2 Jul 2013

BR1M: Ahmad Maslan Buktikan Najib Seorang Penipu Besar


Bantuan BR1M RM1,200 boleh bertahan dua bulan, kata menteri

Datuk Ahmad Maslan memberitahu Dewan Rakyat hari ini Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinaikkan kepada RM1,200 mampu menyara isi rumah selama dua bulan, berbeza dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengatakan wang BR1M sebanyak RM500 boleh bertahan selama setahun.

Semasa pemberian BR1M 2.0 pada Februari lalu, Najib berkata sekiranya RM500 dibahagikan kepada 12 bulan setiap bulan satu isi rumah akan memperoleh RM41.60 dan ia mencukupi untuk menyara mereka selama setahun.

"Apabila BRIM dinaikkan kepada RM1,200 ia akan diterjemahkan dengan membantu perbelanjaan isi rumah untuk dua bulan, 10 bulan lagi mereka perlu usahakan sendiri," kata Timbalan Menteri Kewangan tersebut semasa menjawab soalan di Parlimen pagi ini.

Seramai 6.8 juta isi rumah dan individu bujang telah menerima BR1M 2.0 pada tahun ini yang meliputi 88.1 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon dimana RM2.9 bilion telah diagihkan oleh kerajaan, peningkatan sebanyak RM0.3 bilion berbanding pusingan pertama BR1M yang berjumlah RM2.6 bilion.

Bagaimanapun, Ahmad Maslan gagal memberikan penjelasan selepas Ahli Parlimen Sibu (DAP) Oscar Ling Chai Yew bangkit untuk mempertikaikan kadar kemiskinan negara yang dikatakan sudah menurun tetapi kerajaan masih lagi terpaksa memberikan bantuan daripada segi wang tunai kepada rakyat Malaysia.

"Pandangan mengatakan kadar kemiskinan dalam negara telah turun adalah tidak selari dengan pemberian BR1M , boleh menteri menjawabnya?" kata Ling.

Ahmad Maslan kemudiaan menjawab: "Tentang statistik itu saya tidak ada,"
jawab Ahmad Maslan.

Pada Mac lalu, Najib menegaskan kadar kemiskinan negara terus menurun daripada lebih 60 peratus pada awal kemerdekaan, kepada 1.7 peratus tahun lalu.

Najib berkata jurang pendapatan dalam kalangan rakyat Malaysia juga bertambah baik dengan kadar pekali Gini menurun kepada 0.431 pada 2012.

Pakatan Rakyat (PR) telah mengkritik pentadbiran Najib dengan apa yang mereka katakan sebagai membeli undi oleh kerajaan BN melalui perbelanjaan awam dalam bentuk pelbagai pemberian seperti BR1M sebelum pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

Dalam manifesto PRU13 lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) telah berjanji pemberian BR1M akan ditambah secara berperingkat sehingga RM1,200 untuk isi rumah dan RM600 untuk golongan bujang dengan bantuan secara tahunan dikekalkan.

Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 4.1 peratus dalam suku pertama 2013, dalam persekitaran luar negara yang lemah.

Ini berbeza dengan 5.1 peratus yang dicapai dalam suku yang sama pada 2012 dan 6.5 peratus dalam suku keempat tahun lepas.

Hutang negara juga mencecah kepada 53 peratus KDNK - menghampiri siling 55 peratus - naik daripada 43 peratus pada tahun 2008. -TMI

Dalang Demo Ibu Tunggal Dah Cabut, Saman Pada Kerajaan S'gor Batal


Mahkamah Rayuan Putrajaya telah membatalkan kes saman ibu tunggal terhadap kerajaan Selangor kerana plaintif gagal memfailkan notis rayuan kepada mahkamah.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Selangor, Murtini Kasman Saman tidak memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membatalkan saman tersebut sehingga tempoh tamat berakhir pada 12 Jun lalu.

Sehubungan itu, Rodziah berkata, Murtini dan plaintif yang lain telah akur dengan keputusan mahkamah bahawa saman yang dibawa itu satu kesilapan dalam proses mencari keadilan.

"Selain itu, 3,010 ibu tunggal yang lain juga telah menarik balik saman mereka pada 12 Jun.

"Pelbagai kes saman lain seperti tuntutan oleh suri rumah juga telah ditarik balik. Kerajaan Selangor bersetuju kekalahan Martini dan kes saman kesemuanya yang lain ditarik balik tanpa sebarang tuntutan kos oleh kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang dibuat di lobi Dewan Undangan Negeri hari ini.

Kumpulan ibu tunggal itu memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu dengan menuntut elaun berjumlah RM10.9 juta seperti dijanjikan kepada mereka oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto pilihan raya umum 2008.

Pada 12 Disember 2011, kerajaan Selangor dan Khalid memfaikan permohonan untuk membatalkan saman tersebut dan pada 23 Januari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu dan memutuskan kes itu dibicarakan.

Pada 13 Mei lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.


Berikutan keputusan penting itu, mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada pilihan raya umum 2008.

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950, Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan

Justeru, Azmin mendesak Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi. -selangorku

[VIDEO] Presiden PAS: Tubuh Tribunal Siasat PRU13


Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan kepada Dewan Rakyat agar satu tribunal ditubuhkan bagi menyiasat kepincangan perjalanan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Bercakap sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong semalam beliau berkata, terlalu banyak perkara yang dipertikaikan pada pilihan raya lalu yang memerlukan satu siasatan menyeluruh dari sebuah badan yang bebas.

"Kita mencadangkan ditubuhkan tribunal untuk melakukan postmortem PRU13.

"Anggota tribunal ini pula mestilah dilantik dari kalangan mereka yang diterima semua pihak," katanya.

Menurut Ustaz Hadi, beliau yakin jika tribunal ini ditubuhkan untuk menyiasat PRU13 lalu, banyak pendedahan akan timbul berkaitan masalah yang berlaku khususnya berkaitan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ianya termasuk isu daftar pemilih yang diragui, isu pengundi warga asing dan termasuk juga isu penggunaan dakwat kekal.

Katanya, SPR juga pelu dibuat perubahan dengan membebaskan suruhanjaya itu daripada kongkongan kuasa politik pemerintah.

"Kita perlu kepada SPR yang bebas, bukan lagi SPR yang diletakkan dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

"Bila di bawah JPM kita melihat pegawai-pegawainya juga dikongkong," katanya lagi.

Menurutnya, kerajaan perlu berani untuk melakukan perubahan termasuk reformasi sistem pilihan raya bagi memastikan demokrasi negara ini berjalan dengan adil.

Mengulas isu keputusan PRU13 lalu pula beliau berkata, PAS mengiktiraf kemenangan yang diperolehi namun pada masa yang sama menentang segala penipuan dan salah laku yang berlaku.

"Sebab itu kami datang angkat sumpah. Kami iktiraf kemenangan ini walaupun menghadapi salah laku dan penipuan.

"Ada perkara yang kita tidak iktiraf, maka berlakunya petisyen oleh pembangkang dan juga BN.

"Menunjukkan kemenangan yang tidak menyenangkan kerana masih ada amalan yang tidak betul dalam amalan demokrasi," katanya. -HD



Kuala Besut Kekal Milik PAS: Jentera Pilihanraya Sudah Digerakkan

PAS Terengganu sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi pilihanraya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut termasuk mengenal pasti dan menyenarai pendek calon yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu antara nama yang dipertimbangkan adalah terdiri daripada anak tempatan dan menolak cadangan pihak media yang menyebut tentang Ustaz Azhar Idrus sebagai turut disebut-sebut untuk menjadi calon.

YB Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata, banyak pihak yang mahu bertanding pada PRK Kuala Besut, namun katanya, oleh kerana kerusi tersebut pernah ditandingi oleh PAS, Pakatan Rakyat akan memberi laluan kepada PAS.

"Ustaz Azhar Idrus dia orang (Kawasan) Ladang (Kuala Terengganu) bayak maklumat yag kita terima dia tak minat untuk bertanding politik ini, antara nama yang naiknya (disenaraikan) adalan nama anak tempatan,

"secara peribadi saya ada berbincang dengan saudara YB Azan, Insyaa Allah tidak ada masalah untuk diberikan laluan keada pihak PAS kerana PAS yang bertanding sebelum ini, kita (Pakatan Rakyat) bersetuju, kalau boleh satu lawan satu,"ujarnya. [Lihat Video]

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di pejabat PAS Terengganu, di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar di sini hari ini, pada Isnin 1 Julai.

Beliau menegaskan tidak timbul soal untuk memboikot pilihanraya kecil tersebut sebagaimana yang dicadangkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam.

Haji Wahid yang juga ADUN Wakaf Mempelan berkata, jentera telah disusun bagi menghadapi pilihanraya tersebut termasuk melantik Timbalan Pesuruhjaya I PAS negeri yang juga ADUN Paka Ustaz Satiful Bahri Mamat sebagai Pengarah bagi Jawatankuasa Operasi bagi negeri Terengganu.

"tidak timbul soal boikot, kalau (kita) boikot....Umno 'amin' (sukacita) aje lah...........kita telah bermesyuarat, jentera telah kita susun, lepas daripada ini kita akan lancarkan jentera kita,

"kita dah setuju untuk lantik Timbalan Pesuruhjaya I YB Ustaz Satiful Bahri Mamat yang akan mengetuai jentera pilihanraya Pakatan rakyat khususnya PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Besut ini,"jelasnya. -BO

Azmin: Kerusi Dun Kuala Besut kekal milik Pas

PKR telah memutuskan bahawa kerusi bagi Dun Kuala Besut kekal milik Pas, kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan panjang bersama pimpinan PKR pusat dan Terengganu.

“PKR telah buat ketetapan ini dalam satu majlis, kelmarin.

“Kita akan sokong calon Pas yang akan terus kekal di Dun Kuala Besut. PKR Terengganu dan Pusat telah mengerahkan jentera untuk membantu kemenangan Pas di sana,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Menurut Ahli Parlimen Gombak itu, pendirian itu akan dibawa pada mesyuarat pimpinan PR minggu ini.

Menurut Azmin, walaupun terdapat gesaan daripada peringat negeri Terengganu untuk meletakkan calon PKR di kerusi tersebut, namun keputusan yang telah dibuat itu harus dihormati semua pihak.

Isu perebutan kerusi Dun Kuala Besut mula tercetus apabila Azmin dalam kenyataannya semalam tidak menolak untuk meletakkan calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu.

Sementara itu, mengulas kenyataan Lim Guan Eng agar Pas memboikot PRK Kuala Besut sebagai tanda protes keputusan PRU13 lalu, Azmin berkata, kenyataan Setiausaha Agung DAP itu adalah pendapat peribadi.

“Mengenai keputusan akhir kita akan tahu lepas majlis pimpinan PR rakyat (yang dijangka Rabu ini),” katanya.
-SH



Kerana Ali Rustam Kalah, K'jaan UMNO Tutup Pasar Ramadan Terbesar Di Melaka & Jonker Walk

UMNO dianggap petualang apabila sanggup bertindak menutup periuk nasi lebih 300 peniaga pasar Ramadan Taman Cempaka dalam kawasan Parlimen Bukit Katil selaras dengan penutupan Jonker Walk, Melaka. Pendedahan mengejutkan itu sekaligus meleraikan kontroversi di sebalik fitnah jahat Mingguan Malaysia semalam yang mendakwa DAP mencadangkan agar pasar Ramadan ditutup.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata demikian pada sidang medianya bersama Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau juga menyifatkan tulisan Awang Selamat terhadapnya dalam Mingguan Malaysia sebagai satu fitnah jahat dan bodoh dan meminta akhbar kawalan UMNO itu memperbetulkan tuduhan mereka.

“Utusan Malaysia hanya mengemukakan pembohongan dan memutar-belitkan segala kenyataan pemimpin DAP hingga 180 darjah untuk mewujudkan persepsi palsu bahawa DAP parti rasis walaupun hakikatnya tidak benar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencabar Utusan Malaysia membongkar kebenaran bahawa yang menutup pasar Ramadan, yang menyinggung perasaan umat Islam lebih-lebih lagi menjelang Ramadan adalah UMNO-Barisan Nasional (BN) Melaka.

“Konteks kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini amat jelas tetapi telah dengan sengaja disalah tafsir dengan tujuan jahat.

“Saya menyindir Ketua Menteri Melaka kerana memberi alasan tidak wajar bahawa pasar malam Jonker Walk dan Taman Cempaka ditutup untuk selesaikan masalah kesesakan lalu lintas,”
jelas Pua lagi.

Mengulas lanjut, Pua berkata, pihaknya tidak boleh menerima alasan itu kerana ia akan menyebabkan semua pasar malam, pasar tani dan bazar Ramadan ditutup dan bukan sahaja di Jonker Walk dan Taman Cempaka.

“Ini sekadar tindakan politik balas dendam Ketua Menteri Melaka yang baru dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam,” katanya.-Roketkini