17 Dis 2014

Rafizi Cabar Najib & Rosmah: Jumpa Di Mahkamah

Tak mohon maaf, Rafizi masih tunggu saman Najib

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli masih belum mendengar apa-apa daripada peguam yang mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, memandangkan sekarang adalah akhir tahun, mungkin semua orang bercuti.

Bagaimanapun, ahli parlimen Pandan berpandangan bahawa tiada alternatif untuk Najib dan Rosmah selain menyamannya.

Menurut Rafizi, surat tuntutan guaman dari Najib dan Rosmah menyatakan beliau perlu meminta maaf dalam tempoh 14 hari dan tempoh itu akan tamat pada 28 Disember.

"Mungkin mereka sedang menunggu sama ada saya akan ubah fikiran," katanya sambil ketawa.

Sementara itu, Rafizi berkata beliau bersedia untuk berdepan dengan perdana menteri dan isteri di mahkamah.

Minggu lalu, Rafizi melalui peguamnya menjawab bahawa beliau akan mempertahankan kenyataannya di mahkamah, dengan berhujah bahawa kenyataannya adalah berasas dan adil.

Pada 4 Disember, Najib dan Rosmah menghantar surat tuntutan guaman kepada pemimpin PKR itu berhubung ucapannya pada 23 November di mana beliau bercakap tentang subsidi bahan api dan cincin berlian yang didakwa dibeli untuk Rosmah.


Rafizi jawab saman Najib: Jumpa di mahkamah

Saya telah menjawab surat tuntutan (demand letter) yang dihantar oleh Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor pada hari ini melalui peguam saya, YB N Surendran dan Tetuan Daim Gamany.

Saya tegas bahawa ucapan yang saya buat itu berkepentingan awam kerana ia bersabit dasar negara.

Saya yakin kritikan saya di atas tindakan Datuk Seri Najib Razak menghapuskan subsidi pada ketika pembaziran terus berlaku adalah betul dan akan mempertahankan ucapan itu di dalam mahkamah kelak.

Saya kini menunggu writ saman Dato’ Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansur untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Rafizi Ramli
Naib Presiden/Setiausaha Agung KEADILAN
Ahli Parlimen Pandan
-FMT




PAS Perlu Haramkan Geng Ustaz, Bukan PASMA


Selepas PasMa, PAS pantau Geng Ustaz pula

Selain memantau kegiatan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), PAS juga akan meneliti kegiatan sebuah lagi NGO kontroversi yang digerakkan anggota parti itu, dikenali sebagai Geng Ustaz (GU).

Difahamkan langkah itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS kelmarin dan pekeliling berkaitan kini diedar kepada setiausaha PAS di negeri-negeri.

Pekeliling tersebut ditandatangani Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali.

Dalam pekeliling itu, menurut sumber, jawatankuasa khas dipengerusikan Naib Presiden Salahudin Ayub akan bertemu GU untuk memantau kegiatan mereka dari masa ke semasa.

Penggerak dan aktivis PasMA sebelum ini sudah beberapa kali membangkitkan persoalan kenapa hanya mereka sahaja yang menjadi mangsa “penguatkuasaan” PAS.

Sedangkan, kata mereka, kenyataan lebih keras berkaitan pergolakan dalaman PAS sering ditimbulkan oleh GU.

Terima larangan sertai PasMA

GU dipelopori ulama-ulama muda PAS dan diketuai oleh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Perak Norazli Musa.

GU dan PasMA wujud ketika krisis menteri besar Selangor memuncak sebelum ini.

Kumpulan itu sebelum ini mencuri perhatian selepas menganjurkan solat hajat menyokong kepimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor, ketika Pakatan memilih calon lain.

Dilihat mewakili kepentingan kumpulan proulama PAS, GU lantang menentang kemunculan PasMa yang digerakkan anggotanya yang dikatakan pro-Pakatan.

Pada 24 November lalu, Salahuddin mengadakan pertemuan dengan pemimpin PasMA ekoran wujudnya 'keresahan' selepas Majlis Syura PAS melarang anggota parti itu terlibat dengan NGO itu.

PasMa yang diketuai bekas exco Kedah dan ADUN PAS Pengkalan Kundor Datuk Phahrolrazi Zawawi sejak Ogos lalu, mencetuskan polemik baru dalam PAS.

Ia malah mendapat perhatian pelbagai pihak dan menjadi subjek perbahasan pada muktamar parti itu di Johor baru-baru ini.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Pusat Sabtu lalu juga menerima larangan Majlis Syura demi "keutuhan dalaman".

ULASAN GB

Yang ketara, PASMA adalah sebuah pertubuhan NGO yang berdaftar dengan ROS.

Ia bergerak melalui aktiviti-aktivitinya seperti yang telus dan jelas seperti forum dsbnya.

Manakala GU (Geng Ustaz) pula bergerak melalui fitnah-fitnah di media sosial dengan menggunakan nama El-Haraki, Usin Ceroi dan beberapa yang lain. Mereka pengecut dan tidak berani mendedahkan identiti mereka yang sebenarnya.

PAS perlu haramkan Geng Ustaz ini.

Ironinya mengapa ada pemimpin utama PAS takut dengan PASMA tetapi dalam masa yang sama membiarkan GU bergerak secara aktif sekalipun mereka tahu Geng Ustaz itu banyak menimbulkan masalah di dalam PAS?