27 Jun 2013

Apa Sahaja Yang Dibeli Kerajaan Malaysia Akan Lebih Mahal

Peningkatan kos pembelian ‘dakwat kekal yang tidak kekal’ bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu didakwa meningkat tiga kali ganda daripada kos yang dikeluarkan pada pilihan raya sebelumnya iaitu sebanyak RM7.1juta.

Pada Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU-12) tahun 2008 lalu, jumlah kos yang digunakan untuk pembelian dakwat kekal oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sebanyak RM2.4 juta walaupun dakwat kekal itu dimusnahkan selepas tidak dibenarkan oleh kerajaan beberapa hari sebelum pilihanraya berlangsung.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, jumlah pengundi pada 2008 adalah sebanyak 10.9 juta orang manakala pengundi pada 2013 adalah sebanyak 13.2 juta orang dan ia melibatkan pertambahan hampir 20 peratus sahaja.

Menurutnya, pertambahan pengundi sebanyak 20 peratus menyebabkan peningkatan kos dakwat kekal sebanyak tiga kali ganda adalah sangat mengejutkan.

“Saya amat terkilan dengan jawapan dari SPR melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam yang mendedahkan jumlah kos untuk penggunaan dakwat kekal dalam PRU-13 adalah sebanyak RM7.1 juta,” katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mempersoalkan kos pembelian sangat tinggi oleh Kerajaan Pusat untuk membeli sesuatu barangan.

Sebagai contoh, Kerajaan India menyumbangkan 40,000 botol dakwat kekal kepada Cambodia bagi tujuan pilihan raya dengan kos RM2.8 juta (US$877,800) pada 19 Jun lalu.

“Mengapa perbezaan kos ini begitu ketara dan apa sahaja yang dibeli oleh Kerajaan Malaysia sentiasa lebih mahal?.

“Semuanya lebih mahal, kereta perisai lebih mahal, kapal selam pun lebih mahal,” soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menggesa Kerajaan Pusat mengambil tindakan undang-undang terhadap pembekal dakwat berkenaan yang gagal mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Bagaimanapun, pembekal dakwat berkenaan dilindungi oleh SPR yang merahsiakan maklumat syarikat tersebut atas sebab keselamatan.

Menurut Anthony, tiada sebab maklumat pembekal dakwat berkenaan dirahsiakan kerana PRU-13 sudah berakhir.

Akhirnya Idris Haron Menjilat Ludahnya Sendiri


KM: 300 peniaga Jonker Walk boleh berniaga seperti biasa

Kira-kira 300 peniaga boleh meneruskan perniagaan mereka seperti biasa di kawasan pasar malam Jonker Walk pada setiap hujung minggu, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron.

Beliau berkata, arahan penutupan gerai yang kebanyakkannya menjual cenderamata di Jonker Walk itu hanya salah faham, sebaliknya penutupan itu hanya melibatkan laluan kenderaan di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, jalan sekitar Jonker Walk yang menjadi tumpuan pelancong itu dibuka semula untuk kenderaan yang ketika ini ditutup bermula 6 petang hingga 12 malam pada setiap Jumaat hingga Ahad bertujuan mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

"Arahan pembukaan jalan ini, berikutan aduan orang ramai dan pelancong mengenai kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut terutama pada hujung minggu," katanya kepada Bernama di Melaka hari ini.

Idris berkata isu menghalang peniaga berniaga di Jonker Walk pada hujung minggu, sengaja dimanipulasikan pihak tertentu demi kepentingan politik mereka.

Ditanya sama ada pembukaan jalan tersebut menyukarkan pengunjung dan peniaga, Idris berkata: "saya tidak fikir begitu".

Sebagai contoh, katanya di Oxford City, England peniaga menjalankan perniagaan di kaki lima jalan raya dan kenderaan dibenar melalui kawasan disitu.

Sebuah akhbar bahasa Cina pada Isnin memetik Idris sebagai berkata mesyuarat Exco pada 12 Jun lepas, memutuskan menutup pasar malam berkenaan demi memenuhi hasrat rakyat. -Bernama

Zahid Hamidi Gagal Ketepikan Kes Saman Terhadapnya Daripada Dibicarakan


Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan semua ruang undang-undang untuk menghalang kes saman terhadapnya didengari di mahkamah.

Mahkamah Persekutuan pagi ini menolak permohonan menteri dalam negeri itu yang cuba mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah lebih rendah mengatakan kes saman itu perlu dibicarakan.

Saman itu difailkan oleh Amir Bazli Abdullah terhadap Ahmad Zahid yang dituduh menumbuk mukanya pada 16 Januari 2006 di Kelab Rekreasi Country Heights di Kajang, Selangor.

Amir Bazli mengalami patah hidung (kecederaan kekal) dan rosak kekal di bahagian sebelah kiri mata.


Lima orang Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Tan Sri Md Raus Sharif mengatakan persoalan undang-undang sudah selesai.

"Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kes itu perlu dibicarakan dan Mahkamah Rayuan mempunyai pendapat sama," kata hakim itu.

"Biarlah ini dibicarakan di mahkamah dan biarkan mahkamah membuat keputusan. Dia akan mempunyai ruang untuk merayu kemudian."

Md Raus kemudian menolak permohonan Ahmad Zahid dengan kos RM5,000.

Semasa kejadian itu dikatakan berlaku, Ahmad Zahid merupakan timbalan menteri penerangan.

Dalam satu kenyataan tuntutannya, Amir Bazli berkata, kira-kira jam 10 malam pada 16 Jan, 2006, dia berada di sebuah stesen minyak di Bangi apabila ejen defendan mendekati dan mengugutnya.

Mereka membawanya secara paksa ke kelab rekreasi Country Heights di Kajang.

Terdapat, plaintif menyaksikan Ahmad Zahid dengan menantunya bernama Hisham dan anak lelakinya yang dikenali sebagai KK. Terdapat juga beberapa yang lain bersama mereka. -TMI

Najib Guna "Nama Palsu", Jingga Buat Laporan Polis

Badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana membuat afidavit palsu kes Liwat II yang difailkan dalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 dan 23 September 2011.

Koordinator Jingga 13 Fariz Musa dalam laporan berkata, Najib dalam afidavit berkenaan telah membuat kenyataan secara bersumpah memberikan nama penuh beliau sebagai ‘Najib bin Tun Hj. Abdul Razak’.

Manakala isterinya Datin Seri Rosmah Mansor juga ada membuat afidavit pada 21 September 2011 dan menyatakan secara bersumpah juga yang nama penuh suami beliau ialah Najib dan bukan Mohd Najib.

Kenyataan bersumpah itu dilakukan Najib dan Rosmah dihadapan Pesuruhjaya Sumpah Malaysia Abdul Karem Hassan.

Bagaimanapun menurut Fariz semasa hari penamaan calon 20 April lalu, Najib telah mendaftarkan nama penuhnya sebagai Mohd Najib dan diterima oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi kawasan Parlimen Pekan.

Sekaligus menjadikannya bercanggah dengan nama yang difailkannya dalam afidavit kes Liwat II.

“Saya mempunyai sebab untuk mempercayai Pengerusi SPR sendiri telah mengetahui perkara ini sebelum hari penamaan calon dan boleh menjangka percanggahan berkaitan nama sebenar Najib akan berlaku,” katanya.

Laporan polis dikemukakan Fariz di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini tengahari semala m.

Beliau dalam laporan turut merujuk kepada dua artikel bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim yang disiarkan FMT “Usulkan undi tidak percaya terhadap Najib” yang disiarkan pada 17 Jun lalu dan “Pencalonan Najib dalam PRU13 ditolak?” pada 15 April lalu.

Mat Zain dalam artikelnya berkata kes sama pernah terjadi dalam sejarah undang-undang Malaysia apabila seorang wanita Sharma Kumari Shukla dijatuhkan hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah membuat dua afidavit palsu berkaitan dengan nama penuh beliau.

Sehubungan itu, Fariz menggesa polis menyiasat Najib kerana dikatakan telah membuat afidavit palsu dalam perbicaraan kes liwat dan dengan menggunakan nama berlainan semasa mengisi borang pencalonan PRU13.

Beliau juga menggesa polis menyiasat tindakan Pengerusi SPR kerana cuba bersubahat dengan Najib menyorokkan maklumat penting, iaitu mengenai percanggahan nama terbabit, di luar pengetahuan calon lawan dan pengundi kawasan Pekan.

"Perbuatan menyorokkan maklumat mustahak seperti di atas boleh dikatakan sebagai perbuatan menipu,” tegasnya. -FMT

Blogger Milosuam Dikenakan Ikatjamin RM15,000

Kota Kinabalu: Blogger yang berpangkalan di Melaka 'Milosuam' didakwa di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana menyiarkan kenyataan bertujuan menyebabkan ketakutan orang ramai ketika pencerobohan askar Sulu.

Yusuf Al Siddique Suratman, 29, mengaku tidak bersalah terhadap penyiaran blog di bawah tajuk (Maklumat Sulit: Pendatang Asing Bakal Cetus Huru-Hara di Sabah) yang mana dia turut mendakwa 1,500 warga asing akan menyebabkan huru-hara di Sabah dengan menyiarkan dokumen yang didakwa oleh pihak polis.

Yusuf, didakwa pada Selasa di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan rasa takut dan menghadapi maksimum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Edward Paul menetapkan tarikh perbicaraan pada 22-23 Julai dan membebaskan Yusuf dengan ikat jamin RM15,000 dan seorang penjamin tempatan.

Dia juga telah diarahkan untuk menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Peguam Kanan Persekutuan Jamil Aripin memberitahu mahkamah bahawa tertuduh telah didakwa di Kota Kinabalu kerana blog itu telah dibaca secara meluas di Sabah.

Peguam Yusuf Erveana Ansari berkata mereka telah memohon kepada Jabatan Peguam Negara untuk memindahkan kes itu ke Kuala Lumpur.

Terdahulu, Jamil telah membantah ikat jamin untuk Yusof atas alasan Yusuf adalah dari Semenanjung Malaysia tetapi Erveana berhujah bahawa tidak ada sebab untuk tertuduh melarikan diri dengan kesalahan kecil.

Beliau berkata bahawa Yusuf telah berkahwin pada 29 Jun dan sebagai bukan rakyat Sabah, dia perlu menghabiskan lebih banyak wang untuk perjalanan di sini. -mstar

LAPORAN SEBELUM INI


Penahanan Milo Suam cubaan sekat blogger pro Pakatan – Sivarasa


PETALING JAYA 3 MEI: Penahanan blogger pro Pakatan Rakyat, Milo Suam adalah cubaan polis untuk menyekat beliau dari terus mendedahkan maklumat sehingga tamat pilihan raya, kata Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa.

Milo Suam atau nama sebenarnya Yusuf Al-Siddique ditahan pada 1 Mei lalu di bawah Akta Rahsia Rasmi (1972) kerana mendedahkan dokumen sulit milik polis berhubung maklumat wujud pencetus huru-hara pada 5 Mei nanti.

Melalui maklumat dalam dokumen tersebut, Milo Suam mendedahkan seramai 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau, Sabah akan membuat huru-hara pada hari mengundi.

“Kita mempersoal apa motif penahanan itu sedangkan Milo Suam ada menyebut bahawa dokumen dalam bentuk emel berantai itu belum disahihkan kebenarannya kerana ramai pihak turut menerimanya,” kata Sivarasa pada sidang media hari ini.

“Beliau (Milo Suam) juga ada menasihatkan orang ramai yang menerima e-mel itu supaya membuat pertimbangan wajar kerana ia belum disahkan benar, tetapi dengan penahanan ini, ia seolah-olah mengesahkan kebenaran maklumat dalam dokumen tersebut,” katanya lagi.

Menurut Sivarasa, punca utama penahanan itu tidak kukuh untuk membolehkan Milo Suam ditahan, justeru beliau menyifatkan penahanan itu bermotif politik demi menyekat kebebasan blogger pro Pakatan.

“Kita amat terkejut macam mana tulisan itu dijadikan alasan kukuh untuk tahan seorang blogger. Umum tahu dia menyokong Pakatan dan berpengaruh di kalangan blogger, jadi kita sifatkan penahanan ini berniat jahat,” tegasnya.

“Milo Suam sepatutnya direman sehingga hari ini, tetapi tadi kita dimaklumkan kononnya ada laporan lain terhadap beliau. Oleh itu beliau akan terus ditahan lagi, jelas sekali ada motif politik di situ,” jelasnya.

Beliau turut membidas penahanan mangsa di bawah OSA sebagai ugutan kepada kebebasan media.
-KD(3/5/2013)

Dakwat Kekal: Putarbelit Oleh SPR Untuk Pertahankan Penipuannya!


SSuruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui hari ini di Dewan Rakyat tiada bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal yang digunakan pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, sebaliknya digantikan dengan pewarna makanan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu dalam transkrip jawapan kepada pertanyaan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng yang mahu SPR menjelaskan kandungan dakwat kekal tersebut memandangkan keberkesanannya semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13) dipersoalkan kerana boleh ditanggalkan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan," kata Shahidan hari ini.

Kenyataan tersebut nyata berbeza dengan penjelasan SPR sebelum ini yang mengatakan mereka menggunakan Nitrat Perak dalam dakwat kekal sebelum ini dan memberikan alasan pengurangan kandungan tersebut sebagai punca kemelut dakwat kekal tersebut ditanggalkan berlaku.

Shahidan juga berkata tarikh luput dakwat kekal adalah empat bulan daripada tarikh ia dikeluarkan serta menyalahkan pengundi yang sengaja berusaha menanggalkan dakwat tersebut sebagai punca ia tidak kekal.

"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan.

"Kesan ketahanan penggunaan dakwat kekal adalah tertakluk kepada individu dan usaha-usaha yang dilakukan bagi tujuan menghilangkan dakwat kekal berkenaan," katanya lagi.

Dalam jawapan bertulis lagi, Shahidan juga memberitahu dewan sejumlah RM6.9 juta dibelanjakan untuk penggunaan dakwat kekal disamping perbelanjaan tambahan RM200 ribu meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dan menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM7.1 juta.

Shahidan turut berkata SPR tidak bercadang untuk memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan.

Pakatan Rakyat menyalahkan penipuan pilihan raya menyebabkan mereka tidak menjadi kerajaan walaupun menang undi popular dalam Pilihan Raya 2013.

Isu dakwat kekal yang boleh ditanggalkan antara penipuan didakwa oleh PR dilakukan oleh SPR, malahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu dalam perhimpunan besar-besaran yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), telah menggesa orang awam untuk membuat laporan polis jika mereka berhadapan dengan insiden dakwat kekal tanggal daripada jari mereka sebaik mengundi pada 5 Mei lalu.

Malahan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengumumkan pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi mengenal pasti punca yang menyebabkan dakwat kekal yang digunakan pada PRU13 tidak kekal lama selepas dicalit.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kuasa dalam pilihan raya 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen, lebih 21 daripada syarat 112 kerusi Parlimen untuk menang majoriti mudah.

Walau bagaimanapun, kemenangan BN kali ini lebih kecil di Parlimen sejak negara Merdeka pada 1957.

PR enggan menerima kekalahan tersebut, sebaliknya mempertahankannya dengan kemenangan undi popular sebanyak 51 peratus berbanding BN 48 peratus — keputusan sama yang diperoleh pemerintah pada 1969 selepas kehilangan undi popular.

PR juga telah memfailkan 39 petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan di dalam 25 kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di mana BN menang dengan majoriti kecil, yang didakwa mereka hasil penipuan semasa pilihan raya.

Walaupun tedapat bantahan besar ke atas pengendalian PRU13, SPR menegaskan mereka telah menjalankan pilihan raya secara adil dan berjaya, serta memberikan jumlah tinggi yang keluar mengundi sebanyak 84.84 peratus sebagai bukti keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. -TMI

LAPORAN SEBELUM INI

Dakwat kekal tidak boleh ditanggal, kata pengerusi SPR



KUALA LUMPUR, 30 April — Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak dakwaan minyak enjin motor atau bahan-bahan lain boleh digunakan untuk menanggalkan dakwat kekal pada pengundi, pelbagai bantahan tercetus mengatakan ia tidak boleh kekal seperti dikatakan.

Abdul Aziz berkata dakwat yang digunakan SPR tersebut mengandungi bahan nitrat perak (silver nitrate) yang meresap ke dalam kulit dan mustahil ia ditanggalkan dengan sebarang cara walaupun dengan apa cara sekalipun, malah bahan seperti minyak ataupun bahan-bahan lain tidak boleh menanggalkannya.

“Mustahil, saya tidak percaya dakwat kekal itu boleh ditanggalkan... gunalah minyak atau bahan apa pun, ia tidak boleh ditanggarl kerana ia dibuat daripada nitrat perak.

“Bila dakwat itu diletak pada kuku, ia akan meresap ke dalam kulit,”
kata Abdul Aziz.

Walaupun kesan pada kuku itu boleh hilang jika dibasuh atau dengan menggunakan minyak, Abdul Aziz menegaskan kesannya pada kulit masih lagi boleh dilihat dan pengundi tidak akan dapat menipu untuk mengundi sebanyak dua kali seperti yang didakwa sebelum ini.

“Kalau dia guna minyak atau basuh pun, kesannya pada kulit masih ada... pegawai bertugas boleh melihat dan menghalang daripada pengundi tersebut mengundi sebanyak dua kali,” terang Abdul Aziz lagi.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal tidak akan hilang selama tujuh hari bagi mereka yang mengundi awal, serta menggesa sekiranya pihak tersebut mempunyai bukti supaya tampil ke hadapan dan buktikan dakwaan tentang penggunaan petrol untuk menanggalkan dakwat tersebut.

“Tak boleh tipu mengundi dua kali, dakwat kekal yang pengundi awal gunakan tidak akan hilang dalam masa tujuh hari.

“Kalau mereka ada bukti, saya harap tampillah buat aduan kepada SPR,” katanya lagi.

SPR telah menyediakan lebih 200,000 unit botol dakwat kekal untuk kegunaan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Daripada jumlah itu, 10,000 botol akan digunakan untuk pengundi awal, manakala selebihnya untuk kegunaan pengundi biasa.

Sejumlah hampir 13.3 juta pengundi termasuk 5,200 pengundi luar negara layak untuk mengundi untuk memilih 222 wakil di Parlimen dan 505 wakil Dewan Undangan Negeri (DUN) di 12 negeri. Sarawak telah menjalankan pilihan raya negeri pada 2011.
-TMI (30/4/2013)