29 Apr 2015

Akhirnya Mohd Yusni Lakukan Pusingan U....


Pemuda PAS PP tarik balik boikot PRK Pmtg Pauh

Pemuda PAS Pulau Pinang telah mengubah pendiriannya dan hari ini mengumumkan untuk membantu jentera Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Ketua Pemudanya Mohd Yusni Mat Piah berkata, keputusan itu diambil selepas mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang bersama Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Naib Timbalannya. Khairil Nizam Khirudin, malam tadi.

"Kami sebulat suara untuk akur arahan PAS Pusat untuk bantu gerak kerja PRK Permatang Pauh.

"Kami juga tetap dengan pendirian kami supaya AMK menarik balik kenyataan melampau terhadap presiden PAS," katanya dalam sidang media di pejabat Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang di Kepala Batas pagi ini.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Khalil dan Khairil.

Pemuda PAS Pulau Pinang sebelum ini bertegas tidak akan membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah AMK negeri masih tidak memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan melampau kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

AMK Pulau Pinang sehingga hari ini masih lagi belum mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada untuk menarik balik kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf.

Selain itu, Yusni berkata tindakan pihaknya membantu jentera Pakatan pada PRK ini tidak bermakna mereka akur dengan kenyataan AMK itu.

Walaupun AMK belum menarik balik kenyataan dan memohon maaf, Pemuda PAS akan tetap membantu jentera pilihan raya Permatang Pauh atas dasar mempertahankan kerusi itu, katanya.

Malah, Yusni berkata, pihaknya juga hanya akur pada Majlis Syura Ulama apabila sebelum ini yang menetapkan bahawa PAS masih lagi kekal di dalam Pakatan.

"Kita tetap dengan pendirian kita pada masa sama tetap nak pertahankan kerusi Permatang Pauh. Tidak mahu kerusi terlepas dari Pakatan.

"Kita ada Majlis Syura Ulama yang tetapkan PAS masih dalam Pakatan, jadi akhirnya kita akan akur," tegasnya lagi.

Selain itu, Yusni juga berkata, beliau turut bersedia untuk memberi kerjasama dengan Jawatankuasa Disiplin parti sekiranya dikenakan tindakan tatatertib.

"Saya bersedia dan tahu prosudernya. Kalau ada laporan untuk diambil tindakan, saya bersedia kalau diminta.

"Saya atau (PAS) Pulau Pinang bersedia untuk bekerjasama dengan Lembaga Tatatertib," katanya lagi. -mk

ULASAN GB

Begitulah kisahnya...

Akhirnya KP PAS Pulau Pinang melakukan U-turn dan kini baru bercakap soal "PAS masih dalam Pakatan".

Kan dah labuh muka para penyokongnya seperti Ketua Pemuda PAS Marang, KP-KP Pemuda PAS Selangor dan lain-lain individu yang mempertahankan tindakan Yusni untuk boikot PRK Permatang Pauh sebelum ini.

Selama ini beliau bersama konco-konconya termasuk dari kalangan beberapa pimpinan terutama yang bergelar ulama telah menghentam habis-habisan mereka yang mahu perkukuhkan Pakatan Rakyat seperti tuntutan muktamar.

Malah di dalam pemilihan muktamar kawasan-kawasan yang sedang berlansung, habis semua golongan progresif dicantas, kerana dikatakan menjadi agen PKR dan DAP. Diatur segala strategi di semua peringkat.

untuk hanya menaikkan mereka dari kalangan ustaz disamping mengenepi mereka yang berbaik-baik dengan parti komponen PR.

Seolah-olah PAS dah macam kuat sangat untuk berjuang sendirian.

PR tak rugi apa-apa tanpa PAS, tapi PAS paling banyak kerugian tanpa PR. GB bagi contoh di Selangor pun cukup. Tanpa PR, kerusi PAS Selangor dari 15 akan jadi 5 kerusi sahaja. Bagi kerusi parlimen, tanpa PR, PAS akan jadi seperti dulu-dulu, tinggal 1 atau dua kerusi sahaja. Renung-renungkanlah.

PAS Pusat Sudah Buat Keputusan, Mengapa Masih Ada Yang Degil?


PAS Permatang Pauh perlu sokong calon PKR, kata Mustafa Ali

PAS menegaskan keputusan parti di peringkat pusat untuk menyokong calon PKR di Permatang Pauh adalah yang tertinggi mengatasi keputusan yang dibuat di peringkat kawasan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS Permatang Pauh berhak mengemukakan resolusi mereka sendiri kerana keputusan PAS Pusat yang terpakai dalam menggerakkan hala tuju parti.

"Apa yang berlaku dalam mesyuarat itu hak kawasan masing-masing tetapi dari segi perjalanan apa jua keputusan PAS Pusat mengatasi keputusan kawasan atau pun lebih bawah daripada PAS Pusat.

"PAS Pusat mengambil keputusan dalam mesyuaratnya menyokong calon yang bertanding di Permatang Pauh oleh PKR sebagaimana juga di Rompin, dulu PAS bertanding maka PAS yang disokong bersama," katanya.


Mustafa berkata demikian selepas mesyuarat setiausaha Pakatan Rakyat (PR) yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan PAS Permatang Pauh semalam yang memberi kata dua kepada PKR supaya menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan Hudud jika mahu terus mendapatkan sokongan pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua itu bagi tempoh hingga hari penamaan calon, 25 April ini, sambil menuntut PKR memohon maaf secara terbuka berhubung isu itu.

"Jika bersetuju (dengan syarat yang diberikan) maka kami PAS Kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.

"Pendirian ini adalah keputusan yang dibuat dan disepakati dalam mesyuarat agung PAS kawasan kali ke-38 hari ini.

"Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli yang turut hadir pada sidang media itu berkata calon bagi Permatang Pauh akan diumumkan pada malam 24 April iaitu sehari sebelum hari penamaan calon.

Katanya, kelewatan mengumumkan calon itu adalah bagi memberi kejutan kepada Barisan Nasional (BN) yang mendakwa turut akan memberikan kejutan dalam PRK itu.

“PKR dan PAS sudah membentangkan keputusan parti masing-masing mengenai calon yang dipilih kepada majlis setiausaha dan calon itu dipersetujui dan disepakati oleh mesyuarat hari ini.

“Nama calon tersebut akan diumumkan oleh parti masing-masing dalam masa yang terdekat,” katanya.

Mustafa berkata calon bagi PRK Rompin pula akan diumumkan pada malam ini di Muadzam Shah dengan kehadiran dua naib presiden PAS iaitu Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Salahuddin Ayub.

Rafizi berkata antara isu yang hangat diperkatakan dalam PRK Permatang Pauh ialah cukak barangan dan perkhidmatan (GST) serta kemelut pertelingkahan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. -TMI

Cuma Hadi boleh nasihat 'budak' PAS

Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Hanipa Maidin berkata, presiden parti itu perlu turun sendiri ke Permatang Pauh untuk membantu Pakatan Rakyat dan menasihati Pemuda PAS Pulau Pinang yang "kebudak-budakan."

Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, jika Datuk Seri Abdul Hadi Awang berdepan kesibukan sesuai dengan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Ulama Dunia hingga perlu memberi komitmen amat tinggi menangani masalah ummah di peringkat global, Presiden PAS itu boleh mengambil langkah lebih mudah dengan mengeluarkan arahan rasmi kepada dewan pemuda PAS negeri.

Katanya, langkah itu perlu diambil bagi menyelesaikan segera kemelut "yang tidak sepatutnya timbul" itu.

Hari ini Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Yusni Mat Piah, mengeluarkan kenyataan menolak membantu calon Pakatan yang bertanding dalam pilihan raya keci Permatang Pauh.

Yusni juga mendakwa pemimpi pemuda PAS kawasan di Pulau Pinang kecewa dengan pendekaan diambil ketua mereka sendiri, Suhaizan Kaiat yang cuba menyelesaikan konflik berkenaan.

Rasa tidak puas hati Pemuda PAS Pulau Pinang timbul ekoran kenyataan dibuat pemimpin Angkatan Muda Keadilan negeri berkenaan.

Dalam kenyataanya hari ini, Hanipa percaya ramai ahli PAS kecewa dengan sikap dan keputusan Yusni memboikot kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

"Pemuda PAS Pulau Pinang yang biasa dengan istilah wala' sepatutnya tidak ada masalah untuk memahami bahawa keputusan PAS mengikat mereka.

Mat Sabu, Tuan Ibrahim tak dilayan

"Sewajarnya ketua pemuda negeri mengarahkan semua jenteranya memberi sokongan padu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"aaAmat malang pemimpin terbabit memilih untuk tidak melayan - jauh sekali menghormati - segala kenyataan dan arahan Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Suhaizan Kayat"
katanya.

Sementara itu, seorang lagi AJK Pusat PAS Nasruddin Tantawi berkata, terlalu awal untuk mengheret pemimpin pemuda parti itu ke jawatankuasa disiplin untuk diambil tindakan.

Dalam kenyataannya di akaun Facebok Nasruddin berkata, pihak yang berkenaan perlu melihat dulu apakah asas tindakan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang ketika ini.

"Jangan terburu-buru mahu menghukum anak buah sendiri sedang asas tindakan mereka adalah kerana sayang kepada jemaah dan memelihara maruah pucuk pimpinan,” katanya.
-mk




ULASAN GB

PAS Pusat telah pun membuat keputusan supaya PAS menyokong calon PKR di dalam PRK Permatang Pauh. Ia adalah bertepatan dengan resolusi muktamar PAS yang memutuskan untuk perkukuhkan Pakatan rakyat. Mengapa ada pihak yang masih berdegil dan berlagak tak mahu mematuhi arahan itu? Atas apa pun alasannya, keputusan itu adalah mengikat setiap ahli PAS dan sebarang ketidak-patuhan adalah terkeluar dari akhlak jemaah dan dikira berdosa. Tidakkah begitu?

Anehnya ada pula beberapa pemimpin bergelar "ustaz" yang turut menyokong kumpulan penderhaka keputusan PAS Pusat itu untuk meracun pemikiran sebahagian ahli-ahli PAS di permatang Pauh menyebabkan keadaan menjadi tambah celaru dan keliru.

Dahulu di dalam krisis MB Selangor, dua ADUN digantung kerana dikatakan tak patuh kepada keputusan jemaah walaupun tindakan mereka adalah untuk perkukuhkan Pakatan Rakyat. Sebenarnya keputusan mereka bedua adalah benar kerana mematuhi resolusi muktamar.

Hukum Allah tetap berjalan. Kita sudah memperingatkan.

Facebook BN Pmtg Pauh Diserang Warga Siber


Pengguna Internet bidas kempen siber BN Permatang Pauh

Sebuah laman Facebook yang ditaja mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan menggesa rakyat Malaysia mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh akan datang, kini memakan diri apabila pengguna media sosial meninggalkan komen mempersendakan dasar BN itu sendiri.

Laman itu yang dinamakan 'Pilihanraya Kecil Parlimen Permatang Pauh P44' pada 24 April memuatnaik imej Lim dengan kata-kata: "Inilah contoh pemimpin yang berjaya".

Pentadbir laman pula menulis di sebelah gambar itu: "Tahniah buat rakyat Pulau Pinang, Cukuplah... Kami Pulak!"

Bagaimanapun, ramai pengguna Facebook sebaliknya menjawab di ruang komen mengatakan sesetengah daripada dakwaan yang disenaraikan itu menipu dan isu yang dibangkitkan tersebut tidak jauh bezanya dengan apa yang dialami di negeri yang ditadbir BN.

Sofian Hakem menulis: "Aku bukanlah penyokong parti politik. Bukan nak jilat. Aku duk Penang. Tempat aku dulu banjir teruk kalau 1 jam hujan lebat 'confirm' banjir. Sekarang ini takda la pulak banjir dah.

"Masjid pun dah ada 'aircond'. Tempat niaga aku dah dinaik taraf tapi harga tetap kekal RM7.50 sebulan."

Dunia Orina berkata, harga rumah dan cukai pintu meningkat di banyak negeri, "Tak kira siapa pun perintah di mana-mana negeri. Admin, tolong semak dulu sebelum keluarkan statement sengal."

"Ouhhh, Melaka takda rumah urut? Johor takda rumah urut? Cukai tak semakin naik di Johor dan Melaka?" tulis Khairil Rijal Khizhir pula.

Mohd Iskandar Mohd Othman pula berkata: "Tarif air di Johor paling tinggi di Malaysia, admin tak tahu kah? Jangan ingat duduk di negeri BN Melayu boleh senang. Manakah janji BN semasa pilihan raya?"

Pengguna lain mengatakan dosa BN sendiri seperti dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) lebih besar daripada mana-mana kesilapan yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang.

Remy Alamshah malah menyalahkan GST yang diperkenalkan kerajaan persekutuan sebagai menyebabkan cukai naik di Pulau Pinang.

Proton Putra Putri berkata tiada satu pun masalah yang disenaraikan itu sama dengan skandal 1MDB dan dananya yang lesap.

Putra Razif Thesoullok pula menulis: "Nak sokong BN pulak? Tak payah lah. Nanti datang masalah baru."

Wan Paan pula menyindir menyatakan: "Setuju admin. Hanya BN dapat ringankan beban rakyat. Nak tau tak admin? Sekarang ni beli apa jenis barang pun murah. Dulu beli top-up RM10, sekarang RM10.60. Makin murah kan?

"Sebab itu member-member gua makin sayang BN. Hanya BN yg dapat meringankan beban kami semua. Hidup BN!!!!"

Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan calonnya dari PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau memegang kerusi itu 3 kali sebelum ini selepas memenanginya pada pilihan raya kecil 1999 dan pilihan raya umum 2004 dan 2008, sebelum suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali ke kancah politik.

Beliau ditentang pendatang baru dari BN, Suhaimi Sabudin, 43, seorang pengarah urusan syarikat pembinaan dari Guar Perahu, Permatang Pauh.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,513 pengundi, yang mana 70% daripadanya Melayu dan yang selebihnya terdiri daripada Cina (20%), India (6%) dan lain-lain (4%).

Terdapat 3 kerusi Dewan Undangan Negeri di Permatang Pauh. PKR memegang Penanti dan Seberang Jaya manakala PAS memegang Permatang Pasir.

Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mengekalkan kerusi itu dengan memperolehi 37,090 undi atau 58,56% daripada jumlah 63,332 undi - majoriti 11,721 undi. -TMI