27 Okt 2009

Era Najib Altantuya : Langkah Terakhir TGNA Selamatkan PAS

Pilihanraya Umum (PRU) ke 10 pada tahun 1999 menyaksikan PAS meraih keuntungan dari gerakan Reformasi dimana negeri Terengganu Berjaya dirampas, negeri Kelantan dipertahankan dan dikalangan Barisan Alternatif yang terdiri dari PAS, Parti Keadilan Nasional (PKN), Democratic Action Party (DAP) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), PAS memenangi paling banyak kerusi parlimen.

Arwah Ustaz Fadhil Noor ternyata bijak berpolitik apabila beliau terus mendekatkan dirinya dengan sahabat lama, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja dipecat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga telah dilantik menjadi Ketua Pembangkang Malaysia dan merupakan satu peristiwa yang bersejarah kerana sebelum itu, jawatan tersebut dipegang oleh DAP.

Pada ketika gerakan Reformasi memuncak dan demonstrasi demi demosntrasi dianjurkan untuk mendesak Dr. Mahathir meletakkan jawatan, akhbar Harakah, lidah kepada parti PAS laris dan laku dijual dipasaran.

Peristiwa bersejarah itu juga telah menjalinkan hubungan diantara aktivis-aktivis PAS dengan aktivis-aktivis Reformasi dan NGO yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

Perhubungan tersebut telah menyebabkan persefahaman timbul diantara mereka. Aktivis-aktivis Reformasi dan NGO mula memahami aktivis-aktivis PAS dan begitulah sebaliknya. Hubungan mesra ini terjalin dan sikap tolenransi timbul oleh kerana objektif yang satu, menjatuhkan kerajaan yang zalim.

Apabila kerajaan Dr. Mahathir merampas royalti minyak milik negeri Terengganu yang dipimpin oleh Dato Seri Abdul Hadi Awang pada ketika itu, aktivis-aktivis Reformasi dan NGO turut turun bersama-sama dengan aktivis-aktivis PAS berdemonstrasi untuk mempertahankan “harta” milik rakyat Terengganu itu.

Semuanya dilakukan untuk memastikan negeri yang baru sahaja diambil oleh “rakyat” itu dapat dipertahankan.

Kesombongan dan kebodohan “membunuh” Umno yang pada ketika itu gusar oleh kerana kehilangan sokongan daripada pengundi-pengundi Melayu sewaktu PRU 1999 telah menimbulkan isu perpaduan dengan PAS.

Pada ketika itu, debat agar Melayu bersatu ditimbulkan. Tidak banyak bezanya dengan Muzakarah atau Muqabalah selepas PRU 2008. Kemuncaknya ialah apabila Presiden Umno, Dr. Mahathir dan Presiden PAS, Arwah Ustaz Fadhil Noor berjaya dinaikkan diatas satu pentas dalam isu Palestin. Nasharuddin Mat Isa yang kini Timbalan Presiden PAS adalah Setiausaha Politik kepada Presiden PAS pada ketika itu.

Walaupun kedua-dua presiden parti Umno dan PAS bersama-sama dalam isu Palestin, signal yang ingin disampaikan kepada pengundi-pengundi bukan Melayu ialah “Melayu” tetap bersatu.

Peristiwa 11 September 2001 telah memberikan keuntungan yang besar kepada Umno. Terutamanya dalam memberikan imej “Militan” kepada PAS kepada pengundi-pengundi bukan Melayu.

Abdul Hadi Awang yang mengambil alih jawatan Presiden PAS selepas meninggalnya Arwah Ustaz Fadhil seakan-akan memberikan “vitamin” kepada Umno apabila mengeluarkan dokumen negara Islam.

Tindakan Abdul Hadi telah mendorong DAP keluar dari Barisan Alternatif. Ini telah menyebabkan Umno dan Barisan Nasional (BN) bersorak kegembiraan.

Peristiwa-peristiwa seperti ini menambahkan lagi ketakutan rakyat bukan Melayu dan Melayu terhadap PAS. Insiden-insiden yang berlaku sepanjang 1999-2004 telah menyebabkan “hukuman besar” diberikan oleh pengundi-pengundi kepada Barisan Alternatif.

Desakan dalaman Umno telah menyebabkan Dr. Mahathir meletakkan jawatan. Tindakan ini adalah tindakan yang tepat. Sebagai hasilnya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menggantikan Dr. Mahathir telah berjaya menang besar dalam Pilihanraya Umum 2004. Malahan dikatakan kemenangan terbesar yang pernah dicapai oleh BN.

DAP yang mengambil tindakan yang tepat apabila keluar dari Barisan Alternatif sebelum PRU 2004 telah berjaya memenangi kembali kerusi-kerusi yang mereka kalah dalam PRU 1999 dan Lim Kit Siang kembali menjadi Ketua Pembangkang. Parti Keadilan hanya berjaya memenangi satu kerusi iaitu di Permatang Pauh, kerusi tradisi Dato Seri Anwar Ibrahim.

Nik Aziz dan “geng perpaduan”

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat adalah penentang utama kepada idea-idea penubuhan kepada kerajaan perpaduan diantara PAS dan Umno.

Idea ini adalah kesinambungan daripada apa yang berlaku selepas PRU 1999. Idea ini timbul kembali selepas PRU 2008. Malahan watak-watak yang terlibat selepas PRU 1999 turut memainkan peranan besar pada ketika ini.

Nik Aziz yang telah berada dalam PAS sewaktu parti tersebut menyertai Barisan Nasional selepas 13 Mei 1969 dahulu tahu akan permainan atau “trick lama” ini. Sudah pastilah beliau tidak mahu pisang berbuah dua kali. Sebab itulah beliau menentang keras cadangan untuk “berpadu” dengan Umno.

Beliau lebih percaya PAS mempunyai masa depan yang cerah bersama Pakatan Rakyat berbanding bekerjasama dengan Umno.

Terbaru Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mencadangkan agar muktamar khas diadakan oleh parti tersebut untuk membincangkan mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah termasuk presidennya, Abdul Hadi Awang.

“Bila mesyuarat agung (Jun lalu) tidak mahu tukar presiden (Abdul Hadi), misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah.

“Begitu juga dengan isu-isu di sekitar Hassan atau Mustafa yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan perpaduan atau UG (unity government).

“Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ini?” kata Nik Aziz dalam blognya beberapa hari lalu.

Tulisan Nik Aziz dalam blognya adalah respon kepada analisis Dr. Aziz Bari, ahli akademik Universiti Islam Malaysia (UIA) yang mengaitkan kemerosotan undi PAS di Bagan Pinang baru-baru ini dengan permasalahan yang ditimbulkan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Hassan Ali dalam isu “beer” dan Selcat.

Dr. Aziz turut mengkritik Abdul Hadi sebagai Presiden PAS kerana tidak bersuara apabila kekecohan ditimbulkan oleh pemimpin PAS dinegeri Selangor dan menyamakan pemimpin tersebut dengan Tun Abdullah Badawi ketika memimpin Umno yang seringkali berdiam diri apabila anak-anak buahnya membuat “onar”.

Dr. Aziz turut berpendapat bahawa sudah tiba masanya Hassan Ali disiplinkan tetapi turut mengakui ianya sukar dilakukan oleh kerana Pesuruhjaya PAS tersebut disokong kuat oleh pemimpin PAS Pusat seperti Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung.

Langkah terakhir Mursyidul Am untuk selamatkan PAS

Dalam muktamar khas yang dicadangkan, Mursyidul Am PAS menekankan keperluan kepada proses pemilihan yang ringkas, telus, dan melindungi kerahsiaan undi.

Selain daripada itu, beliau turut mencadangkan agar muktamar khas itu diadakan selama sehari atau dua hari mengikut kepada keperluan.

Kenyataan “radikal” menteri besar Kelantan itu adalah mengambil kira sentimen pengundi-pengundi muda dan bukan Melayu terhadap PAS. Ramai yang menyokong PAS kerana gagasan “Negara Berkebajikan” yang “dijual” semasa kempen PRU 12 bertukar menjadi “Unity Government”.

Dosa-dosa pemimpin PAS seperti Hassan Ali yang bertemu dengan pemimpin Umno selepas 8 Mac masih belum lagi dimaafkan oleh pengundi-pengundi yang memenangkan PAS terutamanya bagi pengundi-pengundi atas pagar dan bukan Melayu.

Hati mereka dirobek lagi apabila Hassan Ali “membuat kacau” dalam pentadbiran negeri Selangor yang seharusnya menjadi contoh pemerintahan Pakatan Rakyat.

Ini ditambah lagi dengan tindakan Pemuda parti tersebut yang tidak habis-habis “melawan konsert” berbanding dengan melawan rasuah dan penyelewengan harta rakyat.

Cadangan Nik Aziz ini dilihat sebagai langkah terkahir untuk menyelamatkan parti tersebut daripada “dihukum” oleh pengundi dalam PRU akan datang. Beliau pastinya tidak mahu lagi melihat “peristiwa PRU 2004” berulang kembali dimana undi dan sokongan kuat kepada Pakatan Rakyat beralih 360 darjah kembali kepada BN.

Ini tidak mustahil berlaku jika PAS tidak sanggup mengorbankan pimpinan tertinggi mereka yang disokong kuat oleh akhbar Utusan Malaysia sebelum pemilihan agung bulan Jun lalu. -Amin Iskandar

Era Najib Altantuya : Keluarga Teoh Fail Permohonan Gali Kubur Mendiang

Peguam Gobind Singh Deo memfailkan permohonan menggali semula mayat Teoh Beng Hock bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan oleh ahli Patologi Thailand, Dr Porntip Rojanasunan.

Gobind berkata ini bertujuan bagi mencari kebenaran disebalik penemuan Dr Pornthip 20 Oktober lalu.

“Keluarga Teoh Beng Hock telah memfailkan satu permohonan di Mahkamah Shah Alam hari ini, permohonan ini bertujuan supaya mayat Teoh Beng Hock dikeluarkan semula daripada tanah untuk tujuan kami bedah siasat semula untuk mendapatkan pendapat kedua daripada Dr Pronthip, kerana beliau telah memberi alasan-alasan yang cukup jelas bagi menyokong permohonan ini ,”katanya.

Dr Pornthip menemui kesan cekik pada leher serta kesan tusukan pada dubur mangsa.

Pakar patologi Thailand itu juga mendapati kesan retak pada tengkorak mangsa tidak konsisten dengan impak akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Selepas kematian Beng Hock beliau telah dibedah siasat oleh dua orang pakar forensic iaitu Dr Khairul dan Dr Prasant kedua-duanya mewakili kerajaan. Gambaran yang dikemukakan cukup jelas menunjukkan seolah-olah ada anggota yang terkecuali dari pemeriksaan . Khususnya leher,dan kawasan belakang sebab apabila Dr Pronthip ke mahkamah beliau memberi keterangan yang cukup jelas bahawa beliau menggunakan gambar yang diambil oleh kerajaan Malaysia,”jelasnya.

Hasil siasatan Dr Pornthip menyimpulkan bahawa ada 80 peratus kemungkinan Teoh Beng Hock mati dibunuh, dan kesan-kesan kecederaan dialami semasa mangsa hidup.

“Beliau mendapati daripada gambar-gambar itu terdapat kesan lebam di kawasan leher, satu pemeriksaan dibawah kesan tersebut ada terdapat pendarahan dan ini tidak konsisten dengan tekanan dan jika lihat dikawasan leher tekanan yang berbentuk jari yang menunjukkan Teoh Beng Hock telah dicekek. Selain daripada itu beliau juga menunjukkan keraguan dengan kecederaan di bahagian belakang, kita meminta kepada Tuan Koroner agar memberi peluang kepada Dr Pornthip melihat secara sendiri,”katanya lagi.

Teoh Beng Hock merupakan setiausaha politik kepada Exco Selangor, EAN Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam, selepas disoal-siasat 10 jam tanpa henti oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Beng Hock dipanggil sebagai saksi dalam operasi besar-besaran SPRM terhadap kerajaan negeri Selangor. -TVS



Era Najib Altantuya : Aziz Bari Menulis Lagi

Pas takkan Pecah.

Oleh Prof Abd Aziz Bari

Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?

Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi? -Abdul A


Era Najib Altantuya : PAS Pun Takutkan Blog?

Apabila timbul isu Musyid Am PAS membuat cadangan supaya diadakan muktamar khas atas sebab yang dimaklumi, ada beberapa pimpinan PAS melalui blog masing-masing mula mempersoalkan blog-blog yang mengulas mengenai isu itu mengikut sudut pandang tersendiri.

Ada yang turut melarang isu itu disentuh di dalam blog dengan alasan penulis blog tidak mendapat maklumat yang benar, hanya maklumat daripada blog juga. Ada juga yang mula memainkan isu ‘kebebasan’, yakni boleh bebas menulis apa sahaja di dalam blog tetapi tidak bebas untuk menulis mengenai isu-isu dalaman PAS.

Turut dipersoalkan ialah maklumat yang diperolehi oleh penulis blog. Penulis blog menulis mengenai sesuatu dengan maklumat separuh masak, yakni bukan daripada pihak yang terlibat sendiri.

Dan banyak lagi…!

Eh, sejak bila pula penyakit takutkan blog ini berjangkit kepada beberapa pimpinan PAS tertentu? Suatu masa dulu PAS berbangga dengan media baru ini. Blog adalah media alternatif, media yang membongkar penyelewengan Umno, media yang boleh dipercayai, media yang melonjakkan kemenangan PAS dalam beberapa PRU, dan macam-macam lagi pujian pimpinan PAS kepada blog dan blogger.

Hari ini berbeza pula, blog disaran tidak membincangkan isu-isu sensitif mengenai PAS. Sudah berpusing 180 darjah?

Apa salahnya isu-isu dalaman PAS dibincangkan di dalam blog? Kalau penulis blog itu adalah pimpinan PAS, dan dia terlibat dengan mesyuarat-mesyuarat PAS, diyakini dia memegang amanah kerahsiaan. Kalau dia membocorkan rahsia, itu bukan salah blog, itu salah tuan punya blog itu.

Bukankah TGNA juga mengemukakan cadangan mengenai muktamar khas melalui blog? Justeru biarlah blogger, samada dia ahli biasa PAS, pimpinan PAS atau sesiapa sahaja memberikan pandangannya mengenai perkara itu di dalam blog miliknya.

Usah takut kepada blog…! Jangan bila sesuatu itu menguntungkan kita, kita pun memuji dan menyanjungnya. Tetapi bila terkena batang hidung kita, kita pun kata dia tidak berguna.

Penulis blog bukan goblok…! -Ust Zolkharnain Abdidin



Era Najib Altantuya : Bagaimana Cara PAS (Yang Bijak) Mengambil Sikap?

Kerana kesuntukan masa (dan saya pun rasa nak melepak tak puas2 sepanjang sabtu dan awal pagi ahad), saya tak sempat mencari banyak maklumat mengenai cadangan Nik Aziz supaya pas adakan EGM. tapi dalam asyik melepak tak puas2 tu pun, saya dapat tahu TPM ada bagi komen. Memang komen yang sedap untuk umno sebab isu tu mengena pada pas.

Dalam keadaan (sesetengah) ahli pas semakin manja dan malas berfikir - dan punya la payah nak paham mesej kalau berkias - mungkin kita boleh mengambil sedikit petua untuk menentukan sikap dalam krisis parti pas yang tak berkesudahan ini.

Saya tak ingat siapa yang mulakan atau tak tahu daripada mulut siapa 'formula' ini, tapi saya mendengarnya dan mengingatinya hingga sekarang selepas Almarhum Dato' Fadzil Noor berucap menyampaikannya. Kata beliau, kita yakin berada dalam posisi betul kalau musuh marah pada kita. Maksudnya, makin marah musuh, makin benar dan betul posisi perjuangan kita.

Ia adalah falsafah yang mudah dan polos - kecuali bagi manusia yang malas nak berfikir lebih daripada satu lapis.

Macam menjelang muktamar pas di Shah Alam baru-baru ni. Musuh pas (termasuklah utusan malaysia, tv3 dan sekutunya yang lain) bersungguh2 nakkan Husam kalah. Mesejnya mudah kalau kita faham falsafah polos disebutkan Almarhum Ust Fadzil tadi.

Tapi masalahnya, majoriti ahli pas malas berfikir lebih daripada selapis. selepas bertahun2 memaki dan menyumpah seranah media arus perdana, ketika memangkah barisan kepimpinan terkini pas, mereka 'dengar dan taat' kepada mainan propaganda media arus perdana.

Tahniahlah, sebab dikeranakan sikap 'kami dengar dan kami taat' itu, pas masih bergelut menepis krisis sampai sekarang.

Begitu juga dengan saranan terbaru nik aziz. muhyiddin awal2 lagi dah kasi smash. dipercayai, dendangan lagu sama akan dimainkan semua pemimpin umno untuk mengolah pandangan umum tentang pas. media arus perdana adalah alat yang terbaik.

Amat menarik untuk melihat - tapi bersedialah lagi untuk kecewa dan menangisi kebebalan diri - bagaimana sikap ahli pas dalam isu ini. Diyakini, umno dan pecacai2-nya akan mempertahankan supaya EGM tidak perlu diadakan. dan bagi golongan yang 'kami dengar dan kami taat' tadi, diyakini juga mereka akan yakin bahaw EGM tak perlu untuk pas.

Tapi, katakanlah EGM akhirnya dibuat juga, propaganda itu dijamin 99.99% akan terus dimainkan. nik aziz dan pengikut kumpulan anti-UG akan kecewa. peratusannya juga mungkin 99.99%.

Sebab? perwakilan yang pergi ke muktamar dan yang akan memangkah undi adalah perwakilan terpilih yang menjalani doktrin 'taat dan dengar'. Atau sekurang2-nya, mereka adalah perwakilan yang malas berfikir lebih daripada selapis.

Apa nak buat. pas kini menjadi mangsa kepada doktrin yang ditanam pemimpinnya sejak puluhan tahun dulu. -labunorangkertas



Konspirasi aziz bari dan nik aziz
tak ramai yang tahu, sebenarnya prof aziz bari adalah ejen provokatur yang sengaja ditanam CIA lama sebelum dia mula terkenal sebagai intelek yang menegur pemerintah. dia mengambil masa agak lama sebelum memulakan langkah melunaskan misi ditetapkan untuknya.

untuk meyakinkan orang ramai, beliau bertugas sebagai profesor undang2 di universiti islam antarabangsa. selain sebuah universiti yang menjadi perhatian pelbagai mahasiswa negara asing, imej institusi pengajian tinggi itu yang menggunakan istilah 'islam' adalah nilai tambah untuk aziz bari menanam keyakinan bahawa dia benar2 ikhlas dalam tugasnya.

jarum jahat aziz bari mula berjalan sejurus selepas dato' seri anwar ibrahim dipecat daripada jawatannya pada 1998. dia mula menonjol sebagai pakar perlembagaan yang banyak menyebelahi pembangkang.

apabila isu perak terjadi, aziz bari banyak sekali memberi pandangan dan semuanya menguntungkan pakatan rakyat.

selepas kredebilitinya sukar dipertikaikan, dia mula memasuki fasa lebih dalam dengan mencetuskan idea supaya presiden pas, dato' seri abdul hadi awang, digantikan dengan tokoh lain yang lebih jelas arah perjuangannya berbanding ahli parlimen marang itu yang dilabelnya sebagai 'pro-umno'.

grand design CIA semakin melebar apabila menteri besar kelantan pula melancarkan serangan preemptive dengan melemparkan idea supaya pas mengadakan mesyuarat agung luar biasa sama seperti mca dan umno. ia adalah tindakan bijak dan mencetuskan gelombang penentangan terhadap ustaz hadi awang.

apabila ustaz hadi disingkirkan, akan dinaikkan pula tokoh lain yang lebih islamik dan memenuhi cita rasa majorti warga malaysia yang sudah jemu kepada umno. namun, rahsia yang lebih besar, di sebalik ketokohan pemimpin itu, dia sebenarnya adalah ejen anwar ibrahim. anwar ibrahim pula adalah sahih ejen amerika.

anda wajib meyakini dan mempercayai maklumat ini sama seperti anda wajib meyakin dan mempercayai bahawa umno adalah parti islam yang paling unggul dan maksum dalam dunia. -labunorangkertas

Tanpa Nama berkata...
bodoh bin bangang je yang tak paham entri ni... dah sah-sah penulis nak menyindir geng UG yang gila duk pakai hujah ni lah dalam nak menang hari tu... abis ulamak-ulamak yang malas berpikir tu kena tipu...





Era Najib Altantuya : Bercakap Soal Persepsi

Pertamanya, aku menyambut baik keputusan Jawatankuasa PAS Pusat untuk mengadakan mesyuarat khas Rabu ini. Untuk itu, sikap yang diambil adalah tunggu dan lihat.

Aku agak terlewat membaca tulisan Hanipa Maidin seputar isu kritikan Prof Aziz Bari dan jawapan balas Ustaz Idris Ahmad. Antara lain, beliau menyebut politik adalah berkaitan persepsi. Abu Saif juga ada menyebut bahawa politik adalah pengurusan persepsi. Dan beberapa komen di blog ini juga ada menyebut tentang persepsi. Kegagalan PAS, selain mengurus kemenangan, adalah kegagalan mengurus persepsi.

Jadi nak tanya, orang PAS faham persepsi tak? Beginilah, sebelum tidur semalam, anak-anakku, Adam dan Alya minta aku bercerita. Kebetulan kepala otak tengah berkecamuk dengan persoalan persepsi ini. Jadi berceritalah aku.

Anjing putih atau anjing oren

Bahawa di sebuah taman perumahan, ada seekor anjing putih yang hanya muncul pada waktu malam. Kelibatnya hanya dapat dilihat oleh penduduk taman itu pada malam hari, di bawah cahaya lampu neon. Kerjanya setiap malam, menyalak di bawah cahaya lampu neon. Di bawah cahaya neon itu, bulunya yang putih kelihatan oren. Maka para penduduk taman perumahan itu menyangkakan bahawa ia adalah seekor anjing oren. Setiap malam, anjing oren akan menyalak di bawah cahaya neon itu. Mereka tidak tahu sebenarnya anjing itu berwarna putih kerana mereka tidak pernah melihatnya pada siang hari. Entah hilang ke mana anjing itu pada waktu siang.

Jadi soalan aku kepada Adam dan Alya, anjing itu putih atau oren?

Tentunya mereka tidak menjawab soalan itu, kerana aku yakin cerita aku itupun mereka tak faham. Hahaha! Tapi andaikan Adam menjawab putih dan Alya menjawab oren. Adakah ada antara mereka berdua yang betul atau salah? Atau kedua-duanya betul atau kedua-duanya salah?

Jawapannya, itulah persepsi. Menyalaklah anjing itu untuk memberitahu bahawa dia putih, bukan oren, orang tak akan percaya kerana mereka tidak pernah melihatnya putih. Dia anjing oren bagi mereka. Kalau dia mahu orang percaya bahawa dia putih, maka dia perlulah membuktikannya. Bagaimana? Muncullah di siang hari supaya orang boleh melihat bulunya yang sebenar. Jangan asyik bermain dengan cahaya neon.

Aku kira, itulah yang cuba dilakukan oleh TG Nik Aziz. Beliau ingin membetulkan persepsi orang umum terhadap PAS. Beliau mahu membuktikan bahawa PAS putih, bukan oren. Cukuplah bermain dengan cahaya neon.

Politik Nik Aziz adalah politik yang jelas!

Wallahua’lam. -mudin001


cuba baca balik dan renung fakta2 ini.. isu kekalahan bagan pinang adalah tambahan saja..

1.) aziz guna perkataan DILIHAT pro umno. maknanya PERSEPSI ramai bahawa tindakan segelintir pemimpin pas dilihat mcm2 pro umno. So kat sini rasanya ramai org bersetuju ttg persepsi ini especially golongan2 atas pagar dan bukan islam..jadi ape yg aziz ckp bg saya tidak salah sebab dia bercakap dr segi penglihantan beliau yg ramai bersepsi seperti dia atas..

2.) Ramai yg terlupa fakta ini.. Aziz menekankan tentang survey yg dibuat oleh merdeka center tentang tahap kepercayaan rakyat terhadap PR utk tubuh kerajaan pusat> Result dr survey berkenaan MAJORITI rakyat tidak percaya bahwa PR BERKEMAMPUAN utk ambil alih peranan BN di peringkat pusat.. Sebabnya adalah tindakan parti2 dlm PR sendirik dan khususnya dkt sini Aziz spesifik kepada PAS adalah tindakan segelintir pihak2 tertentu yg mirip kepada pro umno dan masih belum betul2 mahu sepakat dlm PR.. Ade saje kerenah yg dibuat yg kalau dilihat oleh segolongan masayrakat nampak mcm pro umno bukan pro PR, sekali lagi persepsi ditekan disini… Dan tindakan tersebut munkin telah mencetuskan tindakan golongan bukan islam cuba menjauhi pas dibagan pinang.. sekali lagi peersepsi..

kesimpulan disini ramai yg terlupa utk melihat 2 FAKTA besar diatas dlm komen2 beliau yg bg saya adalah amat penting utk dinilai.

Terima Kasih -MZ



Era Najib Altantuya : Demi Survival Politik PAS, Undurlah!

Tok Guru Nik Aziz menyarankan supaya diadakan EGM PAS bagi mencari penyelesaian muktamat bagi masalah dua tiga kerat pemimpin tertinggi PAS yang tak berkesudahan sejak isu UG timbul.

Dua tiga kerat pemimpin ini dianggap bermasalah dan ini memberi tamparan kepada prestasi Pakatan Rakyat. Dalam PRK Manek Urai, PAS menang tapi dengan majoriti yang lebih rendah. Di Bagan Pinang pula, PAS kecundang dengan majoriti yang jauh merosot.

Apa sudah berlaku pada prestasi PAS? Semua yang berlaku ini merupakan petanda tidak baik dan sekiranya trend ini berterusan, bagaimana PAS nak survive dalam PRU 13 nanti? Ini bukan saja membimbangkan para jemaah PAS tapi juga penyokong PAS serta Pakatan Rakyat. Selagi PAS berada dalam Pakatan Rakyat, bermakna survival Pakatan Rakyat juga pasti terjejas.

Kita patut salute kepada Tok Guru Nik Aziz kerana istiqamahnya dalam perjuangan PAS dan selaku orang lama dalam dunia politik terutamanya dalam PAS, beliau mungkin dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena dengan PAS sehingga orang mula menjauhinya terutama golongan bukan-Islam. Oleh itu, sesuatu perlu dilakukan bagi mengembalikan semula imej PAS.

Persoalannya, apa sudah berlaku dengan imej PAS? Mengapakan wujudnya persepsi yang imej PAS sedang tercalar. Apa atau siapa yang mencalarkan imej PAS sehingga memberi kesan negatif di Bagan Pinang. Yang lebih buruk, kemampuan PAS mula diperlekehkan dan sokongan mula merosot. Takkan nak dibiarkan PAS dalam keadaan sedemikian rupa?? Something must be done, jika tidak parah jadinya.

Sebenarnya, imej PAS mula tercalar apabila isu UG timbul. Walau pun dalam muktamar demi muktamar keputusan telah dicapai, yang PAS menolak sebarang kerjasama politik dengan UMNO, malah PAS menyatakan pendirian akan tetap bersama Pakatan Rakyat serta akan mempereratkan lagi kerjasama dengan rakan kongsi dalam Pakatan Rakyat. Pakatan Rakyat mesti mantap untuk menghadapi UBN yang memang terkenal dengan tipu helah mereka.

Namun, ada juga dua tiga kerat pemimpin atasan PAS yang masih terhegeh-hegeh mahu berkahwin dengan UMNO. Lebih malang lagi, ada seorang pemimpin yang juga PJ PAS Selangor yang sering menimbulkan pelbagai isu kontroversi di dalam akhbar tanpa merujuk kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat khususnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sedangkan dia salah seorang daripada EXCOnya.

Persepsi orang, tindak tanduknya mencurigakan, malah ia dilihat lebih menguntungkan UBN. Yes, dia jugalah salah seorang dalang yang pro-UG di dalam PAS. Setelah UG ditolak, dia menyusahkan pula Pakatan Rakyat dengan isu-isu yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui musyawarah sesama rakan-rakan di dalam Pakatan. Lebih memelikkan, dia mengkritik entiti yang dia sebahagian daripada kerajaan yang menubuhkannya iaitu SELCAT. Apa sudah jadi???


Weh.... kalau asyik bertentangan pendapat dan tak boleh jadi team player, maka letaklah jawatan. Itu lebih bermaruah. Jangan pulak menjadi api dalam sekam. Bahaya manusia bernama Hassan Ali ni. Bukan bahaya kepada umum tetapi bahaya kepada survival politik PAS/Pakatan Rakyat.

Dalam keadaan sekarang, BN mula menikmati semula sokongan daripada non-muslim dan juga orang atas pagar. Jika dua tiga kerat pemimpin yang bermasalah ini dibiarkan membuat sesuka hati mereka, maka gelap dan terkuburlah masa depan Pakatan Rakyat. Nasib Pakatan Rakyat pasti akan jadi macam Barisan Alternative. Jika ini berlaku, berkecai jugalah harapan rakyat untuk menikmati kesejahteraan di bawah satu sistem yang lebih telus, adil dan sakasama.

Mungkin menyedari hakikat inilah maka, Tok Guru Nik Aziz mahukan para pemimpin yang istiqamahnya pada perjuangan mula bergoyang supaya disingkirkan melalui EGM PAS. Tetapi nampak gayanya, EGM tak jadi, cuma satu mesyuarat khas yang akan diadakan. Tak kiralah apa... janji ia membuka mata kita betapa pentingnya para pemimpin tersebut kembali ke landasan yang sebenarrnya. Kalau tak sanggup.... letak jawatan atau berhadapan dengan kemungkinan disingkirkan.

Namun, ketiga-tiga pemimpin yang menjadi buah mulut ramai mengambil sikap mendiamkan diri. Bisu demer weh.... tak keluor suara apa benda pun. Baguslah juga macam tu. Kalau bersuara tapi boleh mengeruhkan lagi keadaan, lebih baik membisukan diri.

Hari Rabu ini, iaitu lusa, AJK PAS Pusat akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan saranan TG Nik Aziz tentang kemelut kepimpinan PAS yang melibatkan dua tiga kerat yang dikatakan bermasalah.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat perkembangannya. Settle atau tak settle?? Tersingkir atau tersungkur?? Eeeiiii.... tak sabor aku!!!

Apa-apa pun kita harapkan mesyuarat khas itu nanti, akan membuahkan satu penyelesaian yang terbaik demi keutuhan PAS/Pakatan Rakyat. -Mumof3Mohd

Era Najib Altantuya : Hassan Ali Perlu Dihukum

Bagaimanakah PAS akan menyelesaikan persoalan yang berbangkit dalam parti itu sekarang? Inilah soalan yang dibangkitkan oleh banyak pihak ekoran kenyataan Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagi saya kita kena kembali kepada pokok masalahnya. Apa masalahnya sehingga Nik Aziz membuat kenyataan dan cadangan sedemikian.

"Bagi saya kerana beliau tidak berpuashati dengan cara pemimpin PAS mengendalikan isu di Selangor. Kalau begitu selesaikan isu di Selangor," kata seorang penganalisa.

Bagi beliau, sebagaimana ramai pihak di luar PAS, Nik Aziz sangat risau dengan apa yang berlaku di Selangor. Ia telah menghasilkan satu persepsi umum yang kurang baik kepada PAS.

Ia bermula dengan siri-siri kenyataan dan pendirian Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam hal ehwal Selangor.

Yang terakhir adalah serangan Hassan, exco kerajaan negeri Selangor ke atas Selcat yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menghadapi serangan ke atas kerajaan negeri itu.

Mereka beranggapan, Umno telah mempergunakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menekan pimpinan kerajaan negeri Selangor.

Padahal, yang paling banyak membuat penyelewengan adalah kerajaan Selangor yang dipimpin oleh BN sebelum ini. Antaranya menghabiskan peruntukan kerajaan negeri untuk setahun dalam tempoh tiga bulan sahaja iaitu habis pada Mac 2008 sahaja.

Ini semua didedahkan dalam sidang Selcat yang dipimpin oleh Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chan Kim.

Hasan melalui satu sidang medianya telah menyerang cara Selcat mengendalikan penyiasatan awamnya sehingga memalukan pegawai kerajaan yang memberikan keterangan dalam sidang Selcat.

Padahal, sebagai Exco, Hasan boleh bangkitkan rasa tidak puashati beliau itu dalam mesyuarat Exco yang diadakan saban minggu. Ini tidak, dalam mesyuarat Hasan hanya mendiamkan diri tetapi cukup hebat dalam membuat kenyataan-kenyataan media.

Apabila Hasan menyerang Selcat melalui media, sudah pasti rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat di Selangor akan marah. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim ketika bercakap dengan wartawan Singapura tidak memberikan ulasan pedas tetapi berkata:

"Inilah masalah kami. Kami main bola tetapi tiba-tiba ada antara ahli pasukan kami main ragbi," katanya.

Khalid juga telah menghantar satu surat khas kepada Presiden PAS berkaitan dengan isu ini.

Apa yang berlaku di Selangor telah memberikan signal yang negatif terhadap PAS dalam bekerjasama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan. Dalam masa yang sama, apa yang berlaku di negeri ini juga menjadi contoh penting kepada seluruh negara.

Ia disahkan lagi melalui keputusan pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila PAS kalah teruk di situ. Antara puncanya kerana dikatakan pengundi Cina dan India tidak memberikan sokongan penuh kepada calon PAS. Dengan mudah jari ditunjukkan kepada Hassan Ali sebagai puncanya.

Kalau begitu, apa pula yang Nik Aziz marahkan kepada pimpinan PAS. Nik Aziz marah kerana beliau melihat para pemimpin PAS yang ada semacam membela Hasan pula. Ini kerana, bagi beliau, semua pemimpin kanan PAS yang ada sekarang rakan sepasukan Hasan dalam isu kerajaan perpaduan.

Bahkan pihak yang dianggap sebagai musuh Hasan dalam politik Selangor, iaitu Khalid Samad, anggota Parlimen Shah Alam diserang oleh pemimpin PAS dalam beberapa siri mesyuarat Pakatan Rakyat.

Kalau begitu bagaimana cara menyelesaikan perkara ini? Mesyuarat agung luar biasa yang bakal berakhir macam MCA atau bertindak tanpa perlukan mesyuarat sebegitu.

Menurut seorang ahli Parlimen PAS di Selangor, sesaorang harus di hukum dan bertanggungjawab ke atas segala masalah ini untuk mempastikan semua yang lain termasuk nama baik parti terselamat. Beliau mencadangkan, Hasan Ali yang mesti dihukum.

Beliau mencadangkan agar Hasan melepaskan jawatannya sebagai Exco kerajaan negeri Selangor kerana nampak sangat beliau tidak boleh lagi bekerja dalam pasukan Pakatan di Selangor.

"Dia sudah main ragbi ketika ahli pasukan lain main bola. Jadi dia yang kena kad merah," kata beliau. -MI