20 Okt 2011

Pelbagai Pihak Kecam UIA Gantung Aziz Bari, Mahasiswa Gegarkan Negara Esok

Pelbagai pihak menyelar tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari dan menyifatkan tindakan UIA itu sebagai tidak bertamadun.

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang kini mengikuti program felo di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) menyifatkan tindakan pengurusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung perkhidmatan Prof Dr Abdul Aziz Bari sebagai “satu tindakan paling tidak bertamadun dalam dunia akademik”, The Malaysian Insider dipetik.

“Saya membaca berita penggantungan Prof Dr Aziz Bari. Bagi saya itu adalah satu tindakan yang paling tidak bertamadun dalam dunia akademik.

“Ternyata perlantikan ‘kepimpinan baru di UIA’ itu tidak melambang ketokohan akademik, tetapi lebih kepada nilai-nilai politik,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Beliau yang juga adalah bekas penuntut UIA berkata, kepimpinan pusat pengajian tinggi itu sekarang tidak di bawah orang yang terbilang dari segi pemikiran dan dunia ilmu, sebaliknya orang yang berpotensi melakukan tindakan yang melambangkan kejumudan fikiran yang bertentangan dengan norma dunia akademik.

Prof Abdul Aziz Bari adalah pensyarah Fakulti Undang-Undang UIA dan telah berkhidmat di UIA sejak 22 tahun lalu.

Tambah beliau, tindakan ke atas Aziz merupakan “sesuatu yang amat memalukan dunia akademik kita.” “Tindakan ini tiada asas ilmu sama sekali sebab dalam dunia ilmu setiap orang berhak berbicara atas asas fakta dan ijtihad. Tindakan ini adalah tindakan mengampu,” kata beliau lagi.

Asri yang juga tenaga akademik Universiti Sains Malaysia menambah, “setahu saya rektor UIA sekarang merupakan ahli MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).”

“Saya bimbang ada kepentingan konflik dalam tindakan terhadap Prof Aziz,” kata beliau sambil menambah, Malaysia hanya mencampak diri ke zaman kegelapan Katolik yang membakar tokoh-tokoh akademik protestan atas tuduhan derhaka kepada istana dan heresy kepada agama.”

Katanya, sebagai lepasan UIA, beliau rasa telah berlaku kesilapan besar dalam pengurusan akademik di universiti itu hari ini.

“UIA yang patut bertaraf pusat pendidikan dunia, telah bertukar menjadi pejabat agama yang penuh kesempitan fikiran,” tambah beliau.

Sementara itu harakahdaily pula melaporkan bekas pensyarah kanan di UIA yang kini anggota Exco kerajaan negeri Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) meluahkan rasa terkilan dan juga menganggap tindakan menggantung Prof Ab Aziz Bari sebagai tidak bertamadun.

“Saya cukup terkilan, sepatutnya pakar undang-undang perlembagaan itu sebagai aset negara kerana berani mengupas dalam konteks yang sedikit berbeza.

“Tetapi UIA terpaksa akur kepada BN, menghalang percambahan pemikiran. Inilah malangnya apa yang berlaku sekarang.

”Kerana tindak tanduk seumpama itulah UIA sehingga kini gagal dan terhalang daripada menjadi universiti yang berkualiti,” katanya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, berasa terganggu dan sedih dengan tindakan UIA yang menggantung Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Mengulas melalui laman Twitternya, Saifudin berkata beliau telah mengarahkan UIA memberi laporan bertulis kepada beliau.

"Saya terganggu dan sedih. Saya sudah meminta UIA memberikan laporan bertulis," katanya.

Sementara itu, sekumpulan mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan tindakan UIA terhadap Aziz Bari akan mengadakan demonstrasi esok.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Syukri Abdul Razab yang dipetik FMT berkata, demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin (gambar) menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.

Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’, UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat.

“Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik,” katanya.

Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

Sementara itu, dua laman peminat Facebook dilancar bagi membantah tindakan terhadap Aziz Bari yang juga Pakar Perlembagaan itu.

Facebook "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" dan “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari” setakat petang ini sudah mempunyai lebih 2,000 peminat.

Dipercayai mengulas sokongan mahasiswa itu, Saifudin juga melalui Twitternya berkata, terpulang kepada mahasiswa tersebut kerana itu hak mereka.

"Sekiranya rakyat dan pelajar mahu memberi sokongan kepada Aziz Bari, itu hak mereka," katanya.

Ulasan GB

Beri sokongan anda kepada Prof Abd Aziz Bari dengan mengklik LIKE di halaman facebook ini:

Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari

Polis Tembak Remaja Di Glenmarie: Ibu Mangsa Fail Kes Ke Mahkamah Cabar KDN

Keluarga tiga remaja ditembak di Glenmarie cabar KDN

KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ibu mangsa salah seorang daripada tiga remaja yang mati ditembak polis di Glenmarie, Shah Alam November tahun lalu hari ini mencabar Kementerian Dalam Negeri (KDN) membawa kes itu ke mahkamah bagi membuktikan pihak polis bertindak mengikut peraturan.

Norhafizah Mohd Razali, ibu kepada Allahyarham Muhammad Syamil Hafiz Shapiei yang kecewa dengan sikap lepas tangan KDN mahu kematian Syamil dan dua rakannya diadili mengikut siasatan yang menyeluruh.

“Saya sangat kecewa dan marah dengan pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana kes ini diperkotak-katikkan.

“Saya minta menteri KDN lihat semula laporan bedah siasat ketiga-tiga anak ini dan saya cabar menteri bawa kes ini ke mahkamah kalau betul mereka di pihak yang benar,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Muhammad Syamil, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak polis dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.

Ketiga-tiga remaja itu ditembak kira-kira pukul 4.45 pagi kerana disyaki terlibat dengan rompakan stesen minyak.

Hari ini merupakan kali kedua Norhafizah dan ahli keluarga mangsa hadir ke Parlimen ditemani anggota Lawyers for Liberty (LFL) setelah memorandum dan rayuan mereka agar kes ini diadili mengikut saluran perundangan tidak diendahkan.

Norhafizah buat kesekian kalinya menekankan bahawa beliau tidak berpihak kepada anaknya namun kecewa apabila melihat laporan bedah siasat yang mendapati ketiga-tiga mangsa ditembak dalam keadaan mereka sudah melutut, bukan dalam keadaan menyerang seperti yang didakwa polis.

“Berapa kali saya katakan saya terima kalau anak saya benar-benar bersalah tapi sepatutnya mereka ditangkap, bukan terus dibunuh,” katanya sambil menahan sebak dan marah, lapor Harakahdaily.

Sementara itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo pada sidang media sama menyifatkan jawapan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa hasil siasatan mendapati tindakan polis melepaskan tembakan tersebut adalah mengikut lunas undang-undang sebagai longgar dan tidak bertanggungjawab.

Hishammuddin dalam jawapan bertulis kepada soalan Gobind di Dewan Rakyat Isnin lalu berkata, pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan berhubung kes ini.

“Bagaimana kes yang mendapat liputan meluas di seluruh negara, setahun keluarga minta penjelasan daripada polis dan menteri dan saya sebagai seorang ahli Parlimen tanya soalan secara serius.

“Tapi jawapan menteri hanya satu perenggan, berkata tindakan mengikut lunas undang-undang.Mana faktanya? Mana hujah membantah laporan bedah siasat?” soalnya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar berkata Hishammuddin memesongkan Dewan Rakyat apabila berkata kes tersebut ialah cubaan membunuh sedangkan kesemua mangsa mati ditembak.

“Menteri wajib bertanggungjawab dengan kenyataan yang dibuat dalam Dewan Rakyat.

“Budaya terlepas daripada hukuman dan menembak sembarangan di kalangan sebahagian daripada anggota pasukan polis dibenarkan berikutan sikap Menteri KDN yang melulu mempertahankan polis walaupun mereka melakukan jenayah,” katanya yang juga Naib Presiden PKR. -TMI



Sudah Melampau: Bagaimana Bahan Bukti SPRM 'Dapat Kepada Papagomo?'

Keluarga allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad menimbang untuk membuat laporan polis berhubung satu dakwaan yang disiarkan dalam satu blog pro-Umno bahawa allahyarham antara lainnya mempunyai seorang perempuan simpanan.

Blog berkenaan juga mendakwa bahawa allahyarham bukanlah seorang yang bersih, kata seorang anggota keluarga itu, Makhtar Mansor yang menafikan dakwaan tersebut.

Polis perlu menyiasat dakwaan berkenaan, kata Mokhtar, yang turut akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau akan membuat laporan kepada SPRM kerana dakwaan tersebut turut melibatkan bahan bukti yang didakwanya diambil daripada siasatan badan itu ke atas kes melibatkan allahyarham.

Bercakap dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini, Makhtar mendakwa, tulisan dalam blog tersebut turut menyertakan foto yang didakwa sebagai perempuan simpanan berkenaan.

Keluarga allahyarham pergi ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum menggesa perdana menteri menubuhkan suruhanjaya diraja untuk membolehkan siasatan kes kematian bekas pegawai kanan jabatan kastam itu dibuka semula.

Makhtar mendakwa, apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana gambar berkenaan dapat terlepas ke blog berkenaan.

"Macam mana gambar dalam telefon bimbit arwah dapat kepada (blog) papagomo?," soalnya yang mendakwa, foto berkenaan tersimpan di dalam telefon bimbit allahyarham.

Menurutnya, telefon bimbit itu telah dirampas SPRM ketika siasatan dijalankan ke atas pegawai kastam itu.

Makhtar mendakwa wanita di dalam foto berkenaan juga bukanlah seorang wanita simpanan, seperti didakwa blog berkenaan.

Sebaliknya, dakwa beliau, wanita itu merupakan rakan kepada seorang anak perempuan allahyarham.

"Anak arwah telah pinjam telefon arwah untuk rakam gambar tersebut," katanya Makhtar lagi yang juga seorang bekas majistret.

Katanya lagi, pihak keluarga allahyarham telah mengetahui mengenai dakwaan dalam blog tersebut sejak dua minggu lalu.

"Ini yang buat keluarga rasa begitu sedih," katanya lagi. -mk

UIA Silap Langkah Gantung Tugas Prof Aziz, 2 Facebook Diwujudkan Sokong Aziz

UIA gantung tugas Prof Aziz Bari

KUALA LUMPUR, 20 Okt — Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menggantung tugas Prof Dr Abdul Aziz Bari sehingga siasatan ke atas beliau diselesaikan, berhubung kenyataannya tentang titah Sultan Selangor minggu lalu.

Perkara itu terkandung dalam surat tunjuk sebab yang dikeluarkan kepada beliau petang semalam.

Aziz ketika dihubungi berkata beliau menyerahkan kepada peguamnya untuk menguruskan perkara itu.

“Saya serahkan kepada peguam saya,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, peguamnya Dr Dzulkarnain Lukman mengesahkan bahawa selain digantung tugas, Aziz juga dilarang berada di UIA dan berhubung dengan mana-mana kakitangan dan mana-mana pihak yang ada kepentingan dengan universiti itu.

“Berdasarkan surat tunjuk sebab, syarat-syarat ini dikenakan sehingga inkuiri selesai dijalankan,” kata beliau sambil menambah Aziz dikenakan tuduhan mengeluarkan satu kenyataan, yang dibawa oleh portal MalaysiaKini, didakwa telah memudaratkan nama baik dasar UIA.

Tuduhan itu dikenakan di bawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti.

“Saya difahamkan ini kali ketiga Prof Aziz Bari diberikan surat tunjuk sebab,” kata Dzulkarnain lagi.

Bagaimanapun difahamkan ini kali pertama beliau dilarang menjejaki kaki di kampus UIA.

“Dua surat sebelum ini, Prof Aziz Bari sendiri yang jawab, jadi saya tidak pasti sama ada digantung tugas atas tidak,” kata peguam itu yang semalam mengiringi pakar perlembagaan itu ketika disoal siasat oleh polis di bawah Akta Hasutan di Shah Alam.

Menurut Dzulkarnain, pensyarah itu diberi tempoh sehingga pukul 4 petang 25 Oktober ini untuk menjawab surat tunjuk sebab dikeluarkan semalam.

“Prof Aziz akan menjawab surat tunjuk sebab dalam waktu terdekat,” kata beliau lagi.

Semalam, polis memulakan siasatan ke atas Aziz mengikut Akta Hasutan berikutan laporan pemimpin Umno Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Isnin lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyoal siasat Aziz.

Aziz sebelum ini dipetik berkata tindakan Sultan Selangor campur tangan dalam isu pemeriksaan gereja terbabit pada 3 Ogos lalu bukan tindakan lazim.

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campur tangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis pertubuhan bukan kerajaan tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan Selangor sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di negeri itu.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jais tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.

Ditanya sama ada syarat-syarat yang dikenakan ke atas Aziz terlalu keras, Dzulkarnain berkata, “ya, saya rasa syarat-syarat seperti ini tidak perlu. Beliau tidak mengganggu sesiapa.. ini bukan kes gangguan seksual.”

“Lagi pun beliau ada pelajar-pelajar yang hendak diselia, ada kuliah, ada kelas untuk disampaikan,” katanya lagi. -TMI

Penyokong lancar FB sokong profesor undang-undang


Pengguna Internet bangkit menyatakan sokongan kepada Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari yang digantung tugas sebagai pensyarah, dipercayai ekoran reaksinya terhadap titah Sultan Selangor dalam isu Gereja Methodist Petaling Jaya.

Melancarkan laman (page) "Kami Bantah Penggantungan Dr Aziz Bari" di laman sosial Facebook, mereka turut menyindir kebebasan akademik di negara ini.

"Kebebasan akademik ala-Malaysia," tulis pentadbir laman itu apabila memuatkan semula pautan berita tentang penggantungan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

Dalam tempoh beberapa jam sahaja dilancarkan, laman Facebook itu disukai (dengan menekan butang like) oleh 602 pelayar (setakat 3.17 petang). 1371 pelayar setakat 4.20 petang -GB

Malaysiakini difahamkan, bukan sahaja diberi surat tunjuk sebab, UIA juga menggantung tugas Aziz sebagai pensyarah undang-undang paling kanan universiti itu sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Beliau digantung bergaji kerana didakwa "memberikan kenyataan yang bertentangan dengan kepentingan universiti" dan diberi masa sehingga 25 Oktober depan untuk menjawabnya.

Belum ada reaksi UIA

Usaha Malaysiakini mendapat reaksi daripada bahagian perhubungan awam UIA setakat ini masih belum berhasil.

Bagaimanapun, Berita Harian hari ini melaporkan Datuk Prof Zaleha Kamaruddin daripada pejabat rektor mengesahkan surat itu dikeluarkan semalam.

Sementara itu, sebuah lagi laman "10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari" juga diluncurkan.

Setakat berita ini ditulis, ia sudah digemari 882 pelajar.

Pencipta kedua-dua laman ini tidak dapat dipastikan setakat ini.

Aziz dalam masa yang sama disiasat polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung reaksinya kepada titah Sultan berhubung pemeriksaan Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC).

Aziz sebelum ini berkata baginda sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Aziz kemudian menjelaskan Akta Hasutan 1948 memperuntukan tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu selagi tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Dalam perkembangan berkaitan, SKMM dan pihak polis juga menyoal beberapa kakitangan Malaysiakini, termasuk wartawan dan editornya berhubung isu yang sama.-mk


Ulasan GB

Hanya kerana ada laporan polis yang belum tentu benar, UIA sudah mengambil tindakan ke atas Prof. Abdul Aziz Bari dengan menggantung beliau dari tugasnya.

Dan bagi GB, tindakan UIA itu adalah langkah yang silap dan amat memalukan malah mencalarkan imej UIA sendiri. Tindakan yang diambil seolah-olah mengikut telunjuk dan arahan seseorang. Maruah UIA tercampak ke longkang lantarannya.

“A person is presumed innocent until proven guilty” - Seseorang itu tidak boleh dikatakan bersalah kecuali dibuktikan sebaliknya. Itu prinsip asas keadilan.

Prof Dr. Abd Aziz boleh mengambil tindakan menyaman UIA kerana mencemarkan reputasinya sebagai seorang ahli akademik yang belum ternyata melakukan apa-apa kesalahan.

Pakatan Rakyat perlu berbuat sesuatu, jangan berdiam diri. Kerana inilah masa untuk Pakatan Rakyat membela mereka yang tertindas. Panggillah mesyuarat tergempar dan keluarkan kenyataan rasmi khusus untuk kes Prof. Aziz. Jangan lembab. GB lemas melayan procrastination PR selama ini.

Beri sokongan anda kepada Prof Abd Aziz Bari dengan mengklik LIKE di halaman facebook ini:

Kami Bantah Penggantungan Dr. Aziz Bari



[WASPADA] Van Putih Culik Nurin Muncul Semula

Ampang: Tragedi kes culik dan pembunuhan kejam Nurin pada 20 Ogos 2007 hampir berulang apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun hampir diculik dua lelaki menaiki van putih persis kenderaan yang didakwa melarikan Nurin. Gambar fail

Menggunakan taktik hampir sama seperti kes penculikan sebelum ini, kanak-kanak lelaki terbabit diculik dan dibawa lari beberapa meter sebaik berjalan keluar dari sekolahnya berhampiran Kampung Melayu Ampang, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, mangsa terselamat apabila sempat melarikan diri sebaik pintu van berkenaan terbuka akibat tindakannya yang meronta-ronta ketika ditahan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa baru tamat waktu persekolahan dan mahu pulang ke rumahnya yang terletak berhampiran.

“Ketika sedang berjalan tiba-tiba seorang lelaki tempatan memakai kemeja-T terus keluar dari van putih diletakkan di tepi jalan lalu menghampiri kanak-kanak berkenaan yang baru keluar dari pintu utama sekolah.

“Lelaki itu dikatakan memeluk lalu menangkap mangsa dari belakang. Akibat terkejut dengan tindakan itu, mangsa meronta dan cuba melepaskan diri,”
katanya ketika dihubungi semalam.

Namun, mangsa dibawa masuk menaiki van dipandu seorang lagi lelaki tempatan dipercayai untuk dibawa lari.

“Dalam perjalanan itu, mangsa terus meronta-ronta melepaskan diri. Disebabkan keadaan van yang bergegar, pintu van itu terbuka.

“Mangsa segera melompat keluar dari van itu dan melarikan diri. Kedua-dua suspek yang panik dengan tindakan mangsa kemudian memecut van berkenaan,”
katanya.

Berikutan itu, mangsa pulang ke rumahnya dan menceritakan kejadian itu kepada ibu bapanya sebelum dia dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk membuat laporan.

Amiruddin berkata, polis kini sedang giat memburu suspek dan menasihati orang awam supaya peka keadaan sekeliling dan memaklumkan polis sekiranya melihat keadaan mencurigakan menggunakan van putih.

Dalam kejadian sebelum ini, Nurin Jazlin Jazimin, 8, diculik selepas mengunjungi pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju pada 20 Ogos, 2007. Mayat mangsa ditemui disumbat dalam beg berhampiran PJS1, Petaling Jaya. Dua bulan selepas itu, seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun nyaris diculik berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju tidak jauh dari tempat Nurin dilaporkan hilang.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cuba ditarik masuk ke dalam van sempat melawan sebelum dilepaskan penjenayah yang terkejut dengan jeritan ibu mangsa. Kejadian sama berulang apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang pada awal Januari 2008 selepas didakwa turut dilihat bersama seorang suspek dalam sebuah van di Cheras. Mangsa gagal ditemui sehingga kini.

[Video & Bergambar] Derita Buah Zakar Terlampau Besar

Las Vegas: Seorang lelaki Nevada, Wesley Warren Jr, memerlukan RM3 juta bagi membolehkannya menjalani pembedahan membetulkan buah zakarnya yang besar melampau.

Selama ini, lelaki berusia 47 tahun itu hanya mendiamkan penderitaannya, namun semalam dia membuat rayuan terbuka bagi membolehkan pembedahan dijalankan dan mampu menjalani hidup seperti biasa.

Warren memiliki buah zakar seberat 44.5 kilogram.

Disebabkan pembesaran melampau pada buah zakarnya, Warren tidak boleh memakai seluar, selain terpaksa bergantung kepada pemakanan antibiotik dan ubat setiap hari.

Apabila keluar rumah, Warren perlu mengenakan seluar besar yang diubah suai.

Katanya, bukan mudah bergerak dari satu tempat ke tempat lain dengan keadaannya begitu.

“Masalah ini memaksa saya menghabiskan lebih banyak masa di rumah,” katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak menjadikan Warren terlalu kecewa.

Menurutnya, selain mempunyai sahabat, dia mahu menjalin hubungan cinta dengan wanita idamannya.

“Di sebalik kekurangan ini, saya tidak kecewa, berputus asa atau terfikir untuk membunuh diri,” katanya.

Kata Warren, dia percaya masalah itu berpunca daripada insiden pada 2008.

“Saya terkepit kemaluan ketika tidur dan keesokan harinya, ia membesar seperti bola,” katanya.

Sementara itu, doktor berkata, Warren menghadapi masalah limfatik pada zakarnya menyebabkan berlaku takungan cairan pada organ berkenaan dan ia membengkak secara melampau. - TS








"Si Tanggang" Dihukum Denda RM3,000 Kerana Ugut & Cuba Tikam Ibu Sendiri

Kangar – Seorang anak yang tergamak mengugut untuk menikam ibu kandung sendiri menggunakan besi penebuk susu semata-mata melebihkan teman wanitanya dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Muhammad Fuad Halipah, 22, dari Kampung Bunga Emas, Simpang Empat di sini didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan ugutan jenayah ke atas ibunya, Azani Saad, 53, mengikut kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Dia dituduh berniat menyebabkan ibunya berasa cemas apabila mengancam hendak menikam dengan alat penebuk susu dalam satu pertengkaran antara mereka di kantin pentadbiran Martikulasi Arau dekat sini pada 12 Oktober lalu.

Perselisihan antara dua beranak itu difahamkan berlaku setelah Azani tidak berpuas hati dengan tindakan Muhammad Fuad yang mahu memberi pinjam Toyota Vios kepada teman wanita anaknya itu.

Tertuduh yang merupakan seorang penganggur ditahan 13 Oktober lalu kira-kira pukul 6 petang di Taman Lanchang Jejawi, Arau setelah ibunya membuat laporan polis berhubung ancaman anaknya itu.

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari kemudian pada 20 Oktober lalu tertuduh didakwa memaksa ibunya menyediakan wang sebanyak RM1,500 serta geran kereta kerana mahu dibawa ke Thailand.

Dalam pendengaran kes tersebut, Muhammad Fuad mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zuhair Rosli. -kosmo

Surat Tunjuk Sebab : Tindakan UIA Yang Memalukan Warga Orang Berilmu

Jangan ugut Aziz Bari, kemuka hujah balas

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) ingin menarik perhatian terhadap tohmahan dan tekanan di dalam media terhadap tokoh akademik Profesor Abdul Aziz Bari.

“Gerak merasa terkilan atas celaan berbentuk peribadi yang telah dikenakan terhadap beliau,” kata setiausaha agungnya, Rosli H Mahat kepada Harakahdaily.

Jelasnya, Abdul Aziz adalah seorang yang berwibawa dan berkelayakan untuk membuat kenyataan ilmiah dan rasional dalam bidang kepakaran beliau.

Menurutnya lagi, mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan pandangan beliau sepatutnya menghujah balas secara rasional dan profesional tanpa sebarang ugutan atau celaan peribadi.

Tambahnya, sebagai seorang ahli akademik, Prof Abdul Aziz berhak menyatakan pendapat seperti yang telah dilakukannya.

Ini, ujarnya adalah sebahagian dari kebebasan akademik yang dipunyai oleh setiap ahli akademik.

Beliau menjelaskan, mana-mana negara yang mahukan universiti mereka disanjungi dan dihormati sebagai universiti bertaraf dunia pasti menyokong, menghormati dan melindungi kebebasan akademik.

“Kebebasan akademik ini telah disaran oleh UNESCO melalui satu dokumen bertajuk Recommedation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel,” ujarnya lagi.

Dokumen itu, terangnya telah diluluskan oleh perhimpunan agung UNESCO pada 11 November 1997.

Katanya, kebebasan akademik ada termaktub dalam artikel 26 dan 27 Recommendation tersebut.

Antara hak yang dinyatakan dalam Recommendation tersebut ialah: “hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial melalui kebebasan menyatakan pendapat mereka terhadap dasar-dasar negara dan dasar-dasar yang memberi kesan kepada pendidikan tinggi. Mereka tidak seharusnya dikenakan apa-apa penalti semata-mata kerana mengguna hak tersebut”.

Justeru itu, ujarnya Gerak menyeru semua pihak supaya menghayati dan menghormati kebebasan akademik.

Katanya, semua pihak hendaklah akur terhadap recommendation tersebut pada bila-bila masa.

“Keperihatinan pihak-pihak yang berkepentingan (stakeholders) dalam perkara ini amat perlu untuk memertabatkan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi antarabangsa dengan universiti-universitinya bertaraf dunia,” katanya.


Surat tunjuk sebab kepada Aziz Bari hina UIA

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Timbalan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (gambar) berkata, tindakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undang, Profesor Abdul Aziz Bari adalah tragedi baru serta satu penghinaan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) yang dihormati di negara ini.

"Saya berpendapat tindakan tersebut adalah satu tragedi dan juga penghinaan kepada institusi pengajian tinggi terutamanya UIAM, yang mana kita tahu universiti tersebut adalah sebuah universiti antarabangsa yang mendapat pengiktirafan dunia.

"Saya melihat seolah-olah ada tangan-tangan tentu yang mengarah agar dikeluarkan surat tunjuk sebab kepada Abdul Aziz," jelasnya ketika ditemui di parlimen.

Tambah Nizar lagi, pemberian surat tunjuk sebab itu sebenarnya telah menaikkan martabat Abdul Aziz sebagai seorang profesor.

Katanya, ia merupakan penghinaan kepada tokoh-tokoh akademik yang telah menggunakan kebijaksanaan mereka untuk berbincang serta membahas isu-isu yang ada di negara ini tetapi dikenakan tindakan jika tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

"Saya tekankan di sini seolah-olah ada satu arahan yang dibuat oleh pihak atasan barangkali ada pihak dalam Umno Barisan Nasional yang merasakan apa yang didedahkan oleh Abdul Aziz itu akan memberi kesedaran yang meluas kepada warga akademik dan juga rakyat.

"Sepatutnya yang dilakukan oleh kerajaan mahupun institusi pengajian tinggi adalah memberi kebebasan untuk mereka meluahkan pendapat kerana ia tidak melibatkan politik, malah beliau merupakan seorang profesor dan pakar dalam Perlembagaan Malaysia sudah tentu ia mempunyai sebab tertentu untuk berhujah jadi kenapa ia dihalang," sambungnya.

Nizar juga berpendapat tindakan itu merupakan satu sekatan untuk tokoh akademik bebas berpendapat serta merupakan satu sejarah baru dalam dunia akademik negara ini dan akan menyebabkan seluruh dunia memandang serong kepada institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Sebelum itu, Abdul Aziz mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi tetapi tidak jelas mengenai kandungan surat tersebut.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan polis Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama. -HD


Aziz Bari terima surat tunjuk sebab dari UIA

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pensyarah undang-undangnya Profesor Abdul Aziz Bari, yang baru-baru ini mengundang kontroversi berhubung kenyataan mengenai perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Menurut sumber, Abdul Aziz diberikan surat tunjuk sebab itu petang tadi.

Tidak jelas mengenai kandungan surat itu kerana pakar perlembagaan itu tidak dapat dihubungi.

Malaysiakini juga belum dapat mengesahkan perkara itu dengan pihak universiti kerana ketika berita ini ditulis, waktu pejabat telah berakhir.

Abdul Aziz kini disiasat mengikut Akta Hasutan berikutan laporan Senator Ezam Mohd Nor pada 13 Oktober lalu.

Difahamkan sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat berhubung perkara yang sama.

Sementara itu, Malaysiakini terus dikunjungi oleh pihak berkuasa berhubung kenyataan Abdul Aziz yang disiarkan oleh portal berita berkenaan.

Malaysiakini terus disiasat

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menyoal siasat wartawan Malaysiakini pada Isnin lalu, sekali lagi datang dengan dua pegawai yang sama bagi mendapatkan butiran lanjut daripada kakitangan lain.

Editor berita, Wee Yu Meng disoal selama sejam dan diminta mengesahkan bahawa Abdul Aziz mengirimkan emelnya kepada portal berita berkenaan dan sejauh mana ketepatan berita yang disiarkan.

Selain SKMM, Malaysiakini hari ini juga disiasat oleh pihak polis berhubung isu yang sama.

Pegawai penyiasat dari ibu pejabat polis daerah Shah Alam, ASP Effandi Main merakamkan kenyataan daripada Wee selama satu jam setengah.

Beliau disoal sejauh mana dirinya mengenali Abdul Aziz dan berhubung kredibiliti pensyarah kanan undang-undang itu.

Pihak polis juga meminta dibekalkan salinan emel kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tetapi Wee berkata salinan yang dimilikinya telah dipadamkan setelah berita itu dimuat-naik.

Abdul Aziz dipercayai disiasat mengikut Akta Hasutan.

Beliau pada 11 Oktober lalu berkata tindakan Sultan Selangor campurtangan dalam isu pemeriksaan gereja Methodist di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu, bukan tindakan lazim.

Selaras ajaran Islam

Menurutnya, sebagai ketua agama Islam negeri, baginda mempunyai hak untuk campurtangan tetapi ia perlu dijalankan selaras dengan ajaran Islam.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Abdul Aziz sehari kemudian menjelaskan bahawa Akta Hasutan 1948 memperuntukkan bahawa tidak menjadi kesalahan mengkritik Raja-Raja Melayu asalkan mereka tidak menuntut pemansuhan institusi itu.

Tidak puas hati dengan kenyataan itu, Ezam dan beberapa aktivis NGO tampil membuat laporan serentak dengan mendakwa Aziz berlaku biadap dan derhaka kepada institusi raja Melayu.

Sultan sebelum itu bertitah bahawa baginda amat tersinggung dengan usaha pihak tertentu yang cuba melemahkan kepercayaan dan akidah orang Islam di Selangor.

Titah baginda, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu berjaya dibuktikan hasil siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tetapi ia tidak mencukupi untuk diambil tindakan undang-undang.-mk

Siapa Pemimpin PAS Yang Akan Sertai Himpun?

Himpunan: Penganjur sahkan penyertaan pemimpin PAS

PETALING JAYA: Penganjur Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang dijadualkan pada 22 Oktober ini di Stadium Shah Alam mengesahkan bahawa sebahagian pemimpin PAS Selangor akan menyertai perhimpunan itu.

Jurucakap Gabungan Cegah Murtad (GCM) Hamidzun Khairuddin, penganjur perhimpunan tersebut, berkata, mereka adalah pemimpin PAS yang dipinggirkan oleh parti. Ini termasuk NGO-NGO yang ada kaitan dengan PAS telah menyatakan komitmen untuk hadir.

Kenyataan itu bertentangan dengan mesyuarat PAS malam tadi yang membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut.

Himpunan yang akan bermula jam 2 petang hari Sabtu ini dianjurkan bertujuan untuk mempertahankan akidah dari serangan gejala- gejala yang tidak diingini di samping memperaga penyatuan dan kekuatan umat Islam di negara ini.

Bagaimanapun, Hamidzun menjelaskan pihaknya tidak menjemput parti politik menghadiri program tersebut tetapi mereka boleh datang atas kapasiti peribadi.

Malam tadi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan PAS tidak menyertai perhimpunan itu atas alasan “PAS dimaklumkan bahawa majlis ini tidak melibatkan parti-parti politik maka PAS mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam Himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.”

Kumpulan penyokong Hasan?

Difahamkan kumpulan pemimpin PAS yang akan menghadiri Himpunan tersebut merupakan kumpulan penyokong bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali. Beliau tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan dakwaan GCM tersebut.

Hamidzun turut mengecam keputusan PAS untuk tidak menghadiri perhimpunan tersebut dengan menyifatkan sebagai ‘hipokrit tertinggi’.

Katanya, sehingga ini Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan beberapa NGO Islam lain menyatakan persetujuan untuk hadir. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga akan hadir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum dilapurkan mempertahankan tujuan perhimpunan itu diadakan.

“Untuk pertahankan Islam demi penyatuan umat,” kata bekas mejar tentera itu. -FMT

Ulasan GB

Dengan keputusan PAS untuk tidak terlibat di dalam Himpunan Sejuta Umat, penganjur HIMPUN seperti kehilangan arah. Menuduh yang bukan-bukan terhadap PAS, kononnya PAS "hipokrit tertinggi" walhal empat jarinya menunjuk ke arah diri mereka sendiri.

Kemudian diwarwarkan ada pemimpin PAS yang akan trut serta sedangkan PAS Selangor sudahpun mengarahkan ahlinya untuk tidak turut serta di dalam himpunan tesebut.

Mereka gagal untuk memerangkap PAS, lantas membuat kenyataan yang merapu kononnya ada pemimpin PAS yang akan turut serta.

Dan jika sekalipun benar ada pemimpin PAS yang pergi ke himpunan, GB percaya ia di atas kapasiti peribadi. Jika tidak, maka ia hanya satu helah untuk mencari pintu keluar dari rumah PAS.