12 Jun 2011

Himpunan BERSIH: Manifestasi Suara Rakyat Untuk Pilihanraya Yang Adil Dan Bersih

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyelar pandangan wadah milik UMNO, Mingguan Malaysia apabila menyifatkan perhimpunan BERSIH 2.0 adalah sebagai tindakan 'kotor' anjuran Pakatan Rakyat bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah tegas beliau, perhimpunan Bersih yang dianjurkan menggambarkan tuntutan dan kebangkitan rakyat yang mahukan sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.

"Pandangan Utusan itu adalah pandangan yang terlalu jauh ketinggalan zaman, yang tidak subur dalam konteks demokrasi kerana apa yang Bersih tuntut adalah satu perhimpunan aman yang kita mahu perjelaskan tentang satu fenomena pilihan raya yang adil dan bersih."

Jelasnya himpunan BERSIH juga bertujuan "membersihkan" kredibiliti Suruhanjaya Pilihanraya supaya tidak terpalit dengan persepsi yang boleh menjejaskan kewibawaannya sebagai satu badan di bawah nangan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memberitahu TV Selangor bahawa pihak penganjur memberi jaminan perhimpunan ini akan berjalan dengan aman tanpa sebarang ketegangan yang boleh mencetuskan huru-hara sekiranya pihak keselamatan memberikan kerjasama yang baik.

Perhimpunan Bersih pada tahun 2007 di Dataran Merdeka disertai oleh 100, 000 orang. Kali ini penganjur Bersih berhasrat menghimpunkan 300,000 peserta bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Ada pihak meramalkan pilihanraya umum ke 13 akan diadakan sewal bulan depan atau selewat-lewatnya Mac tahun depan.

Hasrat penganjur Bersih menimbulkan kegusaran kepada Putrajaya dan beberaka kumpulan pro-Umno membuat laporan polis mendesak perhimpunan itu dibatalkan.

"Ia satu tekanan yang telah berjaya kita berikan kepada pihak kerajaan untuk kita galas satu pilihan raya yang adil dan bersih, jadi ini merupakan satu respon yang menujukkan mereka bimbang terhadap kebangkitan rakyat semakin menuntut hak mereka untuk melihat satu pilihan raya yang benar-benar menepati ciri-ciri sebuah negara yang mengamalkan demokrasi."

Beliau turut kecewa dengan kenyataan yang dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyifatkan perhimpunan tersebut boleh mengakibatkan huru-hara.

"Satu pandangan yang saya rasa tidak sepatutnya lahir daripada seorang Menteri seperti Hishamuddin, dia tidak boleh menuduh perkara itu tanpa perhitungan yang adil. Ini jelas menunjukkan sikap terdesak beliau bila kita mahu mengadakan satu perhimpunan yang aman tetapi dia telah buat kenyataan yang memberikan kesalahan sebelum perhimpunan itu diadakan." -tvsnews



Pimpinan Baru PAS Diumumkan [updated]

PAS umum lantikan baru, Tuan Ibrahim ketua penerangan

KUALA LUMPUR: PAS membuat beberapa rombakan tetapi mengekalkan Datuk Mustafa Ali sebagai setiausaha agung parti bagi penggal kedua.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kalah jawatan timbalan presiden dilantik ketua penerangan menggantikan Idris Ahmad.

Pengarah Pilihan raya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dilantik bendahari. Dr Hatta Ramli bendahari sejak 2007 menjadi pengarah pilihan raya yang baru.

Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan pelantikan baru selepas mengadakan mesyuarat dengan pimpinan baru PAS di pejabat agung di sini hari ini.

Seorang lagi calon timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa dilantik sebagai AJK tambahan.

Turut dilantik Idris Ahmad, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, Asmuni Awi, Anuar Tahir, Zulkifli Omar dan Abang Ahmad Kardi Ahmad Agus, iaitu calon PAS Beting Maro, Sarawak.

Manakala Terengganu, Selangor, Melaka dan Sabah mendapat pesuruhjaya yang baru.

Mereka ialah Abdul Wahid bagi Terengganu, Adly Zahary (Melaka), Dr Rani Osman (Selangor), Aminuddin Alim (Sabah).

Menurut, perlantikan baru berkuatkuasa serta merta dan mereka telah setuju menerimanya.


PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Ustaz Abu Kasim

TIMBALAN PENGERUSI TETAP

Tuan Haji Hussin Ismail

PRESIDEN

Abdul Hadi Awang, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji

TIMBALAN PRESIDEN

Mohamad Sabu, Hj

NAIB PRESIDEN

Salahuddin Ayub, YB
Husam Musa , YB Dato’
Mahfuz Omar, YB Dato’

SETIAUSAHA AGONG

Mustapha Ali

PENOLONG SETIAUSAHA AGONG

Takiyuddin Hassan, YB Datuk
Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, YB
Ahmad Sabki Yusuf


BENDAHARI

Abdul Halim Abdul Rahman, YB Datuk

KETUA PENERANGAN

Tuan Ibrahim Tuan Man

PENGARAH PILIHANRAYA

Dr Hatta Ramli, YB

AHLI JAWATANKUASA KERJA

Mazlan Aliman
Kamarudin Jaffar, YB
Hanipa Maidin
Azizan Abdul Razak, YAB Datuk Seri
Dzulkefly Ahmad, YB
Mujahid Yusuf Rawa, YB
Khalid Samad, YB
Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz
Amiruddin Hamzah
Abdul Wahid Endut
Abu Bakar Chik
Mohd Amar Abdullah
Mahfodz Mohamed, Dr. Ustaz
Siti Mariah Mahmud, YB Dr.
Hassan Mohamed Ali, YB Datuk Dr.
Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz
Nuridah Salleh
Nizar Jamaluddin, YB Dato’ Seri
Idris Haji Ahmad, Ustaz
Nasharuddin Mat Isa, Ustaz
Asmuni Awi
Anuar Tahir
Zulkefly Mohammad Omar
Abang Ahmad Kerdee Masagus


PESURUHJAYA-PESURUHJAYA NEGERI

Terengganu- Abdul Wahid Endut,
Negeri Sembilan- Mohd Taufek Abdul Ghani,
Selangor- Dr Abd Rani Osman,
Melaka- Adly Zahari
Sabah- Aminuddin Halim.
Kelantan- Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz
Pahang- Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Johor- Datuk Dr Mahfodz Mohamed
Perak- Ust Abu Bakar Husin
Kedah- Datuk Seri Azizan Abdul Razak
P.Pinang- Ust Salleh Man
Perlis- Ust Hashim Jasin
Wilayah Persekutuan- Ust Mohd Noor Mohamad
Sarawak- Ust Adam Ahid


KETUA PEMUDA - Nasruddin Hassan A Tantawi

KETUA MUSLIMAT - Siti Zailah Mohd Yusoff, YB

KETUA DEWAN HIMPUNAN PENYOKONG PAS - Hu Pang Chaw

* berhuruf condong ialah lantikan Presiden



Ulasan GB

...
Kepada Sdra Adly Zahari, tahniah daripada GB, kemungkinan sdra Adly merupakan Pesuruhjaya paling muda pernah dilantik. Semuga PAS Melaka bergerak dan bertambah maju di bawah pimpinannya.

Kepada semua di dalam barisan kepimpinan, selamat berjuang.


Gerhana Bulan Paling Gelap Khamis Ini

Fenomena gerhana bulan penuh dijangka berlaku Khamis ini iaitu gerhana paling gelap dalam tempoh 11 tahun apabila bulan melintasi umbra. Ini akan berlaku bermula jam 1.24 pagi untuk selama 100 minit dan menjadi gelap sepenuhnya pada jam 3.22 pagi.

Gambar: FENOMENA gerhana bulan yang berlaku pada Jun tahun lalu yang dilihat orang ramai di sekitar Menara Taming Sari, di Bandar Hilir, Melaka.

Ketua Bahagian Falak, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Dr Kassim Bahali, berkata apa yang lebih menarik ialah fenomena itu berlaku sebanyak dua kali tahun ini, sekali lagi pada Disember nanti selepas kali terakhir berlaku pada 16 Julai 2000.

Katanya, gerhana penuh bulan yang cuma berlaku ketika fasa purnama ini juga boleh dilihat di benua Afrika, Eropah, sebahagian besar Asia dan Australia.

“Gerhana ini dikatakan paling gelap pernah berlaku kerana biasanya walaupun gerhana penuh, kita masih boleh melihat sedikit cahaya pada permukaan bulan. Keadaan ini disebabkan ketika fasa gerhana penuh itu, bulan melintasi bayang paling gelap bumi iaitu umbra. Permulaan gerhana penuh kali ini boleh dilihat penduduk di selatan Chile, timur Argentina dan timur Brazil.

“Di Malaysia, gerhana dapat dilihat ketika bulan terbit di langit timur pada awal pagi. Penghujung gerhana penuh dapat dilihat penduduk Thailand, Kemboja, Vietnam dan barat Australia. Bahagian barat Eropah pula akan melihat bulan terbit yang mengalami gerhana penuh. Mereka melihat bulan gelap terbit di timur yang kebiasaannya terang ketika fasa purnama. Kali ini bulan kelihatan seolah-olah hilang,” katanya.

Kejadian gerhana bulan hanya berlaku ketika fasa purnama dan apabila seluruh atau sebahagian bulan memasuki bayang bumi. Cahaya matahari yang jatuh ke atas bumi menyebabkan sebahagian bumi terang (siang) dan sebahagian lagi gelap (malam) serta menyebabkan bayang bumi mengunjur ke angkasa.

Beliau berkata, ada dua bahagian bayang, di bahagian dalam dan luar. Bayang bahagian dalam dinamakan umbra, yang lebih gelap daripada bahagian luar, penumbra.

“Sekiranya bulan purnama, ia memasuki kawasan bayang akan mengakibatkan terjadinya gerhana. Jika seluruh bulan memasuki umbra, gerhana penuh akan berlaku. Jika hanya sebahagian bulan memasuki umbra, gerhana separa yang akan berlaku dan jika bulan hanya memasuki penumbra, gerhana penumbra yang akan terjadi.

“Bagaimanapun gerhana bulan tidak berlaku setiap bulan. Ini disebabkan satah orbit bulan condong sebesar lima darjah berbanding dengan satah orbit bumi. Gerhana hanya berlaku sekiranya bulan melalui satah orbit bumi,” katanya.

Pada 15 Jun ini, gerhana penuh terjadi disebabkan seluruh bulan memasuki umbra. Magnitud gerhana kali ini ialah 1.71, yang menunjukkan darjah kegelapan permukaan bulan. Nilai ini menunjukkan gerhana bulan kali ini adalah gelap.

Di Malaysia, fasa gerhana kali ini bermula apabila bulan menyentuh penumbra pada jam 1.24 pagi waktu tempatan, 16 Jun 2011. Ketika fasa gerhana ini bermula, bulan berada di langit barat. Ketika berada dalam bayang penumbra, cahaya bulan mula berkurangan tetapi sukar dikesan dengan mata kasar.

“Fasa penuh bermula apabila bulan mula menyentuh umbra pada jam 3.22 pagi. Bulan mula kelihatan gelap secara perlahan-lahan sehingga ia menjadi gelap sepenuhnya jam 03.22 pagi dan di tengah-tengah fasa penuh pada jam 04.13. Tempoh bulan mengalami fasa gelap sepenuhnya selama 100 minit.

“Bulan mula meninggalkan bayang umbra dan memasuki penumbra secara perlahan-lahan pada jam 5.02 pagi. Ia mula kelihatan bercahaya sedikit demi sedikit sehingga penuh sejam kemudian dan kembali normal pada 07:02 pagi. Gerhana bulan boleh dilihat dengan mata kasar tanpa perlu menggunakan penapis,” katanya. -BH

Maut Setelah Parah Ditikam Bertubi-tubi Gara-gara Wanita

Belum pun reda dengan kejadian gaduh di Nilai, Negeri Sembilan gara-gara mengurat seorang wanita, insiden sama berulang kembali.

Gambar: POLIS memeriksa mayat seorang lelaki yang mati dibunuh di sebuah rumah kongsi di Taman Melati Utama, Kuala Lumpur semalam. -foto Kosmo

Terbaru, seorang pekerja lelaki di tapak pembinaan kondominium di kawasan Taman Melati Utama, Wangsa Maju, di sini, mati selepas bergaduh dengan rakan sekerjanya berkaitan wanita, semalam.

Pekerja Indonesia berusia 30 tahun itu ditemui terbaring berlumuran darah dengan kesan tikaman dan kelar di badan oleh seorang pekerja, di dalam sebuah bilik kongsi pekerja di tapak pembinaan terbabit, kira-kira jam 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai bergaduh dengan beberapa pekerja tapak pembinaan terbabit yang juga warga Indonesia, pada awal pagi, sebelum ditikam.

“Hasil pemeriksaan, kita temui lapan kesan luka tikaman dan kelar menggunakan senjata tajam.

“Kita percaya mangsa diserang lebih dari seorang suspek berdasarkan keadaan bilik itu yang bersepah,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), semalam.

Zakaria berkata, polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan itu berkaitan seorang wanita.

“Ini kerana, kita menemui satu pasport wanita Indonesia dan sepasang kasut wanita berhampiran mayat mangsa.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif sebenar pembunuhan. Siasatan kita turut dibantu Unit Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan unit anjing pengesan,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan polis masih mengenal pasti suspek terlibat dalam pergaduhan terbabit.

“Ketika kita tiba di lokasi kejadian, tiada sesiapa di situ dan kita percaya semua pekerja di situ melarikan diri sejurus insiden.

“Kita juga tidak menemui senjata digunakan dalam pergaduhan itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Khamis lalu, akhbar melaporkan kes sama pergaduhan melibatkan warga asing berlaku gara-gara mengurat wanita. -SH


Maut ditikam bertubi-tubi

PERIKSA... polis melakukan pemeriksaan pada mayat mangsa yang ditemui di sebuah bilik kongsi.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai terbabit dalam cinta tiga segi maut ditikam bertubi-tubi di Taman Melati Utama, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi di sebuah rumah kongsi tapak pembinaan kondominium, mangsa dikatakan bermain cinta dengan seorang wanita juga dari Indonesia.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat di rumah kongsi berkenaan sebelum sepasukan polis dihantar ke tempat kejadian.

“Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditemui di dalam bilik dalam keadaan berlumuran darah.

“Sepasukan polis dari Unit Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKK) dan Unit Pengesan Anjing (D9) turut membantu siasatan di tempat kejadian,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui lapan kesan luka tikaman selain beberapa kesan kelar pada badan mangsa menggunakan senjata tajam.

Namun, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata, malah polis percaya mangsa diserang lebih daripada seorang suspek.

“Ketika polis tiba di tempat kejadian, semua pekerja melarikan diri dan semua rumah kongsi juga kosong.

“Motif pembunuhan dipercayai berkaitan perempuan berikutan penemuan pasport seorang wanita warga Indonesia dan kasut berhampiran mayat mangsa,” katanya.

Zakaria berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -HM


Waspada: Kek Buah Campur Arak

Kuala Lumpur: Penggemar kek buah-buahan dan tiramisu yang dijual di restoran terkemuka di negara ini dinasihatkan lebih berhati-hati memilih sajian pemanis mulut itu kerana dikhuatiri dicampur arak sebagai penambah perisa.

Arak jenis rum biasanya digunakan sebagai bahan tambahan untuk menguatkan tekstur kek berkenaan selain menambah perisa menyebabkan ia menjadi satu daripada sajian digemari ramai.

Mendedahkan perkara itu, Pengurus Kanan Piawaian dan Pembangunan Sistem International Halal Integrity Alliance (IHI Alliance), Azudin Khalid, berkata pengguna Islam boleh merasai perbezaan makanan itu sama ada ia menggunakan arak sebagai bahan tambahan atau tidak.

“Kek buah-buahan yang menggunakan rum biasanya mempunyai tekstur yang kuat dan tidak mudah pecah apabila dipotong manakala tiramisu atau kek keju terasa sejuk bila dimakan, makanan Cina pula ada yang menggunakan wain merah sebagai penambah perisa.

“Sehubungan itu, pengguna Islam perlu lebih peka dan bertanya jika was-was ketika memesan makanan di restoran. Jika membeli biskut atau coklat kandungan di pembalut perlu diteliti bagi memastikan sama ada terdapat bahan berkod E471 yang merujuk kepada lelemak haiwan dan tumbuhan,” katanya ketika ditemui, semalam. Beliau berkata, walaupun restoran terutama dari luar negara seperti makanan Barat, Korea atau Jepun mempunyai logo halal, namun pemesongan masih boleh berlaku jika pengguna Islam tidak memainkan peranan penting atau ambil kisah terhadap apa dimakan mereka.

“Pengusaha boleh mengambil kesempatan mencampurkan bahan yang halal dan haram kerana sikap tidak peka pengguna Islam selain Akta Perihal Dagangan 1972 (APD) sekarang yang terlalu umum berhubung pelaksanaan undang-undang halal.

“Bagaimanapun, penggubalan Akta Halal tidak lama lagi yang memberi kuasa kepada Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) mengambil tindakan terhadap pemilik restoran atau syarikat yang tidak menggunakan sijil dan logo halal dikeluarkan jabatan itu boleh mengatasi masalah dari sudut undang-undang, namun selagi pengguna tidak peka, isu ini sukar diatasi,” katanya.

Menurutnya, pengusaha biasanya menggunakan alasan Jakim mengambil masa terlalu lama untuk mengeluarkan sijil halal menyebabkan mereka memilih syarikat swasta yang tidak diiktiraf.

“Perkara menyebabkan sijil halal lambat dikeluarkan Jakim mungkin berpunca daripada dokumentasi yang dilampirkan tidak lengkap atau sumber atau status halal bahan mentah yang digunakan mereka tidak jelas diperoleh daripada mana.

“Di sini boleh berlaku pemesongan, pengusaha sesuka hati mencampur aduk bahan halal dengan haram. Kita selaku pengguna boleh memainkan peranan dengan ‘memaksa’ pengusaha mengikut saluran betul jika bersikap tegas tidak membeli makanan di restoran yang dicurigai status halalnya,” katanya.

Azudin berkata, IHI Alliance selaku agensi yang bekerjasama dengan Jakim menerusi pemantauan sistem dan piawaian halal termasuk di peringkat antarabangsa daripada semasa ke semasa mengadakan seminar panduan kepada pengusaha restoran halal. -HM

Esok Lusa Ikan Kurang Di Pasar Ekoran Nelayan Mogok Bantah K'jaan Mansuh Subsidi Diesel

Kuala Lumpur – Lebih 1,000 nelayan laut dalam di tiga negeri melancarkan mogok mulai semalam sekali gus bakal menjejaskan bekalan ikan negara jika tindakan tersebut berlarutan.

Mogok diketuai oleh hampir 200 pengusaha bot itu diadakan secara serentak di jeti-jeti nelayan di Kuantan, Pahang; Endau di Mersing, Johor dan Kangar, Perlis.

Mogok berpunca daripada tindakan kerajaan memansuhkan subsidi diesel yang menyebabkan pemilik bot terpaksa membeli bahan api itu pada harga RM1.80 seliter berbanding RM1.25 seliter sebelum ini.

Pemansuhan subsidi itu menyebabkan para pemilik bot terpaksa menanggung kenaikan kos melebihi RM20,000 sebulan berbanding RM7,000 sebulan sebelum ini. -kosmo



Nelayan, Pengusaha Bot Pukat Mogok Di Kuantan

Kuantan: Lebih 500 nelayan dan pengusaha bot pukat tunda melancarkan mogok di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pahang di sini dan meminta kerajaan menimbang pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Pengerusi Persatuan Perikanan Kuantan, Chia Hee Juak, berkata nelayan dan pengusaha bot terbabit terpaksa membeli diesel pada harga RM1.80 seliter sedangkan hasil laut yang diperoleh tidak setimpal dengan kos ditanggung mereka.

"Tambahan mereka terpaksa menanggung ansuran bulanan bot pukat tunda dan pukat tarik yang berharga sekitar RM500,000 hingga RM1 juta," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, mogok itu diadakan selama tiga hari mula hari ini dan diteruskan jika tindakan segera tidak diambil pihak berkenaan.

Seorang pengusaha bot, Hing Hua Kow, berkata ada di kalangan mereka merancang menjual bot yang digunakan untuk mencari rezeki selama ini kerana tidak mampu menanggung kerugian tinggi.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pengusaha bot berkenaan perlu membeli diesel pada kadar RM1.80 seliter dan bukan pada harga subsidi super RM1.25 seliter yang layak mereka nikmati sebelum ini. - BERNAMA


Pelajar Belasan Tahun Dah Pandai Tidur Di Rumah Kekasih

Sungai Kob - Dua pelajar perempuan berumur 15 dan 17 tahun di tahan di sebuah rumah bujang lelaki di Taman Mutiara kira-kira jam 12.30 pagi kelmarin.

Penguatkuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK), Mohd Ameer Dahari berkata, PADK menerima maklumat daripada orang ramai kira-kira jam 12.15 pagi dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Menurutnya, ketika tiba, pintu rumah berkenaan bertutup dan PADK terpaksa menunggu beberapa minit sebelum ia dibuka.

“Setelah memperkenalkan diri, PADK kemudiannya membuat pemeriksaan dan menemui sepasangan kekasih dalam bilik manakala satu lagi di ruang tamu.

Mohd Ameer berkata, dari siasatan dijalankan, ke semua terlibat mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram.

“Pelajar perempuan berusia 17 tahun itu pernah ditahan sebelum ini kerana berkelakuan sumbang bersama dua teman lelakinya di tepi tandas awam Taman Tasek Kulim kira-kira jam 1 pagi. Namun, dia dibebaskan setelah diberi kaunseling dan amaran.

“Tidak sampai tiga minggu, PADK menangkapnya semula kerana bersekedudukan. Siasatan awal mendapati remaja lelaki terbabit bekerja sebagai pembantu kantin manakala seorang lagi penganggur, " katanya.

Menurutnys, pasangan berkenaan kemudiannya di bawa ke Balai Polis Kulim untuk membuat laporan.

Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kedah 1988 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pasangan lelaki ditahan lokap di Balai Polis Kulim manakala pasangan perempuan ditahan di lokap Balai Polis Lunas.

Pelajar berusia 17 tahun itu masih mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana keluarganya kurang berkemampuan. Selain itu, dia pernah membuat laporan polis kerana mendakwa dirinya dirogol dan liwat. -SH

TPB Anggap Kerajaan Malaysia Sekat Internet Sebagai Korup Dan Tolol

Laman Pirate Bay bidas sekatan SKMM

Laman web perkongsian fail terkemuka Pirate Bay (TPB) menyuarakan perasaan tidak senangnya terhadap sekatan internet Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami sedih apabila Malaysia melampaui hak asasi manusia sekali lagi," kata wakil laman itu Winston Bay kepada Malaysiakini.

Beliau menegaskan kembali tentang penetapan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa internet merupakan sebahagian hak asasi manusia.

Bagaimanapun, tambahnya, dalam masa yang sama Malaysia menutup akses terhadapnya.

Bay juga berhujah, TPB sebagai "pertukaran budaya paling besar dalam sejarah manusia" dan tidak dapat dihentikan oleh "kerajaan yang korup" dan "ketololannya".

"Orang ramai sudah tentu mampu menggunakan TPB walau apa pun caranya, seperti di negara lain yang tidak menyekatnya, trafik akhirnya tetap meningkat.

"Ia menunjukkan bahawa tidak ada tolak ansur dengan kerajaan yang korup dan internet mampu mengelakkan ketololan itu," kata Bay.

SKMM semalam menjelaskan menyekat beberapa laman sesawang akhir-akhir ini bukan satu bentuk penapisan, sebaliknya tindakan pematuhan undang-undang Malaysia.

Kenyataan itu menyebut, SKMM menerima permintaan daripada Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk menghalang capaian kepada beberapa laman yang didapati melanggar Akta Hakcipta 1987.

Selain ThePirateBay.org, turut disekat MegaUpload.com, FileServe.com dan DepositFiles.com. -mk

UMNO Tak Lena Tidur

Nik Aziz dakwa UMNO semakin lesu

GOMBAK – UMNO kini dipercayai semakin lesu apabila perjuangannya memburukkan dasar Islam diperjuangkan Pas menemui kegagalan.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, mereka gagal mempertikaikan dasar Islam diperjuangkan parti, sedangkan Islam untuk semua tanpa mengira latar belakang agama atau perkauman.

”Islam untuk semua manusia yang diciptakan Allah SWT yang juga ciptakan Islam. Islam bukan untuk masyarakat Arab sahaja, tetapi untuk semua bangsa di seluruh dunia ini.

“Mereka (UMNO) gagal mempertikaikan (dasar) Islam (yang diperjuangkan parti) sehingga tidak lena tidur,” katanya.

Beliau yakin Pas dapat memintas UMNO kerana dasar parti yang memperjuangkan negara berkebajikan.

“Dulu mereka menuduh Pas ketinggalan, kini kami yang akan pintas mereka,” katanya

Menurutnya, UMNO kini berdepan dengan tekanan kerana kenaikan harga barang yang membebankan rakya:t.

“UMNO sudah tua dan tertekan dengan bebanan yang banyak kerana dulu memperjuangkan rakyat didahulukan, kini sebaliknya sehingga memakan diri sendiri.

“Ini dapat dilihat apabila mereka terpaksa menangguhkan mesyuarat agung sedangkan kami tetap meneruskan mesyuarat agung seperti biasa terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, isu video seks menyebabkan suasana politik negara bertambah busuk.

“Video seks itu tiada bukti, mengarut dan membusukkan nama negara sahaja.

“Sesiapa sahaja boleh buat video dengan mengambil muka orang lain dan letakkan pada muka orang lain,” katanya.

Sementara itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan negara kebajikan memberi kelebihan kepada DAP yang juga parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

“Kita tidak sama kerana negara kebajikan yang kami perjuangkan mengikut perlembagaan parti berlandaskan al-Quran dan hadis.

“Mereka (UMNO) yang tidak faham maksud negara kebajikan kerana kami ada amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran), mereka tiada
,” katanya.

Beliau turut mengumumkan akan menulis buku untuk memberi penjelasan mengenai negara kebajikan diperjuangkan parti. -SH




UMNO Hanya Bersandiwara Sanjung Ulamak

Umno sanjung ulama hanya lakonan

Para pemimpin Umno tidak perlu menonjolkan mereka menyanjungi ulama dengan membuat kenyataan demi kenyataan dalam akhbar milik umno, Utusan Malaysia kerana sikap mereka sudah diketahui dengan jelas hanyalah lakonan semata-mata.

Mereka juga tidak perlu menuduh para pemimpin dan ahli-ahli PAS kini menolak ulama kerana tujuan sebenar mereka sudah diketahui dengan nyata hanyalah untuk melaga-lagakan antara sesama pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) berkata, sekiranya para pemimpin Umno terus memainkan isu ciptaan mereka itu, mereka tetap kecewa kerana para pemimpin dan ahli-ahli PAS sendiri sudah amat faham perkara itu.

Menurut beliau, ahli-ahli PAS sendiri sudah sekian lama memahami sikap sebenar para pemimpin dan ahli-ahlli Umno selama ini yang tidak pernah menyanjungi ulama, malah sentiasa memperlekehkan golongan ulama.

Katanya, sikap buruk mereka itu antara lain boleh dirujuk dengan kenyataan-kenyatan mereka selama ini yang sentiasa memperlekehkan ulama-ulama dalam PAS termasuk terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdu Aziz Nik Mat dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Tiba-tiba sekarang mereka kata para pemimpin dan ahli-ahli PAS menolak ulama. Tapi sejak bila Umno menyanjungi ulama? Mereka sendiri sebenarnya yang menolak ulama bukannya kita," katanya kepada Harakahdaily, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, menurut beliau, para pemimpin Umno perlu menilai diri mereka sendiri terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan seperti itu terhadap PAS.

Katanya, dalam PAS setiap ahlinya sendiri cukup faham dengan struktur organisasi PAS yang tidak sekali-kali menolak ulama, malah meletakkan golongan ulama ditempat yang paling tinggi dan utama.

"Dalam PAS terdapat Syura Ulama yang menjaga dasar PAS. Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi dalam PAS. Syura Ulama tidak boleh dianggotai sembarangan orang, tetapi setiap ahlinya mestilah mereka yang berpendidikan tinggi dalam Islam dan mempunyai akhlak yang baik.

"Ahli-ahli Syura Ulama berbeza dengan para pemimpin PAS yang lain termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden atau yang paling atas hingga AJK atau yang paling rendah dalam AJK PAS Pusat.

"Majlis Syura' adalah badan penting yang bertanggungjawab menggariskan dasar PAS dan memastikan PAS tidak terkeluar dari perjuangannya untuk menegakkan Islam,"
katanya.

Dengan itu, tegasnya, dalam PAS tidak akan timbul soal menolak ulama. Tambahan pula dalam PAS juga turut terdapat Dewan Ulama yang walaupun berbeza dengan Majls Syura Ulama, tetapi turut berperanan membantu PAS agar tidak tergelincir dari asas perjuangannya dengan konsep kepimpinan ulama.

Katanya, hanya Umno BN yang tidak tahu tentang perkara itu sehingga menyebabkan mereka sanggup membuat tuduhan seperti itu terhadap ahli-ahli PAS.

PAS, tegasnya, dari awal penubuhannya lagi terhasil dari gabungan golongan profesional dan ulama. Disebabkan realiti itu, sesiapa sahaja yang dipilih menjadi pemimpin PAS akan diterima oleh ahli-ahlinya, kecuali ahli-ahli Majlis Syura yang hanya terhad kepada kalangan tertentu sahaja.

"Itulah rahsia kekuatan PAS sejak dulu yang kini semakin diperkuatkan pula oleh barisan kepimpinan baru dan seluruh ahli-ahli. Barisan kepimpinan baru PAS juga turut diterima baik oleh DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat.

"Ini menjadikan PAS dan Pakatan Rakyat kini semakin kuat, manakala Umno BN pula sekarang semakin lemah kerana tongkatnya, MCA dan MIC sudah patah, apabila MCA dan MIC juga sudah semakin lemah
.

"Disebabkan keadaan itu, orang-orang Melayu juga sudah tidak lagi boleh bergantung kepada Umno sekarang. Disebabkan PAS pula yang semakin kuat, orang-orang Melayu perlu menyokong PAS dan Pakatan Rakyat bersama kaum-kaum lain bagi membela nasib mereka dan melakukan perubahan di negara kita," ujarnya.

Sejajar dengan itu, katanya, soal berkerjasama antara PAS dan Umno langsung sudah timbul lagi sekarang. Umno tidak perlu merayu kepada PAS mengenainya kerana tidak akan dilayan oleh PAS.

"Kalau kita bekerjasama dengan Umno, jangan ingat Umno tak khianati PAS kerana pengalaman PAS yang lalu sudah mencukupi bagi PAS. Umno hanya perlu menerima pengajaran dari pengkhianatannya sendiri selama ini dengan akan berkubur tidak lama lagi," tegas beliau. -hd