27 Apr 2015

Ketua Pemuda PAS PP Akan Dikenakan Tindakan Disiplin


Tindakan disiplin pada ketua pemuda PAS PP

Tindakan disiplin akan diambil terhadap Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah (gambar atas) yang bertegas memboikot gerak kerja Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata perkara itu akan dijalankan dalam tempoh terdekat kerana ia bercanggah dengan pendirian jawatankuasa pusatnya untuk membantu PKR.

“Siasatan dan tindakan tegas akan diambil oleh jawatankuasa Pusat PAS terhadap ketua pemuda PAS Pulau Pinang dalam tempoh terdekat,” kata Mohamad.

Pemuda PAS Pulau Pinang semalam dilapor bertegas tidak akan membantu gerak kerja Pakatan di Permatang Pauh setelah Pemuda PKR (AMK) negeri masih tidak memohon maaf kerana didakwa memfitnah presiden mereka.

Mohd Yusni berkata tindakan itu akan diambil setelah tamat tempoh diberi sehingga kelmarin, lapor Bernama.

Justeru, katanya, Pemuda PAS negeri tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai pentas ceramah sepanjang tempoh berkempen. -mk

BOIKOT PILIHANRAYA: BENARKAH KERANA HUDUD

Polimik Pemuda Pas Pulau Pinang terhadap kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh berterusan sehingga hari ini walaupun di peringkat Pas Pusat dan Pas Pulau Pinang telah pun di selesaikan oleh kedua dua pemimpin tertinggi parti ini.

Dalam kenyataan terbaru Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang Yusni Mat Piah yang hilang deposit kerana hanya mendapat 690 undi sahaja dari lebih 16 ribu pengundi berkata tempoh permohonan maaf telah pun berakhir.

Sebenarnya isu boikot pilihanraya oleh Pas terhadap calon calon PKR bukanlah perkara baru cumanya sama ada ianya di nyatakan secara umum ataupun di lakukan senyap senyap dan ianya berlaku di setiap negeri.

Dalam pilihanraya kecil yang di tandingi Anwar pada tahun 2008 misalnya pemuda Pas Pulau Pinang di bawah Hafiz Nordin telah pun secara terang terangan mengarahkan pemuda Pas Pulau Pinang agar memboikot prk tersebut walaupun tidak timbul sama sekali isu hudud pada ketika itu.

Ramai pengundi pengundi luar yang di pindahkan ke Permatang Pasir tidak keluar mengundi kerana ada di kalangan ahli Pas yang pro umno di amanahkan memegang senarai nama pengundi luar tidak mahu membawa keluar pengundi terutamanya dari kalangan warga tua dan wanita keluar mengundi walaupun wang petrol kereta pembawa pengundi telah pun di berikan.

Kumpulan ahli Pas yang pro umno ini sememangnya sangat benci kepada Anwar, Pkr dan orang bukan Islam sejak dari pilihanraya 1999 lagi.

Malah kumpulan ini juga mula timbulkan rasa kebencian ahli Pas kepada adun Pas Permtang Pasir pada ketika itu Allahyarham Hamdan Abdul Rahman kerana bagi mereka Adun Pas ini menyokong parti PKR yang secular sehinggakan Allahyarham juga telah di boikot sehingga menyebabkan dalam PRU 2008 Pas hanya menang dengan majority kurang dari 600 undi.

Kumpulan Pas pro Umno ini sebenarnya hanya menjadikan isu hudud sebagai alasan kukuh mereka untuk berkempen secara terbuka agar Pas memboikot pilihanraya ini sedangkan mereka sebenarnya sudah sekian lama tidak pernah mengundi PKR di Permatang Pauh.

Dendam terhadap PKR oleh kumpulan Pas pro Umno ini semakin membuak buak apabila Ketua Pemuda Pas Yusni Mat Piah kalah dengan amat memalukan dalam pertandingan 3 penjuru di Sungai Aceh sedangkan musuh mereka PKR mendapat undi 21 kali ganda dari Yusni Mat Piah.

Kekalahan yang sangat memalukan kumpulan Pas Pro Umno ini telah membuktikan bahawa mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat walaupun bersungguh sungguh berkempen bersama Umno untuk mengalahkan PKR di Sungai Acheh.

Inilah isu sebenarnya iaitu dendam kesumat yang tidak ada akhirnya terhadap Anwar, PKR dan orang bukan Islam dan menjadikan hudud sebagai alat kepada kepentingan nafsu mereka.

Percayalah walau pemimpin PKR bersumpah dengan nama Tuhan sekali pun bahawa mereka menyokong hudud kumpulan Pas Pro Umno seperti Pemuda Pas Pulau Pinang sama sekali tidak juga akan mengundi PKR atau mana mana parti yang bagi mereka selain dari Pas semuanya kafir.

Maka biarkanlah mereka dengan kerja kerja mereka kerana hanya yang mahu jalan ke belakang saja yang akan bersama sama mereka.

Mengharapkan orang yang berjalan kebelakang untuk sampai kepada kita adalah sangat mustahil kecuali kita turut sama berjalan ke belakang.
-WA


[FORUM] PAS Akan hancur Jika Kemelut Dibiarkan - Ahmad Awang


PAS berpecah selepas ‘ulama muda’ mahu kuasai parti, kata bekas naib presiden

Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang mengatakan kemunculan kumpulan ulama muda bercita-cita tinggi dan mahu menguasai sepenuhnya parti Islam itu sebagai punca kepada kemelut yang melanda pada ketika ini.

Ahmad yang sudah mendapat cukup pencalonan untuk melawan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berkata, kumpulan tersebut merasakan mereka sepatutnya menguasai parti selepas berada dalam keadaan kukuh hasil kerjasama dengan parti Pakatan Rakyat (PR) PKR dan DAP.

"Jadi maknanya, punca kepada perkara ini antaranya ada golongan terbaru ini (ulama muda), kerana mereka sekarang merasakan mereka yang sepatutnya patut menguasai parti sebab PAS sudah ke depan dan berada di persada politik tanah air," katanya dalam satu forum yang diadakan di Ampang, Selangor malam tadi. Beliau turut merasmikan buku "Melakar Agenda", tulisan Dr Mujahid Yusof Rawa.

Turut hadir dalam forum tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang Saari Sungib.

Menurut Ahmad, kumpulan ini juga menentang kuat kerjasama PAS dengan PR kerana mereka mungkin tidak sedar kejayaan parti sebenarnya hasil daripada kerjasama dengan PKR dan DAP.

"Mereka ini mendapat nikmat hasil kemenangan Pakatan tapi bagi saya mereka ini terlupa kemenangan ini sebab ada Pakatan," katanya.

Memberikan contoh kemenangan PAS di Selangor, Ahmad berkata mustahil untuk parti Islam itu menang 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) jika tanpa kerjasama PR.

"Kalau PAS sahaja bertanding secara sendirian saya tidak percaya PAS boleh dapat 15 DUN di Selangor ini,"
katanya.

Beliau juga mengkritik kumpulan ulama muda ini yang disifatkannya lupa daratan kerana tanpa PR, kejayaan PAS tidak mungkin akan berjaya seperti sekarang.

"Kalau masa tidak ada peluang menang dahulu, ustaz-ustaz ini kalau ditawar jadi calon pun, belum pasti sanggup bertanding.

"Sekarang ini, masing-masing nak jadi calon pasal nikmat, berebut nak pegang jawatan di peringkat kawasan dan negeri," katanya.

Ahmad juga mempersoalkan kumpulan ulama muda kerana mudah memberi label seperti liberal atau sekular kepada individu tertentu walhal mereka tidak pernah memahami istilah pengorbanan yang terpaksa dihadapi pemimpin PAS sebelum dapat mengecap kejayaan sekarang ini.

"Orang-orang ini tidak pernah berasa susah, bila mereka balik sudah lihat semua sudah mudah dan bercahaya, orang dahulu seperti Mat Sabu (Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu ), Dr Hatta (Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli), Saari Sungib (Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang), mereka ini semua masuk penjara,"
katanya.

Sebelum ini, Ahmad juga pernah membangkitkan mengenai serangan ke atas Mohamad yang dibuat melalui baju-T dijual di Himpunan Derita Rakyat (Hindar) anjuran Dewan Ulama PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam himpunan itu, seorang penjual menjual baju yang tertulis "Yes to Hudud, No to Mat Sabu" di sebuah gerai di himpunan itu.

Ahmad juga menegaskan masalah yang sedang melanda parti itu sangat teruk, tidak kecil seperti dakwaan presidennya, Hadi.

Jika dibiarkan berterusan, parti boleh hancur, kata Ahmad yang pernah berkhidmat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu.

PAS pada ketika ini dilanda kemelut dalaman akibat perbezaan pendapat sama ada mahu bersama atau meninggalkan PR. Selain itu, presiden PAS sering kali melakukan tindakan yang menentang parti PR seperti DAP dan PKR.

Antaranya ialah langkah PKR menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor dan pilihan raya kecil DUN Kajang.

Kemelut itu berpanjangan apabila Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dipilih sebagai calon untuk jawatan menteri besar, tetapi tidak dipersetujui PAS terutama Hadi, walaupun PKR dan DAP setuju hanya satu nama harus dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Keadaan menjadi bertambah buruk dengan keputusan PAS Kelantan meminda Enakmen Jenayah Syariah II negeri itu, dalam usaha membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan, disusuli tindakan Hadi membelakangkan PR dengan memohon membentangkan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat, bagi meminda Akta Mahkamah Syariah 1965.

Tahun lepas, akibat keadaan yang tidak stabil dalam PAS itu, beberapa ahli parti Islam itu memutuskan menubuhkan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) bertujuan mengukuhkan hubungan dalam PR.

Ahmad masih belum membuat keputusan untuk melawan Hadi, tetapi sekiranya berlaku pertandingan beliau mengharapkan amalan demokrasi diamalkan dengan baik.

Ahmad juga dilihat sebagai seorang tokoh ulama yang perlu diketengahkan. -TMI

Kalau Takut Katakan Takut Wahai Ahmad Maslan....


Ahmad Maslan tolak jemputan Pakatan untuk debat GST

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata beliau tidak memerlukan pentas pembangkang untuk memberi penerangan tentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Ahmad berkata tidak perlu bagi beliau menerima jemputan sebagai ahli panel forum GST daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang kerana pembangkang terang-terang menafikan kebaikan sistem itu.

AMK Pulau Pinang dilapor menyerahkan surat jemputan sebagai ahli panel forum GST 2 Mei ini kepada Ahmad semasa lawatan beliau ke tapak ekspo Seberang Jaya, 23 April lepas.

"Saya tidak mahu berdebat di pentas mereka bukan kerana saya takut... di Dewan Rakyat sudah berkali-kali saya jawab. Saya ada banyak pentas dan medium lain untuk jelaskan (GST).

"Mereka (pembangkang) perkara yang betul pun mereka akan putar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Pulau Pinang kali ke-39, di George Town, hari ini.

Beliau berkata persepsi negatif mengenai GST dalam kalangan masyarakat disebabkan kurang pemahaman tentang konsep percukaian baharu itu dan sikap tamak segelintir peniaga yang memanipulasi GST untuk mengaut untung.

"Peniaga tidak beretika membentuk persepsi umum yang silap...sedangkan mereka (peniaga) boleh tuntut semula cukai input yang dibayar," katanya. – Bernama


GST: Mufti dan ahli akademik sindir Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Ahli akademik Prof Madya Datuk Dr Mohamad Agus Yusof menyindir Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang membuat kenyataan memperkecilkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menerusi Facebook peribadinya, Dr Mohamad Agus meminta supaya debat di antara Dr Mahathir dan Ahmad diadakan untuk mencari siapa sebenarnya yang tidak faham dalam isu GST.

"Apabila Datuk Ahmad Maslan cakap Tun Mahathir tidak faham GST, saya fikir ada baiknya kedua-dua pemimpin ini berdebat secara terbuka.

"Saya ingin melihat siapa yang lebih faham.

"Yang pastinya saya tidak rasa GST menyebabkan harga barang turun seperti mana dakwaan Datuk Ahmad Maslan. Jadi, siapa sebenarnya yang tidak faham?" tulis beliau.

Selain Dr Mohamad Agus, mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut menyindir Ahmad dalam isu yang sama.

"Jika Tun M dikatakan tidak faham GST, apakah rakyat Malaysia yang hampir kesemua mereka tidak lebih berpengalaman tentang ekonomi negara dari Tun M akan lebih faham tentang GST?

"Jika orang yang dianggap oleh majoriti rakyat Malaysia sebagai 'kurang cerdik' (mengelakkan perkataan bodoh) disebabkan kenyataan-kenyataannya tentang GST, dia menyatakan Tun M yang terkenal dengan kepintarannya itu tidak faham GST, apakah si pembuat kenyataan itu lebih bijak dibandingkan Tun M?" soal beliau menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dr Mohamad Agus dan Dr Mohd Asri mengulas kenyataan Ahmad yang mendakwa Dr Mahathir masih belum memahami sepenuhnya maksud GST sehingga dilihat mahu mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang jelas lebih tinggi cajnya kepada rakyat.

Dalam nada yang lebih sinis, Dr Mohd Asri berkata mereka yang dilihat oleh rakyat sebagai kurang cerdik tidak sepatutnya diberikan tugas penting.

"Saya terfikir, dalam fekah orang yang safih (bodoh atau kurang cerdik), tidak boleh diserahkan pengurusan harta sekalipun miliknya sendiri. Persoalannya, apakah mereka dalam kategori ini boleh diserahkan urusan negara yang membabit rakyat yang ramai?

"Patutkah golongan sufaha (kata banyak untuk safih iaitu bodoh ataupun kurang cerdik) diserahkan kepada mereka jawatan penting seperti menteri dan seumpamanya?" soal Dr Mohd Asri.
-astroawani