14 Jan 2014

"Sultan Candy Crush" Melaka Ditahan Polis...

Jasin - Individu yang mendakwa dirinya Sultan Melaka, Raja Noor Jan Shah telah ditahan di Jeti Anjung Batu, Serkam kira- kira jam 10.45 pagi tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Penahanan itu berlaku susulan satu laporan polis dibuat oleh Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) di Balai Polis Ayer Keroh, petang semalam, bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat dakwaan Noor Jan yang mengaku sebagai Sultan Melaka.

Laporan polis yang dibuat itu diketuai Presiden MGBM, Zali Mat Yasin dengan diiringi beberapa ahli EXCO majlis belia berkenaan, antara lain memohon supaya polis bertindak segera ke atas individu terbabit bagi mengelak lebih ramai masyarakat keliru dengan dakwaan dibuatnya selama ini.

Sementara itu, semalam, kerajaan negeri meminta pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas seorang ahli perniagaan yang mendakwa sebagai Sultan Melaka kerana ia mencabar Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata selain itu, tuntutan individu itu juga mencemar institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi ketua bagi Negeri Selat membabitkan Melaka dan Pulau Pinang selain Sabah serta Sarawak.

“Noor Jan didapati mencabar Perlembagaan yang digubal dan dipersetujui secara bersama oleh semua pihak di negara ini dan tiada sebab beliau mahu menafikan apa yang sudah ditetapkan dalam perlembagaan itu.

“Sekarang, sudah sampai masanya pihak berkuasa bertindak mengikut undang-undang sedia ada bagi memastikan tiada orang ramai yang keliru dan terpedaya dengan gelagat beliau,” katanya, menurut sumber RakyatNews.


Pelajar Praktikal Dakwa Kena Raba Dengan Timb Pengarah

Seremban – Timbalan Pengarah sebuah jabatan, didakwa mencabul seorang pelajar praktikal di pejabatnya di Wisma Persekutuan, di sini.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku minggu lepas terbongkar selepas pelajar berusia 20-an itu mengadu kepada kakitangan jabatan berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian hanya mangsa dan suspek berada dalam sebuah bilik di pejabat berkenaan.

“Ketika mangsa sedang membuat kerja, suspek secara tiba-tiba menghampiri mangsa lalu mengusap pipi mangsa sebelum tangannya merayap ke anggota badan lain.

“Mangsa kemudian menepis tangan suspek kerana tidak selesa dengan kelakuan timbalan pengarah berusia lingkungan 40-an itu. Namun suspek tidak mengendahkannya lalu meneruskan niat jahatnya itu dengan penuh ghairah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa yang berasal dari Jelebu itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta di Pahang, baru menjalani latihan praktikal di pejabat berkenaan, kira-kira sebulan lalu.

“Akibat tindakan timbalan pengarah tersebut, mangsa kini dilaporkan trauma namun dipercayai masih menjalani latihan praktikal di situ.

“Kakitangan pejabat yang mengetahui mangsa dicabul menasihatkannya agar membuat laporan polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Zainal Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua seksyen ini jika sabit kesalahan. -SH

MIC: Pemuda UMNO Biadab Tumbuk Timbalan Menteri


MIC hari ini menggesa tindakan diambil ke atas ahli Umno yang menumbuk Timbalan Menteri Pendidikan II P. Kamalanathan dalam satu mesyuarat di Hulu Selangor pada Ahad lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pemuda MIC Selangor Shanker Raj Ayanger meluahkan kekesalan yang amat sangat terhadap tindakan biadap ahli Pemuda Umno Hulu Selangor dan menggesa polis campurtangan untuk mengambil tindakan.

“Lelaki ini telah mengundang malu kepada seluruh sayap pemuda Barisan Nasional (BN) dengan apa yang telah dilakukannya. Kepimpinan Umno mesti campurtangan dan mengambil tindakan terhadap ahli tersebut.

“Dia juga mesti diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Kamalanathan,” katanya.

Insiden tersebut dilaporkan berlaku dalam satu mesyuarat cawangan Umno di Hulu Selangor pada Ahad yang mana Kamalanathan selaku Ahli Parlimen Hulu Selangor turut menghadiri mesyuarat itu.

Timbalan menteri itu dilaporkan dikasari selepas lelaki berkenaan berang kerana Kamalanathan tidak mengendahkan permintaan pertukaran anaknya yang juga merupakan seorang guru dari Johor ke Hulu Selangor.

Ketua Polis Hulu Selangor Supritendan Shukri Yaacob berkata Kamalanathan membuat laporan polis selepas kejadian itu dan polis masih menyiasat. -TMI

Laporan sebelum ini
klik untuk baca

P.Kamalanathan Terlentang Di Hospital Ditumbuk Setiausaha Pemuda UMNO Bhgn Hulu Selangor


Timbalan Menteri Pendidikan II merangkap Ahli Parlimen Hulu Selangor, P.Kamalanathan terlentang di hospital kerana ditumbuk oleh Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor ketika beliau menghadiri sebuah program di Pusat Khidmat di Hulu Selangor hari ini.

Menurut saksi, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2 petang ketika Ahli Parlimen Hulu Selangor itu tiba di Pusat Khidmat Parlimen beliau untuk berjumpa dengan sekumpulan anggota Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor yang dipercayai mengadakan mesyuarat bahagian.

Penyerang itu dikatakan seorang yang mempunyai jawatan penting dalam Pemuda Bahagian Hulu Selangor dipercayai telah menumbuk muka Kamalanathan ketika Ahli Parlimen itu sedang berjabat tangan dengan sebilangan anggota pergerakan itu sejurus tiba di pusat khidmat sebelum program bermula.

Difahamkan punca suspek menumbuk Kamalanathan ada kaitan dengan isu permohonan pertukaran tempat kerja dari Johor ke Hulu Selangor melibatkan salah seorang saudara dalam keluarganya yang dipercayai bekerja sebagai guru di Johor.

Ekoran insiden mengejut itu, program yang sepatutnya berlangsung terpaksa dibatalkan dan Kamalanathan telah membuat laporan mengenai kejadian berkenaan di Balai Polis Bukit Sentosa, Rawang.

Menurut sumber, difahamkan suspek yang menyerang Kamalanathan telah ditahan polis dan kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Isu ini turut "mendedahkan" hal-hal lain berkaitan dengan "hubungan asam" UMNO-MIC sehingga ada yang tergamak memanggil timbalan menteri berkenaan dengan panggilan yang menghinakan - "kicap". (UMNO memang suka menggelar, kaum Cina dipanggil sepet. Begitulah rasisnya UMNO!). Bacalah: