7 Mac 2012

BN Bererti "Bankrapkan Negara"

BN - Bankrapkan Negara

Keadaan di Malaysia jelas menunjukkan bahawa negara ini sedang menuju ke arah kebankrapan yang tidak dapat dielakkan lagi. Ya, singkatan BN ini telahpun digelar Bankrapkan Negara dalam erti kata yang sebenarnya.

Jika sekiranya hutang negara yang kini berjumlah lebih RM456 billion ini ditambah pula dengan tanggungan luar jangkaan sebanyak RM97 billion lagi (belanjawan tak terkawal), negara ini akan menanggung hutang sejumlah RM553 billion, suatu jumlah yang telah melebihi 63% daripada keluaran dalan negara kasar (KDNK).

Menurut Akta Pinjaman 1959 dan Akta Peruntukan Kerajaan 1983, kadar hutang negara tidak sepatutnya melebihi 55% daripada KDNK.

Dan jika sekiranya tanggungan luar jangkaan sebanyak RM97 billion itu tidak dicampurkan bersama dengan beban hutang negara sebanyak RM456 billion, kadar tersebut tidak akan menjangkau lebih 63% daripada KDNK, tetapi hanya akan terletak pada kadar 53.5% daripada KDNK iaitu kurang sedikit daripada 55%. Penetapan kadar yang lebih rendah itu sudah pasti melegakan kebimbangan kerajaan persekutuan BN yang tidak akan menampakkan penyelewengan kewangan negara yang terlalu jelas.

Malah, ahli parlimen PAS Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad telah berkali-kali memberi amaran kepada perdana menteri dan presiden Umno Datuk Najib Razak agar tidak membohongi rakyat kononnya defisit negara kita telah berkurangan. Dr Dzulkefly turut menambah kerajaan Greece telahpun menjadi bankrap akibat daripada lebihan belanjawan luar jangkaan yang terlalu tinggi.

Kerajaan persekutuan BN kini sedang berbelanja besar melalui pemberian peruntukan kepada kroni-kroninya yang begitu ramai dan jiga ianya berterusan, adalah dibimbangi negara ini akan menjadi bankrap sepenuhnya sebelum tahun 2019 menjelang.

Disebabkan itulah, kerajaan persekutuan BN beria-ria mahu melaksanakan skim GST (Cukai Perkhidmatan dan Barangan). Perbendaharaan negara kini hampir kering. Sehinggakini, boleh dikatakan kerajaan ini sekarang sedang diuruskan tanpa mempunyai aliran tunai yang kukuh.

Sebaik sahaja negara ini menunjukkan tanda-tanda akan tumbang, ia semestinya akan tumbang tidak lama lagi. Tumbangnya negara ini adalah kerana penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan kapitalisma kroni-kroni yang amat berleluasa.


Dan jika sekiranya BN berjaya memenangi pilihanraya umum ke-13 yang akan datang, kerajaan persekutuan BN akan mengambil langkah-langkah yang lebih drastik untuk mengisi semula perbendaharaan serta dana sampingannya dengan perlaksanaan pelbagai jenis percukaian baru yang bakal membebankan lagi rakyat jelata. Kerajaan ini tidak akan mengurangkan belanjawannya, tetapi akan terus bersikap boros seperti sekarang.

Subsidi-subsidi khususnya untuk keperluan harian akan ditarik balik satu demi satu dan penderitaan rakyat jelata akan juga bertambah. Seperti biasa, pelbagai bentuk pembaziran, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan akan menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat.

Tukar Lampin

BN dijangka akan dapat memenangi pilihanraya umum yang akan datang dengan bantuan lebih daripada 200,000 pengundi baru yang terdiri daripada para pendatang asing tanpa izin yang telah berjaya menyusup masuk ke dalam senarai daftar pemilih melalui saluran yang tidak sah.

Buktinya adalah terdapat 3 kawasan parlimen yang kini diwakili oleh Pakatan Rakyat telah mencatatkan peningkatan jumlah pengundi berdaftar di antara 25% hinggalah ke 35% iaitu rekod yang boleh dikatakan paling mendadak sekali. 3 kawasan tersebut adalah:

1)Kawasan parlimen Subang yang diwakili ahli PKR R.Sivarasa,

2)Kawasan parlimen Kota Raja yang diwakili ahli PAS Dr Siti Mariah,

3)Kawasan parlimen Puchong yang diwakili ahli DAP Gobind Singh Deo.

Yang pasti, BN boleh memenangi pilihanraya umum yang akan datang dengan menggunakan pelbagai takti kotor dan apajua tipu helah. Dan sudah pasti banyak jenis cukai yang akan dikuatkuasakan kelak terhadap rakyat jelata yang akan mengakibatkan kalangan yang miskin dan berpendapatan sederhana terus menderita akibat terus diketepikan dengan begitu sahaja.

Seseorang yang cukup marah boleh mengakibatkan satu lagi tsunami politik yang lebih besar seperti apa yang telah berlaku di Tunisia di mana seorang peniaga kecil yang membakar dirinya telah menyemarakkan api kemarahan rakyat yang seterusnya bangkit beramai-ramai untuk menggulingkan kerajaan Tunisia. Sememangnya tidak dapat dijangka akan peranan Twitter, Facebook dan kamera telefon bimbit yang boleh menyebarkan maklumat tersebut dengan begitu cepat sekali.

Itulah sebab kenapa Najib sehingga kini masih tidak berani untuk membubarkan parlimen bagi memberikan laluan untuk pilihanraya baru diadakan. Beliau sedar bahawa kedudukannya masih goyah walaupun kerajaan pimpinan beliau telah menyumbangkan sejumlah besar wang kepada umum. Najib juga sedar, kalah atau menang, masalah-masalah akan juga tetapi menyusul. Rakyat jelata kini sedang mengharapkan lebih banyak hadiah tunai akan dikeluarkan dan jika Najib tidak menunaikan sumbangannya sekali lagi, rakyat akan bangkit.

Tibalah masa untuk menukar lampin bayi ini (Malaysia negara yang masih belum matang). Sudah lebih 54 tahun, bayi ini masih memakai lampin sama yang telah rosak dan menjadi busuk.

Angka-angka sering dimanupulasi

Bagi memelihara imej kerajaan dan negara ini di kaca mata dunia, Najib sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai tujuannya, sampailah ke tahap mengupah dan membayar sebuah firma perhubungan awam FBC Media sebanyak RM80 juta.

Walaubagaimanapun, kerajaan pimpinan Najib tidak dapat menutup malu apabila Perbadanan Penyiaran British (BBC) memohon maaf kepada umum atas penyiarannya mengenai Malaysia dan program-program yang direkacipta oleh FBC Media. Beginilah wang rakyat sebanyak RM80 juta dihabiskan dengan begitu sahaja yang mana akhirnya negara kita yang mendapat malu akibat perbuatan Najib itu.

Media-media utama dalam negara yang kebanyakan dimiliki oleh kerajaan, syarikat milik kerajaan, Umno, MCA dan sebagainya tidak henti-henti dengan penyiaran berita-berita yang hanya mempromosikan Najib hampir pada setiap siaran pada setiap hari. Tidak pernah satu hari pun muka Najib tidak disiarkan.

Selain itu, rekod perangkaan dan statistik mengenai pencapaian sesuatu kegiatan atau perlaksanaan juga sering dimanupulasi atau diputarbelitkan bagi disesuaikan dengan kehendak dan halatuju kerajaan BN, Umno dan para pemimpinnya. Misalannya, didakwa kadar jenayah dan penggangguran telah menurun, akan tetapi apabila kita meninjau di sebuah pekan dan bercampur gaul dengan para penduduk khususnya di Jelebu, Negri Sembilan, kita akan dapati ramai warga pekan tersebut yang telah lama dan masih mengganggur.

Bagi kadar jenayah pula, kejadian pecah rumah, rompakan dan sebagainya masih berleluasa di Bandar Menjelana, Kepong, sebagai contoh. Persatuan-persatuan penduduk di kawasan perumahan mengambil inisiatif sendiri untuk membiayai usaha memagarkan kawasan tempat tinggal mereka dan mengupah pengawal keselamatan swasta untuk memastikan kawasan dan para penghuni bebas daripada ancaman jenayah.

Kes ragut turut berleluasa di Taman Sri Sinar Segambut sehingga hari ini. Walaubagaimanapun, pujian harus diberikan kepada pihak polis yang telah mempertingkatkan rondaan mereka di sekitar kawasan yang dikenal pasti mempnyai kadar penggangguran dan masalah sosial yang tinggi.

Menyedari bertapa pentingnya kemenangan BN pada pilihanraya umum yang akan datang, Najib kini sedang berusaha keras untuk memastikan imej politiknya terpelihara dan “jasanya” ditokok tambah dengan seberapa banyak yang boleh. -malaysia-chronicle

[Video] NFC Cuba Merasuah Polis, Shamsubaharin Serah Bukti Kepada SPRM

Skandal projek lembu: Shamsubahrin serah bukti

Ahli perniagaan Datuk Shamsubahrin Ismail hari ini menyerahkan transkrip komunikasi SMS dan telefon miliknya yang mengandungi beberapa mesej kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membuktikan bahawa seorang tokoh penting dalam National Feedlot Corporation (NFC) cuba merasuah polis.

Shamsubahrin, yang sebelum ini, didakwa menipu pengerusi eksekutif NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail sebanyak RM1.755 juta, tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 12:15 tengahari dengan diiringi oleh empat peguam dan ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin.

"Ia adalah mengenai apa yang diperkatakan oleh Shamsubahrin sebelum ini dalam laporan awalnya bahawa beliau mempunyai bukti dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung cubaan merasuah polis oleh tokoh utama dalam NFC," kata peguam, N Surendran.

"Pada masa itu, hanya yang ada kata-kata Shamsubahrin. Sekarang beliau telah tampil dengan bukti kukuh, konkrit ... dan ini telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Jadi tidak ada sebarang alasan lagi mengapa pihak berkuasa tidak boleh bertindak dan mengambil langkah sewajarnya dengan segera," katanya.

Surendran juga berkata SPRM sebelum ini menyimpan telefon berkenaan tetapi kemudian memulangkannya tanpa sebarang tindakan sehingga isu itu didedahkan.

Shamsubahrin, yang juga merupakan penasihat dan perunding korporat NFC, menambah bahawa bukti-bukti berkenaan akan menunjukkan bahawa beliau tidak bersalah.

Dalam laporan awalnya, beliau menuduh suami Ketua Wanita Umno Datuk Seri shahrizat abdul Jalil mendesak beliau merasuah polis dalam usaha untuk menutup skandal syarikat projek ternakan lembu itu.

Walau bagaimanapun, Mohamad Salleh menafikan dakwaan berkenaan. -mk



Sikap Berat Sebelah SKMM Tidak Ambil Tindakan Ke Atas Blog UMNO Dikecam

Isu cabul: SKMM gagal bertindak ke atas blog Umno

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus dibidas kerana kegagalan menyiasat beberapa blog pro-Umno yang memfitnah Lim Guan Eng dengan menyiarkan laporan kononnya anak ketua menteri Pulau Pinang itu telah mencabul kehormatan seorang rakan pelajar wanita.

Pada sidang akhbarnya semalam, setiausaha politik ketua menteri, Mohd Zairil Khir berkata tindak balas SKMM adalah tidak jelas.

Ini kerana sehingga hari ini, katanya, masih tidak pasti sama ada suruhanjaya itu akan terus menyiasat kes berkenaan atau hanya membantu polis membuat penyiasatan.

"Saya akan menulis satu lagi surat untuk minta penjelasan. Jika mereka (SKMM) enggan membuka fail untuk siasatan, saya anggap mereka tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau merujuk kepada surat yang diterima daripada SKMM pada 20 Februari lalu, yang menunjukkan bahawa suruhanjaya itu tidak menyiasat blog Umno-Online, Pisau-Net dan Papagomo yang telah menyiarkan dakwaaan berunsur fitnah itu.

Surat yang ditandatangani oleh Pengarah Kanan SKMM, Eneng Faridah Iskandar, memberitahu bahawa suruhanjaya itu telah menerima laporan daripada DAP berkaitan kes tersebut pada 9 Februari.

'Sembang Rakyat-kedai 1Malaysia'

Eneng Faridah menulis, suruhanjaya itu telah melihat dan membaca artikel yang dicatatkan pada blog tersebut.

"Untuk maklumat anda, kes itu sedang disiasat oleh pihak polis dan suruhanjaya telah diminta untuk membantu.

"Oleh itu, kita tidak akan menjalankan apa-apa penyiasatan kerana ia (berlaku) menjadi kes yang sama (seperti yang disiasat oleh pihak polis)," tambah Eneng Faridah.

Menurut Zairil, selain polis yang perlu menjalankan siasatan, SKMM yang merupakan sebuah badan profesional perlu juga menyiasat.

"Adakah SKMM akan memulakan penyiasatan di bawah Akta SKMM 1998? Jika tidak, apakah sebabnya?" soalnya.

Lim yang juga setiausaha agung DAP sebelum ini dengan tegas menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis terhadap blog tersebut yang jelas sekali katanya, telah melakukan fitnah jenayah.

Corke Anya, mangsa yang didakwa dicabul itu turut menafikan dakwaan berkenaan dan memberitahu bahawa beliau tidak pernah bertemu Lim atau anaknya semasa di Pulau Pinang.

Pada sidang akhbar itu, Zairil berkata, pada Oktober lalu, beliau turut membuat satu lagi laporan terhadap video bertajuk 'Sembang Rakyat-kedai 1Malaysia' yang disiarkan dalam YouTube.

Video tersebut kononnya menuduh DAP berpakat dengan peniaga berbangsa Cina untuk menaikkan harga barang keperluan rumah.

"SKMM telah mengambil kenyataan saya tetapi sudah enam bulan sejak laporan saya dibuat, tiada apa-apa yang berlaku. Kami berharap mereka tidak akan mengulangi perbuatan ini," katanya.

"Harimau tidak bertaring"

Sementara itu, ADUN Komtar, Ng Wei Aik yang hadir sama berkata, beliau berharap SKMM tidak menjadi seperti "harimau tidak bertaring" yang enggan bertindak walaupun mereka mampu mengambil tindakan undang-undang.

Katanya, SKMM merupakan sebuah suruhanjaya dan bukannya sebuah agensi kerajaan.

"Ia sepatutnya mempunyai lebih banyak kuasa untuk menyiasat. Polis menyelesaikan sesuatu kes dari aspek fitnah.

"SKMM perlu membuka fail sendiri dan menyiasat fitnah yang tersebar melalui internet," katanya.

Ng, yang juga Setiausaha DAP Pulau Pinang berkata, keengganan SKMM menyiasat perkara itu menunjukkan bahawa penulis blog pro-Umno "begitu kuat, dan boleh berbuat apa-apa".

"Satu (Papagomo), boleh masuk kapal selam tanpa dikesan oleh radar. SKMM enggan menyiasat blog Papagomo. Mungkin kerana dia telah terjun ke dalam laut dan tidak dapat ditemui," sindirnya. -mk

Pakatan Gesa Najib Lepaskan Jawatan Menteri Kewangan

Petaling Jaya 6 Mac: Pakatan Rakyat menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya sebagai menteri kewangan ekoran beliau dilihat tidak wajar memegang dua jawatan serentak.

Jawatankuasa Polisi Pakatan Rakyat yang buat pertama kalinya bersidang hari ini menegaskan, tindakan Najib memegang jawatan menteri kewangan juga menyebabkan beliau sering membuat keputusan yang bercanggah dengan kepentingannya sebagai perdana menteri.

“Seperti mana amalan syarikat korporat, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan adalah dua individu berbeza,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad.

“Melalui kaedah yang digunapakai sekarang, tidak menghairankan jikalau belanjawan untuk dua tahun sebelum ini fokus kepada pemberian ‘one-off’ untuk meraih undi, berbanding implementasi perubahan struktur ekonomi,” katanya pada sidang media di Sekretariat Pakatan Rakyat di Seksyen 16, Petaling Jaya, hari ini.

Hadir dalam sidang media itu ialah dua anggota sekretariat Pakatan Rakyat iaitu Rafizi Ramli dan Liew Chin Tong.

Dzulkefly mengulas pandangan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dalam wawancara dengan akhbar China Press baru-baru ini yang mencadangkan Najib melepaskan jawatannya itu ekoran beban tugas yang dipikulnya.

Prestasi Najib sebelum ini juga mengecewakan termasuk isu berkaitan pengenalan cukai perkhidmatan 6% dan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Persaingan.

“Tambahan pula, Menteri Kewangan Kedua merumitkan keadaan. Kita perlukan Menteri Kewangan penuh tanpa beban tugasan lain,” kenyataan tersebut dipetik.

Pada sidang media sama, Pengarah Strategi Keadilan, Rafizi Ramli menegaskan tawaran Pakatan Rakyat untuk melaksanakan Akta Gaji Minima sekira berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

“Bukan sekadar dasar gaji minima RM1,100, Pakatan Rakyat meletakkan sasaran pendapatan isi rumah bulanan di Malaysia ialah RM4,000.

“Umum mengetahui pasaran kerja dipenuhi buruh murah asing. Objektif kita selain mengurangkan kebergantungan pada buruh asing, pekerja tempatan termasuk kaum wanita akan ditambah nilai melalui latihan kemahiran bagi meningkatkan kemahiran.

“Dari sudut perniagaan, satu Tabung Fasiliti akan diperuntukkan kepada usahawan, Industri Kecil dan Sederhana untuk melaras operasi mereka.

“Ini bagi mengelak penutupan insentif kepada IKS berikutan pelaksanaan dasar gaji minima,” kata Rafizi. -KD


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Ustaz Dituduh Cium Remaja Lelaki

Melaka - Seorang guru tahfiz dituduh di Mahkamah Majistret di sini, semalam, kerana melakukan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki di sebuah madrasah di Ayer Molek, lima tahun lalu.

Ismail Ghazali, 44, dari Merlimau mengaku tidak bersalah selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Ismail didapati dengan sengaja melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 14 tahun 7 bulan dengan mencium mangsa dan memaksa mangsa memegang kemaluannya.

Ismail melakukan kesalahan itu di sebuah bilik di Madrasah Al Muqarrabin, Balik Bukit, Bukit Lintang kira-kira jam 12.15 tengah malam, pada 16 Mac 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi meminta jaminan RM5,000 dikenakan terhadap tertuduh yang tidak hadir tiga kali sebutan semula kes, bermula 2007 hingga 2008 dan menyebabkan waran dikeluarkan mahkamah.

Bagaimanapun, Ismail yang baru balik menunaikan umrah dua bulan lalu memohon mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan tidak dimaklumkan mengenai tarikh sebutan semula kes tersebut.

“Ketika itu saya sedang belajar di Yaman dan saya tidak mengetahui mengenai waran yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut, malah ahli keluarga juga tidak memaklumkan apa-apa berkaitan kes ini,” katanya.

Syajaratudur kemudian membenar Ismail diikat jamin RM5,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 12 April depan bagi lantikan peguam. -SH

Setengah Bilion Ringgit Lesap Dari Yayasan Selangor Semasa BN

Shah Alam 6 Mac: Pengurus Besar Yayasan Selangor yang baru dilantik Ilham Marzuki memberitahu bahawa aset pendidikan negeri yayasan itu bernilai setengah bilion ringgit hilang semasa pentadbiran BN.

Perkara itu dinyatakan ketika sesi pendengaran awam Jawatankuasa Pilihan Khas Selangor Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban, Ketelusan (Selcat) hari ini.

Kajian kami menunjukkan bahawa dari 1991 hingga 2008, berlaku ketirisan sebanyak RM500 juta daripada Yayasan Selangor,”

“Jika tidak, aset kita (sekarang) akan menjadi RM800 juta
,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.

Buat masa ini, katanya, yayasan itu memiliki aset tetap bernilai RM300 juta manakala RM50 juta lagi dalam deposit tunai.

Ilham diarahkan hadir oleh kerajaan negeri dan Selcat untuk membantu Yayasan Selangor mengaudit akaunnya bagi tempoh antara 1991 dan 2008.

Tindakan itu untuk mengesan punca wang yayasan itu terus berkurang. -KD

Ketirisan Y S’gor: Selcat cadang forensik audit

SHAH ALAM: Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawapan dan Ketelusan Selangor (Selcat) mencadangkan supaya satu forensik audit bebas dilantik bagi menyiasat ketirisan Yayasan Selangor sejak 18 tahun lalu yang dianggarkan melebihi RM500 juta.

Ini berikutan Pengarah Yayasan Selangor Ilham Marzuki dalam sesi pendengaran awam Selcat mendakwa berlaku ketirisan sejak tahun 1991 sehingga 2008 apabila jumlah 30 peratus hasil pulangan pelaburan aset yang sepatutnya dimiliki Yayasan Selangor jauh lebih rendah daripada angka yang tercatat dalam rekod kewangan.

“Kalau pun saya silap 50 peratus, Yayasan Selangor tak mungkin hilang RM250 juta,” katanya yang bagaimanapun mendakwa kedudukan terkini kewangan syarikat masih berada dalam keadaan ‘sihat’.

Ilham berkata pihaknya bersedia melantik badan audit bebas yang berkaliber bagi menyiasat isu ini dan akan mendapatkan persetujuan ahli lembaga pengarah dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengerusi Selcat Teng Chang Khim ketika mengulas mengenai dakwaan Ilham itu berkata pihaknya menyerahkan kepada kebijaksanaan kerajaan memandangkan ia akan mengambil masa yang lama untuk menyiasat ketirisan itu selain melibatkan kos yang agak tinggi.

Selain itu, Teng turut mencadangkan agar status Yayasan Selangor ditukar kepada badan berkanun dan boleh dipantau oleh Ketua Audit Negara.

Katanya, sudah sampai masanya Yayasan Selangor yang selama inin ditubuhkan dibawah pendaftaran sebagai satu syarikat dan tidak tertakluk dibawah Ketua Audit Negara ditukar menjadi badan berkanun yang ditubuhkan mengikut undang-undang.

“Selcat akan datang kita akan dalami isu ini sebelum buat laporan secara bertulis dan mengusulkannya kepada Dewan Negeri,” katanya namun menjelaskan ia melibatkan proses undang-undang yang agak rumit. -FMT


Najib minta maaf, pulangkan hak rakyat

Riduan Mohd Nor,
06 Mac 2012
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melihat tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku salah dan meminta maaf kepada rakyat adalah taktik terbaru beliau yang begitu terdesak bagi meraih simpati rakyat yang sudah berpaling darinya.

Tindakan Datuk Seri Najib merayu-rayu dengan meminta maaf menjadi senjata terbaru beliau menjelang pilihanraya umum ke 13 yang dilihat umum bahawa beliau sudah ditolak oleh rakyat. Sebelum ini, tidak pernah dalam sejarah pemimpin UMNO mengaku salah dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas tindakan mereka. Pemimpin UMNO sebelum ini menganggap mereka sahaja yang betul sementara pembangkang adalah salah semuanya. Mereka juga bersikap sombong dengan mendabik dada menyatakan mereka kuat dan mendapat pengaruh serta sokongan rakyat pelbagai peringkat. Ucapan sombong mereka diteruskan dengan tindakan menekan pemimpin Pakatan Rakyat dengan pelbagai tekanan.

Rakyat tidak sesekali terpedaya dengan pujuk rayu dan permohonan maaf Datuk Seri Najib. Ini kerana permohonan maaf beliau tidak selari dengan tindakan beliau terhadap rakyat. Perangai dan dasar beliau masih tidak berubah, tidak menunjukkan kemaafan itu lahir dari hatinya yang ikhlas.

Bagi DPPM, sekiranya benar Datuk Seri Najib meminta maaf secara ikhlas kepada rakyat Malaysia diatas segala kesilapan beliau dan partinya selama ini, beliau perlu jujur dalam melakukan perubahan di negara ini. Antaranya beliau perlu memulangkan semula hak rakyat yang pernah dirampas semasa zamannya dan sebelumnya, serta bertindak adil terhadap semua rakyat termasuk pemimpin Pakatan Rakyat.

DPPM menegaskan antara tindakan beliau adalah memohon maaf secara terbuka kepada semua mangsa ISA sejak dahulu sehingga sekarang. Ini kerana kebanyakan mereka yang ditahan ISA adalah aktivis serta pemimpin Pakatan Rakyat yang merengkok di dalam penjara ISA tanpa dibuktikan kesalahan mereka. Pemerintahan Datuk Seri Najib berdosa kepada mereka dan beliau perlu memohon maaf secara terbuka setiap mangsa yang terlibat.

Selain itu, Datuk Seri Najib perlu meminta maaf kepada PAS kerana pemimpin partinya pernah merampas hak royalti minyak di Terengganu sewaktu era pemerintahan PAS pada tahun 1999-2004 serta kerajaan Kelantan pada hari ini. Tindakan beliau menyekat hak kerajaan Kelantan mendapatkan royalti sukar dimaafkan melainkan beliau memulangkan kembali hak tersebut serta merta.

Beliau juga mesti meminta maaf kerana menekan pemimpin Pakatan Rakyat melalui media yang dikongkong beliau. Fitnah dan tohmahan yang begitu keras dan panas tanpa peluang pemimpin dan parti dalam Pakatan Rakyat mampu menjawabnya. Selain itu, isu fitnah liwat dan lucah yang berlaku dizaman beliau juga sukar dilupakan rakyat sehingga menyebabkan pemimpin Pakatan Rakyat dipenjara. Politik kotor ini semakin menjadi budaya yang diamalkan oleh segelintir ahli politik bagi membunuh karier politik seseorang.

Sejarah juga tidak melupakan bagaimana kekangan pada ceramah politik yang dibuat terhadap pemimpin pembangkang sejak dahulu sehingga kini. Ceramah politik yang diadakan oleh Pakatan Rakyat sukar mendapat permit serta sering diugut dan digempur oleh FRU serta polis. Di zaman beliau jugalah siri keganasan terhadap ceramah Pakatan Rakyat sering berlaku. Budaya samseng semakin menular seolah-olah dibiarkan sekumpulan pemuda samseng memukul sesiapa sahaja yang disukai.

Siri rampasan kerajaan negei Perak yang sah dipilih oleh rakyat melalui tindakan yang paling tidak bermoral dua tahun lalu sukar dilupakan oleh semua pihak. Datuk Seri Najib mesti meminta maaf secara terbuka kepada rakyat di negeri itu serta memulangkan kembali negeri tersebut kepada rakyat melalui pilihanraya khas negeri itu.

Soalnya, mampukah Datuk Seri Najib merendahkan diri kepada rakyat dengan megakui segala kesilapan tersebut dan memulangkan kembali hak rakyat yang dirampas? Jika tidak usah harap rakyat akan menerima permohonan maafnya, dan tunggulah hukuman dijatuhkan ke atasnya dalam PRU ke 13. -HD



Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Mahkamah Tolak Rayuan "Rasul Melayu" Abdul Kahar Ahmad

Shah Alam: Mahkamah Rayuan Syariah di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara 10 tahun, denda RM16,500 dan enam sebatan ke atas ketua ajaran sesat 'Rasul Melayu', Abdul Kahar Ahmad.

Abdul Kahar mengaku bersalah terhadap lima tuduhan pindaan mengikut Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, beliau merayu terhadap hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi itu.

Panel tiga hakim, Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Md. Yusup Che Teh dan Datuk Aidi Mokhtar membuat keputusan itu selepas mereka sebulat suara menolak rayuan Abdul Kahar, 62, untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya pada 21 Okt 2009.

Dalam penghakiman mereka, Ibrahim selaku pengerusi berkata pihaknya menolak lapan alasan yang dikemukakan oleh Abdul Kahar bahawa Hakim Abu Zaky Mohammad telah terkhilaf semasa menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.

Mereka sebaliknya berpendapat hukuman penjara, denda dan sebatan itu sesuai dengan kesalahan perayu mengaku dirinya sebagai rasul yang sangat serius serta merosakkan akidah umat Islam.

"Dalam mempertimbangkan hukuman, perkara yang perlu diambil kira ialah kepentingan umum serta berat kesalahan.

"Sebaliknya sebab-sebab yang mendorong kepada pemberatan hukuman ialah sejauh mana kesan kesalahan kepada masyarakat dan dan kesesuaian dengan keadaan jenayah. Dalam kes ini, kesalahan bukan sahaja terhadap dirinya, tetapi perayu juga bertindak menyesatkan orang lain," kata Ibrahim.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata hukuman sebat ke atas Abdul Kahar hanya akan dijalankan selepas dia dirujuk kepada pegawai perubatan dan tidak ada asas untuk pihaknya campur tangan jika Mahkamah Tinggi memutuskan semua hukuman berjalan secara berasingan.

Sejurus Ibrahim membacakan keputusan itu, anak-anak perempuan Abdul Kahar di galeri awam dilihat berpelukan dan menangis sambil ditenangkan oleh anak lelaki tertuduh.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Kahar diwakili peguam syarie Musa Awang sementara pihak pendakwaan yang bertindak sebagai responden diwakili Ketua Pendakwa Syarie Selangor Abd. Shukor Abdul Hamid serta pegawai pendakwa syarie Siti Fatimah Maulana dan Shafezan Rosli.

Pada 21 Oktober 2009, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan enam kali sebatan bagi tuduhan di bawah Seksyen 7 iaitu menjelaskan doktrin palsu dengan menyatakan bahawa sembahyang hanya cukup sekadar mencegah daripada membuat perkara keji dan mungkar saja dan ibadah haji adalah sia-sia dan merugikan.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi kesalahan mengisytiharkan diri sebagai Rasul Orang Melayu sedangkan ini bertentangan dengan ajaran Islam, mengikut Seksyen 8 (a).

Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 10 iaitu mempersendakan dengan perkataan amalan dalam Agama Islam iaitu menyatakan: "Sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran ini adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang tonggek dan membebel seorang-seorang."

Bagi tuduhan di bawah Seksyen 12 iaitu menghina pihak berkuasa agama denganmengingkari dan melanggar arahan Mufti, Abdul Kahar dijatuhi hukuman penjarasetahun dan denda RM3,000 atau setahun penjara.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM4,500 atau setahun penjara bagi tuduhan di bawah Seksyen 13 iaitu menyebarkan pendapat yang bertentangan dengan fatwa iaitu mengaku dirinya Rasul diutus Allah untuk orang Melayu.

Dia juga menyatakan bahawa sembahyang lima waktu tidak wajib; memadai dengan melakukan kebaikan dan menjauhi kemungkaran dan menyatakan bahawa ibadah haji itu tidak perlu ditunaikan di Mekah tetapi boleh dikerjakan di mana-mana bumi Allah.

Abdul Kahar yang tidak bekerja didapati melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah rumah beralamat No.44, Jalan Bunga Ros, Kampung Kemensah, Ulu Klang, Ampang, antara 19 Mei dan 23 Jun 2005.

Abu Zaky turut memerintahkan Abdul Kahar dihantar menjalani pemulihan di Pusat Pemurnian Akidah Baitul Iman di Hulu Yam Baharu dekat sini, pada enam bulan terakhir pelaksanaan hukuman penjara itu. -BERNAMA


[FITNAH] Exco Kedah Nafi MB Beri Kontrak Kepada Umno

Alor Setar: Dua Exco Kerajaan Negeri Kedah menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkeras mahu memberikan kontrak bernilai RM600 juta kepada syarikat yang mempunyai hubung kait dengan Umno.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Kedah, Abd Ghani Ahmad berkata, dakwaan berkenaan tidak benar kerana Azizan tidak pernah berbuat demikian.

"Pemberi projek mesti melalui tender terbuka dan semua syarikat tidak kira dimiliki oleh sesiapa pun boleh dipertimbangkan sekiranya memenuhi kriteria," katanya kepada The Star ketika dihubungi pada Selasa bagi mengulas mengenai laporan berita berkenaan.

Menerusi laporan itu mengatakan bahawa krisis di Kedah berpunca daripada keputusan Azizan yang mahu memberikan kontrak tersebut kepada syarikat terbabit.

Dinyatakan bahawa maklumat berkenaan disahkan oleh Datuk Phahrolrazi Zawawi, iaitu salah seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang menolak untuk dilantik semula sebagai exco.

Sementara itu Datuk Amiruddin Hamzah yang kini memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga, Industri dan Pelaburan berkata setakat ini tidak ada kontrak pembinaan jalan di Kedah bernilai RM600 juta seperti yang didakwa.

Namun beliau percaya kemungkinan laporan berkenaan sebenarnya merujuk kepada kontrak bernilai RM60 juta bagi memperbaiki jalan di Kedah untuk tempoh setahun.

Bagaimanapun Phahrolrazi enggan mengulas mengenai laporan portal berita berkenaan sementara Azizan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan. -mstar

Ulasan GB

Sepertimana yang GB sebelum ini, episod politik bogel-membogelkan, fitnah memfitnah yang sebelum ini tidak kedengaran berlaku dalam PAS tetapi begitu rancak di dalam kemelut Kedah, perlu dihentikan segera.

Semenjak PAS menang mentadbir beberapa negeri, tiba-tiba sudah ada yang terjebak di dalam kancah amalan politik yang tidak memperdulikan syarak dan amal jamaiyy.

Jangan sampai nanti kerana fitnah memfitnah Allah turunkan bala kepada semua ahli PAS dengan direntap semula nikmat kemenangan yang diberikan sebelum ini.

Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Isu Kedah: Hentikan Segera Politik Saling Bogel-Membogelkan

Kontrak RM600 juta punca krisis PAS Kedah

Krisis PAS Kedah meledak selepas Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak didakwa mahu memberikan sebuah projek yang dikatakan bernilai RM600 juta kepada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.

Perkara itu disahkan oleh Datuk Phahrolrazi Mohd Nawawi, seorang daripada dua exco yang menolak pelantikan semula mereka ke jawatan itu sebelum ini.

Ketika ditemui Malaysiakini semalam bagi mengesahkan dakwaan beliau pada mulanya menolak pelantikan semula kerana tidak puas hati dengan desakan Azizan, Phahrolrazi mengakuinya.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini, projek yang dipertikaikan itu adalah berkenaan pembinaan jalan di negeri itu yang mahu diberikan oleh menteri besar kepada syarikat milik bekas pemimpin Umno bahagian di Kedah.

Phahrolrazi bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu tetapi memberitahu ia projek usahasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

ADUN Pengkalan Kundor itu juga mendakwa, projek berkenaan bernilai "beberapa juta ringgit".

"Saya tak setuju dengannya," dakwanya sambil berkata keputusan berkaitan biasanya dibuat pada mesyuarat exco.

Projek itu bagaimanapun kini belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak, kata Phahrolrazi lagi ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di Alor Setar semalam.

Pada sesi itu, beliau dan seorang lagi exco Datuk Ismail Salleh mengumumkan menerima pelantikan sebagai exco selepas PAS membentuk jawatankuasa pemandu untuk menasihati pentadbiran negeri.

Ketika laporan ini ditulis, Malaysiakini masih belum dapat mendapatkan respons daripada pejabat menteri besar.

Seorang pembantu Azizan memberitahu, menteri besar itu mahu berehat dan tidak akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat. -mk

Kisah dalam kelambu buat apa nak bagi tahu orang lain

Kata semua dah selesai, hingga Umno gigit jari. Tapi masih ada yang mulut besar. Macam ini bila nak habis. Banyak sangat cakap lagi banyak silap, Islam kan dah ajar kurangkan bercakap. Cakap bila perlu sahaja. Jangan marah wartawan kalau dia tulis apa yang kita cakap, sebab itu memang kerja dia.

Fokuskan pada kerja yang diamanahkan serta mempertahankan kemenangan dalam PRU 13 akan datang. Tiada makna bermulut besar sekarang tapi akhirnya mencuka bila keputusan PRU diumumkan kelak.

Politik macam ni membosankan dan sengaja memberi peluru hidup pada musuh. Yang dah sudah tu sudahlah, buang yang keruh ambil yang jernih. Ini tidak semua nak cakap dan nak bagi tahu semua orang, kisah dalam kelambu buat apa nak bagi tahu orang lain.
-p111kotaraja


Ulasan GB

Episod Kedah sudah berakhir. Tiba-tiba exco yang dikaitkan dengan krisis tersebut membuat pendedahan :

Phahrolrazi bagaimanapun tidak mendedahkan lebih lanjut berhubung perkara itu tetapi memberitahu ia projek usahasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC).

ADUN Pengkalan Kundor itu juga mendakwa, projek berkenaan bernilai "beberapa juta ringgit".

"Saya tak setuju dengannya," dakwanya sambil berkata keputusan berkaitan biasanya dibuat pada mesyuarat exco.

Projek itu bagaimanapun kini belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak, kata Phahrolrazi lagi ketika ditemui selepas sidang media di rumahnya di Alor Setar semalam.


Benda dah selesai tapi diungkit lagi.

Sepatutnya apabila ditanya mana-mana wartawan pun, exco itu hendaklah berdiam diri demi menghormati keputusan damai PAS Pusat.

Selagi satu pihak keluarkan kenyataan, akan muncul pula pihak lain mempertahankannya.

Isu kontrak yang dikatakan RM600 juta itu kabur. Seorang pengkomen pula mempertahankan tindakan MB Kedah.

projek RM600 belum lagi dianugerahkan kepada sesiapa dan ia cuba fitnahkan kepada mb kononnya hendak diberikan kpd org umno.

sebenarnya phahrolrazi yang terkilan apabila projek itu melepas sebab syarikat perniagaan kejuteraannya dikatakan yang hendak membolot projek itu.

Ia telah dihentikan oleh MB sendiri untuk elak dituduh kronisme.

kalau tak tahu kisah jangan merepek.


Ini politik yang saling bogel membogelkan. What goes round turns around. Anda ketuk kepala orang, kepala anda pula akan diketuk. Ia kesan lantunan. Anda perlu sedia dibogelkan apabila anda membogelkan orang lain. Tidak mungkin anda membogelkan orang, orang itu berdiam diri. Kadang-kadang dendam berlarutan sampai ke anak cucu.

Itu hukum dalam ilmu mantik, ilmu hakikat. Kalau tak faham atau tak tahu lansung ilmu ini, pergi belajar lagi. Alam terbentang boleh menjadi gurunya. Tapi jangan sampai jadi sesat, apatah lagi jika berguru kepalang ajar, nanti bagai bunga kembang tak jadi.

Dilaporkan, sms-sms pro dan kontra sentiasa berlegar-legar di kalangan rakyat khususnya di Kedah sekalipun sudah reda sedikit selepas Majlis Mahabbah.

Kita berharap semua ini dihentikan segera. Dan munajat perdana ini diharapkan benar-benar dapat menjernihkan semula air yang keruh itu.

Kedah: PAS rakam tahniah, rancang munajat perdana

KUALA LUMPUR, 6 Mac: PAS merakamkan tahniah kepada semua yang terlibat dalam penyelesaian isu Kedah dan merancang munajat perdana dalam masa terdekat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini berkata, tahniah diucapkan kepada seluruh ahli PAS yang menerima berita gembira penyelesaian kepada ribut kecil di PAS Kedah ini.

Tindakan kedua-dua exco Timbalan Pesuruhajaya PAS Kedah, Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh dan Menteri Besar Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mencerminkan satu akhlak jamaah yang tinggi, bilamana akur dengan pandangan parti, tambah beliau.

“Tahniah diucapkan kepada Jawatan Khas yang terdiri daripada Timbalan Presiden Mohamad Sabu dan dua Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan Mahfuz Omar yang bertungkus lumus menjadi orang tengah menyelesaikan kemelut ini. Khususnya bagi YB Salahuddin, sememangnya anda dilayak digelar Kofi Anan dalam PAS,” kata Tuan Ibrahim.

Menurut Tuan Ibrahim, ahli dan para pemimpin juga sangat gembira dan terharu dengan kepenatan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bergegas balik dari Bosnia transit di Austria, Kaherah, Bangkok dan sesampai di Kuala Lumpur bergegas ke Kedah tak sempat menjamah makanan, terus menghadiri mesyuarat dalam keadaan demam hingga jam 3 pagi.

“Kegembiraan kerana seluruh ahli parti ingin melihat Kedah terus mantap, dan menjadi pangkalan kedua terkuat pemerintahan PAS selepas Kelantan. InsyaAllah apa yang dibincang dan dirumus akan dapat dilaksanakan, demi kebaikan dan masa depan PAS Kedah khususnya dan negara amnya.

“Mari kita himpunkan ribuan rakyat Kedah di Stadium untuk kita bemunajat, dekatkan diri dengan Allah, meluahkan kasih sayang dan mahabbah antara kita. Semoga Allah memperteguhkan jamaah ini. Allahu Akhbar,” tambah beliau
.
-HD