28 Okt 2007

Musa Hassan Cuba Tutup Kelemahan Polis Dengan Tuduh Ibubapa Nurin Cuai

Posted on Friday, September 21 @ 23:47:44 MYT by greenboc
Analisis Isu

Oleh Greenboc

aTiba-tiba Ketua Polis Negara, Musa Hassan membuat kenyataan bahawa ibu bapa Nurin yang meninggal dunia akibat penderaan seksual boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak.

Ini satu tindakan biadab oleh seorang Ketua Hakim Negara di waktu suasana pilu masih menyelubungi keluarga Nurin, dikeluarkan tidak beberapa jam selepas Nurin disemadikan di bulan Ramadhan ini.



hSemua pihak kini mengharap pihak Polis menjalankan tugas dan amanah yang diberikan kepadanya untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara dengan mengenal pasti dan menangkap penjenayah yang menyebabkan kematian Nurin.

Setelah sekian lama Nurin dilaporkan hilang dan setelah segenap usaha dilakukan oleh banyak pihak untuk menjejaki Nurin namun nampaknya pihak Polis yang sering mendabik dada kononnya ia merupakan pasukan polis yang efisyen gagal di dalam kini cuba mengalihkan kelemahan mereka dengan menyatakan ibu-bapa Nurin boleh diambil tindakan kerana kecuaian.

Apakah ini bererti negara sudah benar-benar tidak selamat? Apakah ini bererti suasana negara akan terus dikelilingi dengan pelbagai jenis jenayah dan polis sudah tidak mampu berbuat apa-apa lantas menyalahkan mangsa di atas setiap jenayah yang menimpa mereka? Apakah ini juga bererti Polis kini sudah hilang keupayaan dan kredibiltinya sebagai pasukan yang kononnya amat efisyien di dalam mengesan penjenayah?

aMaruah dan imej Polis kini begitu hanyir, sehanyir tong najis di bawah KPN yang baru ini.

Semua rakyat mengetahui, Ketua Polis Negara ini adalah pengusung tilam sewaktu kes Anwar di mahkamah dulu, dan beliau sendiri terlibat dengan tuduhan menerima rasuah RM2 juta bagi membebaskan tiga tahanan Ordinan Darurat yang jika tidak kerana bantuan Peguam Negara yang membersihkan dan menutup kesnya, pasti maruahnya sebagai penjawat jawatan tertinggi di dalam pasukan Polis ini sudah sepatutnya berada dipenjara.

Di bawah KPN ini, para polis peringkat bawah telah berani bertindak melepaskan peluru hidup di Batu Buruk, dan mangsa yang terkena peluru kini hendak ditahan dan dituduh di atas cubaan membunuh.

Berbalik kepada isu Nurin Jazlin, 9 tahun murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak yang telah kembali ke rahmatullah.

Apakah ini bererti selepas ini semua kanak-kanak yang berumur sedemikian perlu ditemani ibu-bapa mereka ke mana sahaja mereka pergi hatta pergi dan balik sekolah sekalipun akibat suasana negara yang penuh jenayah yang pihak polis telah "surrender" dengan penjenayah-penjenayah ini?

Perhimpunan ceramah yang aman polis amat aktif dan efisyen untuk melakukan provokasi, tetapi tiba-tiba menjadi lembek di dalam menghapuskan jenayah yang berlaku di dalam negara.

Tulisan saya di atas bernada kasar, saya akui, tetapi saya begitu marah dengan kebiadaban KPN yang bernama Musa Hassan yang cuba mempersalahkan rakyat di dalam usahanya untuk menyelamatkan maruah polis yang kini telah musnah dibawah jagaannya.

Selepas ini kita tidak tahu berapa ramai lagi polis yang akan ditangkap kerana rasuah, berapa ramai lagi polis yang akan menembak orang awam sesuka hati dan berapa ramai lagi kanak-kanak yang akan menjadi mangsa jenayah yang polis sudah tidak boleh diberikan harapan dan kepercayaan lagi untuk membenterasnya.

Ayuh jika tidak mampu lagi menjaga keselamatan negara, letak jawatan segera supaya ianya diisi oleh mereka yang mampu melaksanakan tugas dengan sempurna dan yang benar-benar berkelayakan, bukan oleh rasuah politik dan ampu bodek dari seorang pengusug tilam yang telah menjulang Musa Hassan ke kerusi Ketua Polis Negara kini.


BERITA DARI MSTAR

Polis: Ibu bapa Nurin boleh dituduh cuai
21-09-2007 10:03:02 PM
Oleh SA'ODAH ELIAS

PUTRAJAYA: Baru beberapa jam selesai mengkebumikan jenazah anak mereka yang meninggal dunia akibat deraan seksual, Jazimin Abdul Jalil dan isterinya Norazian Bistaman kini menghadapi kemungkinan didakwa kerana cuai.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata polis kini sedang menyiapkan laporan kes berkenaan dan jika mendapati terdapat elemen cuai sehingga menjurus kepada penculikan Nurin Jazlin, ibu bapa mangsa boleh diambil tindakan undang-undang bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak.

"Jika ada kecuaian, kita akan cadangkan kepada Peguam Negara agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Suruhanjaya Polis yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Kementerian Keselamatan Dalam Negeri hari ini.

Musa berkata, peruntukan undang-undang terhadap ibu bapa yang cuai menjaga keselamatan anak mereka telah lama wujud, tetapi belum pernah dikuatkuasakan selama ini.

"Saya rasa sudah sampai masanya untuk kita kuatkuasakan peruntukan itu," tambahnya.

Beliau juga berkata polis telah membatalkan rancangan mengadakan ujian DNA kali kedua setelah ibu bapa Nurin menerima keputusan ujian pertama semalam yang mengesahkan mayat di dalam beg sukan yang ditemui di Petaling Jaya pada Isnin lalu adalah anak mereka yang hilang selama sebulan.

Katanya, ibu bapa Nurin menerima keputusan ujian itu setelah diberikan penjelasan mengenainya serta rekod pergigian mangsa yang menunjukkan mayat itu anak mereka.

Ibu bapa Nurin, katanya, kemudian bersetuju bahawa ujian DNA kedua tidak perlu dijalankan.

Mangsa berusia lapan tahun yang diperlakukan dengan kejam setelah diculik sejak 20 Ogos lalu dikebumikan selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Ditanya perkembangan siasatan kes itu, Musa berkata polis kini bekerja keras untuk mencari seorang suspek yang dipercayai bertanggungjawab terhadap perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Beliau bagaimanapun sekali lagi enggan memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai suspek yang menjadi buruan pihaknya kerana bimbang lelaki itu melarikan diri.

Berikutan kes penculikan Nurin, katanya, polis kini meningkatkan rondaan di beberapa kawasan, termasuk kawasan Kampung Baru, Chow Kit dan Jalan Masjid India.

Sementara itu Perdana Menteri menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Nurin atas kejadian malang ini.

Sambil meluahkan rasa sedih dan marahnya atas kejadian kejam ini, Abdullah menyifatkan kejadian penderaan seksual sehingga mati itu sangat menyayat hati.


Polis didakwa cuba rasuah pengadu

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Seorang anggota polis yang sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah hari ini didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah kepada seorang kontraktor warga Indonesia pada Januari lalu.

Lans Koperal Mohd. Rahizan Mohd. Ashri, 36, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zamri Ibrahim.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai RM3,000 kepada Sadali Suan melalui seorang jurukamera, Ruslan Bacika di Jalan Delima di sini pada kira-kira pukul 11 pagi, 15 Januari lalu.

Wang suapan itu bertujuan untuk mendorong Sadali memujuk Sirat iaitu pengadu dalam kes rasuah yang dihadapinya agar saksi itu tidak menghadiri perbicaraan di Mahkamah Sesyen Jenayah 3 di sini pada 17 Januari lalu.

Mohd. Rahizan didakwa di bawah Seksyen 10(b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Sesyen 16 akta yang sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Badan Pencegah Rasuah (BPR), Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan dia telah digantung tugas sejak 2005 selain menanggung keluarganya.

Mahkamah membenarkan Mohd. Rahizan dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dan menetapkan 5 November ini untuk sebutan semula kes itu.

Tiada ulasan: