10 Feb 2010

Juara Rakyat: Heret Ahmad Maslan Dan UMNO Ke Muka Pengadilan

Banyak pihak hari ini menggesa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) supaya membuat laporan polis dan SPRM terhadap UMNO dan Ketua Penerangan UMNO yang menyalahgunakan agensi kerajaan untuk kepentingan politik UMNO.

Hari ini, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan tidak menjadi kesalahan untuk Juara Rakyat menggunakan agensi-agensi Kerajaan.

Dengan angkuh beliau berkata, tuduhan bahawa Umno menyalah gunakan agensi kerajaan dalam pelaksanaan program Juara Rakyat tidak berasas sama sekali, dan tidak perlu dilayan. Umno menurutnya, mengambil pendekatan untuk hanya 'memekakkan telinga'.

Tambahnya lagi, program Juara Rakyat pada dasarnya adalah pemudah cara kepada semua agensi kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mendekati rakyat, sekaligus menepati konsep pentadbiran negara ketika ini iaitu rakyat diutamakan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini telah menempelak pemimpin Umno supaya menjelaskan kepada rakyat bahawa semua projek dan program yang dilaksanakan dalam siri kempen Umno Juara Rakyat adalah menggunakan wang, kepakaran dan jentera Umno sendiri.

“Barulah boleh Umno dabik dada kata dia juara rakyat. Kalau tidak, dia hanya jadi juara menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan politik Umno yang kian pudar dan mulai pupus,” ujarnya.

Mengulas program Umno Juara Rakyat, beliau berkata kemungkinan pemimpin Umno menyedari parti itu dilihat terlalu jijik oleh rakyat sehingga menolak Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

“Yang menghairankan saya kenapa mesti Umno Juara Rakyat. Bukankah Umno bersama BN memerintah Malaysia. Tidakkah Umno sedar yang ditolak oleh rakyat ialah kerajaan BN,” ujarnya.

Nampaknya, kata beliau, pemimpin Umno hanya mahu rakyat melihat Umno saja yang juara rakyat dan bukannya BN.

“Atau pemimpin Umno memang sedar faktor penolakan rakyat terhadap BN adalah kerana Umno yang sudah dilihat terlalu jijik oleh rakyat.

“Mungkin inilah jawapannya sehingga Umno terpaksa bertungkus lumus untuk menampakkan yang Umnolah juara rakyat,” katanya.

Baginya, program yang dilancarkan oleh Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Hulu Selangor itu merupakan usaha Umno yang terdesak untuk mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada parti itu.

Ini, katanya seperti yang dinyatakan oleh Najib bahawa Umno sudah insaf atas segala kesilapan masa lalu selepas keputusan PRU ke-12.

“Saya tak kisah kalau Umno nak ajak rakyat kata dia juara rakyat itu hak dia sebagai parti politik. Memang semua parti politik berusaha untuk mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

“Persoalannya ialah kalau Umno nak mengaku yang dia juara rakyat, adakah program dan projek yang dia buat dalam kempen Umno Juara Rakyat menggunakan wang, tenaga, kepakaran dan lainnya dari Umno sendiri,” ujar Mahfuz lagi.


Rosmah Kekal Canselor Unisel Sehingga Hujung Tahun - MB

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor masih kekal sebagai Canselor Universiti Industri Selangor (UNISEL), sehingga hujung tahun ini, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Masih... masih... masih sehingga hujung tahun ini" katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman berita web, Malaysiakini, yang memetik Exco Kerajaan Negeri Dr Xavier Jayakumar sebagai berkata bahawa Rosmah tidak akan dilantik semula sebagai canselor selepas tempoh lantikannya tamat Jun ini.

Jayakumar berkata kerajaan negeri belum lagi membuat keputusan tetapi perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Besar secara tidak rasmi.

Abdul Khalid berkata sama ada Rosmah akan dilantik semula atau tidak sebagai canselor universiti milik kerajaan negeri itu, bergantung kepada keputusan lembaga pengarah universiti itu. - BERNAMA

Ulasan GB

Kerajaan PR bukan sebusuk kerajaan UMNO BN, cantas sesuka hati.

Teringat kita kepada Tan Sri Sanusi Joned disingkirkan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa oleh kumpulan Pak Lah kerana Sanusi merupakan orang kuat TDM.

Dia sesama dia juga singkir menyingkirkan.


Peguam Negara Peram Hasil Siasatan SPRM?

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abu Kassim Mohamed berkata siasatan badan itu berhubung beberapa kes berprofil tinggi telah disempurnakan dan kini diserahkan kepada Pejabat Peguan Negara untuk tindakan, demikian lapor malaysiakini.

Kes-kes itu termasuk yang membabitkan bekas menteri besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo dan bekas menteri pelancongan, Datuk Azalina Othman Said.

"Saya berharap keputusan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.

Menurut Abu Kassim, pihak peguam negara perlu menjelaskan kepada panel penasihat SPRM jika tiada tindakan diambil dalam tempoh enam bulan selepas siasatan diserahkan.

“Mengikut suruhanjaya baru, apa yang dipendam oleh AG melebihi enam bulan mesti dijelaskan kepada jawatankuasa penilai. Mereka mempunyai hak untuk mengetahui,” katanya.

Abu Kassim berkata demikian semasa pertemuan sejam antara anggota panel penasihat SPRM dengan pengarang kumpulan Malaysiakini, Steven Gan, minggu lalu.

Ulasan GB

Jika demikian halnya, GB merasakan bahawa desakan kuat perlu dilakukan ke atas Peguam Negara supaya kes-kes profail tinggi itu diambil tindakan segera. Hal ini juga perlu dibawa ke Parlimen.

Aduan juga perlu dilakukan kepada SPRM terhadap Peguam Negara, Abd Gani Patail, supaya Abdul Gani Patail disiasat mengapa melengah-lengahkan pendakwaan. Dan jika selepas enam bulan tiada pendakwaan, dikatakan peguam negara perlu menjelaskan kepada panel penasihat SPRM. Itu tidak memadai. SPRM boleh dipermainkan oleh Peguam Negara juga akhirnya. Peguam Negara tiba-tiba menjadi orang yang menentukan samada kes itu perlu didakwa atau pun tidak.

Dalam banyak hal, penyalah-gunaan kuasa oleh Peguam Negara boleh berlaku malah sudah amat ketara dan keterlaluan.

Pakatan Rakyat perlu pantas berfikir dan bertindak.

Pakatan Rakyat perlu memainkan peranan pro-aktif mempastikan Peguam Negara dan Ketua Polis Negara bekerja berdasarkan etika professionnya dan bukan untuk kepentingan kerajaan BN.

Pakatan Rakyat perlu pastikan kedua-dua orang ini dilucutkan jawatan dan untuk tujuan itu PR perlu membuktikan mereka bekerja untuk kepentingan kerajaan dan bukan negara.

Bukti-buktinya banyak jika dibentuk satu "task-force" bagi tujuan berkenaan.

Tapi alahai, PR belum bersedia ke Putrajaya, sampai ketua dah nak kena penjara pun, ramai pemimpin PR masih terbuai dengan isu-isu buatan musuh.

Bukan GB saja, rakyat lemas ler pemimpin-pemimpin lembab macam Pak Lah dulu.

Tindkan Tegas Akan Diambil Ke Atas Zulkifli Nordin - DSAI

Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengenakan tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin berikutan kenyataan yang dikeluarkannya bertentangan dengan prinsip parti dan dasar Pakatan Rakyat (PR).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwear Ibrahim berkata, prinsip parti jelas bahawa hanya ahli yang mempersetujui dasar parti kekal dalam PKR.

“Itu dalam proses mesyuarat jawatankuasa disiplin dan kita akan tegas. Tidak mahu orang cari alasan untuk apa-apa, kita ikut prinsip saudara setuju pada dasar saudara kekal, tidak setuju tidak ada pilihan,’katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Zulkifli bahawa DAP tidak diperlukan dalam PR yang dianggap sebagai punca utama masalah dalaman yang melanda pembangkang.

Anwar dengan tegas menyifatkan kenyataan itu sebagai pendapat peribadi Zulkifli yang dimanipulasi media Umno untuk memecahbelahkan oarang Melayu dan Cina.

“Itu pendapat peribadi dia yang bertentangan dengan pendirian pimpinan dan dasar Pakatan Rakyat serta Keadilan. Dalam konvensyen baru-baru ini PR telah memutuskan untuk menerima tiga-tiga parti induk PKR, Pas dan Dap menerima beberapa prinsip asas perlembagaan, nbaik bahasa, hak istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-raja.

“Tapi dipermainkan media Umno untuk memecahbelahkan diantara Melayu dan Cina dan ini diteruskan. Media Umno memperbesarkan seolah-olah DAP menetang hak ke istimewaan orang Melayu. Ia tidak berbangkit kerana pimpinan DAP, Keadilan dan Pas telah menandatangani bersama,”katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata beliau tidak menghalang sekiranya Pas ingin mengadakan perbincangan dengan Umno dan Pakatan Rakyat sedia maklum mengenai perkara itu.

Katanya, bagaimanapun Pas tidak berganjak dengan pendirian bersama Pakatan Rakyat untuk menengakkan prinsip mereka.

Terdahulu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan hasrat untuk melihat Umno dan Pars duduk semeja membincangkan isu berkaitan agama Islam.-YUSMAWATI MHD YUSOF (TVS)


Pakatan Rakyat tak perlu DAP

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengibaratkan DAP duri dalam daging bagi Pakatan Rakyat (PR) dan sebenarnya tidak diperlukan langsung.

Beliau berkata, apa yang ada kini hanyalah persepsi iaitu PR tidak boleh bergerak jauh tanpa DAP kerana menyangka tidak akan menerima undian daripada bukan Melayu.

"Sebenarnya pada pandangan saya, kita tidak perlukan langsung DAP....PR perlu bertegas dalam meneruskan pimpinan agenda rakyat," katanya ketika program Soal Jawab bersama Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima yang juga Pengarah Eksekutif Editorial The New Straits Time Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad A Talib di TV3, malam tadi.

Menurutnya, perbezaan ideologi antara ketiga-tiga parti ini mulai dikesan selepas keputusan pilihan raya umum ke-12 pada 2008 lalu yang sebelum ini diketepikan.

"Kita tidak dapat menjangka apakah perubahan drastik yang bakal berlaku dalam tempoh dua ke tiga minggu akan datang kerana keadaan menjadi kritikal apabila PKR mula bersuara mengenai kepemimpinan DAP di Pulau Pinang.

"Saya tidak akan terkejut jika ahli PR beramai-ramai membuat keputusan keluar parti yang mungkin bertindak secara individu atau mewujudkan parti baru.

Menjawab persoalan spekulasi keluar daripada parti, beliau berkata akan mengumumkan perkara berkenaan selepas perkara (keluar parti) itu sudah berlaku.

Malah beliau berkata, apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah permulaan kepada DAP menunjukkan belang sebenar dan agenda sendiri apabila ditukar 'Malaysia Malaysian' kepada 'Middle Malaysia'.

"Pada saya, 'Middle Malaysia' ini cuba menukar Malaysia menjadi seperti Macau dan Hong Kong, malah inilah masalah sebenar dalam PR yang cuba di selindungi dan kebanyakan masalah berpunca daripada DAP," katanya.


Beliau berkata, peletakan jawatan oleh Ahli Parlimen sebelum ini kerana tidak berpuas hati, malah kejatuhan PR di Perak juga berpunca daripada DAP namun kini wujudnya pemberontakan dalaman. -hmetro



Zulkifli tidak wakili PKR kecam DAP

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kritikan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang mendakwa DAP tidak diperlukan dalam perjuangan pembangkang adalah pandangan peribadi beliau semata-mata, bukan mewakili pandangan Pakatan Rakyat (PR) atau Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga enggan mengulas lanjut kenyataan Zulkifli kerana perkara itu menyentuh isu dalaman PKR, di samping tidak mahu ianya disalah tafsir mana-mana pihak.

Guan Eng berkata, meskipun beliau dikritik hebat oleh beberapa pemimpin PR kebelakangan ini, beliau menerima apa sahaja tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya, asalkan ianya tidak mewakili parti berkenaan.

“Saya enggan komen kenyataan Zulkifli (Nordin) kerana bimbang ianya menyentuh isu dalaman PKR.

“Lagipun saya tidak mahu kenyataan saya disalah tafsir oleh pihak tidak bertanggungjawab. Biarlah parti beliau (PKR) yang menentukan apakah hukuman yang sesuai ke atasnya memandangkan kesemua mereka yang mengkritik pemimpin PR yang lain sudah dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti,”katanya pada sidang media di sini semalam.

Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu itu yang mendakwa DAP tidak diperlukan dalam perjuangan pembangkang.

Zulkifli daripada PKR turut menyifatkan DAP sebagai ‘duri dalam daging’ yang sering menimbulkan banyak masalah dalam PR di samping menggesa, pemimpin tertinggi pakatan pembangkang bersikap lebih tegas dalam menangani isu itu.

Selain itu, Zulkifli turut mendakwa, wujud segelintir pemimpin dalam DAP yang mempunyai agenda sempit atau cauvinis. -SH


Ku Li: Nizar Masih MB Perak Yang Sah

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin masih lagi menjadi Menteri Besar Perak sehinggalah beliau meletakkan jawatan atas kerelaannya sendiri, atau disingkirkan melalui usul undi tidak percaya pada persidangan Dewan Undangan Negeri.

"Usul pada Dun sahaja yang boleh menyingkirkan Nizar daripada jawatan itu, selain itu tak kiralah berapa banyak majlis angkat sumpah, lompat-melompat, sidang akhbar dan perisytiharan, atau apa jua iklan, paparan, sogokan atau tindakan dibuat ke atas persoalan ini tidak terpakai," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

"Perlembagaan tiada memperuntukkan kuasa untuk menyingkirkan Nizar dengan apa cara sekalipun, termasuk petisyen atau arahan daripada sesiapa juapun."

Beliau juga berkata, sebuah kerajaan yang sah daripada segi perlembagaan adalah yang diberi mandat oleh rakyat dan hanya mandat itu yang menentukannya. Mandat rakyat kerana kerajaan yang ditubuhkan adalah berasaskan perlembagaan, yang mana ia dipilih melalui pilihan raya yang adil dan saksama.

"Untuk menguji mandat berkenaan maka kerajaan yang memerintah, mesti sama ada menyerahkan kembali kepada rakyat untuk menentukannya melalui pilihan raya negeri ataupun melalui usul undi tidak percaya pada persidangan dewan undangan negeri,’ kata Tengku Razaleigh.

Beliau berkata, untuk menyingkirkan dan menubuhkan kerajaan baru dengan kaedah ataupun cara selain itu adalah bererti melanggar Perlembagaan, melanggari undang-undang dan risiko menubuhkan sebuah kerajaan haram. -TVS

Ulasan GB

Dan Nizar dan PR di Perak sudah pun surrender, dah rela untuk jadi pembangkang.

"Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata Pakatan Rakyat mahu kerajaan negeri yang dipimpin Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memenuhi beberapa tuntuan mereka.

Beliau berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti gabungan pembangkang yang bermesyuarat malam ini juga menetapkan supaya mereka dibenarkan menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

“Kami merayu Adun pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat,” kata beliau.

Nizar berkata gabungan parti pembangkang itu bersedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Menteri Besar itu demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya." -MI

Norsaidi Seorang Sahaja Masuk UMNO

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin kedudukan parti itu di Wilayah Persekutuan tidak akan terjejas walaupun bendaharinya memutuskan untuk kembali ke pangkuan Umno malam tadi.

Setiausaha PKR Wilayah Persekutuan Azman Abidin berkata Norasidi Salim yang menyertai semula Umno tidak sampai 24 jam selepas meletakkan jawatannya sebagai bendahari tidak sama sekali akan menggugat parti itu untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Norasidi Salim bukan pemimpin utama PKR Wilayah, dia hanya menyertai kami selepas pilihan raya umum lalu dua tahun lalu, selepas PKR dan Pakatan Rakyat mencatat kejayaan besar di Wilayah.

“Jadi langkah beliau tidak akan mendatangkan kesan besar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.

“Sepanjang tempoh bersama PKR pun beliau tidak memberi apa-apa sumbangan kepada parti. Jadi kami tidak percaya ia akan menjejaskan kedudukan kami, Pakatan di sini,” kata beliau sambil menafikan 100 ahli PKR Bandar Tun Razak keluar parti bersama Norasidi.

“Laporan mengatakan 100 orang ahli dari bahagian Bandar Tun Razak keluar PKR adalah tidak benar. Berdasarkan maklumat yang ada pada saya, hanya Norasidi seorang sahaja ada jawatan dalam PKR Wilayah Persekutuan dan keluar parti,” katanya.

Laporan hari ini menyebut turut keluar bersama Norasidi ialah empat lagi anggota PKR iaitu Timbalan Ketua Bahagian PKR Putrajaya Azmi Hassan, Ketua Penerangan PKR Wilayah Persekutuan Ishak Hamzah, anggota jawatankuasa PKR Putrajaya Daud Ahmad dan penggerak reformis 1999-2008 Mohd Solleh Ibrahim.

Oleh itu, Azman menjelaskan, laporan bahawa Ishak adalah ketua penerangan juga tidak benar. “Ishak dan Azmi cuma ahli biasa, mereka tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti,” katanya. Malah semalam Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan Azmin juga menyifatkan Norasidi sebagai tidak relevan.

Semalam, Norasidi berkata keputusan itu diambil dengan rela hati tanpa desakan daripada mana-mana pihak. “Ia dibuat setelah difikirkan dengan masak-masak kedudukan kami dalam PKR dan menghalusi perjuangan parti.

“Apa yang kami dapati PKR tidak ada perjuangan membela rakyat yang jelas, malahan setiap tindak tanduk kepimpinan parti diselubungi oleh agenda persendirian,” kata beliau selepas menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Umno, yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu di dalam perkembangan berasingan, Sinar Harian melaporkan seramai 128 ahli UMNO menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam satu majlis penyerahan borang keahlian di Kampung Paku, Tanah Merah malam kelmarin.

Daripada jumlah berkenaan, 80 merupakan penduduk di Kampung Paku manakala selebihnya merupakan penduduk di Kampung Peralla dan Ladang Kerilla.

Penyerahan borang terbabit diserahkan oleh bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) Kampung Paku, Zainal Abidin Matmin kepada Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Kelantan merangkap Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail.

Zainal Abidin berkata, selama dia memegang jawatan sebagai PPM berlaku ketidakadilan yang amat ketara dan atas rasa ingin menegakkan keadilan, dia akhirnya tekad untuk meninggalkan UMNO.

“Sepanjang tujuh tahun berkhidmat sebagai PPM, saya rasa teraniayai dan penghijrahan ini saya lakukan atas kerelaan hati. Saya mengharapkan agar lebih ramai lagi penduduk di sini bersama kami menegakkan keadilan dan menyertai Pakatan Rakyat (PR) tidak kira sama ada PKR atau pun Pas yang mempunyai matlamat dan perjuangan yang sama,” katanya kepada :Sinar Harian:.

Sementara itu, Saifuddin berkata, dengan penyerahan borang terbabit menunjukkan bahawa kepercayaan masyarakat kepada PR semakin utuh.

“Penyertaan seramai 128 ahli malam ini (kelmarin) dalam PKR menunjukkan peningkatan ahli dalam parti sebanyak 360,000 orang di seluruh Malaysia.

“Dengan pertambahan jumlah ini, kita yakin dapat mencapai sasaran 500,000 ahli dalam PKR pada pertengahan tahun ini atas respons positif yang diterima,” katanya pada majlis ceramah Pakatan Rakyat ‘Kemasukan Ahli UMNO dalam Pakatan Rakyat’ di Kampung Paku di sini malam kelmarin.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohamad Zaki Ibrahim, Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani dan ADUN Gual Ipoh, Wan Yusoff Wan Mustafa.

Katanya, PKR kini dalam persiapan untuk mengadakan Mesyuarat Agung pada 1 hingga 3 Mac ini dan kongres pada bulan Mei bagi mempersiapkan jentera parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke -13 akan datang.


Negara Menuju Sistem Kuku Besi - Bekas Hakim

Mahkamah Persekutuan hari ini mungkin telah menafikan jawatan Datuk Seri Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak ; penghakiman bertulis kolektif yang baru di dedahkan ternyata penuh dengan kontradiksi, kata seorang pesara hakim.

Nizar, 53, yang sebelumnya dinyatakan Mentri Besar yang sah, kehilangan jawatan ketika tiga panel hakim Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Mei lalu.

Wakil Rakyat Pasir Panjang itu kemudiannya membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan dan meminta mahkamah mengatasi tiga isu berdasarkan Perlembagaan Perak, yang, dalam Bahasa Inggeris, diterjemahkan menjadi:

1. Adakah jawatan MB kosong apabila ia tidak mengundurkan diri; tidak seorang daripada rakan-rakannya mengusul tidak percaya terhadapnya , dia telah meminta Sultan supaya membubarkan DUN dan memulakan proses PRU yang baru dan ditolak.

2. Siapa yang memutuskan bahawa ia telah kehilangan kepercayaan daripada Dewan Undangan Negeri?

3. Siapa yang berhak untuk memecatnya jika dia enggan untuk mengundurkan diri?

Lima hakim mahkamah yang menjawab ialah Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, Tan Sri Arifin Zakaria, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Ghazali dan Datuk Mohd Yusoff Abdull Hamid Embong.

Dalam pengisytiharan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir sebagai MB Perak yang sah, yang diringkaskan koram jawapan mereka, pada akhir 40 muka halaman, sebagai berikut:

Ya. (Untuk kutipan: "Jawapan untuk soalan pertama akan berada di ya;)
Ya. ( "Adapun soalan kedua, jawapan kami adalah bahawa berdasarkan Perkara XVI (6) soalan tentang keyakinan dalam MB boleh ditentukan dengan cara selain usul tidak percaya di LA;")
Ya. ( "Adapun soalan ketiga jawapan kita adalah bahawa jika MB menolak untuk meletakan jawatan Exco di bawah Perkara XVI (6) bahawa MB dan ahli Exconya dianggap telah mengosongkan pejabat masing-masing.")

Melihat lebih dekat tentang penghakiman penuh, yang di dedahkan kepada wartawan beberapa jam selepas keputusan itu diucapkan di Putrajaya, menunjukkan beberapa kenyataan yang nampaknya bertentangan, membuat seorang bekas hakim mempersoalkan logik atas alasan mahkamah ke atas salah satu kes yang paling kritikal untuk mempengaruhi perunundangan tertinggi negara - perlembagaan.

Datuk Chan Hoi Nyarn bingung di bahagian tertentu yang sebelumnya telah dibacakan dalam sidang terbuka oleh hakim ketiga tertinggi di negara ini, Ketua Hakim Malaya Arifin.

"Namun, kami akan menambah bahawa hal ini tidak bererti masalah telah berakhir, seperti selalu bahawa terbuka untuk pemohon [Nizar] untuk membawa usul tidak percaya terhadap responden [Zambry] di LA [DPR] atau membuat representasi untuk Kebawah Duli [Baginda Sultan Perak] bila saja jika ia berfikir bahawa responden tidak menikmati sokongan daripada majoriti ahli LA, "katanya.

Bagi pesara hakim Mahkamah Rayuan, yang lebih dikenali sebagai NH Chan, bahawa bahagian tertentu "terdengar aneh".

"Ia jelas terpampang pada kedengarannya seperti mereka bertentangan sendiri, bukan?" Kata pesara hakim yang berusia 74 tahun itu.

"Mereka mengatakan [Nizar] boleh membuat usul tidak percaya sekarang, tapi mengapa mereka tidak boleh melakukannya dahulu?" Beliau tertanya-tanya.

"Dan jika itu benar-benar bertentangan, maka penghakiman tersebut adalah sampah," tambahnya.

Chan, yang sekarang tinggal di Ipoh, enggan memberikan komentar lebih lanjut sehingga ia telah membaca keseluruhan penilaian bertulis yang sepenuhnya. sumber: malaysianinsider terjemahan: alhusseyn video :TVS


Blogger Hina TGNA Serah Diri Dan Ditahan

Blogger yang menggunakan nama "jeffrydamien09" yang dikatakan menghina Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam laman blognya, telah menyerah diri kepada pihak polis semalam.

Blogger berusia 44 tahun itu menyerah diri di Balai Polis Permas Jaya di sini selepas dia dikatakan membuat suntingan grafik yang menghina Mursyidul Am Pas itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memberitahu, suspek diserahkan kepada Polis Kelantan untuk tindakan susulan.

"Kita telah menyerahkan lelaki itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan untuk siasatan lanjut.

"Kes ini akan disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, beberapa akhbar melaporkan, Dewan Pemuda Pas Kelantan yang diketuai Naib Ketua Pemudanya, Hisham Fauzi membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung tindakan blogger tersebut.

Hisham Fauzi berkata, pihaknya memandang serius perkara itu kerana ia jelas mengandungi unsur-unsur provokatif yang boleh menimbulkan ketidakstabilan politik dalam negara ini.

Blogger berkenaan didapati telah menghapuskan gambar lucah berkenaan.

Tak Timbul Isu Kerjasama PAS - UMNO.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) sekali lagi menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya hanya bersedia duduk semeja dengan Umno bagi membincangkan soal agama tanpa melibatkan isu lain.

Ketegasan itu dilihat bercanggah dengan pandangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Sabtu lalu bahawa PAS sudah lama bersedia untuk berdialog dengan Umno-Barisan Nasional, bukan sahaja dalam isu Islam tetapi juga soal-soal berkaitan kepentingan rakyat.

Sehubungan itu kata Nik Aziz, kenyataan beliau jelas dan tidak mahu mengulas lanjut mengenai pendirian Hadi.

“Saya tidak mahu campur tangan urusan orang lain, saya hanya hendak perbetulkan kenyataan saya sahaja.

“Yang lain itu dia punyal pasal,”
kata beliau dipetik Sinar Harian.

Nik Aziz berkata beliau tidak menolak kemungkinan kenyataan Hadi sebenarnya senada dengannya, namun ia mungkin diputar belit oleh wartawan.

“Mungkin kenyataan saya dengan dia sama, cuma wartawan buat kacau,” katanya.

Hadi dipetik berkata, PAS sudah lama bersedia untuk berdialog dengan Umno-Barisan Nasional, bukan sahaja dalam isu Islam tetapi juga soal-soal berkaitan kepentingan rakyat.

Sebagai contoh kata Hadi, pihaknya sudah menghadiri dialog di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) bulan lalu, yang merupakan salah satu badan di bawah kerajaan dan ramai pemimpin Umno hadir dalam dialog berkenaan.

“Dan kita telah memberi pandangan kita berhubung isu penggunaan kalimah Allah ini.

“Kita sudah lama terbuka dengan semua termasuk dengan Umno.

“Kita juga sudah bersedia untuk berdialog bukan sahaja isu kalimah Allah tapi semua isu melibatkan ekonomi, sosial, kebajikan dan sebagainya,” kata beliau.

Bagaimanapun pada hari yang sama Nik Aziz berkata beliau bersedia untuk berdialog dengan Umno, tetapi ia hanya akan berkisar pada soal agama Islam.

Sehubungan itu tegas Menteri Besar Kelantan, perbincangan tersebut hanya akan membabitkan kepada persoalan iaitu mengapa Umno tolak Islam dan PAS.

Idea itu pertama kali dibangkitkan oleh Nik Aziz pertengahan minggu lalu.

Dalam pada itu peguam PAS Hanipa Maidin menulis bahawa “tidak cukup dengan keputusan jawatankuasa disiplin yang memeningkan kita dan menjadi bahan ketawa abad ini, kini timbul semula isu muzakarah PAS dengan Umno.”

“Sekejap ada sekejap timbul. Sekejap ada sekejap timbul. Apa lagi kalau bukan muzakarah PAS dan Umno?

“Sekejap UG (kerajaan perpaduan), sekejap muzakarah. Sekejap muqabalah. Lepas ini apa pula, kita pun tidak tahu,” kata Hanipa sambil menambah beliau yakin rakyat sudah muak dengan isu ini
.

“Jika saya tidak bersama PAS, sudah tentu saya orang pertama yang paling muak dan meluat dengan isu ini dan muak kepada kedua-dua parti politik yang membangkitkan isu ini,” katanya.

Tegur beliau mengapa PAS tidak serik-serik membangkitkan isu ini sedangkan “tiada angin tiada ribut.”

Justeru soal beliau bukankah lebih baik kalau PAS menggunakan strategi untuk memperkuatkan Pakatan.


“Saya rasa terpanggil ingin menegur pemimpin PAS tidak kira setinggi mana pun jawatan mereka dalam parti. Biarlah orang PAS marah saya daripada rakyat marah kepada PAS dan menghukum PAS selepas ini.

Sambil berkata “takkan kita masih tidak kenal Umno!”, kata Hanipa, kerajaan perpaduan atau muzakarah, bagi rakyat yang sudah meluat dengan Umno, PAS dilihat sentiasa memberi nafas kepadanya jika isu kerajaan perpaduan atau muqabalah atau muzakarah dibangkitkan.

“Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai PAS berani-berani menghampiri had itu. Jika rakyat meluat kepada kita, jangan marah mereka marahlah kepada diri kita sendiri,” katanya. - MalaysianIInsider


HATI-HATI PAS JANGAN SAMPAI RAKYAT MELUAT KEPADA KITA
OLEH : MOHAMED HANIPA MAIDIN

Tidak cukup dengan keputusan jawatankuasa disiplin yang memeningkan kita dan menjadi bahan ketawa abad ini, kini timbul semula isu muzakarah PAS dengan Umno.

Sekejap ada sekejap timbul. Sekejap ada sekejap timbul. Apa lagi kalau bukan muzakarah PAS dan Umno ? Sekejap UG, sekejap muzakarah. Sekejap muqabalah. lepas ini apa pula, kita pun tidak tahu. Saya yakin rakyat dah muak dengan isu ini. Jika saya tidak bersama PAS, sudah tentu saya orang pertama yang paling muak dan meluat dengan isu ini dan muak kepada kedua-dua parti politik yang membangkitkan isu ini.

Saya tidak boleh tegur Umno sebab dia bukan parti saya. Tapi saya ingin tegur pemimpin PAS. Kenapakah mereka tidak serik-serik membangkitkan isu ini sedangkan tiada angin tiada ribut. Bukankah lebih baik kalau kita gunakan pemikiran kita untuk perkuatkan Pakatan.

Saya rasa terpanggil ingin menegur pemimpin PAS tidak kira setinggi mana pun jawatan mereka dalam parti. Biarlah orang PAS marah saya daripada rakyat marah kepada PAS dan menghukum PAS selepas ini.

Cukuplah bangkitkan apa sahaja isu yang rakyat boleh hidu bahawa PAS dan Umno cuba nak berbaik. Takkan kita masih tidak kenal UMNO ! UG ke atau muzakarah ke bagi rakyat yang dah meluat dengan Umno , PAS dilihat sentiasa memberi nafas kepada Umno jika isu UG atau muqabalah atau muzakarah dibangkitkan.

Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai PAS berani-berani menghampiri had itu. Jika rakyat meluat kepada kita, jangan marah mereka marahlah kepada diri kita sendiri !!! -peguampas



Apalah Nak Jadi Dengan Parti Aku Ni?
Oleh Ust Zolkharnain Abidin Al-Hafiz

Badan terasa lemah dan letih. Otak terasa sebu dan tepu. Mulut seperti tidak berupaya berbicara lagi. Pandangan menjadi separuh kelam. Bebanan terasa tidak tertanggung lagi.

Apabila terpacul pelawaan ‘dialog’ dengan Umno daripada mulut Tok Guru Nik Aziz, dunia seperti berhenti berputar. ‘Dialog’ itu telah dialih bahasa menjadi ‘muzakarah’ oleh media.

Apa pun penjelasan Tok Guru selepas itu, apa pun tudingan kepada media selepas itu, ia seolah-olah menjadi tidak bermakna lagi. Itu semua seperti melontar seketul ais sebesar penumbuk ke dalam sekolah air.

Air tidak sejuk, ais pun habis.

Samada ‘dialog’ atau apa sahaja yang seerti dengannya tidak perlu ditimbulkan langsung, oleh sesiapa pun. Tidak perlu dan tidak berfaedah. Atas apa tujuan sekali pun.

Dileretkan lagi oleh media, Mahfuz pula berkata, mesyuarat bulanan PAS Pusat terhampir mungkin akan turut meneliti kenyataan Tok Guru itu. Maklumat lanjut akan diperolehi daripada Tok Guru dalam mesyuarat tersebut.

Ini hasilnya. Sesuatu yang tidak perlu akhirnya telah mengambil tempat dalam otak pimpinan PAS. Sedangkan sepatutnya bahagian otak itu ditempati oleh persoalan lain yang lebih besar dan mustahak.

Nampaknya kita masih rasa geli juga apabila digeletek oleh Umno dalam isu ini. Bila agaknya geli itu akan hilang?

Bila pula agaknya kita akan berhenti menyatakan pendirian mengenai isu ini? -bongkarsauh



Lintas Lansung Kes Liwat Saiful 10 Feb 2010

Perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bersambung bagi membolehkan peguam bela menyiapkan hujah balas terhadap affidavit Ketua Pendakwaraya bersabit permohonan untuk hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menarik diri.

Kelmarin Karpal menfailkan permohonan supaya Mohamad Zabidin menarik diri daripada kes berkenaan kerana membuat dua keputusan yang dilihat tidak berpaksi kepada undang-undang.

Dua keputusan itu adalah mengenai laporan Utusan Malaysia yang tidak berasaskan keterangan yang diberi di mahkamah, tetapi direka-cipta untuk mengaibkan Anwar, menurut peguam mantan Timbalan Perdana Menteri itu.


9.25 am: Karpal Singh sudah pun tiba. Begitu juga pendakwa-pendakwa

9.30 am: Mahkamah sudah penuh sesak. Ahli Prlimen Segambut Lim Lip Eng kelihatan baru masuk ke dalam mahkamah.

9.33 am: Anwar tiba bersama isterinya Wan Azizah, Lim Kit Siang, Chua Jui Meng & Nik Nazmi turut kelihatan.

9.37 am: "Bangun!" Kedengaran dalam mahkamah. Ketibaaan Hakim. Perbicaraan hendak dimulakan.

9.39 am: Pendakwa perkenalkan peguam baru. "Ada bantahan?" tanya Hakim. Karpal: "Tiada Yang Arif".

9.41 am: Karpal memulakan dengan permohonan untuk hakim menarik diri dari membicarkan kes.

9.42 am: Ia bukan saja satu perkara penting malah merupakan asas bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan, bahkan mesti kelihatan dilaksanakan. Satu kata-kata lahir pada tahun 1924 dibawa oleh Karpal di dalam mahkamah pagi ini.

9.45 am: Tidk ada makn menuduh akhbar luarnegara kerana mengkritik sistem perundangan negara kita jika kita tidak berjaya menunjukkan keupayaan kita.

9.48 am: Karpal terus memberikan kes-kes precedent.

9.50 am: Bangalore Principles: "Tidak Berpihak" merupakan elemn asas yang didiperlukan dari seseorang hakim. Dan juga persepsi terhadap "tidak berpihak".

9.51 am: Karpal menyatakan hakim telah bersalah kerana tidak menegakkan kebenaran di dalam mahkamah sejak hari perbicaraan bermula.

9.55 am: Nama Utusan Malaysia disebut. Karpal merujuk kepada gambar-gambar yang ada di halaman akhbar tersebut.

9.57 am: Hakim Yang Arif telah memberitahu : "Tidak ada apa-apa kesalahan pada tajuk gambar itu dan bahanbukti itu diberikan di dalam mahkamah terbuka."

9.59 am: Karpal merujuk kepada laporan ahkbar online Malaysiakini tentang keputusan hakim terhadap Utusan Malaysia.

10.00 am: Karpal berkata: Yang Arif tidak menyatakan yang benar, yang bermakna Yang Arif telah berbohong.

10.01 am: Jika Yang Arif tidak jujur, maka Yang Arif tidak boleh berlaku adil dan tidak berpihak.

10.04 am: Nama Najib disebut di dalam konteks beliau sebagai Ketua UMNO yang memiliki Utusan Malaysia.

10.06 am: Utusan Malaysia, sepatutnya telah diambil tindakan menghina mahkamah.

10.08 am: Karpal berkata : Yang Arif telah mencemarkan hak Yang Arif untuk duduk di kerusi itu.

10.12 am: Pihak judiciari mesti membetulkan hal ini. Yang Arif perlu membetulkan juga peranan Yang Arif.

10.13 am: Keadilan seseorang hakim adalah menurut anggapan. Bukti kukuh hendaklah ditunjukkan sebelum melucutkan hakim. Beban ini terletak di bahu pemohon. Jawab Pendakwa.

10.15 am: Pendakwa berhujjah lagi "Ujian bias adalah serupa untuk semua".

10.20 am: Pendakwa masih berhujjah menolak hujjah Karpal.

10.25 am: Pendakwa meminta Hakim mengabaikan permohonan Peguam Pembela dan meneruskan perbicaraan kes.

10.28 am: Foto Hakim Yang Arif Mohd Zabidin Mohd Diah.

10.30 am: Pendakwa membuat rumusan. Katanya :"Komplen terhadap akhbar Utusan Malaysia bukannya satu isu."

10.35 am: menurut Peguamcara Negara II Yusof sesuatu keputusan yang bertentangan dengan sebelah pihak, bukan asas untuk melucutkan hakim. Beliau menyatakan bias ialah apabila terhadap hubungan peribadi Hakim dengan sesiapa yang terlibat di dalam sesuatu kes. “Ia tidak berlaku di dalam kes ini.".

10.38 am: Transkrip mahkamah dari rakaman audio menjelaskan perkataan "lagi" dituturkan oleh Saiful.

10.40 am: Yusof (foto) menyatakan gambar Utusan dengan tajuknya adalah kabur, “Menunjukkan katil di mana tempat kejadian berlaku”, tidak menyatakan liwat berlaku di atas katil tetapi di dalam bilik itu.

10.43 am: Pendakwa menuduh Karpal seorang pendusta.

10.46 am: Pendakwa menambah : "Hakim telah dilatih untuk menghadkan dirinya kepada bahan bukti yang dibawa ke mahkamah dan tidak dipengaruhi oleh media."

10.55 am: Peguamcara Negara II Yusof berkata, "Saya meminta permohonan Peguambela melucutkan hakim ditolak".

11.00 am: Karpal menjawab :"Yang Arif, Saya rasa pihak pendakwa telah menguasai seni untuk mengulangi keenyatan?.

11.05 am: Karpal berhujjah "Anda menunjukkan gambar katil tetapi merujuk kepada biliknya?"

11.08 am: Yang Arif, kami telah membantah anggapan "tidak berpihak" yang dimaksudkan oleh Pendakwa.

11.10 am: Karpal meminta hakim untuk tidak menolak permohonannya. Karpal menyebut Kod Perilaku Hakim 2009.

11.14 am: Hakim berkata "Jelas saya tak dapat membuat keputusan saya hari ini... Boleh saya jumpa kedua-dua pihak di dalam kamar mahkamah?"

11.16 am: Kedua-dua pihak, pendakwa dan pembela menemui hakim di dalam kamar untuk menetapkan tarikh keputusan permohonan.

11.25 am: Hakim muncul. "Saya perlukan masa untuk menimbangkan permohonan kedua-dua belah pihak... Saya akan buat keputusan saya pada 18 Februari 2010".

Prosiding ditangguhkan sehingga selepas sambutan Tahun Baru Cina: 18-02-2010
Sekadar peringatan rayuan untuk keputusan hakim untuk tidak mengenepikan kes ini akan didengar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya pad hari Jumaat ini.

TAMAT KEMASKINI

Hantar Anwar Ke Penjara - Tugas Najib Seterusnya?

Panel lima hakim dengan sebulat suara mengisytiharkan bahawa Zambry Abdul Kadir adalah Menteri Besar Perak yang sah pada pagi ini. Penghakiman ini menunjukkan betapa bobroknya sistem kehakiman negara kita.

Pada awalnya, saya menjangkakan bahawa kemungkinan wujudnya senario "sebulat suara" agak rendah, memandangkan lima orang hakim ini perlu mempertimbangkan kesan yang menyusul daripada penghakiman tersebut. Dengan kata lain, walau mereka ingin memihak kepada UMNO sekalipun, mereka juga perlu mengambil kira prinsip Raja Berperlembagaan dan kesan sejarahnya.

Tanpa diduga, Malaysia sememangnya "boleh". Hakim telah mengangguk kepada campur tangan pemerintah (raja), mengakibatkan sistem perlembagaan negara kita menjadi "contoh negatif" di kalangan negara Komanwel selepas ini.


Memberi laluan kepada TPM?

Sebelum ini, ada yang mempercayai bahawa Najib tidak sanggup untuk "menang sorak kampung tergadai". Membenarkan Sultan untuk bertemu dengan ADUN, akan secara tidak langsungnya menggalakkan rombakan kelompok berkepentingan dalam UMNO. Misalnya, apa kata seandainya Timbalan Perdana Menteri yang memperolehi sokongan Yang Dipertuan Agong atau Sultan menggunakan saluran ini untuk menggantikan pimpinan Perdana Menteri? Jadi, Najib dijangka tidak sanggup menanggung risiko ini hanya kerana kuasa kerajaan negeri di Perak semata-mata.

Sekiranya dilihat sekarang, Najib sememangnya seorang realist. Setiap percaturannya mengambil kira kepentingan dan kedudukan dirinya. Dalang di sebalik rampasan kuasa negeri Perak setahun lalu adalah Najib yang sedang menunggu untuk "menaiki takhta" (jikalau tidak mengapa pula beliau menyambut tiga ekor katak dengan senyuman yang melebar?). Dengan langkah ini, Najib berharap nilai dirinya dipertingkatkan, untuk menahan sebarang tekanan dari dalam parti.

Kecelaruan selepas itu dihadapi Najib dengan penuh sabar. Berdepan dengan serangan PR dengan kerahan massa, kemenangan MB sah Mohd. Nizar Jamaluddin dalam PRK Bukit Gantang, Najib tetap bertenang. Walaupun antaranya, desas-desus tersebar bahawa DUN Perak mungkin dibubar, yang cukup memberangsangkan PR untuk seketika, tetapi akhirnya terbukti ianya hanyalah taktik untuk mengaburkan dan mengecohkan kem musuh.

Pergolakan dalam UMNO

Jadi, sebarang "ganjakan langkah" dalam isu Perak adalah tamparan yang hebat terhadap Najib. Ia akan memberi kesempatan kepada golongan konservatif dalam UMNO untuk menyekat pemimpin yang sedia ada. Golongan konservatif ini sudahpun tidak berpuas hati dengan cara kerajaan mengendalikan isu agama dan ekonomi sebelum ini.

Untuk Najib, sekiranya pemulihan kredibiliti sistem kehakiman gagal mengukuhkan kedudukannya sekarang, maka beliau perlu teruskan hingga akhir, walaupun menanggung risiko "campur tangan daripada raja" pada masa depan, untuk memperlihatkan kebijakan dan kecekapannya.

Namun, kebijakan dan kecekapan Najib ini bukan ditampilkan dalam hal pentadbirannya dan keprihatinannya untuk menyelesaikan masalah rakyat, tetapi dalam hal bagaimana untuk menyerang musuh politiknya. Maka, kebijaksanaan ini tidak memadai untuk dipuji mana-mana pengamal media yang bermaruah.

Sebermulanya tahun ini, serangan media arus perdana terhadap pembangkang dan negeri Pakatan Rakyat semestinya diatur untuk bertembung dengan perbicaraan kes Liwat II Anwar Ibrahim. Sementara menyekat pemimpin PR, media tersebut memperbodohkan rakyat umum, terutamanya orang Melayu. PR kini terjerat ke dalam kecelaruan dalam parti,dan ini bukannya sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Penghakiman Mahkamah Persekutuan adalah penyelamat kepada Najib. Dari segi sumber, PR tidak memiliki kelebihan. Kini, Zambry memasuki pejabat kerajaan negeri dengan mendabik dada, malah dijangkakan lebih ramai dari PR terutamanya PKR yang akan melompat selepas ini.

Percaturan bijak Najib ini cuba mengukuhkan kuasanya dengan mencalit imej dan melunturkan semangat PR. Meskipun DUN Perak dibubarkan pada akhirnya, UMNO semestinya sudah semakin menghampiri kemenangan kelak. Maka, sesiapa yang menaruh harapan bahawa UMNO akan berubah adalah bodoh kalau bukan naif.

Seandainya penghakiman ini gagal membawa kesan massa, dan terus mengangguk kepada pentadbiran Najib dengan "senyuman harimau"-nya, maka bukan sesuatu yang pelik jikalau Anwar Ibrahim dimasukkan ke penjara semula.

Kemasukan Anwar ke dalam penjara kurang penting, jikalau dibandingkan dengan pemulihan kuasa UMNO. PR tidak harus berpeluk tubuh, dan harus mempersiap-sediakan mekanisme untuk menyelesaikan krisis ini. -MR

*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disunting dan diterjemahkan oleh Lim Hong Siang.