Pemandu tiada lesen KUALA LUMPUR: Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan di Genting Sempah, Kilometer 36, Lebuhraya Karak, semalam, sehingga menyebabkan tujuh kematian daripada 44 mangsa, disahkan tidak memiliki lesen memandu bas.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, pemeriksaan mendapati pemandu bas berkenaan, Muthumani Subramaniam, 40, menipu mengenai dakwaan kononnya lesen memandunya hilang.
“Ketika ditemui di lokasi kejadian, dia (pemandu) mendakwa lesen bas miliknya hilang kerana takut dan cuba menyelamatkan diri selepas terbabit dalam kemalangan itu.
“Polis melakukan semakan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan akhirnya mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki lesen memandu bas.
“Berikutan itu, dia akan direman selama empat hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan,” katanya.
Difahamkan, pemandu yang direman itu patah kaki kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Sementara itu, Ketua Polis Trafik Selangor, Superintendan Che Husin Omar berkata, pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh mengenai insiden berkenaan sebelum membuat kesimpulan mengenai punca sebenar kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, kita percaya bas terbabit dipandu laju selain mengalami masalah kerosakan brek.
“Ini berdasarkan kerosakan yang berlaku terhadap bas itu selain penemuan minyak di lokasi kejadian, dipercayai daripada sistem brek,” katanya.
Che Husin berkata, pihaknya juga akan meneliti kotak hitam bas itu bagi mengenal pasti kelajuan sebenar bas itu ketika kejadian.
“Malah, kita juga akan merakam percakapan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu bas terbabit.
“Orang ramai, terutama media, diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya.
Tinjauan wartawan Metro Ahad di HKL mendapati sembilan mangsa, termasuk kedua-dua pemandu, dikejarkan ke sini selepas terbabit dalam kemalangan.
Difahamkan, tiga mangsa dibenarkan keluar kira-kira jam 4 pagi semalam selepas diberikan rawatan.
Sementara itu, di SUBANG JAYA, siasatan punca nahas bas rombongan penduduk Kampung Baru, Mukim Siong, Baling, yang terbalik berhampiran terowong Genting Sempah, dekat Genting Highlands, kelmarin, akan diketahui dalam tempoh dua minggu.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, banyak faktor perlu diambil kira seperti pemandu bas, tayar kenderaan, keadaan bas mahupun struktur jalan raya yang boleh menyumbang kepada kejadian berkenaan yang mengorbankan tujuh orang.
“Kemalangan boleh dielak jika mereka mengikut peraturan ditetapkan dan tidak mementingkan diri,” katanya sewaktu menghadiri majlis Pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Deepavali di galeri Mufors, di sini, semalam. -hm Grafik: BH
Kemalangan maut di Genting: Bas buruk
BALING - Keluarga tujuh mangsa yang maut dalam kemalangan bas pelancongan di KM38 Genting Sempah dekat Kuala Lumpur malam tadi mendakwa bas yang dinaiki mangsa adalah bas buruk dan bukannya bas yang dijanjikan syarikat terbabit sebelum ini.
Kebanyakan anggota keluarga yang ditemui di Kampung Baru, Mukim Siong di sini reda dengan kejadian itu tetapi kesal kerana pihak syarikat bas berkenaan tidak menunaikan janji seperti yang dibuat.
Mustaffa Ibrahim, 60, berkata, keluarganya menerima kejadian yang menimpa anaknya Mohd Fahmi, 17, itu sebagai takdir tetapi kesal apabila mendapat tahu bas yang sepatutnya membawa rombongan itu digantikan dengan bas buruk.
"Saya reda dengan ketentuan Ilahi, tetapi kesal kerana bas yang mereka naiki untuk rombongan itu bukan bas yang dijanjikan oleh pihak syarikat bas itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.50 malam tadi, sebuah bas yang membawa 44 anggota Belia 4B dari Kampung Baru Siong terbabit dalam kemalangan ketika menuruni bukit selepas bertolak dari Genting Highlands.
Mereka yang maut adalah ketua rombongan, Mohd. Zaidi Mohd. Sufian, 28, yang merupakan seorang guru agama, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Selayang, Selangor semalam.
Sementara enam lagi terdiri daripada Mohammad Amirul Mohamat Isa, 13, Mohamad Khairy Mohamad Marzali, 14, Mohamad Yussof Akhil, 16, Mohamed Firdaus Rosedi, 16, Mohd Fahmi Mustaffa, 17, dan Mohd Ridzuan Husin, 17, yang meninggal dunia di tempat kejadian.
Mustaffa berkata, semua mangsa yang maut mempunyai hubungan keluarga antara satu sama lain. - Bernama