31 Dis 2009

Harga Roti, Gula Naik Sempena Tahun Baru 2010

Raikan sambutan tahun baru 2010 anda dengan kenaikan harga barangan asas.

Berkuatkuasa 1 Januari depan, harga roti putih dinaikkan ekoran daripada tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberhentikan subsidi dan memansuhkannya daripada senarai barang kawalan.

Harga roti biasa meningkat 40 sen manakala bagi harga roti klasik combo melonjak 50 sen dari harga asal.

Sementara itu, gula naik 20 sen bagi setiap kilogram bermula esok. Harga gula mengikut kenaikan terbaru ini adalah RM1.65 di Semenanjung dan RM1.75 di Sabah dan Sarawak.

Menteri Hal-Ehwal Pengguna Datuk Mohd Zain Mohd Dom berkata kenaikan ini berpunca dari lonjakan harga gula mentah di pasaran dunia.

Mengulas perkara ini, Setiasaha Agung FOMCA Muhammad Sha'ani Abdullah berkata kerajaan seharusnya prihatin kepada tekanan kos kehidupan rakyat hari ini.

Beliau menambah kebajikan rakyat harus didahulukan dalam suasana kemelut ekonomi yang belum menamppakan sebarang tanda-tanda pemulihan.

“Kami tidak begitu selesa dengan kenaikan harga roti pada tahun baru ini kerana masih banyak usaha-usaha kerajaan tidak dilaksanakan lagi untuk mengurangkan beban kos beban rakyat. Dalam keadaan ini kerajaan harus fikir semula sebarang penarikan balik subsidi-subsidi kepada barangan pengguna supaya ini tidak menjadi satu beban kepada rakyat," katanya.

Mengulas isu yang sama, Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin berkata PKR mengecam kenaikan harga barangan asas ini yang disifatkan sebagai hadiah tahun baru Perdana Menteri Najib Abdul Razak kepada rakyat termiskin.

"Ini saya lihat sebagai suatu hadiah dato najib sebagai Perdana Menteri yang juga yang memimpin kerajaan Barisan Nasional kepada rakyat. Tentunya ini bukan yang menyenangkan rakyat dan sudah pasti memberi beban dan ini sudah tentu bercanggah dengan slogan 'Rakyat Didahulukan'," katanya. -TVS



RM800 juta Masalah Diwarisi Dari Era Umno-BN

Kerajaan negeri Kelantan mendakwa situasi pihaknya diarah membayar ganti rugi RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan kerana melanggar beberapa perjanjian di antara kedua-dua belah pihak sejak 45 tahun lalu berpunca daripada keputusan era pentadbiran Umno-BN.

Ketika menyatakan perkara itu di sini hari ini, Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa (gambar) berkata masalah itu berpunca daripada pembatalan projek pada tahun 1975

“Masalah itu berpunca daripada pembatalan projek pada tahun 1975 iaitu semasa pemerintahan kerajaan Umno,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat ini.

Sehubungan itu kata beliau, pihaknya akan membuat rayuan kelak.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bila rayuan akan dibuat oleh kerajaan negeri.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baru itu dikatakan mencatatkan sejarah tersendiri kerana jumlah ganti rugi itu adalah antara yang terbesar dalam kes sivil di negara ini.

Difahamkan keputusan itu dibuat dalam prosiding yang berlangsung semalam membabitkan Timbermine Sdn Bhd dan kerajaan negeri.

Kes itu dipercayai semula difailkan pada tahun 2004.

Jumlah ganti rugi itu termasuk RM560 juta bagi 30 peratus pemilikan syarikat dalam kawasan pembalakan seluas 112,000 hektar, ganti rugi khas RM13.6 juta, bayaran gaji pekerja yang diberhentikan (RM1.74 juta), faedah lapan peratus sejak 2004 berjumlah RM240 juta dan kos sebanyak RM200,000.

Husam berkata, syarikat itu menerima konsesi daripada kerajaan negeri pada 20 Julai 1964, namun perjanjian tersebut dibatalkan semasa pemerintahan kerajaan BN pada 1975.

Beliau menjelaskan perkara itu berlanjutan di mana syarikat terbabit telah berurusan dengan kerajaan BN daripada 1982 sehingga 1989.

“Bagaimanapun syarikat terbabit menghantar tuntutan susulan mereka pada 2004 selepas kerajaan negeri bertukar tangan,” kata beliau sambil menyifatkan masalah itu adalah perkara lama yang sepatutnya diselesaikan kerajaan negeri sebelum ini.

Kata Husam, walaupun kes tersebut tidak berpihak kepada kerajaan, namun kerajaan bersetuju untuk membuat rayuan bagi mendapatkan keputusan di sebaliknya.

“Bukan bermakna sekarang kita kena bayar RM800 juta kerana rayuan akan dikemukakan terlebih dahulu,” katanya. - Mohd Zuharman

Tangan Ghaib Pihak Ketiga Main Peranannya Di Kelantan

Susulan perubahan dalam barisan pegawai kanan Pejabat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dipercayai kemungkinan akan melakukan rombakan Exco kerajaan negeri dalam waktu terdekat.

Malah beberapa pihak mendakwa wujud “tangan ghaib” yang kini memainkan dalam menentukan perubahan-perubahan yang sedang dan bakal berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri itu.

Kelmarin Nik Aziz mengumumkan setiausaha politiknya Anual Bakhri Haron dan setiausaha akhbar Mohd Saiba Yaakub akan berhenti daripada berkhidmat di Pejabat Menteri Besar awal tahun 2010 selepas mereka memutuskan tidak mahu kontrak mereka diperbaharui.

Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS menafikan tindakan mereka ada kaitan dengan perkembangan isu politik di negeri itu sejak kebelakangan ini.

"Mutakhir maklumat yang diperolehi dari sumber yang sangat dipercayai bahawa satu rombakan barisan Exco Kerajaan Kelantan akan dibuat tidak lama lagi di mana beberapa orang Exco kanan dan pimpinan PAS Negeri akan terpelanting dan tidak akan dilantik semula. Daripada nama yang disebut, saya sendiri pun terkejut dengan mereka yang bakal digugurkan.

"Saya melihat seolah-olah di Kelantan kini sudah wujud satu 'tangan ghaib' atau 'kuasa ketiga' yang memainkan peranan menyusun semula barisan kepimpinan kerajaan negeri demi menjaga periuk nasi dan kepentingan pihak tertentu," kata Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin dalam blognya.

Pemimpin PKR itu menambah sekiranya strategi dan perancangan “kuasa ketiga” ini berjalan lancar, Pejabat MB Kelantan dan juga barisan pimpinan kerajaan negeri akan dikuasai sepenuhnya oleh “kuasa ketiga” ini.

PKR merupakan salah satu anggota gandingan Pakatan Rakyat. Dua komponen yang lain ialah DAP dan PAS.

"Apakah Menteri Besar menyedari perkara ini? Atau adakah 'kuasa ketiga' ini mempergunakan Menteri Besar untuk kepentingan mereka sendiri?

"Apa pun saya mendoakan Menteri Besar akan mendapat petunjuk dan hidayah Allah dalam apa jua keputusan dan tindakan yang telah, sedang dan akan diambil beliau.

"Apa pun, natijah daripada ini semua kemungkinan besarnya akan melemahkan kerajaan negeri," katanya.

Zulkifli juga menyebut dengan "terpelantingnya tokoh-tokoh muda, hebat dan dinamik dalam saf kepimpinan negeri Kelantan ini, saya khuatir “bulan purnama” yang menyinari bumi Serambi Mekah selama 20 tahun ini akan menjadi malap dan pudar.

"Dan, kelak hanya masa dan ketika sahaja menanti untuk gerhana sang bulan berlaku di Kelantan," katanya.

Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan memimpin negeri itu sejak pilihan raya umum 1990. -MI

Husam Hantar Surat Terbuka Kepada TDM

Untuk Tun Dr. Mahathir,
(Surat Terbuka)

Tun,

Amat malang sekali PM telah menolak cadangan Tun supaya sebuah Suruhanjaya Diraja menyiasat pengurusan kewangan Tun dan Pak Lah dibentuk.

Alasan Najib sekadar melepas batuk di tangga. Sapu bawah karpet. Kemudian goyang kaki.

Jika Najib seorang PM yang serius melihat pulihnya pengurusan prudent, beliau mesti berbuat sesuatu. Kalau pun enggan menubuhkan Suruhanjaya Diraja.

Menteri Kewangan boleh membentangkan Kertas Putih mengenai ke mana wang minyak RM 270 billion telah dibelanjakan. Tun harus menggerakkan cadangan ini. Paling tidak, Parlimen akan mendapat penjelasan melalui Kertas Putih MOF itu.

Ia mampu dilakukan oleh Kerajaan dan atas prinsip telus dan berakauntable, tidak ada sebab Najib enggan berbuat demikian.

Tentang penggunaan wang RM 270 billion tersebut, memang ada kebenarannya untuk diragui.

Senarai ringkas di bawah sedikit sebanyak boleh memberikan gambaran bagaimana wang itu dibazirkan sesuka hati;

a. Pembatalan kontrak Landasan Berkembar Rawang-Ipoh.
Bayaran ganti rugi kepada DRB-Hicom - RM425mil
b. Pembatalan kontrak Jambatan Kedua Malaysia-Singapura
Bayaran ganti rugi kepada Gerbang Perdana - anggaran awal RM360mil
c. Bayaran ganti rugi kepada operator lebuhraya RM380mil

Compensation to be paid to nine highway concessionaires are as follows

1. Ampang-Ulu Kelang Elevated Highway RM28 million,

2. North South Expressway (Central Link) RM18 million,

3. Seremban-Port Dickson Highway RM178 million,

4. Kulim-Butterworth Highway RM10 million,

5. Malaysia-Singapore Second Link RM6 million,

6. Sprint Highway RM34 million,

7. North Klang Valley Expressway RM9 million, and

8. Penang Bridge RM22 million.

d. RM 500 juta - pembelian bas baru untuk Rapid KL milik Khazanah. 1,000 bas sedia ada terpaksa disadai
e. Kompleks CIQ berharga RM 1 b menjadi gajah putih hasil pembatalan pembinaan Jambatan Kedua.

"The result is that more than RM1 billion has been wasted building the Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) complex (left), foundation works for a new railway station, pilings and preliminary works on the road linking the CIQ to the bridge plus compensation to the contractors because of the cancellation of the projects."

f. Kos pembinaan Landasan Berkembar Rawang- Ipoh, mengikut PAC, meningkat RM 1.43 billion dari harga asal. Mengikut laporan lain, ia meningkat dari RM 2.7 pada Julai 2007 kepada RM4.8 billion pada Mei 2008. Peningkatan 77% dalam tempoh 10 bulan!

g. Pembatalan insinerator Broga - dianggarkan di antara RM 500 juta hingga RM 700 juta untuk bayaran pampasan dan berkaitan.

Angka di atas sahaja dah mencecah RM 5.5 billion!

Sebahagian kos ini berlaku kerana sistem runding terus. Sebahagian, untuk menyediakan peluang perniagaan kepada pihak tertentu semata-mata. Sebahagian kerana bayaran ganti rugi semata-mata.

Siapa patut disalahkan, tidak disentuh di sini. Namun, bagaimana wang yang sangat besar boleh diselamatkan jika Kerajaan cekap dan berhemat.

Saya percaya, Tun mampu mempengaruhi Najib membentangkan Kertas Putih itu pada sidang Parlimen akan datang.

Atau, jika Tun ada cadangan lain bagaimana siasatan dan penjelasan terhadap isu ini boleh dilakukan.

Terima kasih.

Husam Musa
(surat ini akan difakskan ke pejabat Tun M pada 31 Disember 2009)

Kelantan Ditimpa "Celaka"

Kerajaan Negeri Kelantan dikatakan diperintah membayar ganti rugi berjumlah RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan kerana melanggar beberapa perjanjian di antara kedua-dua belah pihak sejak 45 tahun lalu.

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Baru itu dikatakan mencatatkan sejarah tersendiri kerana jumlah ganti rugi itu adalah antara yang terbesar dalam kes sivil di negara ini.

Difahamkan keputusan itu dibuat dalam prosiding yang berlangsung semalam ang membabitkan Timbermine Sdn Bhd dan kerajaan negeri.

Kes itu dipercayai difailkan pada tahun 2004. -BERNAMA


Ulasan GB
Sama-sama kita berdoa agar Allah selamatkan pemerintahan PAS

p/s Sebelumnya TGNA cakap "memang celaka blog tu"....
dan dua setiausahanya disingkirkan.

Parti Bulan Menghadapi Zaman Gerhananya?

Fenomena gerhana bulan separa dijangka berlaku esok - Jumaat 1 Januari 2010 bersamaan dengan 15 Muharam 1431 Hijriah, bermula pukul 1.17 pagi hingga 5.28 pagi waktu tempatan. Menurut kenyataan JAKIM hari ini, gerhana akan bermula dengan fasa penumbra pada pukul 1.17 pagi dan mencapai tahap gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi. Gerhana ini dijangka berakhir pada pukul 5.28 pagi.

Saya bukan tukang tilik apa lagi mempercayai khurafat yang boleh menyebabkan akidah saya tergelincir. Tapi secara kebetulan tahun 2010 disambut oleh parti Pas dengan pelbagai kenangan tidak manis sepanjang tahun 2009. Seolah-olah sedikit demi sedikit sepanjang 2009, gerhana bulan sudah melanda parti bulan (Pas).

Sebenarnya 2009 dimulai dengan sinar cemerlang untuk Pas apabila memenangi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari 2009 dengan majoriti lumayan yang sekaligus merampas kerusi itu dari tangan BN. Ia kemudian disusuli dengan kemenangan Pas untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Penanti beberapa bulan kemudian, semuanya dengan majoriti yang amat lumayan.

Tapi lepas itu Pas mengalami ujian demi ujian dari Allah. Bermula dengan isu kerajaan perpaduan, perang dingin antara dua puak dalam parti sehingga timbul cabar mencabar untuk letak jawatan, kemenangan tipis dalam PRK Manek Urai, kekalahan dalam PRK Teluk Kemang, isu amalan kronisme dalam kepimpinan tertinggi Pas dan terbaru pengunduran dua personaliti penting di pejabat Menteri Besar Kelantan. Walaupun pihak-pihak yang didakwa bertelagah enggan mengaku mereka bertelagah, namun masih ramai yang percaya jika tiada angin mustahil pokok bergoyang. Walaupun memang benar media arus perdana memainkan peranan untuk membesar-besarkan ribut kecil dalam cawan, tapi ramai berpendapat ribut dalam cawan atau ribut dalam tangki besar adalah tetap ribut juga yang tidak boleh dipandang ringan.

Oleh itu apabila 1 Januari 2010 - permulaan tahun baru - disambut oleh gerhana bulan, parti bulan (Pas) perlu melihatnya dari sudut positif. Pemimpin-pemimpin parti bulan perlu melakukan banyak kerja supaya tiada gerhana bulan lagi yang melanda Pas. Gerhana bulan yang berlaku di Malaysia pada awal pagi 1 Januari 2010 nanti hanya gerhana separa bukan gerhana penuh di mana bulan hilang terus di ufuk langit. Bayangkan jika gerhana bulan penuh melanda parti bulan pada 2010, alamatnya Pas mungkin akan berpecah menjadi parti serpihan, pakatan pembangkang di bawah PR akan musnah dan mungkin gulung tikar dan BN akan tertawa besar sambil membayangkan kabinet baru yang akan ditubuhkan di negeri-negeri yang kini dikuasai oleh PR. Dan jika itu berlaku.... pemenang PRU ke-13 sudah boleh dijangka!

Justeru selain bersolat sunat gerhana pada 1 Januari 2010, kepimpinan Pas perlu merenung kembali antara kepentingan diri sendiri, kepentingan keluarga, kepentingan parti dan kepentingan rakyat terbanyak yang masih mengharapkan perubahan pucuk pimpinan di peringkat federal dalam PRU ke-13 menjadi kenyataan.

Kepada kepimpinan Pas, jangan biarkan gerhana bulan esok 1 Januari 2010 menjadi petanda gerhana penuh yang memusnahkan parti bulan pada 2010 ini!! -Pendikargunung