9 Nov 2012

[VIDEO] 20 Ahli Perkasa Berdemo Depan Balai Polis Ketika Azan Berkumandang


Kerteh 9 November: Kira-kira 20 ahli Perkasa biadap dan tidak menghormati agama apabila melakukan demontrasi ketika azan berkumandang di Masjid Sultan Mizan di sini, tengah hari ini.

Mereka membawa kain rentang dan berkumpul depan balai polis Kerteh sambil terjerit-jerit menghambur kata kesat kepada rombongan bas Jelajah Merdeka Rakyat yang singgah untuk solat Jumaat.

Namun, gangguan itu tidak menghalang jemaah masjid menyambut kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun kedudukan lokasi demontrasi berkenaan hanya dipisah dengan jarak 50 meter.

Keadilan Daily yang turut menyertai siri Jelajah Merdeka Rakyat, difahamkan kumpulan ahli Perkasa yang mengadakan demontrasi itu, bukan penduduk tempatan.

Mengikut jadual, Anwar bertemu rakyat dalam jamuan di Kampung Gelugor, Kerteh, selepas solat Jumaat.

Jam 4.30 petang pula, Ketua Umum KEADILAN itu mengadakan ceramah dan bersantai di Syahbandar, Kuala Terengganu.

Selepas solat dan tazkirah Maghrib di Surau Ladang Sekolah, Kuala Terengganu, Anwar dijadual berucap pada ceramah perdana di Markas KEADILAN, Kampung Kubang Palas, Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Beliau juga berceramah di ceramah di tapak pasar Teluk Ketapang, Seberang Takir, antara jam 8.

30 malam hingga 12 tengah malam.

Selain Anwar, antara penceramah lain yang dijangka berucap ialah Datuk Saifuddin Nasution; Azan Ismail; Dr Alias Abdul Razak; Rafizi Ramli; Abdul Rahman Yusof;, Mahyuddin Abdul Rashid dan Ng Chai Heng.

[VIDEO] Nurul Izzah Temui JAIS, Serah Transkrip Ucapan

Nurul Izzah serahkan transkrip ucapan forum kepada Jais, saman terhadap akhbar diteruskan.

SHAH ALAM, 9 Nov — Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bertemu dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin untuk memberikan penjelasan dan menyerahkan transkrip ucapannya berhubung dengan forum yang menjadi kontroversi kerana dikatakan beliau menyokong kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam di negara ini.

“Saya telah memberikan aduan yang menyatakan penjelasan perkara sebenar kepada pengarah Jais, Datuk Marzuki.

“Dan Alhamdulillah Jais telah memberikan kerjasama yang baik,” katanya ketika ditemui oleh pemberita selepas bertemu dengan Jais.

Nurul Izzah ditemani oleh peguamnya, Fadlina Sidik bertemu dengan pengarah dan tiga orang penguatkuasa Jais turut menyatakan kerjasamanya kepada badan penguatkuasa Islam negeri Selangor tersebut.

Fadlina memberitahu pemberita bahawa saman terhadap akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog akan tetap diteruskan kerana memutarbelitkan kenyataan beliau dalam sebuah forum minggu lalu.

Semalam, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Zulkifli Noordin menyatakan kesediaannya untuk menyediakan peguam kepada Utusan Malaysia jika disaman oleh Nurul Izzah.

“Saya baru berbincang dengan peguam kanan untuk mempertahankan Utusan Malaysia jika disaman.

“Saya bersedia jadi peguam untuk Utusan Malaysia tanpa bayaran ..... dan saya nak beritahu Anwar, Nurul Izzah, kamu akan terkejut beruk siapa yang akan pertahankan Utusan Malaysia,” katanya dalam forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) itu.

Jelasnya lagi, tindakan yang dibuatnya itu bukan hanya semata-mata mempertahankan media tersebut, sebaliknya bertujuan menyelamatkan dan mempertahankan masyarakat Melayu dan Islam kerana akhbar itu tegasnya menjadi lidah rasmi perjuangan mempertahankan Islam.

“Kami bukan mempertahankan Utusan Malaysia, kami mempertahankan Melayu, Islam,” katanya.

Dalam kiriman SMS kepada The Malaysian Insider sebentar tadi, Nurul Izzah menjelaskan selain daripada menyerahkan transkrip ucapannya kepada Jais, beliau turut membuat aduan kepada Jais terhadap manipulasi kenyataannya yang dilakukan oleh akhbar Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa blog.

Kenyataan yang didakwa dibuat Nurul Izzah tentang kebebasan beragama termasuk kepada orang Melayu-Islam mendapat respon negatif pelbagai pihak.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan yang dibuat Nurul Izzah tersebut. -TMI

Nurul Izzah sudah jelaskan, pemimpin Umno bagaimana?

KUALA LUMPUR: Tindakan yang dibuat oleh Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bertepatan dengan pepatah ‘kembali kepada kebenaran lebih baik daripada kekal di dalam kebatilan’, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.

Begitupun, katanya seronok apabila lihat pemimpin Umno cuba menjadi juara pembela agama atas isu ucapan Nurul Izzah di Gereja Full Gospel Tabernacle, Subang Jaya, Sabtu lalu.

Beliau berkata, Nurul Izzah sudah menjelaskan apa maksud kenyataan beliau selepas timbulnya polemik itu.

“Beliau menjelaskan ‘sekiranya seseorang itu telah memeluk Islam maka dia tertakluk dengan syariat Islam’, kenapa Umno terus bising,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Baginya, Nurul bukan manusia yang degil seperti pemimpin Umno, walaupun salah dan ditegur mereka tidak menarik balik kenyataan mereka.

“Persoalannya ucapan pimpinan Umno yang jelas merbahaya kepada akidah tidak pernah ditarik balik seperti kenyataan yang memperlekehkan hukum hudud,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Terbaru Tun Dr Mahathir mengatakan Malaikat juga buat salah. Begitu juga kenyataan Najib yang mengatakan sindrom qiamullail sewaktu beliau sebagai Menteri Pelajaran.

Katanya, apabila Umno cuba hendak menunjuk juara pembela agama, semua makhluk yang waras akan ketawa dan senyum sinis.

Justeru, tanya beliau layakkah Umno hendak bercakap dan berlakon sebagai pembela agama.

Semua rakyat di negara ini maklum Umno hanya memperalatkan agama untuk kepentingan politik, justeru program agama hanya sekadar lepas batuk di tangga.

Oleh itu, katanya ceramah di televisyen hanya boleh bicara bab yang tidak menyentuh Islam yang syumul di mana penceramah yang lantang akan digam.

Begitu juga, ujarnya Umno mendirikan masjid, tetapi bukan untuk memakmurkan masjid menyebabkan masjid ‘mati’ sebelum ahli kariah mati kerana ahli jawatankuasa masjid dilantik bukan ahli masjid.

Baginya, Umno terpaksa menunjuk juara pembela agama untuk meraih sokongan orang Islam
.



Si Tanggang Moden Kejar Mak Dengan Parang Dipenjara

Kuala Terengganu – Tindakan biadab seorang anak yang bertindak mengejar ibunya sendiri dengan sebilah pisau mendapat pembalasan apabila dia dihukum penjara selama 8 bulan dan denda sebanyak RM3,000, semalam.

Sekiranya gagal membayar denda tersebut, Muhamad Sofian A Aziz, 29, bakal berdepan dengan tambahan penjara selama tiga bulan lagi.

Keputusan itu dibuat selepas Majistret Rozianti Mohamed menerima pengakuan bersalah tertuduh yang juga pencari barang terbuang itu.

Muhamad Sofian yang tinggal di Kampung Gong Tok Nasek dituduh melakukan ugutan jenayah dengan mengejar ibunya, Siti Fatimah Seman Ahmad, 57, dengan menggunakan pisau.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November lalu, jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek dengan niat menyebabkan rasa cemas terhadap ibunya, seorang penenun songket.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainuddin Abd Ghani.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, hanya disebabkan permintaannya untuk mendapatkan sejumlah wang dipercayai untuk membeli dadah tidak dipenuhi, seorang anak sanggup mengejar ibunya dengan menggunakan sebilah pisau.

Tidak cukup dengan itu, suspek juga bertindak ganas merosakkan beberapa peralatan yang ada di rumah mereka, termasuk peralatan menenun songket milik mangsa yang digunakan untuk mencari rezeki.

Kejadian pada jam 9 pagi di Kampung Gong Tok Nasek itu berlaku apabila mangsa enggan memberikan wang sebagaimana dikehendaki suspek, sebelum lelaki itu naik hantu dan mengamuk sebelum mengejar ibunya dengan pisau.

Menurut sumber, mangsa yang ketakutan melihat perlakuan agresif suspek segera keluar dari rumah kerana bimbang diapa-apakan.

“Bagaimanapun, tindakan kurang ajar suspek disedari seorang ahli keluarga yang kemudian menghubungi polis.

“Susulan laporan dibuat, polis menahan suspek di rumah keluarganya beberapa jam selepas kejadian. Suspek dilaporkan selalu meminta RM50 setiap hari daripada ibunya,” katanya. -SH

Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Tetap Sifatkan Nazri Sebagai Liabiliti Kepada BN


JMM: 'Nazri perlu terima teguran kita, bukan cabar'

SHAH ALAM - Jaringan Melayu Malaysia (JMM) tetap dengan pendiriannya menyatakan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai "liabiliti" kepada Barisan Nasional (BN) meskipun Menteri di Jabatan Perdana Menteri menolak tanggapan sedemikian.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, pihaknya tetap dengan pendirian itu berdasarkan maklumat diperolehi daripada rakyat.

Sehubungan itu, Azwanddin menegaskan, reaksi Nazri kelmarin menunjukkan beliau angkuh dan hanya mengutamakan kepentingan peribadi, bukannya parti.

Tambahnya, "sepatutnya Nazri bertindak mengeluarkan kenyataan yang lebih matang, bukan mencabar saya bertanding di tempatnya."

"Kita tegur daripada pemerhatian dan kita dengar orang yang bercakap di belakang, kita tak ada niat untuk burukkan beliau, kita nak membantu parti itu.

"Tapi bila kenyataannya keluar hari ini (kelmarin), saya tengok beliau begitu angkuh dan sepatutnya beliau kena keluarkan kenyataan yang lebih matang dan menerima teguran kita sebagai wakil kepada rakyat.

"Kita tetap pendirian katakan beliau memang liabiliti BN dari segi isu rasuah," katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam reaksinya kelmarin, Nazri berkata, "saya aset (kepada parti), bukan liabiliti.

" “Saya rasa saya aset kepada BN, kalau tak, takkan mereka (pembangkang dan Azwanddin) nak serang saya.

"Yang buat serangan pula adalah Pengarah Strategi PKR.

Jelas itu strategi dari PR dan bimbang dengan kedudukan saya. Tapi kita tengok nanti sama ada saya ni aset atau liabiliti kepada BN,” katanya.

Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, Nazri seharusnya menerima pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi teguran demi kepentingan parti dan bukan mengeluarkan kenyataan mengikut emosi.

Beliau berkata, NGO hanya bertindak sebagai pemerhati bebas dan memberi teguran tanpa mempunyai agenda untuk memburukkan sesiapa terutama pemimpin-pemimpin negara.

"Kita bercakap untuk kebaikan BN, tapi beliau keluarkan kenyataan untuk kepentingan peribadi.

"Beliau sepatutnya terima pandangan kita, dan menjawab dengan baik untuk kebaikan bersama dan beliau memang bebas untuk bercakap," katanya sambil menambah, kekesalan terhadap kenyataan Nazri yang disifatkan sebagai "keanak-anakan." -SH

[VIDEO] Serbuan Ke Malaysiakini. Bermulanya Operasi Lalang II?


Kenyataan Izzah: Polis ambil keterangan Malaysiakini

KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengambil keterangan tiga pegawai portal berita pro-pembangkang Malaysiakini berhubung laporan berita berkaitan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar tentang kebebasan beragama.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Ramli berkata ia dilakukan atas perintah Majistret Petaling Jaya dan keterangan diperlukan untuk mengenal pasti penulis artikel itu.

"Setakat ini identiti penulis artikel belum diperolehi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Keterangan petugas Malaysiakini itu diambil di pejabat portal berita berkenaan di Bangsar di sini antara 5.15 petang dan 6.55 petang tadi.

Ia melibatkan sekumpulan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya diketuai Pegawai Penyiasat ASP Nadzri Harun serta unit forensik IPD Cheras.

Menurut Yahaya, tiada sebarang rampasan dilakukan.

Laporan portal berita pro-pembangkang pada Nov 3 itu memetik Nurul Izzah sebagai berkata, "Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu."

"Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama....bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata."

Nurul Izzah dipetik berkata demikian pada forum bertajuk 'Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?' di Subang Jaya.

Pada sidang media di lobi Parlimen semalam, Nurul Izzah memberitahu beliau akan memberi keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor di Shah Alam pagi ini. - Bernama

Polis kunjungi Malaysiakini berhubung surat pembaca


Sepasukan 15 anggota polis datang ke pejabat Malaysiakini berhubung siasatan terhadap surat pembaca berkaitan kenyataan kontroversi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Malaysiakini disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan menuturkan kata-kata dengan niat sengaja melukakan perasaan agama seseorang.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Surat yang disiasat itu ditulis oleh Steve Oh dan diterbitkan di Malaysiakini Isnin lalu dengan tajuk Nurul's watershed idea for the nation.

Pasukan dari ibupejabat polis Subang Jaya itu yang diketuai pegawai penyiasat ASP Nazri Harun iba di pejabat Malaysiakini jam 5.15 petang.

Mereka turut disertai anggota unit forensik dari ibupejabat polis Cheras.

Mereka membawa waran geledah yang dikeluarkan oleh majistret Petaling Jaya di bawah Akta Hasutan dan mengambil masa kira-kira 90 minit merakam kenyataan dari Ketua Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar; Pengarang Berita, Gerald Martinez serta Pengurus Sumber Manusia, A Shamini.

Mereka beredar sekitar jam 6.50 petang tanpa mengambil apa-apa dari pejabat Malaysiakini. Bagaimanapun, mereka akan kembali esok untuk siasatan lanjut.

Ketua Pengarang Kumpulan, Steven Gan menyifatkan kedatangan mereka sebagai "satu lagi kes intimidasi dan gangguan".

"Tiada apa yang dianggap menghasut dalam surat Oh. Kami sedang mendapatkan nasihat peguam kami mengenai perkara itu," katanya.

Malaysiakini diserbu pihak polis pada tahun 2003 dan 19 komputer dirampas, juga kerana sepucuk surat kepada editor yang ditulis oleh seorang pembaca.

Bagaimanapun, tiada pertuduhan difailkan dan kes itu akhirnya ditutup.
-mk





Rakyat Diseru Hadir BANTAH AES Hari Ini Selepas Solat Jumaat

BANTAH AES menyeru seluruh rakyat untuk hadir di perhimpunan bagi menyerah memorandum kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha pada hari ini, 9 November selepas solat Jumaat di Masjid Nasriyah, Sitiawan, Perak.

Koordinator Bersama BANTAH AES, Mohd Saifullah Mohd Zulkifli berkata, Himpunan Rakyat BANTAH AES ini mensasarkan fokus untuk mendesak Menteri Pengangkutan untuk mengkaji semula dan mengambil kira beban rakyat sebelum melaksanakan AES.

Katanya, bantahan itu juga akan digerakkan ke seluruh negara bagi memberikan kesedaran rakyat berhubung salahlaku pemberian tender kepada syarikat kroni bagi mengendalikan sistem saman ini .

Malahan ujarnya sistem yang dilaksanakan ini membebankan rakyat.

“Rakyat akan terus bangun dan membantah sistem ini,” katanya.

Ujarnya, satu himpunan ke Parlimen akan diadakan lagi bagi menyatakan bantahan itu.

“Kita akan umumkan tarikhnya pada masa terdekat,” ujarnya.

Sejak dilaksanakan pada 23 September 2012, dalam masa 8 hari dengan 14 kemera AES sebanyak 63,558 buah saman dikeluarkan.

Sebelum ini Adun Teja, Chang Lih Kang mencabar Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha menafikan dakwaan wujudnya unsur kronisme dalam pemberian tender pemasangan kamera Sistem Kamera Automatik (AES) kepada Beta Tegap Sdn Bhd.

Pada satu sidang media di Lobi Parlimen Chang mendakwa tender pemasangan AES dikuasai kroni Umno.

Menurutnya, Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham terbesar Beta Tegap Sdn Bhd, Rozana Redzuan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno Johor.

Katanya, Rozana merupakan anak sulung Tan Sri Redzuan Salim dan Puan Sri Atikah Abdullah, dua tokoh pemimpin Umno di Johor.

Dunia Saksikan Obama Berani Debat, Tetapi Najib Penakut


Blajar daripada Pilihan raya Presiden Amerika

Pilihan raya Presiden Amerika 2012 menyaksikan pertembungan sengit antara penyandangnya Barrack Obama dari Parti Demokrat dengan pencabarnya dari parti Republikan, Mitt Romney.

Dunia memberikan tumpuan khusus bagaimana perjalanan pemilihan Amerika Syarikat dan menonton penuh minat proses berkempen dan pemilihan Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung secara penuh demokratik.

Keputusan terkini menunjukkan Barrack Obama mengekalkan kedudukannya sebagai Presiden Amerika Syarikat buat penggal kedua berturut-turut.

Umum mengetahui bahawa Amerika Syarikat memang terkenal sebagai negara yang mengamalkan dasar luar yang keras terhadap negara-negara lain.

Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam menjatuh dan menaikkan pemimpin negara-negara tertentu.

Mereka jugalah yang menentukan dasar negara-negara sasarannya supaya negara-negara tersebut ikut telunjuknya.

Namun sikap angkuh Amerika Syarikat di negara luar tidak pula diterjemahkan dalam negaranya.

Rakyat di negara tersebut masih menikmati kebebasan berpolitik dan demokrasi yang sebenarnya.

Buktinya, dalam pilihan raya Presiden semalam rakyat AS berpeluang menggunakan kuasa mereka menentukan pemimpin nombor satu negara tersebut dengan penuh demokratik.

Sebagai seteru politik, meskipun Obama adalah Presiden Amerika, dalam menghadapi pemilihan presiden, kedua-dua pihak diberikan peluang dan ruang yang sama.

Obama tidak menggunakan jawatannya untuk berkempen dengan menafikan hak kepada lawan politiknya.

Pentas di mana beliau berucap di situ juga Mitt Romney berpeluang berucap.

Mitt Romney bebas mengkritik dasarnya, berdialog malah berdebat dalam ruang terbuka.

Seluruh rakyat menjadi penonton melihat kehebatan kedua-dua tokoh mengemukakan hujah balas.

Media pula tanpa berpihak memberikan liputan sama adil kepada semua penyokong.

Tidak kelihatan media menjalankan propaganda memburukkan mana-mana pihak.

Untungnya Mitt Romney kerana sedikitpun beliau tidak difitnah oleh media dengan pelbagai propaganda yang direka-reka.

Malah, tidak kedengaran juga suruhanjaya pilihanraya AS dicemuh atau dicurigai rakyatnya kerana menimbulkan penipuan dalam senarai daftar pemilih, atau menjalankan sistem pilihan raya yang pincang.


Dalam mendepani pilihan raya umum ke-13 ini, sebaiknya PM belajar daripada proses pilihanraya Amerika Syarikat. Bermuhasabahlah dan bandingkan tahap demokrasi negara ini dengan Amerika Syarikat. Terlalu banyak jurang perbezaannya, sejauh langit dengan bumi dan PM boleh melihatnya sendiri.

Isunya, jika mahu menuruti proses pilihanraya seumpama AS, sanggupkah PM meletakkan jawatannya dan menyerahkan kuasanya kepada kerajaan sementara bagi mengendalikan kerajaan tatkala PRU berlangsung.

Mampukah PM turun berkempen atas nama ketua parti tanpa menggunakan kedudukannya dalam kerajaan dengan menabur janji, projek, habuan, imbuhan mahupun ugutan seperti yang berlaku selama ini?

Sanggupkah PM menggunakan jentera parti sendiri tanpa mengerahkan jabatan kerajaan turun berkempen bagi pihaknya? Adakah PM bersedia memastikan SPR tidak dikongkong atau dipengaruhi sehingga mebimbulkan kecurigaan rakyat bahawa ada tangan-tangan hitam yang mengganggu badan tersebut?

Kuatkah iltizam PM untuk membersihkan daftar pemilih, membuang undi pos, menghalang rakyat asing menjadi penguundi bagi memberi ruang pilihan raya yang benar-benar berwibawa?

Beranikah PM membenarkan media membuat liputan yang adil dan saksama kepada semua parti dan pemimpin tanpa berat sebelah atau fitnah?

Selain itu, tergamakkah PM turun berdebat dengan Ketua Pembangkang di pentas terbuka disaksikan oleh jutaan rakyat dan disiarkan di media utama sebagaimana Obama dan Romney lakukan.

Paling utama, bersediakah PM menerima apa juga keputusan rakyat dalam PRU13 dengan hati terbuka tanpa tindakan kotor meskipun beliau dan partinya akan kalah kepada PR?



Debat dulu, baru cakap soal bertanding kerusi mana

Pemimpin Umno patut mendesak Datuk Seri Najib Razak menyahut cabaran debat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum memandai-mandai menetap kerusi mana bakal ditandingi Ketua Pembangkang itu.

Merujuk cadangan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee untuk meyaksikan Anwar dan Najib bertanding di kawasan sama, Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata sesi debat lebih utama untuk kebaikan rakyat.

“Debat pun takut, takkan Najib sanggup lawan. Jadi saya sarankan Syed Ali supaya cabar Najib debat dulu, baru fikir untuk bertanding di mana-mana.

“Kita masih tunggu Najib terima atau tidak berdebat dengan Anwar. Itu yang rakyat tunggu-tunggu untuk jadikan negara ini melalui proses demokrasi yang sihat.

“Kita tengok sahaja debat antara Obama dengan Romney. Itu yang kita juga mahukan. Ia akan beri harapan baru kepada negara,” katanya kepada Keadilan Daily, hari ini.

Muhammad Nur juga menyifatkan cadangan Syed Ali Alhabshee itu untuk bertanding kerusi Parlimen Pekan pada pilihan raya akan datang, tidak berasas, malah menganggap tindakan itu hanya memalukan Perdana Menteri yang gagal menyahut cabaran debat walaupun surat pelawaan beberapa kali dihantar tetapi tiada jawapan.

Semalam, Syed Ali mendakwa Anwar tidak berani bertanding di Pekan sedangkan sokongan rakyat terhadap Ketua Umum KEADILAN itu semakin hari, semakin bertambah hinggakan Najib Razak sehingga kini tidak berani membubar Parlimen.

“Isu pokok bukan bertanding di mana-mana tapi berani ke Najib nak bertanding dengan Anwar. Kita dahulukan debat, tengok macam mana, rasanya lebih ‘afdal’ buat apa yang rakyat mahukan,” katanya.
-KD

.