6 Jul 2009

MANEK URAI : PENAMAAN CALON - 10K PAS LWN 4K UMNO

Suasana di persekitaran pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N41 DUN Manek Urai didominasi oleh penyokong PAS apabila lebih 10,000 penyokong mereka berarak dan berkumpul di pusat penamaan calon berbanding hanya 4,000 penyokong Umno.

Namun begitu, proses penamaan calon pagi ini berjalan dengan aman dan lancar walaupun jalan menuju ke pusat penamaan calon dipenuhi ribuan penyokong kedua belah pihak.

PRK DUN Manek Urai akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara PAS dan Umno.

Pusat penamaan calon diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra (SMK) 1, Kuala Krai.
Tuan Aziz Tuan Mat, yang mewakili calon Barisan Nasional (BN) merupakan calon pertama menyerahkan borang pencalonan sejurus selepas pusat tersebut dibuka pada jam 9 pagi diikuti calon PAS selepas beberapa minit kemudian.

Tuan Aziz akan ditentang calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, pada PRK yang akan diadakan pada Julai 14 depan.

PRK DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaakub, 22 Mei lepas kerana serangan sakit jantung.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi menewaskan calon BN Mohamed Zulkifli Omar.

Seramai 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos layak mengundi pada PRK tersebut.

Tuan Aziz merupakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai adalah lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan bekas Pengurus Pemantauan Projek Kelantan Selatan (Kesedar).

Manakala Mohd Fauzi, Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai, pula merupakan seorang pemborong ikan di pasar Kuala Krai.

Tuan Aziz diiringi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke pusat penamaan calon dan Mohd Fauzi pula diiringi Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, presiden PAS.

Sementara itu Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, memberitahu sehingga berita ini ditulis tiada sebarang laporan buruk diterima.

Sehubungan itu beliau berkata pihaknya akan menempatkan seramai 3,000 anggota sepanjang tempoh PRK tersebut.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Adnan Hussin, mengumumkan calon bertanding pada jam 12 tengahari. - Mohd Zuharman

MANEK URAI : Tindakan UMNO Menyerang TGNA Akan Memakan Diri Sendiri

Pas percaya tindakan UMNO 'menyentuh' Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai akan lebih menguntungkan PAS.

Penasihat Pilihan Raya Pas Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya membuka ruang seluas-luasnya kepada UMNO untuk menyerang peribadi pemimpin itu yang membuat pelbagai kenyataan keras mengecam UMNO.

Beliau secara terbuka mengakui ia merupakan strategi parti tersebut kerana penduduk di Kelantan khususnya Manek Urai menganggap Nik Abdul Aziz sebagai ikon dan apa yang dikatakan terhadapnya akan memberikan kesan sebaliknya.

Katanya, penghormatan masyarakat terhadap Menteri Besar Kelantan itu begitu tinggi sehingga ke tahap ada yang percaya bahawa menatap potret pemimpin itu sudah dapat pahala.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz akan terus melakukan serangan secara total terhadap UMNO malah ungkapannya sebelum ini yang menyamakan parti itu dengan komunis serta ajaran sesat 'Ayah Pin' akan terus diulanginya dalam siri ceramah akan datang.

"Strategi ini akan memberikan kelebihan kepada kita, sebagai contoh, Tok Guru telah menjadi ikon kepada masyarakat Malaysia termasuk orang Cina.

"Di Manek Urai, saya dengar seorang imam mukim kata dia tengok muka Nik Abdul Aziz dapat pahala, boleh jadi betul atau tidak kata dia, tetapi itu gambaran bagaimana penghormatan terhadap Tok Guru.

"Siapa yang serang akan kena balik pada diri sendiri, lagi kuat serangan itu, lagi ramai orang simpati terhadap Nik Abdul Aziz dan Pas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam siri ceramah Pas baru-baru ini di Laloh dan Manek Urai di sini, Nik Abdul Aziz menyamakan UMNO dengan komunis serta ajaran sesat 'Ayah Pin' kerana mendakwa parti itu menolak Islam.

Ekoran itu, Pemuda UMNO Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan itu kerana menghasut dan membuat fitnah terhadap parti tersebut.

Wan Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, serangan seumpama itu juga akan mendorong calon dan parti itu untuk berkempen dengan lebih baik bagi menghadapi pilihan raya kecil tersebut.

"Kita harap UMNO akan membawa lebih ramai penceramah untuk serang Tok Guru dan memang kita sengaja buat lorong ini supaya calon dapat bekerja dengan baik manakala Tok Guru selesaikan dengan 'puak-puak' ini.

"Memang strategi ini banyak jasa sebab itu ucapan Tok Guru di Laloh dan Manek Urai Lama pada 21 dan 26 Jun lepas dibuat serangan secara total supaya mempelawa UMNO untuk menyerang balas," katanya.

Menurut beliau, Menteri Besar Kelantan juga mempunyai kebolehan untuk mengendalikan serangan terhadapnya kerana pengalamannya yang luas dalam dunia politik tanah air.

Tambahnya, parti itu akan lebih selesa untuk menghadapi pilihan raya kecil itu sekiranya serangan terhadap Nik Abdul Aziz semakin kuat.

"Beliau hidup dalam politik selama 42 tahun, bermula dari 1967, lima penggal sebagai Ahli Parlimen dan enam penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri.

"Tok Guru mempunyai kemampuan untuk kuasai politik dan memang cukup teruji, oleh kerana itu kalau lawan tidak berhati-hati akan terperangkap dengan mainan sendiri," katanya.

MANEK URAI : Pemimpin UMNO Dan Gejala Masuk Bakul

Beberapa orang pemimpin Umno telah mencemuh pengaruh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat di negeri tersebut, dengan menyatakan pemimpin Umno lebih berkebolehan daripada ulamak tersebut.

Dengan saat hari pencalonan pilihanraya kecil Manek Urai hanya tinggal beberapa jam, pihak UMNO sedang cuba untuk mengaturkan kenyakinan diri untuk memecahkan cengkaman psikologi terhadap pengaruh Mursyidul Am PAS tersebut yang ada di dalam minda rakyat Kelantan.

“Nik Aziz hanya berpengaruh di Kelantan sedang Tok Pa dalam banhyak hal adalah seorang menteri,” kata Ketua penerangan Umno, Ahmad Maslan, merujuk kepada ketua Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed, yang merupakan pengarah pilihanraya parti UMNO untuk pilihanraya kecil Manek Urai yang akan berlansung 14 Julai ini.

Kedua-dua pemimpin Umno menolak pandangan tentang status Nik Aziz sebagai ikon di kalangan masyarakat Islam akan faktor yang akan mempengfaruhi pengundi Melayu yang membentuk 99 peratus 12,300 jumlah keseluruhan pengundi.

“Sesuatu ikon ialah seseorang yang boleh menyumbang kepada Kelantan dan juga di luar kawasan Kelantan,” tambah Ahmad, yang juga Ahli Parlimen Pontian.

“Saya rasa saya juga seorang ikon,” kata Mustapa.

“Tok Guru mungkin ada kelebihannya tersendiri, tetapi saya juga ada menyumbang kepada masyarakat, jadi biarlah rakyat menilainya,” kata Menteri Industri dan Perdagangan Anatarbangsa apabila membandingkan dirinya dengan Nik Aziz.

Beliau menambah yang Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak juga seorang ikon kerana “perdana menteri kita mempunyai pandangan yang luas dan mampu membawa perubahan.”

Mustapa menyatakan bahawa Umno akan membawa konsep 1Malaysia Najib ke peringkat akar umbi dan akan menjelaskan polisi liberalisasi ekonomi dengan betul.

Langkah itu dilihat untuk mempastikan Barisan Nasional tidak mengalami kekalahan teruk dengan tindakan negatif dari pengundi Melayu ekoran langkah Najib mengurangkan kuota Bumiputera.