20 Mei 2010

Kes Aminul-rasyid, Keluarga Buat Laporan "Cubaan Membunuh"

Keluarga Aminulrasyid Amzah dan Azzamuddin Omar hari ini mamsing-masing membuat laporan polis selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan enggan meminta maaf atas kenyataan beliau sebelum ini di dalam media yang mendakwa Aminulrasyid seorang penjenayah.

Laporan polis itu dibuat oleh kakaknya, Nor Azura Amzah manakala laporan kedua pula dibuat abang Azzamuddin, Mohd Hafizuddin Omar berhubung cubaan membunuh dan tindakan anggota polis yang memukulnya ketika kejadian itu.

Mereka membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Seksyen 11 Shah Alam pada pukul 2.30 petang dengan diiringi dua orang peguam, N Surendran dan Latheefa Koya.

Pada sidang media di luar IPD, Surendran berkata laporan tersebut terpaksa dibuat selepas Musa enggan meminta maaf berhubung kenyataannya bahawa Aminulrasyid cuba melanggar anggota polis dan terdapat parang di dalam kereta tersebut.

"Pada 10 Mei lalu, seorang anggota polis telah didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menembak dan menyebabkan kematian Aminulrasyid.

"Pendakwaan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara jelas menunjukkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak polis adalah tidak benar.

"Keluarga Aminulrasyid meminta supaya pihak polis disiasat di bawah Bab 11 Kanun Keseksaan di bawah Seksyen 302, 203, 193 dan 196 kerana mengeluarkan kenyataan yang bertujuan untuk menutup kes ini.

"Mereka juga mahu satu badan bebas ditubuhkan dengan segera oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menyiasat perkara ini," ujar beliau.

Tambahnya, pihaknya telah menghantar surat rasmi kepada menteri dan timbalan menteri KDN tetapi sehingga kini tidak ada reaksi daripada pihak terbabit.

Mengulas laporan Azzamuddin pula, Surendran berkata laporan itu meminta pihak polis menyiasat dua perkara semasa kejadian malam Aminulrasyid ditembak mati.

"Kita minta pihak polis menyiasat dengan cubaan membunuh semasa kereta mangsa ditembak dan yang kedua mengenai kejadian anggota polis memukul Azzamuddin selepas remaja malang ini menyerah diri," kata Surendran lagi.

Sistem Kehakiman Negara Yang Bobrok Runtuhkan Istana Keadilan

Mahkamah Menyebelahi SPRM Boleh Siasat Selepas Waktu Pejabat

PUTRAJAYA 20 Mei - Mahkamah Persekutuan sebulat suara memutuskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia boleh menyoalsiasat saksi selepas waktu pejabat.

Dengan itu keputusan yang diambil tiga hakim yang bersidang sekaligus mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak keputusan Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu mahkamah juga mengarahkan kos kepada SPRM dalam saman yang difailkan oleh ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah.


SPRM boleh soal siasat luar waktu pejabat

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyoal-siasat saksi melebihi waktu pejabat.

Dalam keputusan sebulat suara oleh tiga hakim yang bersidang, mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan kos RM20,000 dibayar kepada SPRM dalam saman yang difailkan oleh ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah (atas, kiri).

Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdull Hamid Embung dan Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof, berkata penghakiman secara bertulis akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

Ia mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Disember, 2009, mengenai tafsiran Seksyen 30(3)(a) dan 30(1)(a) Akta SPRM 2009 bahawa pemeriksaan ke atas saksi tidak boleh dihadkan kepada waktu bekerja sahaja dan penyiasatan boleh dilakukan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Pada 12 Januari, Tan memperoleh kebenaran untuk mencabar keputusan yang membatalkan keputusan Makkamah Tinggi pada 19 November, 2009, bahawa SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi antara 8.30 pagi dan 5.30 petang.

Tan, 40, telah menyaman Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong superintenden SPRM, Mohammad Hassan Zulkifli, dan SPRM mendakwa penahanannya dan disoal siasat selama 16 jam semalaman pada 15 Julai tahun lalu oleh SPRM adalah menyalahi undang-undang -MK


Ulasan GB

Mahkamah Persekutuan? Oh, masyarakat berpersepsi bahawa ia adalah badan pegesah kepada kehendak dan keputusan Peguam Negara yang membuat keputusan demi kepentingan kerajaan UMNO dan BN. Bukan untuk kebenaran dan keadilan.

Ada beberapa kes terpilih yang mana Pakatan Rakyat atau mana-mana individu yang melawan institusi kerajaan akan PASTI ditewaskan apabila ianya sampai ke penal Mahkamah Persekutuan. Diantaranya kes Perak, kes liwat DSAI, kes melibatkan SPRM, kes melibatkan SPR, kes melibatkan PDRM.

Buka semula penghakiman kes-kes berkenaan Mahkamah Persekutuan, jika anda rasa GB tidak berkata benar.

Dan ingat juga kes correct, correct, correct. Si hakim bedebah yang membaca kertas penghakiman yang disediakan oleh peguam yang terlibat di dalam kes yang dibicarakan masih lepas bebas dan tidak diambil sebarang tindakan.

Jadi, keseluruhan sistem kehakiman negara sebenarnya bobrok. Rakyat tidak dapat mengharapkan kebenaran dan keadilan dari Istana Keadilan (Palace of Justice) lagi. Istana Keadilan bakal runtuh akibat hakim-hakim durjana ini.

TUKAR KERAJAAN SEGERA UNTUK MEMBEBASKAN INSTITUSI KEHAKIMAN NEGARA.

Lesen Judi: Najib Membisu, Majlis Raja-raja Perlu Bertindak

Majlis Raja-Raja Perlu Bertindak

Tindakan kerajaan ‘menghalalkan’ lesen judi telah menjadi persoalan dan kebimbangan rakyat khususnya masyarakat yang beragama Islam. Malaysia seolah-olah hilang nama ‘Negara Islamnya’ apabila meluluskan lesen judi 2010 yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Islamnya boleh dipertikaikan apabila seseorang atau Negara ‘menghalalkan’ sesuatu yang haram dan mengharam sesuatu yang wajib dan halal.

“Sesebuah Negara Islam seharusnya membanteras sesuatu yang terang-terangan bercanggah dengan syariat dan hukum Allah,” kata Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya ketika dihubungi erapakatan.com.

Bagi beliau, Majlis raja-raja perlu mengambil tindakan kerana majlis raja-raja mempunyai kuasa penuh dalam hal-hal berkait dengan agama Islam.

Tindakan kerajaan persekutuan ini akan mencemarkan agama Islam yang berada di bawah jagaan Majlis raja-raja.

Beliau juga dalam pada itu meminta majlis muzakharah fatwa bersidang bagi membincangkan dan mengambil tindakan terhadap hal ini. Mereka juga disarankan memohon kepada majlis raja-raja melayu bagi menyelesaikan isu ini.

11 Mei lalu, Kementerian Kewangan secara rasminya memberi lesen judi berkenaan kepada Kumpulan BERJAYA.

Sehubungan keputusan itu, pertaruhan secara sah boleh dilakukan sebelum kejohanan bolasepak Piala Dunia bermula 11 Jun ini.

Sejak pengumuman itu dibuat, pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan(NGO), parti-parti politik, pertubuhan agama dan juga orang perseorangan membidas tindakan kerajaan tersebut. -erapakatan


Judi, PERKASA: Najib membisu

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini enggan mengulas berhubung keputusan kerajaan memberikan lesen judi sukan supaya pertaruhan dapat dibuat menjelang kejohanan bolasepak Piala Dunia yang bermula Jun ini.

"We are not going to talk about that (Kita tidak akan membincangkannya)," kata Najib kepada wartawan selepas upcara pecah tanah bangunan baru Utusan Malaysia hari ini.

Perdana Menteri juga sekali lagi mengelak menjawap soalan berhubung dakwaan MCA bahawa Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) punca Barisan Nasional tumbang di kerusi pilihan raya kecil parlimen Sibu, Ahad lalu.

"It's a whole (bunch) of reasons, cannot just ... ok, never mind lah (Banyak sebabnya, tak boleh hanya ...tak apalah)," katanya dengan ringkas.

Isnin lalu, MCA mempersalahkan PERKASA atas kekalahan SUPP di Sibu dengan berkata 'hubungan kabur' BN, khususnya Umno dengan kumpulan pelampau itu punca masyarakat Cina kurang selesa.

PERKASA juga pernah berkata Umno harus meninggalkan masyarakat Cina yang 'tidak berterima kasih' dan menghentikan peruntukkan kepada golongan minoriti berkenaan yang mengundi pembangkang. -mk



11 Jun Ditetapkan Untuk Permohonan Sidang Video

Permohonan Sidang Video Kerajaan Negeri Selangor Didengar 11 Jun

Inkues Teoh Beng Hock yang bersambung hari menyaksikan hasrat kerajaan negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia supaya Pakar Patologi Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand untuk dapat memberikan keterangan walaupun hanya melalui sidang video, tidak kesampaian.

Meskipun kelulusan dari Jabatan Thailand telah diperoleh bagi membolehkan sidang video dijalankan di Bangkok, namun Koroner Mahkamah Tinggi Shah Alam, Azmil Muntapha Abas memutuskan hanya akan mendengar permohonan rasmi dari kerajaan negeri Selangor itu pada 11 Jun ini.

"Mahkamah perlu mengetahui sebab sebenar Pornthip tidak boleh hadir,” katanya.

Pagi tadi, peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan negeri Selangor memberitahu mahkamah, bahawa Pornthip tidak dapat hadir bagi memberi keterangan.

Bagaimanapun, pakar patologi yang bekerja di Bangkok itu menerusi sepucuk surat Isnin lalu berkata beliau bersedia memberi keterangan menerusi sidang video.

Peguam Tan Hock Chuan, yang mewakili pejabat peguam negara berkata permohonan itu mesti dibuat mengikut peruntukan 272 (b) dan ia perlu disokong oleh affidavit.

Azmil berkata inkues juga akan mendengar keterangan daripada dua lagi saksi, ahli majlis perbandaran Kajang, Tan Boon Wah dan peguam M Manoharan, apabila inkues itu bersambung bulan depan.


SPR Dan UMNO Terus Memperbodohkan Rakyat

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tiada kuasa untuk menyiasat dakwaan DAP bahawa Datuk Seri Najib Razak telah menjanjikan peruntukan wang, yang disifatkan bertujuan mempengaruhi pengundi Sibu pada malam menjelang hari pengundian Ahad lalu.

Sebaliknya SPR berkata, dakwaan ke atas Najib itu, yang janji-janji pilihan raya kecil dibuat atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, perlu dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan.

Selain itu SPR berpendapat, di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang secara umum menjurus kepada kesalahan dilakukan oleh calon atau ejen mereka, pihak-pihak lain yang membuat janji pilihan raya termasuk anggota Kabinet tidak boleh didakwa telah melakukan kesalahan menyogok atau melakukan rasuah pilihan raya.

“Kalau ada pihak hendak mengemukakan aduan kepada kami boleh, kami akan terima dan akan memanjangkan kepada pihak berkaitan iaitu dalam kes ini SPRM,” Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.

“Kami tidak boleh melakukan siasatan sebagaimana perkara-perkara lain diperuntukkan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya... kami tiada kuasa (menyiasat).

“Ada perkara yang polis boleh siasat dan ada perkara yang kami boleh siasat.

“Tetapi perkara ini perlu disiasat oleh SPRM... terserah kepada SPRM menentukan tindakan susulan,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada SPRM untuk menyiasat perkara yang didakwa oleh Pengerusi DAP Karpal Singh Isnin lalu berhubung janji yang Najib pada kempen malam terakhir di Sibu Sabtu lalu.

“Itu pandangan Karpal, tetapi isu ini memang tertakluk kepada bidang tugas SPRM... perkara ini memang di bawah bidang kuasa SPRM, SPRM yang boleh menjalankan siasatan dan mengambil tindakan berkaitan,” katanya.

Sehari selepas keputusan pilihan raya kecil Sibu, peguam terkemuka itu mendakwa mendakwa Najib telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan menawarkan ganjaran bagi mendapatkan undi.

Isu memancing undi dengan peruntukan kewangan dan projek juga menjadi tumpuan ketika pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor tiga minggu lalu tetapi ia menjadi ketara apabila Najib menggunakan perkataan “jika”.

Karpal yang juga Ahli Parlimen mendakwa Najib melakukan kesalahan ketika kempen pilihan raya kecil Sibu apabila pada Sabtu lalu mengatakan “saya membantu, anda membantu saya.”

Karpal berkata kenyataan Najib itu sesuatu yang tidak wajar dan harus disiasat oleh SPRM.

Ia satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, dakwa Karpal sambil mendakwa ia telah mendorong pengundi pada malam menjelang hari pengundian, membuat perjanjian dengan mereka.

Najib membuat janji itu saat-saat akhir sebelum kempen berakhir di kubu kuat DAP bahawa akan menyediakan peruntukan RM5 juta bagi projek mitigasi banjir di Rejang Park jika calon Barisan Nasional (BN) menang.

“Jika Robert Lau menjadi Ahli Parlimen pada hari Ahad, pada Isnin saya akan meminta supaya cek disediakan. Boleh kita buat perjanjian? Kita buat! Anda mahukan RM5 juta, saya mahukan Robert Lau menang,” kata Najib yang juga Pengerusi BN ketika kempen ceramahnya itu.

Karpal mendakwa kenyataan Najib itu sesuatu yang “memalukan” dan “tidak pernah berlaku” sebelum ini.

“Saya mahu Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat Perdana Menteri. Ia satu kesalahan yang serius. Ia sangat jelas. Beliau berkata ‘kita adakan perjanjian, jika Robert Lau menang, kami akan memberi anda RM5 juta’,” kata beliau dengan merujuk kepada peruntukan Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Ketika mengulas lanjut mengenai Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya, Wan Ahmad berkata, peruntukan itu lebih bersifat umum yang mana ia menjurus kepada calon yang bertanding atau ejen-ejen calon, tetapi bukannya mana-mana individu lain termasuk dalam kes semasa yang merujuk kepada Najib yang merupakan Menteri Kewangan.

“Ini bererti berkemungkinan tidak bermaksud bidang kuasa Menteri Kewangan, yang mempunyai kuasa untuk menjanjikan, mengagihkan sesuatu projek pembangunan, bajet pembangunan yang skopnya luas melibatkan pelbagai, sebagai contoh projek saliran (mitigasi banjir) dalam kes di Sibu,” katanya.

Kata beliau, selaku Menteri Kewangan Najib mempunyai kuasa untuk membuat pengumuman projek pembanguan dan peruntukan bagi projek-projek berkenaan.

“Saya rasa itu yang dilakukan oleh kerajaan,” katanya.

Seksyen 10 undang-undang itu secara khusus merujuk kepada elemen penyogokan.

Ia mempunyai sembilan subseksyen. Subseksyen 10(a) berbunyi: “tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju untuk memberikan atau meminjamkan, atau menawarkan, menjanjikan, atau berjanji untuk mendapatkan atau berusaha untuk mendapatkan, apa-apa wang atau balasan bernilai kepada atau untuk mana-mana pemilih atau pengundi, atau kepada atau untuk mana-mana orang bagi pihak mana-mana pemilih atau pengundi atau kepada atau untuk mana-mana orang lain, bagi mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi, atau yang secara rasuah melakukan apa-apa perbuatan yang disebut terdahulu oleh sebab pemilih atau pengundi itu telah mengundi atau tidak mengundi dalam mana-mana pilihan raya.”

Seterusnya Wan Ahmad merujuk kepada kes rujukan yang diputuskan pada 1981 yang memutuskan bahawa bukan menjadi satu perbuatan rasuah dalam definisi Akta Kesalahan Pilihan Raya, sebaliknya selaras dengan tugas kerajaan semasa untuk membawa pembangunan, memberi peruntukkan tambahan dan sebagainya kepada setiap rakyat tidak kira waktunya.

Nas undang-undang yang dimaksudkan adalah kes membabitkan pilihan raya kecil Pengkalan Kota, melibatkan kes antara Teoh Teik Huat melawan Lim Kean Siew & Anor pada 1981.

Kes itu dibawa ekoran kenyataan Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Razaeligh Hamzah yang didakwa mengeluarkan kenyataan jika BN menang, beliau secara peribadi akan memberikan lebih banyak wang untuk pembangunan Pengkalan Kota.

Insiden lebih tiga dekad lalu dilihat mirip situasi yang disaksikan di Sibu Sabtu lalu.

[This is in English: Tengku Razaleigh to the effect that if Barisan Nasional wins, he would personally give more money for the improvement of Pengkalan kota].

Dalam tulisa blognya dua hari sebelum pengundi Sibu keluar mengundi, penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun berkata, janji-janji pembangunan, peruntukkan tambahan dan projek pembangunan bukan merupakan “perbuatan rasuah.” “Itu adalah tugas kerajaan BN sebagai kerajaan persekutuan dan tidak melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang pilihan raya.

“Justeru itu, adalah diharapkan dengan penjelasan yang tidak seberapa ini, segala polemik yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang adalah hanya polemik yang tidak tepat dan menyimpang dan berbentuk memperlekehkan kebijaksanaan pengundi-pengundi terutamanya Hulu Selangor, Sibu dan pembaca-pembaca blog saya amnya,” katanya.

Wan Ahmad juga menjelaskan, beliau juga pasti Najib menyedari risiko dan implikasi undang-undang jika membuat kenyataan sedemikian.

“Saya secara peribadi beliau (Najib) telah menerima nasihat daripada penasihat undang-undangnya sebelum membuat kenyataan itu,” katanya lagi.

Oleh itu kata Wan Ahmad, terserah kepada Karpal jika mahu membawa kes ini sama ada merujuk kepada SPR ataupun SPRM terus ataupun membawa terus ke mahkamah.

“Saya juga merasakan Karpal sebagai pakar undang-undang melihat kes ini dari perspektif beliau.

Dan, pakar undang-undang yang lain melihat dari sudut yang lain... ini tafsiran undang-undang,” katanya. -TMI


Tempoh Seminggu Kepada SPR Untuk Dakwa Najib

SIBU 18 Mei - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh memberi tempoh sehingga Isnin kepada Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas tuduhan menawarkan rasuah kepada penduduk Sibu semasa berkempen pada pilihan raya kecil Sibu baru-baru ini.

Kegagalan berbuat demikian, pihak DAP kata Karpal akan membuat laporan polis terhadap Najib di Sibu.

Semalam Pengerusi Kebangsaan DAP itu mendakwa Najib Razak terbabit dalam 'pembelian undi' pada PRK Sibu semasa berkempen pada satu majlis di Rejang Park Sabtu lalu.

Akhbar harian bahasa Inggeris Sunday Eastern Times memetik kata-kata Najib yang dipertikaikan oleh Karpal itu dalam bahasa Inggeris.

“I want to make a deal with you. Can we have an understanding or not? The understanding is quite simple. I help you, you help me,” kata Najib kepada kira-kira 1,000 penduduk rejang Park.

Dalam ucapan beliau, Najib dikatakan menjanjikan RM5 juta bantuan kerajaan pusat untuk projek tebatan banjir di Sibu jika BN menang PRK Sibu.

"Ini adalah perlakuan amat serius yang dilakukan oleh seorang Perdana Menteri bukannya rakyat biasa.

"Saya beri tempoh satu minggu sehingga isnin depan untuk SPR mendakwa Najib. Sebenarnya SPR sepatutnya bertindak serta merta terhadap Perdana Menteri," kata karpal ketika dihubungi Suara Keadilan.

Karpal berkata Najib boleh didakwa Seksyen 10 (1)(B) dan Seksyen 11 di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang membawa denda RM2,000 dan penjara tidak kurang daripada dua tahun. -SK


Ulasan GB

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar adalah silap bila membawa kes Teoh Teik Huat melawan Lim Kean Siew & Anor dimana di dalam kes berkenaan Tengku Razaeligh Hamzah yang didakwa mengeluarkan kenyataan jika BN menang, beliau secara peribadi akan memberikan lebih banyak wang untuk pembangunan Pengkalan Kota. Di dalam kes Najib, terdapat "ugutan" dimana terdapat dealing yang tak sepatutnya berlaku "I help you, you help me", saya bantu anda, anda bantu saya, yang membawa maksud jika anda tak bantu saya saya tak bantu anda. Jika anda tak undi BN, BN tak bawa pembangunan kepada kamu...

Sedangkan di dalam kes Tg Razaleigh tiada ugutan sedemikian malah Tg Razaleigh melakukannya di atas kapasiti peribadi dan menggunakan peruntukan peribadi.. Tengku Razaleigh to the effect that if Barisan Nasional wins, he would personally give more money for the improvement of Pengkalan kota

Begitu juga dengan kenyataan penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun yang berkata kononnya janji-janji pembangunan, peruntukkan tambahan dan projek pembangunan bukan merupakan “perbuatan rasuah.” “Itu adalah tugas kerajaan BN sebagai kerajaan persekutuan dan tidak melanggar mana-mana peruntukkan undang-undang pilihan raya.

Jika demikian halnya maka tiada perlu ungkapan "I help you, you help me", kerana menjadi tugas PM atau mana-mana menteri kabinet untuk membantu rakyat tanpa mengira mereka mengundi BN atau pun tidak kerana semua yang mengundi adalah rakyat Malaysia yang membayar cukai tanpa mengira mereka mengundi BN atau sebaliknya.

Kamu-kamu fikir semua rakyat boleh kamu perbodohkan?

Bukti Penyelewengan Undi Pos Oleh SPR Di PRK Sibu

Ketua Pemuda Sosialis DAP, Anthony Loke membuat aduan rasmi berhubung kelemahan proses perjalanan pilihan raya kecil Sibu Ahad lalu di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya petang tadi.

Turut hadir menyerahkan aduan kepada SPR termasuk Ketua Penyelaras Ajen Mengundi DAP, Vincent Wu, Ahli Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan, Mary Josephine dan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Suhaizan Kayat.

"Kita amat tidak berpuashati dengan beberapa perkara yang berlaku dalam PRK Sibu, terutamanya mengenai pengiraan undi pos," kata Loke kepada media selepas menyerahkan aduan kepada SPR.

Loke berkata petugas undi pos Pakatan Rakyat mendapati sewaktu penjumlahan undi pos dilakukan, terdapat beberapa kod undi yang jumlah pemulangannya melebihi dari jumlah yang dikeluarkan. Ia melibatkan Kod 708, iaitu 6 undi dikeluarkan dan 24 yang kembali, Kod 429, 160 yang dikeluarkan dan 161 yang kembali serta Kod 43, sebanyak 47 undi dikeluarkan dan 67 yang kembali.

"Ini tak boleh berlaku kerana undi yang diterima tidak boleh bertambah. Kalau undi yang kembali menjadi sedikit, itu logik, sebab mungkin ada orang yang tak mengundi, dan memang itu hak dia. Kalau ada lebihan, bermakna kertas undi itu tidak dikeluarkan oleh SPR," jelasnya.

Beliau memaklumkan setiap undi pos perlu dikembalikan bersama satu surat akuan yang perlu ditandatangani oleh seorang saksi.

Namun petugas Pakatan Rakyat membantah apabila meragui surat akuan tersebut selepas mendapati banyak sampul yang tidak mempunyai tandatangan.

Bantahan tersebut diterima oleh Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya tetapi seorang pegawai SPR Pusat yang bernama Ismail campur tangan dan mengarahkan beliau untuk menerima semula undi yang ditolak tersebut.

Ini berlaku sedangkan terdapat kesalahan pada sampul dan kertas undi terbabit

Petugas Pakatan Rakyat juga berjaya mengesan individu yang disyaki pengundi hantu.

Mereka turut merakam gambar dan mendedahkan terdapat beberapa individu yang mendakwa diri mereka adalah wakil kepada pengundi pos.

Loke turut mempersoalkan kelewatan pihak SPR untuk mengumumkan keputusan seperti mana yang dijanjikan.

Kelewatan 2 jam itu berpunca dari proses pengesahan pengiraan undi pos. SPR didakwa menangguhkan pengeluaran Borang 15 yang mengesahkan keputusan kiraan tersebut.

"Borang 15 itu adalah bukti pengesahan oleh pegawai SPR dan parti yang bertanding. Kami takkan tinggalkan tempat kiraan tanpa borang tersebut. Bahkan sampai hari ini pun kita masih belum terima borang tersebut," kata Loke.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mempersoalkan kewajaran SPR untuk mewujudkan pusat pengundian di kawasan persendirian seperti rumah panjang.

"Sepatutnya pengundian dijalankan ditempat yang sah dan berkecuali seperti sekolah atau balai raya. SPR mesti ambil iktibar dari insiden seperti ini," jelas Loke lagi. -SK