22 Mei 2009

Nizar vs Zambry : Najib dan Mahkamah Memperbodohkan dan Menghina Rakyat

Tiga hakim Mahkamah Rayuan memberi keputusan dengan hanya mengambil lima minit untuk mengumumkan Zambry Kadir dari UMNO adalah Menteri Besar Perak yang sah, dan bukannya Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat.

Lebih mengejutkan ketiga-tiga hakim berkenaan mengambil pendirian senada Sultan Perak mempunyai kuasa penuh untuk melantik Zambry tanpa mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk mengambil undi tidak percaya terhadap Nizar.

Hakim Md Raus Sharif, Zainun Ali dan Ahmad Maarop tidak memberikan hujah bertulis bagi menyokong keputusan mereka yang mempunyai implikasi mendalam terhadap sistem demokrasi berparlimen di negara ini dan kuasa-kuasa istana sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

Mengulas keputusan mahkamah itu, peguam Nizar, Sulaiman Abdullah berkata, “negara kita mempunyai hakim-hakim luar biasa yang mempunyai kebolehan luar biasa.”

Kini Nizar hanya boleh merayu kepada Mahkamah Persekutuan sebagai ruang perundangan terakhir untuk menegakkan mandat rakyat dan perlembagaan negeri Perak.

Keputusan Mahkamah Rayuan hari ini tentunya sukar ditelan oleh bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tetapi juga pendokong demokrasi malah di kalangan peguam sendiri.

Presiden Majlis Peguam Malaysia K.Ragunath berkata keputusan mahkamah hari ini seolah-olah meletakkan kuasa-kuasa Sultan sebagai menjangkau parlimen atau dewan undangan negeri.

Ragunath berkata Mahkamah Rayuan seolah-olah memberikan Sultan kuasa-kuasa yang menjangkaui daripada apa yang diperuntukan oleh perlembagaan. .

Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata keputusan mahkamah tanpa penghujahan bernas adalah mengejutkan dan satu penganiayaan proses keadilan.

Namun beliau menjangka keputusan itu akan menjejaskan lagi kredibiliti Perdana Menteri Najib Tun Razak.

“Keputusan hari ini hanya membuatkan rakyat lebih marah dan mempercepatkan kejatuhan BN,” kata Kit Siang.

Ketua Pemuda Angkatan Keadilan Pemuda Samsul Iskandar menyifatkan keputusan itu “memualkan” dan dipengaruhi oleh tekanan politik.

Beliau berkata keputusan tiga hakim itu jelas begitu cetek, tanpa disokong oleh fakta bernas, bukan sebagaimana penghujahan lengkap yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar sah sebelum ini.

Pemerhati politik berpandangan bahawa keputusan ini memang sudah dijangka kerana bibit-bibit campurtangan politik ini telah diwar-warkan oleh Perdana Menteri sendiri apabila beliau berkata BN hanya akan menimbang mengadakan pertemuan dengan Pakatan Rakyat bagi mencari penyelesaian krisis politik Perak setelah selesai proses mahkamah.

Umumnya penyelesaian politik tidak ada kena-mengenai dengan keputusan mahkamah dan kenyataan Najib itu menimbulkan persepsi beliau sudah tahu hala keputusan Mahkamah Rayuan sebelum membuat kenyataan itu awal minggu ini.

UMNO Tercengang : Manek Urai Bikin Rosak Program


Di dalam saat UMNO sedang cuba mempertahankan helah untuk tidak menyertai pilihanraya di Penanti seorang lagi ahli dewan undangan negeri, kali ini di Kelantan kembali ke rahmatullah iaitu ADUN Manek Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia subuh hari ini di hospital Kota Bharu kerana sakit jantung setelah dimasukkan ke hospital itu untuk menerima rawatan sejak akhir bulan lepas.

Dalam pilihanraya umum lalu, Ismail menang dengan majoriti 1,352 undi mengalahkan calon UMNO Zulkepli Omar.

PAS hari ini telah mencadangkan Umno agar tidak bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali berkata, alasan ini digunakan Umno ketika tidak bertanding di Penanti.

"Kalau BN menang (di Manek Urai), ia tidak mengubah majoriti kerana kita (PAS) ada majoriti dua pertiga yang besar (di Kelantan)," katanya pagi ini dalam sidang media di ibu pejabat PAS bagi mengumumkan kematian mengejut seorang wakil rakyatnya.

Mustafa juga mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh membuat keputusan sendiri sama ada bertanding atau tidak.

Dahulu, katanya, presiden Umno yang memutuskan sama ada parti itu bertanding atau tidak.

"Datuk Seri Najib serba salah kerana faktor Tun Dr Mahathir (Mohamad). Nak lawan mentor tidak sedap juga.

"Dr Mahathir berasa dukacita kerana Umno tidak bertanding di Penanti.

"Beliau telah meletakkan Umno menjadi sebuah parti yang berani tetapi Datuk Seri Najib dan (timbalannya) Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berani," katanya.

Mustafa berkata, Muhyiddin sudah tidak mendengar lagi pandangan mantan perdana menteri itu, tidak seperti semasa hendak menjatuhkan perdana menteri waktu itu Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sambil ketawa, Mustafa berkata, "tidak tahulah Tun Dr Mahathir akan keluar Umno (lagi) kerana orang tidak mendengar cakap dia."

Diminta mengulas pilihanraya kecil Penanti, Mustafa berkata ahli dan penyokong PAS tidak akan mensabotaj calon PKR Mansor Othman.

"Ahli PAS patuh kepada keputusan pimpinan yang tidak bertanding.

"Isu Pemuda PAS hendak meletakkan calonnya di Penanti juga sudah selesai," katanya.

Nizar vs Zambry : Keputusan Jam 3.30 ptg Hari Ini

Mahkamah Rayuan akan mengumumkan petang Jumaat keputusannya mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop, menetapkan pukul 3.30 petang Jumaat untuk memberikan keputusannya berhubung rayuan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir daripada Barisan Nasional terhadap perintah Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin daripada Pas adalah Menteri Besar yang sah.

Panel tiga hakim itu hari ini mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Mohammad Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Mohammad Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Ekoran keputusan itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkeaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya," kata Abraham.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri atau sama ada Mohammad Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Mohammad Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," kata Abraham.

Beliau berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Abraham juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Abraham berkata bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri -- Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang. Sehingga 5 petang, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," katanya.

Dalam hujahnya, Abraham seterusnya berkata pada 5 Feb, sebelum Sultan Azlan Shah membuat keputusan tentang permohonan Mohammad Nizar agar membubarkan dewan undangan negeri, baginda telah menerima menghadap dan menemubual Jamaluddin, Mohd Osman dan Hee, bagi memastikan sama ada Barisan Nasional mendapat sokongan mereka.

Baginda juga menerima menghadap 28 Adun lain, yang mengikrarkan sokongan mereka terhadap BN, bagi memastikan parti gabungan itu mendapat keyakinan majoriti daripada dewan, katanya.

"Setelah berpuas hati yang BN mempunyai majoriti, baginda mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan bahawa Mohammad Nizar telah hilang keyakinan majoriti serta meminta beliau berundur," katanya.

Sementara itu, dalam penghujahannya, Abdul Gani berkata Mohammad Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi kedua-dua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Mohammad Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Mohammad Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Mohammad Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Pada perbicaran sebelah petang, peguam Sulaiman Abdullah, yang mewakili Mohammad Nizar, dalam hujahnya berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan, tetapi berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

Oleh yang demikian, Mohammad Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Mohammad Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri, katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Mohammad Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Ketika ditemui pemberita selepas perbicaraan itu, Mohammad Nizar berkata: "Tak kiralah apa keputusannya esok, tapi apa yang paling penting ialah sokongan rakyat Perak terhadap saya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.


Nizar Zambry : Pilihanraya Perak Akan Diadakan Bila-bila Masa

JJentera pilihan raya Pakatan Rakyat Perak telah diarahkan bersiap sedia dengan serta merta bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada bila-bila masa.

Menurut Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (BBC), Drs Khalil Idham Lim Abdullah mesyuarat pemimpin Pakatan Rakyat Perak yang diadakan semalam di Ipoh telah memutuskan supaya setiap parti komponen gagasan itu menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing dengan segera.

"Kita telah membuat keputusan supaya jentera pilihan raya negeri digerakkan dengan segera. Kami telah pun memulakan siri ceramah dan sesi penerangan kepada petugas-petugas parti masing-masing untuk memastikan semuanya siap siaga untuk menghadapi pembubaran DUN bila-bila masa sahaja.

"Pakatan Rakyat yakin jentera pilihan raya di semua peringkat sejak bermulanya krisis politik Perak telah pun bersiap sedia dan kita akan mempastikan semuanya berjalan lancar sekiranya pengumuman pembubaran dibuat dalam masa terdekat," kata Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong itu ketika dihubungi TV Antara.

Drs Idham Lim berkata indikasi terpenting bila pilihan raya baru itu bakal diadakan akan terserlah apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan berhubung rayuan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi esok.

Pada 11 Mei lalu Mahkamah Tinggi Putrajaya memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah sejak beliau memegang jawatan tersebut pada 13 Feburuari 2008.

Walau bagaimana keesokkannya Dr Zambry telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada sebelah pagi dan keputusan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi itu diberi tidak sampai empat jam setelah permohonan dikemukakan beliau.

"Kalau keputusan esok memihak kepada Pakatan Rakyat sudah pasti Datuk Seri Nizar akan memohon mengadap baginda

Sultan untuk memohon pembubaran DUN secepat mungkin.

"Kalau keputusan sebaliknya memihak kepada Zambry maka kemelut politik Perak masih tidak berubah dan penyelesaiannya juga tetap berbalik kepada jalan pembubaran DUN.

"Jadi apapun keputusan esok tidak akan menukar pendapat rakyat Perak bahawa DUN perlu dibubarkan segera mungkin supaya rakyat dapat memilih sekali lagi kerajaan yang sah," kata beliau lagi.

Drs Idham Lim juga berkata beliau berharap semua wakil rakyat Pakatan Rakyat yang sedia ada dikekalkan sebagai calon pada pilihan raya negeri yang baru sebagai penghargaan kepada komitmen mereka.

"Saya berharap sebagai Pengerusi BBC berharap ADUN-ADUN Pakatan Rakyat sekarang dikekalkan oleh oucuk pimpinan parti masing-masing kerana mereka telah membuktikan kesetiaan mereka dengan tidak mudah dibeli atau diugut oleh BN," kata beliau lagi.

Beliau juga mendedahkan daripada maklumat yang diperolehinya parti-parti komponen BN Perak juga memutuskan senarai calon-calon mereka yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri nanti.