajaan Perpaduan? Apa tah lagi ia dilakukan terlalu kerap.

Kita jadi hairan yang kita terpaksa mendengar jawapan mengenai Kerajaan Perpaduan yang diberikan di satu majlis di London!

Perlu diingatkan kepada semua wakil rakyat tanpa mengira kedudukan bahawa anda perlu merasa bertanggungjawab dan akauntabiliti untuk menjalankan amanah sebaik-baiknya bagi pengundi anda kerana kita khuatir akan berlaku peristiwa pilihanraya 2004 dimana ramai wakil rakyat Barrisan Alternatif ketika itu tewas akibat dari track record yang buruk.

Anda dibayar gaji oleh rakyat Malaysia untuk menjalankan amanah itu dan seandainya diluarnegara itu lebih penting, sebaik-baiknya lepas jawatan sebagai wakil rakyat di dalam negara supaya anda boleh menjadi wakil rakyat di luarnegara.

Kita marah wakil rakyat BN seperti Ong Tee Kiat berada di luarnegaara semasa Parlimen bersidang dan tatkala isu PKFZ hebat menuntut jawapan darinya, tetapi mengapa kita juga perlu ada pemimpin semacam itu?

Baliklah segera wahai pemimpinku kerana kelupaan menunaikan tanggungjawab itu amat besar bahananya kepada jemaah nanti.

PAS UMNO : DUA TAMPARAN KE MUKA NASHA

Timbalan presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa hari ini menerima dua tamparan, di luar parlimen dan di dalam parlimen ekoran kenyataan yang mengelirukan banyak pihak semalam yang telah menyambut baik baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan menyifatkan ia sebagai respons positif ke arah Kerajaan Perpaduan.

Di luar parlimen, beliau telah diminta oleh Mursyidul Am PAS supaya keluar parti dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden Pas) dan di Bachok.

Sementara itu di dalam parlimen Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman hari ini ketika berucap di Dewan Rakyat menegaskan persoalan kerajaan perpaduan tidak pernah dibincangkan dalam Majlis Syura Ulama sebelum ini.

Ketika menjawab soalan dari ahli Parlimen BN Putatan, Marcus Mojinggoh di Dewan Rakyat, Ustaz Halim (PAS Pengkalan Chepa) menyatakan, adapun kenyataan balas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa adalah kenyataan peribadi dan bukan mewakili parti.

Ustaz Halim berbahas hari ini dalam sesi perbahasan Rang Undang-undang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pindaan 2009. Isu kerajaan perpaduan dijawab selepas memberi respon kepada Marcus yang bertanyakan isu tersebut dalam perbahasan semalam, demikian laporan Harakahdaily.

Beliau merujuk pertanyaan beberapa ahli Parlimen BN yang mahu penjelasan mengenai kenyataan Ustaz Nasharudin yang dilaporkan berkata beliau positif ke atas kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai isu kerajaan perpaduan.

Jawapan Dato' Abd Halim itu menolak kenyataan beberapa pihak yang menyatakan isu kerajaan Perpaduan ada diputuskan oleh Majlis Syura.

Kenyataan Dato' Abd Halim juga kemudian disambut oleh beberapa ahli Parlimen Pakatan Rakyat, antaranya Lim Kit Siang (DAP Ipoh Timur) yang menyifatkan kenyataan Najib adalah hanya untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat sahaja.

Kit Siang seterusnya menyatakan, kenyataan Najib itu sebenarnya tidak terkesan kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya umpan sahaja.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, dilaporkan menyambut baik kesediaan Najib mengadakan perbincangan mengenai isu kerajaan perpaduan.

Katanya, merupakan reaksi serius pertama dari perdana menteri terhadap cadangan kerajaan perpaduan itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat bercakap bagi pihak PAS tetapi perlu membawa perkara itu kepada presiden dan pihak parti.

Namun begitu, katanya, PAS terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak.

Terdahulu, Najib Razak berkata beliau melihat PAS ikhlas dalam cadangan mewujudkan kerajaan perpaduan seperti yang disuarakan oleh Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak sebarang kerjasama yang boleh memberi kebaikan untuk negara.

"Umno sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS," katanya selepas merasmikan Persidangan Menteri-menteri Pelajaran Negara-negara Komanwel ke-17 di ibu negara semalam.

Ditanya sama ada beliau yakin dengan cadangan itu, Najib berkata ini adalah satu titik permulaan tetapi beliau perlu juga melihat terlebih dahulu bentuk kerjasama yang sesuai antara kedua-dua parti itu.



NIZAR : PAKATAN RAKYAT MAHU SURUHANJAYA DIRAJA DITUBUHKAN SIASAT DALANG KUDETA

Suruhanjaya Siasatan Di-Raja harus ditubuhkan untuk menyiasat rampasan kuasa di Perak, terutama sekali mengenalpasti dalang perbuatan itu yang mengheret Perak ke krisis perlembagaan yang paling buruk dalam sejarah negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat berkata siasatan telus dan terperinci perlu bagi mengenalpasti apakah motif disebalik kudeta haram Barisan Nasional itu.

“Kita minta kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas menyiasat rampasan kuasa di Ipoh untuk mengenalpasi siapa yang terbabit, mengapa ia berlaku dan untuk apa ia berlaku,” kata Nizar.

“Sekiranya rampasan kuasa itu ada kena mengena dengan rasuah, kita mahu tahu siapa rasuah siapa supaya ia tidak lagi berlaku di masa akan datang. Maka dengan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja harus ditubuhkan untuk menyiasat krisis ini,” katanya kagi.

Nizar menghadiri mesyuarat Dewan Rakyat hari ini selepas tamat tempoh pergantungan dua hari keatas beliau dan enam lagi Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kerana memakai lilitan “Bubar DUN” di dalam Parlimen.

Pemakaian lilit kepala dan tangan menuntut DUN Perak dibubarkan adalah sebahagian daripada kempen wakil Pakatan Rakyat dalam usaha memulihkan demokrasi di Perak Darul Ridzuan.

Perak diheret dalam kemelut politik berpanjangan setelah Perdana Menteri Najib Razak dituduh mendalangi rampasan kuasa dengan “membeli” tiga ADUN Pakatan Rakyat termasuk dua yang menghadapi tuduhan rasuah.

Mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad sebelum ini berkata sokongan ADUN yang terbabit dalam rasuah tidak akan memberi sebarang kredibiliti kepada BN mahupun UMNO.

“Saya telah mengutarakan soalan kepada Perdana Menteri, samada beliau mahu menjawab atau tidak kita tidak tahu, namun dalam masa yang sama juga kita kemukakan usul satu suruhanjaya ditubuhkan, dengan disertai oleh ulama-ulama untuk melihat apakah hukumnya merampas kuasa, dan dimana asas di dalam Al-Quran yang membenarkan mereka merampas kuasa,” kata Nizar.

Nizar berkata kerajaan BN tidak harus menolak cadangan ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan itu kerana ia membabitkan kepentingan awam.

“Kita hendak seluruh rakyat Malaysia tahu ini satu tindakan yang zalim dari Umno-Barisan Nasional. Maka kita pohon satu suruhanjaya bebas ditubuhkan secepat mungkin. Sekiranya kes lebam mata Anwar Ibrahim dan skandal kehakiman VK Lingam ada suruhanjaya bebas ditubuhkan, kes Perak ini mempunyai implikasi yang lebih besar,” kata Nizar.


ISU NIZAR : BN MINTA SIVA BAYAR RM100K SBLM DENGAR KES

V. Sivakumar mempersoalkan tindakan peguam speaker Barisan Nasional R.Ganesan yang mahu mahkamah mengenakan bayaran sekuriti bernilai RM100,000 ke atas Sivakumar sebelum mahkamah tinggi bersidang memutuskan kesahihan perlantikan Ganesan.

Peguam Sivakumar, Leong Chok Keng menyifatkan syarat oleh Ganesan itu sesuatu yang luarbiasa. Pihaknya akan mengemukakan bantahan terhadap bayaran sekuriti itu apabila kes itu didengar semula 17 Julai depan.

“Peguam Ganesan menghantar notis meminta bayaran sekuriti RM100,000 tanpa memberi sebarang alasan. Ini luar biasa, sudah tentu kami akan membantah,” kata Leong.

Menurut Leong pada kebiasaannya bayaran sekuriti itu hanya dikenakan kepada pihak yang bermastautin di luar negara dan atau seseorang yang berhasrat untuk pergi ke luar negara sebagai jaminan terhadap kes saman yang dihadapinya di negara ini.

Sivakumar adalah sebagai seorang wakil rakyat yang berada di dalam negara dan permohonan defenden untuk mengenakan sejumlah sekuriti seperti itu sebagai jaminan akan menimbulkan kesulitan kepada anakguamnya.

Leong bagaimanapun berkata pihaknya akan memfailkan satu lagi permohonan mengenai perkara itu apabila kes berkenanan disebutsemula 17 Julai depan.


Pada perbicaraan yang didengar di dalam kamar Hakim Datuk Azhar Mohamad siang tadi, peguam Datuk Ganesan yang diketuai Datuk Hafarizam Harun memohon mahkamah supaya menangguhkan kes itu dengan memberikan tiga sebab.

Mereka memberi alasan pertama iaitu memerlukan masa untuk memfailkan affidavit untuk menghalang permohonan Sivakumar membatalkan pelantikan Datuk Ganesan sebagai speaker DUN Perak.

Pihak defenden juga mahu mahkamah mengisytiharkan Mahkamah Tinggi Ipoh tidak layak untuk mendengar kes ini sebagai alasan kedua dan akhirnya mereka mahu mempastikan pihak plaintif menyediakan wang sekuriti RM100,000 terlebih dahulu sebelum kes didengar semula.

Barisan Nasional melantik Setiausaha MIC Perak, R. Ganesan, sebagai Speaker selepas mengarahkan pihak polis mengheret Speaker yang sah, V Sivakumar dari Dewan Undangan Negeri Perak. -TVA


PAS UMNO : Kelantan Tuntut Royalti RM1 Billion

Kerajaan Negeri Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri Datuk Husam Musa berkata mesyuarat Exco kerajaan negeri hari ini bersetuju supaya Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Beliau berkata menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion.

Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu, katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini.

Husam berkata adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebihlebih lagi kerajaan pusat kini memperkenalkan konsep 1Malaysia, yang mengutamakan rakyat.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai 14 Julai ini, Husam berkata jika Barisan Nasional (BN) benar-benar serius untuk menjadikan agenda kerajaan perpaduan satu realiti, BN tidak perlu meletakkan calon untuk bertanding.

Beliau berkata dengan BN tidak meletakkan calon mereka, ia akan membuktikan keikhlasan BN dalam menjayakan agenda kerajaan perpaduan.

"Kalau serius BN tidak akan letak calon, kalau letak calon juga nampak sangat mereka mainmain mengenai kerajaan perpaduan," katanya.

Di KUALA LUMPUR, anggota Parlimen Machang Saifuddin Nasution Ismail berkata pakatan pembangkang akan memainkan isu royalti minyak itu pada kempen pilihan raya kecil itu.

"Sekiranya negerinegeri yang lain ini mendapat royalti petroleum, mengapa tidak Kelantan...sekiranya Najib benarbenar ikhlas, saya cadangkan beliau membayar kembali royalti petroleum hak Kelantan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

UMNO CHERAS SEDIA TERIMA NASHARUDDIN

Memang telah diduga. Umno akan sentiasa menunggu umpan dikailnya di makan. Walaupun kenyataan Mursyidul Am Pas yang mahukan Ustaz Nasha keluar dari Pas serta dari MP Bachok SEKIRANYA Ustaz Nasha ingin bersama Kerajaan Perpaduan bersama Umno adalah satu kenyataan berunsur AMARAN dari seorang Mursyidul Am, tetapi Syed Ali Al-Habshee Ketua Umno Bahaian Cheras telah mula merasa seronok. Apakah Ustaz Nasha berselera dengan Umno? Itu kita belum tahu, cuma kita inginkan satu penjelasan muktamad dari Ustaz Nasha bahawa tiada Kerajaan Perpaduan.

Ketua Umno Bahagian Cheras di dalam blognya berkata Umno bahagian itu sedia menerima Ustaz Nasha menjadi ahli Umno. Isu Kerajaan Perpaduan kini berada di kemuncaknya dan Mursyidul Am Pas telah mula lantang mengeluarkan pendapatnya selaku Mursyidul Am. Apakah MB Kelantan ini tidak suka kepada perpaduan umat? Sudah tentu tidak, kerana di bawah pentadbirannya di Kelantan, usaha untuk menyatupadukan rakyat tidak mengira bangsa, ugama dan parti giat dijalankan. Hasilnya, Pas semakin kuat di Kelantan dan semua rakyat di Kelantan hidup dengan aman dan makmur. Ini membawa maksud, tanpa Umno penyatuan Melayu boleh dicapai. Tanpa Umno juga, Islam boleh dikembangkan.

Sejarah lampau banyak mengajar Pas tentang perpaduan bersama Umno. Pas pernah ditendang keluar dari Umno, dan Pas juga pernah `diceraikan' oleh rakannya Parti Melayu Semangat 46 apabila parti tersebut menyertai Umno. Bahkan, pemimpin Kanan Pas sendiri Ustaz Nakhaie menyertai Umno. Apakah kesemuanya itu boleh menyatupadukan umat? Perpaduan hakiki hanya boleh dicapai melalui ajaran Al-Quran, apakah Umno bersedia untuk menerima Al-Quran sebagai panduan untuk merealisasikan perpaduan ini? Timbul persoalan, mengapa Pas sanggup bersama dengan PKR dan DAP di dalam PR?

Persepakatan Pas dengan PKR dan DAP juga bukan persepakatan mutlak. Persefahaman di dalam PR juga mempunyai syarat-syarat tertentu yang di antaranya semua parti di dalam gabungan tersebut mestilah sentiasa menghormati prinsip dan dasar parti masing-masing. Jangan ada penentangan terhadap dasar parti oleh parti yang lain. Tumpuan ketiga-tiga parti di dalam PR ini juga adalah terarah kepada perkara yang perlu diperjuangkan bersama seperti menolak amalan rasuah, kezaliman, kebebasan media, kehakiman, kedaulatan undang-undang dan beberapa perkara yang semakin rosak di bawah kerajaan Umno/Bn sekarang. Tidak masuk di akal oleh kita, bagaimana mungkin Pas boleh memperjuangkan semua isu ini sekiranya Umno dijadikan rakan sepakat mereka. Lihatlah siapa pemimpin Umno sekarang di semua peringkat. Lihatlah betapa Umno masih segan atau tidak mampu memisahkan perasuah dari kepimpinan mereka. Apakah jika Pas bersama dan berpakat dengan Umno, maka Pas berupaya mengatasi masalah-masalah tersebut? Bagaimana dengan isu di Perak, bagaimana pula tentang jenayah yang berlaku terhadap Altantuya? Dan, banyak lagi.

Oleh yang demikian, pada pendapat saya Mursyidul Am Pas telah mengeluarkan kenyataan yang amat tepat, bijak dan berpandukan kepada sejarah silam serta keadaan semasa. Betapa sayangnya beliau kepada Ustaz Nasha sekalipun sudah tentu tidak dapat melebihi cinta, kasih dan sayangnya Mursyidul Am ini kepada Pas. Apakah Mursyidul Am mempunyai kepentingan peribadi apabila menentang Kerajaan Perpaduan ini? Tidak masuk akal, kerana beliau tidak akan bermimpi untuk menjadi PM dalam waktu usia sekarang tambahan pula keadaan kesihatannya. Sedangkan jawatan MB Kelantan yang dipegangnya beberapa penggal ini pun sudah mula dirasakannya perlu dilepaskan. Beliau tiada hasrat dan cita-cita lain melainkan inginkan Pas menjadi satu parti yang akan menggantikan Umno memerintah negara ini walaupun pada ketika itu mungkin beliau telah kembali ke alam yang lain.

Selaku seorang ayah, apabila anak tidak mendengar kata setelah diberikan teguran secara baik, dijerkah, akhirnya ayah terpaksa menggunakan rotan untuk mendidik anak kesayangannya. Bagi saya, Ustaz Nasha adalah anak kesayangan Mursyidul Am kerana itulah beliau sanggup mengenepikan beberapa calon anak jati Kelantan yang layak di Bachok dan merestui Ustaz Nasha sebagai MP Bachok. Pengorbanan seorang ayah dan kasih sayangnya perlulah disanjungi oleh seorang anak. Tiada ayah yang sanggup melihat anaknya terbiar dan tersesat jauh dipengaruhi oleh dunia luar yang terlalu banyak bahaya, mudharat dan risikonya. -wfauzdin


PAS UMNO : Mursyidul Am Minta Nasharuddin Keluar PAS

Ekoran kenyataan yang mengelirukan banyak pihak semalam, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa hari ini digesa meninggalkan parti dan meletakkan ahli parlimen Bachok jika masih ingin kerajaan perpaduan.

Semalam sewaktu ditanya oleh pihak media, Nasharuddin telah menyambut baik baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan menyifatkan ia sebagai respons positif ke arah Kerajaan Perpaduan.

Kenyataan Nasharuddin tersebut telah menimbulkan keresahan dan kekeliruan dimana beliau yang sebelum ini menyokong pendapat dan nasihat Mustafa Ali (kini Setiausaha Agong PAS) supaya pemimpin-pemimpin PAS 'menutup mulut" megenai hal Kerajaan perpaduan, tetapi beliau sendiri melanggarnya dengan membuat kenyataan terbuka yang menyebabkan kekeliruan ahli-ahli PAS dan Pakatan rakyat.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, isu kerajaan perpaduan bukannya datang daripada PAS, ia adalah lontaran (idea) peribadi. Perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam kertas sebagai agenda PAS mahupun dalam kertas Pakatan Rakyat.

"Kalau benar Nasharuddin nak setuju (dengan kerajaan perpaduan) lebih baik dia masuk Umno, letak jawatan timbalan (presiden Pas) dan di Bachok.

"Apa buat sampah, menyusahkan," menteri besar Kelantan dipetik berkata selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu hari ini.

Nik Aziz diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam yang yakin terhadap keikhlasan PAS berhubung cadangan tersebut seperti yang dicetuskan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, lapor Bernama.

Kenyataan tokoh ulama PAS ini yang paling keras pernah dikeluarkan selepas menuduh beberapa pemimpin atasan PAS yang bersetuju dengan idea tersebut sebagai "boneka Umno."

Khamis lalu, mengulas isu kerajaan perpaduan yang semakin bercelaru dalam PAS susulan kemunculan semula isu tersebut ketika muktamar awal bulan ini, Nik Aziz berkata:

"Saya tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu... keputusannya ialah menyokong Pakatan Rakyat.

"(Yang sokong) perpaduan ini boneka Umno, terang dan jelas.

"Suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno."

Dalam kenyataannya hari ini, Nik Aziz dilaporkan berkata "beliau kesal dengan pendirian Nasharuddin kerana PAS Kelantan menerimanya sebagai calon di parlimen tersebut" pada pilihanraya umum 2008.

Menurut agensi berita itu lagi, beliau juga berkata PAS dan Pakatan Rakyat kini "telah masuk perangkap Umno" berhubung isu berkenaan sehingga menimbulkan pecah-belah dalam kalangan mereka.

"Orang Umno sekarang ini sedang berpesta kerana PAS sedang berpecah dan Pakatan Rakyat sedang berpecah," katanya.

Banyak pihak menyifatkan Nasharuddin keterlaluan semenjak isu ini terbongkar apabila beliau telah didapati salah seorang pemimpin yang sebelum ini telah mengadakan pertemuan dengan para pemimpin UMNO tanpa diketagui oleh ahli dan juga Mursyidul Am PAS sendiri.

Beliau yang diberi peluang untuk bertanding di Bachok Kelantan oleh Menteri Besar Kelantan dilihat telah mengkhianati dan menconteng arang ke muka Nik Aziz dengan menganggap selaran MB yang menyatakan Kerajaan perpaduan itu sebagai boneka UMNO sebelum ini sebagai pendapat peribadi Nik Aziz sedangkan Nik Aziz adalah Mursyidul Am PAS yang kedudukannya adalah yang tertinggi di dalam hirarki jemaah.

Akibat dari tindakan beliau, ramai penulis-penulis blog telah menyatakan bantahan malah ada yang mencadangkan supaya Timbalan Presiden PAS itu dipecat dari PAS lantaran kebiadabannya menentang keputusan muktamar yang majoriti perwakilan menolak idea Kerajaan Perpaduan.

Idea Kerajaan Perpaduan ini telah menyebabkan berlakunya perpecahan yang hebat ditambahi dengan beberapa tindakan penulis-penulis yang kebanyakannya datang dari negeri Presiden PAS yang menyokong gagasan ini disiarkan melalui portal Harakahdaily sendiri serta Tranungkite Online yang dikuasai oleh mereka yang mendokong idea Kerajaan Perpaduan.

Malah kemenangan Nasharuddin mempertahankan jawatan timbalan presiden adalah kerana perwakilan mempercayai kata-katanya "bahawa tiada niat untuk menyertai UMNO" sewaktu merasmikan Muktamar Pemuda PAS dengan perwakilan menharapkan idea itu )Kerajaan Perpaduan) tidak dibangkitkan lagi.

Tetapi setelah perwakilan memberikan kepercayaan itu, dan setelah memenangi jawatan tersebut, sewaktu beliau ditanya media, Nasharuddin masih terus galak mempromosikan idea Kerajaan Perpaduan.


Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali telah cepat untuk meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa tiada Kerajaan Perpaduan tanpa PKR dan DAP turut serta dengan sebarang perbincangan dengan UMNO.

Sekalipun Mustafa dilihat oleh ahli sebagai grand-designer terhadap projek Kerajaan Perpaduan ini sehingga mendapat kepercayaan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang yang melantiknya sebagai Setiausaha Agong, kenyataan beliau hari ini adalah untuk meredakan bangkangan dan bantahan bukan sahaja dari penyokong-penyokong Pakatan Rakyat malah dari ahli PAS sendiri.

Di dalam satu bancian di blog kedahlanie, didapati 84% responden menentang gagasan kerajaan Perpaduan ini.




KERAJAAN UMNO BN TERIMA TAMPARAN : AMERIKA NAMAKAN MALAYSIA PUSAT PELACURAN

Gagal membendung jenayah di seluruh negara yang semakin berleluasa sehinggan mengancam keselamatan harian rakyat, kerajaan Barisan Nasional hari ini menerima satu lagi tamparan.

Amerika Syarikat menyenarai-hitam Malaysia sebagai antara 17 negara utama di dunia terbabit dalam penyeludupan manusia khususnya untuk pelacuran.

Malaysia berkongsi “penghormatan” itu dengan negara seperti Zimbabwe, Sudan, Korea Utama, Papua New Guine, Fji dan Arab Saudi sebagai destinasi paling aktif dalam penyeludupan manusia, menurut laporan tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Malaysia digugurkan daripada senarai itu pada tahun lalu, tetapi kemasukan begitu ramai rakyat asing secara haram untuk pelacuran dan pekerjaan memaksa Washington sekali lagi meyenarai hitamkan Kuala Lumpur.

Menurut laporan itu, selain pelacuran, Malaysia turut menjadi destinasi untuk mengeksplotasi pekerja asing.

“Malaysia didapati gagal mencapai tahap minima untuk membanteras penyeludupan manusia dan tidak dilihat sebagai apa-apa usaha berkesan kea rah itu, laporan berkenaan menyatakan.

Laporan itu turut mengatakan pegawai Imigresen didapati terbabit dalam sindiket mendagang rakyat Mynamar di persempadanan Malaysia-Thailand.

Pegawai Imigresen dikesan menjual rakyat Myanmar untuk RM700 tiap seorang kepada kumpulan tertentu yang beroperasi di situ.

Laporan itu turut merujuk kepada layanan majikan terhadap pepekrja asing yang penuh dengan kes-kes penderaan, termasuk penyiksaan seksual dan fizikal.

Kerajaan Barisan Nasional dilaporkan membelanjakan berjuta-juta ringgit setiap tahun untuk melancar, apa yang dicanang sebagai operasi membersihkan negara daripada pendatang tanpa izin.

Hakikat ialah semua bandar-bandar besar malah pekan-pekan kecil semakin dilimpah dengan pekerja seks dan pekerja asing tanpa izin. Dan jumlah mereka semakin meningkat.

Persempadanan negara dan penguatkuasaaan di akar umbi begitu longgar dan satu faktor ialah kerana BN terlampau menggunakan polis, Rela dan agensi lain untuk agenda politik mereka.

Ketua Polis Negara dan Peguam Negara masing-masing terheret dalam kes-kes yang mempamerkan cubaan memalsukan keterangan.

Kejadian banduan, khususnya kaum India mati di lokap, terus berlaku.

Walaupun masih ada segelintir anggota polis ikhlas dan komited kepada kebenaran dan ketulusan undang-undang, rasuah dalam badan polis masih serius.

Ketua Polis Negara Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Tun Hussein harus bertanggungjawab atas keadaan ini.

Tetapi kesediaan mereka berbuat demikian amat diragui. Mereka dibuai dengan sindrom penafian setiap kali kewibawaan polis dipertikaikan.

Hakikat ialah anggota polis semakin terpesong dari tugas utama mereka, Mereka diguna untuk memantau ceramah pembangkang, menceroboh masuk Dewan Undangan Negeri, menyoal siasat peguam dan pejuang Bahasa Melayu yang lanjut usia.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula sibuk menyiasat derma korban lembu, kos penyenggaran kereta dan segala lain yang remeh, asalkan ada nama pembangkang yang terlibat.

Dalam keadaan sedemikian, tidak menghairankan keselamatan negara tergadai.

Ketika Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sibuk berpolitik dan membuat kenyataan politik, negara kita dibanjiri dengan ratusan ribu pekerja seks dan rakyat negara lain yang diekplotasikan oleh mereka yang tidak berhati perut.

Ini yang harus menjadi tumpuan Hishamuddin dan Musa, bukannya bingkas mengeluarkan kenyataan rhetorik yang setiap kali lebih kurang berbunyi “Kita tidak akan bertolak ansur….”.

Rakyat telah mual dengan rhetorik termasuk Slogan 1 Malaysia yang cuba dijaja oleh Perdana Menteri.

Laporan hari ini yang mengesahkan Malaysia sebagai pusat khidmat seks dan pekerja asing untuk diekplotasi menzahirkan kebimbangan rakyat mengenai mengenai hala tuju negara yang tercinta ini.



PAS UMNO : Suhakam Akan Dipandang Talibarut Kerajaan

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Suhakam masih dibayangi kemungkinan diturunkan statusnya oleh Badan Penyelia Antarabangsa atas kekegagalan kerajaan menjadikan badan itu lebih berwibawa dan telus.

Lebih buruk lagi, Suhakam telah cuba menutup isu itu dalam laporan tahunannya kepada Parlimen yang diedarkan pihak berkenaan hari ini, kata pemimpin kanan PKR, Tian Chua.

“Laporan tahunan Suhakam adalah penuh dengan kecurigaan dan keraguan dari segi isi kandungan,” kata beliau.

Tian berkata ICC, sebuah agensi antarabangsa yang menyelia badan-badan hak asasi, menimbang untuk menurunkan status Suhakam daripada “A” kepada “B.”

Penurunan status itu bererti Suhakam akan hilang kelayakan sebagai perwakilan penuh untuk menyertai persidangan Majlis Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Suhakam berdepan dengan keadaan itu berikut kegagalan kerajaan meminda perlembagaan Suhakam untuk memastikan badan itu mempunyai kewibawaan setanding dengan agensi lain di dunia.

Antara yang dituntut oleh ICC ialah Pesuruhjaya Suhakam yang dilantik harus dari kalangan mereka yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan mengenai hak asasi manusia.

Hak menentukan keahlian Suhakam yang diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri adalah juga bercanggah dengan piagam hak asasi manusia yang dicapai di Paris, menurut Tian.

ICC juga menegur kerajaan kerana melarang Suhakam daripada menyiasat aduan pencabulan hak asasi yang telah dibawa ke mahkamah.

Tian berkata laporan tahunan Suhakam yang terbaru tidak merujuk kepada masalah-masalah berkenaan, memberi gambaran seolah kerajaan sedang cuba menutup isu itu.

Laporan itu juga tidak menyebut langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan terhadap kepincangan Suhakam yang boleh membawa kepada kehilangan status “A”nya.

“Kehilangan status “A’ bererti Suhakam akan kehilangan kredibiliti dan sekali gus dipandang sebagai tali barut kerajaan di kaca mata antarabangsa,’ kata Tian Chua. - TVA

PAS UMNO : Tiada Kerajaan Perpaduan Tanpa PKR Dan DAP

Tiada perbincangan berkaitan Kerajaan Perpaduan tanpa rtakan komponen Pakatan Rakyat yang lain selain PAS iaitu PKR dan DAP. Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali, lapor malaysiakini.

Perbincangan mengenai kerajaan perpaduan antara PAS dengan Umno akan melibatkan juga dua lagi rakan kongsinya dalam Pakatan Rakyat, kata Mustafa.

Jika Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak tidak bersedia dengan syarat terbaru itu, "kami tidak akan mengadakan perbincangan dengan Umno," kata Datuk Mustafa Ali.

Kenyataan PAS ini dilihat sebagai usaha meredakan bantahan daripada PKR dan DAP yang sebelum ini menyatakan idea tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat gabungan pembangkang dan juga menolak saranan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bantahan terhadap cadangan kerajaan perpaduan juga muncul dalam PAS, khususnya Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Mustafa mengumumkan sikap terbaru PAS dalam satu sidang media khas bagi menjawab kenyataan Najib, yang juga perdana menteri, semalam yang menyatakan beliau percaya parti Islam itu ikhlas untuk berbincang.



PAS UMNO : Kedah Tak Perlu Kerajaan Perpaduan

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak bermaksud untuk berunding dengan UMNO berhubung pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Helmi Khalid berkata, apa yang dimaksudkan Azizan dalam kenyataan sebelum ini ialah pihaknya sudah lama mengamalkan perpaduan dalam mentadbir kerajaan negeri termasuk kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan UMNO mahupun pihak-pihak lain dalam memajukan rakyat dan negeri Kedah.

“Itu yang dimaksudkan oleh Menteri Besar. Beliau sama sekali tidak bermaksud untuk berbincang dengan UMNO bagi mengadakan kerajaan perpaduan di peringkat negeri. Ini semua tidak perlu kerana kita (Pas) masih mempunyai cukup kekuatan bersama komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain untuk mentadbir negeri ini,” katanya ketika menghubungi Sinar Harian, semalam.

Mohd Helmi berkata, Azizan ketika membuat kenyataan itu sekadar mengulas kenyataan terdahulu oleh Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang dilaporkan berkata, pihaknya sedia berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan di peringkat negeri.

“Bagi Menteri Besar, dalam perkara perpaduan, Pas Kedah sememangnya sedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi dalam konteks kerajaan perpaduan, perkara itu perlu dirujuk kepada pucuk pimpinan Pas di peringkat Pusat,” katanya.

Najib Altantuya Terdesak Cari Sokongan - Anwar

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Najib Abdul Razak kerana cuba mengumpan Pas menyertai Barisan Nasional dalam usaha terdesak untuk mengekalkan kuasa politik. .

Ketua Umum PKR itu berkata pelawaan Perdana Menteri untuk PAS bersama dengan BN sebagai sebuah kerajaan perpaduan mencerminkan betapa Najib terdesak untuk menarik sokongan yang semakin pudar.

“Jelas sekali Najib memerlukan sokongan, kerana kekuatan sokongan beliau sendiri semakin terhakis,” kata Anwar dalam satu sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Najib hari ini mengumumkan Umno bersedia dan membuka pintu menimbang cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dilontarkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam cubaan untuk memenangi sokongan PAS, Najib berkata beliau percaya idea PAS itu adalah ikhlas namun “kita perlu risik-risik terlebih dahulu.”

“Seperti kalau kita mahu kahwin, kita perlu siasat dulu. Jadi atau tidak (kerajaan perpaduan), takdir menentukan,” kata Najib.

Najib bagaimanapun tidak mengulas syarat yang ditetapkan oleh Hadi: bahawa sebarang perbincangan dengan UMNO hanya boleh diadakan jika BN sanggup mengembalikan kewibawaan sistem piliharaya, badan kehakiman dan menjamin kebebasan media.

Hadi juga akur bahawa cadangannya untuk diadakan muqabala dengan UMNO hanya ideanya sendiri dan tidak di bawa sebagai agenda perbincangan rasmi di peringkat parti mahupun Pakatan Rakyat.

Anwar berkata kenyataan Najib itu tidak sedikit pun mengubah reality: bahawa Presiden PAS adalah komited kepada Pakatan Rakyat dan soal kerajaan perpaduan dengan UMNo tidak timbul sama sekali.

“Saya telah dimaklumkan sendiri oleh Presiden Pas, dan beliau akan menjelaskan dalam mesyuarat Pakatan pada Isnin depan bahawa beliau komited kepada Pakatan,” kata Anwar.

Anwar turut menegur Najib kerana alpa terhadap ketetapan yang dibuat oleh Hadi bahawa sebarang pertemuan antara Umno-Pas akan hanya berlaku sekiranya Umno komited kepada reformasi demokrasi.

“Pas akan hanya berbincang bersama pemimpin Umno hanya jika Umno komited untuk memperbaiki sistem negara termasuk pilihanraya adil dan bebas serta pemulihan badan kehakiman,” tegas Anwar.

Mengulas atas perkara sama, Timbalan Presiden Pas Nasharudin Mat Isa berkata Pas tidak berminat untuk menyertai Barisan Nasional atau menjadi “boneka” parti itu.

“Ini adalah respon serius pertama dari Perdana Menteri tetapi saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pas. Saya perlu merujuk perkara ini kepada Presiden dan parti.

“Isu Pas menyertai Umno atau BN tidak berbangkit sama-sekali. Pas bersifat terbuka kepada semua pihak dan pendirian ini telah diambil sejak tahun lepas dan sekali lagi di Muktamar tahun ini,” kata Ahli Parlimen Bachok itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Khalid Samad mengulangi semula pendirian tegas Pas bersama Pakatan Rakyat.

Beliau juga menganggap kenyataan Najib itu mempunyai udang di sebalik batu.

“Cubaan itu tidak lebih dari tipu-helah semata-semata. Kita mahu memperkasa Pakatan Rakyat dan tumpaskan Umno. Umno sedar akan hal ini tetapi mereka mahu mencipta kekeliruan akan halatuju Pas,” kata Khalid.

“Kita boleh merasakan Umno tidak ikhlas dalam isu ini. Isu ini diputar oleh orang-orang seperti Najib, sedangkan isu kerajaan perpaduan tidak pernah dibangkitkan dalam ucaptama atau resolusi muktamar. Isu ini berbangkit dalam satu sidang media dan ia diperbesar-besarkan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Pusat Husam Musa berkata jika Najib ikhlas mahu bekerjasama dengan Pas, UMNO tidak harus bertanding pada pilihanraya kecil Manek Urai bulan depan.

“Jika UMNO ikhlas nak cakap pasal kerajaan perpaduan, tak perlulah bertanding di Manek Urai. Tetapi saya percaya UMNO tidak pernah ikhlas,” kata Husam. -sk



PAS UMNO : PROTES KERAJAAN PERPADUAN BERMULA


Seorang sahabat menghantar gambar di atas melalui email. Katanya di Kota Bharu. Tiada komen. Dan adakah dibawah ini pemimpin agung kerajaan perpaduan? - penarikbeca

LAGU RASMI KERAJAAN PERPADUAN?




-angkasanuri

PAS UMNO : Letak Jawatan Atau Hadapi Undi Yidak Percaya

Memang benar PAS bukanlah parti yang jumud.. tapi kepimpinan ulama' yang ngaku itu.. inginkan ahli pas itu jadi jumud jahil goblok..

Setelah memberi arahan agar mulut kita ditutup untuk tidak membincangkan isu kerajaan perpaduan dan kembang gulanya, hari ini kita diberikan kenyataan oleh orang nombor dua dalam pas itu yang menunjukkan isu kerajaan perpaduan ini adalah keutamaan Timbalan Presiden PAS, sehingga ulasan DS Najib tentang UG itu mendapat reaksi yang pantas untuk diberitakan kepada presiden yang berada diluar negara.

Tidakkah kepimpinan pas yang ngaku ulama' itu nampak sudah kemunafikannya bila ahli dilarang bercakap sedangkan mereka bercakap lebih dari kita?

Mereka kata isu kerajaan perpaduan sudah tidak relevam lalu mengapakah ulasan dan isu yang dilontar UMNO masih bersambut mesra oleh kepimpinan ulama' munafik ini? -K.B.O ONLINE


PAS UMNO : Sahutan Sudah Diterima, Berwaspada Semua

DS Najib kata PAS ikhlas dalam menutarakan hasrat untuk berbincang dengan UMNO.

Hairan bin ajaib, sejak bila nada PM kita ni sudah bertukar tune, sebelum ini tidak pernah timbul kata PAS ini pernah ikhlas dalam perjuangan melaksanakan perlembagaan yang termaktub dalam buku perlembagaan PAS terutama didalam melaksana cara hidup berlandaskan syariat Islam.

Perli, hina dan kutuk, itu saja yang sering kita lihat dan dengar. Bahkan bila sesuatu yang nak dibuat di negeri yang diterajui PAS pun, bukan sedikit tohmahan yang sampai ketelinga Tuan Guru NAA, apa yang tidak disebut kepada beliau, bahkan dalam melancarkan bulan sembahyang pun beliau terus diperli dan dilabelkan berbagai gelaran.

Beri cuti lebih kepada ibu yang baru bersalin pun, kena perli padahal sekarang ini semua orang nak ikut. Begitu juga bila laksanakan cuti 2 hari seminggu pun, mereka label sebagai rakyat Kelantan malas bekerja, tetapi akhirnya pusat ikut pula apa yang telah pemimpin PAS laksanakan.

Semalam sewaktu membahaskan pindaan undang-undang berhubung dengan LHDN, wakil Kelantan dari Machang mendedahkan pasal penafian Menteri yang pernah memberikan jawapan tentang hak Kelantan mendapat royalti minyak yang jelas termaktub dalam buku hasil petrolium negara yang mencatatkan 4 negeri yang mengeluarkan hasil petrolium, iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Terengganu.

Tetapi bila ditanya kenapa royalti tak dibayar kepada Kelantan, maka dalam jawapan Menteri dulu kata tidak ada minyak dikeluarkan dari Kelantan.

Begitu juga dengan pendaratan gas, terpaksa dibawa ke Thailand (Songkla) yang jaraknya lebih jauh berbanding dengan pantai Kelantan hanya 100 km sahaja, padahal terpaksa dikongsi dengan Thailand sebanyak 50 %( bahagi dua dengan Thailang serta kena bayar harga tanah ), padahal kalau di Kelantan hanya 5 % sahaja kena bayar royalti.

Tetapi apabila Kelantan tidak dapat membangun macam negeri lain, maka terus telunjuk dihalakan kepada kerajaan pimpinan PAS menyatakan tak tau cari duit, tak pandai cari pelabur, tak kreatif dan inovatif dan berbagai macam tuduhan lagi .

Tetapi bila wujud satu perkataan pada ketika ini pasal 'perpaduan', maka perkataan ikhlas terpacul keluar dari mulut PM dan nanti akan dilihat pula seluruh anggota kabinet akan mengikut rentak dan nada yang sama. Mungkin akan disambut dengan permaidani merah pula.

Apa yang kita perlu waspada adalah dikala mana PRK Manik Urai sedang menanti, dikala mana kekalahan demi kekalahan mereka tempuhi, dikala mana talian hayat mereka hampir putus, maka dikala itulah sambutan hangat diberikan atas dasar perpaduan. Maka sudah jelas lagi bersuluh bahawa racun berbisa ini perlu dikendalikan dengan berhemah dan baik serta penawar perlulah segera dicari agar ianya tidak terus merosak dan memusnahkan kita dan jemaah. - YB Mohd hayati Osman (Pendang)

PAS UMNO : UG - Najib Dah Bagi Lampu Hijau

Satu pengumuman yang dinanti-nantikan oleh beberapa pihak di dalam PAS telah pun dibuat semalam. PM yang juga Presiden Umno iaitu sebuah parti yang kini cuba di`risik' oleh beberapa pihak di dalam PAS telah pun membuat pengumuman yang `menceriakan' terutamanya kepada Timbalan Presiden Pas.

Umno, kata Najib semalam bersedia untuk berpakat, berunding, berbincang atau apa sahaja tentang Kerajaan Perpaduan dengan Pas. Umpama `bulan jatuh ke riba' mungkin bagi mereka yang kemaruk jatuh hati pada Umno. Dan, tidak mustahil sememangnya `Bulan' akan jatuh ke riba Umno kalau pun tidak tertusuk oleh `keris telanjang' Umno itu.

Mursyidul Am sudah tidak bersuara dua tiga hari kebelakangan ini tentang Kerajaan Perpaduan. Mungkin beliau cuba untuk menghormati pesanan `orang kuat' Pas Mustafa Ali untuk `tutup mulut'. Tiba-tiba semalam, sebaik sahaja Najib mengumumkan bahawa Umno bersedia untuk terima `risikan malahan pinangan' dari Pas, Timbalan Presiden Pas naik semangat mengulas isu yang dikatakan tidak boleh disebut itu. Tanpa rasa bimbang jauh sekali dari perasaan malu, beliau seolah-olah tidak sabar menanti kepulangan Presiden Pas dari luar negara untuk menyampaikan `berita baik' ini. Umno boleh tersenyum kembali.

Selepas ini, para `Ulamak' di dalam Pas dan Ulamak Umno akan sama-sama membelek kitab untuk mencari nas atau dalil bagi mengatakan Umno dan Pas WAJIB bersatu demi Melayu dan Islam. Lupakan sahaja isu pokok seperti rasuah, penyelewengan, ketidak adilan, rampasan kuasa, rampasan royalti suatu ketika dahulu, jenayah oleh pemimpin dan sebagainya, asalkan Umno dan Pas BERSATU.

Maka, bersama-samalah nanti kita nyanyikan lagu `BERSATU' yang sering berkumandang di Dewan PWTC setiap kali Perhimpunan Agung Umno itu.

Tidak mengapa, biarkan mereka dengan cara mereka. Mana-mana ahli Pas dan PR serta penyokong-penyokong, kita teruskan perjuangan yang telah ditinggalkan separuh oleh mereka yang mabuk kuasa itu. Buktikan kepada mereka, tanpa Umno kita mampu membela nasib agama, bangsa dan negara kita sendiri. Biarkan mereka dengan seribu alasan untuk menghalalkan cara kononnya untuk agama. Tidakkah mereka sedar berpuluh-puluh tahun, boleh atau tidak diharapkan kepada Umno untuk membela agama? Jauh sekali soal bangsa.

Walau apa pun, kita tetap menanti keputusan Presiden Pas kembali dari luar negara samada bersedia untuk meneruskan agenda yang dicadangkan. Selaku Ulamak, saya percaya Tuan Guru Presiden pasti telah diberi taufik dan hidayahnya oleh Allah SWT. Beliau seorang Ulamak yang boleh memberikan ijtihad, begitu juga Tuan Guru Nik Aziz boleh berijtihad. Apabila bertemu kedua-dua ijtihad yang bertentangan ini, pilihan paling bijak adalah memilih ijtihad yang mempunyai kurang risikonya. Maka, adakah memilih Umno tidak mendatangkan risiko besar kepada Pas khususnya dan PR, amnya? Yang pasti, Umno kini semakin lebar senyumnya. -wfauzdin