5 Apr 2010

Masyarakat Felda Terbela Di Tangan Pakatan Rakyat

.Nasib masyarakat felda di Selangor jauh lebih terbela di tangan pemerintahan Pakatan Rakyat berbanding dalam cengkaman Barisan Nasional, berdasarkan dua tahun pentadbiran mutakhir di negeri ini.

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan kepimpinan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam usaha merakyatkan ekonomi ke semua kaum dan lapisan masyarakat.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau prihatin dengan masalah peneroka Felda dan berusaha membawa perkara itu ke peringkat tertinggi.

"Yang penting, dia janji, dia tunaikan. Itu baru dua tahun perintah. Kita janji air, dah selesai. Orang mati, ada tabung khairat..Saya dengar tadi dia janji seperti mana dia bincang beberapa bulan yang lalu.

"Saya baru masuk pejabat selaku Penasihat Ekonomi Selangor, ada bincang masalah tanah. Tanah termasuk dalam kawasan Felda. Malah, saya janji akan bawak masalah felda ke Parlimen," katanya.

Anwar sebaliknya menyelar tindakan kerajaan Selangor pimpinan Umno Barisan dahulu yang hanya pandai menabur janji kononnya mahu menyelesaikan masalah rakyat tapi mereka tidak pernah menunaikannya.

"Bayangkan. Hendak tolong Melayu kena lapan tahun tunggu, akhirnya 10 tahun tunggu pun tak dapat. Tapi, Menteri Besar Pakatan Rakyat cakap, terus selesai masalah dengan cepat," katanya. -TVS



Tian Chua Hantar Notis Desak Batal Perjanjian APCO

Ahli Parlimen Batu Tian Chua menghantar surat kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi mendesak kerajaan membatalkan perjanjian APCP Worldwide Sdn Bhd.

"Saya mohon mencadangkan bahawa Parlimen Malaysia mendesak kerajaan segera membatal perjanjian APCO Worldwide Sdn Bhd dan menghentikan kerjasama sama sekali kerana ia mengancam keselamatan dan mencabuli kedaulatan negara.

"Penglibatan APCO secara tidak langsung dalam pentadbiran negara Malaysia ataupun penasihat kepada Perdana Menteri akan menggadaikan maruah kepada Zionis,"

"Latar belakang APCO dan Asero Worldwide yang memberikan khidmat kepada Israel mendatangkan kecurigaan kepada orang ramai dengan Asero yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon merupakan bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan Israel,"

"Tambahan pula pegawai-pegawai di Asero terdiri daripada bekas pegawai perisikan Israel, bekas Mossad dan Shabak manakala di dalam APCO sendiri terdapat juga tokoh perisikan Israel seperti Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein yang boleh mendatangkan ancaman besar kepada keselamatan negara," ," kata Tian dalam notis tersebut.

Tian megemukakan usul tersebut menggunakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) untuk menangguhkan mesyuarat esok bagi membincangkan isu APCO yang menglibatkan keselamatan negara dan mempunyai kepentingan ramai. -SK/TVS



Ilusi Janji Manis BN Di Hulu Selangor

Janji ilusi Najib mahu menyedarkan semua pengundi Hulu Selangor daripada tidur lena. Hari ini Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak buat seribu janji cepumas kepada semua pengundi Hulu Selangor supaya percaya pengumuman dari Lampu Aladdin BN bahawa projek beratus juta akan diberikan kepada rakyat Hulu Selangor. Mahu masjid ada. Mahu sekolah ada. Bantuan orang Asli ada.

TV3 kumpulkan "3bangsa dalam 1BN". Melayu, Cina dan India. Bercakap serentak "Ohhhh bagus punya Umno, boleh bikin 3bangsa dalam 1BN. Semua projek PRU-13 baru boleh bikin".

Terlalu mendambakan 1Malaysia sehingga iklan-iklan komersial juga di mestikan mengikut piawaian 1Malaysia, mesti ada Cina, Melayu dan India. Hebat penangan slogan Najib 1Malaysia.

Pilihan raya kecil Permatang Pauh? Penanti? Berjuta projek Najib sudah berjanji, hingga sekarang belum buat lagi. Di pilihan raya kecil Bagan Pinang, Negeri Sembilan BN menang, mana janjimu? Tunggu dulu kerana ekonomi kerajaan BN merundum.

Shafie Apdal tabur janji, umumkan projek berpuluh juta ringgit di Hulu Selangor. Boleh percayakah Kerajaan BN ada duit? Selesai PRK semua projek akan ditunda sekali lagi, kira-kira dekat PRU-13 nanti buat janji lagi. Tipah tertipu lagi. 53 tahun sudah kita pelajari taktik Umno-Perikatan-BN buat janji sebagai pemanis mulut, seperti yang diajar dalam kursus untuk Putera Puteri Umno.

Umno memang cukup sinonim dengan episod ‘janji manismu’. Atau mungkin juga janji-janji tidak dapat dikotakan kerana pengundi tetap menghadiahkan undi keramat mereka kepada calon Pakatan Rakyat. Itu pasal Umno pura-pura lupa dengan apa yang mereka telah janjikan kepada setiap pengundi-pengundi sebelum itu.

Tidakkah Umno tidak sedar lagi bahawa rakyat sudah lama tersedar dari lena yang panjang. Rakyat sudah tidak makan lagi pujuk rayu dari pihak Umno. Lihat sahaja pada pilihan raya kecil sebelum ini, cuma dua kerusi sahaja yang mampu Umno-BN pertahankan, yang lain apa cerita? Sehinggakan, kerusi Umno di Kuala Terengganu sekali pun telah rakyat Kuala Terengganu serahkan kepada Pakatan Rakyat. Masih belum sedarkah lagi warga Umno ini?

Kini, epilog taburan janji dan pelukan mesra serta tegur sapa pemimpin Umno dilihat berlumba-lumba mewarnai pengundi-pengundi di Hulu Selangor. Pelbagai janji-janji muluk dan indah di dambakan kepada rakyat Hulu Selangor.

Kita mahu lihat, apakah janji-janji ini hanya sekadar tinggal janji selepas PRK di Hulu Selangor nanti? Atau mungkinkah drama-drama bersiri Umno ini akan berakhir seperti sejarah terdahulu? Wallahu’alam bisawab, hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Para pemimpin Umno lebih angkuh lagi kalau menang dalam PRK Hulu Selangor. Seperti angkuhnya mereka dalam tahun 2004 mereka hampir saou habis kerusi Dewan Rakyat. Ketika itu majoriti orang muda yang baru berusia 18 tahun, kini sudah 20an mereka tukar kerajaan neheri Selangor kepada Pakatan Rakyat pada 2008. Kerana halatuju Pakatan Rakyat sejajar dengan aspirasi angkatan muda pada masa kini.

Hari ini Umno masih meneruskan monolog mereka demi suatu kenyataan yang amat perit untuk mereka terima. Maka kerana itulah mereka mengutilisasikan kuasa ditangan mereka untuk menggunakan segala kesempatan dan ruang yang ada untuk memperdayakan rakyat Malaysia. Selamat mencuba dan terus mencuba, cakap berdegar-degar pun tiada manfaatnya, kita tunggu dan lihat sahaja PRK Hulu Selangor nanti atau cabaran yang lebih mencabar lagi ialah pada PRU-13 kelak.

'We’ll see how it goes'.

Kalau Najib benar-benar nak tolong rakyat kenapa tidak tawarkan sahaja setiap rakyat Hulu Selangor saham percuma Petronas secara tunai bukan selepas PRK Hulu Selangor ia akan "dipertimbangkan". Kalau kerajaan BN benar-benar serius, kenapa tidak bagi sekarang sijil saham percuma Petronas kepada setiap pengundi Hulu Selangor?

Kesimpulannya pengundi seperti biasa dijanjikan bintang, bulan, lautan emas dan apa sahaja yang bunyinya muluk- muluk walhasil balik asal lalu jambatan tongkat dibuang, biasanya yang sudah berlalu jadi contoh, para pemimpin Umno-BN tidak komited dengan janjinya kepada rakyat di pilihan raya kecil Permatang Pauh, Kuala Trengganu, Penanti, Bagan Pinang dan Batang Ai, Sarawak. Selesai bicara PRK perkara projek pembangunan belang kira. -Datuk Halik Zaman (SK)

MP Indera Mahkota saman Utusan RM29 juta

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail memfailkan saman fitnah RM29 juta terhadap Utusan Malaysia berhubung rencana yang mendakwa beliau telah keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disiarkan awal bulan lalu.

Kes saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini.

Ketika dihubungi Azan mengesahkan yang beliau telah memfailkan kes saman fitnah terhadap akhbar berkenaan.

Akhir bulan lalu, Azan yang juga bekas timbalan pengerusi PKR Pahang membuat aduan polis berhubung laporan Utusan yang disifatkannya telah menfitnah beliau telah keluar dari PKR.

Azan dalam laporannya berkata, akhbar Utusan Malaysia dengan sengaja mencetak laporan bertajuk “Bahtera Siapa Semakin Bocor?” dengan tujuan memburukkan namanya dan parti tersebut yang disiarkan pada 6 Mac lalu.

Dalam laporan itu Azan mendakwa akhbar itu juga sengaja mencetak ruangan ralat dan menyatakan beliau tidak keluar dari PKR tetapi meletakkan semua jawatan dalam parti itu termasuk timbalan pengerusi negeri dan Pengerusi Biro Keahlian Negeri.

“Kedua-dua laporan itu tidak benar dan hanya bertujuan menunjukkan bahawa saya Ahli Parlimen yang tidak bermoral, tidak berpegang kukuh kepada kepimpinan Ketua PKR dan tidak mempedulikan penduduk Indera Mahkota.

“Tulisan itu memberi implikasi sebagai pemimpin yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan air muka dan maruah saya,” kata beliau sebelum ini.

Beliau berkata, kesan daripada tulisan itu menyebabkan reputasinya sebagai Ahli Parlimen terjejas dan dipandang rendah masyarakat.



Penglibatan APCO, Majlis Raja-raja Perlu Campurtangan

Majlis Raja-Raja Melayu diminta campur tangan terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan melantik Majlis Penasihat Antarabangsa Apco Worldwide (IAC) sebagai syarikat perunding kepada komunikasi negara.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, ini penting kerana dengan penyertaan syarikat yang dikaitkan dengan jaringan Zionis-Israel, boleh meletakkan tahap keselamatan negara dalam bahaya.

“Selain menubuhkan Suruhanjaya Diraja, Majlis Raja-Raja Melayu juga perlu campur tangan kerana isu ini secara tak langsung membabitkan kepentingan negara dan Islam, selain keselamatan negara dan boleh menjadi ancaman pada keamanan negara,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, adalah mustahil maklumat negara tidak bocor kerana fungsi sebenar Apco adalah menguruskan komunikasi strategik ke atas rakyat.

“Sebelum ini, sebuah syarikat komunikasi antarabangsa pernah menjual maklumat strategik kepada Amerika ketika meletusnya Perak Teluk di Asia Barat, tidak mustahil perkara sedemikian berulang di Malaysia,” katanya.

Mahfuz berkata, kemungkinan kerajaan Malaysia turut memberikan maklumat yang strategik kepada Apco kerana Apco tidak berupaya memberikan nasihat yang strategik.

“Kalau tidak diberi maklumat yang strategik seperti demografi negara, bagaimana Apco dapat memberi nasihat. Dengan maklumat strategik ini, bermakna keselamatan negara terdedah kepada pihak luar,” katanya.

Menurutnya, keputusan kerajaan melantik Apco Worldwide sebagai syarikat perunding komunikasi 1Malaysia turut memperlihatkan UMNO sebagai tali barut Israel.

“UMNO tidak mampu menyatakan komitmennya terhadap syarikat itu walaupun syarikat itu umumnya dikatakan sebagai pro Zionis Israel. Ini menyerlahkan UMNO adalah tali barut Yahudi kerana mereka tidak menyatakan pendiriannya,” katanya.

Mahfuz berkata, rakyat perlu diperjelas alasan kukuh kenapa syarikat itu yang menjadi pilihan, sedangkan masih banyak lagi syarikat perunding lain di dunia.

“Saya curiga kerana kerajaan melantik Apco secara tender eksklusif sedangkan Apco dibayangi oleh beberapa pemimpin Zionis Israel antaranya bekas Duta Kehormat Israel ke Jerman, Shimon Stein; bekas Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat, Profesor Ittamar Rabinovich; anggota perisik di ISA, David Heral; serta proksi Yahudi, bekas pembantu khas kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush, Elliott Abrams,” katanya.

Mahfuz turut mempertikai sama ada pelantikan Apco membabitkan individu tertentu di dalam kerajaan memandangkan ia bukan tender terbuka, tetapi dilantik khusus. -SH

DSAI : Nak Gantung Saya Dari Parlimen? Silakan!

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau rela digantung daripada menghadiri sidang Parlimen berhubung pendedahan hubungkait kerajaan Umno-Barisan Nasional dengan firma perunding antarabangsa, APCO Worldwide yang pro-Zionis Israel.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh sebaliknya mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya tampil menjawab persoalan yang beliau timbulkan di dalam Parlimen antara kaitan APCO dengan bahagian perisikan Israel, Shin Bet serta butiran perjanjian yang ditandatangi antara kerajaan dengan firma tersebut.

"Esok (Isnin) mereka (Ahli Parlimen Umno-BN) akan mengemukakan usul untuk menghadapkan saya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dengan tujuan untuk menggantung saya mungkin tiga, enam bulan atau lebih. Saya bersedia menghadapi tindakan mereka itu kalau ini bermakna saya mendedahkan mengenai terhadap risiko keselamatan negara melalui perjanjian kerajaan dengan APCO.

"Saya sudah bongkar cerita APCO tetapi sehingga kini Najib tidak jawab apa yang saya tanya," kata Anwar semasa beucap pada Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sg Tengi semalam.

Anwar juga membidas Pergerakan Pemuda Umno yang seringkali menjadikan amalan menghunus keris apabila menuduh beliau mengkhianati Melayu tetapi senyap bila berhadapan dengan isu APCO.

"Mana dia Pemuda Umno yang suka menghunus keris, kononnya nak mempertahankan hak Melayu. Kenapa senyap bila kerajaan sendiri bersekongkol dengan firma yang dipimpin oleh bekas Ketua Perisikan Israel? Mengapa mereka terus menyokong perasuah dan penindas yang menjadi agen kepada APCO dan mengkhianati kepentingan Melayu?," tanya Anwar lagi. -SK

PRK Hulu Selangor : Calon PR Diketahui Esok

Spekulasi siapa yang akan mewakili Pakatan Rakyat bagi pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor akan diketahui selewatnya hari Selasa ini.

Ketika berucap di Majlis Penerangan Kerajaan Negeri Selangor di Kampung Desa Maju, Sg Tengi semalam Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan calon yang dipilih kelak adalah yang terbaik bagi membawa bendera KEADILAN dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil 25 April depan.

Secara berjenaka Anwar berkata berbanding dengan Pilihan Raya Umum 2008 di mana parti menghadapi masalah mencari calon yang berkaliber dan bersesuaian senario kini sudah berubah.

"Kita akan umumkan nama calon satu, dua hari lagi. Sekarang keadaan sudah berubah, calon lebih ramai daripada pengundi.

Dulu masa pilihan raya umum 2008 susah nak cari calon yang sesuai, sebab tu ada yang lompat. Saya minta maaflah pasal hal ini kerana masa tu kita pilih mana yang ada. Tapi tidak apa ini menjadi satu pengajaran kepada kita.

"Ada baiknya sekarang ramai calon kerana ini bermakna ramai calon yang layak, yang bagus-bagus semua," kata Anwar kepada lebih 500 penduduk Sg Tengi yang memenuhi Dewan Felda Sg Tengi dimana majlis diadakan.

Turut hadir pada majlis penerangan tersebut termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, Exco, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri serta kepimpinan KEADILAN peringkat pusat dan negeri.

PRK diadakan berikutan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, 71, meninggal dunia akibat barah otak 25 Mac lalu.

Allahyarham mengalahkan calon Barisan Nasional, Datuk G. Palanivel dengan majoriti tipis 198 undi.

Sementara itu laporan Bernama menyatakan Barisan Nasional dijangka mengumumkan calonnya pada 15 April.