13 Jun 2010

BN Lebur Tanpa Sabah Dan Sarawak Sebagai "Simpanan Tetap"nya

Mitos Sabah, Sarawak Sebagai 'Fixed Deposit' BN Semakin Terhakis

Mitos Umno-Barisan Nasional yang menganggap Sabah dan Sarawak sebagai simpanan tetap atau 'fixed deposit' bagi parti itu untuk terus berkuasa semakin terhakis apabila Umno Bahagian Tenom hampir berkubur dengan kemasukan ramai ahli dan penduduk kawasan itu ke dalam KEADILAN.

Salah seorang tokoh KEADILAN Sabah, Datuk Halik Zaman menyifatkan perkembangan terbaru ini sebagai tanda Umno-BN di Sabah ditinggalkan rakyat.

"Sokongan semakin meningkat kepada KEADILAN. Dalam beberapa hari lagi kita akan menganjurkan majlis untuk meraikan kemasukan ahli baru di Kinarut dan Kimanis," kata Halik.

Kelmarin pejabat KEADILAN Cabang Tenom dibanjiri dengan kehadiran lebih 30 orang penduduk dari beberapa buah kampung untuk mendaftar nama mereka sebagai ahli parti.

Kawasan tersebut dikenali sebagai kubu kuat BN.

Penduduk kampung di Lagud, Sapong dan Kuala Tomani menyertai KEADILAN memandangkan wakil rakyat BN yang mewakili mereka selama ini tidak ingin mengambil tahu hal kebajikan masyarakat.

"Pelbagai isu yang dibangkitkan terutamanya tentang kos dan sara hidup yang tinggi, kenaikan harga barangan keperluan asas dan tarif air dan elektrik merupakan isu utama yang menyebabkan mereka kecewa dengan pentadbiran Umno-BN," kata Halik lagi.

Kebanyakan daripada mereka telah di janjikan dengan pelbagai tawaran, namun janji hanya tinggal janji. Halik berkata tidak ada tindakan dan perhatian yang diberikan oleh Umno-BN dan rakyat Sabah berharap sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada PRU ke-13 kelak, nasib dan kebajikan mereka akan terbela.

Ketua Cabang Tenom, Gosibin Yasundang memberitahu Suara Keadilan masih ada kawasan di daerah itu seperti Kemabong dan Menining yang masih belum mendapat kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik.

"PM Najib ada mengatakan tentang pembangunan yang akan diusahakan di kawasan ini, namun sehingga hari ini tiada apa yang berlaku. Kami kecewa kerana telah lama menunggu janji-janji itu," kata Gosibin.

Isu permohonan geran tanah dan perumahan PPRT turut menjadi tuntutan penduduk sejak sekian lama.

Manakala kawasan hutan berhampiran daerah Tenom yang diteroka oleh Sabah Forest Industry membuatkan penduduk tempatan mempersoalkan pelaburan tersebut yang seolah-olah tidak memberi pulangan kepada mereka.

"Orang yang kaya, makin kaya. Tetapi orang miskin tidak dipedulikan," katanya.

Antara isu penting lain yang menjadi permasalahan penduduk adalah kegagalan anak penduduk untuk mendapatkan surat beranak dan kad pengenalan.

Gosibin bimbang perkara ini akan menjejaskan masa depan mereka, terutamanya apabila melibatkan proses permohonan untuk mendaftarkan nama mereka di sekolah.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut gusar dengan kehadiran begitu ramai pendatang asing tanpa izin di kawasan mereka.

Beliau bimbang dengan kemungkinan peningkatan jenayah kerana pemantauan pihak berkuasa adalah sangat minima.

"Jadi harapan kami agar Pakatan Rakyat dapat membawa isu ke peringkat atasan bagi membela nasib kami," rayu Gosibin. -SK

Muktamar Berakhir Dengan 6 Usul

Para perwakilan hari ini meluluskan enam usul pada hari terakhir Muktamar Tahunan PAS Ke 56 di Pusat Tarbiyah Islamiyyah Kelantan (Putik) di sini.

Enam usul berkenaan ialah pindaan perlembagaan; usul kedaulatan negara; usul memansuhkan judi sukan; usul pemerkasaan parti; usul Palestin dan usul persediaan menghadapi pilihan raya umum ke 13.

Jawatankuasa Kerja PAS pusat membentangkan dua usul iaitu usul pindaan perlembagaan dan usul kedaulatan negara, Pemuda PAS pusat (usul memansulkan judi sukan), dewan muslimat PAS (usul Palestin), PAS kawasan Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut, Bandar Tun Razak dan Shah Alam (usul persediaan menghadapi pilihanraya umum ke 13).


Usul jawatankuasa PAS Pusat ialah:

* Memansuhkan fasa 43 (5) iaitu bayaran RM5 untuk mendaftar sebagai ahli dewan.
* Mengutuk tindakan kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Umno/BN yang menyerahkan blok L dan M kepada kerajaan Brunei yang mengandungi nilai minyak RM320 bilion.
* Mengecam tindakan yang merugikan rakyat dan negara yang memberi hak milik tanah KTMB seluas 271 hektar di Tanjung Pagar, Bukit Timah dan Woodland kepada Singapura.
* Mendesak perkara penting untuk rakyat dan negara perlu dibincang dalam parlimen bukan hanya dilulus oleh seorang perdana menteri sahaja yang berbincang.
* Mendesak kerajaan memutuskan dengan segera kontrak dengan Apco demi keselamatan dan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh Israel.

Usul dewan Pemuda PAS pula ialah:

* Mendesak kerajaan memansuhkan judi sukan, mengetatkan penguatkuasaan terhadap undang-undang judi dan mendidik rakyat membenci judi.
* Mendesak PAS memobilasi semua rakyat turun ke himpunan 100,000 mansuhkan judi bola pada 3 Julai depan. Usul dewan Ulamak ialah:
* Memastikan dasar dan prinsip perjuangan PAS dipertahankan di samping mengukuhkan Pakatan Rakyat.

Usul dewan Muslimat PAS pusat:

* Mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap tentera Israel yang melakukan serangan ganas ke atas misi kemanusiaan Gaza.
* Berdiri teguh dan menyokong penuh di belakang wanita Palestin dan keluarga mereka dalam menegakkan keadilan yang telah diceroboh oleh Israel dengan siap siaga membantu mereka dari semua pihak termasuk menghantar sukarelawan muslimat ke Gaza.
* Menetapkan PAS dan Pakatan Rakyat menjuarai penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke bumi Gaza mensasarkan misi 1,000 armada bantuan pada satu-satu masa.
* Mendesak kerajaan melaksanakan ketetapan usul yang yang dibentangkan di parlimen pada 7 Jun yang berkaitan isu keganasan Israel.
* Mendesak kerajaan mengiktiraf kemenangan Hamas sebagai kerajaan dan wakil yang sah.
* Menggesa rakyat memboikot barangan Israel sebagai usaha melumpuhkan ekonomi negara Israel.

Usul PAS Kubang Kerian, Pokok Sena, Kubang Pasu, Jerantut, Bandar Tun Razak dan Shah Alam:

PAS memenangi seberapa banyak kerusi parlimen menggantikan kedudukan Umno sebagai teras utama politik dengan membongkar kepalsuan perjuangan Umno khususnya kepada pengundi Melayu di pedalaman.

PAS melalui jabatan pilihanraya PAS pusat merangka strategi gerak kerja pilihanraya dari sudut daftar pemilih, kewangan, latihan kepimpinan jentera pilihanraya secara profesional dan menguruskan isu.

PAS pusat mencadangkan kepada majlis pimpinan Pakatan Rakyat bagi mewujudkan polisi pemilihan calon yang ketat, munasabah dan relevan bagi mengelakkan gejala lompat parti dan sekaligus mempamerkan wibawa serta keupayaan calon pada pandangan pengundi. -FMT

Hanipa Tak Yakin Dapat Keadilan Bila Saman Najib-Apco

Penasihat Undang-Undang Pas Mohamed Hanipa Maidin berpandangan rakyat Malaysia tidak mungkin berjaya menyaman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atas isu persekongkolan kerajaan Malaysia dan firma perunding Apco-Worldwide.

Berucap kepada perwakilan ketika mengulas cadangan perwakilan dari Tambun hari ini, Hanipa berkata institusi mahkamah negara gagal menunjukkan ia mampu berlaku adil dan saksama dalam kes-kes membabitkan Presiden Umno itu.

Perwakilan Tambun hari ini mengemukakan cadangan supaya Parti Islam SeMalaysia memfailkan saman terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak atas isu Apco.

Hanipa berkata sekalipun Pas mempunyai bukti yang kuat untuk menjustifikasikan tindakan saman itu, namun mahkamah Malaysia belum mempunyai keberanian untuk mengadili pemerintah secara tegas, adil dan saksama.


Ulasan GB
Benar, dengan sistem kehakiman negara yang begitu parah dilacurkan, apa yang diharapkan darinya?

"Palace of Justice" bukan lagi tempat untuk rakyat mendapatkan kebenaran dan keadilan. UMNO BN telah melacurkannya sekian lama dan ia semakin parah edi era Najib menjadi PM. Correct?


Parti Hendaklah Bergerak Dengan Kehendak Ahli, Bukan Kuasa "Orang-orang Presiden"

Gara-gara terlalu lantang mengkritik parti, perwakilan PAS Temerloh, Amirruslan Manaf terpaksa menarik balik kenyataannya yang mendakwa Perlembagaan PAS yang ada semalam diciplak daripada Perlembagaan Umno.

Dakwaannya bahawa PAS hanya melakukan penambahbaikan daripada apa yang dilakukan Umno mengikut kesesuaian parti tidak disenangi para perwakilan.

Bagaimanapun, dia menarik balik kenyataannya itu apabila diminta oleh Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail kerana wujudnya gesaan daripada para perwakilan yang mempersoalkan kesahihan dakwaan yang dianggap tidak berasas.

Ketika membahaskan usul memperkasakan parti yang dikemukakan Dewan Ulama PAS, Amirruslan berkata, asas kepada dakwaannya itu dapat dilihat apabila beberapa dasar yang diamalkan PAS seperti memberi sepenuh kuasa kepada Presiden parti sama seperti apa yang diamalkan Umno.

"Konsep ini diciplak, maka tidak dinafikan Perlembagaan PAS kita diciplak dari Umno, cuma kita tambah perkataan 'Islam'," katanya di sini hari semalam.

Malah beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar agar jumlah jawatan Naib Presiden ditambah kepada lima dengan memberi kuasa kepada Presiden untuk melantik dua kerusi bagi jawatan itu dengan berkata, PAS adalah sebuah parti yang tidak mengikut perubahan rakyat.

Sebaliknya beliau menyifatkan Umno lebih kehadapan dalam soal perubahan apabila memberi peluang kepada kira-kira 380,000 ahlinya untuk memilih Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti.

"Idea Datuk Mahfuz seolah-olah memberikan kuasa penuh kepada Presiden dan jawatankuasa PAS Pusat, ini sesuatu yang tidak mengikut perubahan rakyat.

"Kita mestilah menerima perubahan yang berlaku supaya parti bergerak dengan kehendak ahli, bukannya dengan kuasa 'orang-orang Presiden'," katanya.
-MSTAR