16 Apr 2008

Khalid dapatkan pandangan Penasihat Undang-Undang negeri kes ‘Black 14′

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata polis telah menghubungi beliau untuk diambil keterangan berhubung perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Bagaimanapun, Abdul Khalid yang juga Presiden Kelab Sultan Sulaiman berkata beliau telah meminta nasihat daripada Penasihat Undang-undang Negeri Selangor Datuk Zauyah T Lothy Khan dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Dato’ Ramli Mahmud sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

Bernama memetik kenyataan Khalid selaku presiden kelab itu, yang berkata beliau telah membenarkan perhimpunan tersebut kerana ia diadakan di dalam kawasan kelab yang merupakan kawasan persendirian dan penganjurannya tidak memerlukan permit polis.

Katanya, beliau telah menulis kepada pihak polis bagi memaklumkan mereka mengenai penganjuran majlis kelmarin dan perbincangan dengan pihak polis juga telah diadakan sebelum majlis itu diadakan.

“Kita telah buat perbincangan dengan pihak polis mengatakan perjumpaan kita lakukan mesti berakhir pada pukul 11 (malam).

“Bagaimanapun, polis telah datang untuk hentikan pada pukul 10.30 (malam). Kita merasakan kita mesti bersetuju dengan pendapat terlalu ramai orang datang sebab itu kita perlu hentikan bukan alasan tak dapat permit sebab kita dah jalankan perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Timbalan Speaker, Ustaz Nasurudin Daud di pejabatnya di sini semalam.