29 Nov 2014

Mashitah Patut Ditahan & Disiasat Di Bawah Akta Hasutan


DAP buat laporan polis terhadap Mashitah

DAP membuat laporan polis terhadap Ketua Wanita Umno Baling Datuk Mashitah Ibrahim berhubung kenyataannya yang masyarakat Cina didakwa membakar al-Quran semasa upacara sembahyang.

"Kami merasakan bahawa kenyataan ini tidak bertanggungjawab," kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Katanya, hanya terdapat satu kejadian itu dilaporkan di Kedah, tetapi Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir menjelaskan pada 24 November bahawa pelakunya adalah seorang lelaki Melayu yang mengalami sakit mental.

Menteri besar juga mendedahkan bahawa al-Quran tidak terbakar tetapi dikoyak.

Teo berkata Mashitah perlu disiasat di bawah Seksyen 298 (A) dan 505 Kanun Keseksaan.

Seksyen 298 (A) berhubung kesalahan yang boleh memudaratkan keadaan harmoni dan perpaduan, manakala Seksyen 505 mengenai kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Mashitah telah membuat kenyataan itu semasa perhimpunan agung Wanita Umno ketika menggesa ahli sayap itu mempertahankan Islam.

Teo berkata, walaupun jika laporan membakar Quran oleh masyarakat Cina itu benar, rakyat akan menentangnya dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Malah jika lelaki atau perempuan Cina atau bukan Islam yang membakar al-Quran, kita semua akan mengutuk perbuatan sedemikian," katanya.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto mengiringi Teo membuat laporan di balai polis Tun HS Lee di Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Setiausaha Politik penasihat DAP Lim Kit Siang, Dyana Sofya Mohd Daud dan ahli parti itu, Syefura Othman.

Bercakap kepada pemberita, Dyana berkata kenyataan Mashitah itu adalah "tidak wajar" dan boleh mencetuskan ketegangan kaum. -mk

ULASAN GB

Sepatutnya, Mashitah Ibrahim menjadi orang pertama yang perlu ditahan di bawah Akta Hasutan setelah ianya dikekalkan oleh Najib kerana mengeluarkan kenyataan yang benar-benar bersifat "menghasut".

Semua orang tahu bahawa kes bakar (koyak?) Al-Quran di Pulau Pinang itu adalah angkara seorang Melayu yang tidak siuman.

Tiba-tiba Mashitah menuduh ia dilakukan orang Cina di dalam upacara sembahyangnya.

Polis perlu adil dan saksama di dalam menjalankan siasatan dan perlu mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Mashitah. Jangan pilih kasih dan pilih bulu.







[VIDEO] Najib Tunduk Kepada Golongan Ektremis Dalam UMNO


Mujahid: Bagaimana pula pada 2014, Akta Hasutan jadi relevan?

Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN), Datuk Mujahid Yusof Rawa kesal dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Akta Hasutan 1948 akan dikekalkan.

"Saya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan tersebut," kata Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar dan pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.

Katanya, pada 11 Julai 2012, Najib yang juga presiden Umno telah berikrar untuk memansuhkan Akta Hasutan dengan diganti dengan Akta Keharmonian Nasional atas alasan Akta Hasutan tidak lagi releven.

"Bagaimana pada tahun 2014 ia menjadi releven pula?" soal Dr Mujahid dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, MKPN dibentuk sendiri oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan melalui Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar, telah diminta oleh JPM untuk memberi input kepada undang undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan.

Jawatankuasa tersebut, tegasnya, telah pun menyediakan input dan mengadakan siri rundingan awam supaya undang-undang baru yang dinamakan RUU Keharmonian Nasional dapat disediakan.

Bahkan, kata Mujahid, draf tersebut sudahpun diserahkan kepada majlis penuh MKPN dan Jabatan Perdana Menteri.

"Dengan memperkukuhkan Akta Hasutan, presiden Umno telah mengirimkan isyarat yang salah bahawa undang-undang penjajah ini perlu dikekalkan sedangkan suasana hari ini menuntut undang-undang negara lebih releven dan menepati zaman.

"Secara substantif, Akta Hasutan mempunyai tahap pembuktian yang rendah dan terdedah kepada salahguna kepada maksud menghasut dan mengancam, sedangkan akta baru yang dicadangkan mengetatkan tahap pembuktian dan bagi memelihara pada waktu yang sama kebebasan bersuara," tegas Mujahid.

Katanya, dalam muktamarnya yang lalu, PAS turut meluluskan usul sebulat suara supaya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan yang lebih baik untuk memelihara kepentingan keharmonian nasional.

"Ternyata dengan pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri ini membuktikan beliau adalah seorang tidak mempunyai pendirian tetap dan telah mungkir janji untuk memansuhkan Akta Hasutan yang telah diikrarkannya sebelum ini.

"Lebih malang, apakah perdana menteri telah tunduk kepada golongan ektrimis dalam Umno yang mahukan Akta Hasutan ini dikekalkan?" katanya.


Akta Hasutan: Janji adalah komitmen, kata Majlis Peguam kepada Najib

Majlis Peguam mengingatkan Datuk Seri Najib Razak hari ini, janji kepada rakyat ialah komitmen yang kukuh, susulan keputusan perdana menteri itu berhubung penarikan semula janjinya pada 2012 bagi menghapuskan Akta Hasutan.

Bertujuan memastikan Najib bertanggungjawab terhadap ikrarnya, Presiden Majlis Peguam Christopher Leong berkata, satu janji menandakan wujud satu komitmen melaksanakan sesuatu perkara walau bagaimana susah sekalipun.

“Majlis Peguam sangat kecewa perdana menteri dilaporkan berkata Akta Hasutan 1948 tidak akan dimansuhkan, dan beliau tidak akan menepati janjinya berhubung perkara itu.

“Seperti yang kita biasa faham, janji ialah satu komitmen melaksanakan sesuatu walaupun dalam keadaan yang sukar, bukan hanya sekiranya ia mudah dilakukan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Beliau juga mempersoalkan sama ada pemimpin Barisan Nasional (BN) lain juga akan seumpama itu berpatah balik dengan kenyataan mereka dan menyokong Najib dalam melindungi undang-undang era penjajah itu.

“Adakah pemimpin negara kita yang lain turut memungkiri pendirian mereka yang dinyatakan secara umum menentang Akta Hasutan?

“Adakah mereka akan mengambil pilihan mudah atau sebaliknya melakukan perkara yang betul?

“Majlis Peguam menyeru kerajaan menunaikan janjinya memansuhkan Akta Hasutan, dan merangka satu undang-undang baru keharmonian nasional yang menganjurkan kepada keharmonian dan kedamaian yang tulen,” katanya.
-TMI