25 Apr 2008

Melaka Lancar Kelab Penyokong PAS

Kelab Penyokong PAS Melaka dilancarkan malam tadi oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, YB Dr Mujahid Yusof Rawa di perkarangan Pejabat PAS Negeri Melaka di Semabok.

Setelah sekian lama ianya dinantikan, akhirnya Kelab Penyokong PAS menjadi realiti apabila En Lim Swee dilantik sebagai Pengerusi kelab tersebut sebentar tadi.

Dr Mujahid dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan gembira kerana PAS Melaka akhirnya berjaya melahirkan Kelab tersebut setelah negeri-negeri selesai menubuhkannya bermula sejak tahun 2005 lagi.

"Insya Allah dengan penubuhan kelab ini di Melaka, PAS Melaka akan berjaya menarik lebih ramai kaum Cina dan India untuk mendekati PAS dan seterusnya berjaya meraih sokongan mereka dengan lebih baik lagi, lebih baik dari yang dizahirkan semasa pilihanraya umum baru-baru ini".

"Kita merasakan bahawa penubuhan Kelab Penyokong PAS di Melaka ini akan menyemarakkan lagi sokongan kaum bukan Melayu kepada PAS" kata Mujahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Parit Buntar, Perak.

Encik Lim Swee telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Penyokong PAS Melaka dan beliau telah menerima surat watikah perlantikan dari YB Dr Mujahid dalam majlis tersebut.

Dalam ucapan ringkasnya Encik Lim Swee mengharapkan semua pimpinan dan ahli PAS dapat membantunya menggerakkan Kelab Penyokong PAS Melaka bagi menarik lebih ramai kaum Bukan Melayu menyertai Kelab Penyokong PAS Melaka ini.

"Kita yakin PAS akan memenangi kerusi pada Pilihanraya akan datang dengan bantuan Kelab ini" tegas beliau dengan penuh semangat.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, pimpinan-pimpinan PAS Negeri; aktivis Persatuan Penternak Babi Paya Mengkuang, Encik Lim Oh Pah; Aktivis masyarakat India, Encik Karupaya serta masyarakat Tionghua dan India dari seluruh negeri Melaka.

Oleh Sofi Wahab
Ketua Penerangan DPPNM

a

b

c