24 Jan 2010

Tun Ghazali Shafie Meninggal Dunia

Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya di sini kira-kira 7.45 malam ini.

Kematian Ghazali, 88, disahkan oleh cucunya Farah ketika dihubungi.

Ghazali, dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang, meninggalkan dua orang anaklelaki Bachtiaer dan Sheriffudin.

Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008. -Bernama

Alfatiha.



Ghazali Shafie
dari wikipedia

Tun Ghazali Shafie lahir di Kuala Lipis, Pahang, pada 22 Mac 1922. Beliau merupakan ahli politik Malaysia era Tunku Abdul Rahman hinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu dari 1970-1984.

Beliau melanjutkan pelajaran di University College of Wales dan London School of Economics.

Politik

Beliau menjadi penasihat tetap Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak untuk menyertai Malaysia. Peranan beliau dalam pembentukan negara Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak cukup signifikan.

Beliau pernah menjadi Menteri Penerangan Malaysia (1970) dan Menteri Luar Negeri dan Menteri Tugas-Tugas Khas semasa Perdana Menteri Malaysia Tun Abdul Razak. Kedua-dua mereka berasal dari negeri Pahang. Sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Menteri Penerangan Malaysia, beliau bertanggungjawab membentuk, merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975.
Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkan dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan.

Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu pada 1975.

Beliau bertanggungjawab terhadap pembentukan Rukunegara iaitu satu prinsip perpaduan negara selepas Peristiwa 13 Mei. Cogan kata Bersatu Bertambah Mutu bagi Malaysia juga adalah hasil inisiatif beliau sebagai Menteri Penerangan pada tahun 1970.
Dari 1993-1995 beliau menjadi penulis tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia.

Terselamat dalam nahas Cessna

Pada 10 Januari 1982, pesawat Cessna 206 yang dipandu Tun Mohd Ghazali Shafie, ketika itu Menteri Luar Negeri Malaysia terhempas di Kampung Janda Baik. Ketika mereka dari Kelab Penerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya. Bagaimanapun Mohd Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh. Manakala pembantu juruterbang dan pengawal peribadinya (ASP Charon Daam dan co-pilot Vergis Chacko) terbunuh. Dua mayat ditemui dalam helikopter yang terhempas jam 3.00 petang dan diterbangkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Isteri Tun Ghazali iaitu Puan Sri Khatijah Abdul Majid ,anaknya Sharifuddin dan Bakhtiar menanti di Kuala Lumpur.

Pada 22 Jun 1983, coroner Abdullah Sidek di Mahkamah Majistret Bentong, Pahang memutuskan kematian dua orang penumpang itu kerana kemalangan udara. Perbicaraan berlangsung dari 14-18 Mei 1983. Juruterbang membuat keputusan merempuh awan di Waterworks Gap. Vergis patah di leher dan pendarahan dalaman. Sementara Charon cedera teruk di tengkorak dan leher.

Hasil tulisan

Ghazali Shafie's Memoir on the Formation of Malaysia (2nd printing). 2004. Ghazalie Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942- 364-6 (paperback)
Ghazali Shafie: Malaysia, Asean and the New World Order. 2000. Ghazalie Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942-479-0/ 967-942-487-1 (international Edition).
Tamadun Melayu: Menyongsong Abad kedua Puluh Satu. 1997. Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh & Ghazali Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942- 379-4 216 hlm.
Rumpun Melayu dan Bangsa Malaysia Menjelang Tahun 2020. 1995. Ghazali Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942-326-3.


Nazree Pilih PKR

Prinsip Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendokong ketelusan dalam setiap susur galur galur perjuangan parti itu mendorong mantan Pengerusi Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia), Mohd Nazree Mohd Yunus untuk menyertainya.

Nazri menyifatkan penyertaan beliau dalam sayap pemuda Keadilan sebagai usaha membantu menggalas perjuangan parti ke arah membawa pembaharuan dalam sistem politik negara.

Kemasukan Nazri dalam Angkatan Pemuda Keadilan AMK diumumkan oleh Ketuanya Shamsul Iskandar Mohd Akin pada sidang media di ibu pejabat parti di Tropicana Merchant Square petang tadi.

Semalam, Nazree meletak jawatan sebagai pengerusi gerak setelah memimpin badan itu kira-kira dua tahun.

Beliau mengambil alih jawatan itu daripada Ezam Mohd Nor yang meninggalkan Gerak untuk menganggotai Umno.

Walaupun dikaitkan rapat dengan Ezam, Nazree mempunyai asas prinsipnya sendiri dan memilih untuk menyertai perjuangan Pakatan Rakyat.

"Saya umumkan saya meletakkan jawatan saya pasa 23 Januari 2010 yang mana saya secara serius mahu menyertai parti politik dan memulakan fasal baru dalam perjuangan saya. Keputusan ini saya ambil setelah berjumpa Ketua Umum keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Beliau menegaskan keinginannya untuk menyertai Keadilan begitu kuat apabila meneliti dasar perjuangan parti itu yang menjurus kepada mendaulatkan ketelusan dalam setiap susur galur perjuangan mereka.

"Apapun penyertaan saya dalam PKR bersifat komplimentari, saling melengkapi kepimpinan yang sedi ada dalam parti. Yang lebih peting dari itu adalah kelompok- kelompok reformasi yang sudah lama berjuang dalam parti dan atas asas itu saya lihat penyertaan saya melengkapi ahli- ahli yang sedia ada," katanya.

Nazree berkata beliau berharap untuk memberi sumbangan kepada parti dari segi membudayakan integriti dan anti rasuah sebagai amalan utama dalam urus tadbir negara ini.

"Fokus saya untuk memberdayaan integriti dan bersama- sama perjuangkan ketelusan pentadbiran," katanya.

Samsul berkata kemasukan Nazree akan mengukuhkan Keadilan dan sayap pemuda parti itu secara keseluruhan.

"Saya dengan ini mengesahkan saudara Nazree sudah menghantar surat untuk menjadi ahli angkatan muda keadilan," katanya.

Penyertaan Nazri dalam PKR dilihat sebagai mengisi kepimpinan pelapis parti selain terus memberi kredibiliti kepada usaha PKR untuk menarik pemimpin muda yang bertekad membawa pembaharuan bagi menamatkan era penyelewengan kuasa dan rasuah. -TVS

Ulasan GB

Semenjak Datuk Seri Anwar, Ketua UMUM PKR dikenakan dengan pelbagai serangan dan tuduhan, semakin ramai pula yang menyertai PKR. Diantaranya, Bekas Ahli Parlimen Kuantan, Datuk Fauzi Abdul Rahman, Bekas Menteri di JPM, Datuk Zaid Ibrahim, Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Tan Kee Kwong, Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Dr. Chua Jui Meng, Bekas Naib Presiden MIC Datuk SS Subramaniam, Naib presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), V Nagarajan, Bekas ketua cawangan Umno Bukit Bendera Mentakab Datuk Alimudin Syawal dan ramai yang lain lagi.

Dan kini bekas Pengerusi Gerak, Mohd Nazree Mohd Yunus.

Demikian PKR. Wajar kita mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar dan PKR sendiri yang berjaya menarik perhatian orang-orang ternama ke dalam PKR.

Dan apa khabar PAS? Kelambu dah bakar ke belum?

Angkatan Muda Keadilan Mahu Zul Kulim Dikenakan Tindakan Disiplin

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pucuk kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan disiplin terhadap wakil rakyatnya Zulkifli Noordin yang membuat aduan di Akta Hasutan terhadap Ahli Parliman Khalid Samad.

Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata Zulkifli Noordin tidak sewajarnya membuat aduan polis meminta rakan sejawatannya dari PAS itu disiasat di bawah Akta Hasutan.

“Tindakan Zulkifli Noordin bertentangan dengan prinsip dan semangat Pakatan Rakyat,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Zulkifli, yang pernah disiasat Jawatankuasa Disiplin PKR dua tahun lalu berhubung isu lain, semalam membuat aduan polis ekoran saranan Khalid agar enakmen agama Islam Selangor disemak atas alasan ia sudah ketinggalan zaman.

Sambil menyifatkan tindakan Zulkifli semalam sebagai ala Umno, Shamsul Iskandar berkata pihaknya mahu pucuk kepimpinan mengambil tindakan tegas ke atas anggota Dewan Rakyat itu.

“Kami sangat kesal dengan tindakan beliau yang bertentangan dengan rangka kerja bersama Pakatan,” kata beliau selepas mesyuarat AMK di sini.

“Kami juga mencabar beliau tampil dan menjelaskan kepada AMK berhubung tindakannya... kami mencabar beliau agar berdebat dengan kami atas prinsip agama Islam dan ilmu.


“Surat formal akan dihantar kepada beliau dalam waktu terdekat,” kata beliau dan menambah pihaknya berpandangan isu berkenaan sudah selesai selepas Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan lebih 100 ahli politik, sarjana dan pemimpin NGO Islam baru-baru ini.

“Nampaknya tidak dan ia berterusan dengan tindakan Zulkifli,” katanya lagi.

Semalam, Zulkifli berkata, laporan polis itu dibuat berhubung kenyatan Khalid yang menyebut enakmen larang kalimah “Allah” ketinggalan zaman.

“Saya dah buat kenyataan dua hari lalu meminta supaya Khalid segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan umat Islam dan menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat sedemikian malahan tidak menunjukkan sebarang penyesalan setelah dipanggil menghadap Sultan,” katanya.

Pada 21 Jan lepas, Khalid berkata enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

“Saya percaya kenyataan Khalid adalah berunsur hasutan dan menghina Tuanku Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri dan umat Islam secara umumnya,” kata Zulkifli.

Laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Khalid disiasat sama ada mengikut Akta Hasutan, Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau enakmen atau undang-undang berkaitan Islam bagi negeri Selangor.

Menurut Zulkifli, Khalid juga seharusnya tidak lagi berada dalam PAS dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakan beliau sejak kebelakangan ini, dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS dan dasar Pakatan Rakyat.

Kedua-dua Khalid dan Zulkifli sudah ‘permusuhan’ dalam isu ini sejak awal bulan ini.

Ditanya sama ada beliau sendiri bersedia sekiranya PKR bertindak terhadapnya kerana tindakannya, Zulkifli berkata: “Saya tak akan halang PKR dari mengambil tindakan kalau mereka perlu ambil tindakan.”

Shamsul Iskandar menjelaskan PKR dan sayap pemudanya sentiasa konsisten bahawa Islam adalah agama rasmi di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi tindakan Zulkifli bertentangan dengan pendirian bersama PR dalam isu kalimah “Allah”.

PR, yang turut dianggotai PAS sebagai komponen yang lazimnya berpendirian konservatif dalam soal-soal berkaitan agama, berpendapat bahawa bukan Islam boleh menggunakan kalimah “Allah” selagi ia tidak disalahgunakan, ekoran keputusan mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakan perkataan itu dalam edisi Bahasa Malaysia.

“Apa yang beliau lakukan bertentangan dengan prinsip musyawarah,” kecam Shamsul Iskandar.

Bagaimanapun ketua AMK itu tidak menjelaskan apabila ditanya bentuk tindakan tegas termasuk kemungkinan Zulkifli dipecat dari parti, yang patut diambil ke atas beliau.

“Saya pasti parti akan melihat perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar berkata, AMK akan mengedarkan 100,000 salinan risalah bertajuk “Kes Qazaf Saiful” di masjid-masjid utama di seluruh pada Jumaat ini.

Ia menyentuh bahawa kes liwat melibatkan Anwar, yang didakwa oleh bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan, wajar dibicarakan di bawah sudut qazaf di Mahkamah Syariah. -MI

SPR Tak Layan Pandangan Pakatan Rakyat

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat tidak mengambil kira langsung pandangan sebahagian besar rakyat dan parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat tentang ketidaktelusan undi pos.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata Pakatan Rakyat sudah lama membuat bantahan tentang kemungkinan berlakunya penipuan dalam urusan pengundian pos.

“Pakatan Rakyat juga menuntut supaya daftar pemilih dibersihkan dari sebarang kekeliruan, menuntut penggunaan dakwat untuk mengelakkan pengundi mengundi lebih dari sekali.

“Semua itu tidak di ambil kira. Sebaliknya, SPR ingin meluaskan penggunaan undi pos kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan-perkhidmatan penting” katanya

Fakhrurrazi berkata, sistem undi pos yang ada sudah banyak menimbulkan masalah dan sepatutnya dihapuskan kerana tidak telus.

“Kita tidak pernah mendengar rungutan jururawat, doktor dan wartawan tentang kesulitan mereka untuk mengundi.

“Apa yang selalu kita dengar ialah masalah tentang nama pemilih dicatatkan dua kali dalam senarai pemilih dan nama pengundi mati masih ada dalam daftar pemilih” katanya

Menurutnya, SPR lebih peka kepada masalah yang remeh temeh dan kecil berbanding dengan masalah integriti SPR sendiri

“Cadangan SPR ini adalah langkah berundur ke belakang dan satu lagi cara yang membolehkan Umno/BN memanipusi undi pos untuk kemenangan mereka.

"Demokrasi di Malaysia akan lebih teruk kalau laksanakan cadangan ini. Ini usaha ke arah nak tutup ruang kebebasan dan demokrasi dalam pilihan raya," tegasnya.

Tambahnya, semakin hari SPR semakin diragui kewibawaannya sebagai pengendali pilihanraya.

Selasa lepas, Pengerusi SPR, Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof berkata, doktor, jururawat dan wartawan mungkin dipertimbang untuk dibenarkan mengundi secara pos pada pilihan raya umum akan datang.

Ia akan dibuat menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang sedang diteliti oleh SPR. -paritbuntar

PKR Wajar Ambil Tindakan Ke Atas Zul Kulim

Hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS dikusutkan lagi ekoran tindakan Zulkifli Noordin daripada PKR membuat laporan polis terhadap Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad daripada PAS.

Zulkifli yang juga Anggota Parlimen Kulim Bandar Baru berkata, laporan polis itu dibuat berhubung kenyatan Khalid yang menyebut enakmen larang kalimah "Allah" ketinggalan zaman. "Saya dah buat kenyataan dua hari lalu meminta supaya Khalid segera meminta maaf kepada Sultan Selangor dan umat Islam dan menarik balik kenyataan itu tetapi beliau tidak berbuat sedemikian malahan tidak menunjukkan sebarang penyesalan setelah dipanggil menghadap Sultan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Masjid India di sini hari ini.

Pada 21 Januari lepas, Khalid dalam kenyataannya yang dilaporkan MalaysiaKini menyatakan, enakmen agama Islam yang melarang penggunaan nama Allah dan perkataan-perkataan lain berkaitan Islam sudah ketinggalan zaman dengan alasan pada masa undang-undang itu diluluskan mungkin tahap kefahaman umat Islam terhadap agama Islam begitu lemah sehingga perlu dilindungi.

Kenyatan Khalid itu merujuk kepada Enakmen Ugama Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

"Saya percaya kenyataan Khalid adalah berunsur hasutan dan menghina Tuanku Sultan Selangor dan Dewan Undangan Negeri dan umat Islam secara umumnya," kata Zulkifli.

Katanya laporan polis itu dibuat bagi membolehkan Khalid disiasat sama ada mengikut Akta Hasutan, Seksyen 298A Kanun Keseksaan atau Enakmen atau undang-undang berkaitan Islam bagi negeri Selangor.

Menurut Zulkifli, Khalid juga seharusnya tidak lagi berada dalam PAS dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakan beliau sejak kebelakangan ini, dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS dan dasar Pakatan Rakyat. "Berdasarkan rentetan tindak-tanduk Khalid saya ingat, lagi baik beliau keluar saja daripada PAS. Pada saya elok dia keluar dari PAS, dan mungkin dia boleh sertai DAP (kalau masih nak berada dalam PR) ataupun buat parti sendiri.

Ditanya sama ada beliau sendiri bersedia sekira PKR bertindak terhadapnya kerana tindakannya hari ini, Zulkifli berkata: "Saya tak akan halang PKR dari mengambil tindakan kalau mereka perlu ambil tindakan." -BERNAMA

Ulasan GB

YB Zulkifli Nordin (Zul Kulim) nampaknya begitu ghairah mengikut rentak tari UMNO di dalam isu kalimah Allah shingga setelah tidak mampu berhujjah beliau mencari jalan lain untuk iaitu membuat laporan polis - langkah yang sama dilakukan oleh beberapa NGO dan geng kepala lembu terhadap YB Shah Alam Khalid Samad.

Malah Bernama sendiri, sebagai sebuah agensi berita yang kurang-mesra kepada parti Pakatan Rakyat menyifatkan tindakan YB Zul Kulim itu sebagai mengusutkan lagi hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS.

Sultan Selangor telah meminta Khalid menulis surat kepada baginda sendiri mengenai apa-apa cadangan mengenai perkara yang dibangkitkan Khalid - dan baginda Sultan sedia mempertimbangkannya.

Mengenai kenyataan Zul Kulim "Khalid juga seharusnya tidak lagi berada dalam PAS dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakan beliau sejak kebelakangan ini, dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS dan dasar Pakatan Rakyat." ternyata kesasar kerana umum melihat Zul Kulimlah yang sepatutnya tidak lagi berada di dalam PKR dan menubuhkan partinya sendiri memandangkan tindakannya dari dulu lagi telah dilihat sering bertentangan dengan pendirian partinya, PKR dan dasar Pakatan Rakyat.

Bagi Khalid pula, di dalam isu kalimah Allah contohnya, beliau telah mengeluarkan kenyataan awal yang kemudian kenyataannya itulah yang menjadi dasar pendirian PAS - bahawa Islam tidak melarang penggunaan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian.

Justeru dimana kebenaran kenyataan Zul Kulim bahawa Khalid "dilihat sering bertentangan dengan pendirian PAS"?

Malah menyuruh Khalid keluar PAS, apa locus standi yang ada pada Zul Kulim menyuruh Khalid berbuat demikian? Zul Kulim bukannya wakil rakyat PAS dan bukan pemimpin PAS. Beliau bertanding sebagai ahli parlimen PKR dan sewajarnya membataskan perkataan dan kritikannya di dalam lingkungan parti yang diwakilinya.

Pemimpin PKR sendiri menyokong kenyataan dan tindakan Khalid malah ada pemimpin PKR sendiri yang melihat Khalid sebagai pemimpin masa depan. (Sila rujuk SINI.

Memang GB maklum, ada juga di dalam PAS yang tak suka Khalid, namun ia minoriti. Sebilangan kecil. Dari kumpulan Hassan Ali, dari kumpulan bekas UG. Dan ia "negligible".

Sedangkan Zul Kulim sendiri terlibat menggunakan media akhbar, blog dan mimbar untuk menyemaikan api perkauman dan keagamaan di kalangan umat Islam ekoran isu kalimah Allah dan pendirian dan tindakannya itulah yang amat jelas bertentangan dengan pendirian parti yang diwakilinya, PKR dan Pakatan Rakyat. Zul Kulimlah yang sepatutnya disiasat di bawah Akta Hasutan.

Sudah sampai masanya PKR, mengambil tindakan ke atas Zul Kulim.
PR, do you agree?