22 Mei 2011

[Video] Cadangan Projek Tepi Lereng Bukit Dibekukan Segera

PKR Sgor Cadang Beku Segera

SHAH ALAM 22 MEI : Parti Keadilan Rakyat Selangor menggesa kerajaan negeri untuk membekukan serta merta aktiviti berhampiran kawasan yang berstruktur lemah dan lereng bukit untuk mengelakkan kejadian tidak diingini.

Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, kejadian lalu haruslah dijadikan iktibar apabila beberapa tragedi menyayat hati berlaku dan banyak nyawa yang terkorban.

"KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor telah pun mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan,"katanya.

"Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda disamping perubahan ekologi persekitaran.

"(Bahkan) jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas,"tambahnya lagi.

Negara semalam digemparkan dengan berita menyedihkan apabila 16 anak yatim termasuk seorang petugas Rumah Anak-anak yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat maut dalam runtuhan tanah kira-kira 2.30 petang semalam.

Justeru beliau mewakili KEADILAN Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi berkenaan.

Beliau juga menggesa insiden sedih ini tidak dijadikan medan politik untuk berkempen.

"Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan,"ujar beliau.

Semalam, tindakan pihak polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan Umno dan wakil kerajaan Pusat masuk ke kawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.

Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawab lebih besar membantu mangsa. -tvsnews




[Video] Keadaan 9 Mangsa Insiden Tanah Runtuh Stabil - updated

Sembilan Yang Terselamat Insiden Tanah Runtuh Stabil

KUALA LUMPUR 22 MEI : Semua sembilan orang yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Batu 14 Hulu Langat semalam, yang sedang dirawat di hospital, berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata enam mangsa kejadian di Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Hidayah Al-Taqwa itu ditempatkan di wad khas (bencana) manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak diselamatkan semalam.

"Tiga di ICU kini stabil, dua lagi yang berumur 13 dan 33 tahun terpaksa dipotong kaki kerana kecederaan teruk manakala seorang lagi mengalami kecederaan di kepala," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat mereka di Hospital Ampang di sini beliau berkata, semua mereka berumur antara sembilan dan 33 tahun.

Sementara itu semasa merujuk kepada kesukaran wartawan mendapat maklumat tepat mengenai tragedi terutamanya ketika berlaku bencana dalam skala besar, Rosnah berkata keadaan itu berlaku disebabkan keadaan yang kelam-kabut susulan kejadian.

"Pihak hospital terpaksa menumpukan perhatian dalam merawat pesakit sehingga tidak mempunyai masa untuk menyalurkan maklumat kepada wartawan," katanya dan menambah perkara itu akan diperbetulkan supaya media mendapat maklumat tepat untuk disalurkan kepada orang ramai.

Kejadian tanah runtuh kira-kira pukul 2.30 petang semalam itu sehingga kini mengorbankan 16 nyawa.

Seorang mangsa yang terselamat, Mohd Alauddin Shafie, 14, yang ditemui di wad khas hospital itu semasa bercerita mengenai kejadian itu berkata ia berlaku dengan pantas, semasa dia bersama tiga lagi rakannya sedang menyusun kerusi di bawah khemah berhampiran rumah itu.

"Saya tengah susun kerusi, dan sedang mencari lagi rakan untuk membantu semasa saya nampak tanah dari lereng bukit jatuh menghala ke arah saya. Saya cuba berpusing tetapi pintu berhampiran tak boleh dibuka, tiba-tiba saya dihempap kerusi dan papan putih mengakibatkan tangan kiri patah," katanya.

Dalam tragedi itu, Mohd Alauddin kehilangan adiknya Mohd Hazim, 10, tahun yang meninggal dunia akibat tertimbus dalam runtuhan itu.

Sementara itu seorang lagi mangsa yang terselamat Muhamad Akmal Mohd Jefry, 11, ketika ditemui berkata kejadian berlaku semasa dia sedang mengemas untuk menyambut ketibaan tetamu bagi satu majlis rasmi apabila secara tiba-tiba dia melihat tanah yang datang dengan banyak secara tiba-tiba.

"Saya ingatkan khemah jatuh sahaja, tapi saya dengar bunyi kuat tanah runtuh. Ketika saya tengah lari saya terjatuh, tergelincir dan terhantuk dengan
dinding. Kaki saya tersepit," katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Marliza Sulong, 43, emak Akmal yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir di SK Bandar Tun Hussein Onn 2, doktor memberitahu beliau bahawa anaknya boleh pulang ke rumah dalam sehari dua lagi.- BERNAMA



Dasar Laut Berganjak Kerana Gempa

Tokyo: Dasar laut berganjak lebih 20 meter dan naik tiga meter selepas Jepun dilanda gempa bumi magnitud 9 pada Mac lalu, perubahan lebih besar daripada jangkaan awal saintis.

Ia berdasarkan ukuran peralatan yang diletak pada dasar laut dan direkodkan Pengawal Pantai Jepun, menunjukkan mengapa kemusnahan berlaku di kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi disusuli tsunami.

“Skala yang didapati itu lebih dua kali ganda daripada jangkaan data terkumpul menerusi ukuran pada tanah,” kata Dr Mariko Sato kepada Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Pengawal Pantai Jepun meletakkan lima peralatan lokasi untuk mengukur perkembangan di dasar laut.

Gempa itu berlaku dekat Jurang Jepun, satu sempadan pelantar tektonik terletaknya bongkah batu dasar Lautan Pasifik ditarik ke bawah Jepun serentak pergerakan ke barat, ke arah Eurasia.

Gempa bermula di laut dalam, 130 kilometer dari bandar Sendai di wilayah Miyagi pada kedalaman 32 kilometer.

Berikutan itu, penyelidik memberi amaran bahawa masih ada banyak tekanan yang tersimpan di kawasan berkenaan sekali gus wujud kemungkinan gempa lebih besar berlaku.
Jurnal Science menerbitkan tiga kertas kerja baru mengenai kesan dan punca gempa mega 11 Mac lalu yang menunjukkan keadaan di lokasi gempa bumi lebih rumit dan bahaya.

Satu daripada kertas kerja itu menunjukkan Pengawal Pantai Jepun menyiarkan data lima peralatan geodetic yang diletakkan di bawah laut pada 2000 hingga 2004, dekat kawasan gempa bermula.

Satu daripada peralatan itu yang diberi nama MYGI diletakkan hampir di atas pusat gempa berkenaan menunjukkan sejauh mana anjakan dasar laut berlaku sejak ukuran diambil pada Februari lalu.

Empat peralatan di lokasi lain dikenali dengan nama FUKU, MYGW, KAMS dan KAMN.

Sato percaya, perubahan itu berlaku ketika gempa bumi melanda. Malah, ada yang menganggarkan anjakan di bawah dasar laut lebih besar, antara 48 hingga 60 meter.

“Kami guna satelit, kemudian kedudukan alat itu dari kapal menggunakan ombak akustik.

“Kami ulanginya dan memerhati kedudukan alat itu sebelum dan selepas gempa,” kata Sato. – Agensi

[Video] Pasca Tragedi Tanah Runtuh Hulu Langat



Lebih 500 Sertai Solat Jenazah Mangsa Tanah Runtuh

KUALA LUMPUR: Lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga dan waris mangsa serta penduduk setempat hadir di Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah, Pekan Batu 14 Hulu Langat, bagi menunaikan solat jenazah untuk tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa semalam.

Ketujuh-tujuh jenazah itu disembahyangkan selepas solat Zohor di masjid berkenaan.

Masjid berkenaan mulai dipenuhi jemaah sejak 10 pagi tadi untuk urusan pengebumian jenazah mangsa terbabit.

Mereka ialah Dzahir Haziq M Muin, 18; Mohd Azret Azahari, 8; Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11; Mohd Mustakim Mamat, 12; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; dan Mohd Hazim Sapri, 10.

Mereka disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14, Hulu Langat.

Dalam kejadian tanah runtuh kira-kira 2.30 petang semalam, seramai 25 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah.

Enam belas orang terkorban dalam tragedi tersebut manakala sembilan lagi yang turut terperangkap dalam runtuhan itu selamat.

Semua mayat mangsa yang terkorban di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Semua jenazah selesai dituntut ahli keluarga dan waris pada kira-kira 12.05 tengah hari tadi.

Jenazah mangsa yang lain akan dikebumikan di kampung halaman masing-masing iaitu tiga di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Dengkil (dua) dan masing-masing satu di Batu Caves, Perak, Pahang dan Kelantan. - BERNAMA


Slimming Sanctuary Diarah Bayar RM26,793.57 Ganti Rugi Melecur

Sebuah pusat kecantikan diperintahkan Mahkamah Sesyen di sini, semalam, membayar sejumlah RM26,793.57 kepada seorang pemilik butik selepas didapati cuai sehingga menyebabkan pelanggannya melecur di beberapa bahagian badan ketika menggunakan kemudahan spa di pusat itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Norshila Kamaruddin membuat keputusan itu selepas selesai mendengar semua keterangan saksi pada 28 April lalu dalam kes saman kecuaian difailkan Lim Wah Kiau terhadap Slimming Sanctuary Sdn Bhd.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 11 Februari tahun lalu, Wah Kiau berkata, beliau membeli pakej kecantikan merangkumi rawatan muka dan kemudahan spa daripada Slimming Sanctuary berharga RM10,072.20 di cawangan Ampang.

Wah Kiau berkata, beliau mengalami kecederaan melecur tahap kedua di bahagian tangan, bahu dan belakang kerana suhu air terlampau panas dalam tab jakuzi ketika menggunakan kemudahan spa di pusat kecantikan itu pada 31 Disember 2008.

Katanya, sebelum memasuki tab jakuzi itu, pekerja pusat kecantikan itu hanya menambahkan sedikit air ke dalam tab untuk mengawal suhu walaupun sudah diberitahu air dalam tab terlampau panas.

“Apabila berbaring dalam tab jakuzi itu, saya rasa degupan jantung amat cepat dan cuba bangun tetapi saya kemudian pengsan. Apabila sedar kembali, saya berasa hendak mandi air pancur, bagaimanapun sekali lagi saya pengsan,” katanya.

Wah Kiau berkata, beliau hanya dijumpai pekerja di spa itu pada jam 4.30 petang, iaitu lebih sejam selepas berada di pusat kecantikan berkenaan.

Disebabkan kecuaian itu, wanita itu berkata belakang, tangan dan bahunya berparut selain mengalami penderitaan dari segi mental dan emosi dan kehilangan pendapatan kerana tidak berupaya menjalankan perniagaannya lagi.


Selamat Bertanding & Semuga Berjaya Untuk Mohd Sabu

Ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Mohamad Sabu hari ini mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada pemilihan bulan depan.

Mohamad (gambar) atau lebih dikenali sebagai “Mat Sabu” berkata, surat rasmi penerimaan pencalonan akan diserahkan kepada jawatankuasa pemilihan dalam tempoh terdekat.

Tarikh akhir menyerahkan borang makluman rasmi bertanding adalah 26 Mei ini.

“Saya seperti sebelum ini berkata bersedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS.

“Ya, saya sah akan bertanding dan borang maklumat rasmi bertanding akan saya serahkan esok atau lusa,” katanya pada sidang media di sini.

Ketika ditanya mengenai jumlah pencalonan yang diperoleh, Mohamad bagaimanapun enggan memberikan jawapan, sebaliknya berkata, “ia memberangsangkan.”

“Kalau jawatankuasa pemilihan juga rahsiakan, saya juga akan rahsiakan, apa yang boleh saya katakan ia memberangsangkan.

“Saya bersedia bertanding jawatan timbalan presiden sekiranya ada pertandingan sebab saya tidak tahu siapa yang akan bertanding,” katanya.

Difahamkan Mohamad menerima pencalonan yang paling tinggi bagi jawatan itu.

Seramai enam orang layak bertanding jawatan itu termasuk penyandangnya Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Exco Kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa, dua naib presiden PAS Salahuddin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian memutuskan untuk tidak bertanding jawatan itu, sebaliknya akan mempertimbangkan untuk mempertahankan jawatan yang disandang sekarang.

Mohamad pernah mencuba nasib merebut jawatan nombor dua itu pada pemilihan 2009 tetapi tewas.

Sementara itu, Bendahari PAS Dr Mohd Hata Ramli yang turut hadir pada sidang media hari ini berkata, beliau masih belum memutuskan sama ada mahu bertanding jawatan naib presiden atau tidak.

“Saya belum menerima surat rasmi lagi, saya akan lihat jumlah pencalonan dulu.

“Kalau kehadiran saya bagi jawatan itu akan menaikkan PAS, saya akan bertanding,” katanya.

Setakat ini hanya Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad sudah mengesahkan akan bertanding jawatan itu.

Seramai 14 orang layak bertanding jawatan itu.

Ketua Penerangan Ulama PAS Nik Zawawi Nik Salleh memutuskan untuk tidak turun gelanggang dengan alasan mahu memberi peluang kepada orang lain. -TMI

Mohamad Sabu sahkan bertanding timbalan presiden PAS

Mohamad Sabu yakin berdasarkan jumlah pencalonan yang lebih memberangsangkan.

KUALA LUMPUR: Ahli jawatankuasa kerja (AJK) PAS Mohamad Sabu mengesahkan beliau akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden PAS.

“Saya mahu membantu presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) untuk memenangi masyarakat bukan Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata beliau sejurus selepas sidang media Bersih bersama ahli parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli tengah hari tadi di ibu pejabat PAS pusat di sini.

Beliau yang membuat percubaan kedua untuk jawatan timbalan presiden mengesahkan akan bertanding jawatan tersebut berdasarkan jumlah pencalonan yang lebih memberangsangkan berbanding dengan pencalonan yang diterima dalam pilihanraya parti 2009.

Beliau bagaimanapun, tidak memberitahu jumlah pencalonan yang diterima.

Tetali mengaku tidak membuat sebarang penilaian mengenai peluang untuk memenangi jawatan No 2 parti.

“Saya akan teruskan kerja parti saya,” kata Mohamad.

Sementara itu, Dr Hatta yang diumumkan akan bertanding jawatan naib presiden memaklumkan bahawa beliau masih belum menerima surat pencalonan.

Beliau juga yakin dengan pencalonan yang diterimanya.

“Saya bangga menerima pencalonan dari perwakilan dan boleh lepas tahap kelayakan.”

“Kalau saya lebih hebat dari calon lain, lebih baik saya jadi dan saya bersedia memikul tanggungjawab sekiranya ia membantu parti menjadi lebih kuat,” kata Dr Hatta.-FMT



Ulasan GB

Selamat maju jaya kepada Sdra Mohd Sabu.

Mereka Mati Syahid - Mufti Selangor

Anak yatim maut tertimbus syahid

SHAH ALAM - Kematian mereka bukan sia-sia. Allah sudah janjikan ganjaran syahid bagi sekumpulan anak yatim terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, petang semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengikut hukum, Islam yang menemui ajal secara tragis se-perti akibat kebakaran, kemalangan jalan raya atau bencana alam dan mati ketika tidur, dikategorikan sebagai syahid.

“Mereka dapat syafaat Allah, itu janjiNya,” katanya.

Beliau mengulas kematian anak-anak yatim penghuni Rumah Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, petang semalam.

Bagaimanapun menurut Mohd Tamyes, jenazah mereka masih perlu diurus seperti jenazah mati biasa, iaitu mandi, kafan dan disolatkan.

Beliau mengingatkan pengasas rumah kebajikan, termasuk rumah anak yatim di seluruh negara, pastikan bangunan mereka tiada risiko musibah.

“Jangan bina di lereng bukit atau berhampiran dekawasan bahaya kepada penghuni,” katanya. -SH


Tanah Runtuh: Tujuh Jenazah Kanak-Kanak Dikebumikan Dalam Satu Liang Lahat


KAJANG: Suasana sayu menyelubungi sekitar Masjid Sultan Hisamuddin Alam Shah Batu 14 bagi menunaikan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas Zohor.

Kesemua tujuh jenazah kanak-kanak mangsa tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim Malaysia Madrasah Al-Taqwa di Batu14, Hulu Langat, akan dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan orang Islamdekat sini.

Terdahulu lima mayat kanak-kanak iaitu Mohd Azret Azahari, 8; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Imal Fahad, 9; Mohd Mustakim Mamat, 12 dan Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11 sampai di masjid sekitar pukul 10.45 pagi.

Sementara dua lagi mayat terakhir iaitu Dzahir Haziq, 11 dan Mohd Hazim Sapri, 10 selamat sampai di masjid pada pukul 11.05 pagi.

Pembantu rumah anak-anak yatim berkenaan, Yazid Ishak ketika ditemui berkata baki sembilan lagi mayat yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh telah dituntut oleh waris masing-masing untuk diurus dan dikebumikan.

"Di sini kita akan solat dan kebumikan tujuh jenazah secara bersama...jenazah-jenazah lain sudahpun dituntut waris mereka," katanya.

Hingga berita ini ditulis, waris tujuh mangsa berkenaan diberi pelung terakhir untuk melihat jenazah sebelum ditutup untuk disolat dan dikebumikan.

Kira-kira 500 orang awam termasuk waris mangsa berada di sekitar kawasan masjid. -mstar



Senarai lengkap mangsa tragedi tanah runtuh


KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai nama 25 mangsa yang terbabit dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini.

Sehingga 5.30 pagi ini, semua mangsa yang tertimbus sudah dikeluarkan pasukan mencari dan menyelamat dengan 16 daripadanya terkorban dan sembilan cedera.

Operasi yang bermula jam 2.45 petang semalam berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada jam 5.05 pagi.

Operasi mencari dan menyelamat disambung pada 8 pagi ini bagi membuat gerakan terakhir untuk memastikan tidak ada lagi mangsa yang terperangkap.

Berikut ialah senarai nama penuh mangsa yang diperoleh dari bilik gerakan bergerak yang dibuka di lokasi kejadian:

Enam belas yang terkorban ialah:

1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun 2) Nurahimi Rosdi, 14
3) Dzahir Haziq M. Muin, 11
4) Ahmad Lokman Hakim, 11
5) Farid Ibrahim, 34
6) Mohd Azret Azahari, 8
7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11
8) Zahid Assawal Zamri, 19
9) Mohd Mustakim Mamat, 12
10) Mohd Naerzein M. Nor, 8
11) Mohd Aiman Abdullah, 10
12) Shahrul Nurimran Adnan, 9
13) Mohd Zaid Azahari, 14
14) Mohd Imal Fahad, 9
15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9
16) Mohd Hazim Sapri, 10

Sembilan yang terselamat ialah:

1) Aizat Khusairi, 12
2) M. Allaudin Sobri, 14
3) M. Syatiq Ibrahim, 21
4) Khairul Anuar Nasri, 9
5) M. Harris Izuddin Sahrul, 11
6) Zulkhairi Aminuddin, 13
7) Izzuddin Abdullah, 30
8) Izuan Zakaria, 33
9) Mohd Akmal Mohd Jefri, 10

Lapan daripada mereka sedang dirawat di Hospital Ampang manakala Mohd Akmal di KPJ Kajang. - BERNAMA



Doktor Hilang Selepas Ditepuk Gadis Bertudung Merah

NATRAH menunjukkan gambar anaknya yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu.

Alor Setar – Kehilangan seorang doktor pelatih, Mohd. Noor Azam Mohd. Nazri, 26, sejak lima hari lalu menjadi bertambah misteri apabila dia pernah hilang sebanyak dua kali bulan ini selepas dipercayai dipukau seorang gadis bertudung merah.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, memberitahu, anaknya menghilangkan diri pada 3 Mei dan 12 Mei lalu selepas keluar bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, dalam kejadian pada 3 Mei lalu itu, anak sulungnya itu hanya pulang ke rumah dua hari kemudian.

“Dia cerita kepada saya bahawa ada seorang wanita muda bertudung merah berusia lingkungan 20-an menegurnya ketika mahu naik lif di HSB kira-kira pukul 6.30 pagi.

“Wanita itu bertindak menepuk dahi anak saya menyebabkan dia tidak sedar. Dia hanya tersedar di dalam kereta di kompleks beli-belah City Square di Sungai Petani dua hari selepas itu dan hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM500,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, pada 12 Mei lalu, Mohd. Noor Azam sekali lagi hilang ketika berada di kawasan HSB dan pulang ke rumah semula dua hari kemudian. -kosmo




[Video] 9 Julai, Himpunan BERSIH Kedua! PAS Sasar 100,000 Ahli Turut Serta

PAS kumpul 100,000 ahli sertai BERSIH 9 Julai ini

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) akan sekali lagi menggerakkan rakyat bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil pada 9 Julai ini bermula jam 2 petang.

Himpunan yang bertemakan "Walk For Democracy", menurut Pengerusi Badan Penggerak Mobilisasi Demokrasi PAS Mohamad Sabu akan berlansung di Kuala Lumpur dan tempat yang spesifik akan diumumkan nanti.

Beliau berkata, perkara tersebut telah diputuskan oleh BERSIH bersama-sama lebih 60 NGO dan parti politik yang bergabung di dalamnya dalam mesyuarat bersama pada 19 Mei lalu.

"Kami bagi PAS yang duduk dalam jawatankuasa BERSIH bersetuju dengan tarikh tersebut.

"Kami akan mengerahkan ahli dan penyokong untuk menyertai himpunan aman itu, seperti Bersih 1.

"Kita berharap tidak ada gangguan tertentu daripada pihak polis (sewaktu himpunan BERSIH 2)," kata Mohamad dalam sidang medianya hari ini.

Katanya, tujuan himpunan tersebut diadakan adalah kesinambungan empat tuntutan BERSIH dalam himpunan pertama mereka pada November 2007.

Menurutnya selain empat tuntutan mereka yang tidak dilayan oleh kerajaan dalam himpunan sebelum ini, BERSIH telah menambah lagi dua tuntutan.

Terlalu singkat

Dua perkara itu adalah berhubung dakwaan penyalahgunaan institusi kerajaan dalam pilihan raya sehingga rakyat tidak dapat menilai antara parti politik dan kerajaan.

Satu lagi tuntutan adalah melanjutkan tempoh pilihan raya di peringkat kebangsaan dengan "tempoh yang lebih munasabah" berbanding tempoh lapan hari yang dianggap sebagai terlalu singkat.

"Kalau di Thailand, mereka mengumumkan untuk mengadakan pada bulan Julai, lebih kurang dua bulan.

"Jadi kita minta tempoh yang munasabah, masa sekarang terlalu singkat," katanya.

Mohamad yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat berkata pihaknya bersedia untuk membantu BERSIH untuk mengerahkan ahlinya untuk turun di seluruh negara.

"Kita yakin, PAS dapat mengerahkan lebih 100 ribu ahli... Lebih besar dan aman untuk mewujudkan suasana demokrasi.

"Kita mahu mengelak kejadian tidak demokrasi seperti di Timur Tengah yang menjadikan jalan raya untuk menukar kerajaan. Kita tidak mahu ini berlaku di Malaysia," katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Bendahari PAS Dr Hatta Ramli dan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Kamaruzzaman Mohamad.

Dr Hatta berkata butiran terperinci berhubung perhimpunan BERSIH 2 itu akan diumumkan kepada media termasuk tempat, warna tema, dan penyerahan memorandum kepada pihak tertentu.

PAS saja 100 ribu

Mengulas lanjut, Dr Hatta berkata PAS yakin dapat menggerakkan rakyat dalam tempoh tujuh minggu dari tarikh himpunan berbanding BERSIH yang pertama yang mengambil masa selama enam bulan.

Ini kerana katanya, "pengalaman lama" sebelum ini mampu untuk menarik ahli dalam masa yang singkat.

"Jumlah 100 ribu dapat dicapai oleh PAS sahaja untuk menarik para penyokong.

"Himpunan di muktamar, kami akan menyedarkan ahli supaya menggerakkan kawasan masing-masing," katanya sambil menambah PAS akan membuat roadshow untuk memobilisasikan ahli-ahlinya ke perhimpunan tersebut.

Katanya, perhimpunan itu juga dijadikan gelanggang bagi membantah undang-undang yang dianggap zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak dan Akta Rahsia Rasmi OSA.

Kamaruzaman yang mewakili Pemuda turut memberi komitmen untuk mengerahkan pemuda mereka menyertai himpunan tersebut. -mk


Bersih rally: PAS promises 100,000 supporters

KUALA LUMPUR: PAS has pledged its support and 100,000 supporters for the polls watchdog Bersih 2.0′s rally, dubbed the “Walk for Democracy.”

This was announced by PAS central committee member Mohamad Sabu and Kuala Krai MP Dr Hatta Ramli at a press conference here this afternoon.

“We will mobilise 100,000 members and supporters from PAS alone,” said Sabu who is eyeing the party’s number two post.

He revealed that the rally would be held on July 9 at 2 pm in Kuala Lumpur.

Asked on the motive behind the rally, Hatta said the government had not agreed to the demands made in the first rally four years ago.

“The Election Commission is trying to curb us. The government also doesn’t know how to differentiate whether an action constitutes bribery,” he added.

In 2007, Bersih, which is made up of more than 60 NGOs, demanded for the use of indelible ink, registered voters roll clean-up, abolition of postal votes and access to the government-controlled print and broadcast media for opposition parties.

This time around, the Bersih 2.0 rally would see an addition of two more demands.

One was to end the misuse of government machinery as seen during the various by-elections and the recently concluded Sarawak state election.

“People get confused on whether the programmes are coming from political parties or the government,” said Sabu.

The second demand concerned the use of certain laws such as the Official Secrets Act and Internal Security Act for electoral advantage. -FMT





[Video] Tragedi Tanah Runtuh, Dewan Ranap &, Laporan Al-Jazeera

Tanah runtuh Hulu Langat: Dewan ranap, surau rosak

KUALA LUMPUR: Kebanyakan penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, tergamam dan tidak sempat melarikan diri daripada runtuhan tanah kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Ada antara mereka menyedari pergerakan tanah kecil di tebing bukit berhampiran bangunan dan tidak menyangka akan berlaku runtuhan besar, sekali gus meranapkan dewan serba guna dan merosakkan sebuah surau.

Penduduk kampung yang tiba awal di tempat kejadian juga menghadapi masalah mengeluarkan mangsa yang terselamat kerana hanya menggunakan cangkul untuk mengorek tanah runtuh serta tidak mampu mengangkut batu besar serta kesan runtuhan bangunan.

Kebanyakan mangsa berjaya dikeluarkan apabila pasukan mencari dan menyelamat tiba bersama jentolak serta kelengkapan lain.

Mohamad Faizal Ismi, 17, adalah antara penghuni yang terselamat kerana sempat melarikan diri sebaik saja ternampak tanah runtuh di belakangnya dan menyaksikan beberapa rakannya tertimbus.

Ketika kejadian, dia sedang sibuk menyiapkan kerja menghias pentas untuk majlis khas bersama Perbadanan Kemajuan Filem Negara (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Pelajar tahun lima, Mohamad Akmal Mohd Jafri, 11, turut terselamat daripada ditimbus apabila terlebih dulu dihempap sebuah basikal sebelum tanah runtuh menimpanya.

Ketika kejadian, pelajar Sekolah Kebangsaan Tun Hussein Onn 2 itu yang mengikuti program motivasi hujung minggu di madrasah berkenaan berada berdekatan dewan sempat menyaksikan bangunan bergegar sebelum runtuh menimpanya.

Ibu mangsa, Marliza Sulong, 43, berkata, dia terus bergegas ke tempat kejadian sebaik mendapat panggilan mengenai tragedi yang menimpa anaknya itu yang menerima rawatan di klinik Batu 14, Hulu Langat, dekat sini.

“Anak saya selamat dan cuma luka ringan di kepala serta anggota badan, tetapi cukup sedih melihat mereka yang terkorban,” katanya.

Seorang saksi yang dikatakan paling awal tiba di tempat kejadian, Abdur Rahman Mohd Lazim, 43, terkejut apabila dua penghuni anak yatim berlari menemuinya meminta tolong.

Ketika itu, Abdur Rahman sedang bersiar di kawasan itu menunggang motosikal.
“Dua penghuni menangis sambil berlari meminta tolong. Ketika sampai ke tempat mereka, saya nampak enam penghuni tertimbus merintih dan meraung sakit. Hanya bahagian wajah mereka yang kelihatan manakala badan ditindih batu, kayu dan tanah runtuh.

“Saya cuba membantu dengan menarik mereka keluar tetapi mereka meraung kesakitan. Beberapa minit selepas itu mereka terkulai, saya tak tahu sama ada masih hidup atau sebaliknya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Azri Ashraf, 17, berkata, beliau mendengar mangsa menjerit meminta tolong dan melihat beberapa lagi tersepit di bawah pintu, meja serta kerusi.

Azri yang sedang berehat di rumahnya terdengar bunyi pokok tumbang dan tanah runtuh yang kuat menyebabkan beliau keluar daripada rumah kerana bimbang berlaku apa-apa kejadian.

“Saya naik ke bahagian atas kawasan perumahan dan terkejut melihat rumah anak yatim itu tertimbusApabila terdengar jeritan, saya terus turun ke bawah dan melihat beberapa mangsa seolah-olah tidak sedarkan diri kerana tersepit di pintu dan meja.

Saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana terlalu terkejut,’’ katanya. -BH

Gali tanah guna tangan


HULU LANGAT: Tiga anak yatim, termasuk dua berusia 11 dan 14 tahun, maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Sungai Gahal, di sini, semalam.

Lebih tragis, difahamkan setakat jam 7 malam, seramai 14 dikhuatiri masih tertimbus iaitu 11 anak yatim dan tiga penjaga.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, enam pelajar dan seorang penjaga yang sudah diselamatkan, cedera dalam kejadian itu.

“Seramai 14 orang (11 pelajar, tiga penjaga) yang masih terperangkap berusia lapan hingga 17 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurut saksi, runtuhan berlaku dua kali dengan kali pertama pada jam 2.15 petang.

Kawasan itu kini dijadikan zon larangan oleh polis dan orang ramai tidak dibenarkan memasukinya berikutan kemungkinan berlaku runtuhan selepas hujan lebat sejak jam 5.30 petang.

Mangsa terbabit dikeluarkan daripada runtuhan itu oleh pasukan mencari dan menyelamat membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba ke tempat kejadian, kira-kira jam 2.30 petang.

Setakat jam 6.30 petang, seorang daripada mangsa yang meninggal dihantar ke Hospital Ampang, dua lagi masih di surau berhampiran tempat kejadian manakala tujuh yang cedera dihantar ke hospital sama, selain Hospital Kajang.

Pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat biarpun dalam keadaan hujan lebat.

Difahamkan, ketika kejadian itu, semua kanak-kanak itu berada di dewan makan rumah anak yatim itu.

Saksi, Pak Mat, 40, berkata ketika kejadian, dia yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian terdengar bunyi runtuhan lalu segera berlari ke situ.

“Sebaik tiba, saya nampak beberapa kanak-kanak tertimbus akibat tanah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya segera gali dengan tangan dan berjaya menarik dua kanak-kanak (yang meninggal).

“Saya kasihan melihat keadaan pelajar berkenaan. Air mata menitis kerana terbayangkan nasib mereka yang masih mentah,” katanya hiba.

Seorang lagi saksi, Sham, 29, berkata sebelum kejadian dia terdengar bunyi paluan kompang dari khemah di kawasan rumah berkenaan sebelum dikejutkan dengan panggilan telefon abangnya mengatakan berlaku tanah runtuh di situ.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menyelamatkan tiga pelajar daripada tertimbus. Sebelum diselamatkan, ada pelajar terperangkap dalam runtuhan hingga ke paras pinggang.

“Biarpun mereka cedera, saya lega dapat menyelamatkan mereka. Cuma terkilan masih ramai lagi yang terperangkap,” katanya. -hm










[Video] TERKINI: Kesemua Mangsa Berjaya Dikeluarkan, 3 Faktor Kejadian [updated]

Mayat empat lagi kanak-kanak mangsa tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat, dekat sini, ditemui awal pagi ini.

Mayat tiga daripada mereka yang hanya dikenali sebagai Riz, Fahad dan Hazim, kesemuanya berumur 9 tahun ditemui pada pukul 4.21 pagi, manakala mayat kanak-kanak yang hanya dikenali sebagai Boboy, 11, diitemui pada pukul 5.05 pagi.

Dengan penemuan empat mayat itu, kesemua mereka yang dilapor tertimbus dalam kejadian itu telah ditemui, kata polis.

Kejadian pada pukul 2.30 petang semalam itu mengakibatkan 25 orang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus. 16 orang ditemui mati manakala sembilan yang lain cedera, tiga daripadanya kritikal.

Polis berkata operasi mencari dan menyelamat kini dihentikan dan akan disambung pukul 8 pagi ini.

Berikut adalah senarai nama 25 mangsa yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini Sabtu.

Senarai nama berikut adalah menurut nama panggilan mangsa di rumah anak yatim berkenaan.

1) Azrel, 8,
2) Nael, 8,
3) Shahrul, 9,
4) Boboy, 10,
5) Farid, 34,
6) Eqim *
7) Zaim *
8) Angah *
9) Rahimi *
10) Zaid Ashwal, 18,
11) Riz, 9,
12) Fahad, 9
13) Hazim, 9

Sembilan yang terselamat iaitu:

1) Khairul, 9,
2) Hairis *
3) Harris *
4) Akmal *
5) Aizat *
6) Alaudin *
7) Irwan, 33,
8) Din, 30,
9) Syafiz, 22,

Tidak diketahui keadaan tetapi telah dikeluarkan
1) Lokman, 11,
2) Aiman, 10,
3) Hasril, 11,

* umur tidak diketahui


Tanah runtuh Hulu Langat: Tragedi ketika berlatih nasyid

KUALA LUMPUR: Sepuluh penghuni rumah anak yatim maut dan tujuh lagi masih terperangkap dalam kejadian tanah runtuh membabitkan kediaman Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di Kampung Sungai Gahal, Hulu Langat, dekat sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu membabitkan 25 penghuni pusat berkenaan dan sehingga jam 11.00 malam tadi, sembilan disahkan selamat.

Hujan lebat yang turun sejak jam 5.30 petang menyukarkan operasi mencari dan menyelamat untuk membawa keluar baki sembilan penghuni termasuk seorang kakitangan pusat itu yang belum ditemui dan dipercayai berada di bawah timbunan runtuhan tanah serta bangunan dewan serba guna.

Penduduk dan pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa pertama yang hidup jam 3 petang. Dalam tempoh sejam selepas itu, mereka menemui tiga lagi mangsa terselamat.

Mayat mangsa pertama ditemui jam 4.25 petang diikuti mangsa kedua jam 5.06 petang dan mayat ketiga jam 6.27 petang. Empat lagi mangsa hidup berjaya dikeluarkan termasuk yang ke sebelas pada jam 7.40 malam tadi.

Semua mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Hospital Kajang dan Hospital Ampang.

Dua daripada mangsa yang terbunuh adalah pasangan adik beradik Mohd Zaim Azahari, 14, dan Mohd Azed Azahari, 10,

Seramai 500 anggota penyelamat terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), St John Ambulans, Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) meneruskan operasi dalam keadaan cuaca gelap dan hujan lebat.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang turut berada di tempat kejadian mengakui gerakan mencari sukar disebabkan hujan lebat serta masih berlaku pergerakan tanah yang berkemungkinan menyebabkan kawasan itu runtuh sekali gus membahayakan anggota penyelamat.

Kejadian itu berlaku ketika sekumpulan hampir 30 penghuni bersama guru berada di sebuah dewan serba guna berhampiran blok penginapan mereka untuk menjalani latihan penuh persembahan nasyid sempena satu majlis serahan bantuan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) yang dijadualkan jam 5 petang semalam.

Kediaman itu menempatkan tiga blok bangunan termasuk penginapan tiga tingkat, surau dan dewan serba guna yang dijadikan tempat kuliah serta dewan makan.

Akibat kejadian itu, sebahagian bangunan pertama blok hadapan musnah teruk dan runtuh di bahagian kanan manakala satu lagi bangunan tidak terjejas.

Beberapa penduduk di situ mendakwa mereka mendengar bunyi dentuman dan runtuhan sebelum bergegas ke tempat kejadian untuk membantu mangsa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menggunakan khidmat helikopter unit udara PDRM bagi membantu mengesan mangsa serta meninjau keseluruhan kawasan kejadian.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Habsah, berkata kawasan di sekitar Batu 14 itu dikelilingi bukit serta mempunyai banyak anak sungai yang menyebabkan mudah berlaku runtuhan atau pergerakan bawah tanah.

Katanya, kawasan kejadian terletak di antara Sungai Gahal dan Sungai Congkak yang dikatakan antara punca pergerakan tanah mendap secara perlahan sebelum runtuh petang semalam.

“Kawasan ini memang menjadi kawasan tadahan air bawah tanah. Jika hujan lebat lebih 30 minit, pasti akan berlaku banjir kilat kerana tanah di situ sudah banyak air,” katanya. -BH



Tiga faktor kejadian


KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, semalam, berkemungkinan berpunca daripada faktor alam semula jadi, iaitu aliran puing (debris flow).

Pengarah Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ini kerana kawasan berkenaan masih belum diteroka dan aliran puing hanya berlaku secara di kawasan sedemikian setiap 20 hingga 30 tahun sekali bergantung kepada cuaca semasa.

Katanya, kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai persamaan dengan tragedi banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan di Jalan Susur Genting Highlands pada 1995.

“Debris flow ini berpunca daripada tiga faktor alam sekitar iaitu keadaan cuaca, keadaan muka bumi dan geologi, di mana ia turut berkaitan dengan sumber air atas bukit.

“Tekanan air atas bukit yang kuat ini turut membawa sekali batu, pokok serta tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah punca berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Menurut Ibrahim, kejadian ini adalah normal berlaku di kawasan berbukit tetapi tidak diberi perhatian serius kerana jarang membabitkan kawasan didiami penduduk.

“Di negara kita sendiri perkara ini selalu terjadi tetapi biasanya tidak diketahui kerana berlaku di tengah hutan seperti Banjaran Titiwangsa.

“Disebabkan ia jarang diberi perhatian, masalah ini tidak diambil berat oleh pihak berkaitan, termasuk orang ramai yang masih berani mendirikan rumah di lereng bukit,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berbeza dengan kes tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 6 Disember 2008.

“Kejadian di Bukit Antarabangsa berpunca daripada kecuaian manusia yang rakus melakukan pembangunan tidak terkawal di kawasan bukit.

“Bagaimanapun, dalam kedua-dua situasi ini, kawasan berkenaan tetap mempunyai risiko untuk berlakunya tanah runtuh kerana terletak di kawasan bukit,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), memantau keselamatan kawasan berbukit yang didiami penduduk.

Katanya, ini kerana kejadian tanah runtuh hingga membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku tetapi tindakan yang diambil selepas itu hanya sementara, lantas diabaikan.

“Kita lihat ini sebagai kelemahan kerana pemantauan dan pelbagai cadangan hanya dibuat bila kejadian berlaku, tetapi bila reda isu itu ia dilupakan,” katanya. -hm






[Video] Tragedi Tanah Runtuh: 10 Maut, 6 Masih Tertimbus, MB Kerah Bantuan Segera [updated]

Tanah runtuh: 24 orang tertimbus, 5 mati

Seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat hari ini.

Menurut laporan Bernama, setakat 8 malam ini, lima mayat kanak-kanak berusia 11 dan 14 tahun dikeluarkan dari runtuhan itu manakala sembilan lagi ditemui cedera termasuk seorang lelaki dewasa berusia 22 tahun, kata polis.

Penghuni yang cedera berusia antara 11 dan 17 tahun manakala lelaki dewasa itu dipercayai pekerja di rumah anak yatim berkenaan.

Semua yang cedera dihantar ke Hospital Kajang untuk rawatan dan setakat ini keadaan mereka tidak diketahui, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata rumah anak yatim yang terletak berhampiran bukit itu menempatkan 49 orang termasuk penghuni termasuk lima penjaga. Semua penghuni rumah itu adalah lelaki.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang semua penghuni rumah anak yatim itu berada dalam sebuah khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada pukul 5 petang ini.

Runtuhan tanah dari bukit itu dikatakan menimbus keseluruhan khemah itu yang terletak di luar rumah anak yatim itu, yang terletak di lereng bukit itu.

Turut terkena runtuhan tanah itu ialah sebuah surau.

"Kami difahamkan berlaku dua kali tanah runtuh secara serentak dalam sekelip mata.

Semua mereka yang berada dalam dewan itu tidak sempat menyelamatkan diri," kata Tun Hisan pada sidang akhbar di tempat kejadian.

Beliau berkata polis akan menyiasat punca kejadian.

Beliau berkata pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengeluarkan mayat pertama pada pukul 4.30 petang, diikuti mayat kedua setengah jam kemudian dan mayat ketiga dikeluarkan pada pukul 6.10 petang.

Penolong Pesuruhjaya Bomba dan Penyelamat Putrajaya Morni Mamat berkata sehingga 8.20 malam ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan dalam keadaan hujan lebat.

Sementara itu, TV Selangor melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menerusi laman twitternya berkata pihaknya mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera.

Khalid juga berkata kerajaan negeri akan menyediakan tabung bantuan mangsa dengan kadar segera.

Ahli exco kerajaan negeri Selangor Rodziah Ismail yang berada di tempat kejadian memberitahu bahawa kerajaan negeri akan memberi segala bantuan yang diperlukan. -tvsnews

FOTO-FOTO TRAGEDI


Tragedi tanah runtuh: MB Selangor kerah misi bantuan segera

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebentar tadi mengarahkan Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor, Yayasan Amal dan Briged Amal ke tempat kejadian tanah runtuh di Hulu Langat untuk memberi bantuan segera.

Ini dinyatakan Khalid dalam laman Twitternya, sebentar tadi.

"Saya sedih dengan berita kejadian tanah runtuh di Hulu Langat yang menyebabkan kematian.

"Kerajaan negeri akan sediakan tabung bantuan mangsa dengan segera," katanya. -BH



Tragedi tanah runtuh: Mangsa keenam meninggal dunia di hospital

KUALA LUMPUR: Seorang lagi mangsa tanah runtuh Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat meninggal dunia di Hospital Ampang malam ini.

Penghuni lelaki itu adalah antara sembilan mangsa yang cedera yang dikeluarkan daripada runtuhan itu petang ini. Ini menjadikan jumlah yang maut dalam kejadian itu sehingga 10 malam ini ialah enam orang.

Dalam kejadian pada 2.30 petang ini, seramai 24 orang terdiri daripada anak yatim, warden dan kakitangan rumah anak yatim itu tertimbus dalam runtuhan tanah yang meranapkan khemah yang dipasang untuk persiapan satu majlis yang dijadual pada 5 petang ini.

Sehingga kini, seramai 10 lagi mangsa masih tertimbus dalam runtuhan itu.

Operasi mencari dan menyelamat oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat, polis, Pasukan Mencari dan Menyelamat Malaysia (Smart) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) diteruskan sehingga semua mangsa ditemui. -- BERNAMA



Tragedi tanah runtuh: 10 maut setakat ini

KUALA LUMPUR: Sehingga jam 11 malam tadi, jumlah mangsa yang maut dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat Ialah 10 orang.

Sembilan orang berjaya diselamatkan dan enam lagi dilaporkan masih tertimbus.