25 Jan 2011

Kempen Hari Ketiga: Mendepani Isu - PAS Mengatasi BN

PRK Dun Tenang, buka wajah sebenar Umno

Tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam - merujuk calon PAS-Pakatan Rakyat (PR) kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini. Sekaligus memperlihatkan kegagalan Umno menerangkan Islam yang sebenar kepada sekutunya itu.

Walaupun ucapan Chua itu berlaku dalam perjumpaannya dengan masyarakat Cina bukan Islam, namun Umno tindak mengambil langkah proaktif untuk mengajak MCA berbincang agar isu tersebut dijawab dengan lebih berhemah.

Bahkan, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan tentang agenda PAS yang mahu menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat (PR) berkuasa.

Umno bukan sahaja tidak membantu MCA menghormati agama Islam malah mereka sendiri turut sama mempersendakan agama rasmi Malaysia itu. Apakah Umno begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan 5,766 pengundi masrakat Cina sehingga sanggup menjual agama?

Jumlah pengundi Cina tersebut merupakan 38.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di Tenang. Dalam pilihanraya umum 2008 yang lalu, PAS memperolehi sokongan lebih daripada separuh pengundi di tiga kawasan majoriti Cina, iaitu bandar Labis Timur, bandar Labis Tengah dan Labis.

Sebelum ini PAS dituduh oleh Umno dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang pro-Umno bahawa parti Islam itu telah menggadai prinsipnya kerana berkawan dengan DAP yang didakwa anti Islam. Pelbagai tohmahan dan demontrasi dibuat mengutuk tindakan PAS itu. Ditambah pula isu kenyataan "over my dead body" oleh Karpal Singh.

PAS dan DAP didakwa tidur sebantal tetapi mimpi yang berlainan. Tetapi isu ini telah membuka wajah sebenar Umno dan NGO tersebut. Mana perginya suara lantang mereka? Mana jaguh-jaguh pendemo mereka? Mana perginya ketuanan Melayu-Islam yang mereka bangga-banggakan selama ini? Di mana Umno yang gah mengatakan merekalah juara membela agama? Di mana JAKIM dan di mana IKIM? Semuanya menunduk kepala tatkala MCA dan Gerakan mula mencemuh PAS sekaligus menghina Islam kerana pematuhan kepada suruhan agama.

Dalam hal ini, jelaslah bahawa Umno sebenarnya yang menjual agama demi politik mereka. Walaupun Muhyiddin meminta isu ini tidak dipanjangkan oleh MCA, namun sehingga kini tiada suatu dialog khusus antara ulama Umno dengan pimpinan MCA bagi meleraikan isu ini.

Rakyat yang cerdik dan celik tidak kira sama ada Islam atau bukan Islam telah dapat melihat dengan jelas bahawa PAS secara istiqamah meneruskan suruhan agama walaupun difitnah dan dihalang melalui pelbagai cara oleh Umno dan konco-konconya.

Dalam hal ini DAP lebih menghormati Islam setelah berkawan dengan PAS dan tidak pernah mempersoalkan kenapa seorang muslimah perlu bersarung tangan untuk bersalam dengan pengundi yang bukan muhrim. Yang lebih menyedihkan sikap tidak menghormati Islam ini disiarkan ke seluruh negara oleh media pro-Umno.

Isu ini sepatutnya mencelikkan mata dan hati rakyat Johor khususnya di Dun Tenang yang masih beranggapan Umno lah pejuang agama Islam. Sebahagian rakyat Johor telah pun membuat perubahan, dan pengundi Johor sewajarnya memulakannya di Tenang. Perkara ini tidak mustahil kerana Johor terkenal dengan sekolah agama rendahnya. Secara logik, hampir semua anak-anak Johor mempunyai asas agama.

Mereka sewajarnya sedar bahawa Umno yang mempunyai JAKIM dan IKIM hanya mampu bersetuju dengan MCA dan Gerakan dalam perkara perkara yang mencabar dan menghina Islam. Berbanding PAS yang tegas mempertahankan Islam walaupun pernah hilang sekutunya pada pilihanraya 1999.

Walau apapun keputusan PRK Tenang, PAS sudah menang dan membuktikan mereka tidak pernah meninggalkan perjuangan untuk menegakkan Islam dan memberi kefahaman tentang Islam kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia ini. Berbanding Umno yang berselindung disebalik agama dan apabila keadaan terdesak untuk mendapatkan sokongan Melayu-Islam. Tetapi, tanpa disangka, Dun Tenang telah mendedahkan watak hipokrit mereka. -harakahdaily


Pusingan 2: BN jaring gol sendiri, PAS jerit goool!

ULASAN Pertembungan BN dan PAS dalam pilihan raya kecil DUN Tenang umpama perlawanan 'Merseyside Derby' antara Real Madrid dan Barcelona di Stadium Barnabeau, Madrid, Sepanyol untuk perlawanan penentuan kejuaraan La Liga.

Bagi peminat setia kedua-dua pasukan itu, pertemuan itu adalah perlawanan yang ditunggu-tunggu oleh penyokong setia pasukan, apatah lagi Real Madrid bermain di hadapan penyokong sendiri.

Kedua-dua pasukan membarisi kesebelasan utama yang mantap dari bintang-bintang handalan dari segenap posisi sama ada serangan, tengah dan pertahanan serta penjaga gol bertaraf dunia.

Bagi Real Madrid, siapa yang tidak kenal seperti Higuan, Karim Benzema, Christiano Ronaldo, Gucci sehingga Iker Casillas. Manakala bagi Barcelona mereka menurunkan bintang seperti David Villa, Lionel Messi, Xavi Henandez, Carlos Puyol sehingga Victor Valdez.

Maka BN, diumpamakan Real Madrid yang turun dengan kesebelasan yang mantap, apatah mempunyai kelebihan bertarung mempertahankan di kubu kuat, Tenang. BN mempertaruhkan Mohd Azahar Ibrahim, seorang bekas penolong pegawai daerah dan bekas bendahari Pemuda Umno Labis.

Manakala PAS diibaratkan Barcelona yang turun sebagai 'pasukan underdog' apatah lagi berdepan dengan ribuan penyokong lawan. Oleh itu PAS menobatkan bekas guru cemerlang dan ketua Muslimat PAS Labis Normala Sudirman mewakili Pakatan Rakyat.


Kelebihan tuan rumah

Pada adat kata, selalunya tuan rumah mempunyai kelebihan untuk mencapai kemenangan, tetapi ia juga harus berwaspada dengan taktikal pihak lawan.

Dengan mengetepikan andaian "bermain di atas padang tidak sama rata", pilihan raya kecil Tenang dilihat penting bagi kedua-dua parti khususnya kepada BN yang mahu mempertahankan kerusi tersebut yang dikuasai sejak dahulu lagi.

Manakala PAS dan Pakatan Rakyat juga mahu memenangi kerusi berkenaan bagi menambah suara pembangkang di DUN Johor seterusnya membuktikan momentum 'tsunami politik' pilihan raya umum 2008 masih lagi kuat selepas menang sembilan daripada 13 pilihan raya kecil.

Jika begitu, umumnya dalam situasi sebegini, perlawanan antara BN dan PAS bukan pertembungan angka atau jumlah kemenangan, tetapi
pertembungan strategi, taktikal dan corak permainan ketika berdepan dengan lawan masing-masing yang sama-sama handal.

Dalam separuh masa pertama, serangan BN terhadap PAS - beberapa hari sebelum penamaan calon - melalui jentera bahagian sayap kanan, MCA yang cuba merobek-robek pertahanan PAS melalui satu serangan - isu negara Islam.

Malah serangan tersebut, mendapat turut mendapat 'restu' Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan "ada baiknya" masyarakat Cina dingatkan dengan perkara tersebut kerana PAS tidak meminda perlembagaan mereka berhubung perkara tersebut.

PAS memintas

Bagaimanapun, serangan itu dapat dipatahkan setelah pertahanan PAS 'merapati' isu berkenaan dan berjaya 'memintasnya' dengan sekadar berkata "itu isu lama" yang dibangkitkan semula, bahkan ia tidak memberi kesan kepada pengundi terutama kaum Cina.

Penat dengan serangan yang tidak menjadi-jadi, BN menukar strategi dan taktikal dengan melancarkan serangan dari arah kiri melalui isu calon PAS - yang mesra dipanggil Cikgu Mala - melalui isu bahawa beliau enggan bersalaman dengan lelaki.

Serangan itu juga dimulakan sekali lagi oleh Chua Soi Lek melalui 'satu hantaran lintang' ke sebelah kiri yang disambut oleh rakan lain - Gerakan.

Bagaimanapun, PAS berjaya mematahkan serangan tersebut dengan 'bertahan' dan sekali sekala melancarkan serangan balas dengan berkata perkara tersebut adalah prisip agama dan wanita Muslim tidak dibenarkan bersalam dengan lelaki.

Mungkin strategi bertahan - buat masa ini - adalah yang terbaik di samping mungkin berbekal kata-kata azimat: "Istiqamah baru datangnya karamah".

Serangan yang bertali arus itu, gagal membuahkan hasil sehingga mendapat liputan meluas oleh media. Kebuntuan mencari gol, menyebabkan pengurus pasukan bangun dari tempat duduk bangku simpanan.

Kehadiran Timbalan Muhyiddin Yassin dalam 'walkabout' semalam bertemu masyarakat dan pengundi di DUN Tenang yang mahu "taktik dan strategi" mengenai isu bersalam ini dihentikan.

Teguran Muhyiddin

Sebaliknya, beliau menegaskan masih terdapat perkara lain yang harus ditumpukan "ada perkara yang lebih pokok yang patut BN lakukan" kepada rakyat.

"BN tidak mahu eksploitasi soal-soal begitu. Terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian kerana (beliau) mungkin (bertindak) atas sebab-sebab tertentu.

"Tapi bagi saya, saya tidak mahu nak mengekploitasi peribadi pihak calon. Itu adalah pilihan beliau (Normala). Tetapi apa pun terserah kepada pengundi untuk membuat penilaian," katanya dalam satu sidang media di Tenang.

Teguran itu dilihat bukan sahaja kepada MCA tetapi kepada kepada parti komponen yang berada dalam gabungan BN.

Pemerhati politik melihat teguran Muhyiddin itu sebagai serangan dari PAS untuk mendapatkan gol di minit-minit akhir perlawanan separuh masa kedua. Teguran itu juga diumpamakan satu rembatan kencang 'ala Lionel Messi', melencong dan terkena pertahanan sendiri, lalu meniti masuk ke gawang sendiri.

Kedudukan berubah, 1 - 0, dan PAS menjerit "goool"! tanda kegirangan dengan jaringan itu kerana hasil bertahan dan sekali sekali melancarkan serangan pantas berjaya membuahkan hasil, tanpa 'bekerja keras' - buat masa ini.


Rebut peluang

Persoalannya sekarang ialah, berpeluangkah BN bangkit dengan strategi, taktikal dan mengubah corak pemainan yang masuk kepada minit-minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan walaupun tempoh berkempen masih lagi berbaki lima hari lagi.

Atau mampukah PAS menggunakan peluang ini sekadar bermain bertahan sehingga tamat perlawanan, walaupun barang diingat BN mampu membuat serangan balas dalam permainan berbaki lima minit - masa kecederaan.

Apa sahaja boleh berlaku dalam masa lima minit, seperti mana berlaku dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah 1999 antara Manchester United dan Bayern Munich.

Bayern Munich mendahului hingga akhir perlawanan, tetapi akhirnya kecundang kepada Manchester setelah Teddy Sheringham dan Ole Gunaar Solksjear - masing-masing menjaringkan gol pada minit kecederaan. -mk


Isu Interlok: Kaum India Bakal Protes Undi Di Tenang

Dr. Subramaniam nafï dakwaan kompromi pendirian berhubung Interlok

KUALA LUMPUR, 25 Jan — Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S.Subramaniam (gambar) menafikan dakwaan beliau telah mengkompromikan pendiriannya bahawa novel Interlok perlu ditarik balik daripada menjadi buku teks pelajar Tingkatan Lima.

“Menerusi semua perbincangan kabinet dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, saya dengan tegas menyatakan pandangan masyarakat India, dan impak buku itu terhadap minda masyarakat serta golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Sumber Manusia itu juga berkata beliau berulang kali menegaskan pada mesyuarat mingguan kabinet berhubung pendirian masyarakat India bahawa buku berkenaan perlu ditarik balik serta tidak digunakan sebagai buku teks sastera.

“Tidak ada sekelumit kebenaran pun mengenai dakwaan dan khabar angin yang disebarkan berhubung perkara itu,” katanya.

Semalam, Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mempunyai formula bagi menyelesaikan isu novel Interlok dan akan berbincang dengan pemimpin MIC tidak lama lagi.

Kaum India di Malaysia telah membantah penggunaan novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu sebagai buku teks bagi mata pelajaran Sejarah Melayu Tingkatan Lima, kerana mendakwa ia mengandungi kenyataan yang tidak tepat dan menghina masyarakat berkenaan. — Bernama

Ulasan GB

Isu INTERLOK bakal mengundang padah untuk UMNO BN. Kaum India akan segera menunjukkan protesnya di Tenang apabila UMNO BN gagal menyelesaikan isu itu disebaliknya, hanya meluahkan janji-janji palsu dan kosong untuk masyarakat India.


Sebagai ADO Pun Sudah Failed, Bagaimana Mahu Menjadi Seorang Wakil Rakyat?

Calon BN cuai sebagai ADO

LABIS, 25 Jan: Calon BN untuk Pilihan Raya Kecil Dun Tenang didakwa cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai kerajaan sebelum ini dan pernah disaman kerana melelong tanah tanpa pengetahuan tuan tanah.

Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mendedahkan calon BN, Mohd Azahar Ibrahim didapati cuai dan lalai ketika memegang jawatan Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat sehingga disaman pada tahun 2004 oleh tuan tanah, Mansor Mohamad.

Katanya, Azahar yang dikenali dengan panggilan Tok Ai telah disaman di Mahkamah Tinggi Muar melalui Saman Pemula No: 24 (L) - 674-2004 berkaitan kes siasatan hartanah HS (M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat.

Menurut beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian Azahar yang ketika itu sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat telah mengakibatkan satu Perintah Jualan ke atas hartanah Mansor Mohamad pada 18 September 2009.

"Kerana kecuaian Tok Ai tanah tersebut secara tidak sah telah dilelong pada 1 Disember 2003 dengan harga RM70,000," ujarnya.

Beliau kesal dengan kecuaian Tok Ai yang menyebabkan tuan tanah, Mansor menjadi mangsa kezaliman kerana hartanahnya dilelong kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan beliau.

Justeru kata beliau, disebabkan kecuaian dan kelalaian itu telah mengakibatkan nama baik dan intergriti Pejabat Pentadbir Tanah Segamat terjejas teruk sekaligus menghakis keyakinan rakyat pada ketelusan Pejabat Tanah Daerah Segamat.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar, Yang Arif Hakim Dato' Asmadi Asnawi telah membenarkan tuntutan Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada 29 Januari 2008 dengan kos akibat kecuaian Tok Ai mengendalikan isu tersebut.

Salahudin yang juga Pengarah Pilihan Raya Dun Tenang mempersoalkan mengapa calon yang telah dibuktikan oleh Mahkamah cuai dan lalai dalam melaksanakan tugas awam masih dicalonkan untuk PRK Dun Tenang.

"Tidakkah tindakan Umno ini membuktikan Umno tidak menghiraukan isu integriti dan kompetensi seorang calon bagi mewakili rakyat atau pengundi Dun Tenang," tegasnya.

Beliau yakin dengan pendedahan itu membuktikan bahawa Umno memang sengaja menyembunyikan fakta-fakta tersebut kerana bimbang pengundi Dun Tenang akan menolak calon Umno-BN.

Merujuk rekod buruk Tok Ai, Azahar Ibrahim, PAS yakin dan percaya rakyat Dun Tenang tidak akan tertipu dengan janji-janji manis beliau untuk menyelesikan maalah tanah di Labis.

Ini kerana katanya, fakta dan keterangan tersebut jelas menunjukkan tanah rakyat dengan mudah telah dilelong dengan secara tidak sah.

"Kami menyeru pengundi Dun Tenang jangan gadaikan maruah dan masa depan anak bangsa dengan memilih calon Umno yang terbukti didapati bersalah oleh Mahkamah kerana menganiayai rakyat," tegasnya.

Salahudin menegaskan pendedahan itu bukan merupakan serangan peribadi calon tetapi ia menyentuh isu integriti dan kelayakan Azahar (Tok Ai) untuk menjadi calon di Dun Tenang.

Ulasan GB

jangan salah faham. Ini bukan soal peribadi. Tetapi ini soal kompetensi, soal efisiensi.

Jika sebagai seorang ADO dahulu pun sudah failed untuk membela rakyat, bagaimana mahu menjadi seorang wakil rakyat yang berguna untuk rakyat?

Dan ternyata, parti yang mencalonkannya pun 2 x 5, tidak kompeten dan tidak efiesyien, justeru tak layak untuk menjadi parti kerajaan lagi.

Chua Junior Sudah Tak Mengaku Fitnah Cikgu Mala

MP Labis Chua: Saya tak kata!

Setelah diberi tempoh 24 jam daripada PAS supaya membuktikan kenyataannya bahawa calon PAS, Normala Sudirman mempersoalkan pemilik kedai bukan Islam berhubung penjualan arak, ahli parlimen Labis, Chua Tee Yong cuba berdolak-dalih.

Jika pagi semalam, Chua berkata kepada sebuah portal berita beliau tetap dengan kenyataanya tetapi enggan menamakan pemilik kedai berkenaan tetapi pada lewat petang, Chua menukar nadanya.

Laporan The Malaysian Insider memetik Chua sebagai berkata, ”Sudah tentu, saya tidak boleh menamakan kedai itu, pemiliknya tidak mahu dikenali”.

Namun apabila diasak wartawan di sebuah majlis ketika kempen pilihan raya kecil Tenang di Labis, Chua menafikan beliau membuat laporan itu dan mendakwa laporan The Malaysian Insider adalah tidak tepat.

"Semasa berkempen, ada pengundi tanya sama ada penjualan arak akan dihentikan jika calon PAS dipilih, saya jawab mungkin.”

Berikutan kenyataan itu, PAS memberi Chua 24 jam bagi membuktikan bahawa Normala mempersoalkan jualan arak ataupun berhadapan dengan saman fitnah jika gagal berbuat demikian.

Menurut sebuah laporan China Press, Chua dilaporkan berkata, "Mengikut maklumat yang saya terima, semasa kempen Normala, dia bertanya kepada seorang pemilik kedai kopi mengapa bir dijual. Pemilik kata itu adalah haknya untuk berbuat demikian.”

"Kami mahu beliau (Chua) memberikan nama kedai kopi itu (dan juga), tarikh dan masa Normala berkata demikian sebelum tengahari (esok).

"Jika tidak, kita akan memfailkan saman fitnah ke atasnya,” kata timbalan pesuruhjaya PAS Johor yang juga penyelaras pilihan raya kecil parti itu, Dzulkefly Ahmad, kepada wartawan.

Chua berkata beliau belum membaca laporan China Press kerana sibuk dengan kempen pilihan raya kecil.

"Saya mesti tunggu surat dari mereka (PAS) sebelum boleh beri ulasan.”

Diasak wartawan, Chua berkata, beliau tidak secara langsung menafikan laporan berkenaan tetapi meminta wartawan melaporakan apa yang dikatannya. -mk

Ulasan GB

Hayat pembelit di dalam politik tidak lama.

Anda menuduh dan memfitnah, kini anda perlu buktikan tuduhan itu di mahkamah nanti. Tak payah nak berbelit, kerana buktinya ada. Wartawan China Press dan Oriental Daily sudah pasti ada rakaman ucapan itu.

Dan itu bakal menamatkan riwayat kareer politik kamu.


Rakyat Akan Halau UMNO BN Keluar Dari Putrajaya

Pembangkang dicabar turunkan harga barang di negeri yang diperintah

LABIS: Pembangkang yang memainkan isu kenaikan harga barangan bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, dicabar supaya terlebih dahulu menurunkan harga barang di empat negeri yang mereka perintah.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata kalau hebat sangat pembangkang, sila segera turunkan harga barangan seperti harga petrol di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan.

"Jangan tunggu selepas pilihan raya kerana mereka sudah dapat perintah empat negeri itu, saya cabar mereka cari duit dan beri subsidi supaya harga barang di empat negeri itu turun," katanya selepas bersarapan pagi bersama penduduk di warung Kampung Tenang di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu pada 30 Januari ini, membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim, 39, dan lawannya daripada PAS, Normala Sudirman, 38.

Ia diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha daripada BN pada 17 Disember tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sebagai permulaan, beliau mencabar kerajaan di empat negeri tersebut menurunkan harga petrol di negeri masing-masing dengan cara memberi subsidi kepada pengusaha stesen minyak.

"Cari duit beri subsidi kepada pengusaha stesen minyak supaya RON95 dari RM1.90 mungkin diturunkan menjadi RM1.50 seliter. Saya cabar turunkan harga petrol satu dulu cukuplah, kalau banyak nanti mereka tidak mampu," katanya.

Beliau berkata, sekiranya pembangkang yang terkenal dengan menabur pelbagai janji, tidak boleh berbuat demikian maka tidak usah memperdaya penduduk di DUN Tenang semata-mata untuk meraih undi daripada mereka.

Katanya, kerajaan BN sentiasa prihatin dan berusaha mengurangkan bebanan rakyat termasuk memberi subsidi dan menetapkan harga barangan kawalan bagi barangan keperluan pada musim perayaan.

Beliau berkata, kerajaan juga berusaha supaya harga komoditi terus naik dan rakyat mempunyai pekerjaan bagi menjana pendapatan mereka.

Mengulas janji pembangkang untuk membangunkan kawasan perindustrian di DUN Tenang bagi mengelakkan penduduk berhijrah mencari pekerjaan di negeri lain, Ahmad berkata, pembangkang tidak berupaya menunaikan janji tersebut sebaliknya hanya khayalan.

Jika ditinjau di empat negeri yang diperintah pembangkang, kewujudan kawasan perindustrian besar dan sederhana adalah usaha kerajaan BN menarik pelaburan manakala tiada kawasan perindustrian baru diwujudkan pembangkang, katanya.

Mengulas kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam yang melabelkan wakil rakyat BN sebagai penderhaka kepada institusi raja-raja, Ahmad berkata, itu adalah sandiwara politik pembangkang dan sebenarnya pembangkang yang menderhaka kepada Sultan. - BERNAMA

Ulasan GB

Si politikus kartun yang bernama Ahmad Maslan mencabar pakatan Rakyat cari duit sendiri untuk beri subsidi supaya harga barangan diturunkan di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Awak UMNO BN dah belasah cukup-cukup wang royalti Petronas, FELDA dan lain-lain, kini awak suruh PR cari duit sendiri untuk beri subsidi kepada rakyat.

Itu wang rakyat berjumlah RM888 billion mengalir keluar negara, di era siapa memerintah? Bukankah UMNO BN?

Justeru itu, keluar dari Putrajaya. InsyaAllah Pakatan Rakyat mampu untuk mewujudkan sebuah negara Malaysia yang lebih makmur dan berkebajikan kepada rakyatnya!

Isu Salam: UMNO BN Sedang Menggelupur Di Tenang

Di Tenang, isu bersalam tikam balik Umno

Isu calon PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang, Puan Normala Sudirman yang dikatakan berjabat tangan dengan pengundi, terutama kaum lelaki, dengan memakai sarung tangan yang dijadikan bahan kempen oleh BN, telah menikam balik parti itu sendiri.

Isu itu dibangkitkan oleh MCA pimpinan Chua Soi Lek, yang satu ketika dahulu terlibat dalam satu skandal seks, jelas memperlihatkan kebodohan dan kejahilan di kalangan MCA.

Oleh kerana isu itu telah menikam balik BN dan tidak pula menjadi satu masalah kepada pengundi Cina di Tenang, maka panglima perang BN Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa 'memperbetulkan' keadaan dengan meminta jentera BN jangan membangkitkan isu itu lagi.

Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata ia adalah soal peribadi calon PAS dan lebih banyak isu yang jauh lebih penting untuk dibangkitkan, bukan isu berjabat tangan dengan memakai sarung tangan.

Benar sangat. Malangnya, Muhyiddin tidak berani nak sebut sebab sebenar kenapa Puan Normala berbuat demikian. Mungkin Muhyiddin masih kabur dengan hukum-hakam Islam itu sendiri. Apa salahnya jika Muhyiddin bertanya kepada tokoh agama UMNO dalam Kabinet, Mej-Jen (B) Jamil Khir mengenainya.

Muhyiddin sedar bahawa isu itu tidak memihak walau sedikitpun kepada BN dan tinjauan yang dibuat oleh Malaysiakini juga menunjukkan bahawa ia bukan satu masalah kepada pengundi Cina. Pengundi Cina juga tidak bimbang ataupun takut dengan isu negara Islam yang turut dibangkitkan oleh MCA.

Banyak lagi isu yang sepatutnya dihuraikan kepada rakyat terutama soal rasuah dan salah guna kuasa, soal keadilan mahkamah, soal kenaikan harga barang keperluan seharian dan soal keadilan sosial. Isu-isu inilah yang menjadi bualan dan percakapan di mana-mana, bukan soal remeh-temeh seperti yang dibangkitkan oleh MCA.

Kita harap kedua-dua pihak akan berkempen dengan tenang dan berwibawa tanpa membangkitkan isu yang tidak sepatutnya, yang boleh menimbulkan rasa kurang senang dan marah di kalangan pengundi berbilang kaum dan agama di Tenang. -kudaranggi

Pelaku Maksiat Memang Gerun Dengan Negara Islam

Tenang: MCA terus bangkit isu negara Islam PAS

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata beliau akan terus menimbulkan agenda negara Islam PAS sebagai satu isu dalam pilihan raya kecil DUN Tenang memandangkan ia merupakan tugasnya sebagai presiden parti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas arahan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Chua berhenti daripada mengkritik tindakan calon PAS Normala Sudirman yang enggan berjabat tangan dengan orang bukan muhrim.

Chua berkata Muhyiddin sepatutnya memberitahu demikian kepadanya melalui saluran dalaman parti.

Media juga tidak perlu memberitahu perkara itu kepadanya, kata Chua lagi dalam satu sidang media lewat petang semalam.

Tambahnya, isu negara Islam yang diperkatakan itu bukanlah satu isu baru atau direka-reka oleh MCA.

Chua menjelaskan, ia berdasarkan perlembagaan PAS yang jelas ingin menubuhkan satu negara Islam dan beliau bertanggungjawab menjelaskan agenda sebenar parti Islam itu kepada masyarakat Cina.

Chua dan ketua pergerakan wanita Gerakan Datuk Seri Tan Lian Hoe sebelum ini mencemuh tindakan Normala yang enggan berjabat tangan dengan bukan muhrim.

Tindakan Normala itu disifatkan sebagai satu langkah ke arah pemerintahan negara berasaskan Islam.

Ia juga menerima cemuhan daripada naib presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang antara lainnya berkata langkah yang diambil Normala itu mencerminkan ideologi konservatif PAS.

Bagaimanapun, Muhyiddin mahu isu berkenaan tidak diperpanjangkan lagi kerana BN tidak sepatutnya mengeksploitasi tindakan Normala itu. -mk

Ulasan GB

Ternyata begitu teruk pemimpin tertinggi MCA ini yang disokong oleh pemimpin tertinggi UMNO Johor.

Dan setentunya ada perkara di sebalik tabir yang menyebabkan beliau begitu terpanggil bukan sahaja menentang "negara Islam" malah memperlecehkan hukum dan adab umat Islam.

Mereka sekapal menentang negara Islam.

Kita tidak hairan mereka begitu kerana negara Islam ialah sebuah negara yang menentang perbuatan maksiat seperti yang mereka lakukan.


UFO Mendarat Di Indonesia?

CORAK unik berbentuk bulatan yang ditemui petani di tujuh petak sawah di Slemen, Yogyakarta pada Ahad lalu.


YOGYAKARTA, Indonesia - Tujuh petak sawah padi di Krasakan di Sleman, Yogyakarta mempunyai corak bulatan ganjil yang dipercayai penduduk dihasilkan oleh objek terbang tidak dikenali (UFO), lapor akhbar Jakarta Post semalam.

Bukan sahaja Jakarta Post tetapi banyak akhbar lain di Indonesia turut melaporkan mengenai penemuan unik itu.

Corak bulatan ganjil pada kebiasaannya ditemui di kawasan tanaman gandum di negara-negara Barat seperti Britain sejak tahun 1980.

Bentuk bulatan yang ganjil itu dikaitkan dengan UFO di Barat ekoran ia mempunyai bentuk geometri dan tiasa saksi yang melihat manusia yang melakukannya.

Bentuk ganjil yang ditemui di Sleman itu mengandungi corak segi tiga dan dua bulatan kecil di bahagian tengah bulatan yang besar berdiameter di antara 25 meter hingga 30 meter itu ditemui penduduk tempatan pada pagi Ahad lalu.

"Saya berpendapat, ia (bulatan ganjil itu) ditinggalkan oleh sebuah kapal angkasa asing seperti yang saya lihat di televisyen," kata seorang penduduk, Cahyo Utomo semalam.

"Adalah tidak munasabah, bulatan itu dibuat hasil tiupan angin atau haiwan lain," tambahnya.

Bulatan itu yang terletak dekat dengan sebuah kawasan rumah penduduk kelihatan seperti satu kerja seni geometri manakala kawasan sawah padi lain tidak mengalami sebarang kesan yang sama.

Bulatan ganjil itu kali pertama dilaporkan oleh seorang petani, Tukiman pada pukul 6 pagi Ahad lalu.

SEJUMLAH orang menaiki bukit dan merakamkan gambar corak unik yang dipercayai dihasilkan objek terbang tidak dikenali di kawasan sawah padi di Sleman, Yogyakarta semalam.


Ketua Polis Sleman, Iwan Ramaini berkata, dia tidak pasti jika corak bulatan itu dicipta oleh UFO atau ia merupakan fenomena semula jadi. Satu siasatan polis sedang dilakukan berhubung kejadian itu.

Namun, seorang pegawai polis yang mendegar keterangan daripada enam petani yang memiliki tujuh petak sawah percaya, bulatan itu bukan buatan manusia.

"Mereka bilang (para petani itu) nggak (tidak) mungkin itu dibuat oleh manusia," kata seorang pegawai polis, I Made Muliawan kepada wartawan akhbar dalam talian detikcom.

Menurutnya, petani-petani itu tidak melihat terdapat kegiatan mencurigakan di kawasan sawah padi tersebut.

"Tidak ada keterangan yang menyebutkan, melihat ada orang melakukan hal-hal aneh di sawah itu," katanya.

Dia berkata, salah seorang pemilik sawah itu pernah mendengar bunyi bising pada malam sebelum corak itu ditemui.

"Malam hari ada yang bilang mendengar suara seperti pesawat turun, terus pastinya dia melihat di sawahnya," kata pegawai polis itu.

Menurutnya, pihak polis menghalang orang ramai mendekati kawasan yang mengandungi objek misteri itu.

Dia berkata, sekatan itu dibuat kerana pihaknya bimbang orang ramai akan memijak pohon padi sekali gus menjadi rosak dan merugikan petani. - Agensi


Boleh Jadi Buatan Makhluk Asing atau Buatan Manusia

JAKARTA, KOMPAS.com — Pola lingkaran raksasa yang ditemui di kawasan persawahan wilayah Berbah, Sleman, Yogyakarta, Minggu (23/1/2011), menarik perhatian para pemerhati fenomena unidentified flying object (UFO). Jejak semacam itu selama ini sering disebut crop circle yang dikait-kaitkan dengan perbuatan makhluk asing atau alien.

Crop circle selama ini sering ditemui di berbagai negara. Laporan-laporan yang mengejutkan sering disampaikan dari daerah Amerika Latin. Ukurannya kadang-kala sangat besar mencapai puluhan hingga ratusan meter.

"Dengan ukurannya yang sangat besar sulit dikatakan kalau bentuk-bentuk raksasa semacam itu dibuat manusia. Jadi dapat dibuat kesimpulan, ada makhluk lain yang membuatnya," kata Dudi Sudibyo, penyiasat penerbangan yang juga pemerhati UFO, tatkala dihubungi Kompas.com, malam Ahad lalu.

Meskipun demikian, ia tak menafikan bahawa crop circle boleh jadi juga dibuat manusia. Apalagi, yang di Yogyakarta ukurannya tidak sebesar crop circle di Amerika Latin yang ukurannya mencapai puluhan hingga ratusan meter.

"Pendekatan ilmiah tetap harus dikedepankan. Saya kira masyarakat tak dapat mengabaikannya begitu saja. Perlu diteliti lebih lanjut," kata Dudi.

Ia mengatakan, pihak-pihak yang tertarik meneliti sebaiknya segera mendokumentasikannya seperti mengambil gambar secara terperinci, mengukur dimensinya, termasuk menyiasat bagaimana crop circle itu dapat muncul di lokasi tersebut.

Ada sejumlah ahli yang sebelumnya telah mencuba membuat semula crop circle tersebut. Menurutnya, hal itu memang bukan hal mustahil meskipun perlu dengan perhitungan matematik yang cermat.

Namun, sampai sekarang crop circle yang pernah ditemukan tetap saja menjadi misteri karena tak ada yang mengaku membuatnya. Nah, bagaimana dengan crop circle di Yogyakarta, akankah tetap menjadi misteri? -kompas/GB


PRK Tenang: Isu Bendera - Sikap Berat Sebelah MDL Dikecam

Pelbagai pihak kesal dengan sikap pihak Majlis Daerah Labis yang tidak profesyenal dan berat sebelah di dalam tindakan mereka mengarahkan bendera-bendera parti yang tidak bertanding diturunkan.

Arahan cuma dilakukan apabila wujudnya bendera-bendera DAP dan PKR dikibarkan, tetapi mereka berdiam diri apabila adanya bendera parti pihak kerajaan yang tidak bertanding dikibarkan.

Semalam berlaku satu kekecohan di antara petugas jentera parti Pakatan Rakyat semasa pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Labis hendak menurunkan bendera dan kain rentang parti yang tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil DUN Tenang di Pekan Labis,

"Majlis Daerah terang-terangan menunjukkan sikap mereka yang berat sebelah dan tidak profesyenal. Jika hendak kuatkuasakan arahan, pastikan mereka arahkan juga parti MCA dan MIC yang tidak bertanding supaya menurunkan bendera mereka," tempelak seorang petugas PR.

Gambar: Bendera MIC dikibarkan tetapi tidak diganggu oleh MDL

"Ini tidak, mereka hanya tumpukan kepada Pakatan Rakyat," tambahnya.

Tinjauan di beberapa lokasi di Labis menunjukkan memang terdapat bendera-bendera parti komponen Barisan Nasional yang dikibar tanpa diganggu oleh Majlis Daerah Labis.

Justeru itu tidak hairan Majlis Daerah Labis dikecam hebat apabila mereka cuba bertindak mengarahkan bendera parti komponen Pakatan Rakyat yang tidak bertanding supaya diturunkan.


Pemuda Tersangkut Di Tayar Bas

Seorang pemuda yang berhasrat untuk merayakan ulang tahun ayahnya dengan bekerja pada hari Ahad dan mengambil cuti setengah hari pada hari Isnin meninggal dunia dalam satu kemalangan ngeri pagi semalam.

Chin Chang Hwa, 23 sedang menunggang motosikal menuju rumahnya sekitar pukul 11:00 ketika ia melanggar sebuah bas yang berhenti untuk menurunkan penumpang di sepanjang Jalan Siniawan, Bau.

Mendiang adalah dari Jambusan, Bau dan badannya tersangkut di tayar sebelah kanan belakang bas dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bas berkenaan membawa penumpang di antara Kuching dan Bau.

Ayahnya yang kelihatan sedih menyatakan ia adalah hari ulang tahunnya dan yakin bahawa anaknya ingin memberikan kejutan kepadanya dengan kembali awal. Menurutnya, anaknya telah bekerja juga pada hari Ahad, sebagai pemandu lori di Bintawa.

Mayat dibawa ke Hospital Besar Sarawak untuk post mortem. -sarawakupdate/GB

Bukan Utusan Namanya Jika Tidak Membelit & Memfitnah

Labis, 24 Jan: Lidah rasmi Umno, Utusan Malaysia mengaku bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak tidak menziarahi jenazah Setiausaha Umno Cawangan Felda Tenang yang meninggal dunia ketika lawatan beliau ke situ kerana tidak mengetahuinya.

Pengerusi Biro Khairat Kematian Masjid An-Nur, Hamzah Manaf, 77, dan beberapa pemimpin setempat berkata, tindakan Najib tidak melawat jenazah Setiausaha Umno Cawangan Kolam Air Felda Tenang, Allahyarham Abdul Latif Subhi Mohd. Din, 61, bukannya suatu isu kerana Perdana Menteri memang langsung tidak mengetahui mengenai kematian Allahyarham kerana tidak dimaklumkan mengenainya, lapor Utusan hari ini.

Abdul Latif meninggal dunia selepas diserang sakit jantung dan darah tinggi yang melampau selepas menguruskan kedatangan PM ke Felda itu.

Namun, sehingga jenazah beliau selamat dikebumikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak sempat menjenguk jenazah beliau walaupun masjid yang menempatkan jenazah itu hanya 50 meter dari padang tempat acara untuk Perdana Menteri diadakan.

Rombongan beliau juga lalu di hadapan masjid yang menempatkan jenazah Allahyarham sejak jam 10 pagi ketika beliau menuju ke Felda Chempelak pada sebelah paginya.

Di samping tidak diziarahi, imam masjid juga terpaksa ke majlis PM menyebabkan tidak ada siapa yang mengurus dan mengimamkan solat jenazahnya.

Hasilnya, Ustaz Che' Zuha, Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pahang mengimamkan jenazah pada jam 2 petang iaitu selepas solat Zohor kerana kedua-dua imam tidak kedapatan di masjid ketika itu.

Namun hari ini, Utusan berkata, mereka sengaja meminta keluarga simati untuk mengimamkannya.

Padahal, kedua-dua imam tiada di masjid hatta untuk mengimamkan solat fardhu Zuhur kerana imam diarahkan oleh Umno cawangan supaya menghadiri majlis sambutan kedatangan Najib.

Calon PAS, Cikgu Normala Sudirman (ketika belum sah sebagai calon lagi) bersama para petugas PAS dan anggota Unit Amal yang berada di situ segera menziarahi jenazah dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Mereka juga bersama ahli qaryah menguruskan jenazah dari awal sehingga ke proses gali kubur dan pengkebumian.

SIAPA FITNAH SIAPA

"Siapa fitnah siapa ni? Kita (Cikgu Mala, petugas PAS dan Unit Amal) hadir menziarahi dan menguruskan jenazah dengan ikhlas dan secara sukarela tanpa disuruh oleh sesiapa. Mereka memanipulasi berita dan menuduh kita yang bukan-bukan.

"Mari tanyalah saya kalau nak tahu. Siapa yang memfitnah siapa sebenarnya?" kata Md. Razi Jamaludin (gambar), 39 tahun, salah seorang anggota Unit Amal yang bertugas hari itu. Turut serta adalah rakan beliau, Wasilah Gothol, 48 tahun.

"Saya terlibat sepenuhnya menguruskan jenazah dari awal sehingga pengkebumian. Allahyarham sememangnya orang kuat Umno di sini. Saya difahamkan beliau telah bekerja keras malam sebelum pemergian beliau ke rahmatullah untuk urusan sambutan kedatangan Najib.

"Namun, apa yang berlaku ialah, kematian beliau tidak dihiraukan langsung oleh UMNO hatta Ketua UMNO sendiri. Yang meninggal itu S/U nya sendiri, bukan orang lain!"

"Tidak patut bagi seorang pemimpin tidak menghiraukan org bawahannya apatah lagi ini melibatkan kematian," katanya lagi.

Bagi beliau, kerja ziarah orang mati, bertahlil untuk ahli qariah, gotong royong, memang sudah menjadi kerja rutin orang PAS.

"Jika bukan pilihanraya kecil pun, memang itulah kerja kita. Mengapa sebelum ini Umno tidak timbulkan sebarang isu? Bahkan jika ada majlis-majlis seperti itu, orang Umno juga yang jemput kita sebelum daripada ini untuk tolong uruskan dan menggerakkan. Jadi dalam hal ini, siapa mempolitikkan siapa sebenarnya?" tanya beliau kesal. -harakahdaily

PRK Tenang: Muhyiddin Guna Taktik Kotor Dituduhnya PR

Muhyiddin pengadu domba nombor satu

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai 'pengadu domba nombor satu' apabila menyokong tindakan pemimpin MCA menakutkan masyarakat Cina dengan isu negara Islam.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, sikap Timbalan Presiden Umno itu bukan sesuatu yang pelik, malah yakin itulah mainan pemimpin Umno sejak melihat sokongan bukan Islam kepada Pakatan semakin bertambah.

Tambahnya, tindakan itu juga menjelaskan betapa Muhyidin yang juga Timbalan Perdana Menteri tidak ada isu untuk berdepan Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil Dun Tenang kali ini.

"Satu ketika bila berdepan masyarakat Melayu dia (Muhyidin) kata PAS nak hapus negara Islam, kononnya mahu menanam kebencian orang Islam kepada PAS.

"Tapi bila berdepan pengundi bukan Islam dia kata PAS mahu tegak negara Islam kerana mahu takutkan orang bukan Islam menyokong PAS.

"Beginilah orang tak ada isu, pengadu domba nombor satu," katanya.

Sehubungan itu beliau mahu rakyat menilai sikap pemimpin Umno dan BN yang disifatkannya mampu mengancam keselamatan negara.

Sebelum ini, isu negara Islam yang dibangkitkan oleh presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan disifatkan oleh Muhyiddin sebagai tindakan "mengingatkan masyarakat Cina".

Muhyiddin juga dilaporkan berkata "ada baiknya" MCA berbuat demikian kerana sehingga kini, PAS tidak pernah menukarkan perlembagaan yang menggariskan agenda untuk menubuhkan negara Islam.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang membidasnya dengan menyifatkan ia "isu lama" dan masyarakat Cina tidak akan terpedaya dengannya.

Berhubung isu calon PAS, Normala Sudirman yang memakai sarung tangan sewaktu bersalam pula, Mahfuz menggesa Umno BN berhenti mempolitikkan isu tersebut dan menghormati pegangan seseorang dalam beragama.

"Sama macam kita menghormati orang Hindu tak makan lembu, bukan bermakna lembu itu kotor, tetapi sebab pegangan agama," katanya. -harakahdaily


Pembangkang guna taktik kotor kerana tertekan: Muhyiddin

LABIS - Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan pembangkang menggunakan pelbagai taktik kotor seperti menyebarkan risalah berbentuk fitnah dalam kempen pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang kerana mereka semakin tertekan.

"Kita sedar mereka tidak akan berhenti mengeluarkan cerita-cerita yang mengejutkan untuk menakutkan pengundi. Itu adalah taktik biasa tetapi di dalam kebanyakan hal, pengundi tahu perkara sebenar dan tidak tertipu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Muhyiddin meminta pengundi yang mempunyai bukti tentang taktik kotor pembangkang yang melanggar undang-undang supaya melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain itu, terdapat juga dakwaan bahawa ada pihak mengambil kad pengenalan pengundi bertujuan menghalang mereka daripada mengundi, katanya.

Muhyiddin berkata, terdapat juga dakwaan kononnya Wanita UMNO Bahagian Labis tidak menyokong calon BN dan perkara itu disebarkan menerusi risalah dan sepanduk.

"Isu mengenai calon BN tidak berbangkit langsung kerana semua pihak telah memberikan komitmen sepenuhnya untuk menyokong Mohd Azahar," katanya. - Bernama


Pelajar Jilat Darah Sendiri Dan Cuba Terjun Dari Bangunan Sekolah (updated)

Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar, dekat sini, yang dipercayai diserang histeria bertindak luar dugaan apabila berdiri di koridor bangunan sekolah itu sebelum cuba untuk terjun, semalam.

Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu mengakibatkan hampir 1,000 pelajar sekolah itu terpaksa berhenti memberi tumpuan dalam kelas selepas melihat aksi menakutkan pelajar terbabit yang turut berlari atas koridor sambil mendepakan tangan seperti mahu terjun.

Lebih mencemaskan, pelajar terbabit yang dikatakan tiba-tiba menjerit kelihatan seperti hilang akal turut mencabut sekeping cermin tingkap kelas sebelum membaling ke bawah hingga menyebabkan tangannya cedera.

Rakan sekelas mangsa yang enggan dikenali, berkata dia yang melihat kejadian itu tergamam apabila rakannya itu menjilat darah yang mengalir di tangannya akibat tercedera ketika membaling cermin berkenaan.

“Tidak cukup dengan itu, dia turut bertindak agresif dengan membuka tudung lalu melemparkan ke bawah sambil kedua-dua kaki memijak lantai koridor seperti mahu terjun.

“Kejadian terlalu pantas menyebabkan sesi pembelajaran terganggu, malah saya sendiri tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian,” katanya yang masih terkejut dan trauma dengan kejadian itu, semalam.

Menurutnya, dia terpaksa menjauhkan diri kerana bimbang turut diserang histeria selain berdoa semoga terselamat daripada serangan histeria itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Md Nor Mansor, berkata sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Temerloh, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan polis bergegas ke tempat kejadian dalam usaha menyelamatkan pelajar terbabit.

Menurutnya, pengurusan SMK Abu Bakar turut bertindak meletak beberapa keping tilam bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Katanya, pada masa sama, beberapa ahli keluarga mangsa yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan cuba memujuk mangsa, namun gagal sebelum pelajar terbabit diselamatkan pasukan penyelamat.

Beliau berkata, pelajar terbabit kemudian dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hohah) untuk menerima rawatan.

Pegawai Pelajaran Daerah, Mohd Nadzri Ab Wahab, berkata pada masa sama, beberapa pelajar lain turut terkena histeria, tetapi keadaan terkawal dan pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana pantas mengambil tindakan.

ANGGOTA bomba cuba menyelamatkan pelajar yang diserang histeria di Sekolah Menengah Kebangsaan Abu Bakar di Temerloh semalam.


Yang GB siarkan semalam:

Cemas: Pelajar Tkn 3 Ingin Terjun Dari Tingkat 2 Bangunan Sekolah (updated)

[Bergambar] Protes Merebak Ke Algeria & Yaman. Pemimpin UMNO Perlu Buka Mata.

Algeria, Yaman pula dilanda protes

POLIS anti rusuhan mengawal tunjuk perasaan di Algiers, ibu kota Algeria, semalam.

Tokoh Mesir sokong bantahan ala Tunisia

Di Algiers, polis rusuhan memakai topi keledar bersenjatakan cotar dan perisai kelmarin bertempur dengan perusuh yang membaling batu dan kerusi ketika cuba berarak sebagai melawan larangan perhimpunan awam.

Sekurang-kurangnya 19 orang cedera, kata pegawai kerajaan. Tetapi, seorang pegawai parti pembangkang meletakkan angka itu lebih 40 orang.

Algeria adalah antara beberapa negara Afrika Utara dan Asia Barat dilanda bantahan terhadap pemimpin autokratik masing-masing selepas seorang pemuda Tunisia membakar diri bulan lalu, mencetuskan gelombang penentangan yang menyebabkan diktator Tunisia lari ke luar negara.

Penganjur bantahan parti pembangkang demokratik, Parti Budaya dan Demokrasi RCD membaluti sehelai bendera Tunisia bersebelahan bendera Algeria pada balkoni ibu pejabat parti, tempat perarakan bermula.

Polis rusuhan dengan sebuah helikopter dan trak pengawal orang ramai menutup pintu keluar untuk memastikan mereka yang berarak tidak dapat meninggalkan bangunan dan menyerang sesiapa yang cuba keluar. Di luar, beberapa lelaki muda mengibarkan bendera nasional dan melaungkan ‘Kuasa Pembunuh!.’

“Saya seorang tahanan dalam ibu pejabat parti,” kata Said Sadi, seorang bekas calon presiden yang mengetuai Perhimpunan RCD, menerusi pembesar suara dari tingkap balkoni.

Penunjuk perasaan menjerit ‘Berambus Boutef!’ merujuk kepada Presiden Abdelaziz Bouteflika, mengulangi penentangan ke atas Presiden Tunisia Zine El Abidine Ben Ali yang lari ke Arab Saudi 14 Januari lalu selepas bantahan besar-besaran di jalan raya Tunisia.

Kementerian Dalam Negeri menganggarkan, mereka yang berarak sekitar 250 orang.

Sembilan orang ditahan, termasuk sesetengah memiliki pisau yang dilarang.

Seorang jurucakap parti, Mohcine Belabbas, berkata 42 penunjuk perasaan dibawa ke hospital untuk dirawat kerana cedera. Pemimpin parti di parlimen, Atmane Mazouz, dipukul di muka dengan cota polis.

Di ADEN, Yaman, ribuan penduduk Yaman yang bosan dengan pemerintahan 32 tahun presiden mereka menuntut pengusirannya kelmarin dalam bantahan yang jelas cabaran besar pertama terhadap diktator terbabit.

Bantahan di Yaman pertama seumpamanya. Ramai penduduk negara itu tidak puas hati kerana kerajaan dilihat mengamalkan rasuah dan dikecam kerana bersekutu dengan Amerika Syarikat dalam memerangi al-Qaeda, ada kebebasan berpolitik dan kekurangan bekalan air.

Kira-kira 2,500 pelajar, aktivis dan kumpulan pembangkang berkumpul dan melaungkan slogan menentang Presiden Ali Abdullah Saleh serta membandingkannya dengan Ben Ali, yang mana penduduk berang dengan kesukaran ekonomi dan rasuah dalam kerajaan.

“Berambus, Ali. Sertai rakan anda Ben Ali,” penentang melaungkan.

Di BERLIN, bekas ketua pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Mohamed ElBaradei, berkata pembangkang di Mesir perlu mengikuti jejak langkah penggulingan Presiden Tunisia.

“Jika rakyat Tunisia sudah lakukannya, rakyat Mesir perlu lakukan perkara sama,” katanya kepada Del Spiegel dalam temuramah.

Ketika Mesir terjejas akibat masalah sosial dan menyaksikan beberapa penduduk membakar diri selepas bantahan di Tunisia, ElBaradei menuding kepada perbezaan besar antara kedua negara Afrika utara itu. – AP/AFP

Ulasan GB

Apabila kerajaan terus bergelumang dengan korupsi, rasuah dan menzalimi rakyat, rakyat akan tetap bangkit. Tidak kira di negara mana hatta di negara Malaysia ini sekalipun.