19 Sep 2009

Era Najib Altantuya : 29.09.09 PAS dan BN Umumkan Calon Bagan Pinang

PAS yang akan bertanding mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan akan mengumumkan calonnya pada 29 September ini.

Secara kebetulan, buat kali kedua berturut-turut, PAS juga akan mengumumkan nama calonnya pada tarikh yang sama dipilih oleh Barisan Nasional (BN).

BN dan PAS mengumumkan calon masing-masing pada tarikh yang sama ketika pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang bulan lalu.

"Ya, kami (PAS) akan mengumumkan calon pada 29 September... tarikh 29 September sudah ditetapkan," kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi DUN Bagan Pinang berkata, pemilihan tarikh yang sama dengan tarikh BN kemungkinan secara kebetulan.

"Ia dipilih kerana dianggap hari yang sesuai... tiga, empat hari selepas sambutan Aidilfitri. Nama calon akan diumumkan pada sebelah malam di kawasan Bagan Pinang," katanya lagi.

Semalam, Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya akan mengumumkan calonnya yang bakal bertanding mempertahankan kerusi itu pada 29 September ini.

Calon BN itu akan diumumkan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Aidilfitri BN peringkat negeri di Port Dickson pada hari berkenaan.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah 3 Oktober manakala tarikh pengundian ditetapkan 11 Oktober.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lalu.

Pada 8 Mac 2008, PAS diwakili oleh Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi manakala Azman pula 6,430 undi.

BAKAL CALON

Mengenai calon, Salahuddin memberitahu, pihaknya masih mempertimbangkan tiga nama yang sudah dikemukakan oleh PAS Negeri Sembilan.

Mesyuarat akhir bagi memutuskan nama calon akan diadakan pada pukul 3 petang, 29 September, kata beliau.

"Kemungkinan besar calon PAS kali ini adalah dari kawasan Telok Kemang sendiri," katanya lagi.

GB difahamkan bahawa ketiga nama berkenaan ialah Pesuruhjaya PAS negeri Zulkefly Mohamad Omar, yang dipertua PAS kawasan Ramli Ismail dan bekas ketua Dewan Ulama PAS negeri, Kassim Tahir.

Era Najib Altantuya : Kerjasama SPR Dan UMNO Semakin Nyata Di dalam Undi Pos

Dolak-dalik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertahankan kaedah undi pos yang begitu dipertikaikan jelas membuktikan bahawa kerajaan yang dikuasai Barisan Nasional tidak menghormati hak demokratik rakyat negara ini khususnya mereka yang menjadi pengundi pos, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Di satu sisi, (Timbalan Menteri Pertahanan Datuk) Dr Abdul Latiff (Ahmad) berkata parti politik tidak dibenarkan berkempen dalam kem tentera kerana bentuk tugas anggota tentera bersifat keselamatan di tahap yang tinggi.

"Di sisi yang lain pula, SPR tidak jemu-jemu berdolak-dalik mempertahankan kaedah undi pos yang dipertikaikan.

"Kesemua itu hakikatnya memperlekeh-lekeh dan menafikan hak demokratik para pengundi pos terutama angkatan tentera," kata beliau.

Pengarah Jentera Pilihan Raya PAS bagi pilihan raya kecil Bagan Pinang itu juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff menginjak-injak status angkatan tentera dan menjadikan mereka warganegara kelas bawah apabila menyatakan tentera hanya boleh berpolitik selepas bersara.

"Rosak negara ini kalau askar ini diberi kebenaran untuk berparti politik. Kalau dia nak berpolitik lepas bersara, itu lainlah," timbalan menteri pertahanan itu dipetik sebagai berkata.

Salahuddin melihat kenyataan tersebut bertujuan menafikan hak demokratik tentera untuk mendapatkan penjelasan yang saksama dari semua parti politik yang bertanding.

"Kita bukan hendak mengajak tentera berparti politik. Kita hanya menuntut hak demokratik mereka untuk mendengar penjelasan yang saksama daripada semua parti yang bertanding sebelum mereka mengundi," kata beliau.

Beliau juga menyifatkan kenyataan Abdul Latiff itu sebagai satu lagi kenyataan borosnya setelah terkenal dengan kontroversi kenyataannya yang mendakwa para doktor "diberi lesen untuk membunuh" sehingga menyebabkan presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin menuntut penjelasan.

Salahuddin melahirkan keyakinan bahawa menuntut supaya diberikan hak demokratik pengundi-pengundi pos bukanlah tuntutan yang melampau.

"Kenapa BN takut sangat? Apa yang disembunyikan sebenarnya?" soal Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Beliau juga hairan apabila SPR bertanya mengapa baru sekarang Pakatan Rakyat (PR) mempertikaikan undi pos.

"Apa yang (Timbalan Pengerusi SPR, Datuk) Wan Ahmad (Wan Omar) cakap?

"Dia berada di alam mana ketika kita menggerakkan perhimpunan raksaksa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) ketika menghantar memorandum kepada Yang Dipertuan Agong pada 10 November 2007 yang antara lain menuntut pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara?"

Salahuddin juga membayangkan PAS sedang mengatur beberapa tindakan susulan untuk memastikan hak demokratik pengundi-pengundi pos tidak diperlekeh-lekeh dan dinafikan.

"BN berhak untuk mempertahankan kuasanya dan juga mempertahankan kemenangannya di Bagan Pinang dalam pilihan raya umum lalu.

"Tetapi jangan memperalatkan undi pos untuk melakukan penipuan undi. Kuasa rakyat pasti akan menghukum gerombolan yang menipu untuk meneruskan cengkaman kuasanya," beliau mengingatkan.

Bagaimanapun, Salahuddin juga gembira jika BN menyangka rakyat tidak mengesyaki undi pos diperalatkan untuk melakukan penipuan pilihan raya.

"Baguslah jika BN fikir rakyat tidak mengesyaki apa-apa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri mohd Najib Razak mendapat majoriti 22,922 undi di Pekan dalam pilihan raya 2004, antaranya setelah Kem Tentera Batu 10 Kuantan dimasukkan ke dalam kawasan Parlimen Pekan sedangkan dalam pilihan raya 1999, beliau menang dengan majoriti hanya 241 undi sahaja," kata beliau.

PAS, tegas beliau, tetap menolak penggunaan Borang Lampiran 2 atau borang identiti pengundi pos, di samping menuntut wakil-wakil calon PAS diberi hak untuk menyaksikan proses pengundian undi pos, mengiringi perjalanan kotak undi pos serta bersama-sama mengawalnya sepanjang tempoh sebelum dikira.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menegaskan, PAS tetap meragui undi pos dan menggesa SPR membenarkan pengundi pos membuang undi seperti pengundi biasa.

"Kami meragui undi pos kerana kami tahu undi pos seperti askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi.

"Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," kata beliau.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada 13,664 orang yang layak mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, seramai 4,604 adalah pengundi pos.

Era Najib Altantuya : Perbalahan Samy Vellu Dgn Mahathir Berterusan

Selepas isu gantung selipar, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan Samy Vellu merupakan satu liabiliti kepada BN.

Hari ini Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu meminta Mahathir itu supaya tidak campur tangan dalam pemilihan calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bulan depan.

"MIC yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga pengarah pilihan raya BN) dalam memilih calon yang betul untuk kerusi itu.

"Perdana Menteri mempunyai kewibawaan untuk memilih seseorang yang mampu membawa kemenangan kepada BN. Hanya Perdana Menteri mempunyai kata putus mengenai siapa yang patut jadi calon," kata Samy Vellu kepada Bernama semasa diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam.

Bekas perdana menteri itu dalam temu bual dengan Bernama berkata Tan Sri Mohd Isa Samad tidak patut diletakkan sebagai calon bagi kerusi itu kerana beliau pernah digantung daripada Umno selama tiga tahun dari Jun 2005 atas dakwaan terbabit dengan politik wang.

Dr Mahathir berkata imej Umno akan terjejas kerana dianggap tidak serius dalam memerangi politik wang sekiranya masih meletakkan mereka yang sudah didapati bersalah dalam rasuah politik sebagai calon.

Beberapa cawangan Umno dan Umno Bahagian Teluk Kemang dikatakan telah mencadangkan nama Isa kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan sebagai calon bagi pilihan raya kecil itu.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang ditetapkan pada 3 Okt dan pengundian pada 11 Okt. Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 Sept.

Samy Vellu juga berkata Dr Mahathir tidak patut campur tangan dalam setiap pilihan raya kecil kerana pendapat beliau telah "menjejaskan" jentera pilihan raya BN semasa pilihan raya kecil berkenaan.

"MIC akan akur dengan siapa sahaja yang dipilih oleh Perdana Menteri, yang juga pengerusi BN. Dr Mahathir tidak sepatutnya campur tangan dalam terlalu banyak perkara yang mungkin meletakkan BN dalam keadaan sukar," katanya.

Era Najib Altantuya : Konflik MCA Meruncing, Ong Bagi Katadua

Kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat yang berpendirian bahawa beliau akan melepaskan jawatan Presiden MCA jika Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dikembalikan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden telah menghangatkan semual krisis politik MCA.

Ong berkata, keputusan membawa kembali Dr. Chua meskipun dengan majoriti kecil, adalah satu bentuk undi tidak percaya terhadap kepimpinan beliau dan keseluruhan Majlis Presiden parti itu.

Kenyataan tersebut dilihat oleh ahli-ahli MCA sebagai satu ugutan dari Ong supaya ahli-ahli MCA memberikan kepercayaan kepadanya dan sekaligus membuktikan bahawa tindakan disiplin yang memecat Chua Soi Lek adalah sebenarnya keputusan yang telah ditetapkan oleh Ong sendiri yang terancam dengan kehadiran Chua sebagai orang nombor 2 dalam parti.

"Keputusannya adalah jelas. Jika ia berlaku, maka prinsip demokrasi saya ialah kesemua daripada kami perlu pergi, keseluruhan anggota Majlis Presiden," kata Ong semalam.

Ong yang juga Menteri Pengangkutan ditanya pandangan sekiranya perwakilan mahu beliau kekal sebagai Presiden tetapi Dr. Chua dikembalikan jawatan Timbalan Presiden.

Jelas beliau: "Mereka perlu membuat pilihan."

"Jika majoriti kecil diperoleh, saya tiada pilihan melainkan saya meletakkan jawatan.

"Ada pihak yang akan berhujah bahawa saya tidak perlu bertindak sedemikian atau undi dua pertiga diperlukan untuk membuang saya... itu adalah penipuan besar," katanya.

Ong berhadapan dengan lima resolusi pada EGM yang dijadual berlangsung 10 Oktober, yang diadakan ekoran keputusan Majlis Presiden memutuskan untuk memecat Dr. Chua pada 26 Ogos.

Majlis Presiden bertindak sedemikian selepas mempertimbangkan syor Lembaga Disiplin parti yang mendapati pembabitan Dr. Chua dalam DVD seks telah menjejaskan parti.

Lima resolusi yang akan dipertimbangkan ialah:

- Undi tidak percaya terhadap Ong;

- Membatalkan keputusan Majlis Presiden yang memecat Dr. Chua;

- Mengembalikan kedudukan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden parti;

- Membatalkan sebarang pelantikan termasuk Timbalan Presiden yang diputuskan sebelum EGM; dan

- Tiada tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menuntut diadakan EGM

Ong juga berkata, perwakilan akan kelihatan melahirkan pendirian tidak yakin dengan keseluruhan Majlis Presiden jika mereka memberikan undi memihak kepada resolusi kedua iaitu membatalkan keputusan majlis itu yang memecat Dr. Chua bulan lalu.

"Jika ini berlaku, keseluruhan Majlis Presiden, yang saya ketuai, perlu pergi kerana ini adalah keputusan kolektif dan bukannya diputuskan oleh seorang sahaja.

"Saya tidak memaksa sesiapa untuk bertindak demikian," kata beliau sambil menambah, dilihat dari sudut lebih luas atas nama demokrasi, "ini adalah keputusan yang tidak boleh dielakkan."

Majlis Presiden terdiri daripada 22 anggota termasuk menteri dan timbalan-timbalan menteri.

Antara mereka ialah Naib-naib Presiden, Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Sambil merujuk kepada dua resolusi pertama, Ong menganggap kedua-duanya "terlalu menonjol" dan menambah, sesetengah perwakilan ada memaklumkan beliau bahawa resolusi undi tidak percaya terhadapnya tidak dimaklumkan langsung apabila mereka menandatangani petisyen agar diadakan EGM.

"Usaha untuk mengembalikan Dr. Chua sebagai Timbalan Presiden, ia hanya relevan, dan hanya jika beliau dikembalikan statusnya sebagai ahli (parti) terlebih dahulu," katanya. Berhubung resolusi keempat dan kelima, Ong berkata, kedua-duanya merupakan andaian-andaian yang tidak adil.

"Tidak pernah dalam mana-mana EGM anda dibenarkan mengetengahkan resolusi-resolusi memandai-mandai.

"Saya tidak bertindak keras terhadap sesiapa. Saya menganggap ia adalah urusan penting apabila saya membolehkan diadakan EGM," katanya.

Berhubung keputusan Dr. Chua yang tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan Majlis Presiden yang memecatnya, Ong berkata: "Apabila anda tidak merayu kepada Jawatankuasa Pusat berhubung apa-apa hal yang berkaitan dengan masalah disiplin, kes ini dianggap sudah ditutup."

"Dalam hal ini, kami masih menerima resolusi-resolusi yang disyorkan daripada mereka yang menuntut agar diadakan EGM.

"Kini adalah jelas bahawa tindakan ini bukannya bertujuan mengembalikan kedudukan beliau (Dr. Chua) tetapi untuk menyingkirkan saya."

Era Najib Altantuya : Siapa Sebenarnya Yang Melengahkan Perbicaraan?

Usaha pihak pendakwaan (DPP) melengah-lengahkan kes pendakwaan fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tindakan yang zalim. Sewaktu Anwar dituduh di Mahkamah Sesyen di hadapan Hakim Puan Komathy, pihak pembelaan dan Mahkamah telah siap bersedia untuk perbicaraan. Namun pihak pendakwa mengemukakan sijil di bawah S. 418A, bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi atas alasan yang remeh.

Pihak DPP memberi dalih bodoh, kononnya Anwar adalah seorang yang berprofil tinggi, atas tujuan menjaga keselamatan awam (sedangkan kedua-dua Mahkamah terletak di Kompleks Mahkamah Jalan Duta) serta kes ini melibatkan isu-isu teknikal seperti DNA. Meskipun, yang hendak dijaga hanyalah keselamatan kerajaan Barisan Nasional dan undang-undang tidak pernah memberikan layanan yang berbeza atas dasar profil individu. Tambahan pula, Mahkamah Sesyen lebih berpengalaman dalam mengendalikan hal-hal teknikal. Misalnya sebahagian besar kes-kes melibatkan jenayah seksual didengar di Mahkamah Sesyen dan bukan di Mahkamah Tinggi.

Keputusan DPP untuk memindahkan kes ini datang dari Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, orang yang terlibat dalam konspirasi kes pendakwaan terdahulu. Malah Gani Patail juga berdepan dengan tuduhan jenayah memalsukan keterangan. Hal ini diperakui oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Polis Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim merangkap pegawai penyiasat dalam kes mata lebam Anwar 1998. Gani Patail telah memalsukan keterangan untuk menutup insiden mata lebam Anwar. Cukup jelas tujuan perpindahan mahkamah ini berniat jahat.

Sudah tentu Anwar akan mengarahkan peguam-peguam beliau untuk mendapat satu perbicaraan yang lebih adil dan membuat permohonan membatalkan sijil S.418A.

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Komathy telah bersetuju dengan hujahan pembelaan ini. Beliau telah membuat perintah mahkamah menolak keabsahan Sijil S.418A . Ini kerana ia ditandatangani oleh Tan Sri Gani Patail, orang yang tidak harus terlibat dalam pendakwaan ini.

Tindakan pihak pendakwaan merayu kepada Mahkamah tinggi menunjukkan pihak mereka cuba melengah-lengahkan kes ini.

Kemudiannya, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan hanya Peguam Negara yang berkuasa menandatangani sijil S.418A . Anwar dan pasukan peguam beliau terpaksa menerima keputusan dan hadir ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi telah menetapkan tarikh bicara dan sekali lagi kedua-dua pihak telah bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut.

Walaubagaimanapun pihak DPP telah dengan sengaja melengah-lengahkan penyerahan dokumen-dokumen kepada pihak pembelaan.

Penyerahan dokumen menjadi wajib dibawah prosedur Kanun Keseksaan. Tetapi pihak DPP hanya menghantar sebahagian dokumen saja. Malah pihak pembelaan telah menulis beberapa kali kepada pihak Pendakwaan untuk menyerahkan kesemua dokumen yang perlu. Namun mereka enggan berbuat demikian.

Motif tindakan tidak profesional pihak pendakwaan ini cukup diragui. Anwar tidak harus duduk diam tanpa jaminan hak beliau untuk mendapatkan satu perbicaraan yang adil dicabar.

Justeru menjadi amat wajar, bilamana para peguam Anwar terpaksa memohon kepada Mahkamah untuk tidak menyerahkan kesemua dokumen yang perlu bagi penyediaan pembelaan. Ini adalah tindakan yang waras dilakukan oleh mana-mana tertuduh untuk menjamin keadilannya.

Apabila permohonan penyerahan dokumen ditetapkan untuk pendengaran, Peguam Kanan Tuan Haji Sulaiman yang mengetuai pasukan peguam Anwar menarik diri kerana beliau telah jatuh sakit. Beliau dimasukkan ke hospital. Tetapi Hakim tidak membenarkan Anwar menangguhkan kes untuk mendapatkan Peguam Kanan yang baru. Ketua Pendakwaan, Datuk Yusof Zainal Abiden sendiri telah mengesahkan dengan Hospital Kuala Lumpur bahawa Tuan Hj Sulaiman memang sakit.

Menuduh Tuan Hj Sulaiman dengan sengaja menarik diri merupakan suatu fitnah yang kejam dan zalim kerana beliau telah dirawat diwad hospital selama 2 minggu!
Para peguam dalam pasuan pembelaan tanpa melengahkan masa terpaksa meneruskan permohonan tersebut.

Menjadi kebiasaan, selalunya Mahkamah akan membenarkan penangguhan kepada pembelaan atas sebab yang munasabah seperti Peguam sakit. Anehnya, Anwar mendapat layanan yang berbeza.

Hakim Mahkamah Tinggi pula bersetuju dengan hujahan pihak pembelaan dan memerintahkan pihak pendakwa untuk menyerahkan dokumen yang dipohon. Tetapi pihak Pendakwa enggan berbuat demikian. Malah pihak DPP membuat rayuan memohon untuk menggantung keputusan Mahkamah sehingga selesai keputusan di Mahkamah Rayuan. Kini Rayuan bakal didengar pada 23 Oktober 2009. Bahawasanya, pihak pendakwaanlah yang menangguhkan perbicaraan.

Keengganan pihak pendakwa menyerahkan dokumen-dokumen kepada pembelaan menunjukkan ada sesuatu perkara yang ditakuti dan ingin disembunyikan.

Pihak pendakwaan tidak menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan. Walhal, menjadi suatu amalan biasa di dalam mana-mana kes perbicaraan jenayah yang lain. Anwar Ibrahim tidak harus duduk diam dan menunggu sehingga satu lagi sabitan dibuat terhadap beliau. Pertuduhan ini hanyalah ulang tayang peristiwa dan konspirasi paling jahat ke atas beliau.

Di sini mari kita perhatikan individu-individu yang jelas mempunyai motif politik dalam membuat fitnah yang kononnya Anwar melengah-lengah kes ini :-

- Peguam Hasnal Rezua Marican sebenarnya telah memberi pandangan tidak profesional kepada Utusan dengan hasad prasangka keji terhadap Anwar. Hasnal, bekas ketua pemuda Umno Selayang, merupakan seorang ahli UMNO yang setia aktif. Hasnal sendiri pernah meminta penangguhan bagi pihak anakguam-anakguam beliau bagi kes-kes yang diwakili beliau. Beliau juga merupakan peguam bagi Ezam yang telah beberapa kali memohon penangguhan bagi kes-kes perhimpunan haram Ezam dari Mahkamah. Kes-kes tersebut ditangguh selama 10 tahun!

- Tan Sri Abu Zahar Ujang, Presiden Persatuan Peguam Muslim, merangkap Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) – kedua-dua Persatuan yang pro-UMNO dan anti-Anwar ini tidak memberi pandangan secara waras tapi penuh dengan syak wasangka dan tidak adil. Peliknya Presiden persatuan-persatuan ini tidak pula mempersoalkan kelewatan pertuduhan Qazaf terhadap Saiful di Mahkamah Syariah. Sehingga ke hari ini, ia langsung tidak dipedulikan. Mereka tidak mempercayai proses perundangan Syariah di Malaysia yang membenarkan Anwar membuat aduan fitnah di Mahkamah Syarie. Tan Sri Abu Zahar Ujang juga adalah ahli Lembaga Disiplin UMNO dan merupakan bekas calon UMNO.

- Lokman Noor Adam dan Roslan Kassim, bekas ahli PKR yang membelot daripada perjuangan reformasi. Kedua mereka menghadapi pertuduhan menyertai perhimpunan haram di Mahkamah Majistret. Mereka paling kerap tidak hadir ke Mahkamah tanpa alasan yang munasabah. Malah mereka selalu meminta penangguhan. Mereka tergolong dalam kelompok orang yang pernah keluar UMNO lantas merangkak balik kepada UMNO dan menyalak kerana duit!

- Chandra Muzaffar, seorang yang menyamar menjadi kononnya intelektual, bermuka-muka dan bersifat lalang. Komen-komen beliau hanya menjurus kepada satu tujuan khusus untuk menyerang Anwar, dengan mendapat imbuhan lumayan, seperti kurniaan jawatan pengerusi penaung Yayasan 1 Malaysia.

Akhirnya ulasan Profesor Salleh Buang, seorang pakar perundangan dibuat sembarangan tanpa hati-hati meneliti fakta. Beliau ikut menuduh Anwar membuat helah melengah-lengahkan kes dengan membuat permohonan ala peguam-peguam di Amerika. Undang-undang di Malaysia sendiri membenarkan mana-mana tertuduh membuat pelbagai permohonan untuk menjamin hak beliau. Tidak perlulah merujuk kepada Amerika bagi tujuan ini. Misalan, permohonan mendapatkan dokumen sangat jelas dan termaktub di dalam Kanun Prosedur Jenayah, iaitu Seksyen 5, 51, 51A. Perlembagaan Persekutuan menjamin seseorang tertuduh itu berhak mendapat perbicaraan yang adil.

Biarpun tidak ada bukti jolokan (penetrasi) langsung ke dalam dubur Saiful, (dan ini berdasarkan sekurang-kurangnya laporan 4 doktor termasuk 3 dari HKL!) – suatu elemen wajib yang harus wujud untuk mendakwa kesalahan, pihak DPP tetap meneruskan kes ini. Sepatutnya kes ini wajib dibuang saja. Pihak yang dituduh wajib menikmati hak untuk mendapatkan kesemua dokumen bagi penyediaan pembelaan.

Akhbar Utusan sebagai lidah UMNO tambah mengapi-apikan fitnah kononnya Anwar sengaja melengahkan kes pertuduhan. Hakikatnya pertuduhan ini adalah suatu konspirasi jahat untuk memastikan Anwar merengkok semula ke dalam penjara Sungai Buloh. Malah Utusan dalam laporan bertarikh 8 September 2009 memanipulasikan kenyataan Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail. Kedua-dua mereka hanya memberi pandangan umum berkenaan proses Mahkamah yang adil sebagaimana termakutub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Mahkamah tidak akan menangguh tanpa alasan. Mereka langsung tidak menyentuh kes Anwar dan tidak memberi apa-apa komen terhadap kes beliau.

Kita sedang menyaksikan, sekali lagi peristiwa konspirasi jahat untuk menjatuhkan Anwar yang menjadi ancaman terhadap kerakusan kuasa kerajaan Barisan Nasional! -Latheefa Koya

Era Najib Altantuya : Alahai PAS Selangor...

Arakian maka terkejutlah akan PAS Selangor apabila bekas Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo telah ditakut-takutkan orang dengan ugutan bunuh.

Kemudian daripada itu, tergagau-gagaulah akan hamba di manakah gerangannya perisytiharan terkejut PAS Selangor akan ugutan hendak membunuh Ahli Parlimen Shah Alam, Haji Khalid Abdul Samad.

Puaslah sudah saya ini menggunakan bermacam-macam kata kunci menggoogle untuk mencari-cari perisytiharan terkejut PAS Selangor akan ugutan hendak membunuh Khalid itu. Tiadalah jua saya berjumpa.

Tiadalah saya terkata apa-apa kerana tiada berjumpa tiadalah semesti tiada wujud akan dia... -penarikbeca