17 Jul 2010

Hasmuzair, Setiausaha Kerja AMK Meninggal Dunia

Setiausaha Kerja AMK Pusat, Hasmuzair Hassan Meninggal Dunia Dalam Kemalangan Jalanraya

Setiausaha Kerja Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Hasmuzair Hassan meninggal dunia dalam satu kemalangan jalanraya yang melibatkan sebuah lori diKampung Subang kira-kira pukul 2 petang tadi.

Beliau dipercayai mangsa langgar lari oleh sebuah lori yang telah bergeser dan menyebabkan motosikal yang ditunggang beliau hilang kawalan danjatuh di jalanraya.

Butiran berkenaan lori termasuk nombor pletnya telah diberi kepada polis untuk siasatan lanjut.

Allahyarham, 33, meninggalkan isteri Nazylinda Abdullah, 29 tahun dan tigaorang anak, Nazzratul Alya, 6 tahun, Hasrul Alif, 5 tahun dan HasrulAfiq, satu setengah tahun.

Allahyarham adalah anak keempat daripada 11 adik beradik.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang berada di rumah mayat Hospital Sg Buloh bersama pimpinan AMK, kaum keluarga serta rakan seperjuangan menyifatkan Allahyarham Hasmuzair sebagai seorang yang ceria, aktif dan sentiasa bersedia untuk berkorban demi rakan dan parti.

"Arwah tidak pernah lekang dalam tugasnya, hingga tengah malam punsanggup bekerja untuk parti," kata Nik Nazmi.

Fariz Musa, rakan karib arwah dan juga Timbalan Ketua AMK Pusat menyuarakan kesedihan yang amat sangat atas kehilangan Allahyarham yang lbih disenangi dengan panggilan Jack.

"Jack merupakan seorang rakan dan bapa yang begitu baik, tiada ganti kehilangan beliau," kata Fariz yang masih tidak dapat menerima kehilangan rakan yang dikenali beliau selama lebih sedekad.

Solat jenazah telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, Dr Badrulamin Bahron.

Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang dari Hospital Sg Buloh selepas bedah siasat malam ini untuk dikebumikan pagi esok dikampung halamannya di Kampung Simpang Geti, KM2 Jalan Mata Air, Arau, Perlis.

AMK telah mewujudkan tabung bantuan bagi isteri beliau yang tidak bekerja serta tiga anak kecil Allahyarham untuk meringankan beban kehidupan keluarga yang ditinggalkan.

Ahli KEADILAN, penyokong Pakatan Rakyat, rakan serta orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada akuan Nazylinda di akaun Ambank nombor 0040024033611.

Al Fatihah.

Persidangan FBI Di Kuala Lumpur Bukti Umno-BN Agen Amerika

Selepas menyerang kredibiliti Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengaitkan beliau sebagai agen Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), kerajaan Umno-BN kini menghadapi tamparan besar apabila bukti jelas menunjukkan mereka sebenarnya tunduk kepada kuasa besar Amerika Syarikat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard mendedahkan satu Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 19 hingga 23 Julai ini.

"FBI atau Federal Bureau of Investigations (Biro Siasatan Persekutuan) merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.

"Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa manusia khususnya umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," ujar CheGuBard dalam satu kenyataan media.

CheGuBard yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata latihan pegawai kanan polis itu merupakan sebahagian daripada program AS untuk mempengaruhi individu yang mempunyai kedudukan penting dalam institusi seperti polis, tentera, kehakiman, parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan NGO dengan alasan memerangi keganasan.

"Di Iraq dan Afghanistan pihak FBI telah melatih beratus pegawai bagi memastikan negara itu terus patuh kepada kehendak AS apabila tenteranya berundur meninggalkan negara itu," kata beliau.

Menurutnya, selain beberapa buah negara seperi Arab Saudi dan Mesir, perhatian Amerika Syarikat tertumpu kepada Indonesia, malah AS juga sudah menarik balik sekatan jualan dan bantuan ketenteraan yang dikenakan ke atas Indonesia sewaktu rejim pemerintahan presiden Suharto.

"Pasukan polis elit di Indonesia turut mendapat latihan di AS dengan bekerjasama rapat dengan CIA, FBI dan unit perisik Australia dengan tujuan utamanya memerangi aktiviti ‘pengganas'. Berdasarkan laporan Reuters, sekitar 2,800 pegawai tentera Indonesia pada masa ini sedang menjalani latihan di AS," ujarnya.

CheGuBard berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman sesawang FBI, pelatih akan di bawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington DC sebagai salah satu dari ‘komponen moral dan etika untuk latihan.’

"Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati terhadap Zionis Israel, mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestin dan mewajarkan dasar pro-Israel oleh AS," jelas beliau lagi.

Tambah CheGuBard, latihan untuk pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia telah bermula sejak 1964 di mana sejumlah 58 pegawai kanan polis terlibat termasuk penyertaan bekas Ketua Polis Begara, Tun Hanif Omar.

Daripada jumlah itu seramai 16 pegawai kini masih dalam perkhidmatan polis.

"Sewaktu kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ke Rumah Putih pada Mei 2002, Malaysia dan AS telah menandatangani deklarasi bersama untuk memerangi pengganas di Asia Tenggara. Pada 1 Julai 2003, Pusat Wilayah Asia Tenggara bagi Menentang Keganasan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Apa yang lebih menarik, bekas Presiden Bush telah mengumumkan penubuhan pusat itu sewaktu mesyuarat APEC di Mexico pada 2002.

"Pada 3 Mei 2002, Datuk Seri Najib Razak dalam syarahannya di Heritage Foundation di AS, mendedahkan bahawa Malaysia telah membenarkan kapal terbang tentera AS menggunakan ruang udara Malaysia sewaktu Operasi Enduring Freedom di Afghanistan. Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia membantu AS dalam menangkap dan menyerahkan suspek pengganas yang dikehendaki oleh AS," jelas beliau.

GheGuBard mendakwa Malaysia turut membantu AS menangkap dan menyerahkan suspek pengganas dikehendaki oleh AS seperti yang berlaku kepada beberapa individu yang ditahan ISA beberapa bulan lalu mempunyai kaitan dengan agensi risikan AS.

"Kami percaya penangkapan dan penghantaran pulang pelajar Islam luar negara baru-baru ini, dimulakan oleh agensi perisikan AS dan Australia yang merekarekacipta bukti terhadap aktivis Islam," ujarnya.

Justeru beliau menggesa Umno-BN supaya menghentikan segera Persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan dengan AS.

Sebaliknya, kerjasama patut dilakukan bersama India, Sweden, Iran dan lain-lain negara selain kuasa besar itu.

"AS seharusnya dihormati sebagai sebuah negara tetapi tidak boleh disembah sebagai tuan. Solidariti Anak Muda Malaysia sedang mempertimbangkan secara serius beberapa tindakan jika regim tidak mahu berganjak termasuk dengan 'menyerbu' persidangan tersebut," tegas CheGuBard. -SK


MAPPIM Dakwa Persidangan FBINAA Semai Kebencian Terhadap Pergerakan Islam

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPPIM) membantah dengan sekeras-kerasnya Persidangan FBI National Academy Associates Asia Pasifik (FBINAA) ke-13 di Kuala Lumpur kerana mendakwa Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat itu terlibat dalam strategi menentang pergerakan Islam diseluruh dunia dan melabelkannya sebagai kumpulan penganas.

"Ini adalah amat memalukan, kerana pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis yang menyeksa umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," kata Setiausaha Agung MAPPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mod Azmi FBI merupakan cabang ketenteraan kerajaan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain manakala National Academy melatih pegawai kanan polis dari AS serta mereka dari luar AS termasuklah dari Malaysia, Indonesia, Mesir, Arab Saudi, Israel dan lain-lain negara.

"Walaupun latihannya jelas untuk memajukan kepakaran penguatkuasaan undang-undang, ia juga menyampaikan maklumat kepada pelatih berkenaan persepsi AS berhubung isu global. Contohnya, pelatih akan diasak dengan kepentingan dan keperluan untuk memerangi keganasan global.

Pergerakan Pembebasan Kebangsaan seperti Hezbollah, Hamas dan penentangan terhadap pendudukan AS di Afghanistan dikategorikan sebagai pengganas," tambahnya dalam kenyataan itu.

Latihan untuk pegawai kanan polis Malaysia di Akademi itu bermula pada 1964 dengan penyertaan Penolong Pesuruhjaya Kanannya, Kassim Ali.

Sejak itu, sejumlah 58 pegawai kanan polis telah mengikuti kursus termasuklah bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Enam belas daripada kumpulan awal tersebut masih lagi di dalam perkhidmatan.

Selepas peristiwa 11 September, Polis DiRaja Malaysia menjadi rakan baru dalam memerangi pengganas global bersama AS kata MAPPIM.

Sewaktu kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir ke Rumah Putih pada Mei 2002, Malaysia dan AS telah menandatangani deklarasi bersama untuk memerangi pengganas di Asia Tenggara.

Beliau berpendapat Kempen 'Memerangi Keganasan Global' telah menimbulkan kesangsian.

Dasar, perancangan dan perjanjian yang dibuat di bawah pentadbiran Presiden AS yang baru, Barack Obama masih diteruskan.

MAPPIM berkata kini sudah tiba masanya untuk menghapuskan dasar ini dan keganasan yang dianggap sebagai jenayah yang perlu ditangani di bawah undang-undang negara dan antarabangsa.

"Malaysia perlu menilai semula hubungannya dengan AS memandangkan kepada dasarnya yang membawa kepada perubahan rejim di negara Islam yang merdeka, menggalakkan perpecahan antara mazhab, menyemai pertelingkahan sesama Islam dan juga antara negara Islam, dan penentangan terhadap pelaksanaan syariah untuk umat Islam," tambah Mohd Azmi.

Saranan Laporan Goldstone berhubung jenayah perang dan pencabulan hak asasi manusia oleh keganasan Israel ke atas Gaza pada November 2008 dan penubuhan jawatankuasa bebas antarabangsa untuk menyiasat keganasan Israel terhadap Freedom Flotilla dan pembunuhan sembilan sukarelawan kemanusiaan Turki digagalkan oleh tindakan AS untuk melindungi Israel.

"Kami merasa amat terkejut memandangkan kesengsaraan dan penderitaan saudara-saudara kita tidak menyentuh perasaan pegawai kanan polis kita. Bagaimana mereka boleh bekerjasama dan meraikannya dengan mereka yang menimbulkan kekacauan di dunia Islam.

"Kami menggesa kerajaan menghentikan segera Persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan di AS. Sebagai ganti mereka boleh dilatih di negara lain seperti India, Sweden, Iran dan lain-lain negara yang tidak mempunyai agenda hegemoni," kata Mohd Azmi lagi. -SK


Kenaikan Harga Berlaku Secara Senyap, Demo Protes Untuk Turunkan Najib & UMNO

Pengumuman Kenaikan Harga 'Secara Sembunyi', Persatuan Pengguna Kesal

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Selangor, Datuk Dr. Jacob George kesal dengan tindakan kerajaan yang tidak memaklumkan kepada rakyat terlebih dahulu berikutan kenaikan lima barangan keperluan harian.

Ujar beliau, kerajaan seharusnya bertindak proaktif dan tidak membebankan masyarakat pengguna khususnya mereka yang berpendapatan rendah.

"Hanya saya dukacita, bila buat pengumuman itu, buat dengan cara sembunyi. Tidak perlu buat seperti itulah lain kali. Seminggu sebelum itu tolong beri satu tarikh. Beritahu pada masa ini, kita sudah ada masalah dan kita akan tarik balik 10 atau 5 sen.

"Jadi minda kita sedia, boleh kita buat adjustment sikit," katanya.

Dr Jacob sebaliknya menggesa kerajaanmempertimbangkan pemberian subsidi kepada syarikat-syarikat milik kerajaan dan juga pemberian subsidi gas kepada Penjana Kuasa Bebas (IPP).

Beliau juga mencadangkan satu jawatankuasa dibentuk bagi memastikan bantuan subsidi kepada kelompok sasaran, benar-benar kesampaian.

"Rayuan saya masih sama. Kita tidak mahu monopoli kepada gergasi-gergasi yang bawa masuk gula dan sebagainya. Di sanalah kita nampak ada salah guna kuasa dan macam-macam cerita.

"Kita tarik balik subsidi dan pertolongan yang diberikan kerajaan dari atas ke bawah. Kita jangan mula dari atas ke bawah, macam selalu. Kita target orang-orang atasan. Korporat GLC. Orang yang dapat subsidi, kita potong dari atas," katanya. -TVS


Kenaikan 5-dalam-1: PROTES rancang ke jalanan

Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (PROTES) sedia turun ke jalanan bagi membantah tindakan kerajaan menaikkan harga petrol, diesel, gula dan gas petroleum cecair (LPG) mulai tengah malam tadi.

"Kita tidak menolak kemungkinan untuk turun ke jalan raya (bagi membantah kenaikan harga itu)," kata Penyelaras PROTES, Dr Mohd Hatta Ramli ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Sehubungan itu, katanya, gabungan berkenaan dijadualkan bermesyuarat pada Ahad ini bagi mengkaji dan menentukan tindakan-tindakan yang lain.

Menurutnya, mesyuarat tersebut akan diadakan di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut pada jam 10 pagi.

"Kita tidak menolak kemungkinan turun ke jalan raya dalam masa terdekat. Pengalaman kita yang lepas bila rakyat tunjukkan kemarahan, baru kerajaan sedar dan akur dengan kesusahan rakyat," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

PROTES terdiri daripada gabungan daripada parti politik dan NGO antaranya Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) dan MTUC.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan harga petrol, diesel, gula dan Petroleum Gas Cecair (LPG) naik berkuatkuasa hari ini.

Petrol RON 95 dan diesel naik 5 sen mankala RON97 tidak lagi diberikan subsidi. Ia tertakluk kepada apungan secara terkawal, dengan harga ditentukan oleh mekanisme harga automatik, berikutan penyelarasan harga subsidi yang diumumkan kerajaan.

Harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Menurut Najib, dengan kenaikan yang didakwa sebagai 'penyelarasan harga' tersebut, kerajaan dijangka dapat menjimatkan RM750 juta perbelanjaan negara tahun ini.

Sementara itu, Harkahdaily melaporkan bagi PROTES, strategi kerajaan itu akan terus membebankan rakyat biarpun kerajaan mendakwa kenaikan itu kecil dan tidak membebankan.

Dr Hatta dipetik sebagai berkata kenaikan tersebut mencerminkan bahawa senario ekonomi negara gagal dipulihkan seperti yang dicanangkan Najib melalui Dasar Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sebelum ini.

"Kononnya akan tumbuh 6 peratus, tetapi kenaikan ini tentunya memberi jawapan sebaliknya," ujar beliau yang juga Bendahari PAS Pusat.

Dalam pada itu, beliau turut mempertikai tindakan kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan mendakwa kenaikkan harga gula dan minyak itu bakal meninggalkan kesan berantai pada rakyat.

"Najib mungkin anggap langkah itu bijak dan menguntungkan kerajaan, sedangkan kenaikan harga barang-barang ini sudah tentu memberi kesan berantai (seperti) inflasi dan kos hidup melambung naik," tkatanya.

Mengulas alasan kerajaan kononnya pemotongan subsidi ini bagi menyediakan perbelanjaan yang lebih kepada sektor kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia, Hatta berkata ia tidak wajar kerana Klinik 1Malaysia bersifat program politik Umno-BN.-mk