30 Apr 2010

Rais Seorang Hipokrit - Tamrin Ghafar

Anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar menyifatkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai hipokrit apabila mempertikai kehadiran beliau pada dua ceramah kempen pilihan raya kecil Pakatan Rakyat di Hulu Selangor minggu lalu.

Ketika ditemuramah Suara Keadilan, Tamrin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Berendam selama dua penggal berkata berbanding Rais beliau tidak pernah meninggalkan Umno dan juga tidak bertindak membakar 'jambatan'.

"Tidak pernah dalam sejarah karier politik, saya tinggalkan parti tetapi Rais pernah berada di dalam parti Semangat 46 dan berkata beliau telah membakar jambatannya dengan Umno.

"Semasa di luar Umno beliau memaki hamun, mencerca dan menyerang begitu hebat sekali semua pemimpin Umno termasuk Najib dan isterinya Rosmah.

"Apabila dia perlukan jawatan Menteri kembali Rais sanggup mencium tangan yang membina jambatan yang dibakarnya," kata Tamrin di pejabatnya hari ini.

Tamrin yang juga bekas Pengerusi MARA dan Exco Pergerakan Pemuda Umno menyifatkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu sebagai seorang politikus yang licik tetapi gagal sebagai seorang anggota Kabinet.

"Rais akan berbuat apa sahaja dan cakap apa sahaja untuk memuaskan hati ketuanya asalkan jawatan dan kepentingan dia terjamin.

"Semasa menjadi Menteri Luar beliau gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih sehingga kita hilang pulau itu kepada Singapura.

Tamrin mengulas laporan Utusan Malaysia semalam yang memetik Rais sebagai berkata bahawa tindakan beliau menyertai ceramah Pakatan Rakyat diibarat seperti 'mendengar guruh dilangit, air tempayan dicurahkan' serta tidak mencerminkan perjuangan ayahnya, Tun Abdul Ghafar Baba.

"Sekarang ini Umno pandai bercakap mengenai perjuangan Tun Ghafar tetapi apabila sahaja ayah saya tidak lagi berada dalam kerajaan tidak ada pemimpin Umno yang peduli atau datang melawatnya. Mereka hanya datang ziarah disaat Tun Ghafar menghembuskan nafas terakhir beliau. Begitulah Umno melayan dan mengiktiraf jasa dan sumbangan Tun Ghafar. Dia hanya penting ketika pegang jawatan tinggi dalam parti dan kerajaan," kata Tamrin dalam nada kesal.

Menyentuh mengenai kehadirannya pada ceramah Pakatan Rakyat di Sungai Buaya dan Stadium Kuala Kubu Baharu, Tamrin berkata beliau mengkagumi ketokohan Datuk Nik Aziz Nik Mat sejak dalam Pemuda Umno lagi.

"Saya dengar Tuan Guru Nik Aziz akan berada di Sungai Buaya jadi saya pergilah. Kebetulan Datuk Seri Anwar, kawan lama saya, ternampak saya dan memperkenalkan saya kepada hadirin dan menjemput saya ke atas pentas. Apabila Tuan Guru tidak datang saya kembali keesokan malamnya untuk mendengar ceramah beliau di stadium. Baru sekarang saya dapat berpeluang untuk mendengar ceramah Tuan Guru setelah menunggu sekian lama.

"Terpulang kepada pucuk pimpinan parti sekiranya mereka ada niat untuk pecat saya. Saya sedia menerima apa juga keputusan dengan hati terbuka," kata beliau lagi. -SK

UMNO Kutuk MCA, Desak MCA Keluar BN

Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendesak MCA keluar dari Barisan Nasional (BN) daripada terus menuding jari di atas kegagalan mendapatkan sokongan pengundi Cina di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Ahmad Tajuddin mendakwa kegagalan MCA meraih sokongan pengundi Cina tidak hanya di Hulu Selangor tetapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu juga keadaan sama berlaku.

Menurutnya, pilihan terbaik kepada MCA adalah menarik diri sebagai parti komponen supaya tidak terus membebankan BN dengan kegagalan meraih kepercayaan pengundi Cina.

“Keluarlah dari BN untuk elak daripada terus membebankan parti komponen lain. Jangan menuding jari kepada sesiapa berikutan kegagalan kita sendiri. Sepatutnya mereka mengakui kesilapan bukan menuduh orang lain sebagai penyebab.

“MCA perlu mengaku bahawa mereka tidak lagi diberi kepercayaan daripada kaum Cina. Ia bukan berlaku pada pilihan raya kecil tetapi pada PRU 2008 lalu juga berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan MCA menyalahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana menjadi penyebab kekurangan undi masyarakat Cina pada pilihan raya kecil di Parlimen Hulu Selangor.

“Dakwaan MCA sekadar untuk menutup kegagalan mereka meraih sokongan masyarakat Cina. Pada saya ia tindakan yang tidak bertanggungjawab. MCA gagal meyakinkan masyarakat Cina supaya menyokong calon BN daripada MIC di Hulu Selangor.

“Jika UMNO mampu meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokong calon MIC, mengapa MCA tidak boleh?. Jangan mencipta alasan yang tidak bijak untuk menutup salah,” katanya. -SH

Ulasan GB

Najib akan cuba menepis saranan Ketua UMNO Bhgn Paya Besar itu kerana dengan mengiyakannya bererti BN kehilangan satu komponen utama.

Namun MCA, apa lagi jika dah dikutuk sedemikian rupa? Masih ada harga diri?

Timb Menteri Turut Selar Tindakan Polis

Saya berasa kesal dengan kematian Aminulrasyid Amzah, dan marah kerana polis memperlekehkan nyawa rakyat. Remaja ini tidak seharusnya mati di tempat kejadian. Masa depan seseorang remaja terkubur begitu sahaja hanya kerana kesilapan polis ketika membuat tafsiran.

Aminulrasyid Amzah tidak harus dilihat sebagai penjenayah tegar, malah tidak mempunyai rekod jenayah lama. Mengapa remaja sebegini dilihat sebagai penjenayah besar? Ia tidak memperlihatkan kewajaran.

Isu remaja ditembak mati polis telah mencungkil perbincangan umum, terutamanya di laman sosial, Facebook. Tidak kurang pelayar internet yang menganggap bahawa polis membunuh mereka yang tidak berdosa.

Kita ketepikan isu sama ada Aminulrasyid Amzah disyaki melakukan jenayah atau tidak buat sementara. Bagaimanapun polis tidak harus menembak mati remaja ini. Polis mempunyai banyak cara untuk menghentikannya, termasuk menembak dengan menghala ke atas, menembak ke arah tayar keretanya, tetapi bukan menembak ke arah seorang remaja berumur 15 tahun.

Saya amat kesal dengan prestasi polis. Beberapa bulan kebelakangan ini, pasukan polis bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk membina imej mereka. Malah, Perdana Menteri Najib Razak telah memutuskan untuk mempertingkatkan kebajikan polis, dengan harapan untuk memperkemaskan pasukan polis, lantas mengembalikan kewibawaan polis. Namun, kini polis disyaki memperlekehkan nyawa rakyat, membunuh mereka yang tidak berdosa, mengakibatkan usaha sebelum ini disia-siakan begitu sahaja.

Saya amat yakin, Aminulrasyid Amzah bukanlah penjenayah yang terkenal dengan rekod buruknya, malah beliau tidak mempunyai rekod jenayah. Dalam keadaan sedemikian, saya anggap beliau cemas dan cuba melarikan diri kerana memandu tanpa lesen. Tetapi, polis seharusnya boleh menafsir pada ketika itu. Realiti membuktikan bahawa polis yang bertugas salah tafsir. Malah, hukum mati bukan jawapannya seandainya kesalahan memandu tanpa lesen dibawa ke mahkamah.

Sementara sesetengah pihak menyalahkan pengundi Cina tidak mengundi BN kerana tidak tahu bersyukur, kita seharusnya faham bahawa isu seperti Aminulrasyid Amzah adalah punca pokok mengapa Cina hilang yakin kepada kerajaan BN. Isu ini menjurus kepada hilang yakin rakyat terhadap polis, tidak kira warna kulit mangsanya, dan ini menyebabkan imej kerajaan terjejas.

Saya berharap, sementara kerajaan mengendalikan kes Aminulrasyid Amzah ini, kerajaan juga harus bertekad untuk memperkemaskan pasukan polis, termasuk menggunakan segala penyelasaian untuk memperbaiki imej polis, barulah meningkatkan kewibawaan kerajaan BN di kalangan rakyat.

*Wee Ka Siong ialah Ketua Pemuda MCA merangkap Timbalan Menteri Pelajaran. Diterjemah dari kenyataan bahasa Cinanya. -MR

CPO Selangor Usah Celupar - Mahfuz

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar menasihatkan Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar tidak mengeluarkan kenyataan celupar meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden remaja 15 tahun mati ditembak polis.

“Adalah menjadi tanggungjawab warga PDRM untuk menuntut Ketua Polis Selangor Datuk Khalid menutup mulut dari mengeluarkan kenyataan celupar dan tidak membantu usaha memperbaiki imej PDRM,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata kenyataan Khalid yang meminta ahli politik jangan campur tangan dalam kes menembak mati Allahyarham Aminulrasyid Amzah di Shah Alam Isnin lalu amat dikesali.

“Kenyataan beliau seolah olah ahli politik cuba mencampuri dan mengganggu urusan polis,” kata beliau lagi.

Mahfuz juga berkata, kenyataan ketua polis negeri itu juga dilihat sebagai satu percubaan yang terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat dari mempersoalkan integriti polis.

Kejadian yang menimpa Aminulrasyid, kata beliau, memburukkan lagi persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan dan polis.

“Sedangkan tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan untuk mangsa dan keluarganya.

“Kepada anggota PDRM ingin saya nyatakan kenyataan ketua Polis Selangor telah menambah persepsi negatif rakyat terhadap polis,” katanya.

Kelmarin, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Beliau berkata campur tangan sedemikian akan hanya mengganggu siasatan.

Dalam kejadian berkenaan kira-kira pukul 2 pagi, Aminulrasyid meninggal dunia selepas terkena tembakan anggota polis peronda apabila remaja itu dikatakan cuba melarikan diri dalam satu sekatan polis. -TMI

Ulasan GB

Apa lagi polis, tembak sahaja semua ahli politik termasuk Mahfuz sampai mati. Tak begitu?

Ezam Bakal Dilantik Timbalan Menteri?

Bekas Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan dilantik sebagai Timbalan Menteri selepas mengangkat sebagai Ahli Dewan Negara Isnin depan.

Sumber Umno mengatakan Ezam kemungkinan akan dilantik sebagai salah seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah porfolio Tan Sri Koh Tsu Koon dan akan bertanggungjawab mengenai NKRA dan KPI.

Lantikan sebagai Senator dan Timbalan Menteri dilihat sebagai satu "habuan politik" setelah membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Barisan Nasional memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dalan pilihan raya kecil Ahad lalu.

Antara tugasan Ezam yang dianggap "berjaya" oleh pimpinan Umno ialah tindakan keluar parti oleh beberapa pimpinan AMK peringkat cabang di Selangor dan Kelantan serta memainkan isu arak terhadap calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim di kawasan majoriti pengundi Melayu di kawasan Felda semasa kempen PRK Hulu Selangor.

Ezam, 42, meletak jawatan sebagai Ketua AMK Pusat yang dipegang beiau sejak 1999 dan juga Ketua Cabang Shah Alam pada Februari 2007 dan keluar KEADILAN pada Jun berikutnya.

Beliau menyertai semula Umno pada 28 Mei 2008 dengan menyerahkan borang keahlian parti kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dijangka mendapat "hadiah politik" ialah Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel ayang bakal dilantik sebagai Menteri.Palanivel yang merupakan pilihan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu terpaksa memberi laluan kepada calon MIC pilihan Umno, P Kalamanathan setelah mendapat bantahan dan pandangan negatif dari kalangan pimpinan Umno.

Dua lagi Senator baru selain Ezam dan Palanivel ialah Pengerusi Eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat.

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Presiden Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara pada hari Isnin pukul 9 pagi. -SK